Khamis, 12 April 2012

BILA KEPERCAYAAN RAKYAT MAKIN BERKURANG...KES2 ...SEJAK KEBELAKANGAN BERTAMBAH RAKYAT MULA RAGU2 UNTUK MENYOKONG....

Kerabat NS yakin Pakatan Rakyat lebih baik

Nazri Abdullah, 12 Apr 2012
NILAI, 12 April: Kerabat DiRaja Negeri Sembilan, Tunku Harmy Tunku Hannan (gambar) percaya bahawa kepimpinan Pakatan Rakyat yang ada pada hari ini lebih baik berbanding pemimpin negara sedia ada.

Beliau yang juga sepupu Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tampil di pentas ceramah Pakatan Rakyat buat kali ketiga malam tadi mendakwa berasa jijik dengan mainan politik parti pemerintah sekarang ini.

"Sejak 30 tahun dahulu saya lihat pemerintahan negara sungguh jijik. Saya risau apa yang berlaku, generasi kita rosak seolah-olah rasuah ini halal dari pemimpin nombor satu sampai paling bawah.

"Perompak, perasuah, pemfitnah. Ada orang kata nak buat macam mana, kita manusia, macam halal je," katanya kecewa.

Ceramah malam tadi sempena program Jelajah Jom Ubah, Demi Rakyat Negeri Sembilan yang dibuat di Sikamat di sini.

Turut serta pada ceramah itu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Pengerusi SAMM Bardul Hisham Shahrin, Ahli MPP PKR Dr Mohamad Rafie Abdul Malek dan beberapa pemimpin di peringkat negeri.

Penampilan kerabat diraja itu lebih lebih lagi dengan imej berjubah, berserban menarik ramai penduduk sekeliling hadir mendengar ceramah malam tadi yang dianggarkan lebih 1,000 orang.

"Sebab itu sekarang, berbetulan dengan susunan Allah, saya rasa terpanggil untuk turun kembali bersama rakyat.

"Apabila saya tengok semua pemimpin parti pembangkang ini punya satu niat dan tujuan, untuk menghapuskan kezaliman, rasuah, segala kerakusan dan fitnah, maka saya tampil ke hadapan dengan hati yang sayu," katanya.

Pengusaha keropok, kopi Kelantan buka kilang di Indonesia

Rizal Tahir, 12 Apr 2012


(Husam bersama pengusaha dan produk keluaran mereka.)

PASIR PUTEH, 12 April: Dua pengusaha kecil produk makanan dan minuman di negeri ini akan membuka kilang keropok dan kopi di Kepulauan Sembawa, Indonesia tidak lama lagi.

Pengusaha keropok, Alias Mamat, 38, dan pengusaha kopi Zawawi Omar, 50 masing-masing akan membuka perusahaan di sana memandangkan projek berkenaan berpotensi untuk dilaksanakan di sana.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan  Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata kerajaan negeri yakin projek yang bakal diusahakan oleh dua pengusaha akan Berjaya.

“Ini kerana kepulauan itu mempunyai ikan segar yang banyak serta murah, tenaga pekerja yang ramai disamping bahan untuk membuat kopi termasuk buahnya juga murah,”ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidanng medianya selepas meninjau kilang keropok di Kampung Dalam Rhu, Semerak.

Menurutnya, pada 16 April ini, dua pengusaha berkenaan akan ke kepulauan itu untuk memulakan projek di sana di samping mengajar pekerja di situ.

“Saya yakin keropok ikan dan kopi merupakan minuman utama mereka akan menarik perhatian masyarakat di sana termasuk pelancong asing yang sememangnya gemar melancong ke situ,”ujarnya.

Alias Mamat yang telah memulakan perusaha keropok dengan nama produknya D’Kelate Cap Ikan Parang memperuntukkan kos awal sebanyak RM30,000 untuk membeli mesin dan peralatan berkaitan.

Manakala Zawawi yang telah mengusahakan projek itu sejak 15 tahun lalu memperuntukkan sebanyak RM40,000 untuk pembelian peralatan berkaitan.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pengusaha berkenaan kerana berani meningkatkan perniagaan mereka ke luar negara.

Kekayaan negara mampu tanggung kos pengajian

Harakahdaily, 12 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 12 April: Dengan limpahan kekayaan negara Malaysia, sebuah kerajaan yang beramanah, adil lagi telus pasti mampu menjana pendapatan yang baik yang memungkinkan kos yuran pengajian ditanggung oleh perbelanjaan rasmi kerajaan.
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali (gambar) berkata, ini kerana Malaysia merupakan negara yang dianugerahkan oleh Allah sumber kekayaan yang sangat banyak bermula dengan minyak sebagai antara sumber pendapatan terbesar dan hasil mahsul yang lain.

“Namun, rakyat gagal menikmati sepenuhnya kekayaan tersebut termasuklah untuk menikmati pendidikan tinggi secara percuma disebabkan salah urus kewangan yang berlaku di pihak pemerintah Barisan Nasional,” katannya dipetik daripada web malaysiatransform.com.

Katanya, kegagalan kerajaan BN menanggung sepenuhnya kos pendidikan di peringkat tinggi berpunca sekurang-kurangnya daripada tiga sebab.

Pertamanya, kata beliau kegagalan menjana pendapatan sebenar negara kerana rasuah dalam pentadbiran negara.

Keduanya, ujarnya ketirisan yang sangat banyak dalam pengurusan perbelanjaan harta negara.

“Ketiganya, pemborosan perbelanjaan dalam perkara yang tidak utama dan penting,” katanya lagi.

Oleh itu, ujarnya sebuah kerajaan yang bersifat amanah, adil, telus lagi bersederhana dan tidak boros amat diperlukan oleh rakyat Malaysia selepas PRU13 nanti.

“Kos pendidikan melibatkan sekurang-kurangnya dua perkara. Pertamanya kos yuran pengajian. Keduanya kos sara hidup pelajar sepanjang pengajian,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau menambah kos sara hidup pelajar boleh disediakan atas nama pembiayaan bukannya pinjaman dengan peruntukan rasmi kerajaan pusat menerusi penubuhan Tabung Amanah Pendidikan Tinggi dengan bersumberkan tiga perkara.

“Pertamanya, dana kerajaan pusat. Keduanya, sumbangan tunai badan-badan korporat yang sangat banyak di Malaysia atas nama tanggungjawab sosial korporat yang diberikan pelepasan cukai,” ujarnya.

Ketiga, tambah beliau sumbangan harta kekal yang boleh dikembangkan hasilnya seumpama system wakaf dalam Islam.

Sementara itu, kata Khairuddin sebagai tambahan, kerajaan pusat dengan kerjasama kerajaan negeri dengan mekanisama tertentu yang boleh difikirkan boleh bekerjasama mengukuhkan dana Tabung Amanah tersebut dengan memanfaatkan yayasan-yayasan pendidikan negeri sedia ada.

Lynas: Mahkamah tolak semakan kehakiman penduduk

Harakahdaily, 12 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 12 April: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan sepuluh penduduk Gebeng, Kuantan terhadap tindakan Energy Licensing Board (AELB) meluluskan lesen operasi sementara kepada Lynas Corporation bagi mengusahakan kilang nadir bumi.

Hakim menolak permohonan tersebut atas alasan ianya masih dalam perbincangan dan Parlimen sedang menimbangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) bagi membincangkan perkara itu.

Gabungan Solidariti Hijau SeMalaysia- Stop Lynas (SHS-SL) Zulkefly Mohamad Omar bagaimana pun berkata, pihaknya akan terus membuat rayuan berhubung perkara itu keran atidak yakin dengan PSC.

"Kita akan terus membuat rayuan kerana kita memang menolak PSC.

"Tengok PSC mengenai penambaikan pilihan raya baru-baru ini, tidak semua laporan dibentangkan dalam perbahasan. Kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku," kata beliau kepada harakahdaily hari ini.

Sehubungan itu beliau sekali lagi menyeru rakyat turun ke himpunan aman besar-besaran yang akan diadakan serentak di 11 lokasi seluruh negara selepas solat Jumaat, esok.

Lokasi-lokasi yang disenaraikan antaranya Dataran Shah Alam (Selangor dan Kuala Lumpur), Masjid Al-Fatah, Batu 3 Kuantan (Pahang), Tapak Kilang Are bukit Merak (Perak), Masjid Permatatng Janggus, Permatang Pauh (Pulau Pinang),  Masjid Pengadang Baru Kuala Terengganu (Terengganu), Masjid Al-Azim (Melaka), Masjid Daerah Batu Pahat (Johor), Dataran Jam Besar, Sungai Petani (Kedah), Taman Tasik Seremban Hadapan Masjid Negeri (Negeri Sembilan), Dataran Ilmu Kota Bharu (Kelantan) dan Masjid At Takwa, Miri (Sarawak).

Pada 17 Februari, penduduk berkenaan memfailkan permohonan dengan AELB yang menyelia pengeluaran, permohonan dan penggunaan tenaga atom dan bahan radioaktif, ketua pengarah kualiti alam sekitar dan Lynas sebagai responden.

Dalam permohonan itu, penduduk berkenaan memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan AELB pada 30 Januari bagi mengeluarkan lesen sementara kepada Lynas Malaysia.

Mereka juga memohon perintah bagi melarang AELB daripada mengeluarkan lesen sementara atau tetap kepada Lynas kecuali atau sehingga syarikat itu mengemukakan laporan penilaian lengkap mengenai kesan loji itu terhadap alam sekitar kepada ketua pengarah kualiti alam sekitar dan sehingga laporan itu diluluskan.

Berjiwa besarlah seperti Salahuddin Ayub

Mohd Sayuti Omar, 12 Apr 2012
Saat Aceh dilantun gempa bumi dengan kekuatan 8.6 skala ritcher saya sedang minum kopi dengan Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub di sebuah kopitiam di Taman Melati Kuala Lumpur. Agak lama saya tidak bersembang dengan Salahuddin. Sejak beliau 'bertukar paksa' kawasan dari Kubang Kerian (Kelantan) ke Johor (belum tentu kerusi mana), jarang-jarang kami dapat bersembang kerana masing-masing kesibukan.

Saat saya di Kuala Lumpur dia ke Johor Bharu. Nampaknya Salahuddin terpaksa membuka 'huma' baru sekali lagi selepas berjaya membuka tanah hutan di Kubang Kerian. Tentulah berbeza sekali membuka tanah hutan di Johor dengan mendiami kawasan sudah kerja (KSK) di Kelantan. Apa yang diduduki atau diusahakan oleh Salahuddin di Kubang Kerian boleh dianggap sebagai, dia mengusahakan kawasan sudah kerja (KSK).

Berada di KSK lebih mudah dari membuka huma baru yang masih penuh dengan onak dan duri serta gaung yang curam dan dalam. Di KSK kemudahan asas seperti jalan, eletrik dan air sudah tersedia. Tunggu lagi untuk mengindah dan mencantikkan memerlukan daya kreativiti yang tinggi. Alhamdulilah selepas sembilan tahun (dua penggal) di Kubang Kerian Salahuddin berjaya memberi sesuatu kepada rakyat Kubang Kerian dan beliau sendiri berjaya mencatat nama sebagai seorang wakil rakyat berkualiti.

Menyebut jasa besar beliau di Kubang Kerian bagi saya ialah bagaimana usaha beliau membangunkan rumah untuk anak-anak yatim. Mengkagumi peruntukan dicari sendiri dan tidak bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan. Sokongan orang ramai membantu anak yatim dari seruan ikhlas Salahuddin menjelaskan bahawa beliau mempunyai pengaruh dan disayangi oleh orang ramai.

Selain itu beliau berjaya memainkan peranan di parlimen dengan jayanya. Perbahasan atau isu-isu serta kerajinan ditunjukkan meletakkan Salahuddin sebagai ahli Parlimen dikenali dan dikagumi. Ini ditokok pula dengan cara dia berbahas dan berhujah penuh sentimental dan tidak dibuaki emosi. Tentulah kejayaan itu didokongi keberhasilan beliau sebagai wakil rakyat di Kubang Kerian.

Perpindahan beliau ke Johor saya ibaratkan sebagai pulangnya perantau ke negeri sendiri setelah lama berpergian menuntut ilmu. Ketiadaanya selama ini bolehlah dianggap beliau pergi bertapa mempelajari ilmu dan menuntut rukun-rukun dan peradaban politik di Kelantan. Al maklumlah Kelantan adalah universiti politik terbuka di negara ini.

Apabila Salahuddin diminta untuk pulang dan dia sendiri rela, ini menunjukkan ilmu yang dipelajarinya sudah sarat dalam dada. Dia sudah bersedia untuk berbakti di watan sendiri. Apa yang diperolehi dan dialami selama sembilan tahun di Kelantan akan dicurah ataupun dimanfaatkan di negeri kelahirannya pulak.

Membuka tanah baru atau pulang untuk berhadapan dengan petulangan, bukan mudah. Johor adalah kubu kuat Umno yang penuh dengan pahlawan yang tikam tidak lut selam tidak lemas bakar tidak mudah hangus. Ia akan menguji Salahuddin sebagai pejuang dan pemimpin. Di Johor nanti daya kepimpinannya akan dituji. Intelektualiti kepimpinanya juga akan diperiksa. Begitu juga dengan ilmu hakikat siasah yang diperolehi akan dicabar di Johor kelak.

Di sini saya tidak mahu memperkatakan apakah beliau berjaya atau tidak. Berjaya dalam perjuangan adalah subjektif. Kejayaan bukan bermakna menang kerusi yang ditandingi, tetapi berjaya mengharungi perjuangan, pembukaan tanah human baru dan ikhlas meninggalkan tanah lama juga, itulah kejayaan sejati. Dalam perjuangan kalah dalam pertarungan bukan kalah. Istiqamah dalam perjuangan itulah kemenangan mutlak yang dicari.

Mengenang pengembalian Salahuddin ke Johor sesuatu yang menarik buat saya. Perpindahan tanpa bantah zahir itu menunjukkan beliau ada nilai-nilai tawaduk dan taat kepada pucuk pimpinan. Apabila timbul cakap-cakap mengatakan Pas Kelantan tidak mahukan orang luar, atau orang luar setakat dua penggal sahaja, Salahuddin sudah membuat persediaan disegi mental. Dia memahami mesej itu dan bertindak sebelum orang mengunci pagar.

Beliau tidak memberi apa-apa komen dan pasrah dengan kehendak dan keputusan itu. Syarat yang ditetapkan oleh Kelantan yang memberi pinjaman dan gelanggang untuk beliau berlajar mengenali rakyat dengan title wakil rakyat diterima dengan penuh terima kasih. Maka beliau terus membuat persiapan untuk berpindah rumah dan membuka huma baru.

Tidak ada apa-apa protes baginya. Saya pernah menyatakan sesuatu kepadanya untuk mengenali hati budinya dalam politik dengan perpindahan itu. Namun beliau tenang menjawab; "kita sebagai pejuang dan orang parti kena ikut arahan pemimpin, T" begitulah katanya lembut dan penuh sopan. Nada cakapnya yang selalu bebunga sedih menyebabkan hati jadi terkedu.

Tidak nampak yang beliau ralat dengan cadangan itu. Walaupun beliau tahu kehidupan di lokasi baru - tanah huma tidak semudah yang dilalui di tanah KSK, tetapi ia bukan sebab untuk beliau menolak atau berdalih, jauh sekali merajuk sebaliknya itu dijadikan cabaran dalam dia berpolitik.
Baginya dia telah menjadikan dirinya sebagai panglima yang sedia menurut arahan demi perjuangan.

Saya yakin dan percaya juga dengan perwatakan dan sejuring hatinya yang saya kenali beliau bukan seorang yang tahu mendesak dan berhajat menyusahkan parti. Ketulusan Salahuddin dalam perjuangan tercermin pada raut wajahnya yang jernih dan tenang.

Ini terbukti sebagai Naib Presiden beliau berhak untuk memperjuangkan dirinya untuk bertanding di mana-mana sahaja. Namun itu nampak tidak pernah digunakan untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya kedudukan sebagai Naib Presiden banyak digunakan untuk memperjuangkan nasib kawan-kawannya atau menjadi jambatan mengharmonikan keadaan dalam parti.

Apa yang berlaku di Kedah - pergelutan di antara Pahkrorazi Zawawi dengan Azizan Razak adalah bukti macam mana komitmen dan peranan diaminakn oleh Salahuddin. Apabila menyedari pergelutan semakin panas dan tiada usaha menanganinya maka beliau telah mengambil inisiatif menjadi orang tua memperjudikan dirinya demi kebaikan parti menangani isu itu.

Dalam hal ini Salahuddin telah menguji dirinya sendiri. Cuba kalau inisiatif itu tidak menjadi ia boleh dianggap beliau mencari fasal dan akan meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang gagal. Namun tanggungjawab itu diambil menunjukkan Salahuddin seorang yang memiliki iltizam yang kuat dan meletakkan kepentingan parti mendahului kepentingan dirinya. Alhamdulilah pergelutan di Kedah itu selesai dengan jaya.

Apa yang berlaku dan dilakukan Salahuddin sewajarnya diteladani oleh individu tertentu terutamanya oleh mereka yang merasakan diri mereka tidak dilayan dengan adil menjelang pilihan raya ini. Mereka yang akan tidak diletakkan bertanding kerana sebab-sebab tertentu ataupun dipindah kawasan kerana sebab-sebab tertentu juga perlu malu dengan Salahuddin.

Akurlah taatilah keputusan parti. Kenapa kita begitu sukar untuk menerima pandangan parti? Kalau Salahuddin boleh dengan senang berangkat ke Johor meninggalkan tanah KSK yang sudah dimajui, pokok sudah berbuah dan rakyat sudah sebati dengannya, kenapa tidak dengan kita? Seorang pejuang tidak boleh penakut dan terlalu hipokrasi.

Berjiwa besarlah seperti Salalhuddin. Kenapa kita merasa susah untuk akur dengan keputusan parti sebab kita merasakan apa yang menjadi milik kita itu adalah hak kita. Sedangkan apa-apa yang kita rasai itu dan nikmati itu hanya pinjaman sahaja. Hakikatnya kuasa, jawatan yang dipikul oleh seseorang wakil rakyat itu bukan hak mereka tetapi hak rakyat. Jadi kenapa harus gentar dan merasa sedih atas pertukaran atau pengunduran kita.

Jika kita benar-benar hebat letaklah di mana-mana pun kita tetap hebat, bak kata pepatah kalau benih yang baik lempar ke laut menjadi pulau lempar ke lembah menjadi gunung.- http://www.msomelayu.blogspot.com/

Najib diminta selesai pembeli rumah teraniaya

Khairil Abdul Rahim, 12 Apr 2012
PEKAN, 12 April: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diminta menyelesaikan segera masalah pembinaan  perumahan Taman Rendang Azalea Fasa Dua di sini yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu mengakibatkan 22 orang pembelinya yang rata-rata pengundi di parlimen ini, teraniaya.

Pengerusi NGO Majlis Tindakan Rakyat Pahang (MTRP) Syed Ali Badarudddin berkata, perumahan  yang terletak hanya 150 meter daripada kediaman rasmi Najib itu di sini, patut mendapat campur tangan Najib selaku Ahli Parlimen Pekan kerana pembeli sudah menyelesaikan 80 % bayaran.

"Masalah ini perlu di selesaikan Najib tak kiralah dengan apa cara walaupun sesetengah pihak melihatnya masalah kecil tetapi sangat besar kepada penduduk.

"Jika Najib boleh selesaikan pelbagai masalah di tempat-tempat lain serata Malaysia, takkan tak boleh selesaikan masalah perumahan terbengkalai yang hanya beberapa meter dari rumahnya.

"Dengan slogan rakyat didahulukan apa lagi menghampiri pilihan raya sekarang, saya rasa inilah waktu yang sesuai untuk Najib selesaikan masalah mereka," katanya.

Syed Ali yang baru mengadakan dialog dengan penduduk berkata, pembeli-pembeli  rumah berkenaan begitu kecewa dengan tindakan pemaju yang mula lepas tangan selepas gagal menyiapkan 22 rumah mengikut waktu dijanjikan iaitu pada tahun 2009 sedangkan pembayaran sudah lama dilakukan setiap bulan.

Tambahnya, pernah wakil pembeli bertemu dengan pemaju (Exact Management Sdn Bhd) dan mereka berdolak-dalik untuk menyempurnakan pembinaan rumah berharga RM178,000 hingga RM250,000 itu pada Disember lepas sebelum dilanjutkan sehingga Januari kemudian selewatnya Mei ini.

“Namun penduduk mengadu tiada sebarang tindakan susulan sedangkan bayaran secara potongan gaji mengikut persetujuan ketika proses jual beli terus berjalan dan sudah menjangkau 82%.

“Ketika lawatan ke perumahan terbengkalai itu mendapati sudah dijadikan tempat menjalankan aktiviti tidak sihat seperti melepaskan keketagihan dadah tempat maksiat dan pemujaan nombor ekor. Selain itu, banyak penutup besi telah dicabut dan dicuri,” jelasnya.

Tambahnya, kebanyakan pembeli perumahan yang terletak di GM 1401 Lot PT12888 – 12689 itu ialah pensyarah universiti, guru dan kakitangan kerajaan daerah itu yang semuanya Melayu.

Syed Ali berkata, pembeli memberitahu sudah mengadukan masalah yang mereka hadapi itu kepada Najib melalui Setiausaha Politiknya juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di situ namun tidak ada respons positif yang diberikan setakat ini.

“Ada pembeli berkata pejabat pemaju di Kuantan sudah ditutup. Jadi jika Najib sendiri yang campur tangan mungkin boleh selesai tak kiralah melalui Syarikat Perumahan Negara atau lain-lain cara.

“Yang penting pengundi Pekan yang menjadi mangsa itu perlu diselesaikan. Bayangkan wang beli rumah sudah dibayar tetapi tak boleh duduk tapi sewa rumah kena bayar lagi, teruk dalam keadaan kos kehidupan dan barang yang tinggi melambung sekarang.

“Takkan Najib rela melihat nasib perumahan terbengkalai yang mencacatkan pemandangan itu, apa lagi berada tidak berapa jauh dari istana Sultan Pahang,” katanya.

Tegasnya, jika Najib boleh berjanji dan menyelesaikan banyak masalah di negeri-negeri Pakatan Rakyat, apa salahnya berusaha menyelesaikan masalah pengundi-pengundi berhampiran rumahnya sendiri.

Tiada ulasan: