Selasa, 17 April 2012

JANGAN KITA BUAT MENAMBAH BENCI...MENAMBAH MELUAT...BERTAMBAH BOCOR RAHSIA KETIDAKADILAN KITA...MAKIN BANYAK NAMPAK KESALAHAN SERTA KECURANGAN KITA SEMASA MEMERINTAH...INGAT RAKYAT TELAH CERDIK...MUNGKIN SATU KETIKA PENGUNDI SEKURANG2 BERTARAF DIPLOMA....

Adakah rakyat rasa gembira ISA dimansuh?

Lim Guan Eng, 16 Apr 2012
Dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) maka berakhirlah satu era penindasan rakyat oleh Kerajaan BN. Berakhirlah satu sejarah hitam buat negara kita, di mana sepanjang 52 tahun pelaksanaan ISA dijangka lebih 10,000 orang mangsa telah ditahan tanpa bicara di bawah akta tersebut.
Tetapi adakah kita rakyat harus rasa gembira?

Saya rasa ini bukannya masa untuk diraikan kegembiraan dengan membaca Al-Fatihah kepada ISA kerana ia masih belum benar-benar meninggalkan tanah air Malaysia. Di samping itu keengganan kerajaan BN mengambil tanggungjawab ke atas kezaliman yang diperlakukan ke atas mangsa-mangsa ISA dengan meminta maaf secara terbuka atas tahanan tanpa bicara yang melanggari segala asas perikemanusiaan serta lunas undang-undang hak asasi manusia dan due proses.

Setengah mangsa yang tidak bersalah mahupun berdosa terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri, ketua pembangkang aktivis sosial dan rakyat biasa. Apakah kesalahan sehingga boleh memudaratkan keselamatan negara selain daripada menentang pemimpin BN yang rasuah dan menggugat monopoli kuasa rakus BN daripada terus menindas rakyat.

Apakah kesalahan Dato Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Mat Sabu yang selalu ini menegakkan kedaulatan undang-undang dan sistem perlembagaan beraja sehingga perlu merengkok dalam tahanan di bawah ISA tanpa bicara dan dituduh melakukan kesalahan dengan sewenang-wenangnya tanpa bukti langsung. Malah mereka yang buat tuduhan palsu bukan sahaja tidak dikenakan tindakan sebaliknya dinaik pangkat dan diangkat ke jawatan yang tinggi.

Sebagai seorang bekas orang tahanan ISA, saya tahu secara peribadi daripada pengalaman pahit macam mana ISA ini boleh disalahgunakan. Bila saya ditahan dalam 1987 di bawah Operasi Lallang, saya hanya berumur 26 tahun dan baru dipilih sebagai Ahli Parlimen Kawasan Kota Melaka.  Dalam umur yang begitu mentah ini, saya dituduh mengancam keselamatan negara sehingga boleh mencetuskan negara menjadi huru-hara sekiranya saya masih bebas. Kalau begitu dengan umur saya sekarang menjangkau 52 tahun, bukankah saya lagi mengancam?

Proses 60 hari “solitary confinement” sukar dilalui kerana nyawa kita terletak di bawah tangan seorang dua pegawai polis yang boleh buat apa-apa pun secara suka hati ke atas saya. Saya dipersoalkan mengapa menentang Perdana Menteri Malaysia, adakah saya mahu dibebaskan dengan syarat saya mengaku atau bertaubat di depan kaca mata televisyen bahawa saya terlibat dalam kegiatan subversif dan dianiayai secara mental.

Saya diletakkan di dalam sebuah bilik berwarna biru habis tanpa cermin dengan sebuah kipas tidak bergerak dengan 4 cangkuk besar. Saya tidak dibenarkan tidur lebih 24 jam dengan dipaksa duduk di atas bangku dengan pegawai polis berteriak ke dalam telinga saya setiap kali saya nak mengantuk untuk memaksa saya “bertaubat”. Saya sudah dikira bernasib baik kerana tidak dipukul dan dibelasah dengan ganas macam berlaku ke atas YB Ketua Pembangkang dan ramai rakan-rakan lagi.

Sebagai peneraju dan pewaris ISA, adakah BN bersedia meminta maaf secara terbuka ke atas semua mangsa-mangsa kezaliman. Selagi BN enggan berbuat demikian susah untuk menemui penutupan atau “closure” dan menimbulkan keraguan bahawa pemansuhan ISA hanya permainan silap mata untuk menyembunyikan muslihat jahat BN nak meneruskan ISA dalam bentuk dan rupa lain (in in different guise and form).

Hakikatnya, kita harus mengingati bahawa ISA ini sebenarnya telah diwujudkan sebagai langkah pencegahan komunis di Malaya dan kemudiannya Malaysia pada zaman darurat. Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman sendiri telah berkata bahawa:


“ISA yang telah diperkenalkan pada tahun1960 telah dirancang untuk digunakan semata-mata untuk melawan komunis... Saya dan para jemaah menteri saya telah berjanji kepada Parlimen dan kepada negara bahawa kuasa besar yang diberi kepada kerajaan di bawah ISA tidak akan digunakan untuk menyekat pembangkang yang sah.”

Sekiranya apa yang dikatakan Bapa Kemerdekaan kita ini benar, maka ISA sepatutnya dimansuhkan selepas tamatnya pemberontakan senjata komunis secara rasmi pada tahun 1989 dengan perjanjian damai di antara Parti Komunis Malaya ditandantangani dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor di Haadyai pada 2 Disember 1989. Ini kerana tujuan utama undang-undang ini diperkenalkan sudah tidak lagi relevan. Tanpa ada lagi ancaman komunis, ISA seharusnya tidak diperlukan lagi. Namun, ISA diteruskan sebagai senjata ke atas musuh politik BN yang menentang BN secara aman dan berlandaskan Perlembagaan.

Sejarah hitam ISA harus dikuburkan buat selama-lamanya, dan ini tidak akan berlaku selagi kerajaan tidak mengambil langkah untuk meminta maaf dan memberi jaminan bahawa undang-undang kuku besi seperti ISA tidak akan diulangi lagi, mahupun secara tidak langsung. Selagi Kerajaan tidak meminta maaf, selagi itulah hantu ISA akan membayangi legasi mereka. Ini jelas tertera secara langsung atau tidak dalam tiga RUU yang dibentangkan untuk menggantikan ISA, RUU Kesalahan Keselamatan (Llangkah-langkah Khas) 2012, RUU Kanun Tatacara Jenayah(Pindaan) 2012 dan RUU Kanun Keseksaan(Pindaan) 2012

Hakikat ini dinyatakan oleh YB Menteri Dalam Negeri dua hari lepas bahawa “The new law replacing the Internal Security Act (ISA) will not hamper the abilities of the Royal Malaysia Police (PDRM) to protect the safety of the public” Dengan kata lain, pihak polis masih mempunyai kuasa samada adanya atau tidaknya ISA sepertimana yang termaktub dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan sesiapa ditahan untuk apa tujuan pun.

RUU ini pada permulaannya menyebut bahawa“tindakan telah diambil dan tindakan lanjut diancam oleh sekumpulan besar orang di dalam dan di luar Malaysia”, sebagaimana yang disenaraikan. Siapakah kumpulan besar itu, dan apakah tindakan-tindakan yang telah diambil dan yang diancam? Saya rasa bahawa ahli-ahli yang berhormat hendaklah diberitahu terhadap kumpulan manakah RUU ini ditujukan, kerana hanya selepas itu bolehlah Dewan yang Mulia ini meneliti dengan baik RUU ini.

Pada mukadimah RUU ini adalah disebut bahawa, dengan izin: “action has been taken and further action is threatened... to procure the alteration, otherwise than by lawful means, of anything by law established”. Inilah satu contoh penggubalan undang-undang secara“cut-and-paste”. Sepatutnya, “anything” itu hendaklah merujuk kepada“something” atau “certain things” yang sudah diketahui. Ancaman yang dirujuk,adakah ia benar-benar wujud atau hanya dalam khayalan Kerajaan sahaja?

RUU ini dicadangkan untuk digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan undang-undang khas diperbuat bagi tujuan menentang tindakan subversif walaupun undang-undang itu bertentangan dengan hak-hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Kita semua tahu bagaimana lagi satu Akta yang digubal di bawah Perkara 149, yakni ISA yang sepatutnya bertujuan untuk menentang kempen keganasan Parti Komunis Malaya,tetapi telah disalahgunakan oleh Kerajaan BN untuk menzalimi dan menganiayai rakyat Malaysia yang tidak bersalah walaupun kempen komunis itu telah tamat lebih daripada 23 tahun lalu, pada tahun 1989.

Sebenarnya, Perkara 149 pada asalnya hanya membenarkan undang-undang khas diperbuat untuk setahun sahaja. Jika ia tidak dilanjutkan setiap tahun, maka undang-undang khas itu seharusnya luput.Demikianlah perlindungan yang wujud di bawah Perlembagaan zaman Merdeka, tetapi Kerajaan Perikatan dan BN telah meminda Perlembagaan kita untuk menghapuskan perlindungan hak-hak rakyat. Jika Kerajaan benar-benar patuh kepada semangat Perlembagaan dan hak-hak rakyat, RUU ini harus dipinda supaya ia luput jika tidak diperbaharui setiap tahun oleh Parlimen.

Fasal 4 RUU ini membenarkan pihak polis untuk menahan seseorang bagi tempoh selama 28 hari tanpa bicara dan tanpa dibawa ke hadapan majistret. Fasal ini amat bahaya. Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa: “Jika seseorang ditangkap dan tidak dilepaskan, maka orang itu hendaklah tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh 24 jam ... dibawa ke hadapan majistret dan orang itu tidak boleh ditahan dalam jagaan selanjutnya tanpa kebenaran majistret itu.”

Dengan fasal 4 ini, hak asasi yang dijamin oleh Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan adalah dirampas dan dicabuli. Jika mana-mana orang boleh ditahan selama 28 hari tanpa dibawa kehadapan majistret, manakah jaminan bahawa orang itu tidak akan dibelasah dan diseksa polis selama tempoh itu? Siapakah yang boleh tahan diseksa selama 28 hari? Dalam masa satu bulan orang tahanan boleh dibelasah sampai lebam, dan selepas itu ditahan sehingga lebam itu pudar.

Sekurang-kurangnya, seseorang yang ditahan patut dibawa ke hadapan majistret selepas 24 jam pertama, dan selanjutnya selepas setiap 7 hari yang berlalu. Mengapakah Kerajaan dan pihak polis begitu takut membawa orang tahanan ke hadapan majistret? Bagaimanakah hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan boleh diketepikan dengan begitu senang?

Bagi orang tahanan yang mampu mendapat perwakilan peguam dan mampu menyaman pihak polis, memang tindakan mahkamah boleh diambil terhadap polis sekiranya kuasa tahanan disalahgunakan. Namun realitinya, lock-up dan penjara-penjara di seluruh negara kita penuh dengan orang tahanan, termasuklah pemuda-pemuda bawah umur, yang tidak mampu mendapat perwakilan undang-undang. Oleh sebab itu, penyeliaan badan kehakiman adalah mustahak. Sekali lagi, saya ingin tanya, mengapakah Kerajaan dan pihak polis begitu takut membawa orang tahanan ke hadapan majistret?

Tanpa penyeliaan badan kehakiman, kami rasa bahawa pihak polis boleh melanjutkan tempoh tahanan orang tahanan selepas akhir 28 hari, dengan membebaskan dan menahan semula orang tahanan itu selepas setiap 28 hari, seperti yang sering dilakukan di bawah ISA. Dengan ini, tempoh tahanan itu boleh dilanjutkan bertahun-tahun tanpa had. Bolehkah YB Menteri memberi jaminan bahawa tempoh tahanan 28 hari itu tidak boleh dilanjutkan secara membebaskan dan menahan semula orang tahanan?

Bahagian IV RUU ini memberi kuasa kepadaPendakwa Raya berkenaan dengan kes-kes yang melibatkan “maklumat sensitif”. Pentakrifan “maklumat sensitif” ini amat luas, dan merangkumi apa-apa dokumen,maklumat dan bahan yang berkaitan dengan Jemaah Menteri dan jawatankuasanya atau yang menyentuh kedaulatan, keselamatan negara, pertahanan, ketenteraman awam dan hubungan antarabangsa, sama ada bahan itu dikelaskan sebagai rahsia atau tidak. Pentakrifan ini adalah terlalu luas, dan nampaknya adalah bertujuan melindungi kepentingan Kerajaan dan bukan kepentingan awam atau kepentingan negara. Keperluan menjamin keadilan perbicaraan tidak disebut sama sekali dalam Bahagian ini. YB Menteri patut menjelaskan sama ada mahkamah mempunyai budibicara untuk menolak permohonan Pendakwa Raya di bawah fasal 8 jika perlu untuk menjamin keadilan perbicaraan. Ini hanyalah satu contoh peruntukan dalam RUU ini yang tidak adil dan tidak wajar.

Kalau dilihat secara keseluruhan, semua peruntukan-peruntukan RUU ini jelas bertujuan untuk membolehkan Kerajaan menyabit dan memenjarakan sesiapa sahaja atas kesalahan keselamatan dengan bukti yang direka-reka. Fasal 8 RUU ini membolehkan Pendakwa Raya menyembunyikan fakta-fakta yang menunjukkan bahawa orang dituduh itu tidak bersalah atasalasan maklumat itu sensitif.

Fasal 14 membolehkan bukti diterima daripada saksi yang menyembunyikan identitinya daripada pihak tertuduh. Fasal 18 membolehkan penyata  yang kononnya dibuat oleh orang yang mati, hilang atau tidak dapat hadir ke mahkamah diterima sebagai bukti. Fasal 19 membolehkan orang dituduh disabitkan kesalahan atas testimoni kanak-kanak yang tidak disokong. Fasal 20 membolehkan apa jua dokumen yang kononnya disita oleh polis, walaupun secara menyalahi undang-undang,diterima sebagai bukti.

Fasal 22 membolehkan senarai dokumen atau benda yang kononnya disita oleh polis diterima sebagai bukti kewujudan dokumen atau bend aitu walaupun dokumen atau benda itu tidak boleh dikemukakan di mahkamah. Fasal 23 membolehkan eksibit yang dikatakan sensitif tidak dikemukakan di mahkamah tanpa menjejaskan kes pendakwaan. Fasal 25 membolehkan apa jua dokumen yangdibuat dengan komputer diterima sebagai bukti. Fasal 26 membolehkan testimoni rakan sejenayah dan polis yang memprovokasi tindakan kesalahan itu diterima sebagai bukti.

Fasal-fasal  13 dan 30 pula membolehkan orang dituduh ditahan bertahun-tahun walaupun ia belum disabitkan kesalahan atau didapati tidak bersalah oleh mahkamah, sehingga habis rayuan terakhir. Sungguhpun hak orang yang ditahan boleh menuntut perbicaraan selepas 28 hari tetapi berkemungkinan tidak dapat menikmati kebebasan kerana Fasal 30(1) menyatakan boleh terus direman di dalam penjara sementara menunggu notis rayuan difailkan terhadap pembebasan tertuduh itu oleh Pendakwa Raya dan semua proses undang-undang ditamatkan.

YB Menteri perlu menjelaskan, apakah kaitan khas antara kesalahan keselamatan dan testimoni kanak-kanak? Apakah saksi yang berkaitan dengan kesalahan keselamatan lebih sering mati atau hilang (mungkin kerana diletup dengan C4), kalau berbanding dengan kes-kes yang lain? Apakah cetakan dari komputer lebih boleh dipercayai dalam kes kesalahan keselamatan? Mengapakah  kes kesalahan keselamatan harus lebih senang dibuktikan jika dibandingkan dengan kes bunuhatau kes rogol? Ini semua menunjukkan bahawa undang-undang di negara kita tidak digunakan untuk melindungi rakyat, malah untuk melindungi Kerajaan.

Badan Peguam Malaysia juga telah menyatakan kebimbangan mereka terhadap RUU ini, termasuk sama ada RUU ini patut digubal dibawah Artikel 149 jika syarat-syarat perlindungan memadai, definisi "kesalahan keselamatan" yang terlalu luas, kekurangan pengawasan kehakiman atas penahanan serta penyekatan atas komunikasi, kekurangan perlindungan atas komunikasi peguam-pelanggan, dan yang paling penting sekali keberlainan dengan peraturan-peraturan biasa berkaitan perbicaraan jenayah.

Selagi bayang-bayang, sisa dan saki-baki ISA masih wujud dalam RUU Kesalahan Keselamatan (Llangkah-langkah Khas) 2012, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2012 dan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2012, maka ia akan mengujudkan ketakutan di kalangan orang ramai terhadap kerajaan yang bersedia menggunakannya untuk niat dan hasrat politik mereka. Buat apa  Let me close by quoting from American President Thomas Jefferson,

When the people fear the government, there is tyranny;
When the government fears the people, there is liberty.

By continuing to instil fear amongst the people, there is false liberty or no liberty at all but BN continues to exercise tyranny over Malaysians.
Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak bermakna kerana kuasa tahanan luasnya digantikan dengan 3 RUU Kesalahan Keselamatan (Llangkah-langkah Khas) 2012, Kanun Tatacara Jenayah(Pindaan) 2012 dan Kanun Keseksaan(Pindaan) 2012. Oleh itu parti DAP menyokong pemansuhan ISA tetapi menentang kesemua tiga RUU yang dibentangkan bersama ini.
"Menubuhkan RCI untuk menyemak segala undang-undang yang menyalahi prinsip hak asasi manusia yang menyekat kebebasan rakyat Malaysia."
Artikel di atas ialah ucapan Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Kawasan Bagan Lim Guan Eng semasa membahas Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat, pada 16 April 2012.

Orang Asli luar Kelantan jadi alat politik

Aslani M, 16 Apr 2012

KOTA BHARU, 16 April: Pada Febuari lalu sekumpulan Orang Asal dipercayai didalangi Jaringan Orang Asal Semenanjung (JOAS) mengadakan demontrasi dan sekatan jalan raya di Kuala Betis, Gua Musang.

Ekoran itu penduduk Orang Asal tempatan, Ajom A/L Alang membuat laporan polis kerana tidak senang dengan tindakan JOAS yang disifatkan menganggu kehidupan mereka.

Ini kerana kumpulan terbabit sebahagian besar bukan penduduk Orang Asal tempatan, sebaliknya didatangkan dari Perak dan Pahang.

Dan semalam pula kumpulan sama yang mahu dikenali sebagai Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan mengadakan demontrasi di hadapan kompleks Kota Darulnaim.

Mereka datang dengan empat bas yang disewa khas dan sebahagian besar dipercayai bukan penduduk tempatan, sebaliknya datang dari Perak dan Pahang.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusoff berkata, kumpulan Orang Asal itu dilihat berada di hadapan Kota Darulnaim sebelum jam 8 pagi, ketika pejabat kerajaan belum beroperasi.

“Sebahagian besar mereka dipercayai bukan penduduk Orang Asal tempatan. Pihak terbabit sengaja mahu menimbulkan persepsi negetif terhadap kerajaan negeri dengan mengungkit-ungkit perkara yang sama.

“Sedangkan kerajaan negeri sudah menjelaskan tidak ada istilah tanah adat Orang Asal di Kelantan seperti sesetengah negeri lain.

“Biar pun begitu kerajaan tetap mewartakan tanah bagi kepentingan masyarakat mereka. Perkara itu sudah difahami penduduk Orang Asal tempatan kecuali mereka yang tinggal di Perak atau Pahang,” katanya di sini.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan penduduk Orang Asal demontrasi dan menyerah memorandum mendesak kerajaan Kelantan mewartakan tanah adat mereka.

Sementara itu di Kuala Krai, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menjelaskan kawasan seluas 100 hektar di Pos Jedip dalam proses untuk diwartakan sebagai penempatan masyarakat Orang Asal.

Selain itu katanya, pada 2010 kerajaan negeri menyerah surat hak milik tanah kepada 89 penduduk Orang Asal di Pos Sendrop, Lojing.

“Kawasan lain termasuk Kuala Betis juga akan diwartakan sebagai kawasan penempatan Orang Asal dan tidak berbangkit kerajaan negeri mengenepikan masyarakat Orang Asal di Kelantan,” katanya selepas majlis penyampaian geran tanah dan bantuan sosial di Mengkebang.

Menurutnya juga tidak ada istilah tanah adat Orang Asal di Kelantan seperti didakwa kumpulan terbabit.

Beliau juga menafikan kerajaan negeri melulus aktiviti pembangunan berhampiran penempatan Orang Asal di Gua Musang.

Orang Asli tuntut janji



SEBAHAGIAN Orang Asli yang mengadakan perhimpunan di hadapan pejabat SUK Kelantan di di Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU - Lebih 400 penduduk Orang Asli dari Hulu Kelantan mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pintu masuk pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini bagi menuntut janji yang dibuat kerajaan Pas Kelantan berkaitan tanah adat mereka.
Kumpulan dari 26 pos penempatan sekitar jajahan Gua Musang yang diketuai Pengerusi Jaringan Orang Asal Kelantan, Azmi Badol itu berhimpun selama kira-kira setengah jam bermula pukul 9 pagi.
Mereka antara lain menuntut supaya kerajaan negeri mengembalikan tanah adat mereka seperti dijanjikan sebelum ini.
Azmi kemudian menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Pegawai Khas Menteri Besar, Zawawi Muhamad, selepas gagal memasuki kawasan pejabat SUK yang dikawal polis.
Bercakap kepada pemberita, Azmi berkata, perhimpunan ini kerana kerajaan negeri masih gagal menunaikan janji sekalipun telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan mereka.

Puluhan ribu sertai ceramah Kadir Sheikh Fadzil

Harakahdaily, 16 Apr 2012
BALING, 16 April: Puluhan ribu telah menyertai majlis ceramah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil malam tadi di Kupang, dekat sini.

Turut serta di majlis itu adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak.


(Tan Sri Kadir buat pertama kali berucap di atas pentas PAS selepas keluar Umno)

Ini adalah majlis ceramah pertama yang dibuat oleh Tan Sri Kadir di atas pentas PAS selepas mengisytiharkan keluar dari Umno.

Kadir ketika bertemu dengan Presiden dan pimpinan PAS yang lain di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut baru-baru ini telah bersetuju untuk berceramah di atas pentas PAS.

Sebelum ini, Kadir telah mengumumkan keluar dari Umno ekoran tindakan pimpinan Umno mempertikaikan beberapa kenyataannya sebelum ini.

Namun sehingga kini beliau belum mengisytiharkan untuk menyertai mana-mana parti.


(Antara puluhan ribu yang menyertai ceramah Tan Sri Kadir malam tadi di Kupang)

Ceramah yang sertainya malam tadi adalah sempena dengan kunjungan pimpinan PAS yang diketuai Ustaz Abdul Hadi ke Kedah.

14 April lepas, Abdul Hadi berkunjung ke Perlis sebelum berlepas ke Kedah dalam dalam siri kunjungan pimpinan PAS ke negeri-negeri.

Sebelum ini, Abdul Hadi telah mengunjungi Johor, Terengganu dan Pahang.

Ia diatur oleh Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Satu lagi pasukan diketuai oleh Timbalan Presiden PAS, Haji MOhamad Sabu.

Semalam, kumpulan yang diketuai Mohamad Sabu melawat Perak dalam siri mempersiapkan jentera PAS sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya ke 13.

Jika Melayu rajin berfikir sejenak…

Harakahdaily, 16 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 16 April: Asalkan orang Melayu rajin berfikir sejenak, dakyah Umno terdesak di saat nyawa-nyawa ikan bahawa PAS sebagai punca perpecahan Melayu, manakala nasib orang Melayu yang lemah dan semakin jatuh berpunca dari DAP akan terbongkar dengan senang.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar)  menyifatkan malang dan paling menyedihkan bagi golongan Melayu Islam di Malaysia bilamana perpaduan Melayu itu dilihat sekiranya orang Melayu menyokong Umno yang bersifat asabiah, manakala golongan yang menyokong PAS atau PKR dianggap golongan yang memecah-belah masyarakat Melayu.

Keadaan ini, hujah Tuan Ibrahim telah diasak dalam pemikiran rakyat, sehingga ianya diterima oleh sebahagian orang Melayu.

“Itu adalah hakikat yang paling menyedihkan dalam kesan terus politik asabiah Umno terhadap kaum yang mereka ingin bela.

“Pemikiran tertutup inilah sebenarnya yang membawa perpecahan di kalangan orang Melayu. Sehingga Melayu menjadi lemah, lebih-lebih lagi malas dan hilang daya saing kerana sentiasa bergelumang dalm salah guna kuasa, masalah moral dan rasuah sebagai jalan keluar,” tegas Tuan Ibrahim.

Sedangkan, kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu, semua pimpinan di semua peringkat adalah orang Melayu - dari Raja-raja, Perdana Menteri, Timbalan menteri, Menteri Besar, Exco-exco, pegawai daerah, penghulu, ketua kampung dan JKK.

Apabila Melayu lemah, kata beliau, akan muncullah pimpinan Umno bangkit menyalahkan Cina (DAP) sedangkan berpuluh tahun orang Melayulah mendominasi pimpinan negara.

“Inilah sikap dan politik durjana Umno yang bilamana gagal mengurus tadbir negara dengan baik , maka diletakkan kesalahan kepada PAS sebagai punca perpecahan Melayu, manakala nasib orang melayu yang lemah dan semakin jatuh berpunca dari DAP.

"Lebih menyayatkan rakyat Malaysia, pembohongan ini diterima oleh sebahagian masyarakat Melayu kerana perkara ini diulang-ulang oleh Umno di media perdana seolah-olah ia benar, walhal asalkan seseorang itu rajin berfikir sejenak, pembohongan ini mudah dikesan dan disedari,” tegas beliau.

Melayu tidak berpecah

Tuan Ibrahim turut menyangkal dakwaan Umno yang menggambarkan kewujudan parti politik menjadi punca perpecahan orang Melayu.

“Kalau kewujudan parti politik menjadi punca perpecahan, kenapa kita menerima sistem demokrasi yang mengizinkan wujudnya pelbaga parti politik, dan kenapa kerajaan meluluskan pendaftaran pelbagai parti politik khusnya parti berteraskan perkaumanan - kerana dengan meluluskan pendaftaran parti tersebut, kita mengizinkan rakyat Malaysia berpecah,” selar beliau.

Hakikatnya, terang Tuan Ibrahim, masyarakat Melayu tidak berpecah, mereka hanya berbeza pandangan dan sokongan kepada parti parti politik yang sah dari sudut perlembagaan.

“Bilamana kita menerima sistem demokrasi bermakna kita mesti bersedia untuk menerima perbezaan pandangan, sokongan dan kelompok yang berbeza.  Andainya ini diterjemahkan sebagai perpecahan, maka tentulah golongan yang menganggap demikian tidak memahami erti sistem demokrasi. Bahkan dalam satu parti, masih wujud kelompok- kelompok yang berbeza,” tambah beliau.

Tuan Ibrahim berkata rakyat mesti mesti bersikap terbuka dalam menilai sesuatu keadaan, kerana kalau perbezaan pandangan dan sokongan dianggap perpecahan, maka tindakan kerajaan meluluskan pendaftaran parti bersifat perkauman seperti Umno yang memperjuangkan Melayu, MIC yang memperjuangkan nasib kaum India, MCA yang memperjuangkan nasib kaum Cina mesti diharamkan.

“Kerana inilah punca utama wujudnya masalah besar perpaduan nasional dalam negara kita,” kata beliau.

Bagi PAS, katanya, parti menilai perbezaan bukanlah perpecahan, sebaliknya ia adalah perkara normal dalam mana-mana negara atau kelompok masyarakat sekalipun.

“Kerana itu, al Quran menjelaskan: "Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. –Al-Anfaal:63,” hujah Tuan Ibrahim.

Dalil tersebut, terang beliau menunjukkan bahawa penyatuan mesti berdasarkan nilai universal yang bukan bersifat bangsa, warna kulit, dan keturunan.

“Kerana ini bukan pilihan manusia. Tidak mungkin kita boleh menukarkan bangsa  Melayu  untuk menjadi Cina, India untuk ditular menjadi Jawa dan seterusnya. Yang boleh ditukar ialah sesuatu yang dalam pilihan manusia seperti agama (aqidah) kerana manusia boleh memilihnya.

Kerana itu, Islam tidak meletakkan soal agama sebagai unsur paksaan, kerana ia dibina di atas keyakinan seseorang,” kata beliau.

Namun, tegasnya, Islam menyarankan agar dakwah dilaksanakan di kalangan masyarakat agar Islam diketahui  dan difahami dengan sebenarnya. Kerana seandainya seseorang memahami dengan sebenarnya ajaran Islam yang bersifat universal ini, tentu ia akan menerima Islam sebagai agama pilihan.

“Bagi golongan yang tidak menerima bukanlah musuh, kerana yang dianggap musuh adalah yang menentang atau bersikap memusihi Islam. Ini adalah perkara normal  di mana-mana sistem pun. Golongan komunis tidak akan menerima kaum kapitalis dalam pentadbirannya,” jelas Tuan Ibrahim.

Kelantan yang menakjubkan

Uthaya Sankar SB, TMI, 16 Apr 2012

Ada sebuah peribahasa Tamil yang mengingatkan bahawa apa-apa yang didengar mungkin palsu dan apa-apa yang dilihat juga palsu; lalu tindakan terbaik adalah menyelidik sendiri sesuatu perkara.

Sambil berpegang pada peribahasa itulah juga saya memutuskan untuk tidak mempercayai bulat-bulat kempen besar-besaran pihak tertentu yang berusaha keras memberi gambaran paling negatif mengenai keadaan di Kelantan.

Akhirnya, apabila berada di Kota Baru pada 11-14 Mac 2012, saya berpeluang mendapatkan sendiri jawapan berhubung pelbagai perkara berkaitan Negeri Serambi Mekah yang mengamalkan corak pentadbiran “Membangun Bersama Islam”.

Kebanyakan maklumat yang sahih dan tepat ini saya peroleh menerusi perbualan santai bersama-sama pelbagai pihak yang sempat saya temui di sana. Misalnya rakan-rakan penulis yang sama ada berasal dari Kelantan atau kini tinggal di negeri itu.

(Persidangan OKU Darul Naim Peringkat Kebangsaan membuka peluang bertemu ramai insan istimewa.)

Tidak ketinggalan juga hasil perbualan bersama-sama sekian ramai golongan orang kelainan upaya (OKU) yang menghadiri Persidangan OKU Darul Naim Peringkat Kebangsaan di Hotel Raudah.

Saya juga berkesempatan bergaul bersama penduduk setempat yang cukup mesra dan tidak keberatan untuk berkongsi kisah dan pengalaman. Selebihnya, juga menerusi pemerhatian — bukan sekadar melihat, tetapi meneliti apa-apa yang berlaku di depan mata.

Selain daripada itu, pelbagai bahan bacaan yang diperoleh dari pejabat Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan juga amat membantu usaha mengumpulkan fakta sebenar yang malangnya kurang diketahui orang ramai; khususnya generasi muda.

Mutalib (kiri) dan Hidayah (kanan) yang mengiringi saya sepanjang lawatan.

Misalnya, buku “100 Fakta Kelantan Menerajui Perubahan” (2011) menyebut bahawa “sebahagian besar program yang dilaksanakan di Kelantan telah diciplak oleh Kerajaan Pusat dengan menampal label lain dan mengaku kononnya merekalah yang memulakan program tersebut”.

Saya tidak mahu menyokong mana-mana pihak dalam “pertikaian” ini, sebaliknya sekadar mahu meneliti sebahagian daripada perkara-perkara yang menarik perhatian saya mengenai kehebatan di Kelantan sejak 1990.

Abdul Mutalib Awang, pemuda berusia 23 tahun yang menjadi “pemandu pelancong” saya antara lain menceritakan mengenai Skim Az Ziwaaj iaitu bantuan bagi pasangan yang mahu mendirikan rumahtangga tetapi kurang mampu.

Skim berkenaan yang diperkenalkan pada 2011 memperuntukkan bantuan RM1,000 bagi individu berpendapatan kurang daripada RM700 sebulan.

Bagi keluarga miskin tegar, bantuan makanan asas berupa beras (10 kilogram sebulan) diberikan sejak Februari 2011 di bawah Skim Al It’aam.

Menurut sumber Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, sehingga September 2011, sekitar 8,100 penduduk miskin dari seluruh Kelantan menerima bantuan itu.

Kakitangan kerajaan persekutuan sudah biasa dengan jadual kerja lima hari seminggu. Rupa-rupanya, sistem ini mula-mula diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan memberi cuti pada Jumaat dan Sabtu.

Begitu juga dengan cuti bersalin 60 hari yang dinikmati kakitangan wanita. Dahulu, cuti hanya 42 hari. Kakitangan kerajaan negeri menjadikannya 60 hari supaya si ibu boleh meluangkan lebih banyak masa bersama bayi, serta untuk berehat.

Rakan-rakan penulis yang ditemui turut berkongsi pelbagai kisah dan maklumat positif.

Di Kelantan, apabila seorang wanita bersalin, si suami diberi cuti kebajikan seminggu supaya dia dapat membantu menguruskan dan menyediakan keperluan isteri.

“Hospital Bersalin An-Nisa dikendalikan doktor dan kakitangan wanita serta mengikut kaedah Islam. Selain memberi keselesaan kepada bakal ibu, hospital seperti ini juga menjamin ketenangan fikiran kepada semua pihak,” kata Nur Hidayah yang menjadi penyelaras program sepanjang saya berada di Kota Baru.

Saya juga diberitahu oleh seorang pak cik yang bekerja di sebuah rumah kebajikan anak-anak yatim mengenai Skim Kifalah Warga Emas yang diberikan tanpa batas kaum, agama dan fahaman politik.

Di bawah skim berkenaan yang diperkenalkan pada 2007, apabila warga emas (lebih 60 tahun) yang mendaftar meninggal dunia, sumbangan RM500 diberi untuk menguruskan jenazah. Baki RM1,000 pula akan diberi kemudian kepada warisnya.

Selain daripada itu, Tabung Serambi Mekah yang ditubuhkan pada 1991 bertujuan membantu golongan tua, daif, miskin dan uzur membaiki rumah. Tabung itu juga digunakan untuk pelaksanaan kerja-kerja bantuan berikutan kemusnahan akibat bencana alam dan kebakaran.

Bagi penduduk miskin tegar yang tidak mampu memiliki rumah, disediakan pula Rumah Dhuafat sejak 2007. Skim berkenaan juga boleh dimanfaatkan oleh keluarga yang menghadapi masalah berikutan rumah asal terbakar, rumah terlalu uzur, pendapatan tidak tetap atau mempunyai ramai anak/tanggungan.
Tabung Amanah Tok Kenali yang ditubuhkan pada 1992 adalah untuk membantu penduduk Kelantan yang cemerlang dalam pelajaran dan mahu melanjutkan pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Kerja-kerja meningkatkan taraf pendidikan sekolah agama rakyat dan pusat pengajian pondok juga tidak dilupakan.

Buku kecil ini memuatkan pelbagai maklumat dan fakta yang sangat menakjubkan.

Kota Baru diisytiharkan sebagai “Bandar Raya Islam” pada Oktober 2005. Pasti sahaja pelbagai pihak cuba memberi gambaran negatif terhadap perkara yang baik itu kerana mahu meraih “keuntungan politik”. Tidak perlulah dihuraikan lebih lanjut di sini.

Bagaimanapun, daripada apa yang saya perhatikan sendiri, pengisytiharan itu sebenarnya membuktikan komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan golongan ulama untuk melaksanakan secara lebih menyeluruh aspek-aspek pembangunan yang selaras dengan ajaran Islam.

Saya tidak akan terkejut jika masih ada pihak tertentu yang mahu memanipulasi usaha murni itu dengan cuba menyebarkan fitnah bahawa masyarakat Bukan Melayu dan Bukan Islam akan tertindas.

Penyebaran dakyah seperti itu membuktikan bahawa golongan tertentu tidak memahami ajaran sebenar Islam. Malah, kedudukan Kota Baru sebagai “Bandar Raya Islam” sejak 2005 menjadi bukti nyata bahawa tidak ada sebarang penindasan ke atas sesiapa.

Saya rasa bertuah kerana berpeluang mengalami sendiri suasana sebenar di Kelantan — khasnya di Kota Baru — dan dapat pula berkongsi maklumat itu bersama orang ramai.

Seperti kata Mahatma Gandhi, jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini kerana tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran.- The Malaysian Insider.

--------------------------------------------------------------------------------------------
* Uthaya Sankar SB akan mengendalikan Bengkel Cereka UPSR di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 21 April 2012.
Muflis: Speaker sah Syed Sobri hilang kerusi Adun
ROSLINDA HASHIM
16 April 2012
Datuk Syed Sobri Syed Hashim
ALOR SETAR - Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Dr Abd Isa Ismail mengesahkan Adun Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat ekoran laporan Jabatan Insolvensi membuktikan beliau sudah muflis sejak 7 April 2010.

Katanya, berdasarkan laporan rasmi itu, secara automatik Syed Sobri tidak boleh hadir Sidang Dun Kedah, bermula hari ini.

“Saya sudah maklumkan pada beliau melalui surat rasmi yang dihantar Ahad lalu bahawa beliau tidak boleh hadir sidang Dun sebab sudah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Insolvensi minggu lalu dan daripada laparon itu, Syed Sobri sudah pun diisytiharkan muflis sejak 2010.

Mengulas mengenai kekosongan kerusi Dun Kuala Nerang sejurus pengesahan itu, Dr Abd Isa berkata, ia perlu diisytiharkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sama ada kerusi Kuala Nerang perlu dikosongkan atau sebaliknya, bukan bawah bidang kuasa saya. Itu hak SPR untuk umumkan. Saya bercadang menghantar salinan dokumen berkaitan kepada SPR hari ini (semalam),” katanya.
Hadi: Isu hina raja helah 'kubur' isu penting
ROSLINDA HASHIM
16 April 2012
Hadi: Isu hina raja helah 'kubur' isu penting
ALOR SETAR - Pas menyifatkan dakwaan kononnya pemimpin pembangkang menghina Raja-raja Melayu sebagai helah menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi menenggelamkan isu yang lebih penting yang dibangkitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, isu terbabit sengaja ditimbulkan di saat PRU13 semakin hampir bagi menutup isu sebenar.

“Saya anggap itu berita PRU13. Isu ini sengaja dibangkitkan untuk menutup isu sebenar yang kita bangkitkan, antaranya pendedahan kewujudan 'task force' memberi kerakyatan kepada warga asing dan penipuan dalam proses mengundi,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Badan Perhubungan Pas Negeri Kedah, di Kompleks Pas Kedah di sini sempena lawatan kerja sehari ke Kedah, semalam.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendedahan beliau berhubung wujudnya pasukan khas yang bertanggungjawab memberi kerakyatan kepada warga asing di negara ini adalah isu yang lebih penting untuk diberi perhatian berbanding isu remeh yang dibangkitkan kononnya pemimpin pembangkang mempersenda Raja-Raja Melayu.

“Yang menjadi ancaman lebih besar kepada institusi diraja dan kedaulatan negara adalah kes babitkan warga asing, bukannya isu remeh seperti itu. Kes berkenaan yang sebenarnya akan menghakis institusi Raja-Raja Melayu dalam tempoh tertentu,” katanya.

Menurutnya, sekiranya berlarutan, tidak mustahil ia turut mengancam keselamatan negara.

“Warga asing ini berada di luar budaya perlembagan diraja, negara mereka tidak amalkan sistem beraja. Apabila mereka diberi kerakyatan dan mengundi, kesannya amat besar termasuk boleh menjejaskan kedaulatan institusi diraja,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pengamal perubatan, Dr Rahman Kadir dalam blognya mendedahkan beberapa pemimpin pembangkang didakwa bersikap biadap dengan mempersenda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu pada Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Rabu lalu.

Mahfuz berkata, gerakan Anti Pemalsuan IC (API) dibentuk untuk merangka tindakan bersesuaian bagi membolehkan dakwaan itu disiasat.

“Langkah pertama ialah menghantar memorandum tuntutan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk tubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat pendedahan itu,” katanya.

Mahfuz yang juga Pengerusi API berkata, semua maklumat yang diperolehnya hanya akan diserahkan kepada suruhanjaya terbabit bagi menjamin keselamatan sumber maklumat.

“Buat masa ini saya tidak dapat dedahkan maklumat. Saya berani katakan, gerakan pasukan khas itu beroperasi dari Pejabat Perdana Menteri,” katanya.
          
Menurutnya, berdasarkan laporan interim Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bersetuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat pemberian kerakyatan warga asing di Sabah.

“Secara tidak langsung, PSC mengakui perkara seperti itu berlaku di Sabah, tetapi saya cadangkan untuk semua negeri kerana difahamkan gerakan itu menyeluruh di setiap negeri,” katanya.

Mahfuz sebelum ini mendedahkan wujudnya pasukan khas ini, diketuai Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Osman Razak; Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Tajuddin Wahab dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
BN tidak wajar guna agensi awam jentera parti
Wartawan Sinar Harian
15 April 2012
Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
PADANG BESAR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) agar tidak memperalatkan pegawai dan agensi kerajaan untuk dijadikan jentera parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pegawai kerajaan yang bersubahat dalam perkara yang mencemarkan ketelusan proses PRU akan memberi kesan buruk kepada diri sendiri dan masa hadapan.

“Kerajaan Pusat wajar berhenti memperalatkan agensi kerajaan untuk dijadikan jentera PRU, sebaliknya memastikan pelaksanaan PRU tidak lama lagi diadakan secara telus demi memenuhi hak rakyat,” kata beliau sewaktu berucap di hadapan lebih 500 penyokong Pas sempena lawatan kerja sehari beliau ke Perlis di Balai Baru Beseri di sini, semalam.

Banyak pihak meramalkan PRU13 akan diadakan dalam waktu terdekat, kemungkinan bulan Jun ini.

Mandat semasa hanya akan berakhir April 2013.

Tiada ulasan: