Rabu, 25 April 2012

BILA PEKUNG2 YANG BUSUK TIDAK BOLEH DITUTUP LAGI...INI HASIL TANGAN2 KITA SENDIRI.....

Muhyidin pilih yang baik, tutup yang buruk

Lim Guan Eng, 24 Apr 2012
Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yang Berkeras Menegaskan Bahawa Sistem Pendidikan Kita Adalah Lebih Baik Berbanding Negara-Negara Maju Bukan Sahaja Menunjukkan Sindrom Penafiannya Tetapi Juga Terperangkap Dalam Alam Fantasi Serta Menimbulkan Keraguan Tentang Kecekapannya.

Rakyat Malaysia berasa bingung sekali lagi dengan kenyataan fantasi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rakyat Malaysia memandang tinggi sistem pendidikan di negara kita.

Muhyiddin telah dilaporkan berkata demikian selepas keputusan kaji selidik baru-baru ini oleh Introspek Asia, yang kononnya menunjukkan bahawa 55 peratus rakyat Malaysia dewasa percaya bahawa sistem pendidikan di negara kita setanding negara-negara lain, manakala 35 peratus mengatakan bahawa ia adalah “lebih baik berbanding negara-negara maju”.

Sebelum ini, Muhyiddin telah memilih untuk memetik sebahagian daripada Laporan 2011-2012 Global Competitiveness Index oleh World Economic Forum, dan  menggunakannya untuk membuktikan bahawa kualiti pendidikan di Malaysia adalah lebih baik berbanding Amerika Syarikat, German dan United Kingdom.
Jika ini benar, beliau harus menjawab kenapa tidak pernah ada seorang pun pemenang Anugerah Nobel dari Malaysia dan kenapa tiada satu pun universiti Malaysia yang termasuk dalam kedudukan 200 universiti yang terbaik di dunia? Atau kenapa, jika diberi pilihan, lebih banyak pelajar Malaysia memilih untuk belajar di Amerika Syarikat, UK dan German dan bukan di universiti tempatan?

Sekali lagi, Muhyiddin sekadar selektif dalam memilih statistik yang menyokong pandangannya. Sebagai contoh, dalam laporan WEF, beliau telah memilih penunjuk yang mencerminkan kaji selidik ke atas 87 “eksekutif perniagaan utama” iaitu satu sampel golongan yang lebih besar kemungkinannya merupakan golongan kaya yang duduk di bandar dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah awam yang terbaik jika tidak ke sekolah-sekolah swasta. Oleh itu, adalah tidak mengejutkan sekiranya mereka memandang tinggi sistem pendidikan tempatan.

Hakikat sebenarnya, realiti sistem pendidikan kita adalah jauh daripada gambaran cantik Muhyiddin. Daripada laporan WEF yang sama, kedudukan Kemasukan Pendidikan Menengah kita berada di tangga ke-101, lantas menunjukkan bahawa terdapat ramai pelajar yang tercicir selepas sekolah rendah dan oleh itu tidak dapat memperolehi pengajian tinggi. Kedudukan kita di tangga ke-101 ini meletakkan negara kita di bawah Thailand (94), Indonesia (91), Brunei (35) dan Singapura (17) di rantau ASEAN.

Perkembangan yang membimbangkan ini juga dicerminkan dalam Legatum Prosperity Index yang menunjukkan bahawa kadar kemasukan pendidikan menengah hanya 68%, dan meletakkan negara kita di tangga ke-81 di dunia.
Sementara itu, kadar kemasukan pendidikan tinggi pula adalah 36% ataupun tangga ke-59 di dunia, jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara OECD yang mempunyai kadar purata melebihi 50%.

Prestasi Malaysia dalam kriteria objektif seperti kadar kemasukan pendidikan rendah, menengah dan tinggi seharusnya lebih ditekankan berbanding dengan penunjuk pendapat seperti Kualiti Pendidikan. Oleh itu, tindakan untuk menguar-uarkan penunjuk-penunjuk subjektif dan mengabaikan penunjuk-penunjuk objektif adalah tidak bertanggungjawab dan mengalihkan perhatian daripada masalah-masalah dalam sistem pendidikan, termasuk kadar perciciran yang tinggi dan kadar kemasukan yang rendah di peringkat pendidikan menengah dan tinggi.

Statistik-statistik antarabangsa yang lain juga meletakkan sistem pendidikan di Malaysia di tahap yang rendah. Sebagai contoh, dalam Program for International Student Assessment (PISA) bagi tahun 2009 yang melibatkan 75 negara, Malaysia menduduki tangga ke-55 dalam keupayaan membaca, 57 dalam keupayaan Matematik dan 52 dalam Sains. Prestasi kita dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) juga telah menunjukkan kemerosotan secara berterusan sejak 1999 hingga 2007.

Data dan statistik daripada laporan-laporan antarabangsa yang berprestij telah menunjukkan bahawa terdapat krisis dalam sistem pendidikan Malaysia. Malah, rakyat Malaysia sebenarnya tidak memerlukan laporan untuk mengetahui bahawa terdapat masalah yang ketara dalam sistem pendidikan kita yang menghasilkan graduan-graduan yang tidak layak untuk mendapat kerja dan tidak mampu untuk berfikir secara kritikal. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mendapat pendidikan tinggi?

Malangnya, daripada mengakui kelemahan dan mencari penyelesaian, Menteri Pelajaran kita lebih suka menafikan dan mencuba untuk memperdayakan rakyat Malaysia dengan data selektif dan subjektif untuk mengaburkan kebenaran keadaan pendidikan Malaysia.

Dengan berkeras menegaskan secara berterusan bahawa sistem pendidikan kita adalah lebih baik berbanding negara-negara maju, Tan Sri Muhyiddin bukan sahaja menunjukkan sindrom penafiannya tetapi juga terperangkap dalam alam fantasi serta menimbulkan keraguan tentang kecekapannya.

T'ganu gugur saman royalti minyak secara senyap

Harakahdaily, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Umno telah menggugurkan saman royalti minyak yang difailkan 11 tahun yang lalu oleh kerajaan negeri di bawah PAS, lapor The Edge Financial Daily (TEFD).


(GAMBAR FAIL: Pemimpin kerajaan Terengganu yang mengetuai tindakan saman kepada Petronas dalam sidang media mereka untuk mengumumkan tindakan itu)

Bagaimanapun, TEFD berkata tiada butiran lanjut mengenai penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara kerajaan Terengganu dengan Petronas dan kerajaan persekutuan dalam permohonan yang difailkan 21 Mac yang lalu.

Seorang jurucakap Petronas berkata kes penyelesaian luar mahkamah tersebut dilakukan atas “menghormati persetujuan pembayaran royalti minyak dan gas.”

TEFD juga menjangkakan desakan untuk memaparkan segala butiran mengenai pembayaran royalti minyak dan cara kes tersebut diselesaikan di luar mahkamah akan meningkat dalam beberapa minggu akan datang.

“Akan wujud tekanan pada kerajaan persekutuan dan negeri untuk mendedahkan butiran penyelesaian luar mahkamah dan bagaimana pembayar kepada negeri di bawah tuntutan royalti akan digunakan,” akhbar harian tersebut memetik seorang peguam sebagai berkata.

Selepas enam bulan PAS menawan Terengganu iaitu pada tahun 2000, perdana menteri ketika itu,  Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat keputusan untuk menarik balik bayaran 5 peratus royalti minyak kepada negeri penyu tersebut.

Sebelum itu, sejumlah RM7.13 bilion yang dipersetujui dengan kerajaan negeri telah dibayar selama 22 tahun.

Duit royalti itu telah ditukarkan kepada wang ehsan, yang diberikan terus kepada pemimpin Umno di negeri Terengganu dan bukannya badan-badan di bawah kerajaan negeri.

Wang ehsan menjadi sebutan popular di zaman Tun Abdullah Badawi apabila tuduhan-tuduhan timbul bahawa dana tersebut dihabiskan dalam Piala Monsun dan Masjid Kristal di Terengganu.

Kerajaan negeri Terengganu telah menuntut sebanyak RM2.8 bilion untuk bayaran royalti selama 9 tahun semenjak bayaran royalti dihentikan pada tahun 2000. Tawaran kerajaan persekutuan sebanyak RM1.7 bilion telah ditolak.


(Sidang media yang dibuat MB Kelantan bagi memaklumkan tindakan saman kerajaan negeri Kelantan ke atas Petronas)

Jirannya, Kelantan turut menfailkan saman yang sama pada Mei 2010 terhadap kerajaan persekutuan untuk sumber minyak dan gas yang digali daripada penairannya.

Mei lepas, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mendapat RM938 juta daripada kerajaan persekutuan sebagai bayaran royalti.

Beliau berkata bayaran 5 peratus tersebut dibuat berdasarkan perjanjian 1975 antara kerajaan negeri dan persekutuan, yang juga ditandatangani oleh kerajaan negeri Kelantan.

Keputusan untuk membayar royalti kepada Terengganu tetapi tidak pada Kelantan oleh kerajaan persekutuan telah dikritik secara hebat kerana telah bercanggah dengan konsep federalisme.

Ekoran langkah terbaru tersebut, TEFD melaporkan para penganalisa politik menjangkakan kerajaan negeri dan persekutuan akan menghadapi tekanan yang besar untuk mendedahkan segala butiran bayaran royalti dan penyelesaian kes luar mahmakah ini.

“Selain itu, ada kesan sampingan yang lain, terutamanya Petronas, yang kini sedang berhadapan dengan saman daripada Kelantan atas keengganan membayar royalti, kata peguam korporat dan ahli industry,” tambah laporan itu.

'Grand finale' jom ubah demi rakyat ditukar 1 Mei

Harakahdaily, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Malam 'grand finale' program jelajah 'Jom Ubah Demi Rakyat Negeri Sembilan' yang dijadual 29 April ini ditunda kepada tarikh 1 Mei depan.

Program tersebut akan menampilkan tiga tokoh utama Pakatan Rakyat iaitu Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Koordinator program, Norizam Yassin berkata, penukaran tarikh itu dibuat bagi memberi tumpuan sepenuhnya untuk menggerakkan rakyat Negeri Sembilan turun ke himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

"Keseluruhan jentera jom ubah ini akan fokus kepada himpunan Bersih 3.0.

"Kita akan mengerahkan seramai mungkin rakyat negeri ini untuk turun 'duduk bantah' di Dataran Merdeka nanti," katanya pada satu sidang media semalam.

Turut serta pada sidang media itu, aggota skretariat lain termasuk Kerabat Diraja Negeri Sembilan Tungku Harmy Tunku Hanan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek, Ravi Munusamy serta Baharudin Haris.

Beliau turut memaklumkan program tersebut akan diadakan di Lot 1680 A, Kampung Jiboi Baru Ampangan.

Mohon Agong jangan perkenan bubar parlimen

Nazri Abdullah, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Anti Pemalsuan IC (API) hari ini menunut agar Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenan permohonan pembubaran Parlimen selagi penyiasatan berhubung isu task force pemberian IC tidak selesai.

"Kita menunut agar Tuanku tidak memperkenankan pembubaran parlimen sehingga Suruhanjaya Diraja selesai menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang perlu bagi membersihkan daftar pemilih daripada warga asing yang mendapat kerakyatan melalui pasukan khas ini," kata pengerusinya Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum serta sebahagian bukti berhubung dakwaan wujudnya task force IC itu kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini.

Selain itu Mahfuz juga turut memohon agar Tuanku menitahkan penggantungan tugas pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam task force itu.
.
Terdahulu Mahfuz mengetuai penyerahan memorandum dan bukti itu kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad di pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di Jalan Bukit Petaling di sini.

Selain melampirkan nama-nama mereka yang menganggotai task force itu, turut diserahkan hari ini sebahagian daripada 175,388 nama pemilih di seluruh negara yang tiada rekod dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Turut dikemukakan juga sebanyak 17,000 nama yang mempunyai nombor kod kelahiran 71 yang bukan berbangsa Melayu, Cina mahupun India.

Selain itu sejumlah nama yang ada dalam daftar pemilih yang didakwa terdiri daripada warga Nepal, Myanmar dan Filipina turut diserahkan.

Menurut Mahfuz, dengan penyerahan bukti-bukti itu, Majlis Raja-Raja dan juga Yang di-Pertuan Agong diharap berkenan untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara itu.

"Kita juga turut mencadangkan Tuanku melantik Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Kamil Awang untuk mengetuai suruhanjaya ini berdasarkan pengalaman dan keberanian beliau, atau mana-mana individu yang diyakini oleh Sri Paduka Baginda," katanya lagi.

Turut serta dalam penyerahan dan pertemuan sebelum itu adalah pimpinan serta ahli parlimen PAS termasuk Salahudin Ayub, Datuk Kamaruddin Jaffar, Dr Siti Mariah Mahmud, Mohd Firdaus Jaafar, Adram M
 
 
 

Umno Pulau Pinang kuda tunggangan Gerakan 

Harakahdaily, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendakwa pelantikan Teng Chang Yeow, Setiausaha Parti Gerakan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang yang baru memperlihatkan lemahnya pemimpin Umno Pulau Pinang sehingga tidak layak dilantik ke jawatan tersebut.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata pihaknya merasa hairan kerana dalam keadaan Parti Gerakan yang tidak memenangi sebarang kerusi di Pulau Pinang, mereka masih diberikan tempat istimewa sebagai Pengerusi BN.

"Sebaliknya jumlah kerusi BN di Pulau Pinang banyak dimenangi oleh Umno, tetapi mereka ditolak ke tepi.

"Keadaan ini menunjukkan bahawa Umno sebenarnya ‘kuda tunggangan’ Parti Gerakan sehingga akur dan tunduk dengan kehendak parti tersebut," katanya.

Pelantikan ini kata Riduan pastinya sebagai tamparan hebat kepada pemimpin ultra Melayu Pulau Pinang.

"Dimana perginya suara lantang pemimpin Melayu Umno Pulau Pinang yang kononnya mahu membela umat Melayu di sana.

"Mengapa tidak ada satu suara pun yang bangkit menentang keputusan Presiden Umno agar pemimpin Umno diangkat sebagai Pengerusi BN," soalnya lagi.

Menurutnya, pemimpin Umno P.Pinang sepatutnya merasa tercabar kerana mereka dipandang lekeh oleh pucuk pimpinan parti mereka sendiri sehingga tidak dipandang langsung untuk mengetuai BN di sana.

Keluarga Shahrizat masih kutip bayaran lumayan

Muhammad Faizal, 24 Apr 2012
PETALING JAYA: PKR hari ini mendedahkan bahawa keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masih lagi mendapat bayaran bulanan yang lumayan biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan aset NFC telah dibekukan.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli beliau mendapat bukti terbaru iaitu berhubung dua premis utama operasi NFC di alamat L-3A, No. 2, Jalan Solaris, Solaris Mont Kiara dan restoran mewah Meatworks di alamat 2G 3A, Jalan Solaris 5, Solaris Month Kiara.

Beliau juga berjaya mendapatkan rekod hakmilik dan nilaian kedua-dua hartanah dari carian rasmi dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Ianya merupakan empat unit ruang pejabat yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutu di Tingkat 3A, Jalan Solaris dimiliki bersama oleh Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya Wan Izanur Izran.

Salah satu unit iaitu Unit L-3A-3A berjaya dipadankan dengan carian harta di JPPH atas nama Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang dibeli pada harga RM814,550.

"Semakan pembayaran dari rekod kewangan NFC pula menunjukkan bahawa pada setiap bulan, NFC akan membuat dua pembayaran sewa pejabat seperti berikut, RM28,000 setiap bulan kepada Wan Shahinur Izran dan RM8,240 setiap bulan kepada Datuk Seri Mohamad Salleh," katanya pada sidang media hari ini.

Dua pengarah NFC ini kata Rafizi telah menyalahgunakan wang syarikat dengan mendapatkan pinjaman bank bagi hartanah yang kemudiannya disewakan kembali kepada syarikat.

Rafizi memberitahu, bayaran sewa yang dikutip oleh Mohamad Salleh iaitu RM8,240 sebulan bagi ruang pejabat bernilai RM814,550 adalah terlalu tinggi.

"Jika pembelian ini dibiayai dengan pinjaman selama 25 tahun pada kadar faedah semasa, bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM4,800 sebulan.

"ini bermakna Mohamad Salleh membuat keuntungan 72 peratus setiap bulan, iaitu kadar keuntungan yang terlalu tinggi dari wang rakyat," kata beliau lagi.

Sehubungan itu, PKR katanya akan membuat laporan polis susulan berikutan pendedaham ini agar Wan Shahinur Izran dan Mohamad salleh disiasat atas kemungkinan pecah amanah dalam urusan sewa beli hartanah yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutunya di Month Kiara.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula mempersoal langkah kerajaan sebelum ini kononnya telah membekukan semua aset NFC termasuk melantik sebuah firma perakaunan juga telah dinamakan dan dilantik oleh kerajaan bagi mengambil alih pengurusan.

"Dengan apa yang didedahkan hari ini, dua langkah yang diumumkan oleh kerajaan dalam parlimen sekarang menimbulkan tandatanya.

"Adakah ianya merupakan perkara biasa ataupun memang tidak ada sebarang tindakan diambil berkaitan berkenaan dengan pembekuan aset dan perlantikan firma perakuan sepertimana diumumkan, ini memerlukan penjelasan dari kerajaan," katanya.

Mohammad Shafee wakili kerajaan atau Najib?

Muhammad Faizal, 24 Apr 2012
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mempertikaikan kenyataan Peguam Datuk Mohamad Shafee Abdullah yang menimbulkan persoalan tanpa menjawab isu-isu pokok.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, akhirnya Mohamad Shafee tampil memberi reaksi terhadap isu beliau menghantar surat kepada hakim-hakim memohon penangguhan kes ekoran misi sulit di luar negara.

"Malangnya penjelasan beliau terhadap isu tersebut adalah mengarut langsung tidak menjawab isu pokok malahan mengundang lebih banyak persoalan.

"Sepatutnya sebagai seorang peguam yang handal beliau perlu menjawab sama ada beliau ada menghantar surat bertarikh 23 Mac 2012 kepada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya memohon penanggunah kes mulai 1 April hingga 25 April 2012," jelas Saifuddin pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Tambahnya lagi, peguam itu juga perlu menjelaskan adakah beliau juga ada memberi salinan surat kepada Perdana Menteri yang dialamatkan pejabat Perdana Menteri termasuk kepada Datin Seri Rosmah Mansor dialamatkan Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Menurut Saifuddin lagi, Mohamad Shafee perlu menjawab sama ada beliau ada menyatakan di dalam surat tersebut bahawa beliau telah dilantik oleh kerajaan Malaysia untuk menguruskan suatu tugasan sulit di luar negara yang mesti diselesaikan sebelum pilihan raya umum berlangsung.

"Banyak yang perlu jawab oleh peguam tersebut, adakah dalam tempoh 1 April hingga 25 April beliau benar-benar telah berada di New York, London, Dubai, Paris dan Basel atau beliau sebenarnya berada di Australia untuk menghadiri persidangan undang-undang seperti mana surat beliau kepada hakim bertarikh 9 April 2012.

"Mohamad Shafee hanya perlu menjawab jika benar beliau ada berkunjung ke Paris seperti mana beliau nyatakan dalam surat itu, adakah ianya mempunyai kaitan dengan perbicaraan kes pembelian kapal selam Scorpene yang turut membabitkan Perdana Menteri yang dinamakan sebagai saksi," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, PKR menuntut Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri tampil segera memberi penjelasan adakah benar kerajaan Malaysia melantik Mohamad Shafee sebagai peguam mewakili kerajaan walhal tugas itu sepatutnya dilaksanakan Peguam Negara atau Najib dan isteri sebenarnya melantik beliau sebagai peguam peribadi.

"Sekiranya Mohamad Shafee tidak dilantik oleh kerajaan Malaysia, tidak juga sebagai peguam peribadi serta tidak berada di tempat-tempat yang dinyatakan sepertimana alasan memohon dalam surat beliau, Najib perlu membuat aduan kepada Majlis Peguam agar tindakan dapat diambil ke atas beliau.

"Jika Najib terus berdiam diri, maka PKR memohon kepada Majlis Peguam untuk merujuk Mohamad Shafee sebagai satu kes pelanggaran disiplin," sambungnya lagi.

Saifuddin berpendapat jika dengan surat itu membawa kepada kejayaan peguam tersebut mendapat penangguhan kes sudah tentulah kesahihan surat tersebut adalah benar dan tidak boleh dipertikaikan lagi.

Tiada ulasan: