Isnin, 16 April 2012

JIKA KITA PERMATA...DIMANA PUN IA TETAP BERSINAR...LEBIH2 BEKERJA SEMATA2 UNTUK ALLAH...IKHLAS ..INILAH TUNTUTAN AGAMA ISLAM...

Seluruh bangkit bantah Lynas, bukan Kuantan sahaja

Khaulah Azwar, 15 Apr 2012


(Wan Hasrina [tengah] di perhimpunan bantah Lynas di Shah Alam)

SHAH ALAM, 15 April: Seluruh Rakyat Malaysia perlu bangkit menentang projek Lynas kerana ia bukan sahaja merbahaya kepada penduduk Kuantan tetapi juga seluruh negara.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) Wan Hasrina Wan Hassan  dalam sidang media  Anti Lynas di Dataran Shah Alam petang semalam menyeru orang ramai agar membantah projek itu.

"Saya menyeru agar semua rakyat malaysia  tanpa kira parti, jantina dan umur membuat bantahan secara aman kepada kerajaan pusat  kerana sekiranya projek lynas diteruskan ianya bukan beri kesan di negeri Kuantan, Pahang tetapi seluruh negara di Malaysia di sini," katanya.

Golongan wanita yang melahirkan anak juga akan berhadapan ancaman nyawa kesan rodioaktif, maka dengan itu seharusnya golongan wanita harus bangkit menentang projek Lynas ini bukan hanya mendiamkan diri, ujar Wan Hasrina.

"Kita saf pimpinan Pakatan Rakyat, Badan-badan bukan NGO, Mahasiswa-mahasiswa dan rakyat hari ini  hanya menjalankan  tanggungjawab  kita sebagai rakyat prihatin.

"Kita berhimpun secara aman untuk menyedarkan kerajaan Pusat agar hentikan projek Lynas ini.  Rakyat Malaysia harus menyedari kesilapan yang dilakukan kerajaan pusat," katanya.

Tanggungjawab  menolak projek lynas   bukan terletak kepada pimpinan Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR, DAP tetapi rakyat yang menyokong UMNO juga harus menentang projek ini.
"Semua rakyat harus bertanggungjawab", kata Wan Hasrinah merangkap Ahli Majlis Perbandaran  Ampang Jaya (MPAJ) Zon 1.

Himpunan aman yang dihadiri lebih 300 peserta berakhir jam 3.30 petang itu, penuh dengan laungan rakyat yang hadir dengan stop Lynas, stop BN, dan takbir.

Seluruh negara berhimpun bantah Lynas

Khaulah Azwar, 15 Apr 2012

(Bantahan Lynas 13 April lepas di Dataran Shah Alam)

SHAH ALAM, 15 April: Himpunan Anti  Lynas anjuran Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau bersama badan bukan kerajaan (NGO) di Dataran Shah Alam  petang kelmarin diadakan secara aman tanpa diganggu polis.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad  merangkap AJK PAS Pusat mendakwa  syarikat yang menjalankan projek tersebut diberi hak istimewa dan kedudukan luar biasa sehingga tidak perlu membayar cukai selama 12 tahun walaupun menerima keuntungan berbilion ringgit.

Beliau berkata,   "saya bersama saf pimpinan Pakatan Rakyat (PR) menyelar tindakan kerajaan pusat  (UMNO) yang seolah-olah lepas tangan terhadap keselamatan rakyat walaupun sudah sedia maklum.

Katanya, mereka sudahpun bentangkan isu ini   di Dewan Rakyat, projek Lynas bernilai jutaan ringgit itu akan menghasilkan sisa radioaktif.

“Kerajaan tidak akan menutup kilang ini sekiranya Pakatan Rakyat gagal membuktikan kilang itu tidak selamat. Nak buktikan macam mana lagi? Nak tunggu sehingga  semua rakyat mati baru terbukti ke?," tempelak beliau.

Sepatutnya, kata beliau, kalau terbukti ia selamat, baru dibuka, bukan sebaliknya.

Ada satu penjelasan yang boleh memberi penerangan kenapa kerajaan bertindak sedemikian rupa  kerana  pihak-pihak tertentu telahpun menerima duit dan sogokan, ujarnya.

“Pada pandangan saya, mereka telah diberikan duit atau dijanjikan duit berterusan sehingga kerajaan tidak sanggup untuk menukar keputusan yang dibuat,” selar Khalid.

Sementara itu, Dr Rani Osman, Pesuruhjaya PAS Selangor pula berkata, "kita kecam kerajaan pusat sekiranya mereka ingin meneruskan projek Lynas yang sudah pasti memberi ancaman seluruh rakyat Malaysia.

"Sekiranya mereka teruskan niat itu, kita daripada Pakatan Rakyat bersama badan-badan  bukan NGO tidak teragak-agak mengadakan bantahan besar-besaran seluruh negara.

"Janganlah mereka hanya mengaut keuntungan sebelah pihak sahaja tetapi memberi kesan  buruk kepada semua rakyat," katanya.

Dalam pada itu beliau juga mempertikaikan Slogan UMNO "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan".

Katanya, slogan yang UMNO sering laungkan  tidak menggambarkan mesra rakyat langsung.

Turut serta dalam himpunan itu adalah Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dan Pengerusi Solidariti Hijau SeMalaysia, Zulkefly Mohamad Omar.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamad Safwan Anang dan wakil ABU, Haris Ibrahim.

Difahamkan, himpuna  anti Lynas   diadakan serentak petang semalam, di 10 lokasi lain seperti di Pahang (Masjid Al-Fatah, Batu 3, Kuantan), Perak (Tapak kilang ARE Bukit Merah, Menglembu), Sarawak (Masjid At Takwa, Miri) dan Kelantan (Dataran Ilmu, Kota Bharu).

Lokasi lain yang turut terbabit adalah Negeri Sembilan (Taman Tasik Seremban), Kedah (Dataran Jam Besar, Sungai Petani), Johor (Masjid Daerah Batu Pahat), Melaka (Masjid Al Azim), Terengganu (Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu), Pulau Pinang (Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh).

Kilang bernilai RM700 juta di Gebeng, Kuantan diusahakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia.

Ia menimbulkan kontroversi kerana didakwa akan menghasilkan sisa radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Pemuda PAS Kubang Kerian lulus usul mansuh hutang PTPTN

Salmah Mat Husain, 15 Apr 2012
KOTA BHARU, 15 April: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Kerian telah meluluskan usul tergempar menghapuskan hutang PTPTN pada mesyuarat agung kali ke-38, semalam.

Usul berkenaan dibentangkan ketuanya Ustaz Hafiz Musa dan ianya diluluskan sebulat suara.

Katanya, menuntut memansuhkan bayaran PTPTN di negara ini adalah menjadi tanggungjawab bersama.

Katanya, ia juga selari dengan konsep Membangun Negara Berkebajikan, di mana pendidikan, perkhidmatam bekalan air, perkhidmatan perubatan dan kesihatan adalah tanggungjawab sosial kerajaan yang sewajarnya diberi percuma.

Hafiz seterusnya berkata, munculnya Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) telah menjadikan pembiayaan pengajian peringkat universiti sebagai satu perniagaan dengan kerajaan apabila  keuntungan telah diambil dengan cara memberi pinjaman kepada rakyatnya sendiri.

”Bermula dengan dikenakan kos pentadbiran sebanyak 4% yang kemudiannya difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

“Kemudian, ianya diturunkan kepada 3% dan sekarang ditukar pula kepada Pembiayaan Ijarah (1%),”ujar Hafiz lagi.

Sambungnya lagi, membiayai rakyat yang mendaftar untuk belajar di IPTA dan IPTS setiap tahun, negara hanya memerlukan sebanyak RM2 bilion.

“Adakah Malaysia tidak mampu mengeluarkan RM 2 bilion setahun, sedangkan ianya  mustahil kerana negera sekaya Malaysia tidak mampu mengeluarkan RM 2 bilion untuk pendidikan rakyatnya,”ujarnya lagi.

Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Kelantan berkata, cadangan menghapuskan pinjaman PTPTN adalah selari dengan dasar PAS menyediakan pendidikan sebagai tanggunjawab kerajaan.

Menurutnya, ianya bersesuaian dengan kemampuan kewangan negara dan diperlukan oleh generasi muda Malaysia.

Dengan ini Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Kerian mengusulkan menyokong penuh cadangan menghapuskan 100% pinjaman PTPTN dengan digantikan dengan mekanisma yang lebih sesuai.

Pemuda PAS sokong

sementara itu, Dewan Pemuda PAS negeri Kelantan turut menyokong usaha menghapuskan hutang PTPTN oleh golongan mahasiswa kini bagi menuntut hak mereka di negara ini.

Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, berkata dengan kekayaan negara dari pelbagai hasil khususnya minyak, tidak ada sebab kerajaan tidak mampu menghapuskan PTPTN.

Ketika diminta mengulas perkara itu, beliau meminta kerajaan perbetulkan jumlah sebenar peruntukkan PTPTN sebanyak RM28 billion sahaja dan bukannya RM43 bilion sebagaimana yang didakwa Perdana Menteri.

“Kita merasa kecewa kes NFC dibiarkan begitu sahaja, tetapi kes PTPTN ini kerajaan masih berdegil sehingga tidak mahu mendengar suara mahasiswa,”ujarnya.

Bukan itu sahaja, beliau turut mempertikaikan hutang Tan Sri Tajudin Ramli dalam kes MAS RM 589 juta dihapuskan. Hutang pelajar diburu sehingga hampir 400,000 orang disenarai hitam.

Sehingga kini mahasiswa masih berkhemah di Dataran Merdeka.

Perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) itu pada mulanya berkumpul di persekitaran Masjid Jamek Kuala Lumpur, sebelum berarak ke kompleks membeli-belah Sogo bermula semalam.

Pelbagai slogan bagi menarik perhatian pengguna jalan raya, antaranya 'Hidup Mahasiswa', 'Jahanam Kapitalis', 'Najib Altantuya', 'Mansuh PTPTN', 'Bangkit Mahasiswa' sambil memegang pelbagai kain rentang.

Manifesto penghapusan PTPTN

Abdul Hadi Jusoh, 15 Apr 2012
Manifesto penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) oleh Pakatan Rakyat (PR) jika mereka berjaya menguasai Putrajaya pada Pilihanraya Umum yang akan datang, makin begitu hangat diperbincangkan dengan pelbagai pandangan diutarakan, ada yang menyokong, tidak kurang juga yang membangkang.

Ada juga yang menganggap ia hanya sekadar isu ‘ pemanas’ untuk meraih sokongan kalangan pengundi-pengundi muda pada saat-saat akhir, sekiranya pilihanraya umum diadakan dalam tempoh yang terdekat, setidak-tidaknya seawal bulan Jun ataupun September 2012.

Namun, secara umumnya kalangan khalayak, khususnya dikalangan mahasiswa/i menyambut baik terhadap cadangan manifesto tersebut.

Di sebalik pandangan yang bercampur-baur, saya cuba untuk melihat dan menilai manifesto ini daripada perspektif yang berbeza.

Pada saya, bukan isu utama samada ia boleh dilaksanakan ataupun tidak. Angka RM46 billion yang dianggap sebagai kos penghapusan PTPTN, bukanlah satu masalah yang besar kepada kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat (walaupun ia masih belum berada di lapangan).

Ia memang boleh diperolehi dengan pelbagai instrumen yang ada. Juga, tidak perlu timbul isu kerajaan akan menjadi muflis ataupun papa-kedana, jika ada fokus dan keutamaan yang jelas serta telus dalam aspek pengurusan sumber kewangan yang ada.

Namun demikian, pada saya isu yang paling utama yang perlu dibangkitkan oleh kedua-dua belah pihak adalah implikasi secara jangka panjang kepada mahasiswa/I dan institusi yang terbabit, samada yang berstatus IPTA, mahupun IPTS pasca penghapusan. Memang tidak dinafikan, penghapusan tersebut akan memberikan ‘ nafas serta keyakinan baru’ kepada rakyat.
Iaitu, dengan menikmati kos pendidikan pada peringkat tinggi secara percuma dan tanpa sebarang liabiliti setelah tamat tempoh pengajian kelak.

Namun jika difikirkan secara mendalam,  ianya akan mencetus pelbagai implikasi jangka panjang yang kurang sihat kepada banyak pihak, tambahan jika tidak ada tindakan susulan dan kawal selia yang cekap serta telus terhadap pihak-pihak yang terlibat, khususnya institusi pendidikan tinggi dan juga mahasiswa/i yang terlibat. Berikut antara implikasi yang perlu diselami oleh pihak-pihak yang terlibat, samada yang mencetus atau yang membangkang terhadap perlaksanaan manifesto tersebut:

Pertama, bersangkutan dengan sumber dana yang ingin digunakan untuk merealisasikan hasrat ini. Sekiranya Pakatan Rakyat mengambil keputusan untuk menggunakan sejumlah tertentu daripada mana-mana dana awam dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan sebagainya untuk menampung kos penghapusan PTPTN, implikasi jangka panjang yang konsisten kepada nilai pelaburan serta pulangan kepada ahli-ahlinya perlu diambil perhatian.
Apakah ia hanya dianggap sebagai ‘qardhul hasan’ (pinjaman tanpa faedah) institusi-institusi tersebut kepada kerajaan? Jika benar, bagaimana pula ia akan dibayar balik? Dan, apakah jaminan yang ianya akan dibayar balik sepenuhnya?

Keduanya, penghapusan PTPTN secara angkanya akan menambahkan bebanan perbelanjaan mengurus kerajaan daripada dua aspek yang utama, iaitu pertama, untuk membayar semula pinjaman yang telah digunakan untuk menghapus PTPTN. Keduanya, untuk menampung kos yuran pengajian sepenuhnya.

Situasi ini akan menjurus kepada kemungkinan, merundumnya kualiti dan kecekapan IPTA-IPTA yang ada, kerana ia akan berdepan dengan pelbagai kekangan kos. Yang mana, akan menyaksikan penghijrahan pakar-pakar akademik yang berkualiti ke IPTS ataupun industri.

Juga, penyelengaraan IPTA-IPTA akan menjadi lebih tidak terurus, akauntabiliti semua pihak akan terabai, kerana ia telah dikuasai oleh ‘ mentaliti percuma’, akhirnya fasiliti IPTA akan menjadi seperti ‘ taman-taman permainan dan tandas-tandas awam’ yang ada di sekeliling kita.

Ketiga, tentang semangat dan nilai kecemerlangan akademik serta sakhsiah para pelajar yang kemungkinan besar akan terkesan dengan ‘mentaliti percuma’. Yang akhirnya, sekadar  melahirkan ‘graduan cukup makan’, dengan hanya sekeping pengiktirafan tanpa ‘value-added’ dan ‘ marketability’  yang sewajarnya.
Paling dibimbangi, akan berlaku lambakan graduan yang tidak sejajar dengan perkembangan ekonomi, yang seterusnya akan meningkatkan kadar pengangguran.

Keempat, masa depan IPTS-IPTS bumiputera yang berskala kecil yang selama ini banyak bergantung harap kepada PTPTN perlu juga dilihat secara serius.

Apakah kita merelakan mereka ‘ golongan tikar’ ataupun sekadar beroperasi dengan ‘jiwa dan raga’ yang cukup daif? Jika ini berlaku, peluang-peluang kerjaya akademik akan menerima tempias yang hebat, dan hanya mengharapkan IPTA-IPTA yang tempatnya sudah pasti amat terhad.

Justeru, untuk tidak menghampakan harapan rakyat, kedua-dua belah pihak perlu menggariskan satu pendekatan yang lebih telus dan praktikal untuk dilaksanakan, dan kembalikan semula kepada rakyat untuk dinilai berbanding dengan hanya penyelesaian melalui ‘ cakap-cakap politik’  yang tidak akan berpenghujung.

Pada saya, adalah lebih wajar jika PTPTN ditambah-baik dari sudut pengurusan sumber kewangannya daripada ia dihapuskan sepenuhnya. Agar satu hari kelak, ia akan menjadi sebuah institusi yang mampu berdiri di atas kaki sendiri dan mempunyai asas kewangan yang cukup kuat sebagai ‘ independent financier’ kepada institusi-institusi pengajian tinggi.
Pada ketika itu, adalah sesuatu yang realistik bagi rakyat menikmati pendidikan tinggi secara percuma, sebagaimana yang dinikmati di peringkat sekolah hari ini.

Antara saranan saya adalah seperti berikut:

Pertama, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu diberikan status dan hak untuk mencari dan mengurus sumber kewangan secara lebih proaktif dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pelaburan sebagaimana yang dilaksanakan oleh dana-dana awam yang lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji (LTH).

Kedua, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu diberikan hak untuk menerima sebahagian peratusan tertentu daripada Potongan Cukai Berjadual (PCB) yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Sebagai contoh, jika setiap orang pekerja membuat potongan cukai sebanyak RM100 sebulan, katakan 30% (RM30) perlu disumbangkan kepada PTPTN untuk dijadikan sebagai dana asas menjana aktiviti pelaburan mereka.

Ketiga, galakan lebih proaktif terhadap Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada golongan yang berumur 40 tahun ke bawah dengan skim dividen yang lebih ‘attractive’. Hasil kutipan daripada skim ini boleh digunakan oleh pihak PTPTN sebagai modal untuk lebih mengembangkan aktiviti perlaburan mereka.

Keempat, pembayaran balik pinjaman PTPTN tidak lagi bersifat 100% pada peringkat permulaan. Dengan adanya sumber kewangan yang kukuh, barangkali setiap pelajar yang meminjam dalam tempoh 3 tahun yang pertama, hanya perlu membayar katakan 70% daripada jumlah pinjaman mereka.
Itupun, setelah mereka mendapat pekerjaan yang tetap. Dan, peratusan bayaran baliknya akan terus berkurang untuk tahun-tahun yang mendatang sehinggalah pada satu tahap pendidikan peringkat tinggi dapat diberikan secara percuma sepenuhnya.

Kelima, laksanakan pengabungan IPTA dengan tujuan untuk meningkatan kualiti dan kecekapan pada kos yang lebih optimum. Barangkali, sejumlah 20 buah IPTA yang ada pada hari ini diseluruh negara dapat digabungkan menjadi 10 IPTA dengan mengekalkan jumlah pengambilan seperti biasa.
Bermakna, mana-mana fakulti atau jabatan yang dilihat saling bertindih antara satu sama lain, dapat digabung menjadi satu dengan turut memanafaatkan perkembangan teknologi dan ICT yang ada.

Keenam penubuhan Suruhanjaya Universiti Malaysia (SUM) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang akan menjadi ‘ regulator’ kepada IPTA/IPTS bagi membuat pantauan dan kawal selia terhadap operasinya agak sentiasa menepati piawai yang telah ditetapkan. Juga memberikan hak dan kuasa kepada SUM untuk mengambil tindakan mahkamah kepada mana-mana IPTA yang melanggari peruntukan yang telah ditetapkan.

Dengan ini, diharapkan ia dapat beroperasi dengan lebih telus dan cekap, yang mana pada tempoh jangka panjang mampu meletakkan pengurusan IPTA pada kos yang lebih optimum tanpa mengorbankan kualiti akademik dan sakhsiah graduan yang bakal dilahirkan. Tidak terkecuali juga kepada IPTS.

Saya mencadangkan agar diadakan diskusi terbuka secara professional dan telus diantara kedua-dua belah pihak dengan membentangkan pendekatan masing-masing dalam menangani isu penghapusan PTPTN ini. Iaitu dekat satu tekad, untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik, bukannya sekadar untuk mencari populariti demi meraih sokongan. Soal sokongan, biarlah rakyat yang menentukan.

Pendekatan yang bersifat defensif dari ‘kubu masing-masing’  tidak akan dapat menyelesaikan isu ini secara berkesan. Seolah-olah dilihat, masing-masing berada di posisi ‘ tarik tali’ , seketika ke kanan dan seketika ke kiri, tidak ada apa-apa solusi. Akhirnya, apa yang ditarik tidak diperolehi, apa yang digengam terlepas. Barulah pada ketika itu, masing-masing mula berputih mata.
Dan, apa yang lebih penting adalah nasib dan masa depan agama, rakyat dan negara yang diharus diperjudi semata-mata disebabkan perbezaan ‘manhaj’ politik masing-masing. Saya akhiri tulisan ini dengan satu ungkapan, ‘yang popular belum tentu benar, dan yang benar tidak semestinya popular’.  Wassalam.

Annuar Musa ditimpa malang lagi

Aslani M, 15 Apr 2012
KETEREH, 15 April: Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (gambar) mungkin ditimpa malang lagi selepas digantung dua tahun setengah terbabit dengan aktiviti bola sepak, malam tadi pula 50 orang pengikutnya mengisytiharkan keluar parti.

Lebih mendebarkan lagi apabila empat daripadanya merupakan penghulu Umno (Penyelia Pembangunan Mukim - PPM) dari empat mukim di Ketereh yang diketuai bekas PPM Lancang, Rafia Jusoh, 67.

Tiga lagi iaitu Sanusi Jaya (PPM Buluh Poh), Zakaria Awang Lah (PPM Kayu Rendang) dan Ismail Jaffar (PPM  Chegar). Selain itu Ketua Pemuda Umno Cawangan Lancang, Abdul Rahman Abdul Rahim.

Rafia yang lebih dikenali sebagai Paksu Ya menyerah borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada program ceramah yang diadakan di perkarangan rumahnya di Kampung Durian Pahit.

Ribuan hadir mengikut ceramah tersebut terpaksa bersila dalam kebun pokok dokong dan bendang kontang memandangkan perkarangan rumah Paksu Ya agak sempit.

Manakala kenderaan diletak sejauh hampir satu kilometer dan terpaksa berjalan kaki melintasi bendang padi jauh sayup mata memandang.

Paksu Ya yang dilantik sebagai penghulu kerajaan negeri ketika Kelantan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), kemudian dilantik pula  sebagai PPM selepas PAS mentadbir Kelantan pada 1990.

Jawatan disandangnya sehingga 2010 apabila tidak disambung lagi perkhidmatannya dan tempatnya diganti Ketua Cawangan Umno Kampung Durian Pahit.

Katanya, beliau sudah lama melihat rakyat terutamanya petani didera pemimpin Umno apabila cuba menyukarkan mereka mendapat bantuan di bawah kerajaan pusat.

“Paksu masih ingat baja cap dacing tidak diberi kepada penyokong PAS. PPM tidak mahu menandatangani borang permohonan milik mereka.

“Namun apabila datang ke sini Paksu tak kira terus tandatangan borang mereka tanpa mengira  penyokong PAS atau Umno. Paksu kasihan melihat mereka datang dari jauh kerana PPM di kampung mereka enggan menurunkan tanda tangan,” katanya ketika ditemui selepas ceramah tersebut.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, Yang Dipertua PAS Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh, anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir, Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood dan Ketua Penerangan PAS Ketereh, Abdul Manaf Abdullah.

Paksu Ya juga memberitahu beliau tidak sanggup lagi bersekongkol dengan pemimpin Umno apabila menggunakan setiap peluang projek kerajaan mendapatkan keuntungan peribadi.

“Kalau ada projek mesti dalam komisen. Makan projek kuat sangat di kalangan pemimpin Umno,”  ujarnya.

Beliau juga meluahkan rasa terkilan apabila dua anaknya yang cacat penglihatan sejak berusia 12 tahun tidak mendapat sebarang pembelaan pemimpin Umno biar pun acap kali memberitahu akan membantu.

Katanya, dua anaknya itu sekarang masing-masing berusia 36 dan 33 tahun tidak mendapat sebarang bantuan dan hanya awal tahun ini mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas dibantu kerajaan negeri.

Beliau juga memberitahu akan mengumpulkan lebih ramai lagi ahli dan penyokong Umno bagi menyertai PAS menjelang pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

(Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Mereka hanya boleh robohkan bangunan ini

Harakahdaily, 15 Apr 2012


(Gambar Pasti Bukit Katil sebelum dan selepas dirobohkan)

BUKIT KATIL, Melaka, 15 April: Bangunan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Bukit Katil dirobohkan oleh pihak berkuasa negeri Melaka Sabtu lalu.

Bagi bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka yang mendirikan Pasti ini, Azrin Abdul Majid, tindakan ini hanya boleh merobohkan bangunan ini.

"Mereka boleh meruntuhkan bangunan ini tetapi tidak akan dapat meruntuhkan roh dan semangat perjuangan kita sekali-kali.

"Ayuh, bangkit dan tumbangkan Umno/BN!" tulis Azrin dalam Facebooknya.

Bagi beliau, sejarah tidak akan terpadam.

"PASTI dan Markas ini didirikan semasa saya menerajui Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka dan Ketua Pengarah PASTI Malaysia.

"Ia adalah hasil pengorbanan pemimpin, ahli dan penyokong PAS," tulis beliau.

Menurut beliau, bangunan ini telah dirasmikan oleh Allahyarham  Datuk Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS pada tahun 2003.

‘Perkuburan 1Malaysia’ ada di kawasan Najib?

Harakahdaily, 14 Apr 2012

KUALA LUMPUR, 14 April: Penulis blog, Anak Sungai Derhaka menyebut gara-gara taksub dengan konsep ‘1Malaysia" yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, akhirnya agama Islam itu sendiri menjadi carca merba.


Sehubungan itu, beliau di dalam blognya, http://darisungaiderhaka.blogspot.com membongkarkan berita panas yang untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia kenapa perlu mereka menolak Umno BN pada Pilihan raya Umum akan datang.

Tulisnya, jika rakyat terus membiarkan mereka berkuasa, maka akhirnya agama akan terus diperkotakkatikkan sesuka hati oleh mereka yang berkuasa.

“Terbaru, kami berjaya membongkarkan sebuah kawasan tanah perkuburan ‘1Malaysia’ di Parlimen Pekan iaitu kawasan Najib itu sendiri.

“Sungguh mengejutkan apabila tanah perkuburan di Tanjung Agas itu menempatkan kubur Islam, Budha dan Kristian dalam satu kawasan tanah perkuburan, tanpa ada perasaan bersalah oleh pihak terbabit,” tulis beliau.

Menurutnya, selama ini ramai di kalangan mereka yang lalu lalang di sekitar kawasan terbabit tidak perasan dengan lokasi berkenaan.

Memang, katanya banyak kawasan seperti itu terdapat di sepanjang jalan dari Pekan ke Rompin, namun difahamkan ia melibatkan kubur Orang Asli.

“Namun, apa yang berlaku di Tanjung Agas ini agak menakjubkan, kerana ia bukan tanah perkuburan orang Asli tetapi juga menempatkan kubur orang Islam biasa.

“Soalnya sekarang, apakah Najib sedar dengan apa yang berlaku ini?” soalnya.

Justeru, katanya tidak timbul persoalan mereka iaitu orang Islam itu adalah Orang Asli atau tidak.


Apa yang penting mereka telah memeluk agama Islam, malah terdapat nama pada batu nisah tertera "Kechik Binti Muda" (kiri) yang letak bersebelahan dengan jirat Cina (bukan Islam).

Malah, tulisnya lagi terdapat juga kubur-kubur orang Kristian lain di kawasan terbabit.

Menurutnya, umum mengetahui bahawa kawasan Tanjung Agas itu kini majoritinya didiami oleh warga Kemboja yang diimport sebagai ‘pengundi tetap’ Najib di Parlimen Pekan.

Makanya, ujar beliau kemungkinan besar kubur Islam yang terdapat di situ ialah adalah orang Melayu Islam Kemboja.

“Anehnya, kenapa perkara ini terjadi?" tanya beliau.

Beliau juga mempersoalkan ke mana perginya Jabatan Agama Islam Pahang dan Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang  yang sepatutnya memantau kegiatan seperti itu.

Baginya, ternyata apa yang berlaku itu sungguh memalukan dan amatlah mengecewakan umat Islam sebenarnya, tambahan pula ia terjadi dalam kawasan PM, Najib Razak.

KP warga asing: PAS bimbang kecoh di hari mengundi

Muhammad Yusri Amin, 14 Apr 2012

KOTA BHARU, 14 April: PAS melahirkan kebimbangannya terhadap langkah memberikan taraf kewarganegaraan kepada warganegara asing secara berleluasa tanpa dibendung akan mengundang huru-hara terutama semasa pilihan raya berlangsung.

Justeru Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hassan yang juga pengamal undang-undang menegaskan Kerajaan Pusat perlu bertanggungjawab dengan apa yang bakal berlaku.

(Takiyudin menyampaikan hadiah dalam Pertandingan Kerajinan Tangan Wanita Dun Bunut Payong)


“PAS Pusat telah membuat satu keputusan untuk mendesak pihak Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kad pengenalan supaya memberikan respon kepada dakwaan kita," katanya.


Beliau mendakwa PAS mempunyai bukti kukuh bahawa pegawai-pegawal tinggi kerajaan di beberapa agensi bukan saja di Jabatan Pendaftaran Negara tetapi juga Majlis Keselamatan Negara serta Jabatan Perdana Menteri itu sendiri terbabit.

“Mereka (dengan pegawai-pegawainya sendiri) diarah untuk membuat sebanyak mungkin pemberian I.C warganegara kepada warganegara asing itu khususnya bagi ‘menampung kekurangan’ yang mereka rasa wujud di beberapa Parlimen termasuk di Parlimen Pekan, Pahang sendiri.

“Kita mempunyai bukti bahawa di Parlimen Pekan sendiri, warganegara daripada beberapa negara, antaranya Burma dan juga Bangladesh sedang diberikan taraf kewarganegaraan yang membolehkan mereka itu mengundi.

“Dan yang lebih berat lagi apabila diberikan kewarganegaraan, kad pengenalan, mereka itu didaftarkan terus  dalam kawasan parlimen-parlimen tertentu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bunut Payong bercakap kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Kerajinan Tangan Wanita Dun Bunut Payong di Astaka JKR 10 Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini tengahari tadi.

Beliau mengulas perkembangan menjelang PRU-13 membabitkan pemberian kad pengenalan kepada warganegara asing yang berada di negara ini oleh golongan tertentu.

Beliau mendakwa perkara itu juga berlaku di Kelantan di mana warganegara jiran yang diberikan kad pengenalan diletakkan terus di Dun tertentu dan dijadikan pengundi di situ.

“Dan kita memberi peringatan kepada Kerajaan Malaysia, kalau sekiranya mereka teruskan juga keadaan itu, (dipercayai) akan berlaku suasana huru-hara terutamanya samasa pilihanraya, bahkan akan adanya bantahan.

“Orang yang tidak tinggal dalam kawasan-kawasan pilihanraya tertentu itu, bahkan bukan berasal di situ dan tidak ada niat untuk tinggal di situ menjadi pengundi dalam kawasan itu, maka saya nampak akan jadi satu keadaan huru-hara dan Kerajaan Pusat perlu bertanggjungjawablah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa apabila disebut  kempimpinan tertinggi negara (terbabit dalam perkara itu), mereka itu secara automatiknya adalah ‘pemimpin tertinggi parti’ terutamanya Umno-Barisan Nasional (BN).

Salahudin diraikan di Kubang Kerian

Muhammad Yusri Amin, 14 Apr 2012

(Husam menyampaikan saguhati khas kepada Salahudin)

KOTA BHARU, 14 April: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub hari ini diraikan dalam mesyuarat agung PAS Kubang Kerian, kawasan parlimen yang beliau wakili.

Ini kerana, selepas ini Salahudin tidak lagi akan mewakili kawasan itu tetapi akan pulang ke Johor untuk bertanding di sana.

Salahudin menerima cenderamata khas dari Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Datuk Husam Musa.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah menyatakan kesediaan PAS Kelantan untuk melepaskan beliau.

Salahudin telah dua penggal mewakili parlimen Kubang Kerian iaitu sejak pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Beliau akan bertanding di Johor dalam pilihan raya ke 13 bagi memantapkan pasukan PAS Johor dalam menjayakan hasrat untuk menawan Putrajaya.


Najib tidak yakin

Ketika bercakap kepada pemberita, Salahudin mendakwa  walau pun banyak ‘habuan’ dicurahkan termasuk BR1M namun Perdana Menteri dirasakan tidak ada keyakinan untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihanraya Umum ketiga belas (PRU-13).

Bahkan, kata Salahuddin,  akan datang dilakukan penyenaraian Felda Global Ventures tetapi mereka dihambat dan dihantui pelbagai isu yang mereka sendiri tidak yakin.

“Jadi saya rasa, ini keadaan yang malang bagi Umno-BN, dan keadaan ini akan menjadikan rakyat lebih melihat jauh ke hadapan untuk mereka menukar driver walau pun Najib kata tak perlu tukar driver.

“Namun dalam hal demikian, mereka lihat Najib semakin tidak yakin (untuk membubarkan Parlimen dan meraih kemenangan dalam PRU-13)," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bercakap kepada pemberita selepas  Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kubang Kerian kali ke-38 di Pasir Tumboh dekat sini pagi tadi.

Turut hadir Adun  Salor yang juga Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Justeru Salahuddin mendakwa beliau cukup yakin rakyat Malaysia akan melihat Pakatan Rakyat (PR) sebagai pilihan mereka ke Putrajaya.

Masyarakat Miri sambut baik lawatan Mohd Sabu

Penerangan PAS Miri, 16 Apr 2012


(Mohamad dan pemimpin Pakatan Rakyat Sibu pada majlis dialog.)

MIRI, 16 April: Lawatan sambil kerja dua hari lalu Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu di Miri dan Sibuti mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan.

Pada sebelah malam, Mat Sabu telah bertemu dengan penduduk di Kg Lusut Jaya 1 di kawasan Lambir.

Walaupun pada mulanya perjumpaan bersama penduduk hendak diadakan di kawasan dewan masyarakat di Taman Tunku, tetapi di saat-saat akhir terpaksa dibatal disebabkan kerana ada halangan pihak tertentu.

Walau bagaimana pun program Mesra Rakyat bersama beliau tetap diteruskan, di Kg Lusut Jaya 1 di salah sebuah rumah penduduk.

Jalan menuju ke kampung tersebut agak teruk dan becak sewaktu musim hujan dan penduduk kampung tersebut sudah lama menanti janji pihak kerajaan untuk menurap jalan tersebut tetapi sehingga kini belum ada tanda-tanda jalan tersebut diturap dengan tar.

Pada keesokan hari, PAS Miri sekali lagi mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-3 di sebuah hotel di bandaraya Miri. Di antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak, Fidzuan dan juga wakil dari Pakatan Rakyat.

Ucapan dimulakan oleh YDP PAS Kawasan Miri, Jofri Jaraiee sebelum perbahasan berlangsung pada sebelah petangnya.

Mat Sabu merasmikan mesyuarat agung tahunan tersebut sebelum beliau bersama rombongan Pakatan Rakyat melawat kawasan Niah dalam kawasan Parlimen Sibuti.

Pada sebelah malamnya pula diadakan Dialog Pakatan Rakyat bersama beliau di sebuah dewan di bandaraya Miri di mana semua pimpinan Pakatan Rakyat hadir.

Pimpinan tempatan yang hadir adalah Jofri Jaraiee, Dr Micheal Teo selaku Ketua Cabang PKR Miri, Zuhaidah timbalannya dan wakil DAP Miri, Lim Su Kien dan lain-lain.

Pada malam tersebut, Mat Sabu menjelaskan isu-isu semasa, antaranya masalah wang rakyat yang disalahgunakan oleh pemerintah BN di mana sekiranya Malaysia terus diperintah oleh kerajaan BN selepas PRU13 nanti, negara ini akan jatuh muflis seperti Greece.

“Sekiranya 5 tahun lagi BN memerintah pada masa itu sesiapa saja yang hendak ambil alih kerajaan, BN akan serah terus kuasa tanpa perlu ada pengundian sebab pada masa itu negara sudah jatuh bankrap dan wang pun sudah habis digunakan oleh pemimpin BN,” katanya.

Semoga dengan kedatangan Mat Sabu ke Miri akan memberi semangat baru kepada Pakatan Rakyat di Miri dan seluruh Malaysia  untuk bersatu menumbangkan kerajaan BN pada PilihanRaya Umum ke-13 nanti.

Gambar pemimpin PAS bermewah terhangat

Harakahdaily, 15 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 15 April: Gambar perbandingan antara cara bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan isterinya dengan Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya ketika melawat rakyat menjadi artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke 15.


Perbandingan itu dibuat oleh naimnikmat.blogspot.com untuk membolehkan para pembaca Harakahdaily berfikir sejenak siapa yang perlu berpura-pura ketika melawat rakyat biasa kerana tidak biasa dengan kehidupan rakyat biasa.

Pada tangga kedua juga ialah tulisan blog karatijau.blogspot.com yang menyuruh pembaca meneka siapa anak mufti Umno dalam menyertai ceramah PAS di satu ceramah di Perak.

Pendedahan menggemparkan oleh bapa kepada Altantuya Shariibuu, Setev Shariibuu bahawa anak gadisnya pernah menunjukkan sekeping gambar bersama beliau, Datuk Seri Najib Razak dan Abdul Razak Baginda sebelum pergi ke Kuala Lumpur menjelang pembunuhannya menduduki tangga ketiga.

Di tangga keempat pula ialah sebuah ulasan mengenai kehidupan mewah Mohamad Nedim, anak kepada menteri dalam jabatan perdana menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Berita mengenai kerisauan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terhadap cara isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor memakai bag berjenama mahal pula menduduki tangga ke 5.

"Kita tidaklah perlu serang peribadi dia kerana orang ramai pun tak suka.


"Tetapi gila suka pakai bag mahal ini kita bimbang sikit, kerana bimbang wang negara digunakan," kata Abdul Hadi ketika ditemuramah Harakahdaily minggu lalu.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu, 8 hingga 14 April, 2012.

1
Gambar pemimpin PAS yang bermewah-mewah
2
Siapakah Anak Mufti Umno Bersama Ceramah Pas Ini..??
3
Altantuya tunjuk gambar Najib sebelum mati, dakwa ayahnya
4
Nedim, anak menteri yang tidak peduli publisiti negatif
5
Beg berjenama dan isteri pemimpin
6
Apabila artis dan sasterawan sertai PAS
7
Hanya 1 meter ombak landa Pantai Aceh
8
Jangan persulitkan beri tauliah untuk Ustaz Azhar
9
Gambar Rosmah tersipu malu popular minggu ke-14
10
Kisah Benar: Pengundi Hantu Marang 1990

Tiada ulasan: