Isnin, 9 April 2012

MELAYU KAUM ATAU BANGSA...ISLAM ITU AGAMA...DUA PERKARA YANG BERBEZA...ORANG MENGANUT ISLAM BUKAN MESTI PATUH DENGAN AJARAN ISLAM SEBAB DISESATKAN OLEH SYAITAN...ORANG MENUNTUT ILMU ISLAM SERTA MENGAMALNYA AKAN DAPAT MEMAHAMI ISLAM...DITAMBAH TAAT SERTA RAPATNYA DENGAN ALLAH...DENGAN MENINGGAL PERKARA YANG DILARANG TANPA BANYAK SOAL...BEGITU JUGA BAB SURUHAN...INGAT KITA DIDIK BUKAN CARA ISLAM SECARA TOTAL...

Pemuda PAS Sarawak kesal tuduhan Wan Junaidi

Harakahdaily, 09 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 9 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) berasa amat kesal dengan tuduhan tanpa asas Ahli Parlimen Santubong, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang jelas menunjukkan tahap berpolitik beliau yang kebudakan-budakan bagi seorang  yang juga memegang jawatan Timbalan Speaker Parlimen Malaysia seperti yang dilaporkan oleh media arus perdana Sarawak, semalam.

Dalam masa yang sama, kata Ketua DPPNS, Mohammad Arifiriazul Paijo (gambar), kenyataan Wan Junaidi itu juga menunjukkan tahap kefahaman Islam beliau yang rendah bagi seorang yang pemimpin masyarakat Muslim.

"Untuk pengetahuan Tuan Timbalan Speaker, PAS tidak pernah berubah pendirian dalam perjuangannya menegakkan Islam dan ajarannya yang meletakkan keadilan untuk semua tanpa mengira kaum dan agama sejak penubuhan PAS pada tahun 1951 lagi," katanya.

Jelasnya, asas kerjasama PAS dengan masyarakat bukan Islam adalah didasarkan dalil-dalil jelas daripada Al-Qur’an dan perjalanan hidup Nabi Muhammad baik di Mekah mahupun Madinah.

Katanya lagi, kerjasama antara masyarakat Islam dan bukan Islam dalam pembinaan sebuah negara yang makmur dan adil jelas dapat dilihat melalui Perlembagaan Madinah yang ditandatangani dan dipersetujui oleh semua orang Islam, golongan musyrikin dan Yahudi di Madinah pada waktu tersebut.

"Janganlah kita hanya sibuk menyambut Maulid Nabi tetapi dalam masa yang sama buta dengan kisah di mana pada zaman awal dakwah Nabi di Mekah, perjuangan Nabi dilindungi oleh beberapa pimpinan bukan Islam di sana.

"Kita juga perlu ingat bahawa ketika Nabi berhijrah ke Madinah, penunjuk jalan beliau dan Abu Bakar adalah seorang non-muslim. Kisah-kisah ini jelas menunjukkan keharusan bekerjasama dengan masyarakat non-muslim dalam menegakkan kebenaran dan keadilan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, sebenarnya bukan PAS tetapi BNlah yang bersifat seperti ‘chameleon’ atau ‘sumpah-sumpah’ yang boleh bertukar-tukar warna dalam memancing undi rakyat di mana di hadapan kaum Cina, BN menuduh DAP ditunggangi PAS, manakala di hadapan pengundi Melayu, BN memfitnah PAS ditunggangi DAP.

Menurutnya, dalam suatu majlis, Perdana Menteri BN berceramah panjang tentang kesederhanaan tetapi dalam ketika yang lain lebih RM400,000 dibelanjakan untuk majlis pertunangan puteri beliau.

Tambahnya, Kerajaan BN diwar-warkan sebagai berkebajikan dengan inisiatif BR1M tetapi dalam masa yang sama menghadiahkan lebih RM 500 juta dalam bentuk pelupusan hutang kepada bekas Pengerusi Eksekutif MAS, Tan Sri Tajudin Ramli yang telah menggagalkan syarikat penerbangan negara itu.

"Tuduhan Dr Wan Junaidi yang kononnya dahulu PAS memperjuangkan Negara Islam sehinggakan semua orang hendak diislamkan seperti yang dilaporkan di dalam Utusan Borneo semalam juga bukti nyata penyelewengan fakta yang amat serius oleh seorang Timbalan Speaker Parlimen.

"Sekiranya fitnah Dr Wan Junaidi ini benar, tentu sekali tiada orang bukan Muslim di Kelantan yang telah diperintah dengan jayanya oleh PAS selama lebih 20 tahun. Hakikatnya, penduduk bukan Islam di Kelantan adalah kelompok pengundi tegar PAS yang berdiri teguh menyokong kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya lagi.

Sebenarnya, tambah beliau isu PAS herhasrat meletakkan calon pilihanraya dari kalangan non-muslim bukanlah sesuatu yang baru di mana calon bukan Islam pertama yang diletakkan PAS ialah Saudari Kumutha Raman di Johor pada tahun 2008.

Beliau menambah, dalam masa yang sama perlu dijelaskan bahawa Pesuruhjaya PAS Sarawak dalam kenyataan beliau pada minggu lepas sebenarnya menyebut PAS Sarawak akan meletakkan calon Iban dalam PRU13 akan datang.

"Sebagai rakyat Sarawak yang cintakan keharmonian seharusnya kita berasa pelik dengan kenyataan Dr  Wan Junaidi yang pada hakikatnya bersifat cauvinis seolah-olah Islam ini hanya milik orang Melayu.

"Adakah seorang Iban semestinya seorang bukan Muslim?" soal Arifiriazul.

"Kita harus menerima hakikat bahawa Islam tidak mengenal ras dan kaum dan di Sarawak, telah pun ada kelompok masyarakat Cina, Iban, Bidayuh dan lain-lain yang telah memeluk Islam sejak sekian lama. Jelasnya, Islam bukan milik eksklusif orang Melayu, Kedayan ataupun Melanau," ujarnya.

Justeru, kata beliau, DPPNS menyeru semua rakyat Sarawak agar tidak mudah termakan dengan dakyah politik BN yang rasis dan penuh dengan penyelewengan fakta.

"Mari kita sama-sama berganding bahu membawa perubahan kepada negara dan negeri ini dengan menolak kezaliman dan ketidakadilan BN.

"Bagi PAS, kami jelas dalam perjuangan kami bahawa, the muslims are our brothers in faith and the non-muslims are our brothers in humanity," tegasnya.

Apa tindakan terhadap pencetus ketegangan kaum

Harakahdaily, 09 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 9 April: Menteri Dalam Negeri diminta menyatakan apakah tindakan yang telah dan akan diambil terhadap golongan yang berusaha mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.


Demikian pertanyaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (gambar) bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini yang bermula jam 10.00 pagi.

Berikuta adalah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli parlimen PAS, hari ini.

Mohd Firdaus Jaafar [Jerai] minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN menyatakan rasionalnya mewajibkan pengilang tiga barangan kawalan utama memaparkan logo 1Malaysia pada produk mereka.

Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan sama ada KeTTHA bercadang meminda RUU Bekalan Elektrik 1990 untuk memastikan pembangunan premis haram (tidak mendapat KM- Kebenaran Merancang) atau kelangsungan aktiviti haram dapat dikawal oleh PBT.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan bagaimanakah Kerajaan boleh menjamin pulangan tetap dan kedudukan komplian syariahnya Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA1M) yang khusus untuk golongan berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan dengan pulangan yang dijamin sebanyak RM13,500 dalam masa 5 tahun, pada setiap pembelian saham 5,000 unit saham pada harga RM1 seunit.

Mohd. Abdul Wahid Endut [Kuala Terengganu] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan hasil kajian terhadap tahap keselamatan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Kuala Terengganu serta laporan yang menyatakan stadium tersebut tidak lagi selamat untuk digunakan.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan tentang penyakit dan perosak padi seperti bena perang, siput gondang, ulat ratus dan karah, adakah Kerajaan bercadang mengatasi masalah ini dengan bantuan tanpa racun seperti bahan mesra alam dan lebih selamat selain daripada sumber racun yang boleh memberi kesan sampingan kepada pengguna.

Salahuddin Ayub [Kubang Kerian] minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan jumlah dan bentuk hubungan dagangan Malaysia dengan Israel dan nyatakan sejauh mana Malaysia mengambil bahagian dalam sekatan dagangan terhadap Republik Islam Iran.

Datuk Seri Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah wujud garis panduan di peringkat pihak berkuasa agama seperti JAKIM dan lain-lain tentang kehadiran pemimpin-pemimpin negara yang beragama Islam ke program-program keagamaan anjuran agama-agama lain.

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah tindakan yang telah dan akan diambil terhadap golongan yang berusaha mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Che Uda Che Nik [Sik] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan pendirian sebenar Kerajaan Malaysia dalam soal bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SRA dan SMAR), pada dasarnya Kerajaan tidak memasukan bajet sekolah-sekolah ini dalam Belanjawan Negara tetapi mutakhir ini (hampir pilihan raya) Menteri Pelajaran turun memberi bantuan kepada Sekolah-sekolah ini. Adakah ini bantuan pilihan raya atau bantuan untuk kemajuan sekolah-sekolah Agama Rakyat ini, sampai bilakah dasar ini akan berterusan.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapa peratuskah kenaikan gaji bagi Kumpulan JUSA dan premier dalam Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Datuk Taib Azamudden Md Taib [Baling] minta PERDANA MENTERI menyatakan jumlah syarikat Bumiputera yang dikenal pasti sebagai Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS) di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang telah ditubuhkan pada 2 Februari 2011.

Nasharudin Mat Isa [Bachok] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan justifikasi dan sebab pembatalan perjalanan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) ke destinasi KL Bandung, KL-Dubai, KL-Johannesburg dan beberapa laluan lain.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan adakah pihak Kerajaan bercadang untuk mengadakan pembentangan khas di Parlimen berkenaan pembangunan perikanan Tok Bali memandangkan projek ini adalah antara ikon pembangunan perikanan negara pada masa depan.

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan status terkini Jalan Raya Central Spine dari Bentong Pahang ke Gua Musang, Kelantan.

Pencalonan Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin sebagai Presiden Mesir

Nasrudin Hassan, 09 Apr 2012
1. Seluruh dunia dikejutkan dengan keputusan Ikhwan Muslimin secara rasmi meletakkan calon presidennya dalam pilihanraya akan datang dengan menamakan Ir Khairat Al Shater, Naib Mursyidul Amnya bagi calon Presiden Mesir 2012.

2. Setelah mengadakan mesyuarat tergempar sebanyak 3 kali pada akhir Mac lalu, akhirnya Majlis Syura Ikhwan Muslimin mencalonkan Ir Khairat Shater sebagai calon tatkala penamaan calon masih berbaki 7 hari lagi setelah dibuka 8 Mac lalu dan akan ditutup pada 8 April 2012.

3. Yang menariknya, pada mesyuarat kali pertama Majlis Syura Ikhwan Muslimin pada 16 Mac yang lalu, seramai 81 ahli menolak untuk Ikhwan Muslimin meletakkan calon Presiden. Hal ini kerana, mengikut ketetapan yang telah dipersetujuin pada April 2011 yang lalu bahawa mereka tidak sama sekali akan mencalonkan mana-mana anggota mereka.

4. Manakala pada 27 Mac yang lalu, mesyuarat kali kedua bagi Majlis Syura seramai 61 orang pula tidak menyokong dan ia menunjukkan kemerosotan berbanding mesyuarat yang pertama. Baru-baru ini iaitu tanggal 31 Mac 2012, mereka bersidang sekali lagi bagi membincangkan perkara yang sama berdasarkan suasana dan waqi’e semasa dan dalam persidangan tersebut seramai 56 orang menyokong, manakala 52 lagi membantah daripada jumlah ahli yang hadir menyuarat seramai 108 ahli (keseluruhan Ahli Majlis Syura seramai 110 orang). Dua orang lagi ahli iaitu Dr. Sa’ad Katatni dan Dr. Essam ‘Iryan tidak hadir kerana menghadiri Persidangan Ahli Parlimen Dunia.

5. Antara mereka yang tidak bersetuju dengan pencalonan jawatan presiden tersebut adalah Dr. Helmy, Sayed Enzily dan Mohammed Mahdi Akef, bekas Mursyidul Am yang lalu akan tetapi kesemuanya berlapang dada dan thiqah terhadap keputusan yang telah dipersetujui tersebut.

6. Sumber mengesahkan bahawa, antara sebab Ikhwan Muslimin terpaksa menamakan calon daripada mereka adalah kerana melihat kepada kerajaan sementara dan tentera seolah-olah tidak mematuhi segala perkara yang telah diputuskan oleh Parlimen,satu-satunya institusi yang dipilih oleh rakyat ketika ini dan juga tidak menghormati kehendak rakyat iaitu supaya kerajaan awam diserahkan kepada rakyat, bukannya diperintah oleh tentera.

7. Sebelum daripada itu juga, Ikhwan Muslimin telah mengadakan rundingan dengan beberapa calon Islamik yang lain iaitu Syeikh Hazim Solah Abu Ismail, Abdul Mun’iem Abul Futouh dan Dr.Salim al-Awwa untuk berbincang berkenaan pencalonan Presiden akan tetapi Ikhwan Muslimin melihat bahawa terdapat beberapa perkara yang menyebabkan mereka terpaksa menamakan juga calon daripada mereka dan kesemua calon tersebut kurang menepati kriteria yang dikehendaki oleh mereka untuk membolehkan mereka membuat ketetapan menyokong mana-mana calon tersebut.

8. Terkini, sehari sebelum penamaan calon ditutup, Ikhwan Muslimin dan parti politiknya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) memutuskan mencalonkan Presiden parti itu, Dr.Mohammad Mursi sebagai “calon simpanan” bagi jawatan Presiden jika sebarang kemungkinan berlaku kepada Khairat Shater. Ini kerana Shater sebelum ini berhadapan dengan tuduhan yang direkacipta oleh mahkamah tentera di zaman Mubarak yang disabitkan kesalahan dan dihukum penjara. Beliau baru dibebaskan setelah berlaku Revolusi 25 Januari dan kesnya masih belum selesai dan sedang diusahakan oleh para peguamnya untuk digugurkan.

9. Walau bagaimanapun, kes beliau itu hanya sebagai tuduhan yang dicipta dan Lajnah Undang-Undang Ikhwan Muslimin dan FJP telah bersepakat kondisi Shater sekarang selamat dan tidak mempunyai apa-apa masalah dari sudut perundangan kerana kesnya sekarang hanya bersifat teknikal untuk digugurkan.

10. Walau bagaimanapun, Ikhwan dan FJP melihat pihak Majlis Tentera sendiri yang cuba mengotorkan proses Pilihanraya Presiden. Hingga kini, terdapat empat nama mereka yang pro-Mubarak telah disahkan bertanding. Mereka ialah bekas Naib Presiden dan juga Ketua Perisikan di zaman Mubarak, Omar Suleiman, bekas Perdana Menteri Mubarak, Ahmed Syafiq, bekas Ketua Liga Arab ‘Amr Mousa dan Mansour Hasan.

11. Berikut jadual perjalanan Pilihanraya Presiden Mesir 2012 seperti yang diumumkan:

8 April: Pencalonan bagi Presiden Mesir ditutup tepat jam 12 tengah hari

9 April: Jawatankuasa Pilihanraya Presiden Mesir (JPPM) akan umumkan calon yang diterima borang

10 dan 11 April: Tempoh mengemukakan sebarang bantahan terhadap calon bermula jam 8 pagi hingga 8 malam. JPPM akan mengadakan perbincangan berkaitan bantahan yang dikemukakan.

16 April: JPPM mengumumkan keputusan bagi bantahan-bantahan yang diterima

26 April: JPPM akan mengumumkan calon yang sah bertanding

30 April: Tempoh kempen bermula dan tempohnya hanya 21 hari

11 hingga 17 Mei: 7 hari masa diberikan bagi rakyat Mesir di luar negara mengundi

20 Mei: Tempoh berkempen tamat

23 dan 24 Mei: Rakyat Mesir dalam negara membuang undi

30 Mei: Pusingan ulangan dan tempoh berkempen dibuka semula selama 15 hari

3 hingga 9 Jun: Selama 7 hari lagi rakyat di luar negara membuang undi

15 Jun: Tempoh berkempen tamat pada tepat jam 12 tengah hari

16 dan 17 Jun: Rakyat dalam negara mengundi buat pusingan kedua

18 Jun: Pengiraan undi dijalankan

19 Jun: JPPM membuka sebarang bantahan terhadap proses pilihanraya

21 Jun: Keputusan penuh dijangka diumumkan

30 Jun: Presiden baru mengangkat sumpah jawatan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Salam Perjuangan dari ~ Aku Pejuang IsLam ~ [ API ]

Islamkan Melayu, bukan Melayukan Islam

Harakahdaily, 08 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 8 April: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menegaskan faham memperjuangkan Melayu perlu diperbetulkan oleh pihak tertentu yang ghairah dengan slogan membela nasib orang Melayu.


“Teras menolak faham bahawa Islam boleh diperjuangkan melalui slogan bangsa kerana kemuliaan Islam tidak terikat dengan bangsa.

“Malah sebaliknya bangsalah yang terpaksa bersandar kepada Islam jika nasibnya mahu diperjuangkan,” kata Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Jelasnya, Islam membawa konsep rahmatan lil alamin, bermakana Islam adalah untuk semua kaum dan semua makhluk.

Justeru, ujarnya memperjuangkan kemelayuan berdasarkan sikap dan faham assobiyah  melulu akan merosakkan asas perjuangan Islam peninggalan para pejuang Islam terdahulu.

Katanya, Teras menegaskan apa yang perlu ditekankan ialah mengukuhkan keIslaman orang Melayu dan bukan meMelayukan Islam seperti yang diluahkan oleh laungan pihak yang cuba menonjolkan perjuangan Melayu secara emosional.

“Wujudnya kelompok yang ghairah menekankan kepentingan bangsa di luar batas syariat adalah tertolak dan tidak dapat diterima.

“Malah kami berpendapat bahawa jika kelompok yang hanya melihat persoalan bangsa dari kacamata bangsa semata-mata adalah perjuangan yang batil dari sisi Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Teras, kata beliau menyatakan bahawa perjuangan Umno yang dipersoalkan sekarang adalah lantaran perjuangannya tidak berdasarkan Islam malah telah sarat  diserap dengan faham sekularisme yang ditolak oleh Islam.

Tambahnya, tatkala perjuangannya adalah atas nama bangsa semata-mata akhirnya nasib bangsa Melayu tidak dapat ditingkat secara hakiki lantaran fahaman assobiyah yang tebal.

“Sebab itulah bangsa lain tidak dapat melihat keindahan atau konsep yang boleh diyakini dan dipercayai yang dibawa oleh Umno  kerana setiap kali timbul isu mengenai hak bangsa , hujah yang diketengahkan ialah kedudukan istimewa orang Melayu,” ujarnya.

Beliau menambah, sementara Teras tidak menolak peruntukan Perlembagaan , namun sepatutnya yang diperjuangkan ialah sejauh mana Islam menjadi dasar untuk mempertahankan kedudukan bangsa dan bagaimana bangsa Melayu berhak untuk melaksanakan Islam dalam kehidupannya berlandaskan kewajipan agamanya.

Beliau menjelaskan, Teras khuatir dengan slogan yang terlampau mengenengahkan persoalan bangsa Melayu yang lebih ketara dari persoalan menegakkan  Islam pada diri bangsa Melayu itu sendiri.

“Nasib bangsa Melayu hanya dapat dipertahankan dengan penerimaan Islam sepenuhnya tanpa sebarang penolakkan aspek Islam berdasarkan fahaman assobiyah.

“Manakala tuntutan Melayu dijadi agenda yang lebih diutamakan manakala agenda Islam dinomborduakan, maka asas perjuangan akan tersasar dari apa yang dituntut oleh Islam itu sendiri,” ujarnya lagi.

Justeru, kata Mohd Azmi, Teras khuatir dikebelakangan ini kelompok yang ingin menjadi penyuara lantang kepada hak orang Melayu akhirnya menjadi fitnah kepada Islam kerana apa yang diangkat adalah di atas pertimbangan politik perkauman bukan atas dasar kebenaran dan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam.

Tiada ulasan: