Khamis, 5 April 2012

SEGALA KEJAHATAN...PENIPUAN SERTA YANG SAMA DENGANNYA TERBUKA JUA...KITA TAK BOLEH MELAWAN KEHENDAK ALLAH DAN HUKUMAN DARI ALLAH...BERTAQWALAH....

Mahfuz pertahan dakwaan 'task force' wujud

Salmiyah Harun, 05 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 5 April: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertahankan dakwaanya wujud task force dalam masa yang sama beliau bersedia mendedahkan butiran terperinci kepada Suruhanjaya Diraja nanti.

Beliau juga bersedia membantu Suruhanjaya Diraja yang akan dibentuk untuk meneliti semua dakwaannya berhubung wujudnya 'task force' untuk memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

Bahkan beliau sudah menjangka akan ada penafian oleh individu-individu yang dinamakannya semalam, antaranya Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

"Saya sudah menjangka mereka yang saya sebut semalam akan menafikan. Penafian mereka membuktikan dakwaan saya benar. Mereka boleh menafikan, biar Suruhanjaya Diraja menjawab," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Hari ini, Wan Ahmad Wan Omar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Mahfuz, bahawa beliau terlibat dalam 'task force' yang didakwa memberi kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi.

Wan Ahmad menyifatkannya sebagai satu perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab oleh Mahfuz.

Mahfuz menegaskan Wan Ahmad hanya menafikan beliau tidak terlibat bukannya menafikan wujudnya 'task force' sebagaimana yang didakwanya semalam.

Malah dalam masa yang sama katanya, Wan Ahmad juga tidak menafikan wujudnya pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing.

Bersandarkan kenyataan itu, Mahfuz menyifatkan Wan Ahmad bersama-sama dengan beliau menyedari kewujudan pendaftaran warga asing dalam daftar pemilih.

"Saya minta beliau duduk bersama saya (tubuh Suruhanjaya DiRaja) dengan segera," katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab juga menafikan beliau terlibat dan menyifatkan dakwaan Mahfuz adalah tidak benar.

"Saya tidak tahu apa-apa," kata Thajudeen Abdul Wahab.

Vale: Nizar cabar Zambry dedah semua dokumen

Muhammad Faeez, 05 Apr 2012
IPOH, 5 April: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir perlu mendedahkan semua dokumen tentang projek pusat pengagihan bijih besi Vale International kepada umum.


Ketua Pembangkang Dun Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Zambry tidak boleh memilih dan mendedahkan satu surat sahaja tetapi perlulah mengemukakan semua surat-surat termasuklah surat kelulusan projek oleh Kerajaan BN.

“Zambry perlu dedahkan semua dokumen termasuklah minit-minit mesyuarat, dan perjanjian antara kerajaan dan pihak Vale,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri Perak, hari ini.

Menurutnya, surat yang didedahkan oleh Zambry semalam telah menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat ketika itu akan mempertimbangkan cadangan projek di teluk Rubiah jika ianya telah mematuhi syarat oleh Ministry of International Trade and Industry (MITI) dan Pejabat Tanah dan Galian.

“Kita (Pakatan Rakyat) memberikan kebebasan kepada pelabur serta kita raikan mereka dan kita akan membuat keputusan  setelah kita mendapat laporan-laporan daripada agensi-agensi kerajaan termasuklah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ministry of International Trade and Industry (MITI), Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Pertahanan, dan  Environmental impact Assessment(EIA),” ujarnya.

Nizar menjelaskan, surat yang didedahkan oleh Zambry semalam hanyalah surat meraikan pelabur untuk melabur dan bukannya surat kelulusan.

“Saya cabar Dr Zambry tunjukkan kepada rakyat semua surat yang Vale terima untuk menjalankan projek itu.

“Selepas semua dokumen didedahkan barulah rakyat tahu siapa sebenarnya berbohong,” tegasnya.

Katanya, Pihak Vale sudah berjumpa dengan kerajaan BN sebelum Pakatan Rakyat memerintah dan inginkan projek tersebut dijalankan di Teluk Rubiah.

“Selepas  Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan, Vale berjumpa dengan kami dan mengemukakan dua cadangan tempat iaitu di Bagan Datoh dan Sagari, tetapi bukan Teluk Rubiah,” jelasnya.

Semalam, Menteri Besar, Dr Zambry telah mendedahkan surat yang ditandatangani oleh Menteri Besar ketika itu, Nizar tentang sokongan terhadap projek Vale dan kesahihan kandungan surat berkenaan.

Daripada surat yang dikeluarkan itu, ada dinyatakan bahawa Nizar selaku Menteri Besar ketika itu mengutus surat sokongan kepada Pengarah Pemasaran Komersial Vale, Mr Renato Neves.

Nizar mengakui kesahihannya surat itu namun ianya hanya surat sokongan dan bukannya surat kelulusan projek.

Beliau sangat seronok dan berterima kasih kepada Dr Zambry kerana mendedahkan surat sokongan terhadap projek tersebut kerana ianya telah menggambarkan hubungan baik antara Kerajaan Pakatan Rakyat kepada pelabur.

Sidang Dewan Undangan Negeri Perak hari ini bersidang untuk hari ketiga dan akan berakhir pada hari Isnin minggu hadapan.

PTPTN boleh dimansuh jika ada kemahuan politik

Dr Zuhdi Marzuki, 05 Apr 2012
Pusat Penyelidikan PAS (PPP) berpandangan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dimansuhkan sekiranya ada kemahuan politik (political will) yang kuat oleh parti yang memerintah. Sehubungan dengan itu, cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk memansuhkan PTPTN bukanlah janji politik yang populis dan tidak dapat dicapai. Malah, PPP melihat perlaksanaan PTPTN telah menyebabkan rakyat Malaysia semakin terhimpit dengan hutang sekaligus mengurangkan kuasa beli mereka.
Pinjaman pendidikan PTPTN juga akan melebarkan lagi jurang kaya-miskin yang telah sedia buruk di Malaysia, di samping meningkatkan jumlah golongan muflis di waktu usia muda. Oleh sebab itu, dari segi jangka panjang, situasi-situasi yang timbul akibat pelaksanaan PTPTN ini boleh menjejaskan ekonomi negara.

Cadangan PR untuk memansuhkan PTPTN bukanlah sesuatu yang mustahil. Dalam konteks ini, PPP telah mengenalpasti beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan sekiranya PR berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-13. Salah satu kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memansuhkan PTPTN ialah dengan memberikan pendidikan percuma sehingga ke peringkat pendidikan tertiari di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Sebenarnya, pendidikan percuma di peringkat tertiari ini semakin menjadi trend yang diikuti oleh kebanyakan negara-negara di dunia termasuklah negara-negara membangun.

Beberapa negara yang telah memperkenalkan pendidikan percuma di peringkat tertiari ini ialah Argentina, Brazil, Cuba, Mauritius, Malta, Kenya, Morroco, Libya, Sri lanka dan lain-lain, selain daripada beberapa negara Eropah.
Perlaksanaan pendidikan percuma di peringkat tertiari ini bermaksud memberi yuran pengajian percuma kepada pelajar-pelajar IPTA dari peringkat ijazah Sarjana Muda atau mungkin juga boleh dilanjutkan ke peringkat Master atau PhD.

Pemberian yuran pengajian percuma kepada pelajar-pelajar Sarjana Muda di IPTA tempatan sebenarnya memerlukan peruntukan sekitar hanya RM 450 - 500 juta setahun. Berdasarkan jumlah kemasukan pelajar-pelajar Sarjana Muda ke IPTA-IPTA tempatan pada tahun 2011 yang berjumlah 61228 orang, maka anggaran keseluruhan pelajar-pelajar Sarjana Muda di seluruh IPTA pada tahun tertentu ialah sekitar 180,000 orang.

Dengan mengambil kira jumlah yuran pengajian yang berbeza mengikut bidang pengajian masing-masing dan juga yuran mengikut universiti, anggaran purata yuran pengajian yang perlu dibayar oleh setiap pelajar IPTA ialah RM2,500 setahun. Oleh sebab itu, jumlah keseluruhan yuran pengajian yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan ke atas 180000 orang pelajar Sarjana Muda bagi tempoh setahun ialah sekitar RM 450 juta.

Peruntukan RM 450 – RM500 juta setahun untuk melaksanakan pendidikan percuma di peringkat tertiari ini jauh lebih rendah daripada peruntukan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang berjumlah RM 759.9 juta pada tahun 2011. Tidak dapat dinafikan bahawa menerapkan semangat patriotism terhadap negara, pembinaan sahsiah yang baik, memupuk perpaduan di kalangan generasi muda dan lain-lain objektif yang disasarkan oleh pelaksanaan PLKN adalah penting kepada masa depan negara.

Bagaimanapun, kesemua objektif ini sepatutnya boleh dicapai melalui sistem pendidikan negara yang selalu dilaungkan oleh pimpinan kerajaan hari ini sebagai antara yang terbaik di dunia. Dengan unjuran perbelanjaan PLKN akan melebihi RM 1 billion pada masa hadapan, sewajarnya program ini dikaji semula sekiranya PR memerintah, dan jumlah peruntukan tersebut akan dapat menampung pemberian pendidikan percuma di peringkat tertiari yang dilihat lebih bermanfaat.

Selain daripada itu, kerajaan PR akan datang juga perlu mengkaji keperluan untuk menghantar pelajar-pelajar ke luar negara yang menelan belanja hampir RM 1.5 billion setahun. Jumlah peruntukan ini adalah begitu besar yang sepatutnya boleh digunakan untuk membiayai lebih ramai pelajar di peringkat tertiari. Penghantaran pelajar-pelajar ke luar negara perlu dikurangkan dengan memberi tumpuan hanya kepada bidang-bidang yang benar-benar diperlukan dan juga kepada pelajar-pelajar ijazah lanjutan.

Dengan mengurangkan separuh sahaja peruntukan menghantar pelajar-pelajar ke luar negara kepada RM 750 juta, kerajaan PR sebenarnya boleh menambah lebih sekali ganda jumlah pelajar-pelajar yang boleh diberi pendidikan percuma di peringkat tertiari berbanding hanya kepada 180000 orang pada hari ini. Menyedari hakikat tersebut, langkah mengkaji semula penghantaran pelajar-pelajar ke luar negara akan membuka ruang yang lebih besar untuk melaksanakan pendidikan percuma di peringkat tertiari dalam negara ini.

Dengan melaksanakan pendidikan percuma di peringkat tertiari ini, keperluan pelajar terhadap pinjaman PTPTN tidak lagi diperlukan, justeru ia boleh dimansuhkan. Bagi menampung kos hidup pelajar-pelajar di peringkat pendidikan tertiari pula, PPP berpandangan skim tabungan jangka panjang seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) perlu diteruskan dan dikembangkan lagi.
Instrumen-instrumen sokongan seperti dermasiswa, biasiswa dan bantuan zakat sama ada dari kerajaan, syarikat, individu dan badan-badan amal yang bertujuan untuk membiayai kos hidup golongan pelajar yang miskin dan tidak berkemampuan juga perlu diteruskan dan digalakkan. Melalui kaedah-kaedah ini, pelajar-pelajar tidak lagi memerlukan pinjaman PTPTN kerana mereka tidak lagi perlu membayar yuran pengajian, manakala kos hidup mereka sewaktu belajar pula boleh dibiayai melalui instrumen-instrumen tersebut.

Selain daripada itu, kerajaan PR akan datang juga perlu mempertimbangkan satu sistem pengajian yang lebih fleksibel untuk memberikan ruang selesa kepada pelajar-pelajar peringkat pendidikan tinggi untuk bekerja sambilan bagi membiayai kos hidup mereka. Sebenarnya banyak kajian yang telah dilakukan termasuk di Malaysia tentang baik-buruknya pelajar-pelajar bekerja sambilan sewaktu dalam pengajian tinggi mereka.

Oleh kerana itu, kerajaan PR akan datang perlu memberi perhatian serius untuk mengkaji perkara ini kerana dengan penglibatan pelajar-pelajar universiti dalam sektor pekerjaan sambilan sebenarnya turut memberi kesan positif kepada pengurangan jumlah pekerja-pekerja asing di samping mengurangkan bebanan ibu-bapa yang terpaksa menanggung anak-anak mereka walaupun setelah berumur lebih daripada 18 tahun.

Berdasarkan kepada beberapa perkara tersebut, PPP berkeyakinan pemansuhan PTPTN bukanlah satu agenda populis PR sebaliknya sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan adanya kemahuan politik yang kuat.

DR ZUHDI MARZUKI,
Pengarah Operasi,
Pusat Penyelidikan PAS (PPP)

Najib tipu apabila kata aset NFC dibekukan

Rafizi Ramli, Foto: Muhamad Faizal, 05 Apr 2012

(Gambar: Rafizi dan Firdaus Jaafar pada sidang media di parlimen hari ini)
Saya telah menegaskan berkali-kali bahawa semua transaksi yang melibatkan aset dan kepentingan pemilik NFC perlu dibekukan kerana ada kemungkinan besar harta-harta ini diperolehi dengan menggunakan dana awam sebanyak RM250 juta yang diselewengkan dari tujuan asalnya.

Aset dan kepentingan pemilik NFC yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

1.      Semua pegangan syarikat, saham dan pelaburan di dalam apa-apa entiti yang dibuat selepas tahun 2007, iaitu selepas NFCorp dianugerahkan kontrak RM250 juta untuk mengusahakan Pusat Fidlot Kebangsaan;

2.      Semua hartanah, plot tanah dan pelaburan di dalam bidang hartanah yang dibuat selepas tahun 2007, sama ada pembelian di buat atas nama NFC, syarikat-syarikat yang dikuasai oleh pemilik NFC atau pun atas nama mereka sendiri;

3.      Sebarang pemindahan wang kepada syarikat atau individu selain dari bayaran operasi biasa NFC; dan

4.      Sebarang pertukaran kepentingan melibatkan aset lain, termasuklah kereta, dana, kelengkapan dan lain-lain.

Setakat ini, telah terbukti bahawa pemilik NFC telah menggunakan sebahagian dari dana awam berjumlah RM250 juta untuk tujuan yang tidak ada kena mengena dengan penternakan lembu, terutamanya pelbagai pelaburan di dalam bidang hartanah.

Persoalan yang paling kritikal ialah bagaimanakah kesemua RM250 juta ini akan dapat dipulangkan kembali kepada rakyat, apabila ia terikat di dalam pelbagai bentuk pelaburan hartanah dan harta-harta lain.

Tambahan pula, tidak seorang pun pemilik NFC memberikan jaminan peribadi (personal guarantee) bahawa liabiliti mereka kepada rakyat Malaysia tidak sahaja terhad kepada modal yang dilaburkan di dalam NFC; bahkan kerajaan boleh mengambil alih harta mereka yang lain untuk mendapatkan kembali RM250 juta yang telah dipinjamkan.

Oleh sebab itulah, KEADILAN telah mendesak berkali-kali supaya kerajaan mengambil langkah segera dan tegas untuk membekukan semua harta dan transaksi melibatkan NFC dan pemiliknya, termasuklah harta-harta peribadi yang telah didedahkan selama ini kerana ia adalah cagaran balik untuk mendapatkan kembali dana awam berjumlah RM250 juta itu.

Malangnya, perkara ini tidak berlaku.

Saya boleh mendedahkan bahawa ruang masa yang mengalihkan pandangan rakyat dari skandal NFC kepada isu perletakan jawatan Datuk Seri Shahrizat Jalil telah digunakan untuk mengatur urusniaga yang melupuskan hartanah-hartanah yang sepatutnya dibekukan.

Pemilik-pemilik NFC, iaitu Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anak beliau, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh kini dalam proses memuktamadkan penjualan tiga aset hartanah kepada sebuah syarikat, Insun Development Sdn Bhd bernilai RM3 juta.

Tiga aset hartanah ini dibiayai oleh bank yang sama yang sebelum ini membiayai pembelian 8 unit hartanah mewah di KL Eco City, lalu menimbulkan persoalan sama ada pembiayaan ketiga aset hartanah ini juga adalah berasaskan simpanan deposit dana NFC yang ditempatkan di bank tersebut.

Maklumat hartanah tersebut adalah seperti berikut:

Hartanah 1

Alamat:

B-00-22
Plaza Damas 3
No 63, Jalan Sri Hartamas 1
Taman Sri Hartamas
50480 Kuala Lumpur
Jenis: Tingkat bawah, kedai pejabat 3 tingkat
Harga dilupuskan kepada Insun Development Sdn Bhd: RM1.5 juta


Hartanah 2


Alamat: B-01-22
Plaza Damas 3
No 63, Jalan Sri Hartamas 1
Taman Sri Hartamas
50480 Kuala Lumpur
Jenis:Tingkat 1, kedai pejabat 3 tingkat
Harga dilupuskan kepada
Insun Development Sdn Bhd: RM759,000

Hartanah 3
Alamat:B-02-22
Plaza Damas 3
No 63, Jalan Sri Hartamas 1
Taman Sri Hartamas
50480 Kuala Lumpur
Jenis:Tingkat 2, kedai pejabat 3 tingkat
Harga dilupuskan kepada
Insun Development Sdn Bhd:RM741,000


Urusniaga berjumlah RM3 juta boleh disahkan oleh pengurusan Insun Development Sdn Bhd yang beralamat di 15-5, Signature Office The Boulevard, Midvalley City, 59200 Kuala Lumpur atau pun peguam yang bertindak bagi pihak pembeli iaitu Heng & Co, No 30 Lorong Maarof, Bangsar Park, 59000 Kuala Lumpur. Harga pasaran ketiga-tiga hartanah ini dianggarkan berjumlah RM4 juta, maka pelupusan ini dibuat pada diskaun sebanyak 25%.

Saya membidas sekeras-kerasnya kecuaian pihak berkuasa yang membolehkan urusniaga sebegini terus berlaku terutamanya apabila pelupusan harta dibuat pada harga yang lebih rendah. Ini menjejaskan kemungkinan pihak berkuasa dapat merampas kembali sebarang harta yang dibeli dengan menyalahgunakan dana awam RM250 juta untuk mendapatkan kembali pembayaran dana tersebut kelak.

Jika ini boleh berlaku tanpa sebarang pengawasan, ini bermakna perkara yang sama boleh juga berlaku dengan aset-aset lain yang dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil tetapi dibeli menggunakan dana awam (atau pun melalui transaksi melibatkan dana awam) iaitu:

1.      Kondominium One Menerong berjumlah RM14 juta

2.      2 plot tanah di Putrajaya berjumlah RM3 juta

3.      Kondominium di Orchard Scotts berjumlah RM10 juta

4.      2 kondominium di Marina Bay Suites berjumlah RM34 juta

5.      8 unit rumah kedai pejabat di KL Eco City dianggarkan berjumlah RM12 juta

Urusniaga yang melupuskan harta-harta milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil seperti ini membuktikan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berbohong kepada rakyat apabila beliau mengumumkan bahawa aset NFC telah dibekukan pada 14 Januari 2012 yang lalu.

Sehingga kini, segala urusniaga dan operasi berjalan seperti biasa termasuklah yang melibatkan pelupusan harta yang menjejaskan pengambilan semula dana awam RM250 juta.
----------------------------------------------------------------
Penulis adalah Pengarah Strategi Keadilan

Semoga pelajar M'sia di Syria dijaga sebaiknya

Zil Wildad,
Bagi yang mengikuti perkembangan pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia umumnya yang berada di Syria akan mengetahui rentetan isu penghantaran pulang pelajar-pelajar ke Malaysia yang bermula pada Julai 2011 walaupun perancangan awalnya ingin melakukan proses penghantaran pulang pada bulan April.

Selepas itu, trip penghantaran pulang terus berlaku pada bulan September dan terakhir pada Oktober. Hari ini, pelajar-pelajar Malaysia yang berbaki 167 orang dikatakan degil kerana masih tidak berganjak dari bumi Syria.

Melalui lidah rasmi Utusan Malaysia bertarikh 4 Mac 2012, tajuk berita, “Krisis Syria : KPT Tidak Bertanggungjawab Pelajar Enggan Pulang” dan mengambil sedikit petikan teks tersebut bahawa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan bertanggungjawab ke atas keselamatan pelajar Malaysia di Syria sekiranya mereka enggan dibawa pulang atau dipindahkan ke Jordan. Rata-rata pelajar di sini sangat terkejut dan tergamam apabila membaca berita ini melalui laman web rasmi UtusanMalaysia.com.my.

Mungkin juga ada yang cuak kerana daripada apa yang difahami, sekiranya KPT ingin berlepas tangan daripada membela nasib para pelajar di Syria, ini membawa maksud bahawa KPT tidak akan mengambil kisah terhadap isu keselamatan dan pengajian para pelajar di sini selepas ini. Barangkali tidak banyak peliknya keputusan ini diambil bahkan wajar sahaja ancaman dikeluarkan kerana sejak 15 Februari 2012 lalu, pihak Kedutaan sendiri telah mengeluarkan arahan berbentuk nasihat kepada para pelajar supaya keluar dengan segera dari Syria sama ada pulang ke Malaysia atau berpindah ke tempat pengajian di negara lain.

Di sebalik apa yang berlaku, perlu diketahui oleh pihak-pihak yang sepatutnya tahu dan rakyat Malaysia umumnya bahawa para pelajar di sini pada masa ini dalam usaha mencari inisiatif dan jalan keluar dengan konflik yang berlaku sekarang di mana isu utamanya adalah pengajian. Gambaran umum bilangan pelajar di sini seramai 113 pelajar lelaki dan 54 pelajar perempuan yang berada dipelbagai tahap pengajian dan kebanyakannya adalah pelajar-pelajar tahun tiga dan tahun akhir.

Untuk itu, sudah ramai di antara kami bersuara,memohon, merayu dan merintih kepada pihak berwajib seperti Education Malaysia Jordan(EMJ) agar dapat membantu kami mencari jalan keluar dengan mencadangkan beberapa jalan penyelesaian seperti:
1)    Menguruskan proses perpindahan pelajar ke Jordan.
2)    Menanggung pembiayaan umum pelajar untuk satu tempoh tertentu ketika berada di Jordan.
3)    Menemui Kementerian Auqaf yang menaungi pusat-pusat pengajian utama iaitu Mujamma’ Fatah Islami dan Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro supaya membenarkan para pelajar Malaysia yang belajar di pusat pengajian tersebut diberi kedudukan khas seperti dibenarkan mengambil peperiksaan pada waktu di luar peperiksaan, penangguhan pengajian, meminta semula yuran pengajian yang telah dibayar penuh dan apa-apa yang berkaitan bergantung pada hasil perbincangan.
4)    Hasil perbincangan dan segala kata putus yang bakal dicapai antara pihak EMJ dan Kementerian Auqaf yang dibuat mempunyai hitam putih yang menunjukkan bukti perjanjian dan persepakatan.
5)    Pelajar-pelajar dapat melakukan transfer credit atau menyambung pengajian di pusat-pusat pengajian setaraf dengannya di Timur Tengah lain atau dalam negara peringkat ijazah termasuk pelajar-pelajar yang tidak mempunyai sijil SPM.

Sehingga kini, tuntutan ini masih dalam proses perbincangan dan pengurusan terutamanya yang melibatkan pengajian. Pelajar-pelajar sebenarnya meletakkan rasa optimis terhadap EMJ dapat mengusahakan permintaan ini dengan seoptimumnya kerana isu pengajian adalah faktor terbesar para pelajar membuat pertimbangan. Bukan mudah bagi pelajar-pelajar membuat keputusan yang melibatkan masa depan pengajian. Tanpa menafikan insiden-insiden seperti letupan kecil di sekitar Damsyiq dan serangan rejim terhadap rakyat biasanya berlaku ketika waktu malam dan hari Jumaat tetap menggamit para pelajar dan menjadikan para pelajar lebih berjaga-jaga. Namun, senario bumi Syam ketika ini di mana kelas-kelas pengajian umum terus berjalan, kelas-kelas kuliah tetap berjalan seperti dijadualkan, para pensyarah dan masyayeikh terus mengajar dan pelajar-pelajar Arab sendiri terus hadir ke kelas walaupun kedudukan rumah mereka adalah dalam sempadan darurat dan ramai pula ahli keluarga turut menjadi mangsa. Lebih memberatkan lagi, setakat ini tiada khabar dari mana-mana pusat pengajian yang mengatakan bahawa peperiksaan akan dibatalkan akibat fenomena bergolak ini.

Pelajar-pelajar di sini tidak hanya berpeluk tubuh menunggu keputusan. Bahkan persatuan pelajar membuat hubungan dengan persatuan pelajar lain di samping kalangan pelajar sendiri ada yang mengambil inisiatif secara individu bertanya kepada sahabat-sahabat lain di Timur Tengah tentang peluang pengajian. Pertemuan dengan semua pelajar dalam taklimat keselamatan turut dibuat untuk membincangkan permasalahan berlaku serta mencari solusi. Antara permasalahan yang dihadapi lagi ialah apabila terdapat pusat pengajian yang tidak boleh memberikan slip keputusan peperiksaan lepas  melainkan hanya kepada yang tamat pengajian tahun akhir sahaja. Keadaan ini lebih merumitkan kepada pelajar-pelajar yang berhajat melakukan transfer credit di mana-mana pusat pengajian sama ada di Timur Tengah atau dalam Malaysia sendiri. Cukup dengan itu, peraturan baru yang memerlukan kepada pelajar membayar 500LS hingga 1000LS setiap dokumen yang dipohon seperti surat akuan pelajar, izin safar, transkrip keputusan dan lain-lain turut memberikan tekanan kepada pelajar tambahan pula pengeluaran wang hanya bergantung melalui kiriman kad ATM setiap bulan kepada wakil Kedutaan yang keluar ke Lubnan, Turki atau Jordan.

Namun, apa yang mengejutkan dalam masa para pelajar menunggu keputusan hasil perbincangan ini, tiba-tiba pada 4 Mac kenyataan media dikeluarkan seperti di atas. Jika difikirkan, memang logik untuk pelajar-pelajar yang mengambil keputusan untuk terus berada di sini menanggung risiko atas keputusan yang diambil tetapi dengan syarat selepas permintaan-permintaan dan inisiatif yang dicadangkan diusahakan terlebih dahulu. Dengan kata lain, KPT tidak patut sewenang-wenangnya memberi kata dua kepada pelajar di sini tanpa memahami masalah yang berlaku dengan sebenarnya. Sedangkan KPT yang menaungi EMJ mempunyai autoriti dan kuasa dalam menyuarakan isu kebajikan dan pengajian para pelajar.

Sekiranya khalayak mengetahui semasa proses evakuasi dahulu, KPT tidak membantu sedikit apapun,Cuma menanti pelajar yang sampai di KLIA sahaja, malahan EMJ hanya dua kali sahaja turun ke Syria setakat ini sejak bermulanya revolusi Syria ini. Sekiranya hakikat ini diketahui umum,sudah pasti sang menteri, KHALED NORDIN akan tertunduk malu apabila rakyat Malaysia mengetahui sememangnya KPT sudah berlepas tangan daripada kami sejak lama dahulu, dan menyerahkan tanggungjawab mereka ini kepada Kedutaan Malaysia di Syria untuk memikulnya.

Apa yang dinyatakan di sini bukan untuk mengadu tapi hanya untuk menjelaskan kedudukan pelajar-pelajar di sini pada ketika ini supaya semua pihak memahami isu pelajar Malaysia di Syria. Dan apa yang lebih penting, penjelasan ini adalah untuk perhatian pihak-pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dan mempunyai autorioti menyelesaikan permasalahan ini sama ada dalam soal keselamatan atau pengajian. Harapan akhirnya agar semua pihak iaitu PPMS, Kedutaan, EM Jordan dan KPT harus lebih telus dalam sebarang kata sepakat yang dicapai. Semoga ruang kerjasama dapat diwujudkan dan diperkemaskan lagi agar tidak timbul salah faham. Semua pihak harus memperbaiki institusi masing-masing agar soal kebajikan rakyat Malaysia amnya dan pelajar-pelajar Malaysia di Syria khususnya dapat dijaga sebaiknya.

Tiada ulasan: