Khamis, 26 April 2012

TERTINDAS..DITEKAN...DIZALIM DLL IA MENYUBURKAN SEMANGAT KESEDARAN...LAGI JELAS PENIPUAN DAN DOUBLE STANDARD...SERTA LAGI KUAT BERDOA..DOA ORANG YANG DIZALIMI AMAT MUSTAJAB....

Harakah bantu keluarga ISA di Tawau

Wan Nordin Wan Yaacob, 25 Apr 2012
TAWAU: Prihatin dengan nasib keluarga tahanan ISA, Harakah sekali lagi telah menyerahkan bantuan kepada 12 keluarga mangsa di sini dalam satu majlis ringkas anjuran PAS Tawau dekat sini petang tadi.

Sumbangan disampaikan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman kepada isteri dan ibu mangsa yang rata-ratanya ditahan kononnya terlibat dengan jemaah Darul Islam.

Harakah menghulurkan sumbangan berupa wang tunai RM1500 setiap seorang mangsa manakala RM4000 bantuan tambahan diserahkan kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Zaitun Ahmad.

Jumlah kesemua bantuan bernilai RM23,000 adalah hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Mansuhkan Isa kendalian Harakah.

Ibu kepada seorang mangsa tahanan (Shamsuddin Alip), Aminah Dalat yang ditemui selepas majlis tersebut berkata, pihaknya amat bersyukur atas bantuan yang dihulur Harakah dan PAS Tawau.

Aminah yang hilang tempat bergantung kerana anaknya kini masih ditahan dibawah ISA menganggap bantuan itu amat berharga buat keluarganya yang dalam kesusahan.

Kakak Shamsuddin, Nikma Alip pula melahirkan rasa kecewa dengan tindakan zalim kerajaan menahan adiknya dibawah ISA.

Walaupun akata itu sudah dimansuhkan, kata Nikma, ISA masih menzalimi rakyat.

Kepada mereka yang prihatin dan mahu menghulurkan bantuan, bolehlah memberi sumbangan ke akaun Maybank 5640 7000 0336 atas nama Harakahdaily Dot Com.

Tuduhan Umno Lembah Pantai tidak berasas

Harakahdaily, 25 Apr 2012
KUALA LUMPUR: “Tuduhan Umno Lembah Pantai bahawa pejabat saya telah mengedar surat maklumat palsu berhubung status daftar pemilih adalah suatu pertuduhan liar dan tidak berasas,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar).


Beliau merujuk laporan media berkaitan isu surat pengesahan status pengundi yang dikeluarkan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai baru-baru ini.


Sehubungan itu, beliau menyelar tindakan Umno Lembah Pantai yang sering mengganggu tugasannya sebagai Ahli Parlimen, seperti tindakan mereka menangkap petugas pejabatnya yang melakukan culaan undi atas alasan yang tidak munasabah pada bulan yang lalu.


“Untuk makluman semua, pejabat saya sedang melakukan kajian mendalam mengenai status pengundi di Lembah Pantai setelah dimaklum tentang nama mereka yang telah hilang dari daftar pemilih; termasuk makluman tentang Ho Heng Tong, 53, yang telah hilang dari daftar pemilih Subang setelah disenaraikan sebagai "meninggal dunia" oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Liau Kok Fah, ahli jawatankuasa Bersih 2.0, di mana JPN telah mengatakan yang beliau telah "mati" pada tahun 1970an walaupun jelas beliau masih lagi hidup,” jelasnya dalam satu kenyataan.


Beliau menjelaskan, surat yang dimaksudkan hanya memaklumkan pengundi bahawa berdasarkan kajian pejabatnya, nama mereka sudah hilang daripada daftar pemilih bagi kawasan parlimen Lembah Pantai.

Menurutnya, surat tersebut juga jelas menyatakan bahawa kemungkinan besar nama-nama itu hilang disebabkan perkara-perkara yang sah, lalu dibuang daripada daftar pemilih atas sebab-sebab termasuk kematian dan pemindahan yang tulen.

“Tetapi, jika ada pemilih yang mendapati nama telah hilang tanpa pengetahuan mereka, maka mereka boleh merujuk pejabat saya untuk tindakan lanjut.

“Saya merujuk kepada tiga maklumbalas yang saya terima daripada pengundi, di mana salah seorang mengakui nama yang tertera di dalam daftar pemilih, iaitu Rajah a/l Periasamy, yang menggunakan alamat beliau terkini, sebenarnya tidak wujud,” jelasnya yang juga Naib Presiden PKR.


Beliau juga menjemput pengundi-pengundi yang nama mereka didapati sudah dikeluarkan daripada daftar pemilih sedangkan mereka masih menetap di kediaman yang sama membawa aduan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Nurul Izzah sekali lagi menyelar tindakan Umno Lembah Pantai yang menghalang usaha seorang Ahli Parlimen menjalankan tugas dengan bertanggungjawab.

Beliau berkata, seharusnya semua pihak, termasuklah Umno Lembah Pantai, bekerjasama dengan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai demi membantu SPR membuat semakan daftar pemilih.


Pengarah PKS Kelantan meninggal dunia

Aslani M, 25 Apr 2012
KOTA BHARU: Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS) Negeri Kelantan, Abdul Rahim Salleh (gambar), 60 meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian kira-kira jam 2.30 petang ini.

Beliau dimasukkan ke HUSM petang Ahad lalu akibat serangan strok.

Pegawai Penyelidik PKS, Zainal Abidin Hussin berkata, Allahyarham sudah tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke HUSM petang Ahad lalu.

“Beliau tidak sedarkan diri sehinggalah menghembuskan nafas terakhir petang ini. Jenazahnya akan disembahyangkan di Masjid Kampung Jambu, Dun Chempaka berhampiran rumahnya selepas solat Isya’ malam ini,” katanya di sini.

Allahyarham merupakan bekas Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Kelantan. Dan selepas menamatkan perkhidmatan beliau ditawar menerajui PKS bagi membantu kerajaan negeri.

Beliau mula berkhidmat sebagai pengarah PKS mulai November tahun lepas. Pengalamannya berkhidmat berpuluh tahun dengan jabatan kerajaan pusat banyak membantunya di PKS.

Allahyarham berasal dari Besut berhijrah ke Kelantan selepas berkhidmat di sini. Isterinya bekas pendidik, Siti Wan Noor Kalmilah Wan Mohd Noor bersal dari Pasir Pekan.

Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak dan seorang balu. Jenazahnya dijangka disemadikan di tanah perkuburan Islam di Pasir Pekan, kampung halaman isterinya.

Zainal Abidin berkata, biar pun tempoh perkhidmatannya singkat, namun Allahyarham berjaya merancang pelbagai perkara terutamanya berkaitan persiapan menghadapi pilihan raya.

“Pengalamannya bersama SPR sebelum ini dapat membantu PKS melakukan kaji selidik dengan program turun ke bawah,” katanya.

Sementara itu kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga

Rumah Mazlan Aliman disimbah cat merah

Hazayani Zakaria, 25 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Rumah AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman di Felda Ramun, Kulai, Johor disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali, awal pagi tadi.

Mazlan berkata, perbuatan khianat itu disedari oleh isterinya yang belum tidur kira-kira jam 3.00 pagi tadi.

Isterinya mendengar derap tapak kaki di luar rumah dan mengejutkan beliau yang baru melelapkan mata.

Apabila mereka keluar melihat apa yang berlaku kira-kira lima minit kemudian, didapati bahagian beranda dan kaki lima rumah telah disimbah cat merah.

"Malam tadi saya ada ceramah dan pulang ke rumah agak lewat.

"Dalam jam tiga pagi, saya baru terlelap, dan isteri saya belum tidur lagi.

"Dia terbau cat yang kuat dan terus kejutkan saya. Apabila kami tengok di luar rumah, bahagian beranda dan kaki lima dikotori cat merah (gambar) tapi kejadian itu berlaku sangat pantas," kata beliau kepada Harakahdaily pagi ini.

Sehubungan itu, beliau akan membuat laporan polis hari ini berhubung kejadian itu.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat bagaimanapun yakin perbuatan khianat itu dilakukan oleh pihak yang tidak senang dengan perjuangannya dalam isu tanah dan Felda.

"Saya yakin ini merupakan satu usaha untuk menakutkan-nakutkan saya tapi saya tak gentar.

"Saya dah berada dalam PAS selama 30 tahun dan sudah hadapi macam-macam. Insya Allah saya boleh hadapi semua ini dan memberi semangat kepada saya untuk terus perjuangkan hak rakyat," tegas beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Tambah beliau lagi, perbuatan itu juga dilakukan menjelang Himpunan Tanah Rakyat di Plaza Angsana, Johor Bharu 5 Mei depan.

"Kita akan adakan himpunan tanah besar-besaran dan kita sudah buat roadshow ke seluruh tempat dan dedahkan perkara-perkara berkaitan isu tanah.

"Kita dedahkan bagaimana pemimpin Umno ada tanah yang banyak sedangkan rakyat yang buat permohonan 40 tahun tak dapat-dapat.

"Mungkin perbuatan ini untuk menggagalkan usaha kita memberi maklumat kepada rakyat," katanya.

Kakitangan IT PAS Kelantan cedera disamun

Harakahdaily, 25 Apr 2012

KOTA BHARU: Seorang kakitangan Unit IT PAS Kelantan cedera di kedua-dua belah lengan akibat disamun dua lelaki bermotosikal menggunakan senjata besi malam tadi.

Pengarahnya, Mohd Ruslan Muhd Zain (gambar) berkata, ketika kejadian tiga pegawai wanita terbabit sedang menunggu kunci untuk menaiki pejabat IT PAS Kelantan di Jalan Kota Darulnaim.

“Bagaimanapun ketika menunggu dua lelaki datang dengan menaiki motosikal dan terus menyamun mangsa di hadapan bangunan tersebut.

“Ekoran itu berlaku pergelutan namun penyamun sempat melarikan sebuah beg dipegang kakitangan berkenaan yang mengandungi telefon bimbit dan wang tunai,” katanya di sini.

Ekoran itu beliau membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu sejurus selepas kejadian.

Menurutnya mangsa mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan menerima beberapa jahitan.

Dan hari ini pula dilakukan pemeriksaan x-ray dan didapati tidak berlaku keretakan tulang dan sebarang kecederaan serius.

Kata beliau juga di tempat kejadian pernah berlaku kejadian samun yang membabit seorang wanita tua.

Sehubungan itu beliau berharap pihak polis melakukan kawalan lebih kerap ke kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Abim seru pencinta kebenaran ke Bersih 3.0

Harakahdaily, 25 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyokong penganjuran perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka.


Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, Abim menilai penganjuran Bersih 3.0 adalah manifestasi keprihatinan rakyat terhadap kelemahan tatacara pengendalian pilihanraya di negara ini.

“Pilihanraya adalah wahana untuk mengangkat pemimpin yang didokong oleh rakyat.

“Pilihanraya juga merupakan mekanisme berkesan dalam menguruskan perbezaan pendapat serta aliran politik dalam sesebuah negara secara harmoni sekiranya ia dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, tambahnya adalah amat penting institusi serta tatacara pengendalian sesebuah pilihanraya beroleh kepercayaan serta keyakinan yang tidak berbelah bagi dari rakyat.

Sehubungan itu, Abim menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) seharusnya mengambil sikap proaktif dan lebih serius untuk menangani sebarang aduan serta desakan yang dikemukakan oleh Bersih 3.0 serta masyarakat terhadap isu-isu berkenaan.

“Dalam hal ini Abim ingin mendesak SPR agar menngamati setiap tuntutan serta aduan yang dikemukakan seperti pembersihan senarai pengundi, penambahbaikan terhadap pengendalian undi pos, akses media yang saksama untuk semua parti di samping membendung budaya politik kotor dan ganas menerusi pengukuhan institusi-institusi awam yang berkaitan,” ujarnya lagi.

Menurutnya, SPR tidak seharusnya bersikap acuh tidak acuh dalam menangani sebarang aduan serta tuntutan yang dikemukakan, kerana ia merupakan manifestasi terhadap tingginya kesedaran sivil dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap hak politik mereka.

Beliau menegaskan, kegagalan berbuat demikian (menangani aduan serta tuntutan yang dikemukakan dengan sewajarnya) tidak sahaja akan membentuk persepsi negatif terhadap SPR, bahkan ia menafikan peluang untuk badan terbabit memperbaiki serta mengembangkan tatacara pengendalian pilihanraya yang lebih cekap dan berintegriti.

“Menilai suasana politik semasa yang banyak dipengaruhi dengan teka teki PRU 13 yang akan datang, Abim merasakan isu penambahbaikan pengendalian pilihanraya seharusnya diberikan keutamaan yang paling tinggi oleh SPR serta pihak-pihak yang berkenaan,” katanya.

Menurut Amidi lagi, kegagalan berbuat demikian hanya akan mengeruhkan suasana politik semasa serta bakal menjejaskan peranan PRU13 sebagai wahana pengurusan perbezaan pendapat serta aliran politik secara harmoni dan berkesan.

“Justeru, Abim menyeru setiap rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan agar sama-sama turun secara aman untuk menghadiri Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini, untuk sama-sama menzahirkan keprihatinan mereka terhadap masa depan negara yang tercinta ini,” ujarnya lagi.

Mahasiswa terus bertahan di Dataran Merdeka

Anis Nazri | Foto Aziz Muda, 25 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Biarpun beberapa kali dirempuh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semangat anak-anak muda yang berkhemah di Dataran Merdeka tidak patah, yang kini sudah masuk hari ke-12.

Dilarang mendirikan khemah, kini mereka duduk berpayung dari terikan matahari di sebuah sudut di Dataran Merdeka.

Jika sebelum ini mereka berkumpul di sudut berdekatan air pancut, selepas ditutup dengan pita kuning DBKL, mahasiswa ini beralih ke arah padang.

Seorang mahasiswa yang telah berada di sana sejak 12 hari lalu, Alif Asyraf, berkata mereka cuba bertahan untuk terus berada di dataran tersebut hingga menjelang himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Menyedari mungkin DBKL akan melakukan lebih banyak sekatan menjelang Bersih 3.0, pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata kumpulan mahasiswa itu cuba tidak berganjak dari situ bagi menuntut pendidikan percuma di negara ini.

Tinjauan Harakahdaily, hari ini menyaksikan beberapa aktivis berada di tapak mereka berkhemah, manakala sebahagian mahasiswa pula berada di mahkamah.

Biarpun tidak dibenarkan memasang khemah, mereka tetap berkumpul dan berpayung bagi melindungi diri mereka dari terik matahari.

Sepanjang tinjauan Harakahdaily di sana, orang ramai dilihat turut menyinggah ke kawasan mahasiswa tersebut untuk menyatakan sokongan dan menghulurkan sumbangan.

Tengah malam tadi, DBKL didakwa menyerbu ke atas perkhemahan mahasiswa dan dikatakan merampas dua kotak derma yang berisi kira-kira RM200.

Serbuan itu merupakan serbuan ketiga DBKL ke atas mahasiswa tersebut dalam tempoh kurang 24 jam.

Dalam serbuan sebelum ini, enam mahasiswa ditahan, dan dibebaskan kemudiannya dengan jaminan.

Seorang dari mereka, Umar Mohd Azmi, bagaimanapun didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang tugas pegawai DBKL, dari menahan aktivis, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.

Tiada ulasan: