Rabu, 11 April 2012

RASUAH HARAM DI AMALKAN MENGIKUT SYARIAH ISLAM

Rafizi: Tampung hutang PTPTN bidang kuasa pusat
Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli berkata kerajaan PKR tidak boleh menampung hutang peminjam PTPTN daripada kalangan anak Selangor kerana ia tertakluk bawah tanggungjawab dan bidang kuasa kerajaan pusat.

Katanya, pembiayaan pendidikan oleh negeri tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia terikat kepada akta tertentu, seperti akta pinjaman dan akta pencegahan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, tambahnya, jika dibincangkan daripada aspek kemampuan, ia boleh dilakukan di Selangor dengan syarat pusat membuat pengagihan peruntukan secara adil.

“Saya pasti, kalau nak, Selangor boleh biaya (pendidikan pelajarnya). Tapi pusat mesti adil dalam mengagihkan peruntukan," katanya dalam dialog dengan sekumpulan pelajar di Shah Alam malam tadi.

“Cukai yang dikutip di Selangor menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seluruh negara, tetapi yang (dipulangkan kepada Selangor) berapa sahaja,” kata bekas pegawai di Petronas itu lagi.
Mengulas lanjut isu tersebut, Rafizi berkata universiti seperti Unisel dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sebenarnya merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) walau dikatakan sebagai “universiti negeri.”

Rafizi berkata demikian apabila ditanya kenapa Selangor tidak menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula di Universiti Industri Selangor (Unisel) miliknya.

Soalan itu juga menjadi cabaran yang kerap diulang-ulang oleh pemimpin dan penyokong kerajaan termasuk Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan juga naib canselor Universiti Teknologi Mara, (UiTM), Tan Sri Ibrahim Abu Shah.

Ibrahim sebelum ini juga mendakwa, yuran di Unisel telah dinaikkan apabila Selangor berada di bawah Pakatan Rakyat, sedangkan UiTm kekal sebagai kampus yang mengenakan yuran termurah.

Dalam majlis itu juga, Rafizi turut menekankan soal keperluan memantapkan kualiti dan menambahkan bilangan universiti awam dalam tempoh sepuluh tahun akan datang di samping menggalakkan penggabungan IPTS yang tumbuh bagai cendawan.

Katanya, kekayaan negeri lebih baik dilabur kepada pelajarnya yang menuntut di pelbagai universiti berkualiti baik daripada disumbangkan untuk pembangunan sebuah 'universiti negeri' sahaja.

Menurutnya, beliau percaya kualiti universiti dapat dijamin apabila ia diuruskan oleh pakar dan ahli akademik dan bukannya kerajaan negeri atau pihak swasta yang bermotifkan keuntungan.

“Duit itu lebih baik guna untuk hantar pelajar ke Oxford atau Harvard. Kalau UM (Universiti Malaya) lebih baik, patut bawa dia ke UM,” katanya yang juga bertugas sebagai ketua eksekutif di pejabat penasihat ekonomi Selangor.
Salahuddin tiada masalah lawan timbalan menteri

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata beliau masih lagi menimbang untuk bertanding di salah satu daripada empat kerusi parlimen di Johor termasuk Batu Pahat - kawasan yang dimenangi Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ahli parlimen Kubang Kerian itu bagaimanapun menegaskan tidak mempunyai masalah bertemu Puad di gelanggangnya itu kerana mendakwa mempunyai akar umbi ekoran memulakan karier politiknya di situ.

Salahuddin bagaimanapun berkata, beliau memerlukan seminggu sebelum membuat keputusan muktamadnya, termasuk turut menimbangkan kesesuaiannya di Pulai, Tanjong Piai dan Pontian.

"Tunggulah, saya tak ada masalah bertanding di Batu Pahat. Saya mempunyai akar umbi di situ. Saya (pernah) tinggal di sana selama 15 tahun dan memulakan karier politik saya di Batu Pahat.

"Jadi kalau saya rasa dalam masa seminggu ini, (kalau) saya benar sesuai untuk bertanding di Batu Pahat, maka saya akan bertanding di Batu Pahat. (Jadi) tunggu kehadiran saya," katanya dalam temuramah dengan Malaysiakini pada Isnin.

Puad sebelum ini mencabar Salahuddin bertanding di Parlimennya dalam pilihan raya umum akan datang selepas membuat keputusan berentap di Johor pada kali ini.

Puad juga dilapor mengalu-alukan Salahuddin kembali ke Johor walaupun yakin pemimpin parti Islam itu "tidak akan berjaya" kali ini.

'Sentimental' Tanjong Piai, Pontian & Pulai


Sementara itu, sambil menyifatkan Johor mempunyai "nostalgia dan cukup sentimental" bagi dirinya, Salahuddin berjanji membuat pengumuman rasmi kerusi yang bakal ditandinginya dalam tempoh "seminggu dua" lagi.

Selain Batu Pahat, kata Salahuddin, beliau menimbangkan Tanjong Piai dan Pontian yang merupakan kampung halamannya.

Manakala Pulai pula istimewa bagi Salahuddin kerana beliau pernah belajar dan menyumbang banyak komitmen parti di kawasan itu.

"Keempat kawasan tadi, saya tak ada apa-apa masalah dari segi jentera parti dan dokongan kawan-kawan. Cuma kita nak cari tempat yang terbaik yang saya rasa sebagai lonjakan kemenangan, yang saya rasa kita boleh cipta," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding kerusi yang pernah ditandingi PAS atau Pakatan, Salahuddin berkata "lebih mudah untuk kerusi-kerusi yang PAS bertanding".

"Kalau ada pun kerusi yang melibatkan rakan yang lain dalam Pakatan, itu juga tidak ada masalah untuk saya buat perbincangan. Kita boleh tukar dengan satu kerusi yang lain," katanya yang pernah menjadi ketua Pemuda PAS Johor selama 10 tahun sehingga 1999.
Salahuddin: Bertanding di Johor bukan bunuh diri
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menolak tanggapan umum bahawa hasratnya bertanding di negeri kelahirannya, Johor - kubu kuat Umno - adalah tindakan "membunuh dirinya" dalam karier politik yang diceburinya sejak 30 tahun lalu.

Ahli parlimen Kubang Kerian menegaskan beliau tidak takut berdepan kekalahan kerana ia merupakan asam garam dan adat berjuang, sebaliknya beliau mahu menjadi "sebahagian pencipta sejarah perubahan" di negeri itu.

NONE"Jadi kalau saya tidak berani pada hari ini untuk melaksanakan tugas ini, apa nilai saya sebagai orang politik. Apa nilai saya sebagai pemimpin kanan dalam PAS. Kalau saya hanya mahu pentingkan keselesaan, kalau saya hanya mahu terus kekal di Parlimen, saya boleh kekal di Kubang Kerian, saya tidak ada masalah.

"(Pada) saya tak ada istilah bunuh diri. Saya pergi untuk memegang panji-panji perjuangan bersama dengan pasukan Pakatan Rakyat untuk membuat satu perubahan besar.

"Ini yang saya rasa besar hati. Saya rasa dihormati dan dihargai rakan-rakan di sana. Oleh itu saya beritizam untuk bekerja sekuat mungkin untuk kita sama-sama mencipta satu sejarah baru di Johor," katanya.

Ketika diwawancara Malaysiakini di Kuala Lumpur semalam, Salahuddin berkata jika beliau ingin berada dalam zon selesa, beliau bertanding di kawasan selamat yang dimenangi PAS khususnya di Pasir Mas dan Titiwangsa.

Kepulangan sebagai pelengkap
Menurutnya lagi, segala pengalaman yang ditimba sejak bergelumang dalam politik, termasuk menjadi ahli parlimen Kubang Kerian sejak 2004 sehingga kini, mahu dicurah kepada rakyat Johor sekalipun, mengakui "terpisah sedikit" dari politik negeri itu.

Menyifatkan kepulangannya sebagai pelengkap kepada kepimpinan PAS negeri, Salahuddin yakin tokoh lain seperti Pesuruhjaya Datuk Dr Mahfodz Mohamed, timbalannya Dzulkifli Ahmad dan Mazlan Aliman serta Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat turut membantu ke arah perubahan.

NONEBahkan, tambahnya, ramai tokoh politik tempatan dan antarabangsa dianggap pemimpin walaupun pernah tidak mempunyai jawatan atau memimpin negara dalam tempoh yang singkat, termasuklah Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela.

"Jadi saya mahu jadi pemimpin seperti itu yang bukan hanya kita hebat atau dilihat kita berperanan jika kita jawatan atau kedudukan... Itulah yang menjadi kita seorang pemimpin.

"Kalau kita takut bermain ombak, kita tidak boleh bina rumah di tepi pantai. Pemimpin harus berani menghadapi risiko, cabaran dan mesti berada di mana-mana tempat, dalam apa jua keadaan," katanya.
PAS seru gelombang siber turun ke alam nyata
Pemuda PAS hari ini berjanji akan mengerahkan paling sedikit 10,000 anak muda untuk menyertai perhimpunan BERSIH 3.0 bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil pada 28 April ini.

NONEKetua dewan itu Nasrudin Hassan berharap kumpulan "gelombang siber" yang berkumpul di alam maya dapat keluar ke Dataran Merdeka untuk berhimpun pada masa yang ditetapkan,

"Selama ini anak-anak muda memerhati kepincangan urus selia sistem pilihan raya melalui alam maya. Mereka berkumpul membentuk gelombang siber.

"Jumlah mereka terlalu ramai. Saya harap kali ini mereka keluar dari gentian siber untuk duduk dan bantah di alam nyata...," katanya.

Perhimpunan BERSIH 3.0 akan berlangsung di ibu negara pada 28 April dengan tema "duduk bantah". Pengerusi gabungan itu Datuk A Samad Said ketika mengumumkan perkara itu pada 4 April lalu menganggarkan ratusan ribu orang akan menyertainya.

Anggaran itu, menurutnya lagi dibuat berdasarkan interaksi dengan anggota masyarakat dalam majlis tertentu dan juga di laman media sosial.
Dalam kenyataannya hari ini, Nasrudin berkata, bagi mencapai sasaran kehadiran itu, Pemuda PAS di negeri-negeri akan bergandingan dengan Pemuda PKR dan DAP bagi mencapai hasrat itu.
IGP ikrar siasatan telus pada kes anak menteri
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini berjanji akan memastikan siasatan telus dijalankan terhadap dakwaan pergaduhan yang dikaitkan dengan anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan pengawal peribadinya bulan lalu.

Ismail berkata, pegawai polis akan menjalankan siasatan berdasarkan kedaulatan undang-undang.

Pihak polis mempunyai pegawai yang berkelayakan dan dan bertindak secara profesional, termasuk ketika peningkatan kes yang banyak sejak 10 tahun lepas, katanya lagi.

"Tolong jangan prejudis," kata Ismail sambil mengulas kebimbangan mungkin berlakunya cubaan menutup kes anak Nazri - Mohamad Nedim - di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur pada 19 Mac.

Setakat ini, difahamkan polis sudah memiliki rakaman kamera litar tertutup di kawasan kediaman itu.
PAS tetap mahu s'jaya diraja siasat dakwaan Mahfuz
PAS terus mendesak supaya satu suruhanjaya diraja dibentuk untuk menyiasat dakwaan oleh pemimpin parti itu bahawa kerajaan menubuhkan pasukan khas untuk memberi kerakyatan kepada warga asing untuk dijadikan pengundi.

Ketua penerangan parti itu Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan itu terbukti benar sekiranya kerajaan gagal membentuk suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan oleh MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar itu.

Dalam kenyataannya hari ini Tuan Ibrahim berkata kesediaan Mahfuz untuk memberi segala maklumat kepada suruhanjaya diraja itu merupakan tindakan berani untuk mendedahkan isu berkenaan.

"Seandainya ia suatu rekaan, tentulah Mahfuz tidak berani untuk menyenaraikan satu persatu nama yang terlibat kerana ia terdedah kepada tindakan perundangan seperti saman, siasatan dan tindakan undang-undang," katanya.

Tambahnya, beliau juga kecewa kerana NGO dan media arus perdana tidak melaporkan isu berkenaan.

Mahfuz yang dipetik oleh organ rasmi PAS Harakahdaily pada 4 April lalu menamakan anggota bahawa jawatankuasa khas itu dianggota seorang pembantu kepada perdana menteri, pegawai-pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang merupakan salah seorang daripada individu dalam pasukan tersebut, yang dinamakan Mahfuz.

Wan Ahmad juga berkata kenyataan Mahfuz itu merupakan "cerita karut" yang direka, bertujuan untuk "merosakkan integriti SPR".
‘BN sudah mula rasuah politik pusingan ke-2’
NORFARHIZA MOHD ATAR
10 April 2012
Abdul Hadi Awang
KUALA LIPIS - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tentang ganjaran yang bakal diterima peneroka Felda tidak lama lagi dilihat sebagai pemberian rasuah politik pusingan kedua kepada rakyat.
Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang berkata, melihat kepada pengumuman itu di ketika negara sedang menunggu detik pilihan raya, jelas menandakan tarikh pilihan raya umum sudah terlalu hampir.
“Rasuah politik pusingan pertama sudah pun berjalan sejak akhir tahun lalu iaitu BR1M berjumlah RM500 yang diberikan kepada mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, bantuan RM100 untuk murid-murid sekolah dan RM200 dalam bentuk baucer buku kepada pelajar-pelajar universiti.
“Rasuah politik pusingan kedua sebagaimana yang diumumkan Najib itu mungkin lebih besar jumlahnya dan mencakupi pelbagai perkara lagi. Ia tentulah sesuai dengan hasrat untuk memenangi pilihan raya dengan cemerlang, sebagaimana yang diidam-idamkan oleh Barisan Nasional (BN) sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Minum Petang Bersama Penduduk Dewan Undangan Negeri (Dun) Benta di sini, kelmarin.
Hadir sama, Ketua Penerangan Pas Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Hatta Ramli dan Yang Dipertua Pas Kawasan Lipis, Ishak Sat.
Hadi berkata, pengumuman Najib itu juga tentulah berdasarkan keyakinannya bahawa rasuah yang diberikannya sebelum ini telah berjaya menggembirakan hati rakyat dan menyebabkan mereka mula kembali menyokong Umno dan BN.
“Kawasan Felda telah dibangunkan sejak berpuluh tahun yang lalu dan tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang mengamalkan cara pemberian sagu hati kepada rakyat dalam bentuk wang tunai tetapi beliau (Najib) telah memulakannya.
“Maka, sudah tentu pemberian di pusingan kedua ini lebih besar jumlahnya dan meliputi pelbagai kelompok dalam masyarakat kerana yang dihajati ialah sokongan yang lebih besar daripada rakyat,” katanya.
Hadi berkata, rakyat dan negara tentunya lebih memerlukan pemimpin yang berani merangka dasar jangka panjang untuk kepentingan rakyat seperti keberanian untuk menurunkan harga minyak, mengekalkan subsidi untuk rakyat miskin, memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan pinjaman PTPTN.
Menurutnya, dasar berkenaan tentunya lebih bermanfaat dalam jangka panjang berbanding pemimpin yang hanya tahu memberi wang tunai RM500, RM200 dan RM100 yang boleh dihabiskan dalam waktu yang yang singkat.
Ku Li sokong tuntutan Bersih
MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
11 April 2012
Tengku Razaleigh Hamzah
KOTA BHARU - Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah secara terbuka menyokong tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini.
Susulan laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai pilihan raya, yang diluluskan oleh Dewan Rakyat awal minggu lalu, Bersih 2.0 yang tidak berpuas hati dengan laporan panel itu, mengumumkan akan mengadakan perhimpunan Duduk Bantah Bersih 3.0 di Dataran Merdeka akhir bulan ini.
Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembentukan PSC Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya berikutan perhimpunan Bersih 2.0 Julai lalu.
“Kita mahu peranan media lebih adil dan bebas. Begitu juga dengan penggunaan jentera dan kakitangan kerajaan ketika pilihan raya tidak boleh disalahgunakan.
"Kita mahu pilihan raya benar-benar adil dan bebas,” kata beliau.
Ahli Parlimen Gua Musang ini berkata demikian ketika menjawab soalan penonton pada Bicara Perjuangan dan Pelancaran Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) di Kelantan Trade Centre semalam. Turut hadir pada majlis itu ialah bekas pemimpin Pemuda Umno Kelantan, Dr Zayadi Awang Noh.
Ketika ditanya sama ada Amanah menyokong dan akan menyertai himpunan Bersih 3.0, Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, jawatankuasa itu belum bermesyuarat untuk menentukan perkara tersebut.
“Terpulang kepada ahli untuk membuat keputusan, jadi saya serah kepada ahli-ahli Amanah sama ada  hadir atau tidak pada perhimpunan tersebut,” katanya.
Pas tubuh Api pantau warga asing mengundi
Wartawan Sinar Harian
10 April 2012
KUALA LUMPUR - Pas menubuhkan Jawatankuasa Anti Pemansuhan IC (Api) bagi menangani isu warga asing yang didakwa diberikan kerakyatan untuk membolehkan mereka mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, jawatankuasa itu akan menuntut suruhanjaya diraja bagi menyiasat kewujudan ‘task force’ pemberian kerakyatan kepada warga asing yang didakwa beroperasi di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Isnin ini ahli jawatankuasa akan bermesyuarat bagi mengatur pertemuan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bagi menghantar memorandum menuntut (diadakan satu) suruhanjaya diraja,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Api berkata, jawatankuasa itu juga akan menyaring maklumat peribadi warga asing yang diberikan MyKad.

“Kita mempunyai banyak maklumat warga asing ini. Oleh itu kita perlu menyaring maklumat-maklumat ini sebagai pembuktian wujudnya ‘task force’ ini.

“Kita akan bekerjasama dengan suruhanjaya diraja bagi menyiasat ‘task force’ ini,” katanya.

Api turut dianggotai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Hatta Ramli, Exco Pemuda Pas, Suhaizan Kaiyat dan peguam Zul Hazmi Shariff.

Menurut Mahfuz, penubuhan jawatankuasa itu telah mendapat persetujuan bersama selepas mesyuarat jawatankuasa Pas Pusat, kelmarin.

Sementara itu, Hatta yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, berkata, isu warga asing yang diberi kerakyatan adalah pengkhianatan kepada negara dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas mengingatkan seluruh rakyat bahawa negata mempunyai sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan kian khianat terhadap masa depan negara.
"Tindakan kerajaan memekakkan telinga terhadap pendedahan berani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bahawa wujudnya sebuah 'task force' khas yang diketuai oleh pegawai khas kepada Perdana Menteri yang bertindak memberikan kewarganegaraan dan kad pengenalan kepada warga asing demi menyelamatkan kerajaan BN merupakan suatu malapetaka bagi negara," kata beliau dalam satu kenyataan media.
Tuan Ibrahim berkata, tindakan terdesak ini jauh lebih besar bahaya berbanding semua penyelewengan dana negara kerana memberi kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan kepada warga asing bermakna menggadai kedaulatan dan masa depan negara.
"Apa erti kuasa politik seandainya keputusan politik ditentukan oleh warga asing yang diberi kad pengenalan sehingga mereka mendapat hak yang sama dengan bumiputera dalam negara ini?
"Tindakan melampau ini tidak seharusnya dipandang sepi oleh pengamal media, sehingga tiada satu pun media arus perdana yang mengangkat isu ini," katanya lagi.
Sehubungan itu kata beliau, Pas akan terus mendesak sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi meneliti dan membuat siasatan rapi berhubung dakwaan ini.
"Kegagalan kerajaan membentuk suruhanjaya ini dilihat sebagai bukti jelas kebenaran apa yang didakwakan oleh ahli parlimen Pokok Sena," katanya lagi.

Tiada ulasan: