Rabu, 11 April 2012

MENENTANG SERTA MENGUBAH@MENUKAR PEMERINTAHAN ZALIM ADALAH SATU TUNTUTAN AGAMA ISLAM

JK atur aktiviti imarah masjid, bukan dipukul

Harakahdaily, 10 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 10 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal di atas tindakan segelintir pihak yang cuba mengganggu gugat proses pemilihan jawatankuasa masjid di negeri Selangor sehingga berlaku kegasanan yang menyebabkan Nazir Masjid As-Solehin Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Dr Abd Basir Alias tercedera.


Justeru, DPPM menganggap tindakan mereka yang berebut jawatankuasa masjid di Selangor sehingga sanggup memukul dan mencederakan orang lain sebagai golongan yang tamak dan mempunyai kepentingan diri.

“Tindakan ini amat tidak wajar kerana melanggar batasan akhlak seorang muslim,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) kepada Harakahdaily.

Beliau menjelaskan, masjid adalah institusi suci umat Islam yang mana selain tempat umat Islam beribadah, masjid juga sebagai pusat aktiviti masyarakat dan keilmuan.

Sehubungan itu, ujarnya jawatankuasa masjid bertanggungjawab menguruskan jadual aktiviti dan perancangan masjid serta mesti memikirkan bentuk aktiviti supaya masyarakat dapat mengimarahkan masjid.

Sepatutnya, kata beliau pemilihan jawatankuasa masjid dilangsungkan dalam keadaan yang penuh harmoni, ukhwah serta tenang.

“Mereka yang menganggotai jawatankuasa masjid mestilah dari kalangan mereka yang ikhlas, serta betul-betul berniat mahu mengimarahkan rumah Allah ini tanpa meletakkan niat yang lain,” ujarnya lagi.

Lebih dari itu, kata beliau pemilihan jawatankuasa masjid perlu mengambil kira dari kalangan ahli kariah serta mereka yang selalu mengimarahkan masjid.

Selayaknya, ujar Riduan pemilihan jawatankuasa masjid terdiri dari kalangan ahli mesyuarat agung itu sendiri tanpa campur tangan politik mana-mana pihak lain.

“DPPM mengingatkan mana-mana pihak supaya menghormati institusi masjid. Pertelingkahan atau pergaduhan kerana berebutkan jawatankuasa masjid tidak akan menguntungkan umat Islam,” katanya.

Malah, jelasnya mereka yang jauh dengan masjid akan semakin jauh daripada masjid manakala umat Islam pula menjadi cemuhan pihak lain.

DPPM juga, ujarnya menasihatkan supaya jawatankuasa masjid agar lebih aktif dalam menjalankan aktiviti mengimarahkan masjid.

“Ini termasuklah membuka seluas-luasnya ruang menyampaikan ilmu kepada mana-mana pendakwah atau mereka yang berkelayakan untuk mengajar di samping memberi sokongan apa juga aktiviti mendekati masyarakat,” katanya.

Menyekat, menghalang serta menahan aktiviti percambahan ilmu di masjid akan menjahilkan umat Islam dari agamanya sendiri.

Terhidu ammonia 27 masuk hospital, kalau Lynas...

Salmiyah Harun, 10 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 10 April: "Ini baru kes terhidu gas ammonia, 27 orang di masukkan ke hospital. Kita tidak mahu kes di Lynas yang tentu-tentunya menghasilkan kesan lebih besar kerana mereka akan memproses bahan dengan menggunakan asid sulfurik," demikian luah Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat Zulkefly Mohd Omar (gambar).

Mengulas insiden kebocoran gas ammonia yang berlaku di Dungun 5 April lalu, Zulkefly berkata, ia jelas menunjukkan kelalaian serta penguatkuasaan yang longgar oleh pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, kejadian terhidu gas ammonia yang dianggap tidaklah seteruk gas lain, namun penghasilan sisa yang banyak dari 'asid sulfurik' di Lynas nanti akan memberi kesan yang lebih dahsyat.

"Asid sulfurik digunakan sebagai bahan pencuci akan disalurkan ke sungai-sungai utama yang menjadi sumber utama penduduk tempatan menjejaskan hidupan sungai.

"Asid berkenaan akan menyerap ke tanah. Semua ini akan memberi kesan kepada tanaman di mana ia mengandungi radioaktif. Tidakkah akan memberi kesan yang lebih dahsyat kepada rakyat?" soalnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya yang tidak mahu rakyat tempatan mengidap penyakit kritikal selepas ini, ekoran daripada kesan yang berlaku daripada kilang Lynas itu.

Sebelum itu, seramai 27 orang mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun ekoran terhidu gas ammonia di kawasan perindustrian minyak dan gas utama di Kerteh pada 5 April lalu.

Kejadian itu melibatkan kakitangan kontraktor, Hyundai PFCE, yang sedang menjalankan kerja menyenggara di loji Petronas, terhidu gas sehingga menyebabkan mereka dihantar ke beberapa untuk mendapat rawatan.

Task force': Pegawai kerajaan jangan sembelih diri sendiri

Harakahdaily, 10 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 10 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menyifatkan tindakan Umno menubuhkan 'task force' untuk mendaftar pengundi warga asing satu tindakan mencabul konsep perlembagaan yang amalkan demokrasi sebenar.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pegawai kerajaan jangan terpengaruh dengan pemberian duit dan pangkat dari Umno kerana ia hanya menyembelih diri sendiri.

"Jangan jadi umpan untuk pegawai kerajaan  dapat duit dan pangkat kerana ia hanya sembelih mereka sendiri.

"Bila bersara nanti, tidak dihormati masyarakat, bila mati akan dikutuk oleh masyarakat, itu nasihat saya lah," kata Abdul Hadi mengulas penubuhan 'task force' khas oleh Umno untuk mendaftar warga asing menjadi pengundi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mhafuz Omar baru-baru ini mendedahkan penglibatan beberapa orang termasuk pegawai kerajaan dalam 'task force' untuk mendaftarkan warga asing sebagai pengundi.

Bagi Abdul Hadi, yang lebih malang lagi adalah orang Melayu yang terpengaruh dengan hujah kononnya tindakan ini dibuat untuk menjaga kepentingan politik Melayu.

"Malangnya yang paling tertipu adalah orang Melayu yang beragama Islam kerana mereka percaya dengan alasan inilah cara untuk pertahankan Melayu dan Islam.

"Pertahankan Melayu dan Islam bukan cara tipu, kena guna jati diri Islam. Yang hakis Melayu adalah kerana kerja-kerja penyelewengan yang dibuat Umno sebelum, semasa dan selepas pilihan raya," kata Abdul Hadi dalam wawancara khas dengan Harakahdaily.

Bagi beliau, kerja menipu melalui Mykad dan daftar pemilih bukan saja menghasilkan kemenangan yang rapuh untuk BN tetapi ia bakal menjadi sebab kejatuhan BN

Beliau juga kesal dengan tindakan ini kerana tindakan untuk mempertahankan kuasa, mereka sanggup memanggil sendiri penjajah datang untuk menjajah negara.

"Sangat malang politik negara ditentukan oleh orang luar, orang asing yang kita panggil untuk jajah diri sendiri.

"Ini tindakan yang sangat salah dan sangat silap," kata Abdul Hadi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada Umno agar belajar dari negara barat.

"Kita kena belajar dengan barat yang kalah pilihan raya dan jatuh belajar dari kesilapan untuk naik balik," kata beliau.

Beliau juga memaklumkan, PAS mempunyai maklumat BN menggunakan duit dan pegawai kerajaan dan pasukan keselamatqn untuk kawal tempat menyediakan Mykad untuk warga asing.

"Ini kita tahu semua," kata beliau kesal.

LIHAT VIDEO
PRU: Nak pertahan Melayu bukan dengan tipu

China bantu Kelantan tingkatkan hasil getah

Rizal Tahir, 10 Apr 2012
BEIJING, 10 April: Kerajaan negeri Kelantan akan membuat satu perjanjian dengan sebuah institut kajian susu getah di Negara China bagi meningkatkan pengeluaran susu getah  di negeri ini.

(Husam dan rombongan tiba di lapangan terbang Beijing)

“Satu persetujuan untuk meneroka kerja sama dengan sebuah insitut kajian susu getah bagi mengunakan formula peningkatan hasil susu getah di negeri Kelantan akan diadakan dengan sebuah institut kajian getah di negara ini.

"Formula terbaru yang dihasilkan oleh institut berkenaan dijangka boleh meningkatkan pengeluaran hasil getah,”  Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata demikian sewaktu rangka kerja lawatan ke Beijing, baru-baru ini.

Lawatan itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa.

Turut serta, timbalan exco Hazami Mohd Nor, Pengarah Tunjong Development Corporation Sdn Bhd, Ir Haji Fauzi Abdul Rahman dan Pengurus TDC, Nazri Deraman.

Turut serta tiga orang rakan media, termasuk wakil Harakahdaily serta beberapa orang ahli perniagaan.

Menurut Husam, dengan termeterai perjanjian itu nanti dijangkakan dapat meningkatkan hasil pendapatan anak syarikat  kerajaan negeri  yang berkaitan dengan getah dan pekebun-pekebun kecil.

“Formula terbaru yang dihasilkan oleh institut berkenaan dijangka boleh meningkatkan pengeluran hasil getah sebanyak 20 hingga 30 peratus,” katanya.

Ujarnya lagi, hasilnya boleh dilihat selepas tiga hingga empat bulan selepas mengunakan formula berkenaan dan ianya tidak merosakkan pokok getah.

Beliau menambah, negeri  Kelantan mengucapkan terima kasih kepada pihak Beijing kerana bersetuju untuk berkongsi formula ini.

Sebelum dari ini insitut kajian berkenaan  telah melakukan kerja sama dengan negara Filipina dan formula berkenaan belum tiba di negara ini lagi.

Akta baru masih 'berwajah' ISA?

Harakahdaily, 10 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 10 April: Ahli Parlimen PAS akan memberi perhatian khusus berhubung undang-undang pencegahan baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dibentangkan di Parlimen hari ini.


Ketua Whip PAS di Parlimen, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mengambil bahagian sewajarnya dalam sesi perbahasan nanti.


"Bagi saya ianya masih lagi mengandungi unsur-unsur pelanggaran secara tersirat dan perlu dibahas dengan teliti sebelum kita buat keputusan menerima atau menolak.


"Sehingga kini kita melihat kerajaan masih lagi tidak memberi satu jaminan bahawa undang-undang ini berbeza dengan ISA dan kita akan bahaskan," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.


Beliau diminta mengulas pembentangan rang undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dibentangkan menteri hal ehwal undang-undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini.
Ianya juga diluluskan untuk bacaan kali kedua dan akan dibahaskan pada Isnin ini.


Pembentangan ini dibuat selepas ISA dikritik hebat ekoran sifatnya yang mebolehkan mangsa ditahan tanpa bicara yang disifatkan zalim dan melanggar hak asasi manusia.


Perdana menteri dalam perutusan khas Hari Malaysia pada 15 September lalu juga mengumumkan pemansuhan ISA dan memaklumkan dua undang-undang baru akan digubal bawah semangat Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.


"Kita juga lihat masih ada lagi kuasa-kuasan menteri yag boleh mengambil tindakan atas nama keselamatan, untuk menahan seseorang di bawah akta baru ini.


"Tidak ada masalah sama ada kuasa kepada polis atau menteri, cuma perlu jelas apa beza wajahnya dengan ISA," soalnya.

'Sembang, Duduk, Bantah' 21 April di Shah Alam

Muhammad Faizal, 10 Apr 2012
SHAH ALAM, 10 April: Sebuah NGO, Prorakyat Selangor hari ini menyatakan satu pra Himpunan Bersih 3.0 akan diadakan di Dataran Shah Alam pada 21 April jam 3 petang.

Himpunan yang bertemakan 'Sembang-sembang, Duduk-duduk, Bantah-bantah' itu bertujuan untuk menaikkan semangat rakyat dalam membantah tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang enggan melaksanakan pilihan raya bersih dan telus.

Presidennya, Khairul Anuar Othman memberitahu Prorakyat juga turut mengambil ketetapan untuk bersama-sama 84 buah NGO dalam menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April nanti.

"Selain daripada penganjuran pra himpunan pada 21 April nanti, Prorakyat juga akan turut serta untuk bersama-sama berada di Dataran Merdeka pada 28 April sebagai menyatakan sokongan terhadap pilihan raya bersih dan adil kepada semua parti-parti politik dalam negara ini.

"Kita melihat sistem pilihanraya di Malaysia ini perlu direformasikan kerana terdapat banyak kepincangan yang berlaku dalam SPR pada masa kini," jelasnya pada sidang media di Shah Alam.

Tambahnya lagi, SPR dilihat lebih mengikut telunjuk pemerintah sedangkan ia adalah sebuah badan yang bebas dari cengkaman kuasa eksekutif dalam negara ini.

"Kewujudan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menambahbaik sistem pilihan raya juga dilihat gagal meyakinkan rakyat seluruh negara apabila tiada penyelesaian kukuh bagaimana daftar pengundi yang meragukan boleh dibersihkan," sambungnya lagi.

Setiausaha Agungnya, Mohd Naquib Carmeil Roseli menyatakan pra himpunan pada 21 April tidak memerlukan permit perhimpunan.

"Himpunan ini adalah himpunan yang aman bersesuaian dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan setiap warganegara berhimpun secara aman tanpa senjata dan tidak mengancam keselamatan negara dan orang awam.

"Matlamat utama himpunan pra Bersih 3.0 ini adalah untuk menunjukkan sokongan rakyat untuk melihat sebuah pilihanraya yang bersih dan adil tertegak di negara kita yang tercinta," katanya.

Himpunan 13 April isyarat rakyat tolak PSC Lynas

Salmiyah Harun, 10 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 10 April: Himpunan aman besar-besaran yang akan diadakan serentak di 11 lokasi seluruh negara selepas solat Jumaat, 13 April ini bakal menjadi isyarat jelas menunjukkan pendirian tegas rakyat Malaysia menolak penubuhan PSC Lynas sebagai tipu helah untuk melengah-lengahkan pembatalan projek Lynas.

Menurut Gabungan Solidariti Hijau SeMalaysia- Stop Lynas (SHS-SL) lokasi-lokasi yang disenaraikan antaranya Dataran Shah Alam (Selangor dan Kuala Lumpur), Masjid Al-Fatah, Batu 3 Kuantan (Pahang), Tapak Kilang Are bukit Merak (Perak), Masjid Permatatng Janggus, Permatang Pauh (Pulau Pinang),  Masjid Pengadang Baru Kuala Terengganu (Terengganu), Masjid Al-Azim (Melaka), Masjid Daerah Batu Pahat (Johor), Dataran Jam Besar, Sungai Petani (Kedah), Taman Tasik Seremban Hadapan Masjid Negeri (Negeri Sembilan), Dataran Ilmu Kota Bharu (Kelantan) dan Masjid At Takwa, Miri (Sarawak).

Himpunan di Kelantan akan dimulakan selepas kuliah mingguan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 10.30 pagi.

Jurucakap SHS-SL, Zulkefly Mohamad Omar berkata, pehimpunan aman ini bertujuan mematahkan putar belit pihak tertentu yang cuba memomokkan bahawa kempen hentikan Lynas ini cuma sekadar isu terpencil yang hanya melibatkan masalah tempatan penduduk Kuantan semata-mata.

Tambahanya, kerajaan cuba menyekat kemarahan rakyat dengan mewujudkan PSC, walhal jawatankuasa itu bertujuan mengalihkan tumpuan, kritikan dan perhatian terhadap isu berkenaan.

"Dari pusat kuasa pemutus di Putrajaya ke arah mewujudkan jawatankuasa lemah dan tanpa kuasa dengan matlamat utama menyediakan ruang (kononya saluran sah) bersuara supaya dapat meredakan penentangan lantas menyejukkan kemarahan rakyat," katanya dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, di sini tengah hari tadi.

Beliau turut mempersoalkan mengapa hanya setelah projek itu hampir 95 peratus selesai dan setelah syarikat Lynas dianugerahkan Temporary Operating Licence (TOL) baru ditubuhkan jawatankuasa yang kononya mengkaji kes ini?

Himpunan itu juga menurut Zulkefly sebagai membina momentum dan sokongan menjelang Himpunan Hijau 3.0 dan bersih 3.0 yang akan diadakan serentak pada 28 April nanti.

Beliau turut meminta orang ramai turun beramai-ramai bagi menyertai himpunan aman tersebut sebagai satu langkah sokongan terhadap usaha membantah pembinaan Lynas dan projek-projek lan seumpamanya di negara ini.

Zulkefly turut menangkis dakwaan beberapa pemimpin BN yang mengatakan isu Lynas ini merupakan isu penduduk Pahang dan orang Cina.

"Ini bukan isu orang Cina, jika inilah dakwaan mereka ia satu yang mendukacitakan. Rakyat Kuantan 90 peratus adalah Melayu sudah tentulah ianya adalah berkaitan dengan orang Melayu, apa yang penting isu ini adalah isu bersama semua terlibat kerana ia membabitkan soal kesihatan rakyat negara ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia, AP Raja Retinam berkata, Gabungan Solidariti SeMalaysia ini tidak takut dengan gertakan oleh mana-mana pihak yang cuba menghalang tindakan mereka.

Malah beliau turut dimaklumkan pihak Lynas Coporation mendesak Ngo yang terlibat membantah projeknya, memohon maaf kepada Lynas kerana menyifatkan tindakan NGO terbabit tidak betul.

"Kita harus bersatu, kita minta NGO lain terus bersama-sama dengan kita. Kita tidak gentar dengan ugutan Lynas itu, " katanya.

Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, hampir 90 peratus penduduk tempatan tidak bersetuju dengan adanya kilang Lynas di kawasan mereka.

"Pihak kami ada membuat tinjauan dan berjumpa dengan hampir setiap penduduk di situ rata-rata mereka kecewa dengan kerajaan yang meluluskan pembinaan dan operasi kilang Lynas, " katanya.

SHS-SL adalah gabungan daripada 23 Ngo di seluruh negara antaranya, Badan Bertindak Anti-Rare Earth (Badar), Stop Lynas Coalition (SLC, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Asalkan Bukan Umno (Abu), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Himpunan Hijau dan Green Clean World.

Pada 26 Feb lalu, satu himpunan besar-besaran berjaya diadakan di Padang MPK, Kuantan dengan penyertaan puluhan ribu rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum. Selain di Kuantan, bantahan tersebut juga diadakan serentak di Pulau Pinang, Sarawak, Perak dan Kuala Lumpur.

Mengapa rizab tunai Felda merudum masa Najib?

Abdul Aziz Mustafa, 10 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 10 April: Jika Felda serius mengenai integriti korporat, bentangkan Kertas Putih kepada Parlimen dan jelaskan mengapa rizab tunai Felda merudum sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih penyeliaannya, tegas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar).

Menurut beliau, dalam tahun 2001, rizab tunai Felda berjumlah sehingga RM4.5 bilion dan tiada hutang.

Tetapi, berdasarkan jawapan di Parlimen, katanya, rizab tunai Felda hanya berjumlah RM1.35 bilion tahun ini.

Lebih mendukacitakan, kata Salahuddin, Felda berhutang pula sehingga RM6.5 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Semua ini berlaku sejak Najib mengambil alih penyeliaan Felda pada tahun 2005," katanya.

Satu lagi perkara penting yang mesti dilakukan untuk menunaikan ikrar integriti, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mestilah diundurkan dari jawatannya sebagai pengerusi badan tersebut, kata Salahuddin.

Sambil mengalu-alukan tindakan Felda dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) dan Pakatan Integriti (IP) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau mengingatkan, apa yang dilakukan akan dilihat sebagai pembohongan semata-mata jika Isa kekal sebagai Pengerusi Felda.

"Ikrar boleh dibuat, tetapi adakah Felda dan semua entiti di bawahnya benar-benar dilihat mempunyai integriti oleh para pelabur dalam dan luar negara.

"Adakah pelabur boleh yakin Felda mempunyai integriti dengan ikrar tersebut sedangkan kedudukan Isa sebagai pengerusinya terus menjadi bahan ejekan dan persendaan umum," katanya.

Para pelabur, katanya, tentu tidak lupa bagaimana bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak Isa sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang.

Ketika itu, akhbar melaporkan Dr Mahathir berkata, Isa tidak sepatutnya dicalonkan dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau juga dilaporkan berkata, imej Umno terjejas jika memilih calon yang sudah pun didapati bersalah kerana rasuah politik.

Pada 2005, Isa digantung jawatan dan keahliannya di dalam Umno selama dua penggal atau enam tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin parti itu.

"Kalau Dr Mahathir kata Isa boleh menjejaskan imej Umno, adakah imej Felda tidak terjejas di kalangan masyarakat perniagaan di dalam dan di luar negara apabila beliau menjadi pengerusi badan itu?" Salahuddin mempersoalkan.

Soal integriti, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, tidak sepatutnya menjadi bahan gurauan.

"Menandatangani ikrar itu dan pada masa yang sama membiarkan Felda dipertikaikan integritinya adalah tindakan menjadikan integriti satu bahan gurauan.

"Dan, bila SPRM pun terlibat, ia juga boleh dituduh mempermain-mainkan integriti," katanya.

Bagi menunaikan ikrar integriti tersebut, Salahuddin juga meminta setiap ahli lembaga pengarah Felda dan FGV mengisytiharkan harta masing-masing serta harta keluarga mereka jika benar-benar serius tentang integriti.

"Felda dan FGV juga mesti membentangkan segala akaun dan laporan audit kepada Parlimen.
"Ketelusan perlu disini. Ketelusan bagaimana Felda dan FGVH diuruskan mesti selaras dengan ikrar tersebut

"Contohnya, proses penganugerahan pembinaan bangunan Felda dekat KLCC perlu dibuka kepada umum untuk memastikan ketelusan - bagaimana kontraktor dibayar 30 peratus sebelum kerja-kerja pembinaan dilaksanakan," katanya.

FGV pula, katanya, mestilah bersikap telus dan mengemukakan kepada Parlimen tentang keuntungan dan kerugiannya serta anak-anak syarikatnya sejak dari penubuhan FGV sehinggalah kini.

Kesimpulannya, kata Salahuddin, Felda dan FGV mestilah membuktikan kepada semua pemegang saham mereka bahawa operasi perniagaan mereka tidak termasuk apa-apa kos dan risiko tersembunyi yang berkait dengan amalan rasuah

krar: Isa Samad, Sabri wajar 'cermin diri'

Harakahdaily, 10 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 10 April: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) meminta Tan Sri Isa Abdul Samad dan Datuk Sabri Ahmad yang membuat ikrar integriti semalam supaya 'cermin diri'.

Menurutnya, tindakan kedua-duanya yang masing-masing memimpin Felda dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) menandatangani ikrar integriti korporat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam itu tidak lebih sebagai sandiwara semata-mata.

"Saya mintak kepada Isa Samad dan Sabri Ahmad suluh diri mereka lah, tak perlu nak main sandiwara ikrar integriti depan Perdana Menteri.

"Mereka buat deklarasi itu untuk tutup segala penyelewengan mereka," kata Mazlan kepada Harakahdaily.

Semalam, Felda dan FGVH menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) dan Pakatan Integriti (IP) dengan SPRM.

CIP dan IP itu ditandatangani Pemangku Pengurus Besar Felda, Datuk Suhaimi Zainuddin, Presiden Kumpulan FGVH Datuk Sabri Ahmad dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed disaksikan Datuk Seri Najib Razak dan Isa selaku pengerusi Felda.

Tindakan itu bagaimanapun dilihat banyak pihak sebagai cubaan membersihkan imej khususnya Isa.

Ini kerana Isa diragui integritinya ekoran pernah terpalit dengan isu rasuah dalam pemilihan Umno.

Lebih diragui apabila orang seperti beliau diberi pula kepercayaan oleh perdana menteri untuk menerajui Felda termasuk dalam usaha menyenaraiakan FGVH ke Bursa Malaysia.

"Mereka sebenarnya cuba nak bagitahu Felda dan FGVH berada di landasan yang betul.

"Padahal kehadiran mereka berdua dalam Felda hanya menimbulkan kacau bilau," kata Mazlan lagi.

Pada masa yang sama, Mazlan yang juga AJK PAS Pusat memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat laporan ke SPRM berhubung dakwaan salah guna kuasa oleh Isa pada 12 April ini.

"Kita juga sedang mempersiapkan dokumen untuk mendapatkan deklarasi mahkamah terhadap status Isa sebagai pengerusi Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan juga deklarasi berhubung integriti beliau," tegasnya.

Pemuda PAS kecam Umno serang nazir masjid

Harakahdaily, 10 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 10 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam tindakan serangan ke atas Nazir Masjid As-Solehin Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Dr Abd Basir Alias yang dikenalpasti didalangi oleh pemimpin Umno setempat.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa cukup kecewa di atas tindakan liar pemimpin Umno yang sanggup menyerang seorang pemimpin masyarakat hanya kerana perasaan tidak puas hati dan dengki terhadap nazir dan jawatankuasa masjid  tersebut,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar).

Beliau menyifatkan tindakan pemimpin Umno tersebut sebagai tindakan orang yang tidak bertamadun dan dan cubaan untuk menyemai budaya samseng yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat setempat.

Kejadian tersebut berlaku semasa nazir masjid baru memulakan Mesyuarat Agong Tahunan Pemilihan Jawatankuasa Masjis tersebut apabila beliau didatangi oleh pemimpin Umno setempat.

Seterusnya salah seorang penyokong Umno telah enghantukkan kepala kepada Abdul Basir sehingga mengakibatkan mata beliau lebam dan bengkak.

Hasbullah berkata, pihaknya berasa cukup kesal kerana pemimpin Umno sanggup bersikap biadab dan mengambil tindakan untuk tidak menghormati proses demokrasi di dalam sesuatu pemilihan dan menyerang seorang pemimpin masyarakat hanya kerana perasaan dendam dan iri hati yang tidak berkesudahan.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga menerima maklumat bahawa ada ahli jawatankuasa beberapa buah masjid di dalam negeri Selangor turut mendapat ancaman untuk dicederakan oleh pemimpin Umno setempat,” ujarnya lagi.

Setakat ini, ujarnya ahli jawatankuasa yang diancam telah dinasihatkan untuk membuat laporan polis.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan supaya pihak Polis Diraja Malaysia dapat melakukan siasatan dan pemantauan terhadap laporan tersebut dengan lebih serius.

Menurutnya lagi, pihaknya merasakan Umno dan Barisan Nasional kini sudah terdesak disebabkan semakin kehilangan kuasa dan sokongan sehingga sanggup mengambil tindakan kekerasan terhadap pemimpin-pemimpin masyarakat.

“Berkemungkinan inilah hasrat Perdana Menteri Malaysia apabila menyatakan bahawa Umno dan Barisan Nasional akan mengambil apa jua cara dan tindakan bagi mempastikan kemenangan berpihak kepada mereka di dalam pilihanraya yang akan datangm,” ujarnya.

Justeru, kata beliau Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga masyarakat menyedari tindakan ganas yang dilakukan oleh Umno itulah yang menyebabkan keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat Selangor kini semakin terjejas.

Lancar 100 Sebab Kenapa Umno Wajib Ditolak 15 Apr

Harakahdaily, 10 Apr 2012
KOTA BHARU, 10 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) hari ini mengumumkan akan melancarkan buku 100 Sebab Kenapa Umno Wajib Ditolak yang diterbitkan melalui Lajnah Penerangannya pada 15 April ini.
Pengumuman ini dibuat oleh Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman, Ketua DPPNK dalam satu sidang akhbar di pejabat urusan DPPNK, Bangunan Syabab Point, Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu pagi ini.



Menurut Abdul Latiff, buku itu merupakan satu usaha untuk memberikan penerangan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya di Kelantan betapa besarnya bahaya mengekalkan Umno dan Barisan Nasional sebagai kerajaan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Justeru, DPPNK mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku ini yang akan dilancarkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dalam satu majlis di Markaz PAS Gual Periok, Rantau Panjang pada jam 9.00 malam.


Menurutnya lagi, antara kandungan buku ini ialah 18 fakta jenayah Umno terhadap Islam, 18 fakta jenayah Umno di Kelantan, 12 fakta menjawab fitnah Umno di Kelantan, 18 fakta jenayah Umno terhadap bangsa Melayu dan 33 fakta rasuah dan penyelewengan terkini melibatkan pimpinan Umno dan Barisan Nasional.



“Kami yakin bahawa di sana banyak lagi penyelewengan Umno dan Barisan Naisonal yang boleh didedahkan kepada rakyat, namun 100 sebab ini sebenarnya sudah lebih dari cukup untuk rakyat membuat pilihan menolak Umno dan Barisan Nasional secara total dalam pilihanraya yang akan datang..,” katanya.


Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan buku ini, ia dijual dengan hara RM2 dan boleh didapati di Kedai KITA, Bangunan PAS Kelantan bermula Jumaat ini, manakala bagi yang berkunjung sendiri ke pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, potongan sebanyak 50% boleh diberikan.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan secara borong, pesanan boleh dihantar ke emel Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan di alamat ahmadfadhli80@gmail.com.

 

Tiada ulasan: