Rabu, 4 April 2012

SERONOK HANYA MENYEBUT2 KEJAYAAN...TAPI ITU PUN BUKAN SATU KEJAYAAN MALAH ITU SATU TANGGUNG JAWAB YANG MESTI DILUNASKAN...DALAM PADA ITU MENYOROK KELEMAHAN2 SERTA KETIDAK CEKAPNYA PENTADBIRAN SERTA PENYELEWENGAN2...LEBIH2 LAGI RASUAH@KOMISEN...MENJADI2..

Pecah tanah stadium akhir April

Rizal Tahir, 03 Apr 2012
KOTA BHARU, 3 April: Majlis pecah tanah untuk projek pembangunan rumah mampu milik dan Kompleks Sukan di Merbau Pasir Putih akan diadakan akhir April ini.


(Husam berucap dalam forum 'Putrajaya bermula di sini')

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata Kompleks Sukan dan 250 buah rumah mampu milik di Bandar Baru Bukit Merbau itu bakal menelan kos lebih RM159 juta.

Menurutnya, kompleks dan rumah mampu milik ini bakal dibina dibina di atas tanah seluas 250 ekar.

“Majlis pecah tanah itu akan dilakukan sendiri oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,”ujarnya.

Beliau menambah, sebanyak tujuh syarikat juga memohon untuk mengambil bahagian dalam tander terbuka ini.

Bagaimanapun tambahnya, hanya dua  yang memenuhi syarat kerajaan dari tiga buah syarikat yang berjaya di bawa ke mesyuarat penilaian terakhir.

Husam yang juga Naib Presiden PAS seterusnya berkata, mereka bukan sahaja perlu membayar pendahuluan sebagai tanda persetujuan untuk mengambil tander ini, sebaliknya mempunyai dana yang besar dalam akaun mereka.

“Alhamdulillah, syarat yang kerajaan negeri tetapkan dapat dipenuhi oleh dua syarikat ini, bagaimanapun mesyuarat exco pertengahan April ini akan tentukan siapa yang layak,”ujarnya.

Projek pembangunan Bandar Baru Bukit Merbau oleh Kerajaan Negeri Kelantan ini akan turut menempatkan sebuah Kompleks Sukan, termasuk sebuah stadium yang mempunyai 40,000 kapasiti tempat duduk.

Kompleks yang berharga lebih RM159 juta ini akan dibina di atas tanah  milik kerajaan Negeri di Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Rekabentuk stadium dikatakan akan menggabungkan ciri stadium dan masjid, yang menyediakan kemudahan tempat bersolat di setiap aras bangunan.

Insiden di Dewan Rakyat memalukan - Mahfuz

Salmiyah Harun, 03 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 3 April: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar (gambar)  menyifatkan insiden yang berlaku di dalam Dewan Rakyat hari ini cukup memalukan.

Beliau merujuk tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandika Amin yang meluluskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa mengambil kira pandangan anggota parlimen.

"Saya cukup kecewa hari ini, dan insiden ini adalah memalukan apabila Speaker membuat satu keputusan tidak mahu menerima pandangan dan ahli parlimen khususnya Pakatan Rakyat,"katanya dalam sidang media.

Katanya, Speaker meminta hujah daripada anggota parlimen malah hujah berkenaan dibentangkan akhirnya beliau menolak mentah-mentah dengan alasan laporan minoriti tidak menjadi amalan parlimen negara ini.

Malah katanya, ramai di kalangan ahli parlimen Pakatan Rakyat bangun mengemukakan 'precedent' sebagaimana yang dicabar oleh Speaker.

Terdahulu, Usul daripada Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke yang meminta laporan minoriti PSC dibentangkan dan diterima dalam Dewan Rakyat, bagaimanapun Pandikar Amin menolak usul itu dengan alasan tidak ada di dalam peruntukan mesyuarat dan tidak menjadi amalan di parlimen negara ini.

"Saya lihat ketidaksedian Speaker untuk memperbetulkan kesilapannya sewajarnya tidak berlaku," tegasnya.

Bagi Mahfuz, Speaker dilihat lebih 'besar' kalau beliau bersedia untuk memperbetulkan kesilapannya.

Apa yang jelas, katanya Speaker menggunakan kuasanya untuk memaksa anggota parlimen Pakatan Rakyat memperbetulkan kesilapan sedangkan beliau yang tidak tepat.

"Dia harus sedar dan memperbetulkan kesilapan keputusan dia sendiri. Sebab itulah bagi saya ia satu yang memalukan, laporan itu diterima dalam keadaan seperti ini.

"Yang menunjukkan banyak lagi kepincangan di mana saya wakil PAS banyak perkara yang saya hendak dedahkan kerhubung pendaftaran warga asing oleh pegawai yang terlibat sepatutnya saya dedahkan hari ini," katanya.

Tolak laporan minoriti, cubaan tutup daftar pemilih kotor

Harakahdaily, 03 Apr 2012

KUALA LUMPUR, 3 April: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyifatkan penolakan usul laporan minoriti oleh Speaker Dewan Rakyat hari ini sebagai cubaan untuk menutup kepincangan dalam daftar pemilih.

Ini kerana katanya, laporan minoriti itu antara lain secara jelas mengemukakan bukti senarai daftar pemilih belum bersih.

Beliau merujuk isu 42,000 pengundi ragu yang tidak mempunyai kad pengenalan dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pendedahan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) yang mengesan 80,000 pengundi yang berkongsi alamat sama.

"Bagi saya jelas menunjukkan keangkuhan, tidak mahu dengar, dan tidak bagi ruang untuk kita bagi penjelasan dan tunduk kepada tuntutan Umno.

"(Ini kerana) saya lihat laporan minoriti itu mendedahkan bahawa SPR gagal memastikan senarai pemilih yang sah," katanya pada sidang media bersama ahli parlimen Pakatan Rakyat petang tadi.

Terdahulu beliau melahirkan rasa kecewa terhadap sikap Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak usul laporan minoriti untuk dimuatkan bersekali dalam laporan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) Penambahbaikan Pilihan Raya.

Beliau juga kesal kerana Pandikar didakwa tidak mahu mendengar hujah ahli parlimen Pakatan berhubung bukti atau 'precedent' laporan minoriti pernah dibuat di negara-negara Komenwel lain.

"Speaker menolak dengan dengan alasan tidak ada 'precedent'.Dia kemudian tak mahu layan langsung perbincangan.

"Dia yang tiga kali cadang supaya kita kemukakan alasan precedent. Bila kita kemukakan dia tak mahu dengar," tegasnya.



(Anwar bersama anggota Parlimen Pakatan dalam sidang media selepas Speaker luluskan laporan PSC tanpa bahas)

Terdahulu, dewan rakyat kecoh apabila berlaku perang mulut antara ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan BN berhubung pertikaian penolakan laporan minoriti oleh Pandikar.

Kekecohan itu juga menyaksikan Azmin Ali (PKR Gombak), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS Kuala Selangor) dan Sivarasarasiah (PKR Subang) diarah keluar dewan oleh Pandikar.

Suasana tegang itu juga memaksa Pandikar membuat undian belah bahagi bagi meluluskan usul PSC tanpa bahas kerana berpendapat ahli parlimen Pakatan Rakyat 'tidak berminat' untuk berbahas yang kemudian diluluskan.

Mengulas perkara itu Anwar sekali lagi membidas sikap Speaker yang membuat kesimpulan mudah sebegitu.

"Siapa yang boleh putus kita tak minat bahas. Kita bangun nak selesaikan ini dahulu kemudian nak bahas.

"Kita bawa dokumen (untuk bahas) tapi sengaja ambil alasan, takut hujah dikemukakan dan rakyat tahu," katanya.

LAPORAN BERKAITAN

Anggota PSC Pakatan pohon laporan minoriti

Usul PSC tambah baik p'raya lulus dalam kecoh

22 syor PSC mengenai pilihan raya

Dr Hasan Ali tersalah zaman

Syed Abdullah Jamalullail,
Sebagai umat Islam secara peribadi saya simpati dengan isu murtad yang dibawa olih Datuk Dr. Hasan Ali kerana memanglah perkara akidah perlu diambil perhatian serius apa yang berlaku.
Sekarang ini dimana orang Melayu yang menjadi murtad bertambah disebabkan berkemungkinan kesempitan hidup dan kurangnya didikan agama hingga ada yang umat Islam atas namanya sahaja tetapi tidak pernah berpuasa, berzakat apa tah lagi untuk mengerjakan solat tidak pernah dilakukan seumur hidupnya. Ini adalah realiti apa yang berlaku dan tiada siapa yang peduli permasalahan sebegini.

Yang sebenarnya Datuk Dr. Hasan Ali tersalah zaman untuk mendedahkan apa yang dikatakan murtad itu kerana kalau 30 tahun atau pun setidak-tidaknya 20 tahun dahulu berkemungkinan ianya berita sensasi yang bolih meronton jiwa Melayu mendengarnya.

Tetapi di zaman di mana pembuangan bayi merata-rata dan ianya tidak menjadi berita tergempar lagi sudah pasti berita yang serupa atau seakan-akan dengannya tidak menjadi berita hangat lagi kerana manusia kini sudah lali saperti juga berita bapa rogol anak kandungnya sendiri dan melahirkan pula anak haram itu sudah menjadi perkara biasa.

Kalau ditahun-tahun 60an dahulu apabila terdengar orang yang melakukan zina disesebuah kampung itu maka gemparlah seluruh masyarakat setempat dan rasa panik terasa sangat apabila mendapat berita sebegitu.

Tetapi kini berita penzinaan sudah menjadi berita biasa dan perlakuan sumbang mahram serta seks sesama jenis saperti homoseks dan lesbian juga hampir tidak terkawal lagi untuk dipantau kerana bukan mudah untuk menjejaki gejala yang terlaknat ini dikesan.

Penyalahan pengunaan dadah juga sudah berluasuasa dimana bukan sahaja ganja dan morpin yang mereka telan tetapi berbagai-bagai jenis pil yang bolih membunuh itu dengan cepat telah berada dimana-mana.

Saya tidak nafikan bahawa niat Datuk Dr. Hasan Ali itu baik tetapi untuk menjadi 'hero' dalam isu menangani masalah murtad ini perlulah diambil kira dan buat kajian selidik dari akar umbinya lagi bagaimana dan macam mana ianya bolih terjadi dan siapakah dalang sebenarnya apabila berlakunya murtad dikalangan umat Islam dan bukannya terus membuat andaian atau menuduh orang itu dan ini apabila berlaku perkara sebegini.

Tidak perlulah turun kepadang atau kepentas dewan untuk berkempen untuk menyalahi sesiapa tetapi perlulah berceramah dengan berkhemah mengikut adat resam dan berpandukan ajaran Islam bagaimana menangani dan macam mana untuk mengatasi atau pun sekurang-kurangnya menyekat gejala murtad ini merebak tanpa menyalahi sesiapa dengan bijaksana sebagaimana yang diajar olih Baginda Rasulullah SAW.

Buat apa berkempen atas isu ini kalau semakin hari semakin kurang yang berminat untuk mendengarkannya dan lebih baik Dr. tumpukan kem motivasi atau pun buat kerja-kerja kebajikan yang bolih manfaatkan umat islam.


Syed Abdullah Jamalullail
AMPANGAN SEREMBAN

Revolusi Facebook semarak kebangkita​n anak muda

Nasrudin Hassan at-Tantawi, 03 Apr 2012
Karamah (kemuliaan) sebuah  perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan yang menepati manhaj perjuangan Islam ialah pertolongan Allah swt yang tidak pernah putus. Biarpun ia cuba disekat oleh musuhnya dari segenap arah, namun senantiasa ada lorong yang membawa perjuangan ini ke mercu jaya melepasi segala halangan yang dirintang.

Malaysia antara sebuah negara pengamal "demokrasi songsang" apabila kerajaan yang memerintah mengongkong dan menguasai media tanpa memberi laluan seimbang kepada parti bukan kerajaan untuk menyampaikan maklumat atau risalah perjuangan menerusi media arus perdana, samaada cetak atau elektronik.

Dunia maklumat menjadi sempit dan terhad. Masih segar dalam ingatan saya bagaimana seketika dulu, rutin ceramah PAS akan di adakan padang awam atau kawasan penempatan. Sementara tidak banyak cawangan PAS yang mempunyai markaz atau Pusat Tarbiyah sendiri. Seringkali PAS menganjurkan ceramah atau rapat umumnya di kawasan awam dan terbuka.

Malangnya selepas itu, pemerintah mengeluarkan pekeliling bahawa PAS tidak boleh mengadakan ceramah dikawasan awam tanpa permit kecuali di markaz atau kawasan persendirian. Akhirnya  kita boleh lihat sendiri  hari ini, bahawa hampir tiada cawangan dan kawasan PAS yang tiada markaz atau pusat tarbiyahnya sendiri dalam keadaan PAS bukan parti pemerintah kecuali hanya di Kelantan sebelum daripada ini. Fenomena ini adalah salah satu daripada karamah perjuangan .

PAS terus bergerak aktif melalui penganjuran pelbagai aktiviti luaran dan dalaman di markaz atau pusat tarbiyahnya, biarpun tidak lagi dibenarkan penganjuran di kawasan terbuka. Lebih menarik apabila perkembangan ini secara tidak langsung mendekatkan PAS dan aktiviti markaznya kepada masyarakat awam. Orang ramai yang ingin tahu mengenai PAS terpaksa datang sendiri ke markaz dan pusat tarbiyahnya setelah PAS dikekang dan ditohmah dari segenap arah. Ini satu lagi karamah perjuangan.

PAS juga disekat suaranya melalui media sebagaimana parti bukan kerajaan yang lain. Hanya berpada dengan Harakah yang terbitannya terhad kepada ahli sahaja  untuk hanya 2 kali seminggu berbanding parti pemerintah yang boleh menguasai segala jenis chanel di televisyen dan radio. Pula menguasai pelbagai jenis akhbar cetak. Siang malam, pimpinan dan aktivis parti terpaksa bersengkang serta mengurangkan waktu rehat dan tidur bagi memikirkan jalan keluar agar maklumat semasa dan risalah perjuangan ini dapat menembusi setiap pintu rumah dan hati rakyat.

Sebagaimana yang telah saya tegaskan tadi bahawa perjuangan suci ini, selama ia berlandaskan syariat Allah swt. nescaya senantiasa ada pertolongan Allah swt lalu membuka jalan keluar dari segala bentuk kekangan. Era ini Allah swt menghantar teknologi kepada kita. Antaranya ialah jaringan sosial yang terkenal iaitu facebook. Ia juga sebahagian dari karamah perjuangan.

Pengguna Facebook di Malaysia kini mencecah hampir 12 juta orang, dengan kadar penembusan 69.91 peratus pengguna internet. Laman socialbakers.com melaporkan, Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia. 53 peratus adalah pengguna lelaki dan 47 peratus pula wanita. Rata - rata dari kalangan mereka ialah anak muda.

Terdapat penambahan 200 ribu account baru setiap hari. Lebih dari 25 juta pengguna dari seluruh dunia yang aktif menggunakan Facebook setiap hari. Rata-rata pengguna menghabiskan waktu sekitar 19 minit setiap hari untuk melakukan pelbagai aktiviti di Facebook. Realiti ini meluaskan lagi potensi ziarah dan dakwah di talian cyber.

Memanafaat kekuatan medium facebook yang mempunyai jumlah pengguna berdaftar lebih 200 juta di seluruh dunia inilah, gerakan perubahan dan pengislahan meletus sebagai satu gelombang besar yang melanda negara Arab dan akhirnya menjatuhkan regim Ali Zainal Abidin di Tunisia, Husni Mubarak di Mesir, Muammar Ghadaffi di Libya. Kini facebook mencetus fenomena serupa di Syria yang menyemarakkan kebangkitan rakyat tertindas sejak puluhan tahun yang lalu.

Rangkaian sosial yang popular seperti facebook ini telah mengatasi populariti rangkaian My Space. Saya melihatnya dari aspek positif tanpa menafikan sebahagian manusia gagal memanfaatkan facebook untuk kebaikan. Samaada mereka buta teknologi atau kerana mereka mengurus teknologi dengan nafsu dan syahwat bukan wahyu dan aqal.

Facebook boleh menjadi medium perjuangan yang baru selepas medium ceramah sekian lama menjadi aktiviti tradisi kita menyampaikan maklumat. Justeru itu, saya menegaskan bahawa menjadi satu ke"wajib"an bagi setiap anggota parti samaada pimpinan atau ahli biasa untuk memiliki sekurang - kurangnya satu akaun facebook yang aktif.

Setiap anggota parti mesti celik facebook atau twitter dan sebagainya, justeru kita hidup di zaman teknologi maklumat. Bukan sahaja kita tidak boleh memusuhinya malah kita mesti menangani dan menguasainya. Langkah bijak ialah seorang ahli satu facebook yang aktif.

Buka dan miliki akaun facebook, kemudian aktifkannya dengan ilmu yang benar dan  maklumat yang tepat. Jauhkan fitnah dan maki hamun, sebaliknya tampilkan fakta dan figur serta perbahasan yang mudah dan jelas. Kuasai bahasa anak muda kemudian bimbing mereka dengan ilmu dan maklumat yang betul berpandukan petunjuk Rabbul Izzati.

Saya jangkakan revolusi facebook bakal tercetus mendepani pilihanraya umum akan datang dan anak muda adalah penggerak serta pemangkin kepada revolusi tersebut. Menyedari perkembangan penting ini, saya meletakkan para alim ulama' , cendikiawan dan intelektual di senarai paling atas yang "wajib" menjadi aktivis facebook sebagai facebookers yang istiqamah dan berhikmah. Pimpin dan bimbing anak muda menuju cita - cita perubahan agar gelombang perubahan ini terarah dan tidak melewati batas akhlak pula gelincir dari sempadan moral.

Sebagaimana cabaran dan rintangan  [ tribulasi ] yang kita hadapi sewaktu mengurus perjuangan di dunia ini , maka begitulah mehnah  [ ragam ] dan ibtila' [ ujian ] serupa yang terpaksa kita depani di arena facebook. Jika dipentas perjuangan ini kita berdepan dengan pemuda tahan lasak, samseng politik, FRU, SB dan lainnya, maka tidak kurangnya di arena facebook kita berdepan cybertrooper, penyamar 1001 wajah, pengganas moral, pengacau, hackers dan lainnya.

Mulakan dengan bismillah, sertai medium baru ini dan sabar depani segala karenah serta tabah menyerap segala cabarannya.

Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

PRU13: Muhasabah untuk semua

Idris Ahmad, 02 Apr 2012
Gendang perang pilihan raya semakin hampir. Tarikhnya menjadi teka teki, sejak tahun lepas lagi apabila Umno sendiri menangguhkan Mesyuarat Agung Pemilihan Umno kerana bimbang perpecahan yang sukar diubat. Hampir setahun sudah berlalu, namun tarikhnya belum lagi muncul kerana Datuk Seri Najib Tun Razak belum mendapat ilham.

Di mana sahaja saya bertemu dengan ahli dan orang ramai, soalan yang ditanya bila tarikh pilihan raya? Ini ada soalan lazim yang dikemukakan oleh orang ramai. Persoalannya bukan tarikh pilihanraya, tetapi persediaan untuk menghadapi pilihanraya. Apakah jentera kita sudah bersiap dengan pasarana untuk bertempur, kerana ini adalah pilihanraya yang paling kritikal. Pihak Barisan Nasional tidak semudah itu untuk menyerah kalah kepada Pakatan Rakyat. Lebih lebih lagi mereka sudah melihat regim yang tumbang akan dibawa kepada pengadilan dan dibongkar skandal penyelewingan sepanjang mereka berkuasa.

Oleh itu kepada petugas PAS mesti menganggap bahawa ini adalah kerja jihad. Jihad adalah fardu yang berterusan dan tidak  pernah terhenti. Ia berterusan sehingga kiamat. Maka menjadi tanggungjawab kepada kita untuk  memepertahankan kemenangan dan menambahkan kemenangan.

Musuh kita akan berusaha secara berterusan untuk memisahkan manusia daripada pengabdian diri kepada Allah SWT. Yakinlah bahawa kerja Jihad  adalah satu perniagaan yang sangat menguntungkan. Allah sendiri  menggalakkan hambanya yang beriman supaya  berjihad dengan janji yang cukup mewah tanpa tolak banding.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai mereka yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab yang pedih, iaitu kamu beriman dengan Allah dan Rasulnya dan kamu berjihad  di jalan Allah dengan harta  benda dan jiwa raga kamu, itulah yang lebih baik kepada kamu jika kamu mengetahui”(al-Saf: 10-11)

Allah SWT telah menyatakan habuan dan keuntungan yang diperolehi kepada hambanya yang berjihad.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah membeli daripada mukmin (yang berupa) jiwa raga mereka , dan harta benda mereka  dengan (keuntungan) syurga untuk mereka, mereka berperang di jalan Allah; mereka membunuh dan juga mereka terbunuh) (al-Taubah, 111)


Tanpa jihad rakyat akan terdedah kepada kezaliman dan ketidak adilan  dan diperbodoh-bodohkan. Sebab itu PAS meletakkan bahawa kerja pilihanraya adalah merupakan usaha jihad. Kerana inilah pedekatan muwajahah silmiah (perjuangan secara aman)  yang sudah diambil sejak  daripada pilihanraya yang pertama 1955. Sehingga kini, inilah  pendekatan yang baik  di ambil walaupun penuh dengan  penipuan  dan berat sebelah. Kerana ini adalah merupakan satu cara untuk PAS menyampaikan risalah perjuangan Islam kepada masyarakat di negara ini, termasuk kepada orang bukan Islam.

Persoalannya apakah kita sudah bersedia menghadapai gerombolan Barisan Nasional yang telah menghalalkan cara dalam semua tidakan sehingga mencemar sisitem demokrasi di negara ini. Siri-siri gangguan yang dilakukan oleh penyokong BN  tidak pernah melunturkan semangat PAS. PAS terus bersabar sambil menunggu kejayaan.

Beberapa perkara yang boleh menjadi renungan dan muhasabah bersama ketika hampir pilihanraya umum ke 13.

1.Apakah kita telah  melakukan kerja semaksimum mungkin?. Bagaimana persiapan bilik gerakan, penculaan, kewangan, pengundi luar.  Jika perkara ini tidak diselesaikan, apakah  layak kita menempah kejayaan.

2. Amat malang kepada kita, jika  ia mampu memberi banyak tenaga dan usaha yang lebih besar tiba-tiba ia tidak menyumbangkan perkara ini untuk merintis perjuangan. Sedangkan Allah di dalam firmannya: “Dan persiapkanlah kekuatan untuk mereka sedaya upaya kamu” (Surah al-Anfal: 60)

3. Adakah kita malas dan lemah semangat untuk berjuang. Sedangkan pihak penentang kita bekerja siang malam bukan kerana redha Allah, sebaliknya hanya untuk kepentingan duniawi. Ingatlah amaran Allah kepada mereka yang dihinggap penyakit ini.

"Wahai orang-orang yang beriman, apakah yang menyebabkan kamu  apabila dikatakan kepada kamu, “keluarlah di jalan Allah”, kamu berasa berat. Apakah kamu lebih suka kehidupan dunia daripada akhirat. Hidup di dunia  ini tidak ada apa-apa kalau dibandingkan dengan akhirat kecuali sedikit sahaja. Sekiranya kamu tidak  keluar nescaya diazabkan kamu dengan azab yang pedih dan dilantikan kaum dengan kaum yang lain dan kamu tidak akan dapat memudaharatkan Allah sesauatu pun, sedangkan Alah amat berkuasa atas setiap sesuatu” ( Surah al Taubah 38-39)

4. Adakah sewaktu berada di waktu kritikal ini kita pula mahu berundur daripada medan perjuangan. Kita menghentikan wakaf diri, harta, jiwa dan tenaga kepada perjuangan. Kita sanggup biarkan sahabat kita bersusah payah, sedangkan kita bercuti daripada berjuang.

5. Betulkan niat kita untuk bersama dengan Pas. Perjuangan kita ialah kerana menuntut redha Allah.  Kita berjuang bukan ada agenda peribadi. Bukan untuk mengaut kekayaan jika kita menang Putrajaya. Bukan jawatan yang kita hendak rebut.

6. Kita tidak boleh berlengah-lengah. Sekarang sudah berada dipecutan terakhir. Kita mesti cergas bergerak dan berhemah tinggi. Kita mahu setiap  petugas kuat dan lincah supaya hati-hati kita segar dan pantas. Hati yang berperasaan cemburu, marah, bengis, kurang sopan semuanya tidak membantu ke arah kemenangan.

7. Adakah kita menjaga hubungan dengan Allah SWT? Kerana inilah kekuatan yang menjadi senjata yang pailing kukuh. Kita bimbang jika hubungan dengan Allah rosak maka Allah tidak akan membantu kita di saat kita susah. Perbanyakkan doa, baca quran, zikir dan solat hajat untuk kemenangan kepada kita dan keselamatan kepada perjuangan kita.

Kes Suhaila buktikan Malaysia bukan segalanya baik

Subky Latif, 01 Apr 2012

SELURUHNYA bersyukur atas adik Nur Suhaila Tukijan, 15 tahun yang berjaya menjalani pembedahan atas sakitnya  congenital disorder di Hospital Universiti Sharjah, Dubai dan dia sudah selamat pulang.

Doktor sudah berpuas hati dia mulai sembuh dan perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital yang sama enam bulan lagi.

Syukur kita bukan sekadar dia sembuh dari penyakit yang jarang terjadi tetapi syukur juga atas kejayaan ilmu perubatan yang dicapai oleh manusia dan dari pakar perubatan di negara Islam pula.

Nur Suhaila sebelumnya sudah menjalani rawatan di tanah air tetapi tidak berjaya. Syukur ibunya membuat pencarian melalui internet di merata dunia, maka ditemuinya di Dubai.

Rawatan di Dubai itu kerana ia sudah tidak dapat diiktiarkan lagi di negara ini sedang negara ini selalu juga dikira banyak mendahului kejayaan dan kemajuan negara-negara Islam lain. Malah dikatakan Malaysia adalah mendahului negara-negara Islam lain.

Tetapi dengan kejayaan hospital di Dubai itu, maka Malaysia rupanya sudah ketinggalan dibanding dengan Dubai sekurang-kurang dalam penyakit yang menimpa Nur Suhaila.

Tetapi mungkin dalam bidang perubatan Malaysia tidak menjadi negara Islam yang terdepan.

Beberapa tahun lalu terdapat sepasang kanak-kanak laki-laki kembar siam, jika  tidak silap namanya Muhamad dan Ahmad. Kanak-kanak yang belum bersekolah pada masa itu telah selamat dipisahkan oleh doktor tetapi bukan oleh pakar perubatan di Malaysia.

Doktor dan hospital Arab Saudi yang menawarkan pembedahannya di Arab Saudi sendiri dan kos perubatan itu  ditanggung oleh Raja Saudi sekarang iaitu alMalik Abdullah.

Sekarang kedua-dua kanak-kanak sudah bersekolah dan dapat menjalani kegiatan riadhah seperti kanak-kanak lain sesuai dengan keupayaan dan kekurangannya. Ertinya mereka dapat menjalani hidup biasa seperti kanak-kanak lain.

Dan Nur Suhaila juga dilapor jika keadaan kesihatan berjalan normal, maka dia juga boleh menjalani kehidupan seperti orang lain.

Dengan dua kejadian kanak-kanak Malaysia mendapat rahmat dari bantuan rawatan negara Arab, tidak di negara sendiri, memberi gambaran tidaklah dalam semua bidang Malaysia mendahului lain-lain negara Islam. Ada juga yang Malaysia ketinggalan dibanding dengan negara Islam yang lain.

Dengan ini dapat dianggap rawatan  dan perubatan Malaysia sudah ketinggalan dibandingkan dengan Arab Saudi dan Dubai.

Dunia dan manusia itu memang begitu ada kelebihannya dan ada juga kekurangannya. Ada lebihnya dari orang lain dan negara lain, dan ada pula kekurangannya dari orang lain dan negara lain.

Tuhan berkuasa menjadi seseorang lebih dari orang lain dalam segala-galanya, dan boleh juga Tuhan mentakdirkan ada negara dan bangsa lebih dari orang dan bangsa lain  dalam segala-galanya. Tetapi Allah tidak jadikan begitu. Dia jadikan ada orang itu lebih dari orang lain dalam perkara tertentu tetapi lemah pula ia dalam perkara tertentu dari orang lain.

Maka dengan ini tidak bolehlah manusia seperti di Malaysia hendak mendakwa ia adalah negara Islam yang termaju. Ia boleh jadi negara dan bangsa yang maju tetapi tidaklah pula boleh ia mengira ialah yang termaju dan terpintar.

Dengan pengalaman yang dilalui oleh Nur Suhaila itu ternyata hospital dan doktor belah di Dubai lebih maju dari perkidmatan perubatan  di Malaysia. Dan sebelumnya hospital Arab Saudi dapat buat apa yang hospital dan doktor Malaysia tidak dapat buat.

Mungkin ada doktor di Malaysia yang boleh pisahkan kanak-kanak kembar siam seperti yang berjaya dibuat di Arab Saudi. Tetapi yang nyata tiada hospital dan  doktor di Malaysia yang menawarkan pembedahan ke atas kanak-kanak kembar Ahmad dan Muhamad tadi. Saudi pula yang membuat tawaran.

Tentang Nur Suhaila memang ibu dan bapanya sudah dapat buat banyak di  Malaysia. Mereka dapat satu tempat dan seorang doktor  yang boleh menolong Nur Suhaila atas izin Allah dan ia berjaya.

Malaysia nampaknya wajar belajar lagi supaya dapat mencapai seperti kemahiran doktor Dubai. Belajar lebih elok dari hendak mengajar orang lain.

Manipulasi BN kalahkan kuasa rakyat? PUN

Ahmad Lutfi Othman, 30 Mac 2012
Melihat sambutan hebat masyarakat terhadap program Pakatan Rakyat, khususnya ceramah-dialog politik dan majlis makan malam, tidak terbayang bahawa Najib Razak dan BN mampu mempamerkan prestasi lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang, berbanding rekod buruk Abdullah Ahmad Badawi empat tahun lalu.

Pagi Ahad lalu, 25 Mac, sewaktu singgah di majlis Himpunan Anak Terengganu di Perantauan 2012, di Kajang -- yang menyaksikan hampir semua pimpinan kanan PAS Negeri turun, termasuk Pesuruhjaya, Abd Wahid Endut dan Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang -- saya lihat hadirin memenuhi segenap ruang Dewan Majlis Perbandaran Kajang itu.

Wajah dan air muka mereka menyerlahkan keyakinan atau sekurang-kurangnya semangat dan harapan tinggi agar Terengganu tidak lagi tercicir daripada gelombang tsunami politik, seperti tahun 2008.

Di sebelah malamnya, wartawan Harakah yang membuat liputan Karnival Terima Kasih Rakyat di Stadium Kuala Selangor, sempena empat tahun Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, memaklumkan bahawa puluhan ribu menghadiri majlis ceramah Rapat Rakyat, yang disertai tiga pimpinan utama, Anwar Ibrahim, Ustaz Hadi dan Lim Kit Siang, selain Menteri Besar  Khalid Ibrahim.

Sehari selepas itu, saya dikunjungi dua aktivis mahasiswa Universiti Malaya, yang banyak menceritakan perkembangan menarik anak-anak muda di kampus; siri aksi protes terbaru mereka begitu mengujakan, termasuk menghantar simbol batu nesan kepada Menteri Pengajian Tinggi, petanda keprihatinan tinggi terhadap idealisme perjuangan untuk bersama-sama mencetuskan  perubahan yang begitu didambakan rakyat.

Sekurang-kurangnya saya dapat diyakinkan bahawa kebangkitan mahasiswa kini berupaya membentuk gelombang tersendiri dan mampu mempengaruhi kecenderungi mengundi generasi muda dalam PRU13 nanti. Jadual mereka untuk mengungguli suara kebenaran cukup padat sekali.


Ketika menulis catatan ini, jam 1.10 pagi, 28 Mac, hanya 2km dari kediaman saya, di Padang Awam, Taman Kosas, Ampang, ceramah Anwar dan Mohamad Sabu baru berakhir setengah jam lalu. Mulanya saya bercadang untuk merasai kemeriahan itu, tetapi keuzuran dan kesuntukan masa menyemak deadline Harakah menghalangnya.

Saya menelefon anak sulung yang terperangkap dalam kesesakan. "Ramai sangat yang datang ... kebanyakannya anak-anak muda. Mereka bertepuk dan bersorak semasa Anwar berucap. Mungkin itu sebabnya Anwar berceramah lama malam ini, dia pun bersemangat dengan orang muda," ujarnya sambil ketawa.

Seminggu sebelumnya, 18 Mac, sempena Hari Wanita Sedunia, di Petaling Jaya, ribuan aktivis daripada pelbagai pertubuhan, berarak penuh bersemangat, dari Masjid Bulat, Seksyen 14 dan Taman Tasik Jaya ke Paang Astaka, juga membawa tema serupa, iaitu menuntut perubahan, antara lain dengan laungan "Wanita Menuntut Kerajaan Bersih" dan "Wanita Menolak Rasuah".

Asakan berterusan terhadap Pakatan Rakyat, yang disiar besar-besaran media, khususnya Utusan Malaysia dan TV3, dengan tukang karut utamanya, Najib, sudah cukup membayangkan, bahawa Umno-BN dalam keadaan panik dan tidak tentu arah. Kuasa yang bakal terlucut begitu menggerunkan.

Ya ... begitulah pemandangan lahiriah atau lakaran di permukaan; begitu menjanjikan! Di mana-mana orang bercakap soal perubahan dan pembaharuan. Atau setidak-tidaknya menjalar fenomena Asalkan Bukan Umno (ABU), meskipun masih ada yang curiga keupayaan Pakatan Rakyat untuk melakukan yang terbaik buat Malaysia.

"Berilah peluang Pakatan memerintah kerajaan pusat ... kalau sama juga perangainya, rasuah, sombong, asyik kayakan diri dan kroni, cukup sepenggal kita tukar orang lain pula, apa susah?" Ungkapan yang lebih kurang hampir sama maksudnya, sering diluahkan kepada saya, terutama oleh orang awam yang saya lihat tidak begitu komited dengan mana-mana parti politik.

Dalam masa sama, rupa-rupanya agak ramai yang lebih cenderung untuk bersikap berhati-hati mentafsirkan situasi yang dilihat mata kasar itu. Tidak kurang yang menelefon saya, manakala lebih ramai menghantar SMS dan emel.

"Lutfi, saya bimbang dengan penipuan dan taktik jahat  BN yang kita tidak terhidu. Mungkin perancangan licik mereka berbeda dengan komplot di Terengganu pada 2004 dulu. Tapi, ia tidak lari daripada manipulasi senarai daftar pemilih, itu yang paling penting," SMS seorang pembaca Harakah, sekadar memaklumkan  dari Shah Alam.

Beliau cukup khuatir, Selangor -- yang menjadi idaman Najib dan Noh Omar -- akan terlepas ke tangan BN, bukan disebabkan kelemahan kepimpinan Khalid Ibrahim, tetapi berpunca daripada seribu satu tipu muslihat, yang disokong dan dimudahkan oleh rangkaian agensi kerajaan!

"Mampukah Pakatan halang penipuan daftar pemilih? Tidak ada cara lain kecuali kita tingkatkan tekanan melalui Bersih 3.0. Kali ini kita berhimpun lebih lama, kalau boleh berhari-hari, dan tidak bersurai sehingga ada jaminan tindakan berkesan dari kerajaan," seorang pemanggil, bekas tentera melontarkan pandangan.

Mendapat panggilan yang agak kerap dan curahan SMS dengan nada sama, yang khuatir dan curiga, bukan sahaja merisaukan laluan Pakatan ke Putrajaya, malah bimbang dengan penguasaan ke atas Selangor dan Kedah, saya sendiri naik cuak.

Apakah mereka turut terpengaruh dengan mesej yang sering saya bawa dalam kolum ini, atau kerisauan itu memang sesuatu yang real; bukan disebabkan kegagalan Pakatan untuk meraih sokongan tetapi manipulasi BN terhadap proses pilihan raya yang masih tempang ini?

Saya jarang tertarik dengan emel blogger Tulang Besi, tetapi tulisannya tentang Selangor agak menyentap perhatian saya. Antara yang ditekankan beliau:

"Dengan bantuan SPR dan JPN, Umno (di Selangor) telah berjaya menukar puluh ribuan pengundi Pakatan Rakyat dari Dun masing-masing; mendaftar pendatang asing sebagai pengundi yang sah;  menukar alamat pengundi Umno dari Johor, Melaka dan Pahang untuk mengundi di Dun (yang dikuasai) KeADILan dan PAS; dan mendaftar banyak pengundi hantu yang tidak dikenali dan tidak wujud di Selangor.


"Mengikut bilangan terkini, bilangan kerusi yang bakal dimenangi oleh Umno-BN adalah 35 berbanding Pakatan Rakyat 21. Menjelang pilihan raya umum bulan Jun 2012 nanti, bilangan kerusi yang bakal dimenangi BN adalah 43 berbanding Pakatan Rakyat 13.

"Umno-BN bukan setakat yakin untuk memerintah Selangor tetapi yakin mendapat kembali majoriti dua pertiga di Dun Selangor.

"Setakat yang saya tahu, amat sedikit sangat usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat untuk menangkis penipuan Umno-BN ini. Disebabkan kos membantah nama dalam daftar pemilih yang diragui ditetapkan oleh SPR RM10 untuk satu nama, maka PAS Selangor tidak mampu membantah dengan banyak walaupun mereka kuat bekerja."

Saya tinggalkan anda dengan persoalan yang kelihatan merisaukan ini ...

Tiada ulasan: