Khamis, 19 April 2012

MACAM BETUL..MACAM SETUJU...JIKA DAFTAR TAK BERSIH..PILIHANRAYA ELOK DITANGGUH...MACAM TAK SERONOK JIKA ADA PERTANDINGAN YANG DIADAKAN BANYAK TIPU MUSLIHAT...KIRA NAK MENANG...DENGAN MENGHALALKAN CARA...INGAT SEGALA KERJA2 JAHAT DIDUNIA AKAN DIBALAS DIAKHIRAT KELAS...SATU ORANG PUN TAK LEPAS....

Rumah Kg Berembang dan Alam Perdana dapat kunci

Harakahdaily, 18 Apr 2012
SHAH ALAM, 18 April: Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan majlis penyerahan kunci kepada seramai 1,116 pemilik rumah teres dan 2,500 pemilik rumah kos rendah di Alam Perdana  pada 28 April ini.

Perkara ini diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media hari ini.

Rumah-rumah teres ini ini telah berjaya dipulihkan oleh kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) setelah terbengkalai sejak 2004.

MBI membelanjakan lebih RM187 juta untuk menyiapkan rumah teres ini termasuk kos pengambilan tanah untuk pembinaan tangki air, laluan bagi tangki air dan laluan utama ke taman perumahan.

MBI telah melaksanakan usaha-usaha pemulihan terhadap projek perumahan terbengkalai ini termasuk pecah sempadan, tukar syarat tanah dan pengeluaran hakmilik individu dan seterusnya memastikan pembeli terlibat memperolehi rumah tersebut sehingga Sijil Layak Menduduki dikeluarkan.

Rumah kos rendah berjumlah 2,500 unit telah disiapkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). SPNB memulakan kerja-kerja pembinaan  pada November 2009 dan siap sepenuhnya pada tahun lalu.

Pada majlis ini juga,  kerajaan negeri akan menerangkan kepada 203 pembeli rumah teres dua tingkat jenis Arcadia di mana rumah-rumah ini terpaksa diroboh kerana tidak selamat diduduki. Pembinaan semula rumah-rumah ini akan dilakukan anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Pada 21 Mei pula akan diadakan penyerahan kunci kepada 694 pembeli pangsapuri Kampung Berembang di Ampang yang tiga tahun lewat disiapkan oleh pemaju.
Kerajaan Negeri mengambil alih projek ini dengan melantik pemaju baharu dengan kos pembinaan RM29 juta.

Usaha-usaha ini dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memastikan nasib rakyat Selangor terbela dan tidak dibebani hutang sehingga ada antara mereka telah diistihar muflis disebabkan kegagalan pemaju menyiapkan rumah.

Pakatan audit kenaikan mendadak pengundi S'gor

Muhammad Faizal, 18 Apr 2012
SHAH ALAM, 18 April: PAS Selangor akan bekerjasama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat bagi melaksanakan gerak kerja membersihkan senarai pemilih di setiap Dun bagi mengatasi kebanjiran pengundi tambahan.

Berkata pada sidang media di Shah Alam, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ab Rani Osman (gambar) turut mengatakan PAS Selangor juga turut mengumpulkan bukti terdapat satu jumlah yang amat besar pengundi-pengundi dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Selangor yang memiliki nombor kad pengenalan bernombor Sabah dan Sarawak.

"PAS akan berkerjasama dengan PKR dan juga DAP bagi melaksanakan gerak kerja audit membersihkan senarai pemilih di setiap Dun dan Parlimen.

"Malah apa yang diketahui penambahan nama pemilih di setiap Dun dan kawasan Parlimen adalah amat luar biasa," jelasnya.

Dalam pada itu juga, beliau turut berterima kasih atas pendedahan berani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang memberitahu wujud sebuah 'task-force' yang diketuaioleh pegawai khas kepada Perdana Menteri yang bertindak memberi kewarganegaraan dan kad pengenalan kepada warga asing demi menyelamatkan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum yang akan datang.

"Senarai nama-nama yang terlibat dalam 'task-force' tersebut membuktikan lagi kesahihan wujudnya konspirasi dan curang tajaan BN.

"Malah Mimos Berhad turut melaporkan bahawa terdapat lebih 200 ribu pengundi yang diragui dalam daftar pemilih SPR," katanya lagi.

Adun Meru itu juga turut menyatakan, PAS melalui Sekretariat Pakatan Rakyat akan membantu menjayakan Program Pendemokrasian Rakyat anjuran kerajaan negeri.

"PAS akan bersama-sama mendukung aspirasi rakyat bagi mewujudkan pilihanraya yang adil dan telus," tambah beliau lagi.

Ketika ditanya adakah PAS akan terus bertanding walaupun daftar pemilih SPR tidak bersih.

"PAS akan tetap bertanding dalam pilihanraya yang akan datang walaupun kita tahu daftar pemilih itu tidak bersih seperti yang kita kehendaki.

"Tetapi PAS akan pastikan setiap ahli akan bekerja keras dalam mengenalpasti bahawa mereka yang benar-benar sah sahaja dibenarkan mengundi, jika ada nama yang mengelirukan kita akan terus membantah," sambung beliau lagi

Selangor tiada p'raya selagi daftar tak bersih

Hazayani Zakaria, 18 Apr 2012

(Sidang media pemimpin utama Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen)

KUALA LUMPUR, 18 April: Pakatan Rakyat mencadangkan Kerajaan Negeri Selangor tidak mengadakan pilihan raya serentak dengan Kerajaan Persekutuan selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membersihkan daftar pemilih.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar bawah) berkata, kerajaan Selangor dicadang berbincang dengan SPR untuk menyelesaikan isu daftar pemilih ini.

"Sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat kemungkinan besar negeri Pakatan tidak akan turut serta terutamanya Selangor.

"Negeri-negeri lain masih membincangkannya tapi Selangor kami mahu menunggu daftar pemilih benar-benar bersih dan SPR perlu berbincang dengan semua parti dalam Pakatan dan BN di Selangor untuk memastikan tidak ada penipuan dalam pilihan raya.

"Tapi untuk persekutuan kita tidak ada upaya dan percaya pilihan raya akan diadakan dalam masa singkat," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen hari ini.

Anwar juga berkata, Pakatan amat kesal dengan kegagalan SPR membersihkan daftar pemilih meskipun perkara itu telah dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai penambahbaikan pilihan raya (PSC).

"Kita amat kesal kerana janji SPR membersihkan daftar pengundi belum ditunaikan.

35 peratus pengundi baru di Selangor


"Sehingga Disember 2011, di Selangor sahaja ada pertambahan hampir setengah juta pengundi baru.

"Sebanyak 398,300, yang pindah masuk 91,000 jumlahnya 489705.

"Ini merupakan 35 peratus undi Selangor.  Bukan isu pertambahan tapi perpindahan kawasan tanpa pengetahuan dan nama belum dikenal pasti," katanya.

Perkara tersebut turut disokong Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil menambah pilihan raya tidak wajar diadakan sebelum kerajaan melaksanakan kebebasan media.

"Indonesia, Filipina termasuk Myanmar sudah membuat perubahan mengikut desakan antrabangsa.

"Selagi hal-hal ini belum berlaku dengan cara yang sebaiknya adalah tidak wajar BN mengumumkan tarikh pilihan raya dengan segera semata-mata kerana dijamin boleh menang," katanya.


Seru sertai Bersih 3.0


Sementara itu, penasihat DAP, Lim Kit Siang menyeru rakyat menyertai Bersih 3.0 bagi menuntut pilihan raya yang bersih.

"Kita menyeru semua rakyat Malaysia keluar  menjayakan Bersih 3.0 untuk menunjukkan rakyat mahu pilihan raya yang bersih," katanya.

Sekadar tunggu disembelih?

Ahmad Lutfi Othman, 13 Apr 2012
Minggu ini suhu politik tanahair makin membahang dan panas menikam.

Bapa Altantuya Shaariibu, model Mongolia yang dibunuh kejam, Setev Shaariiibu, yang berada di Kuala Lumpur dalam lawatan tiga hari, mendakwa pernah melihat gambar anaknya diambil bersama Perdana Menteri, Najib Razak.

Dua akta primitif, yang mengekang kebebasan bersuara, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), masing-masing dibentang di Dewan Rakyat untuk pindaan dan pemansuhan (tetapi diganti dengan rang undang-undang pencegahan, yang juga dilihat keras).

Apa pun, ramai percaya, tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak akan melewati Jun ini, selepas beberapa kali ramalan tersasar. Najib masih belum kejap hatinya untuk turun ke medan meskipun saban hari berkempen politik menggunakan dana dan kemudahan awam.

Dalam pada itu. setiap program ceramah, debat dan diskusi politik Pakatan Rakyat mendapat sambutan hangat, tidak kira siapa yang mengisinya. "Paling kurang, kutipan derma dapat menampung kos program, tapi selalunya mampu meningkatkan hasil tabung PRU13," usik aktivis PAS Kuala Lumpur.


Di Parlimen, laporan PSC berhubung penambahbaikan proses pilihan raya bukan saja menimbulkan kontroversi ekoran sikap Speaker yang bebal itu, namun suasana menjadi lebih kritikal apabila pelbagai pendedahan membongkar konspirasi membabitkan lebih kurang 11 nama pegawai kanan kerajaan, yang bersedia menjadi "barua Umno-BN" bagi mempertahankan Putrajaya dan merampas Selangor daripada Pakatan.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar menyebutkan beberapa nama yang dikatakan terlibat dalam  'task force' untuk memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

"Ini isu serius kerana saya anggapnya seperti menjual negara kepada rakyat asing," kata Mahfuz. "Jika semua ini benar, hak rakyat akan dikuasai warga asing malah masa depan negara turut ditentukan warga asing," tambahnya.

Tentu nama-nama yang disebut itu bingkas menyanggah atau sekadar memberi daleh, "saya tidak tahu apa-apa",  misalnya Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Omar Wan Ahmad dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Mahfuz juga menyebut beberapa nama lain seperti Penasihat kepada Perdana Menteri, Othman Razak, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah JPN beserta tiga pegawai kanannya, dan juga orang-orang penting di MKN dan SPR.

Wartawan Saidah Hairan melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dalam satu taklimat kepada penggerak parti di Selangor, hujung minggu lalu, turut menyebut 11 nama berkenaan. Ia menjadikan senarai daftar pemilih yang ada "begitu kotor dan sukar sekali dibersihkan".

"Mereka buat kerja dengan tersusun. Jika Pakatan Rakyat Selangor kalah, bukan kerana rakyat menolak kerajaan tetapi disebabkan kemasukan daftar pemilih warga asing. Apakah Selangor menjadi negeri ketiga (selepas Sabah dan Terengganu) yang dirampas BN dengan cara begini," katanya.

Sementara itu, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi respons tegas terhadap mereka yang didakwa terlibat dengan 'task force' ini: "Jangan jadi umpan untuk pegawai kerajaan dapat duit dan pangkat kerana ia hanya sembelih mereka sendiri. Bila bersara nanti, tidak dihormati masyarakat, bila mati akan dikutuk oleh masyarakat, itu nasihat sayalah."

Dalam tinjauan rambang, saya dapat rasai kegelisahan dan kebimbangan aktivis Pakatan, khususnya pendokong PAS. Mereka mahu tindakan segera diambil, dan bukannya sekadar menunggu perhimpunan besar-besaran Bersih 3.0, 28 April nanti.

Harakah sendiri dilihat tidak cukup responsif untuk menelanjangkan komplot jahat "sekumpulan pengkhianat dan penderhaka" yang dibayar imbuhan oleh wang rakyat ini. Ramai pemanggil mendesak saya agar menimbulkan isu 'task force' ini dalam Harakah secara lebih terperinci.

"Kalau begini jadinya, memang Pakatan akan kalah, tapi tewas bukan disebabkan penolakan atau kemarahan rakyat. Ia berpunca daripada kerja jahat Umno. Dan kita kena ingat, ini hanya salah satu daripada perancangan jelik mereka, mungkin banyak lagi strategi busuk yang belum dapat kita kesan," kata seorang pembaca setia Harakah dari Setapak

Saya merujuk pandangan Mohd Khairudin Othman, Setiausaha Perhubungan PAS Selangor tentang isu 'task force' itu. "Hal ini serius ... sebab sesiapa yang dapat IC melalui cara ini, maka nama dia secara automatik masuk dalam senarai daftar pemilih," katanya.

Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hasan dan wartawan kanan, Wan Noordin Wan Yaacob memaklumkan kepada saya rumusan temubual mereka dengan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang mendedahkan usaha terancang strategis Umno memindahkan pengundi ke kawasan yang dikenal pasti berpotensi untuk dimenangi BN.

"Banyak kerusi Pakatan yang bakal terlungkup, termasuk Tumpat," kata Rashidi, merujuk kawasan yang diwakili Kamarudin Jaffar, Pengarah Urusan Harakah. "Dahsyat betul perancangan jahat Umno ini, Pakatan di Selangor mungkin jatuh kalau ianya berjaya," tegas Wan Nordin.

Difahamkan sasarannya lebih tertumpu kepada kerusi yang dimenangi secara majoriti tipis oleh PAS atau KeADILan. Dengan cara itu DAP akan dibiarkan menang dengan kelebihan undi yang besar asalkan BN dapat merebut kawasan bersebelahan apabila penyokong mereka dipindahkan ... (Saya pernah melontarkan kekhuatiran bahawa PAS mungkin akan menjadi parti paling malang dalam PRU13!)

Turut dibangkitkan salahlaku SPR "memperbetulkan" sempadan kawasan pilihan raya tanpa kelulusan Parlimen, satu lagi komplot untuk memenangkan BN, walaupun ia jelas aktiviti yang menyalahi undang-undang, iaitu memindahkan pengundi tanpa izin mereka dan memperbetulkan kawasan pilihan raya Dun mahupun kerusi Parlimen tanpa melalui persetujuan Parlimen.

Saya tertanya-tanya, mampukah Bersih 3.0 pada 28 April nanti "membersihkan" segala kekotoran dalam senarai daftar pemilih itu? Apa yang kita harapkan daripada "Duduk Bantah" itu? Jika Najib dan konco-konconya terus bersikap pekak-badak telinga tebal, apa yang boleh kita cetuskan lagi?

"Takkan nak biar Umno sembelih kita mudah-mudah macam itu saja. Sabah jatuh dengan taktik sama, Terengganu pun seperti itu, mana boleh kita tunggu Selangor juga tumbang dengan komplot jahat di bawah perancangan orang sama," marah seorang pembaca Harakah, dari Terengganu, yang mengaku "tidak dapat bersabar" lagi.

Ketika saya bersama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) cuba berkempen dan melobi untuk memastikan hak pemilih untuk mendapat maklumat yang komprehensif, tepat dan cepat sebelum mengundi dalam pilihan raya paling sengit nanti, serta mendesak tempoh kempen minimum dilanjutkan kepada 21 hari, isu daftar pemilih menganggu tumpuan KAMI.

"Pakatan juga mesti tekankan bahawa  semua pengundi pos, yang menjadi 'simpanan tetap' BN selama ini, mesti  ditukar kepada kategori pengundian awal," kata seorang sarjana sains politik, dan tambahnya, "pastikan juga dakwat kekal memang benar-benar digunakan kali ini."


II.

Saya terpaksa menangguhkan dahulu ulasan terhadap isu mendesak manipulasi senarai daftar pemilih bagi meneruskan catatan perjalanan ke Bumi Kenyalang, 1 April lalu.

Saya menghadiri kursus kewartawanan dan media baru di Miri, sambil cuba menyelami pergolakan politik Sarawak, yang semakin diperhatikan terutama selepas pilihan raya negeri (PRN), April 2011.

Sarawak menyumbang kerusi Parlimen paling banyak, iaitu 31, dengan hanya Bandar Kuching dapat dikuasai DAP dalam PRU12 (ditambah satu lagi, juga melalui DAP di Sibu, dalam pilihan raya kecil, Mei 2010).

Namun dalam PRN10, DAP mendapat tambahan 100 peratus kerusi Dun, iaitu daripada enam kepada 12. KeADILan pula mencatatkan kemenangan di tiga kawasan, sedangkan PAS masih belum meraih kejayaan.

"BN sendiri mengakui kesukaran kali ini. Saya difahamkan, pemimpinnya hanya berani mendakwa lebih kurang 20 kerusi Parlimen sebagai kawasan selamat," kata Jofri Jaraiee,
Yang Dipertua PAS Miri, dikenali dengan blog dwibahasanya yang cukup aktif, pas-miri.blogspot.com.

Semasa berucap meraikan kedatangan saya dan petugas Jabatan IT PAS Pusat, Jofri melahirkan keyakinannya bahawa bumi Sarawak memang tapak yang subur buat Parti Islam jika setiap potensi digembleng sebaiknya.

Beliau turut mengharapkan Harakah dapat memuatkan lebih banyak perkembangan siasah negeri itu. Sambil mengakui masih ada kelompok yang memandang serong PAS, Jofri lega dengan sikap masyarakat Tionghua "yang lebih terbuka dan menghargai sumbangan kita".

"Begitu juga dengan respons masyarakat Iban di sini, begitu positif. Apatah lagi kemungkinan besar  PAS akan meletakkan seorang calon Iban, yang juga merupakan seorang personaliti televisyen terkenal, di kawasan Parlimen Sibuti," kata Jofri.

Ditemani Yeo Kian Leong, Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sarawak, yang turut hadir sepanjang pagi kursus kewartawanan media baru itu, Jofri membawa 'menjelajah' kawasan Sibuti.

"Kawasan ini luas, mungkin hampir sama dengan Selangor, itulah yang saya sebut tadi, kalau tempoh kempen dibenarkan sebulan pun belum tentu kita dapat berjumpa semua pengundi," katanya sambil menunjukkan ladang kelapa sawit yang sebahagiannya 'dirampas' daripada tanah adat masyarakat pribumi.

Sebenarnya saya lebih tertarik dengan sembang santai Yeo, sepanjang perjalanan kami. Beliau lebih banyak menggunakan istilah "Parti Islam" atau "Parti Tok Guru" semasa merujuk kepada PAS.

Insya-Allah keluaran depan saya cuba merakamkan idea dan sudut pandangan Yeo yang cukup bernas dan praktikal, khususnya untuk membantu kempen PAS di Sarawak.

Pada malam 2 April, tidak sampai 24 jam saya tiba dari Miri, Jofri mengirim SMS memaklumkan ayah Yeo meninggal dunia di Krokop. Rombongan PAS Kawasan berkunjung ke rumahnya dan mengucapkan takziah.

Universiti Limkokwing reka sejadah idea Nik Aziz

Rizal Tahir, 18 Apr 2012
KOTA BHARU, 18 April: Universiti Limkokwing menyerahkan 1,000 keping sejadah kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, untuk dihadiahkan kepada beberapa buah surau dan masjid.

Reka bentuk sejadah dihasilkan berikutan idea yang diberikan oleh Tuan Guru sewaktu melawat universiti itu tidak lama dahulu.
(Tok Guru Nik Aziz menerima cenderamata sejadah yang direka bentuk oleh Limkokwing Universiti.)

Ia dibuat sempena majlis perasmian Kelantan Design dan Branding Exhibition.

Program yang meliputi beberapa program termasuk seminar, bicara, pameran ini kerjasama antara kerajaan negeri dan Universiti Limkokwing.

Naib Presiden Limkokwing, Raja Aznil Raja Syam, berkata sejadah dihasilkan berikutan idea Tuan Guru sendiri.

“Sewaktu Tuan Guru melawat Limkokwing, tok guru berkata, kenapa bahagian design tidak mereka sejadah, sebab sejadah yang ada di pasaran begitu berkecamuk rekabentuknya.

"Keadaan itu membuatkan kita tidak khusyuk sewaktu bersolat, kata Tuan Guru,”ujarnya.

Sambungnya, ekoran idea itu, pihaknya mula menghasilkan sejadah.

Pada majlis itu juga Tuan Guru turut memilik rekabentuk sejadah serta warna pilihannya sendiri yang akhirnya dihadiahkan oleh pihak Universiti Limkokwing pada majlis petang tadi.

Limkokwing akan membuka peluang pengajian pada rakyat di negeri itu bermula pendaftarannya Mei ini.

Tuan Guru berkata, memandangkan kerajaan negeri mementingkan pendidikan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadakan kerjasama untuk bidang pendidikan dengan universiti tersebut.

Seluas 20 ekar tanah di Machang telah dikenal pasti untuk pembinaan universiti itu tidak lama lagi.

Turut berucap pada majlis itu, timbalan exco kerajaan negeri, Zulkifli Mamat.

Benar Malaysia NGO banteras jenayah

Hazayani Zakaria, 18 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 18 April: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Benteng Negara Dari Jenayah (Benar Malaysia) ditubuhkan bertujuan  menentang jenayah di negara ini.
(Sidang media Benar Malaysia di lobi Parlimen hari ini)

Pengerusinya, Mohd Firdaus Jaafar yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, penubuhan Benar  Malaysia memfokuskan untuk memberikan kesedaran dan menggerakkan usaha bagi membendung gejala jenayah di kalangan masyarakat.

Menurutnya, Benar Malaysia  yang ditubuhkan pada April, dianggotai oleh anak muda yang komited dan bertekad menjadikannya sebagai sebuah NGO yang mampu dan berusaha menyumbang negara yang lebih sejahtera.

"Benar juga akan memainkan peranan memerangi, membanteras dan memberikan kesedaran kepada masyarakat berkaitan gejala jenayah.

"Benar bukanlah bertindak sebagai rakan cop, tetapi sebagai pemudah cara dalam membanteras gejala jenayah," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Benar juga berusaha untuk mendidik dan memberikan kefahaman kepada masyarakat.

Menurut Firdaus, Benar bertekad untuk mewujudkan sebuah lingkaran komunti masyarakat yang mempunyai kesedaran membanteras jenayah.

Sehubungan itu, Benar akan mengadakan program turun padang selain "road show" sebagai langkah memperkenalkan peranannya.

Hadir sama Pengerusi Bersama, Mohd Nazree Mohd Yunus dan Setiausaha,  Ahmad Shukri Kamarudin, Sekretariat Muhamad Affandi Abdul Malik, Yuzi Azhar Yusof, Fadhil Osman dan Ramlan Roes.

Perwakilan KPF: Jangan terpengaruh dengan tawaran

Anis Nazri, 18 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 18 April: Para perwakilan Koperasi Permodalan Felda (KPF) diingatkan tidak terpesona dengan 'tawaran' yang dicanangkan pihak tertentu ketika mesyuarat khas koperasi itu, yang dijadualkan esok.

Presiden Anak, Mazlan Aliman, berkata perwakilan perlu menyedari segala tawaran tersebut hanya akan memberi kesan buruk seperti tawaran saham amanah negeri-negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kini kecundang.

Tegasnya, perwakilan perlu meneliti dan menghalusi fakta yang berlaku dalam dunia pasaran saham, yang bukan sahaja memberi kesan kepada KPF sahaja, sebaliknya kesan terhadap masa depan pencarum juga.

"Esok merupakan mesyuarat khas KPF, di mana akan menentukan sama ada KPF bersedia atau tidak disenaraikan bersama FGVH. Kita sudah buat dua kali injuksi.

"Jadi, harapan saya perwakilan mengambil serius kerana ia membabitkan masa depan KPF dan para pencarum," tegas Mazlan (gambar)  kepada Harakahdaily hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Anak mengambil sikap 'tunggu dan lihat' berhubung keputusan mesyuarat khas tersebut.

Katanya, jika keputusan yang disepakati itu hanya 'berita buruk' kepada generasi Felda, Anak tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyertai Konvensyen Halatuju Felda, yang akan diadakan di Shah Alam, 22 April akan datang.

Konvensyen yang akan membincangkan halatuju dan masa depan generasi Felda itu akan diperkasakan dengan kehadiran beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Tiada ulasan: