Rabu, 4 April 2012

BILA NAK JADI JUARA...JUARA YANG LEMAH ILMU ISLAM...JUARA TAK TAHU NI BOLEH DAN INI TAK BOLEH...PENAMPILANNYA PUN JAUH DARI PENAMPILAN ULAMAK...PENAMPILAN MACAM ORANG MASIH TERIKAT DENGAN PENDIDIKAN2 SEKULAR...DAH DITERANGKAN BERULANG2...INI ALLAH JELASKAN BEGITU TERANG DALAM HUKUM...IAITU HUKUM ORANG YANG MURTAD...MAKA PERJUANGKAN HUKUM HUDUD...TERMASUKLAH ARAK...ZINA...TAK SOLAT...MENCURI DLL...SUASANA JUGA MENYUMBANG JUMLAH MURTAD BERTAMBAH....KITA LIHAT ADAKAH MEDIA YANG ADA DIPASARAN...MENGAJAK KITA TAQWA...ATAU MENGAJAK KITA BUAT MAKSIAT...ATAU MENYUBURKAN MAKSIAT...ATAU MENGAJAK BERFIKIRAN BEBAS...DAN JANGAN SEKALI FANATIK PADA AGAMA...SEDANGKAN FANATIK PADA ALLAH...DAN ISLAM MEMANG DITUNTUT...

Harap BN hapus rasuah macam minta sisik ikan keli

Harakahdaily, 03 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 3 April: “Nampaknya hendak mengharapkan kerajaan BN menghapuskan rasuah seperti meminta sisik daripada ikan keli,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Beliau berkata, buktinya dengan amaran yang diberi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menegur Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdull yang merungut tentang kes-kes rasuah yang telah ditolak oleh Pejabat Peguam Negara.

Nazri  mengulas kenyataan Shukri di sebuah forum Khamis lepas bahawa SPRM menyiasat semua tuduhan rasuah yang diserahkan kepadanya, tetapi Pejabat Peguam Negara yang enggan memfailkan kes-kes tersebut di mahkamah atas alasan bukti tidak mencukupi.

Akhirnya, kata beliau SPRM dikambinghitamkan oleh orang ramai apabila kes-kes yang melibatkan berprofil tinggi dipendamkan.

“Hanya  yang diseretkan ke mahkamah hanya singa tua yang tidak ada gusi lagi, seperti Tun Lim Liong Sik kes Port Klang Free Zone (PKFZ), Datuk Seri Dr Khir Toyo, Datuk Kasitah Gadam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kesannya, tambah beliau seperti laporan Transparency International Malaysia mendedahkan  hujung tahun lalu (2011), Malaysia mencatat ranking terburuk dalam tempoh 10 tahun.

Malaysia jatuh dari tangga 56 kepada tangga 60 dari sejumlah 183 buah negara manakala skor CPI jatuh kepada tahap paling rendah.

Dalam tempoh lima tahun pentadbiran Abdullah, ranking TI CPI Malaysia jatuh 10 anak tangga dari 37 pada 2003 kepada 47 pada 2008 manakala CPI berligar di antara 5.0 hingga 5.1.

Najib pula katanya, dalam tempoh dua setengah tahun pentadbirannya mencatatkan TI CPI terburuk; jatuh sembilan anak tangga dalam tempoh setahun sahaja dari kedudukan 47 pada tahun 2008 kepada 56 pada tahun 2009.

Pada tahun 2011 pula, ranking TI CPI Malaysia jatuh 13 anak tangga dari kedudukan 47 kepada  60 di bawah pentadbiran Najib.

Usul PSC tambah baik p'raya lulus dalam kecoh

Harakahdaily, 03 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 3 April: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dalam suasana kecoh.

Ianya berlaku ketika Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menyambung giliran membahaskan usul syor itu selepas persidangan rehat tengah hari ini di hadapan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.

Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya bangun mencelah dengan membantah keputusan Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak laporan minoriti awal pagi tadi.

Antaranya Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan Sivarasa Rasiah (PKR-Subang).

Mereka mempertikai alasan Pandikar yang menolak laporan minoriti pagi tadi hanya atas sebab tidak pernah diamalkan di mana-mana parlimen di dunia.

Sedangkan pagi tadi mereka telah mengemukakan bukti ianya pernah dibuat termasuk di Jamaica, New Zealand, United Kingdom dan termasuk di House of Commance sendiri.

Selepas beberapa kali namanya disebut, Pandikar kemudian masuk dan menggantikan Ronald Kiandee untuk kembali mempengerusikan persidangan.

Ketika itu dewan sudahpun kecoh dengan perang mulut antara ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan BN yang mempertahan keputusan Speaker.

Dalam kekecohan itu Pandikar mengarahkan Azmin, Dzulkefly dan Sivarasa untuk meninggalkan dewan atas alasan mempersoal keputusan Speaker.

Kemudian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bangun mempertikai keputusan Speaker itu.

Dalam suasana kecoh itu Anwar mendakwa, Pandikar telah bertindak tidak wajar apabila tidak menerima precedent yang dikemukakan oleh anggota parlimen Pakatan Rakyat.

Anwar juga mendakwan Pandikar sepatutnya meminta maaf di atas kesilapannya itu.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya beramai-ramai melaungkan leave the chair kepada Pandikar.

Tiba-tiba dalam kekecohan itu Pandikar mengumumkan bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak berminat untuk membahaskan usul itu.

Beliau juga meneruskan dengan undian belah bahagi yang menyaksikan usul itu dilulus tanpa bahas.
Persidangan Dewan Rakyat juga ditangguhkan dan akan disambung semula jam 10 pagi esok.

3 tender lebuhraya KB - K Krai dibawa ke exco

Rizal Tahir, 03 Apr 2012
KOTA BHARU, 3 April: Tiga dari tujuh tender syarikat yang memohon tander untuk mengambil bahagian dalam pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, akan dibawa ke mesyuarat exco pertengahan April ini.

Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa, berkata tiga syarikat berkenaan telah memenuhi syarat yang dikehendaki antaranya bayaran pendahuluan RM100,000.

“Keputusan untuk memilih mana-mana syarikat yang berwibawa untuk membina jalanraya berkenaan akan ditentukan dalam mesyuarat exco pertengahan April ini,”ujar beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis forum sempena majlis  Makan Malam Dana Piliharaya PAS Kawasan Kota Bharu yang bertajuk ‘Puterajaya Bermula di sini’.

Dua anggota panel yang dijemput menjayakan program itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bertindak sebagai moderator.



(Tiga penal dan moderator dalam forum 'Putrajaya bermula di sini' semalam)

Majlis makan malam itu diurus sebahagian besarnya oleh Timbalan YDP Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurutnya yang juga Naib Presiden PAS, pembatalan pembinaan lebuhraya berkenaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaksa kerajaan negeri mencari inisiatif sendiri.

“Cadangan membina lebuhraya berkenaan dibuat sejak awal tahun 1990-an sewaktu Tun Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri.

“Kemudian, sewaktu Pak Lah jadi Perdana Menteri, usaha itu akan diteruskan, bagaimanapun tidak berkesempatan apabila Najib pula menjadi perdana menteri dan terus membatalkan cadangan sejak RMK-5 lagi,”ujarnya.

Majlis makan malam itu turut dihadiri oleh pelbagai masyarakat termasuk India, Cina dan Siam, termasuk pemimpin NGO, masyarakat Cina Kelantan dan Kuala Lumpur.

Anggota PSC Pakatan pohon laporan minoriti

Harakahdaily, 03 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 3 Mac: Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dari Pakatan Rakyat memohon satu Penyata Minoriti dimasukkan dalam laporan mereka untuk mengenengah lima perkara yang tidak selesai.

Tindakan ini bertujuan untuk membolehkan apa-apa perolehan mereka sebagai anggota PSC itu turut didengari walaupun ditolak secara majoriti dalam mesyuarat PSC.

Permohonan itu dikemukakan oleh Mohamed Azmin Bin Ali (Gombak), Loke Siew Fook (Rasah) dan Dr Mohd Hatta Bin Md Ramli (Kuala Krai).

Mereka membuat permohonan ini melalui pindaan kepada Usul oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menurut Peraturan Mesyuarat 30 (1).

Usul yang mereka bentangkan berbunyi:

"Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 86 (5) dan keputusan Usul yang diluluskan oleh Dewan ini pada 3 Oktober 2011, maka Penyata Jawatankuasa Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dibentangkan di atas meja Mesyuarat di dalam Dewan ini sebagai Kertas Dewan No. DR. 1 Tahun 2012 hendaklah diterima dan dipersetujukan dengan memuatkan satu penyata minoriti yang dibentangkan oleh YB Gombak, YB Rasah dan YB Kuala Krai."

Dalam penyata itu, ketiga-tiga mereka memberikan lima perkara untuk dimasukkan dalam penyata minoriti itu.

1) Membetulkan sempadan kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen. Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengakui bahawa proses yang mereka telah lakukan adalah menyalahi peruntukan undang-undang. Tindakan serta-merta perlu diambil untuk mengembalikan pengundi-pengundi yang terjejas dalam proses tersebut kebahagian pilihanraya DUN dan Parlimen yang mereka mengundi pada PRU ke-12. Proses ini perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari selepas Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

2) Isu berkenaan 42,000 pengundi ragu yang masih belum dibersihkan oleh SPR.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan membersihkan senarai tersebut dan mengeluarkan nama-nama pengundi ragu tersebut dalam tempoh 15 hari daripada Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

3) Nama pengundi yang melebihi 100 tahun. Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan menyiasat dengan terperinci nama-nama warga emas yang berumur lebih 100 tahun ini dan seterusnya membersihkan nama-nama tersebut daripada Daftar  Pemilih dalam tempoh 30 hari.

4)  Pengundi ragu yang menggunakan nombor kad pengenalan yang bertentangan jantina. Mereka mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan menyemak nama-nama tersebut dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan seterusnya membersihkan senarai tersebut daripada Daftar Pemilih dalam tempoh 30 hari dari Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

5) Isteri anggota polis yang didaftarkan sebagai pengundi pos. Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengeluarkan semua nama isteri anggota polis yang telah didaftarkan sebagai pengundi pos dan dimasukkan semula dalam Daftar Pemilih sebagai pemilih biasa dalam tempoh 15 hari selepas Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

Mereka mahu membuat laporan ini untuk untuk tidak memperakui Laporan Akhir Jawatankuasa PSC yang mereka sertai sebagai laporan yang konklusif.

Ini kerana kegagalan SPR sehingga kini untuk bertindak sesuai dengan mandat Perlembagaan demi memastikan perjalanan pilihanraya yang bersih dan adil.

"Malah sepanjang perjalanan mesyuarat Jawatankuasa, berdasarkan penjelasan yang diberikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, tambah meyakinkan kami bahawa SPR kian hilang kewibawaan menyempurnakan mandat tersebut secara bebas dan adil," kata mereka bertiga.

Kehadiran saya tidak penting, bukan murtad - Dr Rani

Anis Nazri, 03 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 3 April: "Kehadiran saya yang tidak penting, bukannya video itu yang tidak penting.  Itu maksud saya," tegas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Rani Osman hari ini.


(Hasan guna keratan akhbar yang tersalah petik untuk menyerang Dr Rani)

Beliau mengulas laporan akhbar Sinar Harian yang digunakan bekas ahli PAS, Datuk Dr Hasan Ali untuk menyerang beliau.

Mengakui beliau menerima pelbagai panggilan yang menegur 'kenyataan'nya di Sinar Harian, semalam, Dr. Rani berkata berlaku salah lapor dari akhbar tersebut tentang kenyataannya itu.

Bercerita kembali kepada Harakahdaily, Dr. Rani dihubungi Sinar Harian sehari sebelum bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Hassan mendedahkan video murtad yang dimilikinya.

Ketika itulah Dr. Rani menyatakan pendiriannya untuk tidak menyertai sidang media tersebut dengan menyatakan kehadirannya tidak penting pada majlis itu.

Bagaimanapun, beliau berkata penting bagi video itu dirujuk dan diserahkan kepada pihak yang berkuasa seperti jabatan agama atau pun menteri yang menjaga agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Saya juga komen, video murtad itu tidak perlu serah kepada PAS atau pihak lain.  Serah dulu kepada pihak berkuasa.  Lebih-lebih lagi Jamil Khir sendiri pernah beri kenyataan mana-mana individu yang ada bukti tentang kes murtad boleh terus merujuk kepada beliau," kata Dr. Rani yang juga Adun Meru.

Akhbar Sinar Harian, semalam melaporkan kenyataan Dr. Rani yang dianggap sesetengah pihak seolah-olah beliau tidak memandang serius isu murtad, termasuk Hassan.

Dr. Hassan dilihat banyak menyerang Dr. Rani (gambar kanan) setelah jawatannya sebagai pesuruhjaya negeri diambil Dr. Rani ekoran pemecatannya dari PAS, Januari lalu.

Menyentuh soal isu murtad yang didedahkan Dr. Hassan, Dr. Rani berkata sebagai orang Islam sudah tentu isu itu merupakan satu isu penting yang memerlukan penglibatan semua pihak.

Tetapi, apa yang menimbulkan persoalan mengapa rakaman itu hanya memuatkan suara, tanpa wajah mereka yang mendakwa cuba dimurtadkan?

Lebih-lebih lagi, Hassan mendakwa video itu dirakamkan pada 2002 lagi, yang ketika itu Hassan masih belum memegang jawatan sebagai exco agama di Selangor.

"Macam ada sesuatu yang tidak kena dengan video tersebut.  Ada suara sahaja, tidak cukup kukuh buktinya itu.  Lagi satu, kenapa simpan lama sangat baru hendak dedahkan sekarang?  Kenapa bukan masa dia ada kuasa dahulu?" soal Dr. Rani lagi.

Mampukah denda RM25 gerunkan penari tiang?

Harakahdaily, 02 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 2 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kesal dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung isu tiga wanita 'penari tiang' yang hanya didenda RM25.

Jamil Khir ketika mengulas perkara itu berkata bahawa, pesalah kes moral tidak harus dilihat dari aspek hukuman saja, tetapi juga pada keperluan kaunseling terhadap mereka.

Beliau juga turut berkata "Harapan kita masyarakat umat Islam tidak terjebak dalam perkara seperti ini".

Mengulas kenyataan itu Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, pesoalan pokok yang perlu Jamil Khir jawab adakah denda RM25 itu mampu menggerunkan mereka dari mengulangi perbuatan itu atau memberi pengajaran kepada orang lain.

"Hukuman yang setimpal juga adalah sebagai kaunseling terbaik kepada semua pihak, sama ada pesalah dan masyarakat.

"Apakah pengajaran yang boleh diambil dengan hanya denda RM25 sahaja seorang? Mampukah denda RM25 memperi peringatan keras kepada individu lain daripada menceburi bidang yang haram ini," soalnya.

Dalam hal ini katanya, Datuk Seri Jamil Khir perlu ingat bahawa gejala sosial dalam masyarakat di negara ini sudah berada di tahap yang membimbangkan.
Lebih malang ujarnya apabila yang terlibat dalam industri seks sebagai penari lucah di kelab malam ini adalah gadis Melayu beragama Islam.

"Ternyata Datuk Seri Jamil Khir gagal menjaga agama Islam dan umatnya di negara ini.

"Beliau menganggap kesalahan itu sebagai remeh dan hukumannya setimpal sedangkan umat Islam menganggap kesalahan mereka amat besar," kata Riduan.

Khamis lepas, tiga wanita beragama Islam didenda RM25 seorang oleh mahkamah berkenaan selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkelakuan kurang sopan dengan melakukan aksi tarian tiang di sebuah pusat hiburan di Nilai pada 24 Mac lalu.

Mereka didenda mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM25 atau penjara maksimum 14 hari.

Hukuman itu bagaimanapun dipertikai masyarakat kerana merasakan denda RM25 itu terlalu kecil berbanding kesalahan yang mereka lakukan.

Malah ada yang mendakwa ianya jauh beza dengan pendapatan lumayan penari tiang tersebut dan denda RM25 bukan satu pengajaran kepada mereka.

22 syor PSC mengenai pilihan raya

Harakahdaily, 03 Apr 2012


SETELAH mendengar cadangan dan maklum balas daripada individu/persatuan/pertubuhan berdaftar serta cadangan dan maklum balas daripada ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) dan mengambil kira perbincangan dalam Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil dan pemerhatian daripada Lawatan Kerja, PSC mengemukakan syor-syor penambahbaikan proses pilihan raya seperti yang berikut:


(I) PERUNDANGAN DAN PINDAAN PERATURAN

1. Memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada mengundi di Perwakilan Malaysia atau secara pos

1.1. Jawatankuasa menyusul cadangan dalam Laporan Jawatankuasa (DR. 3/2011) untuk membenarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara sama ada mengundi awal di Perwakilan Malaysia atau mengundi secara pos.
1.2. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa untuk membenarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengundi di Perwakilan Malaysia adalah sukar bagi SPR untuk melaksanakannya berdasarkan sistem pilihan raya sedia ada dan isu logistik. Pandangan ini turut disokong dengan maklum balas daripada Kementerian Luar Negeri.
1.3. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan SPR untuk mengkaji kemungkinan untuk membenarkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara untuk mengundi secara pos tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
1.4. Jawatankuasa mengambil maklum syarat-syarat yang dicadangkan oleh SPR seperti yang berikut:
(a) Telah mendaftar sebagai pemilih; dan
(b) Hendaklah balik ke Malaysia sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima (5) tahun terdahulu sehingga pada tarikh memohon untuk mengundi sebagai pengundi pos.
1.5. Jawatankuasa mengesyorkan SPR berbincang dengan pihak-pihak berkuasa terlibat dalam tempoh 3 bulan dari tarikh laporan ini diterima oleh Dewan Rakyat bagi membolehkan syarat-syarat tersebut dikuatkuasakan melalui penggubalan kerangka undang-undang yang berkaitan.
1.6. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan ini juga akan melibatkan pindaan pada seksyen 16 Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
1.7. Jawatankuasa mengesyorkan SPR mengkaji suatu kaedah lain yang melibatkan penghantaran kertas undi melalui pos terus kepada pengundi di luar negara dan penghantaran balik kertas undi itu dibuat melalui pejabat Perwakilan Malaysia untuk dihantar terus ke Ibu Pejabat SPR bagi proses pengiraan undi dan proses seterusnya.

2. Memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas SPR dan media

2.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan agar SPR mengkaji sama ada membenarkan petugas media untuk mengundi awal atau pun mengundi secara pos.
2.2. Jawatankuasa mengambil maklum kaedah pengundian bagi petugas SPR adalah secara pos.
2.3. Jawatankuasa mengambil maklum ulasan SPR supaya petugas media diberi kemudahan mengundi secara pos yang akan diwartakan di bawah Peraturan 3(1)(f) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
2.4. Jawatankuasa mengambil maklum semua petugas media yang disahkan oleh majikan sebagai petugas media dan kena bertugas pada hari mengundi di luar kawasan pendaftarannya yang berhasrat untuk mengundi secara pos hendaklah memohon untuk berbuat demikian melalui Borang 1 (Permohonan bagi Kertas Undi Pos) menurut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
2.5. Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR melantik lebih petugas pilihan raya daripada tempat mereka mengundi supaya dapat mengurangkan bilangan petugas yang perlu mengundi secara pos.
2.6. Jawatankuasa mengesyorkan petugas media diberi kemudahan mengundi secara pos menurut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

3. Pengundi luar kawasan

3.1. Jawatankuasa menyusuli syor dalam Laporan Jawatankuasa (DR. 3/2011) supaya SPR menyediakan kemudahan kepada pengundipengundi yang berada di luar kawasan pendaftarannya terutama daripada Sabah dan Sarawak serta pengundi dari Semenanjung yang bertugas di Sabah dan Sarawak untuk mengundi di mana-mana tempat mengundi tanpa perlu pulang ke kawasan pendaftaran asalnya.
3.2. Jawatankuasa mengambil maklum kesukaran SPR untuk mengendalikan pengundi yang berada di luar kawasan pendaftarannya untuk mengundi di mana-mana tempat mengundi tanpa perlu pulang ke kawasan pendaftaran asalnya kerana ia melibatkan urusan logistik yang rumit, tenaga kerja yang terhad dan undang-undang sedia ada tidak membenarkan seseorang pemilih mengundi di tempat mengundi yang bukan namanya didaftarkan.
3.3. Jawatankuasa mengambil maklum kehendak Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan warganegara yang bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu. Manakala Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 hanya membenarkan seseorang pengundi mengundi di tempat mengundi yang bahagian daftar pemilih yang mengandungi namanya telah diuntukkan.
3.4. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan ini memerlukan kajian dibuat sama ada Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda berhubung dengan isu pemastautinan selain pindaan kepada mana-mana peraturan yang berhubung dengan pilihan raya.
3.5. Jawatankuasa mengesyorkan SPR mengkaji kaedah pengundian terbaik seperti tatacara yang dicadangkan untuk pengundian warganegara Malaysia di luar negara bagi pengundi yang berada di luar kawasan termasuk kaedah pengundian awal tertakluk kepada apa-apa pindaan undang-undang yang berkenaan.

4. Membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemilih apabila mencapai umur 20 tahun

4.1. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang warganegara yang layak memohon untuk didaftarkan sebagai pemilih hanya apabila seseorang itu mencapai umur 21 tahun.
4.2. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara apabila mencapai umur 20 tahun untuk didaftarkan sebagai pemilih dan hanya dibenarkan mengundi apabila seseorang warganegara itu mencapai umur 21 tahun.
4.3. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa bagi membolehkan cadangan ini dilaksanakan pindaan hendaklah dibuat kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
4.4. Jawatankuasa mengesyorkan SPR mengkaji cadangan ini untuk dilaksanakan dalam tempoh Parlimen Ketiga Belas.

5. Tarikh pembubaran Parlimen

5.1. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa di bawah Fasal (3) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.
5.2. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa terdapat cadangan tarikh Parlimen dibubarkan dinyatakan dalam peruntukan undang-undang bagi memudahkan persediaan oleh semua pihak yang terlibat dalam proses pilihan raya.
5.3. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa kuasa untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen bukan merupakan kuasa SPR mengikut peruntukan undang-undang dan turut mengambil maklum bahawa kuasa SPR hanya dalam menetapkan tarikh pilihan raya setelah Parlimen dibubarkan.
5.4. Jawatankuasa mengesyorkan tempoh Parlimen hanya boleh dibubarkan selepas mencapai tempoh 4 tahun dan hendaklah diperuntukkan dalam undang-undang.

6. Kerajaan sementara

6.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan diwujudkan kerajaan sementara selain kerajaan yang memerintah sebaik selepas Parlimen dibubarkan bertujuan bagi memastikan negara ditadbir sementara kerajaan yang baru  dibentuk.
6.2. Jawatankuasa mengesyorkan SPR dalam tempoh 3 bulan dari tarikh laporan ini dibentangkan dapat menyediakan suatu garis panduan dan kod etika tatalaku (code of conduct) terpakai bagi mana-mana pihak yang kena menjalankan fungsi kerajaan sementara sehinggalah suatu kerajaan yang baru dibentuk di peringkat Persekutuan atau negeri.

7. Penguatkuasaan peraturan sedia ada berhubung kesalahan memberi maklumat palsu dalam urusan pendaftaran

7.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan menguatkuasakan peraturan sedia ada berhubung kesalahan memberikan maklumat palsu dalam urusan pendaftaran.
7.2. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa terdapat kemungkinan maklumat palsu diberikan dalam urusan-urusan seperti yang berikut:
i) urusan pertukaran alamat mastautin di JPN; dan
ii) urusan pertukaran alamat kawasan pendaftaran di SPR, yang merupakan kesalahan di bawah Akta 5 dan peraturan sedia ada.
7.3. Jawatankuasa mengambil maklum adanya peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang mengadakan peruntukan kesalahan bagi mana-mana orang yang memberi maklumat palsu dalam urusan pendaftaran pemilih dan pertukaran alamat dalam kad pengenalan.
7.4. Jawatankuasa mengambil maklum SPR dalam menguatkuasakan Akta 5 adalah bergantung kepada kerjasama pihak berkuasa lain seperti polis.
7.5. Jawatankuasa mengambil maklum terdapatnya peruntukan di bawah Akta 5 dan Peraturan 25(1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 masing-masing berhubung dengan kesalahan memberikan maklumat palsu dalam permohonan pendaftaran dan permohonan pertukaran alamat di kad pengenalan.
7.6. Jawatankuasa mengesyorkan perjawatan tambahan diwujudkan bagi menubuhkan suatu pasukan penguat kuasa khas SPR dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah bidang kuasa SPR tanpa lagi perlu bergantung kepada pihak berkuasa lain.


(II) MENAMBAH BAIK PROSES PILIHAN RAYA
8. Memanjangkan tempoh berkempen

8.1. Jawatankuasa mengambil maklum subperaturan 3(1) Peraturan- Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 memperuntukkan tempoh minimum 7 hari bagi maksud berkempen.
8.2. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan supaya SPR menetapkan suatu tempoh berkempen yang lebih panjang dalam sesuatu pilihan raya bagi memberi ruang berkempen yang lebih lama dan pada masa yang sama urusan mengembalikan undi pos dapat dibuat dengan wajar.
8.3. Jawatankuasa juga mengambil maklum pandangan berbeza bahawa tempoh berkempen yang terlalu panjang mendatangkan kesukaran kepada aktiviti berkempen di sesetengah bahagian pilihan raya di samping kos yang tinggi.
8.4. Jawatankuasa mengesyorkan SPR mengambil kira semua pandangan yang diberikan dalam menentukan suatu tempoh berkempen menurut peruntukan undang-undang dengan tempoh tidak kurang daripada 10 hari.

9. Akses media yang bebas dan saksama
9.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan akses media yang bebas dan saksama diberi kepada semua parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya.
9.2. Jawatankuasa mengambil maklum kesediaan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk memberikan akses yang adil kepada semua parti dan calon yang diselaraskan oleh SPR.
9.3. Jawatankuasa mengesyorkan SPR meneliti Fasal (2) Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan yang boleh meminta pihak berkuasa awam untuk memberikan apa-apa bantuan yang dapat dilaksanakan kepada Suruhanjaya dalam menunaikan tugasnya termasuk Kementerian dan agensi berkaitan berhubung dengan hal perkara yang melibatkan akses media yang bebas dan saksama kepada semua parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya.

(III) MENINGKATKAN MUTU DAFTAR PEMILIH
10. Pembersihan daftar pemilih yang berterusan

10.1. Jawatankuasa menyusuli syor dalam Laporan Jawatankuasa (DR. 3/2011) untuk MIMOS menjalankan verifikasi terhadap daftar pemilih dengan kerjasama SPR dan JPN.
10.2. Jawatankuasa mengambil maklum hasil verifikasi oleh MIMOS itu menunjukkan usaha pembersihan daftar pemilih secara berterusan dijalankan oleh SPR dengan kerjasama JPN. Hasil verifikasi oleh Mimos mendapati tidak wujud pendaftaran berganda (duplicate registration) bagi setiap nombor kad pengenalan 12 angka (KP12) yang dikeluarkan oleh JPN.
10.3. Jawatankuasa mengambil maklum terdapat di kalangan anggota polis dan tentera yang masih belum memohon MyKad atau MyTentera. Sehingga 20 Mac 2012, terdapat sebanyak 483 rekod anggota polis dan 653 rekod anggota tentera dalam daftar pemilih SPR yang belum mempunyai nombor KP12.
10.4. Jawatankuasa mengesyorkan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia memantau dan mengambil tindakan berkenaan perkara yang disebut di perenggan 10.3 dalam tempoh 60 hari dari tarikh laporan ini  dibentangkan di Dewan Rakyat.
10.5. Jawatankuasa juga mengesyorkan SPR memberi keutamaan kepada usaha berterusan untuk membersihkan daftar pemilih dengan kerjasama JPN bagi memastikan daftar pemilih yang akan digunakan bagi manamana Pilihan Raya adalah mantap dan bermutu tinggi dari segi kualiti kesahihan dan integriti maklumat (terkini dan sebagainya).
10.6. Jawatankuasa mengesyorkan supaya suatu agensi bebas dan bertauliah seperti MIMOS dapat membantu menyemak daftar pemilih secara berterusan bagi mempertingkat usaha pembersihan daftar pemilih.
10.7. Jawatankuasa mengesyorkan supaya sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ditubuhkan untuk mengawasi dan meneliti semua usaha penyemakan dan pembersihan daftar pemilih yang dicadangkan di perenggan 10.6 di atas dan melaksanakan tugas-tugas lain yang dirujukkan kepada Jawatankuasa tersebut.

11. Penelitian daftar pemilih bagi alamat-alamat yang mempunyai ramai pemilih berdaftar

11.1. Jawatankuasa mengambil maklum hasil verifikasi oleh Mimos mendapati 324 alamat yang mempunyai lebih 100 orang pemilih dan 938 alamat yang mempunyai antara 51 hingga 100 orang pemilih. Dalam penelitian Jawatankuasa Kecil Usaha Menambah Baik Daftar Pemilih, antara faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan ini adalah seperti yang berikut:
i) alamat pendaftaran pemilih yang tidak lengkap;
ii) alamat pendaftaran pemilih yang terlalu umum yang menggunakan alamat seperti ‘kampung’, ‘rumah pangsa’, ‘rumah panjang’ dan ‘jalan’ tanpa butiran nombor rumah yang kebanyakkan berlaku di kawasan luar bandar;
iii) alamat pendaftaran pemilih yang dikongsi seperti alamat tempat asal/kelahiran atau alamat rumah yang disewa yang tidak dikemas kini setelah berpindah; dan
iv) alamat pendaftaran “pinjaman” iaitu alamat yang digunakan oleh seseorang pemilih untuk membolehkan didaftarkan di sesuatu kawasan pendaftaran yang dikehendaki.
11.2. Jawatankuasa mengesyorkan SPR mempamerkan dalam tempoh 45 hari dari tarikh laporan ini dibentangkan senarai pemilih yang alamatnya diragui di mana terdapat melebihi 50 pengundi di satu alamat yang sama untuk memaklumkan kepada pemilih yang terlibat supaya mereka boleh tampil kepada SPR serta membolehkan SPR mengemas kini dan membersihkan senarai tersebut.
11.3. Hasil kerja penyemakan hendaklah dilaporkan kepada Jawatankuasa yang dicadangkan di perenggan 10.7.

12. Bantahan terhadap daftar pemilih yang telah diperakui melalui aduan atau maklum balas daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya
12.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan membolehkan bantahan terhadap daftar pemilih yang telah diperakui dibuat melalui aduan atau maklum balas daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya.
12.2. Jawatankuasa mengambil maklum peraturan sedia ada hanya membenarkan bantahan dibuat terhadap nama pemilih yang dipamerkan semasa Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan.
12.3. Jawatankuasa mengambil maklum daftar pemilih yang telah diperakui boleh dibuat pemotongan atas alasan kematian dan lucutan atau tolakan warganegara setelah Ketua Pendaftar berpuas hati mengenai alasan itu yang disahkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
12.4. Jawatankuasa mengambil maklum SPR tidak mempunyai kuasa untuk memotong nama pemilih yang telah disahkan daripada daftar pemilih atau memindahkan pemilih dari suatu bahagian pilihan raya ke suatu bahagian pilihan raya yang lain hanya berdasarkan kepada aduan mana-mana pihak.
12.5. Jawatankuasa mengesyorkan suatu peruntukan undang-undang dikaji untuk memberikan SPR kuasa untuk memotong nama pemilih yang telah disahkan daripada Daftar Pemilih Induk (DPI) atau memindahkan pemilih dari suatu bahagian pilihan raya ke suatu bahagian pilihan raya yang lain berdasarkan kepada aduan yang dikemukakan oleh pihak awam dengan bukti yang sah.

13. Kajian ke arah pendaftaran secara automatik
13.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara yang mencapai umur 21 tahun.
13.2. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk melaksanakan pendaftaran automatik ini memerlukan pindaan kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dan peraturan-peraturan yang berkaitan.
13.3. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa cadangan ini mempunyai asas yang baik, namun ia hanya boleh dilaksanakan dalam jangka masa panjang memandangkan usaha pembersihan daftar pemilih secara keseluruhan perlu diutamakan. Siasatan lanjut mengenai daftar pemilih yang diragui seperti yang dibangkitkan di negeri Sabah serta syor Jawatankuasa berhubung dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu dilaksanakan supaya mencapai matlamat daftar pemilih yang diyakini oleh semua pihak sebelum terlaksananya cadangan pendaftaran secara automatik.
13.4. Jawatankuasa mengesyorkan SPR membuat kajian dan mengambil tindakan dalam tempoh 12 bulan bagi membolehkan cadangan ini dilaksanakan pada masa hadapan.

14. Penggunaan alamat selain alamat mastautin pada kad pengenalan sebagai alamat pendaftaran untuk menentukan bahagian pilihan raya
14.1. Jawatankuasa mengambil maklum senario semasa yang mana jumlah pengundi di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak semakin berkurangan kerana penghijrahan golongan belia ke kawasan bandar untuk mendapatkan pekerjaan.
14.2. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk menggunakan alamat selain alamat di kad pengenalan sebagai alamat pendaftaran untuk menentukan kawasan pendaftaran.
14.3. Jawatankuasa mengambil maklum jika cadangan ini dilaksanakan, implikasinya adalah seperti yang berikut:
i) Jika alamat selain alamat di kad pengenalan digunakan, kemungkinan alamat itu tidak dapat disahkan melalui apa-apa dokumentasi yang sah;
ii) Ada kemungkinan orang mendaftar menggunakan alamat yang dia tidak bermastautin; dan
iii) Ada kemungkinan terdapatnya peningkatan bantahan terhadap Rang Daftar Pemilih Tambahan atas alasan orang itu tidak bermastautin di alamat yang digunakan jika alamat selain alamat di kad pengenalan digunakan.
14.4. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa warganegara yang layak mendaftar mempunyai hak untuk memilih mendaftar di mana kawasan pendaftaran berpandukan kepada alamat terkini seperti di kad pengenalan. Adalah menjadi tanggungjawab mana-mana orang untuk menukar alamat di kad pengenalannya di JPN jika dia telah berpindah ke alamat yang lain. SPR tidak boleh mengambil apa-apa tindakan untuk menukar kawasan pendaftaran mana-mana orang jika orang itu enggan menukar alamat di kad pengenalannya.
14.5. Jawatankuasa mengesyorkan supaya parti-parti politik memainkan peranan dalam menasihatkan pemilih menukarkan alamat pendaftaran yang wajar di JPN sebelum mendaftar sebagai pemilih baru atau mendaftar tukar alamat pusat mengundi dengan SPR.
14.6. Jawatankuasa turut mengesyorkan supaya SPR mengkaji tatacara dan implikasi peraturan yang diamalkan di negara lain yang membolehkan pengundi memilih antara alamat tetap (kampung asal atau tempat lahir) atau alamat tempat bekerja (place of employment) sebagai alamat pendaftaran pengundi khususnya di Sabah dan Sarawak.

(IV) MEMPERKUKUHKAN KEDUDUKAN SPR
15. Memperkasakan kedudukan SPR

15.1. Jawatankuasa mengambil maklum penubuhan SPR di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan yang dianggotai oleh tujuh (7) orang yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dengan mengambil kira peri mustahaknya mendapat kepercayaan awam.
15.2. Jawatankuasa mengambil maklum pandangan dan maklum balas yang mempersoalkan kebebasan SPR.
15.3. Jawatankuasa mengesyorkan bagi menolak dakwaan tentang ketidakbebasan SPR, pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Anggota-anggota SPR dijalankan sebagaimana pelantikan yang dibuat bagi Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi.
15.4. Jawatankuasa turut mengesyorkan SPR diberi kuasa mengadakan bajetnya sendiri dan diletakkan dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen bagi memastikan isu kebebasan SPR tidak lagi dipersoalkan.
15.5. Jawatankuasa juga mengesyorkan suatu Suruhanjaya Perkhidmatan ditubuhkan untuk melantik pegawai sendiri dan diwujudkan suatu skim perkhidmatan khusus kepada pegawai dan anggota perkhidmatan SPR.

16. Penstrukturan dan pengukuhan SPR
16.1. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa SPR dalam menjalankan fungsinya di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memerlukan bantuan dari pihak-pihak lain. Kuasa untuk mendapatkan bantuan ini diperuntukkan di bawah Fasal (2) Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan dan pelantikan pegawai-pegawai yang dibuat di bawah Akta Pilihan Raya 1958.
16.2. Jawatankuasa mengambil maklum sumber manusia yang terhad di SPR dan kebergantungan SPR dengan pihak lain dalam menjalankan fungsinya itu.
16.3. Jawatankuasa mengambil maklum dari pemerhatian Lawatan Kerja ke UK, Jerman dan Denmark, tiga fungsi utama SPR itu dijalankan oleh badan yang berasingan.
16.4. Jawatankuasa mengesyorkan berdasarkan kepada beban dan bidang tugas SPR yang luas, organisasi SPR perlu distruktur semula dengan diberi kuasa yang sewajarnya bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang pilihan raya dijalankan oleh badan penguatkuasaan SPR sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak-pihak yang lain, keperluan sumber manusia SPR ditambah dan perjawatan sedia ada dinaik taraf serta peruntukan kewangan yang mencukupi diperuntukkan sesuai dengan peranan, tanggungjawab, bebanan dan cabaran semasa.

17. Memperluaskan Akademi Pilihan Raya
17.1. Jawatankuasa mengambil maklum wujudnya Akademi Pilihan Raya sejak tahun 2007 dengan sumber manusia, peruntukan kewangan dan kemudahan yang terhad dalam menjalankan fungsinya termasuklah pendidikan pengundi, kesedaran mengundi dan latihan kepada petugas pilihan raya.
17.2. Jawatankuasa mengambil maklum keperluan memperkasa Akademi Pilihan Raya dengan menambah sumber manusia, peruntukan kewangan serta diwujudkan bangunan khusus untuk menempatkan Akademi Pilihan Raya yang dilengkapi dengan kemudahan pusat latihan sebagaimana pusat latihan jabatan dan agensi kerajaan yang lain.
17.3. Jawatankuasa mengesyorkan Kerajaan menambah sumber manusia, peruntukan kewangan dan kemudahan Akademi Pilihan Raya bagi memastikan matlamat penubuhan Akademi Pilihan Raya, khususnya dalam memberi pendidikan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses pilihan raya termasuklah warganegara Malaysia tentang hak mengundi dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
17.4. Jawatankuasa turut mengesyorkan suatu Lembaga Penasihat yang dianggotai oleh pelbagai parti politik dan wakil NGO bagi memberi pandangan/nasihat kepada Akademi Pilihan Raya.

18. Pengasingan fungsi utama SPR
18.1. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa tiga fungsi utama SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan adalah menjalankan pilihan raya, menguruskan pendaftaran pemilih dan mengkaji semula bahagian pilihan raya.
18.2. Jawatankuasa mengesyorkan sebagai langkah jangka panjang, cadangan tiga fungsi utama SPR iaitu untuk menjalankan pilihan raya, menguruskan pendaftaran pemilih dan mengkaji semula bahagian pilihan raya diasingkan kepada tiga badan yang bebas.

(V) PERSEMPADANAN, PEMBIAYAAN POLITIK DAN SISTEM ALTERNATIF
19. Pengahihan kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak

19.1. Jawatankuasa mengambil maklum terdapat cadangan supaya jumlah keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat diseimbangkan di antara kerusi bagi Semenanjung dengan kerusi negeri Sabah dan Sarawak seperti mana diperuntukkan dalam dokumen Inter-Govenment Committee (IGC) semasa penubuhan Malaysia iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura memperolehi 34 peratus daripada kerusi di Dewan Rakyat pada penggal tersebut.
19.2. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa cadangan diperuntukkan 34 peratus daripada jumlah kerusi di Dewan Rakyat adalah bagi memastikan kuasa seimbang boleh digunakan oleh mana-mana wakil Sabah dan Sarawak bagi memastikan suara dan kepentingan yang melibatkan negeri Sabah dan Sarawak dalam semua hal yang berkaitan undang-undang dapat dipertahankan.
19.3. Jawatankuasa mengesyorkan suatu kajian terperinci dibuat atas cadangan di atas untuk dilaksanakan dengan mengambil kira prinsip pembentukan Malaysia.

20. Persempadanan bahagian pilihan raya yang seimbang

20.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan urusan kajian persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri mengambil kira keseimbangan jumlah pemilih termasuk wajaran kawasan luar bandar (rural weightage) dan juga memenuhi prinsip ‘Satu Orang, Satu Undi’.
20.2. Jawatankuasa mengesyorkan SPR menyemak semula Jadual Ketigabelas Perlembagaan Persekutuan bertujuan memberi makna sepenuhnya kepada prinsip ‘Satu Orang, Satu Undi’ dan mengembalikan wajaran kawasan luar bandar (rural weightage).
20.3. Jawatankuasa mengesyorkan SPR menentukan satu formula yang adil dan saksama berdasarkan satu prinsip yang tetap dalam menentukan jumlah pengundi di sesuatu bahagian pilihan raya dalam satu negeri tidak berbeza dengan ketara.

21. Peruntukan dana kepada parti politik
21.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan agar Kerajaan mengadakan peruntukan dana kepada parti politik mengikut jumlah kerusi yang diperoleh dalam pilihan raya dalam usaha untuk menyuburkan sistem demokrasi di negara ini serta membendung gejala rasuah oleh ahli politik dalam pilihan raya.
21.2. Jawatankuasa juga mengambil maklum bahawa mekanisme pelaksanannya perlu dikaji secara mendalam memandangkan ia melibatkan implikasi kewangan Kerajaan serta pindaan kepada aspek perundangan. Perkara ini wajar diberi perhatian untuk dilaksanakan dalam jangka masa panjang.
21.3. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk setiap parti politik mengisytiharkan apa-apa sumbangan yang diterima dari mana-mana sumber semasa kempen pilihan raya.
21.4. Jawatankuasa mengesyorkan Kerajaan mengadakan peruntukan dana dan menggubal formula yang sesuai bagi parti politik dan calon yang menang mengikut jumlah kerusi yang dimenangi dan undi yang diperolehi dalam pilihan raya mengikut agihan 50% untuk kerusi yang dimenangi dan 50% untuk jumlah undi yang diperolehi, tertakluk kepada apa-apa pindaan undang-undang yang berkenaan dan juga kaedah yang akan digubal.

22. Sistem pilihan raya baru

22.1. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa sistem pilihan raya yangdiamalkan di Malaysia sejak merdeka sehingga sekarang ialah Sistem Majoriti Mudah (First-Past-The-Post).
22.2. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk menambah baik Sistem Majoriti Mudah (First-Past-The-Post) sedia ada ataupun mengkaji apa-apa sistem pilihan raya lain seperti sistem campuran (First-Past-The-Post dan Proportionate Representation) atau Sistem Perwakilan Berkadaran (Proportionate Representation).
22.3. Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR meneliti cadangan ini kerana ia merupakan perkara yang melibatkan dasar yang perlu dipertimbangkan oleh Kerajaan dan melaporkan semula kepada Jawatankuasa seperti di perenggan 10.7.

MCA, DAP dan Islam

Khalid Samad, 03 Apr 2012
Semasa menjawab soalan yang dikemukakan berhubung usaha dakwah yang dilakukan, Dr. Mashitah telah menyebut beberapa program yang dijalankan oleh kerajaan BN. Turut disebut ialah peranan IKIM dan untuk mengukuhkan hujjahnya, bagaimana DAP telah berhubung dengan IKIM untuk mendapat penjelasan mengenai Islam.

Mungkin dari satu sudut maklumat ini dikemukakan sebagai bukti betapa gigihnya usaha dakwah yang dijalankan oleh pihak BN. Namun dari sudut yang lain ianya mendedahkan sikap ingin tahu dan keterbukaan DAP yang sering diselar oleh BN sebagai musuh Islam. Saya diberitahu bahawa ada dari kalangan penceramah UMNO yang melampau sehingga sanggup mengisytiharkan DAP sebagai ‘kafir harbi’! Pengistiharan ini sudah pasti dilakukan oleh seorang yang jahil tentang implikasi dari pengisytiharan yang sebegitu!

Apabila saya mendengar Dr. Mashitah mendedahkan bahawa DAP telah berhubung dengan IKIM untuk mendapat penjelasan berhubung Islam, secara spontan saya bertanya, tetapi malangnya tanpa microphone, MCA tidak berhubung untuk tujuan yang sama ke? Soalan saya hanya sempat dijawab oleh Ahli Parlimen PR bahawa MCA tidak minat dan Dr. Mashitah terus duduk, mungkin merasa sedikit kesal bahawa maklumat tersebut telah didedahkan.

Apa pun kita semua memahami bahawa sikap MCA terhadap Islam adalah lebih keras berbanding DAP. Perkara ini semakin ketara hari demi hari. MCA menganggap mereka tidak perlu mempelajari Islam, mereka sudah pakar! Ini terbukti apabila MCA telah menganjurkan Seminar Hudud yang dihadiri ahli UMNO. MCA yang menjelaskan tentang betapa undang-undang hudud tidak boleh digunapakai di Malaysia dan ahli UMNO yang merupakan penasihat agama kepada MB Terengganu mengiayakannya dengan menyatakan bahawa undang-undang hudud yang digembar-gemburkan adalah sebenarnya hudud PAS dan bukan sebahagian dari undang-undang Islam.

Begitu juga baru-baru ini apabila telah diadakan debat di antara CSL dan LGE. Di antara serangan CSL terhadap LGE ialah kononnya bagaimana DAP dikudakan PAS. Dalam ucapan CSL beliau telah menyatakan bagaimana MCA telah berjaya memastikan UMNO tidak membawa isu perundangan Islam dan hudud! Beliau seterusnya mencabar LGE samada DAP sanggup membuat perkara yang sama terhadap PAS! Sekiranya tidak, maka kononnya ianya bukti bahawa DAP tunduk pada PAS.

LGE menjawab bahawa DAP tidak akan mengganggu ummat Islam dan amalan agama mereka sepertimana PAS juga tidak mengganggu orang bukan Islam dan amalan agama mereka.

Sikap menghormati Islam dan ummat Islam telah kerap dizahirkan oleh DAP kebelakangan ini. Ini termasuklah dasar-dasar yang dilaksana di Pulau Pinang di mana bajet untuk pentadbiran agama Islam telah dilonjakkan hampir 5 kali ganda dan bantuan terhadap sekolah agama Islam dan Maahad Tahfiz jauh melebihi apa yang pernah diberikan oleh BN sebelum ini. Fakta sebegini tidak ditonjolkan media perdana yang dikuasai UMNO/BN. Media UMNO/BN ingin terus membohongi rakyat, khususnya orang Islam.

Apabila ditanya oleh pemberita akhbar Cina mengapa LGE memberi sumbangan yang begitu banyak kepada pendidikan agama Islam di Pulau Pinang, termasuk sumbangan wang kepada golongan murid yang berjaya menghafal Al-Quran, LGE menjawab, “Apabila ummat Islam berpegang kepada ajaran agama Islam, mereka tidak akan terlibat dalam rasuah”.

Sikap ingin ummat Islam menghayati Islam dengan sepenuhnya sehingga mencorakkan tindak-tanduk mereka dalam semua urusan, termasuk politik, jauh berbeza dengan sikap yang ditunjukkan seorang MP UMNO baru-baru ini. MP UMNO ini menyatakan bahawa janji Syurga adalah rasuah politik yang terbesar! Kenyataan sebegini mungkin adalah hasil dari UMNO berguru dengan MCA dalam soal agama sehingga ganjaran dan hadiah yang Allah sediakan bagi orang-orang yang beriman yang patuh dan taat pada perintahNya boleh disifatkannya sebagai rasuah terbesar! Maka adakah ini dengan sendirinya bermakna bahawa Allah adalah perasuah terbesar dan Rasulullah (SAW) adalah agen perasuah terbesar!? Astaghfirullah Al-‘Azeem!!

Bagi PAS, orang Islam perlu diingatkan akan janji Allah dan dididik sehingga menerima janji ini sebagai perkara yang terpenting dalam hidup mereka. Semua amalan mereka adalah bertujuan untuk mencapai kereDhaan Allah, samada ianya ‘amalan dunia’ ataupun ‘amalan akhirat’. Pada hakikatnya semua akan mempunyai kesan kepada kedudukan kita di akhirat kelak.

Sedih apabila difikirkan, aneh tetapi benar. MP UMNO yang tidak mahu Syurga (ataupun kereDhaan Allah) dijadikan sebagai matlamat amalan ummat Islam dalam berpolitik sehingga digelar ‘janji syurga’ sebagai rasuah sambil UMNO dianggap parti yang memperjuangkan kepentingan Islam. DAP yang ingin ummat Islam berpegang kepada Islam sehingga memberikan galakan dan sokongan tetapi DAP pula digelar musuh Islam!
Hakikatnya, yang merosakkan ummat Islam bukan semestinya orang bukan Islam. Kebiasaannya, ianya adalah bermula dari para pemimpin yang beragama Islam tetapi ingin ummat Islam menjauhi ajaran Islam, khususnya dalam soal berpolitik. Mereka lakukan ini kerana mereka ingin memanfaatkan kekuasaan mereka tanpa dibataskan oleh syara’. Rasuah, penyelewengan, maksiat dan kerosakan menjadi amalan biasa disambil Masjid-masjid besar dibina disetiap pelusuk. Projek pembinaan Masjid-masjid indah mendatangkan ‘komisyen’ dan pada masa yang sama rakyat serta ummat Islam boleh ditipu dengan projek keagamaan seperti ini. Sambil itu, kekayaan Negara terus dirompak.

Semoga ummat Islam di Malaysia dapat memahami hakikat yang sebenar dan menyedari penipuan yang dilakukan oleh UMNO dan BN. Semoga dengan itu akan Malaysia dibebaskan dari kongkongan jahat para pemimpin yang beragama Islam tetapi menghalang penghayatannya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan: