Rabu, 25 April 2012

MENYOKONG..MENEGAKKAN KEADILAN SERTA IKUT PERATURAN ADALAH WAJIB...MENOLAKNYA SUDAH TENTU SATU DOSA....

Lebih 5,000 berhimpun bantah rampasan tanah

Harakahdaily, 24 Apr 2012


(Antara kira-kira 5,000 yang berhimpun di perkarangan Wisma Darul Iman, pusat pentadbiran kerajaan negeri Terengganu hari ini)

KUALA TERENGGANU: Lebih 5,000 rakyat Terengganu bersama mangsa perampasan tanah oleh kerajaan negeri berhimpun di perkarangan Wisma Darul Iman hari ini.

Mereka membuat bantahan terhadap siri perampasan tanah yang dibuat oleh kerajaan negeri di lima tempat berasingan di seluruh negeri.

Tempat-tempat itu adalah 1) tanah sekolah rendah Islam Darul Bayan, Paka, Dungun, 2) tanah rakyat di Banggol Donas, Kuala Terengganu, 3) tanah petani di Kampung Jelapang, Langkap, 4) tanah peneroka jenerasi kedua di Paka, Dungun dan 5)tanah rakyat di Kubang Labi, Banggol, Permasuri, Setiu.

Satu memorandum kemudiannya diserahkan kepada Menteri Besar Terengganu.

Kesemua pemilik asal tanah ini diiringi oleh pimpinan PAS Terengganu yang diketuai oleh pesuruhjayanya, Mohamad Abdul Wahid Endut.

Turut serta adalah semua Adun PAS Terengganu yang kebetulan menyertai sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Turut serta adalah pimpinan PAS Terengganu iaitu Saiful Bahri Mamat, Muhyidin Abdul Rashid di samping Yahya Ali dan Syukrimun Shamsudin.

Pelakon Bukit Kepong temui Mohamad Sabu

Harakahdaily, 24 Apr 2012
KLANG: Media Umno menobatkan kononnya Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menghina pengorbanan anggota polis ekoran peritiwa Bukit Kepong.
(Pelakon filem Bukit Kepong, Shamsudin Baslah bersalam dengan Mohamad Sabu)

Namun, bagi pelakun filem Bukit Kepong sendiri, beliau tidak nampak itu yang dibuat oleh Mohamad bahkan kenyataan Mohamad telah memberikan implikasi baik kepada bekas-bekas polis yang selama ini terbiar.

Bahkan, balu anggota polis Bukit Kepong yang selama ini terbiar menerima pencen yang tidak pernah diterimanya sejak tahun 1962.

Baru-baru ini, pelakon filem Bukit Kepong arahan Datuk Jins Shamsudin itu, Shamsudin Baslah yang memegang watak Mata-Mata, Abdul Khadir b. Jusoh telah menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Beliau juga sempat bertemu dengan Mohamad Sabu ketika beliau dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat ketika berceramah di Taman Rakyat, Sri Andalas, Klang.

Bagi pemerhati politik, ia memberi tamparan hebat buat Umno BN yang kononnya memperjuangkan mangsa peristiwa Bukit Kepong.

BR1M: PAS tak minta, beri tak halang

Bashir Ishak, 24 Apr 2012
KANGAR: PAS Perlis menepis dakwaan liar yang menyatakan bahawa ahlinya yang menerima Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) diwajibkan menyumbang kepada parti sebanyak sepuluh peratus.

Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Adun Sanglang, Ustaz Hashim Jasin (gambar) menafikan dakwaan tersebut sepertimana soalan lisan Khairi Hasan (BN-Mata Ayer) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis semalam.

Pada sesi soalan lisan sidang tersebut, Khairi meminta penjelasan dari pihak kerajaan berapa ramaikah penyokong pembangkang yang menerima bantuan tersebut serta benarkah penyokong PAS yang mendapat bantuan tersebut diberitakan memberi sebanyka sepuluh peratus kepada parti.

Menjawab soalan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu berkata jawapan kepada persoalan ini mungkin boleh diberikan oleh wakil rakyat dari PAS.

Ustaz Hashim dalam ucapannya membahaskan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan Tambahan  berkata PAS tidak pernah mengeluarkan arahan kepada ahlinya untuk memberikan wang BR1M kepada parti.

"Mengenai dakwaan tersebut, kami nafikan perkara itu. Memang tak ada. Namun kalau ada orang nak bagi kepada PAS kami tak boleh nak halang, tapi parti tidak pernah memaksa ahli untuk memberi sumbangan," jelasnya.

Hadir Bersih 3.0 wajib - Tuan Guru Nik Aziz

Rizal Tahir, 24 Apr 2012
KOTA BHARU: Selepas PAS membuat arahan secara rasmi agar menyertai perhimpunan Bersih 3.0, kini Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula membuat seruan yang sama dengan berkata, hadir ke Bersih 3.0 adalah wajib.

Beliau menyeru seluruh rakyat di negara ini khususnya yang cintakan keadilan hadir pada program Bersih 3.0 (Duduk dan Bantah).

Menurutnya, menghadiri program itu suatu  kewajipan memandangkan ianya diadakan untuk untuk menentang ketidakadilan khususnya terhadap proses pilihanraya di negara ini yang tidak selari dengan Islam.

“Mana-mana pihak yang melakukan perkara tidak berlandaskan Islam wajib kita tentang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily dan akhbar Harakah di pejabatnya di sini sebentar tadi bagi mengulas program yang bakal diadakan pada 28 April ini.

Tuan Guru seterusnya memberitahu, dalam lapan tuntutan Bersih, beliau hanya ingin mengulas satu iaitu berhubung pengundi hantu yang jelas ianya perbuatan kotor dan bercanggah dengan kehendak Islam.

“Andainya Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya akan datang dan mentadbir negara akan melakukan sebagaimana BN buat sekarang, setuju atau tidak sekiranya kami bawa pengundi hantu untuk kekal mentadbir negara pada pilihanraya berikutnya.

(Tuan Guru Nik Aziz ketika bercakap dengan Harakahdaily di pejabatnya hari ini)

“Tentu saja Umno dan BN tidak mahu sebab perkara ini perbuatan mungkar yang tentu saja berdosa besar bila melakukanya,”ujarnya lagi.

Tambahnya, sekiranya mereka juga tidak boleh terima, kenapa sanggup adakan pengundi hantu dengan membawa masuk rakyat luar negara yang tidak ada kena mengena semata-mata untuk mengekalkan kemenangan.

Kerana itu, tambahnya ‘wajib’ rakyat di seluruh negara keluar beramai-ramai untuk menjayakan Bersih 3.0 pada 28 April ini dengan tujuan untuk menentang pengundi hantu di samping menuntut tujuh perkara lain.

Beliau seterusnya memberitahu, sekiranya wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya itu kerana dibantu oleh pengundi hantu, kemenangannya adalah ‘haram’ di sisi Islam.

“Malah segala alaun bulanan atau segala bentuk yang diperolehi sebagai wakilrakyat, gaji, kereta dan semuanya haram serta tidak sah di sisi Islam.

“Perkara ini bukan perkara main-main dan kena ingat Allah dan balasan akhirat,”ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut memberitahu mereka yang sanggup menerima tugas sebagai pengundi hantu juga haram, malah rezeki yang diberikan sebagai imbuhan juga haram.

“Duit yang digunakan dari hasil haram Allah tak akan terima, akhirat lagi kena azab, Allah ni bukan macam manusia yang langsung tidak bergantung pada kita,”ujarnya lagi.

Gantung Izuwan: Mansuh AUKU hanya komestik

Harakahdaily, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Pengantungan Mohd Izuwan Zaini, 25, pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Perlis (Unimap) selama 66 hari kerana terlibat dalam program kesedaran kepentingan untuk mengundi adalah petanda pemansuhan AUKU hanyalah komestik semata-mata.

Selain digantung, Izuwan yang didakwa menganjurkan program tersebut dengan kumpulan yang didakwa pro- pembangkang turut didenda RM100 pada 13 Januari di sebuah restoran di Kangar yang melibatkan gabungan 14 kumpulan mahasiswa daripada Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Gabungan tersebut diberi nama Watch 13 ditubuhkan untuk membangkitkan kesedaran berhubung kepentingan keluar mengundi dalam pilihan raya.

Unimap telah mengecam tindakan Izuwan yang dikatakan mendatangkan kesan buruk secara langsung kepada kampus berkenaan.

Menurut ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Izuwan berkata beliau hanya menghadiri program tersebut sebagai pemerhati dan bukannya penganjur.

“Beliau turut mengadu bahawa beliau tidak dibenarkan membawa mana-mana saksi dan mempersoalkan saksi ‘pendakwaraya’ semasa kes disiplin beliau dibicarakan,” kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Pembicaraan tersebut, kata Pua (gambar) berlaku pada 21 April, dua hari selepas Akta Universiti Kolej Universiti 1972 dipinda untuk memberikan lebih ruang kebebasan kepada pelajar, membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak ikhlas dalam program transformasinya.

“Ini juga mendedahkan bagaimana pindaan tersebut telah gagal untuk memberikan ruang yang secukupnya untuk pelajar Malaysia untuk berhujah,” tegas Pua.

Walaupun pindaan ke atas Seksyen 15 AUKU yang membenarkan pelajar mendaftar sebagai ahli dalam parti politik adalah satu langkah yang baik kata Pua.

Namun, kata beliau undang-undang yang baru itu turut memberikan kuasa sepenuhnya kepada pihak universiti dan kolej untuk menentukan aktiviti dan organisasi mana yang sesuai untuk pelajar yang mudah disalahgunakan untuk menyekat pelajar.

Tindakan pada Izuwan oleh Unimap, kata Pua telah membuktikan bahawa AUKU terbaru telah gagal untuk memberikan kebebasan akademik dan politik kepada pelajar seperti yang dijanjikan.

Pua turut menggesa Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin untuk mengambil tindakan terhadap Unimap dan membatalkan penggantungan Izuwan dengan serta-merta sekiranya beliau ikhlas untuk menjadikan universti tempatan sebagai tempat kecemerlangan untuk pembelajaran.

Po Kuan, Nie Ching nafi tanding di Johor

Salmiyah Harun, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan menafikan desas-desus mengatakan beliau akan bertanding di Johor pada pilihan raya umum akan datang.

Malah beliau menyifatkan desas desus itu tidak berbangkit kerana beliau masih mempertahankan kerusinya.

"Ini tidak ada hal, tidak ada," katanya ringkas sebaik sahaja Harakahdaily meminta respons beliau berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching pula ketika dihubungi, ketawa sebaik sahaja diajukan soalan sama ada beliau turut bertanding di Johor dalam PRU nanti.

Bagaimanapun, beliau sempat berseloroh sambil meminta Harakahdaily bertanyakan perkara itu kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang.

"You tanyalah Kit Siang," katanya ringkas dan enggan mengulas lanjut perkara itu.

Bagaimanapun, Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pula tidak mengesahkan perkara itu.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat, berkata, sekiranya terdapat kehendak dari parti-parti yang mewakili Pakatan Rakyat untuk meletakkan pemimpin kanan di Johor, kehadiran mereka memang dialu-alukan.

Lebih-lebih lagi, kebanyakan pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat memang berasal dari Johor.

PKR juga mempertimbangkan tokohnya untuk bertanding di Johor sekiranya terdapat keperluan bagi tujuan tersebut

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, menyifatkan keperluan itu memadai dengan tokoh yang sedia ada di Johor iaitu Dato Seri Chua Jui Meng.

Pada 16 April lalu, akhbar Sin Chew melaporkan terdapat desas-desus Ahli Parlimen Ipoh Timur itu akan bertanding di Johor sebagai langkah strategik untuk menumbangkan kubu kuat BN di negeri selatan itu.

Selain itu, laman web The Malaysian Times turut melaporkan perkara yang sama bahawa Lim kemungkinan besar bertanding di Kulai atau Labis, kedua-dua kerusi MCA yang kini disandang bekas presiden MCA Ong Ka Ting dan anak presiden kepada presiden MCA kini, Chua Tee Yong.

Bukan itu sahaja, Fong yang digeruni di parlimen dan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching turut dikatakan akan bertanding di Johor atas faktor keluarga.

Suami Fong merupakan Setiausaha DAP Johor, Tan Chen Choon, manakala Teo sememangnya berasal dari Batu Pahat.

Kelantan nafi RM1.058b selesai air bersih

Rizal Tahir, 24 Apr 2012
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menafikan peruntukan sejumlah RM1.058 bilion yang dicanangkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang telah disalurkan kepada kerajaan negeri sehingga ianya masih gagal menyelesaikan masalah air bersih.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman, berkata peruntukan pinjaman yang diberikan pada AKSB (pengeluaran sehingga April, 2012) sebanyak RM540 juta berbanding kelulusan pinjaman RM618 juta.

“Itupun peruntukan yang diberikan dalam Rancangan Malaysia Ke-8 hingga RMK-10),” ujarnya lagi.

Beliau seterusnya memberitahu, peruntukan yang disediakan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebanyak RM347 juta sepanjang 12 tahun tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Ini kerana, hanya tahun 2011 dan 2012 sahaja baru projek dilancarkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat AKSB yang dipengerusikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berhubung kenyataan Mustapa yang mendakwa peruntukan sejumlah RM1.058 bilion membuktikan kerajaan Pusat tidak menganaktirikan Kelantan.

Mustapa dua hari lalu dalam kenyataannya menyifatkan Kelantan dizalimi Pusat dalam isu air bersifat politik pembangkang, malah negeri itu mendapat peruntukan yang sama rata dengan negeri-negeri lain.

Beliau bagaimanapun mengakui kerajaan negeri tidak mampu melaksanakan dengan segera bekalan itu memandangkan kerajaan Pusat meluluskan peruntukkan itu berperingkat-peringkat sejak permohoanan itu diluluskan.

Anizam juga turut menolak dakwaan yang mengatakan berlaku urus tadbir dalam AKSB sehingga satu badan ngo membuat demontrasi sebulan lalu.

“Kalau benar dakwaan itu berlaku sudah tentu pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang menyiasat, ini tidak adapun,” ujarnya semalam.

Yahudi bakal kuasai 20% saham FGVH?

Muhammad Faizal, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Dr Rosli Yaakub mendakwa sebuah syarikat milik Yahudi, Bunge Limited antara yang bakal menjadi 'rakan kongsi strategik' kepada Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH) apabila disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurutnya, Bunge Limited bakal memiliki saham sebesar 20 peratus di dalam syarikat tersenarai FGVHB di mana usahasama antara FGVHB dan Bunge Limited telah dimetrai pada bulan Disember 2011.

"Bunge Limted adalah syarikat milik orang Yahudi di mana matlamatnya ialah ia mahu menguasai dan memonopoli," katanya ketika berucap membentangkan kertas kerja di Konvensyen Halatuju Felda di Shah Alam Ahad lalu.

Tambahnya lagi, Bunge Limited adalah sebuah syarikat terkemuka di dunia yang menjalankan perniagaan 'agrobusiness' dan makanan.

Kakitangan syarikat itu kata Rosli berjumlah 32 ribu orang di lebih dari 30 buah negara dan ia adalah sebahagian daripada rangkaian syarikat-syarikat 'food cartel' dunia.

"Setakat ini, food cartel ini belum lagi berjaya mendominasi pengeluaran dan pasaran sawit dan produk sawit.

"Apabila ianya kelak menjadi rakan kongsi strategik kepada FGVHB maka Felda akan menyumbang ke arah penyempurnaan pengawalan oleh food cartel ini ke atas makanan-makanan utama dunia," sambungnya lagi.

Di Argentina, Bunge Limited telah berjaya membolot 'tanah perladangan yang keluasan beratus-ratus ribu ekar di kawasan tanah subur di Pampas Plains, malah mereka juga telah berjaya menguasai ekonomi Argentina.

"Akan beruntungkah peneroka-peneroka Felda dan akan selamatkah anak-anak peneroka Felda dan generasi mereka akan datang apabila satu bangsa yang tidak pernah ada belas kasihan.

"Mahukah dan bersediakah peneroka Felda untuk berkongsi tanah dan kilang-kilang minyak sawit yang mereka miliki dengan Yahudi," soal beliau lagi.

Bersih 3.0 kekal di Dataran Merdeka

Anis Nazri, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 meneruskan program Duduk Bantah di Dataran Merdeka, 28 April ini walaupun polis menolak permohonan mereka sebelum ini.

Keputusan itu dicapai sebulat suara selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, malam tadi.

Menurut jawatankuasa itu, Duduk Bantah akan diteruskan di Dataran Merdeka atas beberapa sebab, iaitu lokasi tersebut yang mudah didatangi dengan pelbagai kemudahan awam seperti sistem aliran ringan (LRT), komuter, monorel dan bas.

Selain itu juga, Dataran Merdeka juga merupakan tanda negara bangsa dan kebebasan anak semua bangsa.

"Maka amat sesuai dan tepat untuk rakyat berhimpun kerana Dataran Merdeka sebagai kawasan umum, di mana warga menunjukkan semangat patriotik," tegas kenyataan yang dikeluarkan kepada Harakahdaily, hari ini.

Sambil menyatakan keyakinan bahawa pihak polis boleh menjaga keselamatan pada hari tersebut, Bersih 3.0 percaya tiada sebarang kekacauan yang timbul sekiranya mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak polis.

Lebih-lebih lagi, apabila Duduk Bantah ini diakui sendiri Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, tidak mengancam keselamatan negara.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan Bersih 2.0 untuk menggunakan Dataran Merdeka, dengan menawarkan lokasi alternatif, Stadium Cheras dan Stadium Titiwangsa.

Tiada ulasan: