Khamis, 19 April 2012

ORANG JAHAT AKAN SOKONG ORANG JUGA...ORANG KAKI TIPU AKAN SOKONG AHLI PENIPU...AHLI@KAKI MAKSIAT AKAN SOKONG ORANG SUKA BUAT MAKSIAT...BIASALAH ORANG2 MACAM NI TAK KAN SOKONG BENDA YANG BAIK...LEBIH2 HUKUM ALLAH..KERANA JIKA DIJALANKAN MEREKA DULU KENA HUKUM....

Pinda akta: NUJ mahu kerajaan bentuk PSC

Harakahdaily, 18 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 18 April: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) mendesak kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk menilai tiga undang-undang baru termasuk meminda Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

NUJ mencadangkan PSC juga dibentuk untuk menilai dua lagi pindaan undang-undang iaitu Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi.

Demikian kata Setiausaha Agung NUJ, V Anbalagan dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Menurut beliau, cadangan ini berdasarkan resolusi sebulat suara yang dicapai dalam Seminar Luarbiasa Perwakilan NUJ 3 Mac lepas.

"Ini adalah keputusan sebulat suara yang dibuat oleh badan pembuat keputusan tertinggi NUJ dan mengarahkan ianya disampaikan kepada pihak berkuasa," kata Anbalagan.

Sebelum ini, katanya, kerajaan sentiasa mendapatkan pandangan awam apabila mahu memperkenalkan akta baru.

"Kami berharap kerajaan juga membuat perkara yang sama dalam kes ini kerana ia perlu mendapat pandangan awam," katanya.

Pindaan kepada akta akhbar dan mesin cetak bagus dan ada penambahbaikan, bagaimanapun adalah lebih baik kalau pendekatan holistik digunakan untuk mengubahsuai akta ini, tambahnya.

Sebelum ini, kerajaan menolak cadangan Pakatan Rakyat bagi menubuhkan PSC bagi mengkaji semula mengenai rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tiada keperluan bagi kerajaan untuk menubuhkan PSC bagi menilai semula Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang sedang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua.

"Itu tidak akan dilakukan, kita tak akan buat PSC atau tunda sehingga enam bulan (sebelum dapat diluluskan)," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-LangkahKhas) 2012 di sini, Selasa semalam.

Yang pandai masuk PAS, samseng masuk Umno

Khairil Abdul Rahim, 18 Apr 2012
TEMERLOH, 18 April: Trend terbaru golongan muda pada masa ini ialah yang pandai masuk PAS, yang cerdik masuk PKR, yang pintar masuk DAP dan yang samseng masuk Umno.

Bekas Timbalan Menteri Penerangan Datuk Fauzi Abdul Rahman (gambar) berkata, beliau bukan mereka-reka cerita tetapi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed sendiri yang mengatakan Umno sudah berpuluh tahun tidak dimasuki orang pandai sebaliknya mereka memilih PAS.

“Dr Mahathir sendiri mengatakan Umno dah berpuluh-puluh tahun tak bagi orang pandai masuk, sebab itu kebanyakan doktor masuk PAS sehingga akhirnya menyukarkan Umno mencari calon sesuai bagi menentukan kemenangan pada pada pilihan raya.

“Dr Mahathir akui sejak zamannya Umno tidak memberi peluang kepada golongan cerdik pandai itu kerana keengganan ahli Umno di bahagian itu sendiri untuk menyokong calon seumpamanya.

“Habis sekarang ni siapa yang ada dalam Umno? Ikut kata-kata Dr Mahathir orang cerdik pandai tak masuk Umno. Yang pandai masuk PAS, yang cerdik masuk PKR dan pintar masuk DAP. Tapi yang samseng masuk Umno,” katanya.

Fauzi yang juga Ketua Perhubungan Keadilan Pahang berkata demikian ketika berceramah dalam majlis ‘Aku Bekas Umno’ (ABU) di Taman Bukit Chermin di sini anjuran PKR Cabang Temerloh.

Turut berucap bekas Ketua Penerangan Umno Pekan yang juga bekas Adun Pulau Manis Datuk Ariff Sabri, bloger dan pemimpin Umno Negeri Sembilan Aspan Alias serta bekas AJK Umno Temerloh Rosli Ismail.

Fauzi berkata, memang terdapat perbezaan yang ketara antara pimpinan Umno dulu dengan sekarang kerana pemimpin dulu sanggup berkorban tetapi pemimpin parti itu sekarang ini mengintai peluang sahaja untuk mengayakan diri masing-masing.

"Pemimpin Umno dulu tengok orang Melayu susah, dibuka tanah untuk beratus ribu rakyat dan lantik Felda uruskan. Tapi sekarang Umno bagi tanah untuk satu orang. Contohnya di Bukit tinggi (Bentong) seorang tauke dapat 36,000 ekar. Begitu juga di Gambang (Kuantan) beribu ekar diberi hanya kepada seorang tauke.

“Saya masih ingat pada tahun 1974 Menteri Besar ketika itu Abdul Aziz Ahmad, (Tanah dalam bandar Kuantan) Transit Kuarters dulu rizab Melayu tapi tapak itu sudah dijual kepada tauke Cina dari Singapura,” tegasnya.

Fauzi berkata, ada betulnya kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan cerdik pandai tidak lagi masuk Umno sebab itulah jika diperhatikan pemimpin Umno dulu korban diri untuk kepentingan rakyat, tetapi pemimpin Umno sekarang korbankan rakyat untuk kepentingan diri.

“MB Pahang dulu tak masuk universiti tapi akal panjang dan amanah. Di buatnya kilang Aspa dan Mentiga kerana Pahang kaya dengan hutan balak. SEDC ditubuh bangunkan tanah Melayu ketika itu Aspa diberi 1.1 juta ekar tanah hutan balak tapi semua itu dah hilang.

“Kita boleh tengok tahun 1969 negeri Pahang ada simpanan tunai RM250 juta tetapi Pahang sekarang hutang pula RM2.3 bilion dan kena saman lagi RM63 juta oleh syarikat balak,” ujarnya.

Dalam pada itu Fauzi turut membangkitkan pada masa ini 2.5 juta pengundi dalam keadaan meragukan sehingga terdapat nama dalam Daftar Pemilih tetapi apabila disemak dalam JPN, tiada pemilik mykad.

“Jadi lepas ini anak cucu kita tak boleh tentukan masa depan tetapi pendatang asing.”

Sementara itu Ariff Sabri (gambar) yang berceramah sebelumnya mengatakan Umno pada masa ini mengamalkan kronisme sehingga menyusahkan rakyat. Sebagai bukti, harga beras dan gula menjadi tinggi apabila dimonopoli  kroni.

Beliau yang mendakwa rapat dengan Najib sebelum menyertai DAP, turut menyentuh kononnya Umno menganggap juara orang Melayu.

“Pemimpin Umno anggap parti itu bela Melayu? Melayu Umno saja. Tengok apa terjadi dengan Kelantan dan royalti negeri Terengganu sebelum ini yang tiba-tiba ditukar menjadi wang ehsan.

“Kita mahu orang Melayu sedar tentang perkara ini jangan selamanya ditipu oleh lidah rasmi Umno baik akhbar mahupun televisyen,” tegasnya.

Ariff berkata, orang-orang Melayu di tempat lain sedang mentertawakan Melayu negara ini kerana sudah 13 tahun rakyat dihidangkan dengan cerita-cerita lucah, khasnya menuduh Anwar walhal mahkamah telah membersihkan Anwar.

Aspan Alias yang mendakwa selama 42 tahun dalam Umno, menganggap masa sepanjang itu hanya membazirkan usia sahaja.

“Sehinggalah saya tak terdaya lagi dah nak mengikut ragam orang Umno baru. Umno khianat bangsa Melayu sendiri antaranya macam burung balang, hanya tahunya mengangguk saja.

“Tak boleh langsung berfikir di luar kotak dan tidak boleh terima kritikan. Saya dituduh pengkhianat, tapi Dr Mahathir yang matikan Umno pada tahun 1987 tubuhkan Umno baru tak dilabelkan apa-apa,” tambahnya.

Beliau yang turut menyertai DAP, mempersoalkan Umno yang cuba menjadi juara membela Islam demi untuk meraih undi Melayu.

“Guna duit RM250 juta dana lembu yang guna untuk tempat lain, adakah itu Islam? Guna duit kerajaan untuk bertunang anak adakah itu Islam?,” soalnya.

Kemukakan bukti Shah Alam 'sin city'

Muhammad Faizal, 18 Apr 2012

(Izham [dua dari kiri] dalam sidang media di pejabat ahli Parlimen Shah Alam)

SHAH ALAM, 18 April: Ahli-ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini meminta pihak yang mendakwa Shah Alam jadi bandaraya maksiat selepas diambilaih Pakatan Rakyat mengemukakan bukti mereka.

"Sila tampil kemukakan bukti, jika tidak lebih baik tutup mulut," kata Izham Hashim ahli MBSA yang bercakap bagi pihak ahli majlis yang lain.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu yang mengatakan bahawa Bandaraya Shah Alam kini menjadi 'Sin City' sejak berada di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat.

Jelas Izham, tuduhan sering kali dilakukan oleh Umno dalam ceramah dan kenyataan akhbar bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat dan MBSA sangat longgar dalam memberi lesen judi, minuman keras, rumah-rumah urut mahu pun hotel bajet di seluruh Shah Alam.

"Untuk makluman, MBSA tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen premis baru perjudian sejak Mac 2008.

"Manakala lesen premis baru minuman keras hanya dibenarkan untuk pemborong sahaja dan peruncit di kawasan majoriti orang bukan Islam," jelasnya pada sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam.

Tambahnya lagi, lesen rumah-rumah urut telah lama dibekukan kecuali yang betul-betul menjalankan khidmat urut kaki (refleksologi) dan spa wanita.

Hotel-hotel bajet pula dilesenkan mengikut keperluan dan dengan peraturan serta pemantauan yang rapi.

Katanya lagi, MBSA mengakui kewujudan pelbagai premis 'maksiat' di atas yang tidak sah dari segi undang-undang, namum langkah pencegahan dan penguatkuasaan telah diambil dari masa ke semasa.

"Kita telah turut serta bersama-sama pegawai penguatkuasaan MBSA dalam setiap serbuan dan lawatan mengejut ke premis yang berlesen mahupun tidak bagi tujuan penguatkuasaan sejak tahun 2008.

"Hasilnya banyak tempat-tempat maksiat telah ditutup dan barangan mereka telah dirampas, malah ada juga kes yang kita ambil tindakan undang-undang ke atas pemilik," sambungnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu wujud kekangan dalam setiap serbuan yang MBSA lakukan apabila tidak ada kerjasama dengan pihak berkuasa mahupun agensi kerajaan yang lain.

"Kekangan kita bila meminta agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pemotongan elektrik di premis yang di serbu mahupun disita mereka meminta surat dari pihak polis.

"Tetapi bila kita meminta tolong dari pihak polis perkara yang mendukacita berlaku, ini adalah kekangan yang besar apatah lagi jika ada pendatang asing maka pihak Imigresen diperlukan," jelasnya lagi.

PAS ajak ahli naikkan bendera di stesen komuter

Harakahdaily, 18 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 18 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak seluruh penyokong dan ahli Pakatan Rakyat untuk menaikkan bendera parti komponen Pakatan Rakyat di seluruh stesen komuter di Selangor.

Menurut ketua penerangannya Riduan Mohamad Nor, ini berikutan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah membenarkan Barisan Nasional (BN) menaikkan bendera mereka di kebanyakan stesen komuter di negeri itu.

"Bagi membuktikan pihak pentadbiran KTMB bersikap terbuka dalam ruang demokrasi di negara ini, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat perlu mengambil peluang ini untuk mengibarkan bendera di stesen yang sama.

"Dalam pada pihak KTMB memastikan bendera BN terus berkibar, bendera parti komponen PR juga perlu terus dikibarkan sama dan jangan ada tindakan sabotaj dibuat terhadap bendera milik parti komponen Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, Stesen Komuter KTMB adalah milik awam dan tidak wajar hanya bendera BN sahaja dibenarkan dipasang, sebaliknya bendera Pakatan Rakyat ditegah.

Stesen komuter juga ujarnya perlu dijadikan kawasan yang bebas kepada mana-mana parti politik untuk menggantung bendera masing-masing.

DPPM juga ujarnya mengajak kakitangan KTMB yang menyokong Pakatan Rakyat agar jangan takut dalam menyatakan sokongan terbuka, kerana itu adalah hak mereka masing-masing.

"Mereka juga diajak untuk turut sama menggantung bendera parti komponen Pakatan Rakyat di stesen komuter di sekitar Selangor tanpa rasa takut.

"Jika mereka dikenakan tindakan oleh pihak pengurusan KTMB atas tindakan mereka itu, ini membuktikan KTMB masih dikawal oleh pengaruh BN yang mengongkong kakitangannya daripada menyatakan sokongan politik kepada mana-mana pihak," katanya.

BN resah pemimpin utama Pakatan tanding di Johor

Harakahdaily, 18 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 18 April: Walaupun masih di peringkat khabar angin, Barisan Nasional (BN) terutama MCA sudah menggeletar apabila pemimpin popular PAS dan  DAP akan bertanding di Johor pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, PAS mengumumkan naib presidennya, Salahudin Ayub (gambar kanan) akan bertanding di Johor, kini akhbar Cina mula memainkan isu pemimpin kanan DAP pula akan bertanding di Johor.

Akhbar Sin Chew pada 16 April melaporkan bahawa terdapat desas-desus penasihat DAP yang juga ahli parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang (gambar kiri) akan bertanding di Johor sebagai langkah strategik untuk menumbangkan kubu kuat Barisan Nasional di negeri selatan itu.

Selain itu, laman web The Malaysian Times turut melaporkan perkara yang sama bahawa Lim kemungkinan besar bertanding di Kulai atau Labis, kedua-dua kerusi MCA yang kini disandang bekas presiden MCA Ong Ka Ting dan anak presiden kepada presiden MCA kini, Chua Tee Yong.

Bukan itu sahaja, ahli parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan yang digeruni di parlimen dan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching turut dikatakan akan bertanding di Johor atas faktor keluarga. Suami Fong adalah setiausaha DAP Johor, Tan Chen Choon manakala Teo sememangnya berasal dari Batu Pahat.

Perkembangan ini telah menakutkan MCA dan sebagai langkah awal, MCA Perak telah mengganggap khabar angin itu seolah-olah betul dan mengeluarkan kenyataan mengecam hasrat para pemimpin DAP terbabit walaupun tiada kenyataan rasmi daripada mereka untuk mengesahkan bahawa mereka akan bertanding di Johor.

“Laporan di Sin Chew Daily (16 Apr 2012) bahawa pemimpin DAP Lim Kit Siang telah berkata bahawa beliau akan bertanding kerusi di Johor pada pilihan raya umum yang akan datang dan DAP secara semula jadinya mempunyai sokongan berterusan daripada rakyat tanpa mengira keadaan adalah bukti keangkuhan mereka.

"Mereka telah mengambil ringan sokongan pengundi dan menganggap pemikiran rakyat sebagai permainan kanak-kanak. Ia adalah jelas bahawa DAP merasakan bahawa rakyat berkewajipan untuk menyokong mereka dalam mana-mana bahagian yang mereka bertanding dalam pilihan raya umum,” kata Setiausaha MCA Perak Datuk Tan Chin Meng dalam satu kenyataan.

Tan turut menyelar DAP, yang dikatakan lupa diri selepas kejayaan pada pilihanraya umum ke-12, dan mula menunjukkan belang dengan menganggap diri mereka boleh menang mudah di mana-mana kerusi yang mereka ingin bertanding.

Tan berkata pemimpin DAP yang digembar-gemburkan ingin bertanding di Johor tidak pernah menyumbangkan apa-apa di negeri itu tidak layak bertanding di Johor.

“Saya berharap rakyat Johor akan berfikir tentang ini dengan sebaiknya. Pengundi hari ini lebih bijak. Rakyat akan memberikan sokongan kepada mereka yang pernah berkhidmat pada negeri dan bukannya kepada selebriti ahli politik yang hanya bertindak apabila ada isu hangat,” kata beliau.

Para penganalisa politik Harakahdaily berpendapat langkah yang diambil DAP itu adalah amat wajar diteliti kerana Umno Johor mula goyah dengan kepulangan naib presiden PAS Salahuddin Ayub, yang mengesahkan akan bertanding di Johor kali ini.

"Jika ada dua tiga lagi jeneral perang daripada PAS dan PKR turut mengikuti jejak DAP untuk bertarung di Johor, BN akan terasa betul-betul terancam pada PRU13 kerana sekiranya Johor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, kemungkinan besar Putrajaya juga akan terlepas daripada tangan Umno," kata mereka.

PKR dakwa menteri beri RM1.5 juta kepada artis

Salmiyah Harun, 18 Apr 2012

KUALA LUMPUR, 18 April : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan pemberian wang tunai sebanyak RM1.5 juta oleh seorang menteri kanan kebinet kepada seorang artis yang terkenal dengan imej seksi hanya dalam tempoh empat bulan.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin (gambar)  berkata, transaksi wang yang telah berlaku dalam tempoh empat bulan antara Oktober 2011 hingga Januari 2012, di mana pada Oktober sebanyak dua transaksi dibuat dengan jumlah RM36,000 dan RM22,000.

Bukan itu sahaja katanya, pada November 2011 pula sebanyak RM112,000, Disember sebanyak RM330,000 dan Januari tahun ini sebanyak RM510,000 telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi artis terbabit.

"Jadi kalau saya jumlahkan lebih kurang RM1.5 juta di masukkan ke akaun artis berkenaan dalam tempoh empat bulan," dedahnya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini bersama-sama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahli Parlimen Subang dan artis Dayangku Intan yang baru menyertai PKR.


(Dayangku Intan [kiri sekali] dalam sidang media PKR di lobi Parlimen hari ini)

Jelas Zuraida, artis berkenaan juga dikatakan memiliki tiga kereta mewah seperti BMW, toyota Harrier, dan porsche juga sebuah rumah bernilai jutaan ringgit.

Zuraida tidak mahu mengambil tahu hubungan intim dan peribadi menteri terbabit dengan seorang artis itu, tetapi apa yang perlu ditekankan adalah dari mana menteri berkenaan memperoleh wang sebanyak itu berdasarkan transaksi kepada artis tersebut.

Zuraida mendedahkan maklumat itu berdasarkan laporan polis yang telah dibuat oleh pemandu peribadi artis terbabi ekoran tindakan artis tersebut yang membuat laporan polis menuduh beliau melarikan duitnya RM200,000 pada 3 Mac lalu.

Di dalam laporan polis yang dibuat pada 13 Mac lepas, pemandu itu mendakwa artis berkenaan telah membuat laporan palsu terhadapnya kononya beliau melarikan wang itu.

Justeru, Zuraidah meminta menteri berkenaan menjawab persoalan yang beliau bangkitkan itu.

"Daripada sumber mana beliau peroleh wang tunai berjuta ringgit, dan sebagai seorang menteri beliau bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan harus jelaskan dari mana sumber beliau," katanya.

Tauliah: Khalid diminta hadir ke mahkamah 26 April

Muhammad Faizal, 18 Apr 2012
SHAH ALAM, 18 April: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad diminta hadir ke Mahkamah Syariah Klang pada 26 April nanti berhubung dakwaan beliau mengajar tanpa tauliah di sebuah masjid di Selangor tahun lepas.

Bercakap kepada sidang media di pejabatnya hari ini, beliau memberitahu telah menerima surat dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Bahagian Penguatkuasaan pada 22 Disember tahun lepas agar hadir ke mahkamah.

"Saya menerima surat dari JAIS pada 22 Disember tahun lepas di bawah Seksyen 23 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor yang minta saya hadir ke mahkamah 26 April jam 9 pagi.

"Mereka akan membuat pendakwaan ke atas saya secara sah terhadap tuduhan saya memberi kuliah di masjid," kata beliau sambil mengesahkan akan hadir.

Mengulas tindakan terhadapnya itu, beliau menyifatkan ianya satu perkara pelik kerana diambil tindakan undang-undang atas sebab mendekati umat Islam untuk kebaikan.

"Pada satu ketika mereka mengkritik kita (PAS) telah bersubahat menganjurkan maksiat tetapi apabila kita datang memberi penerangan tentang Islam di masjid-masjid tindakan pula dikenakan.

"Ini merupakan satu perkara yang amat pelik dan aneh," jelasnya.

Menurutnya ketika kejadian pada bulan Ramadhan tahun lepas beliau tidak memberi sebarang kuliah tetapi hanya berkongsi pengalaman beliau sewaktu berada di Gaza serta menyatakan hasrat rakyat Palestin.

"Saya bukannya menyampai kuliah tapi hanya berkongsi pengalaman sahaja tetapi tuduhan disebaliknya," sambung beliau.

Jais pada 6 September lalu memutuskan mendakwa Khalid kerana memberikan tazkirah tanpa tauliah pada 16 Ogos lalu di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

PAS kecam serangan ke atas nazir masjid

Muhammad Faizal, 18 Apr 2012
SHAH ALAM, 18 April: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman  mengecam tindakan serangan ke atas Nazir Masjid As-Solehin Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Abdul Basir Alias baru-baru ini.

(BENGKAK...Nazir Masjid Abdul Basir yang diserang)

Jelasnya, tindakan ganas ini telah dikenalpasti didalangi oleh pemimpin Umno setempat.

"Tindakan tersebut adalan satu perbuatan yang tidak bertamadun dengan tujuan untuk membangunkan budaya samseng yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat setempat," jelasnya pada sidang media di Shah Alam.

Tambahnya kejadian tersebut berlaku semasa nazir masjid baru memulakan mesyuarat agung tahunan pemilihan jawatankuasa masjid apabila beliau didatangi oleh pemimpin Umno setempat.

Seterusnya salah seorang penyokong Umno telah menghantuk kepala kepada Abdul Basir sehingga mengakibatkan mata beliau lebam dan bengkak.

"PAS Selangor difahamkan bahawa Abd Basir yang bimbang keselamatannya kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

"Oleh itu, saya mengharapkan agar pihak polis dapat melakukan siasatan dan pemantauan terhadap laporan tersebut dengan lebih serius," sambungnya lagi.

Dr Ab Rani juga berpendapat Umno-Barisan Nasional kini sudah terdesak disebabkan kehilangan kuasa dan sokongan sehingga sanggup mengambil tindakan kekerasan yang ganas terhadap pemimpin-peminpin masyarakat.

"Apakah tindakan samseng ini natijah daripada hasrat Presiden Umno yang mahu merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat dengan apa cara sekalipun," persoal beliau.


Tiada ulasan: