Rabu, 18 April 2012

BERSIH ITU PENTING...UNTUK KEADILAN AGAR SELAMAT DIDUNIA DAN DIAKHIRAT

Bersih 3.0 perlu dan mesti - Presiden PAS

Harakahdaily, 17 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 17 April: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, himpunan Bersih 3.0 sangat wajar diadakan ekoran kerajaan pada hari ini dilihat enggan melaksanakan penambahbaikan proses pilihan raya.

Menurutnya, biarpun pelbagai bukti keraguan khususnya dalam daftar pemilih serta cadangan penambahbaikan diutarakan, namun ianya langsung tidak dilayan oleh kerajaan.

Selain itu, tuntutan Bersih 2.0 lalu juga masih belum ditunaikan termasuk akses media berat sebelah sehingga rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil.

"Himpunan Bersih 3.0 perlu diteruskan lagi sehingga tuntutan kita dilaksanakan.

"Walaupun kerajaan menubuhkan jawatankuasa (PSC) task force parlimen, apa yang sangat mendukacitakan, pilihan raya boleh diumum bila-bila masa walaupun tuntutan (syor) yang dibuat belum ditunaikan," katanya ketika ditemui di parlimen.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sokongan PAS terhadap himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini anjuran Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) yang turut disokong 84 NGO.

Himpunan tersebut akan diadakan bermula jam 2 petang bertempat di Dataran Merdeka.

"Mereka juga tidak menghormati pandangan-pandangan yang berhujah dengan menggunakan pandangan majoriti tanpa hujah yang kuat.

"Ini bukan cara demokrasi yang adil," kata presiden PAS itu.

Kes Husam saman Kickdeffela dipindah ke Kuantan

Aslani M, 17 Apr 2012

KUANTAN, 17 April: Kes saman fitnah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa terhadap blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella) kini dikendalikan di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menarik diri daripada mengendalikan kes berkenaan.

Ekoran itu Hakim Besar Malaya mengarahkan kes tersebut didengar di hadapan Hakim Datuk Mariana Yahya di Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, kes itu masih di peringkat untuk mendengar permohonan Syed Azidi mahu memindahkan kes ke Kuala Lumpur.

“Selain itu permohonan injunksi Husam ke atas Syed Azidi daripada menulis apa apa mengenai dirinya,” katanya dihubungi di sini.

Pada 19 September lalu Husam memfailkan saman terhadap Syed Azidi dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM5 juta ekoran penyiaran artikel berunsur fitnah terhadap plaintif.

Rencana tersebut bertajuk 'Husam telah menipu rakyat dan sahabat’ diterbit pada 27 Januari 2011, kedua, ‘Sebelum kita lupa Normala Sudirman’ (3 Februari 2011) dan artikel ‘Husam itu pembohong’ (3 Julai 2011).

Pada writ saman juga Husam menuntut Syed Azizi memohon maaf secara bertulis tanpa syarat, memadam rencana terbabit dalam laman blog defendan dan mengiklankan permohonan maaf dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu.

Bagaimanapun pada 9 Oktober lalu Syed Azidi memohon Mahkamah Tinggi memindahkan perbicaraan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam afidavitnya itu beliau mendakwa aspek keselamatan diambil kira dalam permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Disebut juga beliau kini berada di bawah jagaan pihak polis.

Pada prosiding 18 Disember lalu Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah menarik diri daripada mengendalikan kes saman fitnah tersebut.

Keputusan menarik diri dibuat dengan mengambil kira beliau mengenali kakak Syed Azidi dan juga kenal Husam ketika menuntut di Universiti Malaya.

Hisham berkata, kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Pada pendengaran kes hari ini Husam turut diwakili peguam Zainal Abidin Mustapha dan Rusilawati Zakaria, manakala Kickdefella diwakili Datuk Firuz Hussein Jamaludin dan Nurnatasya Amelia Yean.

Hakim kemudian menetapkan 25 Mei hadapan bagi klarifikasi kes berkenaa

Sokong Pengerusi SPR letak jawatan

Ahmad Lutfi Othman, 17 Apr 2012
Mulanya saya minta Hasni Abas, aktivis budaya yang rapat dengan Sasterawan Negara, A Samad Said mengatur pertemuan dengan Pengerusi Bersama Bersih itu, bagi menyampaikan sikap Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) terhadap tuntutan akses media yang bebas dan adil.

Hasni mencadangkan perjumpaan itu di Parlimen, tetapi saya agak keberatan. Sudah lama saya tidak bersepatu dan bertali leher! Beliau kemudian memaklumkan, Pak Samad setuju menerima kunjungan KAMI di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur, 12 April, jam 11 pagi.

Saya membayangkan pertemuan itu hanya membabitkan rombongan KAMI dengan Pak Samad, dan mungkin dua tiga orang lagi AJK Bersih. Rupanya, pagi itu ada sidang akhbar penting -- dengan kehadiran wakil media yang agak ramai -- yang menuntut ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) "meletakkan jawatan dengan serta merta kerana mereka telah melemahkan integriti daftar pemilih dan membiarkan penipuan dalam pilihan raya".

"SPR yang wujud pada hari ini tidak lagi diyakini dan dipercayai  rakyat Malaysia," kata Pak Samad membacakan kenyataan Bersih, di hadapan hampir 30 warga media, diapitpenggerak badan gabungan itu, Maria Chin Abdullah, P Subramaniam dan K Amurugam.

Selepas mengemukakan contoh-contoh "penipuan dan kerja jahat yang tidak dapat disorok lagi", beliau merumuskan: "Membiarkan ahli SPR terus bertugas hanya akan menjadikan pilihan raya umum yang akan datang ini terkotor, tidak adil dan tidak demokratik."

Terdapat lebih 400,000 pengundi yang disyaki, yang nama mereka ditemui oleh Malaysian Electoral Roll Analysis Project (Merap), tidak dibersihkan. Beberapa kes penipuan ditimbulkan, di antaranya:

1. Dalam suku tahun terakhir 2011, tiada kematian dilaporkan di bawah Kod 33 di Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, dan Tanjong Karang. Namun demikian, banyak sijil kematian dikeluarkan di tempat-tempat tersebut pada suku tahun itu. (Suku tahun keempat 2011)

2. Pendaftaran dua kali ditemui ketika 15,520 pengundi di Sabah dan 8,585 pengundi di Sarawak didaftarkan semula di Selangor. (Suku tahun pertama 2012)

3. Masih terdapat lebih 15 orang didaftarkan sebagai pengundi dalam sebuah rumah. (Suku tahun pertama 2012)

4. Di Selangor sahaja, sebanyak 7,841 pengundi didaftarkan di bawah Kod 71, code ini untuk warganegara dilahirkan di luar negara. (Suku tahun pertama 2012)

Pengendali sidang media itu, Hishamuddin Rais, sebelum sesi soal jawab, memberi sedikit ruang buat saya sebagai jurucakap KAMI merakamkan keprihatinan terhadap tuntutan memperjuangkan proses pilihan raya yang adil dan bersih.

Selain menyatakan nota sokongan kepada Bersih, dengan menekankan keperluan isu akses media dan tempoh kempen minimum 21 hari diberi perhatian lebih serius -- selaras hak rakyat untuk mendapat maklumat yang komprehensif dan tepat, secara mudah dan cepat, sebelum mengundi -- saya menyokong penuh gesaan agar ahli-ahli SPR meletakkan jawatan.

Sebenarnya saya mula menimbulkan satu peruntukan penting dalam Perlembagaan Persekutuan -- tetapi tidak begitu disedari ramai -- mengenai SPR dan peranan strategik Yang di-Pertuan Agong dalam proses pilihan raya kita sejak beberapa tahun lalu lagi.

Seorang rakan, bekas peguam dan kini pensyarah undang-undang, mengingatkan saya Perkara 114(2) Perlembagaan. Paling akhir saya mengulas hal ini, empat hari sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.

Antara petikan tulisan itu adalah: "Sememangnya penggubal Perlembagaan 1957 kita begitu cermat ketika memasukkan Perkara 114(2): "Pada melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam."

"Kedudukan Agong yang nuetral dari segi politik membolehkan baginda melaksanakan tugas strategik bagi memastikan SPR benar-benar berwibawa, diyakini rakyat, bertindak saksama dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik."

Saya juga pernah menyinggung siapa sebenarnya Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli SPR, iaitu Abdul Aziz Mohd Yusof, Wan Ahmad Wan Omar, Zainal Abidin Mat Said, Jamdin Buyong, Mohamad Ramji Alli, P Manogra, dan Christopher Wan Soo Kee.

Anda boleh membuat penilaian tersendiri terhadap keupayaan ahli-ahli SPR itu, untuk bertindak dengan penuh integriti dan bertanggungjawab, berdasarkan latar belakang masing-masing, seperti tertera dalam laman web www.spr.gov.

Saya kira ahli-ahli SPR itu berdepan dengan  krisis keyakinan yang cukup dahsyat, apatah lagi dengan pendedahan mengejutkan bahawa ada di antara mereka itu yang terbabit dalam task force memberikan kerakyatan kepada warga asing, seterusnya mendaftar sebagai pengundi, bertujuan memenangkan  BN dalam PRU13.

Elemen penting yang membentuk SPR iaitu "kepercayaan awam" (confidence of the public) sudah dicabuli dengan teruk sekali. Mungkin wajar Bersih menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam waktu terdekat bagi memaklumkan perkara ini kepada baginda.

Selesai sidang media, Pak Samad bangun mendekati saya, merakamkan penghargaan kepada KAMI. Saya juga mengharapkan ada kerjasama lebih spesifik bagi membangkitkan isu tuntutan akses media dan kempen minimum, yang kini tenggelam dengan kontroversi daftar pemilih yang kotor itu.

Pasport dipulangkan, NFC masih beroperasi?

Nazri Abdullah, 17 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 17 April: PKR hari ini sekali lagi mempersoal tindakan kerajaan membenarkan National Feedlot Corporation (NFC) meneruskan perniagaan walaupun dimaklumkan projek akan ditender semula serta akaunnya dibekukan.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau merujuk kepada kebenaran kepada Pengerusi NFC Datuk Sri Dr Mohamad Salleh Ismail (gambar) untuk ke Singapura dan Kazakhstan masing-masing 23 April dan 5 Mei ini.

"Mengapa beliau dibenar ke Singapura dan Kazakhstan bagi tujuan lawatan perniagaan seolah-olah operasi perniagaan berjalan seperti biasa?

"Dan mengapa meneruskan kerjasama dan pembukaan ladang di Kazakhstan sedangkan sasaran projek ini adalah bagi mengurangkan kebergantungan daging import," soal Zuraida.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan Mohammad Salleh untuk menggunakan pasport beliau bagi tujuan perjalanan perniagaan dan mengarahkan ianya dipulangkan semula kepada mahkamah pada 16 Mei 2012.

Laporan akhbar The Star dan News Straits Time pada 14 April lalu melaporkan Mohamad Saleh perlu keluar negara bagi urusan perniagaan NFC.

Beliau akan berada di Singapura dari 23 hingga 26 April bagi memastikan perjalanan perniagaan di negara itu lancar.

Lawatan ke Kazakhstan pula akan diadakan pada 5 hingga 11 Mei bagi tujuan pembukaan ladang baru.

Manakala pada 11 hingga 15 Mei pula Mohammad Salleh didakwa mahu melawat anak perempuannya, Wan Izzana Fatimah Zabedah yang belajar di London.

Pada 27 Mac lalu, Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa projek NFC akan ditender semula dan akaun syarikat dibekukan sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Saya mendesak agar Perdana Menteri dan Menteri Pertanian bertanggungjawab kepada persoalan-persoalan ini.

"Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak mahkamah namun kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kes penyelewengan dana awam ini diselesaikan dengan adil dan bijaksana, bukan seperti melepaskan batuk ditangga," kata Zuraida.

T'ganu 2004: Konspirasi kotor SPR dan JPN

Dr. Syed Azman Syed Ahmad, 17 Apr 2012

Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan berani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar di Parlimen baru-baru ini mengenai isu ’konspirasi terancang’ antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengeluarkan MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih SPR menjadikan mereka sebagai pengundi yang ’sah’.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendedahkan antara individu yang terlibat adalah Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan diketuai Pegawai Penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Othman Razak.

Menurut Mahfuz lagi,  beberapa individu lain yang juga terlibat bagi  melakukan tugas kerja tersebut mengikut arahan yang diketuai Datuk Othman Razak adalah Timbalan Ketua Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Jariah Mohd Said, Pegawai JPN Nik Norashikin Nik Mansor, Pegawai Bahagian Kewarganegaraan JPN Rashid Bashirun dan Shahrul Anwar Ahmad Zaidi.

Bagi saya, pendedahan persekongkolan terhormat beberapa Penjawat Awam tertinggi negara di bawah Jabatan yang amat kritikal bagi negara seperti JPN dan SPR adalah suatu yang amat dikesali dan perlu kepada siasatan lanjut.

Pendedahan penipuan serta manipulasi pilihan raya inilah yang menjadikan demokrasi di negara kita berjalan dalam keadaan yang penuh kepincangan dan tempang yang cukup membimbangkan sebahagian besar rakyat di negara ini serta mengancam keselamatan negara.


'Projek Isuzu'

Ya, saya teringat satu fakta persekongkolan terhormat JPN, SPR dan kerajaan Umno/BN ini apabila berlakunya pendaftaran beratus-ratus pekerja kilang dari Pekan, Pahang bagi mendaftar undi di kawasan parlimen Marang Terengganu.

Konspirasi yang di gelar 'Projek Isuzu’ ini telah di lakukan secar terancang dalam pilihan raya umum 1995 bagi menumbangkan Presiden PAS Datuk Sri Abdul Hadi Awang di kawasan parlimen Marang.

Begitu juga dengan pertambahan pengundi baru yang mendadak serta peratusan keluar mengundi yang ’amat luarbiasa’ di seluruh negeri  Terengganu pada tahun 2004 semasa PRU ke 11 yang menyaksikan kerajaan PAS tumbang dan hanya mampu bertahan selama satu penggal sahaja.

PAS kalah di kesemua 8 kerusi Parlimen dan hanya mampu menang 4 dari 32 kerusi yang dipertandingkan di Terengganu. Pada pilihanraya tahun 2004  itu, negeri Terengganu telah mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tertinggi bagi seluruh negara dan boleh dianggap amat tidak munasabah iaitu sebanyak 87.43 peratus sedangkan purata keluar mengundi bagi seluruh negara pada tahun 2004 hanyalah 74.43 peratus sahaja.

Ini ditambah lagi dengan perbandingan jumlah pemilih baru bagi negeri Terengganu yang juga ‘amat luarbiasa’ dan ‘tidak munasabah’ pada PRU ke 11. Pada tahun 1999 menjelang pilihanraya ke 10, negeri Terengganu telah mencatatkan pertambahan pengundi baru sebanyak 19,663 pengundi iaitu pertambahan sebanyak 5.08 peratus dari tahun 1995 semasa PRU ke 9. Pertambahan ini boleh di anggap ‘normal’ kerana purata nasional jumlah pemilih baru pada tahun 1999 adalah 5.77 peratus sahaja.

Tetapi yang paling ‘ajaib’ dan mengejutkan apabila pilihanraya tahun 2004, negeri Terengganu telah menyaksikan satu lonjakan jumlah pertambahan pengundi baru yang kedua tertinggi di seluruh Malaysia selepas Selangor iaitu sebanyak 68,585 atau pertambahan sebanyak 15.04 peratus.

Peratusan ini juga ‘amat luarbiasa’ dan ‘tidak munasabah’ berbanding dengan purata pendaftaran pengundi baru bagi seluruh negara di Malaysia pada tahun 2004 hanyalah 7.01 peratus sahaja.

Keputusan amat luarbiasa ini menjadi 'konspirasi misteri’ sehingga sekarang sehingga ia berjaya menumbangkan kerajaan PAS di Terengganu.

Persoalannya, siapakah yang harus bertanggungjawab dalam konspirasi besar ini? Dan apakah akan ada usaha dari pihak kerajaan bagi membersihkan kembali

Orang Asli luar Kelantan demo depan pejabat MB

Salmah Mat Husain, 17 Apr 2012
KOTA BHARU, 17 April: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendedahkan demontrasi Orang Asli yang diadakan di Kompleks Kota Darulnaim baru-baru ini bukan di kalangan masyarakat Kelantan.
(Demo Orang Asli di depan pejabat SUK Kelantan baru-baru ini)
Katanya, Orang Asli luar Kelantan telah digunakan pihak tertentu kononnya untuk menyerahkan memorandum kerana tidak berpuas hati terhadap kerajaan negeri.

“Saya tahu pihak mana yang menghantar Orang Asli untuk berdemo di luar pintu pagar SUK, tapi saya tidak mahu dedahkan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Ijtima’ Almala’ anjuran Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Ngo negeri tengahari tadi.

Beliau tidak menolak kejadian itu disebabkan kerana iri hati terhadap golongan mereka yang ada di  Kelantan.

Katanya, tidak ada sebab beliau perlu menyelesaikan masaalah Orang Asli di luar Kelantan, apa lagi semua tuntutan hak mereka telah lama diperolehi oleh golongan itu di negeri ini.

“Masaalah Orang Asli di negeri-negeri lain sewajarnya di selesaikan oleh negeri masing-masing,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas demontrasi aman golongan berkenaan disamping menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ahad lalu kira-kira 300 masyarakat Orang Asli berhimpun di depan hadapan Pejabat SUK bagi membantah tindakan kerajaan negeri yang dikatakan berdiam diri terhadap pengambilan tanah adat mereka.

Mereka telah berkumpul sejak awal 9.00 pagi sambil membawa pelbagai kain rentang yang didakwa telah menderita di atas tindakan kerajaan negeri selama ini.

Sambung Tuan Guru, apa yang berlaku sebenarnya masyarakat berkenaan telah memohon maaf  di atas apa yang berlaku sebelum ini, iaitu menyaman kerajaan negeri berhubung kes Ladang Rakyat.

“Bukan itu sahaja mereka juga telah menarik balik dakwaan yang telah dikenakan terhadap kerajaan negeri sebelum ini,”ujarnya.

Awas cara Terengganu tawan Selangor

Harakahdaily, 17 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 17 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan peringatan, taktik Umno merampas Terengganu pada pilihan raya 2004 akan digunakan semula di Selangor dalam pilihan raya akan datang ini.

Beliau memberi peringatan ini dalam wawancara khas dengan Harakahdaily baru-baru ini.

"Di Terengganu, kita kalah dalam pilihan raya 2004 bukan kerana penolakan rakyat tetapi melalui pengundi yang diangkut masuk.

"Mereka akan ulang cara ini di Selangor dalam pilihan raya akan datang ini," kata anggota Parlimen Marang itu memberikan amaran kepada petugas Pakatan Rakyat di Selangor.

PAS telah menang dalam pilihan raya umum 1999 di Terengganu dengan mendapat 28 dari 32 kerusi DUN yang ada namun dalam pilihan raya 2004, kerusi PAS hanya tinggal empat sahaja.

Bagi beliau, pendekatan begini satu penipuan yang kotor lagi najis kalau ia dinilai dari perspektif demokrasi sebenar yang sepatutnya adil dan bersih.

Menurut beliau, dalam postmortem yang dibuat oleh PAS selepas pilihan raya umum 2004, beberapa kawasan di Terengganu didapati berlaku peningkatan sehingga 2 peratus undi kepada PAS.

Berlaku juga di sesetengah kawasan penurunan undi untuk PAS sehingga 2 peratus.

"Tetapi di negeri Kelantan, ada kawasan yang menurun undi PAS sehingga 6 peratus. Tetapi apa yang berlaku, Terengganu kerajaan PAS jatuh tetapi kita bertahan di Kelantan," kata beliau.

Untuk Parlimen Kemaman, kata beliau, berlaku pertambahan undi berlipat kali ganda yang di luar dari kadar kelahiran manusia di kawasan itu.

"Dianggarkan pertambahan pengundi di Kemaman adalah 17,000 pengundi baru (berbanding pilihan raya 1999).

"Kawasan lain pun ada juga fenomena yang sama," kata beliau dalam wawancara khas itu.

Bagi Abdul Hadi, jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) bukanlah kuat sangat tetapi mereka telah menggunakan jentera kerajaan.

"Mereka kuat dengan jentera kerajaan. Sepatut tak berlaku macam itu kerana  masa pilihan raya, ia hanya caretaker government (kerajaan sementara)," jelas beliau.

BN juga, katanya, menggunakan 100 peratus media yang ada dan menghalang parti lawan mereka menggunakan media itu yang bukannya milik BN.

"Saya yakin, jika pilihan raya akan datang ini berjalan dengan bersih, kita akan tawan semula Terengganu," beritahu beliau.

MCA juga didakwa terlibat KP untuk warga asing

Khaulah Azwar, 17 Apr 2012
SHAH ALAM, 17 April: Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh   mendakwa MCA juga terlibat memproses kad pengenalan kepada warga asing melalui program MCA Road Show & Free Medical Check-up semalam.

Hannah dalam sidang medianya berkata, “kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin terdesak untuk memenangi piliharaya akan datang dengan cubaan memberikan kad pengenalan kepada warga asing.

“MCA cuba berselindung di sebalik program kemasyarakatan yang dijalankan dengan menawarkan kad pengenalan kepada warga asing yang datang berkunjung ke program itu.

“Kebanyakan penduduk yang berada di sini merupakan warga Indonesia dan mereka diberi kad pengenalan dengan syarat mengundi BN dalam pilihanraya akan datang,” dakwa beliau dalam sidang media itu.

Terdahulu, MCA menganjurkan Road Show & Free Medical Check up yang berlangsung semalam di Jalan SS19/1, Off Jalan SS19/7A, Subang Jaya.

Sementara itu, ADUN Kota Alam Shah, Manoharan Malayalam pula menegaskan pemberian kad pengenalan sewenang-wenangnya menunjukkan BN adalah pengkhianat kepada negara dan rakyat negara ini.

“Kita kesal, pemberian kad pengenal sewenang-wenangnya kepada warga asing sedangkan masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kad pengenalan.

"Ramai rakyat Malaysia terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkannya tetapi kerajaan UMNO-BN memberikan sesuka hati kepada warga asing,” katanya.

Hadir sama dalam sidang media itu, Saari Sungip ADUN Hulu Klang.

Saari berpendapat, tindakan yang dilakukan oleh BN ini merupakan tindakan yang keji bagi mempastikan mereka akan menang di pilihanraya ke-13 nanti.

Katanya lagi, tuntutan yang terkandung dalam Bersih 3.0 meminta Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) membersihkan senarai nama pemilih ternyata tidak membawa kesan kerana Umno-BN berterusan menjalankan taktik kotor ini.

“Tindakan ini bukan pertama kali didedahkan tetapi sudah banyak kali terjadi namun pihak SPR masih berdiam diri dan tidak mengambil apa-apa langkah yang sewajarnya,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, adalah wajar bagi seluruh rakyat untuk turun pada Bersih 3.0 dan menunjukkan tanda protes terhadap ketelusan SPR untuk menjalankan pilihanraya yang bersih dan adil.

Tiada ulasan: