Khamis, 19 April 2012

KERJA2 KOTOR..PENIPUAN..ZALIM DAN SEWAKTU DENGANNYA...ADALAH AMALAN2 SYAITAN...MALANGLAH KITA ALLAH PILIH MELAKUKAN AMALAN2 SYAITAN...JALAN TERBAIK IALAH BERTAUBAT...KERANA SEMUA AKAN MATI DAN DIBANGKIT SEMULA...DAN DIHUKUM MENGIKUT AMALAN KITA DIDUNIA....

PAS arah semua ke Bersih 3.0

Harakahdaily, 19 Apr 2012
KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan semua unit dibawahnya agar menggerakkan semua ahli dan penyokong parti Islam itu agar menyertai Bersih 3.0 28 April ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, semua dewan, badan perhubungan negeri, kawasan dan cawangan diarahkan agar menggerakkan ahli masing-masing.

Arahan itu selaras dengan keputusan PAS untuk menyokong sepenuhnya perhimpunan 'Duduk dan Bantah' Bersih 3.0 yang akan diadakan di Dataran Merdeka.

Perhimpunan ini diadakan ekoran kegagalan kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempersiapkan pilihan raya akan datang agar diadakan dengan bersih dan adil.

Jawatankusa Terpilih (PSC) Parlimen yang dibentuk juga didakwa gagal untuk menghasilkan yang terbaik untuk mempastikan pilihan raya akan datang bersih dan adil.

Semua usul yang dikemukakan PSC kepada Dewan Rakyat telah diluluskan tanpa dibahaskan.

Laporan minoriti yang cuba dikemukakan anggota Pakatan Rakyat dalam PSC juga ditolak.

Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula dalam kenyataannya mendedahkan pegawai kanan kerajaan dan SPR terlibat dalam satu 'task force' bagi mendaftar warga asing sebagai pengundi dengan cara memberikan kad pengenalan biru kepada mereka.

Ia disifatkan pelbagai pihak sebagai sangat bahaya kerana ia umpama menjual negara untuk kemenangan BN.

Budaya samseng seolah-olah dibenarkan

Hazayani Zakaria, 19 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mengecam tindakan sekumpulan samseng menyerang perkhemahan mahasiswa di Dataran Merdeka awal pagi tadi yang disifatkan sebagai biadab.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun terdapat perbezaan pendapat yang ketara, budaya samseng tidak boleh diamalkan.

"Saya dan teman-teman mengutuk keras tindakan biadab gerombolan penjahat yang menyerbu dan menyerang anak-anak kita di Dataran Merdeka.

"Saya ingin mengingatkan beberapa perkakas mereka yang seolah-olah menyokong tindakan ini. Kita boleh bebeza pendapat, kita boleh menganggap anak-anak itu bersalah, kita mungkin tidak bersetuju keras dengan mereka tapi ingat, jangan guna kuasa rakus mereka untuk memukul anak-anak.

"Siapa yang beri hak kepada mereka? Apakah samseng boleh mengatasi undang-undang?" kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga mempersoal sikap berdiam diri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein walaupun sudah beberapa kali kejadian sedemikian berlaku.

"Ini bukan kali pertama. Ketika saya diserang cermin kereta dipecahkan, Nurul Izzah diserang dan sebelum ini di Lembah Pantai Adam Adli diserang.

"Apa negara ini (menerima) budaya samseng? Apa Datuk Najib tidak rasa bertanggungjawab sedikit? Bukankah dia seorang ayah? Apakah Menteri Dalam Negeri lepas tangan begitu sahaja? soalnya.

Justeru beliau meminta semua pihak menerima perbezaan pendapat tanpa menggunakan kekerasan.

"Apa kata kalau seorang penyokong Umno diserang begitu, terus jadi isu besar. Ini bukan soal politik. Ini soal jenayah.

"Kita harus belajar berbeza pendapat dan harus menghormati hak masing-masing," katanya yang juga Ketua Pembangkang.

Kira-kira jam 2.30 pagi tadi, sekumpulan lebih kurang 40 samseng berpakaian serba hitam menyerang perkhemahan mereka dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Samseng itu turut meroboh khemah, memukul mahasiwa dan orang ramai yang menyokong perkhemahan dengan menumpu sasaran terhadap mereka yang membawa kamera dan perakam video.

MB Selangor mengundi di Lembah Pantai

Muhammad Faizal, 19 Apr 2012
PUTRAJAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menjelaskan beliau akan mengundi di Parlimen Lembah Pantai jika pilihan raya diadakan pada masa yang terdekat.

Bercakap kepada media di lobi Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pertemuan dengan Pengerusi SPR,Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, katanya isu pemindahan tempat pengundian bagi dirinya juga dibincangkan dalam pertemuan tersebut. (Gambar)

"SPR memaklumkan bahawa mereka telah membuat pembetulan lokaliti dan kawasan tersebut berada di Kuala Lumpur iaitu Parlimen Lembah Pantai.

"Selain itu juga, SPR turut menyatakan saya telah membuat permohonan permindahan tempat mengundi di kampung saya mengikut alamat di dalam kad pengenalan pada tahun 2007," jelasnya.

Menurutnya lagi, jika pilihanraya diadakan dalam masa terdekat beliau akan mengundi di Parlimen Lembah Pantai sehinggalah daftar pemilih baru dikeluarkan.

Dalam pada itu kedudukan beliau sebagai Menteri Besar tidak akan terjejas walaupun mengundi di Kuala Lumpur kerana alamat di dalam kad pengenalannya masih di Selangor.

Khalid juga menyatakan selain isu tersebut perbincangan tentang isu pembersihan daftar pemilih di Selangor yang melibatkan rekod perpindahan kawasan tanpa pengetahuan pengundi.

"Kami memaklumkan SPR bahawa kerajaan negeri memandang serius pergerakan dan pemindahan ke dalam Selangor dan mahu SPR mengambil langkah tertentu untuk membersihkan daftar pengundi.

"Kerajaan negeri juga mengambil kesempatan pertemuan ini untuk memaklumkan kepada SPR usaha-usaha yang telah kami lakukan untuk menguatkan demokrasi di Selangor," kata beliau lagi.

Menurut Khalid, kerajaan negeri telah menyediakan geran RM5 juta bagi Program Pendemokrasian di bawah Geran Selangorku demi membolehkan semua pihak dan individu tanpa mengira parti politik untuk membuat bantahan berkenaan nama-nama pengundi yang meragukan.

"Kerajaan negeri juga akan melancarkan program 'Selangorku Bersih' di mana kakitangan kerajaan negeri seperti Ketua Kampung dan JKKK akan ditugaskan untuk membantu memastikan senarai daftar pemilih adalah bersih dan teratur.

"Program ini adalah cara kerajaan negeri membantu SPR membersihkan senarai daftar pemilih khususnya di Negeri Selangor," tambahnya lagi.

Khalid percaya bahawa demokrasi harus mencerminkan kuasa rakyat dalam membuat pilihan adil dan bersih, malah rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang telus dan bertanggungjawab.

Ketika ditanya tentang hasrat kerajaan negeri untuk tidak bersama dalam membubarkan Dun dalam pilihanraya yang akan datang, beliau memberitahu perkara tersebut tidak dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah ahli-ahli mesyuarat kerajaan negeri termasuk Speaker Dewan Negeri, Datuk Teng Chang Khim.

Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar selaku Timbalan Pengerusi SPR juga turut hadir.

Kelantan sedia RM10,000 waris mangsa bunuh

Rizal Tahir, 19 Apr 2012
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bakal menjadi negeri pertama menyediakan bantuan khas sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa yang dibunuh setelah tertuduh diberi pengampunan Sultan Kelantan kerana mempunyai masalah mental.

Tindakan itu diputuskan dalam mesyuarat exco semalam selepas ianya dicadangkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘sagu hati kesedihan’.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata mahkamah tidak boleh meneruskan perbicaraan terhadap kes bunuh yang melibatkan kes suspek kurang siuman setelah disahkan oleh doktor.

“Selepas pengampunan Sultan Kelantan, suspek itu bebas malah keluarga simati sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi terhadap suspek terbabit, apa lagi untuk mengemukakan saman kerana dia sudah tidak siuman,” ujarnya.

Beliau seterusnya memberitahu, melalui keputusan itu, rakyat luar Kelantan walaupun tinggal di negeri ini dan kebetulan berlaku sedemikian, juga layak menerima.

Katanya lagi, kertas kerja berhubung perkara itu akan dilaksanakan segera bagaimanapun ianya perlu mendapat kelulusan dalam mesyuarat exco terlebih dahulu.

“Bersama saya yang bakal menjalankan tanggungjawab itu, anggota exco kerajaan negeri, Dr Mohd Fadhli Hassan,” ujarnya lagi.

Katanya, kerajaan negeri memandang berat masaalah yang ditanggung keluarga mangsa sedangkan untuk mendakwa tertuduh tidak boleh dilakukan.

“Jadi sebagai tanda kebajikan, tanggungjawab sekurang-kurangnya sebagai ganjaran kerajaan negeri bersedia memberi bantuan kepada keluarga mangsa yang terdekat,” ujarnya.

Tiada penambahbaikan, PRU 13 paling kotor

Salmiyah Harun, Hazayani Zakaria, 19 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menyifatkan apa yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk penambahbaikan pilihan raya tidak akan ditunaikan dalam PRU ke-13 ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, soal utama yang disebut oleh jawatakuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya dan laporan minoriti tidak ditangani termasuk soal daftar pemilih.

"Walapun ada beberapa pindaan kecil berkaitan istilah diluluskan tetapi ternyata PRU akan diadakan kotor dan SPR bersekongkol dalam kerja jijik, kengganan mereka membersihkan daftar pengundi," katanya dalam sidang media petang tadi.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menegaskan sidang mesyuarat dewan rakyat hari ini sepatutnya membuat pindaan berhubung perkara pokok seperti laporan minoriti ataupun sekurang-kurangnya 22 syor PSC berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.

Bagaimanapun, persidangan dewan rakyat masih membincangkan pindaan yang bersifat remeh temeh seperti soal barung (pondok panas), poster, istilah buang undi, istilah jarak dari pusat pengundi dan agen pengiraan undi bagi Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012.

Ahli Parlimen (PAS-Kota Bharu) Datuk Wan Rahim Wan Abdullah ketika berbahas turut mempersoalkan bilakah kerajaan akan memasukkan laporan PSC itu di dalam pindaan rang undang-undang itu.

"Apakah syor itu akan dilaksanakan selepas pilihan raya umum nanti? Nampaknya PSC seperti sandiwara, walaupun hari terakhir kita tidak nampak ada pindaan itu," soalnya.

Ahli Parlimen (DAP-Rasah) Anthony Loke mempertikaikan langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru semalam mengadakan mesyuarat selepas dua minggu laporan PSC diluluskan dalam parlimen.

"SPR hanya mesyuarat semalam, tetapi nampaknya sidang ini tidak sempat. Kalau dewan bubar Jun ini bermakna 22 perkara itu tidak dapat dilaksanakan dalam PRU nanti," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen (PAS-Shah Alam) Abdul Khalid Samad pula mencadangkan agar pindaan hari ini turut mengenakan hukuman kepada pihak seperti memasukkan senarai pengundi hantu, merosakkan dan memasukkan warga asing dalam daftar pemilih.

"Bukanlah orang seperti ini patut dihukum kerana ia bukan sahaja merosakkan sistem pilihan raya dan mengkhianati negara," katanya ketika mencelah perbahasan Wan Rahim.

Ahli Parlimen (PKR-Gombak) Azmin Ali turut mempertikaikan pindaan kepada rang undang-undang kesalahan pilihan raya yang disifatkan membuang masa hanya membahaskan perkara kecil bukannya perkara pokok seperti laporan minoriti PSC.

Manakala Ahli Parlimen (PAS-Kuala Krai) Dr Hatta Ramli menyifatkan pindaan hari ini sia-sia kerana perkara pokok yang harus dibahaskan itulah yang akan menjanjikan pilihan raya yang bersih.

22 syor yang PSC yang diluluskan parlimen antaranya, kerajaan sementara, undi pos kepada petugas media, tarikh pembubaran parlimen, membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemilih apabila mencapai umur 20 tahun, tempoh berkempen dan akses kepada media yang adil.

API serah memorandum kepada Agong Selasa ini

Hazayani Zakaria, 19 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Anti Pemalsuan IC (API) akan menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi menuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu pemberian kerakyatan kepada warga asing pada 24 April ini.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, senarai nama warga asing termasuk dari Myanmar, Filipina, Indonesia dan Kemboja akan turut disertakan dalam memorandum tersebut.

"24 April ini saya akan menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja melalui Penyimpan Besar Mohor Raja-raja menuntut Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing.

"Saya akan bekalkan sebahagian daripada nama-nama warga asing dari negara mana termasuk dari Sri Lanka, Filipina, Kemboja, Indonesia yang didapati daripada pasukan kerja kami," kata beliau kepada Harakahdaily.

Minggu lalu, PAS menubuhkan API bagi menangani isu pemberian kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka menjadi pengundi pada Pilihan raya Umum ke-13.

API telah  menyaring maklumat peribadi warga asing yang diberikan Mykad itu, yang didakwa beroperasi di Jabatan Perdana Menteri.

API turut dianggotai ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, Hanipa Maidin, Exco Pemuda PAS, Suhaizan Kayat dan Adram Musa serta peguam Zul Hazmi Shariff serta beberapa peguam lain.

Kekalkan perpaduan Pakatan Rakyat Sarawak

Harakahdaily, 19 Apr 2012
KUCHING: Timbalan Persuruhjaya 1 PAS Sarawak, Mohamad Shokri Ahmad Fauzi meminta semua pihak terutama ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat agar bekerja dari sekarang bagi menguatkan parti dan menarik seramai mungkin pengundi untuk memastikan Pakatan Rakyat menang besar pada Pilihan raya Umum ke-13 di negeri ini.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Petra Jaya berkata, keupayaan Pakatan Rakyat  yang terdiri daripada PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP memenangi seberapa banyak kerusi Parlimen perlu menjadi kenyataan di samping mengekalkan kerusi parlimen yang telah dimenangi.
“Kita perlu bekerja bersungguh-sungguh, kita mahu jumlah kerusi yang dimenangi bertambah. Pada pilihan raya yang lalu Pakatan Rakyat (DAP) cuma menang satu kerusi di bandar Kuching, manakala satu lagi kerusi dimenangi juga oleh DAP melalui ‘By-Election’ di bandar Sibu.
“PAS tidak meletakkan calon pada pilihan raya parlimen 2008, tetapi pernah bertanding pada pilihan raya 2004. Manakala parti Keadilan belum meraih kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat Dewan Harian PAS di Markas Perhubungan PAS, Taman Matang Jaya, di sini semalam.
“PAS sudah mendapat tempat di hati rakyat Sarawak yang berbilang bangsa dan agama. PAS cukup selesa untuk berbangga bahawa ia berjaya membina jaringan perjuangannya yang Umno sendiri dihalang daripada bertapak di Sarawak oleh rakan-rakan Barisan Nasional sendiri,” katanya.
Shokri juga berharap ahli-ahli dan para penyokong PAS, PKR dan DAP berganding bahu dan mengelakkan perkara yang boleh dijadikan modal Barisan Nasional untuk melemahkan Pakatan Rakyat.
Menurutnya, DAP telah membuktikan kesungguhan mereka dengan kemenangan besar pada pilihan raya negeri (Dun) baru-baru ini.
“Bagi PAS kita sudahpun mengerah ahli-ahli dan penyokong untuk mengundi mana-mana calon yang ditandingi oleh Pakatan Rakyat pada Pilihan raya Umum ke-13 nanti,” katanya.
Pesuruhjaya PAS negeri, Haji Adam Ahid pula memberitahu PAS Sarawak akan mengadakan mejlis perasmian Markas PAS negeri pada Ahad ini, 22 April bermula jam 9.00 malam di Lorong 4, Taman Matang Jaya.
Beliau menjemput orang ramai datang untuk menyaksikan upacara itu dan beberapa orang  pimpinan kanan PAS Pusat akan hadir.
Haji Adam berharap markas PAS Sarawak itu mampu menyuntik semangat ahli-ahli di seluruh negeri.
Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak, ahli-ahli dan penyokong PAS, rakan-rakan PAS di seluruh negeri serta individu-individu yang telah memberi sumbangan sehingga wujudnya markas itu.

Tiada ulasan: