Rabu, 12 Jun 2013

YANG KAYA SANGAT KAYA...YANG MISKIN TERLALU MISKIN....ADAKAH TAK NAMPAK ATAU BUAT TAK NAMPAK...ATAU MEMANG BUAT BODOH AJE

Mentakwil titah atau menghina raja

Subky Latif, 11 Jun 2013

TIADA siapa boleh membiarkan sesiapa menghina Raja, bahkan mengina sesiapa yang bukan raja pun tidak boleh diterima akal. Itu adalah adab dalam Islam dan adalah dikongsi oleh semua tamadun.

Tetapi mentakwil sesuatu pendapat manusia termasuk mentakwil titah terbuka kepada keadaan. Sesiapa dibenarkan untuk tidak bersetuju dengan apa yang tidak disetujuinya. Terpakaikah tidak persetujuannya itu bergantung kepada hujahnya.

Justeru kita tidak boleh lihat secara sempit atas kejadian beberapa orang yang mentakwil titah Yang di-Pertuan Agong. Ia mesti diadili seadil-adilnya bagi mengelakkan berlaku ketidak-adilan.

Bertindak dan menghukum mesti adil, jika tidak ia menjerumuskan kepada kezaliman.

Kita jangan mudah untuk berpersepsi beberapa kerat orang tidak setuju dengan Raja atas sesuatu seperti takwil seorang facebooker, bahawa itu mahu menukar sistem beraja kepada republik.

Kalau pun ada beberapa kerat orang Malaysia yang tiga suku tergila-gila hendakkan republik, apakah kita wajar berperang dengan orang tiga suku itu?

Semuanya tidak suka kepada suasana tragedi Al-Marhum Mangkat Dijulang dalam kesultanan Melaka dulu. Orang tidak suka kepada tindakan raja yang menyebabkan ada reaksi sehingga adalah Raja mangkat dijulang.  Tetapi tidaklah orang masa itu mahu menjadikan Melaka sebuah republik dan orang zaman ini pun berkongsi rasional tidak menerima sistem republik itu.

Saya katakan, tidak ada orang Malaysia yang rasional baik Melayu, Cina dan lain-lain mahu menukar sistem beraja yang sudah diterima itu kepada republik kecuali yang tiga suku saja. Maka tidak wajarlah kecoh seluruh negara disebabkan oleh dua tiga orang tiga suku itu.

Apa yang berlaku wujud  dalam masyarakat anasir yang mengada-adakan dan membesar-besarkan konon orang itu anti raja dan orang ini mahu menegakkan republik. Tujuannya ialah supaya orang yang disasarkan itu ditolak oleh masyarakat dan boleh memecah belahkan masyarakat.

Tidak ada orang yang memperjuangkan republik  dalam negara ini. Secara umumnya semua menerima sistem beraja yang ada dan semuanya mahu menunjukkan kesetiaan kepada raja  walaupun sebagai manusia Raja tadi ada kelemahan di sana sini. Kelemahan itu tidak menyebabkan rakyat tidak setia kepada raja.

Tetapi dengan membesar-besarkan orang itu mahu republik dan orang ini tidak mahu raja menyebabkan ada yang terasa orang sudah tidak mahu kepada raja. Itu bahayanya membesarkan perkara tiga suku itu.

Amat bahaya kalau yang dikatakan yang mahu republik itu adalah kaum itu dan suku ini. Manakala yng lain pula dikira lebih setia kepada Raja dan negara.  Apabila isu ini dihebohkan ialah yang menggugat perpaduan dan keselamatan di Malaysia.

Hingga ada istana resah dan orang-orang yang tidak berbelah bagi kesetiaannya kepada raja mahu diadakan  undang-undang baru bagi memperkasa institusi raja dan sebagainya. Peraturan yang sedia adalah sudah memadai. Kedudukan sistem beraja adalah terjamin. Tiada sebarang kebangkitan mahu menumbangkan raja.

Tunjuk perasaan di sana sini dan secara besar-besaran adalah untuk membetulkan kepincangan politik negara, tidak tentang kewujudan sistem beraja. Raja adil raja disembah, Raja zalim raja disanggah hanya wujud dalam peribahasa dan kata-kata hikmat, tetapi tidak wujud dalam gerakan massa dan politik.

Yang menjadi kecoh ialah bila media massa mengheboh dan membesarkan konon orang itu pro republikan dan orang ini pro raja. Orang itu pun membuat aduan polis, minta hukum orang itu dan tangkap orang ini.

Jika orang tiga suku ini tidak  dilayan, kisah anti raja ini tidak berbangkit. Dan apabila raja membuat kenyataan berbau politik, politik itu adalah topik mengundang ulasan, suasana terpaksa terima secara terbuka bahawa politik tidak lari dari polemik dan takwil. Takwil boleh diterima. Yang tidak boleh diterima ialah  penghinaan.

Najib, cakap biar serupa bikin

Idris Hj Ahmad, 11 Jun 2013
Menatap ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu merasmi Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-56 di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu, Kelantan memang lunak. Seruan beliau supaya mencari titik persamaan walaupun berlainan ideologi politik hendaklah dilaksanakan dengan tindakan. Semuanya terletak kepada beliau selaku pemimpin kerajaan Pusat.

Rakyat tidak mahu ia hanya manis kata tetapi di hati lain bicara. Politik pilih kasih dan tidak menghormati keputusan rakyat  Kelantan sejak 1990 masih berterusan. Bermula dengan perlantikan Pegawai Persekutuan yang membazir wang berpuluh juta setahun untuk pembayaran gaji dan perbelanjaan pengurusan, seolah-olah tidak iktiraf kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Hampir RM12 bilion wang royalti minyak masih disekat.

Apa dosa Kelantan sehingga sanggup berbuat demikian? Bukankah banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang melarang hambanya  melakukan kezaliman, walaupun kepada musuh. Mungkin Datuk Najib terlepas pandang ayat-ayat tersebut, atau pun ulama pengampu tidak memberi tahu kepada beliau.

Setiap kali musim pilihan raya, maka datang janji manis daripada pemimpin Umno untuk rakyat Kelantan. Seolah-olah jika Kelantan diperintah oleh Umno, maka semua perkara akan selesai seperti isu air. Pada hal kawasan Parlimen yang diwakili oleh Perdana Menteri pun menghadapi masalah air. Pemimpin BN sengaja mendera rakyat Kelantan dengan harapan rakyat akan tolak PAS dalam pilihanraya, sebaliknya tidak.

Rakyat Kelantan yang sudah terdidik dengan ilmu agama amat memahami isi kandungan al-Quran, dan kenal pula peribadi  Datuk Najib yang bercakap di majlis perasmian Tilawah al-Quran.

Bukan masa bincang persempadanan baru

Subky Latif, 11 Jun 2013
MESKIPUN perlembagaan membenarkan persempadanan baru kawasan pilihan raya dibuat sekali selepas sepuluh tahun, tidak bererti ia mesti dilakukan setiap sepuluh tahun.

Lazimnya persempadan baru dibuat tidak disebabkan faktor persempadanan itu perlu dirombak tetapi ia dibuat bagi memastikan UMNO dan sekutunya memenangi pilihan raya.

Memandangkan persempadan baru yang terakhir sepuluh tahun tidak adil khususnya buat Kelantan, Terengganu dan Johor, mungkin tiba waktunya ia dibetulkan. Kelantan dan Terengganu dalam penyusun itu tidak diberi tambahan kerusi bagi menyekat PAS mendapat manfaat dalam pilihan raya, sedang Johor mendapat tambahan kerusi bagi meramaikan YB BN baik di Parlimen mahupun DUN.

Tetapi buat masa ini perbincangan utama bukan untuk merombak kawasan pilihan raya tetapi bagi membetulkan pengendalian pentadbiran SPR yang tidak lagi mendapat keyakinan umum.

Sekalipun institusi polis, kehakiman, jabatan peguam negara dan SPRM tidak mendapat keyakinan umum,  SPR lagi tidak diyakini  dan perlu direformasi atau ditransformasi segera. Pembetulannya perlu diutamakan dari yang lain-lain.

Apabila SPR dapat disempurnakan, maka jadi kunci kepada pembetulan yang lain. SPR yang telus, bebas  dan adil boleh membuka kepada perubahan pemerintahan. Jika pertukaran kuasa tidak dapat dilakukan, maka tidak ada ruang bagi melakukan di semua institusi yang lain. Jika dengan SPR yang telus dan adil itu membuka peluang perubahan, maka pertukaran kerajaan itu akan meletakkan polis, kehakiman, jabatan peguam negara dan SPRM pada kedudukan yang betul.

Pada masa ini kita tidak mahu persempadanan baru, kita tidak sedia membincangkan pemindahan SPR dari  Jabatan Perdana Menteri kepada jawatankuasa khas di Parlimen. Bukan ia tidak penting, tetapi yang aula ialah merombak bagi memulihkan SPR.

Yang pertama kita mahu pengerusi dan timbalan pengerusi meletak jawatan secara sukarela atau dipaksa. Jika mereka ada maruah jalan terbaik ialah meletak jawatan. Jika tidak bermaruah, mereka terpaksa dipecat.

Pembentukan Suruhanjaya Diraja Penyiasatan tentang kecurangan SPR adalah langkah terbaik dan perlu didahulukan dari yang lain-lain. Kecurangan itu bukan baru. Ia sudah berlaku dalam setiap kali pilihanraya umum dan pilihanraya kecil.

Justeru rakyat sebelum ini tidak berdaulat, tidak apa yang dapat dibuat. Kita tidak berminat kepada Arab Spring. Jika tidak mahu penyakit Arab itu tiba ke sini, buang segera pengerusi dan timbalan pengerusi SPR, adakan pemulihan segera.

Majoriti rakyat khusus pengundi mengutuk SPR dan pengendalinya. Semua meludah mereka dari belakang. Cari makanlah di tempat lain untuk menanggung anak bini. Dunia ini luas untuk mencari rezeki. Atau bersara saja. Duit pencen pun cukup makan hingga akhir hayat. Jangan khianati harapan rakyat dan demokrasi.

Sebarang cadangan untuk mengadakan persempadanan baru biar datang dari rakyat, bukan dari SPR yang pincang itu. Apa saja yang datang dari SPR yang pincang tidak akan diterima oleh suara perubahan.

Dan apakah persempadanan baru itu yang memerlukan pindaan perlembagaan  boleh dibuat oleh kerajaan yang tidak  ada majoriti dua pertiga? Adakah boleh persempadanan dibuat dengan majoriti mudah kerajaan. Jika ia memerlukan sokongan MP Pakatan Rakyat, tidak nampak persempadanan baru itu boleh dibuat.

Buatlah apa yang boleh dan apa yang senang dulu. Dan keutamaam ialah kita memerlukan SPR yang telus, bersih  dan adil. Lepas itu baru kita fikirkan membawanya di bawah seliaan Parlimen dan membentulkan persempadanan yang tidak dilakukan secara jujur sepuluh tahun lalu.

Kemuliaan umat Islam terletak pada kemuliaan akhlaknya

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, 11 Jun 2013
Ancaman terbesar pada Islam sebenarnya adalah daripada dalaman iaitu pemimpin dan pengikut Islam sendiri yang mengajar fahaman yang tidak betul, serta tidak menunjukkan teladan yang baik daripada ajaran Allah kepada mereka yang ingin belajar dan masih mentah.

Ia pula ditambah dengan pemimpin Islam yang suka memesong ajaran Allah dengan fahaman asabiyah yang tebal dan menyebabkan pengikut-pengikut terikut-ikut dengan fahaman tersebut tanpa memikirkan soal keadilan.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah : ayat 8)


Sekiranya ini dapat diperbaiki, tiada ancaman luar yang akan dilihat sebagai ancaman kepada Islam kerana jamaah kukuh, rajin, berdisiplin, berkelakuan baik dan tinggi takwanya kepada Allah. Bak kata cerdik pandai, untuk menjaga kesihatan diri sendiri, usah bimbang dan jangan membazir masa dengan memikirkan tentang kuman, virus, bakteria yang ada di luar sana. Berusahalah dan fokuskan untuk menguatkan badan dengan gaya hidup dan makanan yang sihat.

Itulah benteng kekuatan manusia sebenar bukannya menjadikan virus, kuman, bakteria sebagai musuh yang digeruni seti-ap masa. Ingatlah Allah tidak pernah mengajar kita bermusuh dan mencari musuh. Lebih-lebih lagi dalam hal menjaga Islam.

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (surah Fussilat : ayat 34)

Ingatlah kata-kata ini;

“Jika kejahatan dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam.”

“Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa.”

“Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim.”

“Tetapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.”

Menjaga Islam bermula daripada diri sendiri - praktikan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian bermula dari membuka mata iaitu ketika bangun dari tidur di waktu pagi sehinggalah menutup mata untuk tidur di waktu malam. Jagalah perangai dan kata-kata kita sebagai umat Islam sentiasa untuk menjaga maruah Islam dan kehebatan ajaran-Nya.

Ketika baginda Rasulullah SAW bersabda, (mafhumnya) bahawa baginda diutuskan demi kesempurnaan akhlak, di sana ada rasionaliti yang tinggi kerana jatuh bangun sebuah bangsa, tamadun dan negara adalah bermula dari akhlak. Perjuangan baginda Rasulullah bermodelkan akhlak, berprinsipkan Islam, adalah suatu formua mengapa kita dapati pelapis-pelapis baginda terdiri dalam kalangan para sahabat yang mulia bahkan antaranya terdiri daripada khulafa' ar rasyidin.

http://www.tarbawi.my

Menangani kemiskinan tegar

-, 11 Jun 2013



KURANG dari setahun enam bulan saja lagi program di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikenali sebagai Millennium Development Goals (MDGs) akan berakhir.

MDGs adalah satu program besar-besaran di bawah PBB bagi menangani kemiskinan tegar di peringkat global. Selain tumpuan diberikan berasaskan goegrafi, MDGs turut memberi perhatian kepada kelompok-kelompok komuniti yang difikirkan terdedah kepada kesan kemiskinan.

2015 telah disasarkan sebagai garis akhir bagi membebaskan Negara-negara dunia dari gejala kemiskinan. Seminggu dua mutakhir ini telah kedengaran beberapa buah Negara termasuk dari Asia Tenggara yang menyarankan program MDGs perlu dilanjutkan hingga 2030.

Saranan pelanjutan masa tersebut telah dibuat memandangkan kebanyakan Negara berpandangan MDGs masih belum mampu membebaskan dunia dari kesan kemiskinan tegar yang dialami oleh rakyat di kebanyakan Negara.

Dalam merangka program ini, beberapa kelompok masyarakat yang dikatakan berisiko kepada kemiskinan telah diberi perhatian. Ia termasuklah golongan wanita, golongan warga emas dan golongan orang kurang upaya “OKU”. Jika ditinjau dalam kebanyakan tindakan PBB termasuklah penerbitan beberapa konvensyen, 4 golongan iaitu wanita, OKU, kanak-kanak dan warga emas merupakan kelompok masyarakat yang sememangnya amat diberi perhatian.

Bagi pendokong Islam yang berpaksikan Al-Quran dan Al-Sunnah, cabaran dalam membangunkan masyarakat tertindas dan diselubungi kesempitan hidup telah jelas ditekankan oleh Islam. Islam bukan hanya memberi perhatian kepada system agihan yang hanya terlihat secara nyata, lebih dari itu Islam memberi perhatian kepada pengisian jiwa sebagai system sokongan asas manusia yang terdiri dari system jasad dan ruh.

Sebagai contoh, apa yang dibentangkan dalam Surah AlBaqarah ayat 177 merupakan keperluan-keperluan asas kepada pembangunan insan termasuklah menyentuh mereka yang tertindas dan terbelenggu. Antara lain Islam meletakkan cirri-ciri berikut untuk diberi perhatian:

-          Keimanan kepada Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi,  dan

-          memberikan harta yang kita sukai kepada keluarga terdekat yang memerlukan, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; serta mereka yang terbelenggu,

-          mendirikan salat, dan menunaikan zakat; dan

-          orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan

-          orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan.

Sungutan kebanyakan negara-negara yang berhadapan dengan rakyat kemiskinan tegar perlu kita ambil endah. Kita biasa sebut dan dengar bagaimana hebatnya Khalifah Umar Abdul Aziz yang membentuk sebuah Negara penuh dengan berkebajikan (benevolence state) hanya dalam tempoh kurang dari tiga tahun sahaja.

Perbezaan nyata pendekatan ciptaan manusia dan ciptaan Allah jelas berbeza. Manusia hanya mampu merancang dengan apa yang dapat dilihat. Program yang disediakan oleh AlQuran dan Al-Sunnah meliputi apa yang terzahir dan apa yang tersirat.

Islam telah menetapkan selain melaksanakan pemberian material secara zahir, di sana juga perlu diterap nilai-nilai asas keinsanan antara mereka yang memberi dan mereka yang menerima. Bagi mereka yang beragama Islam, program penerapan iman mesti seiring dengan program material yang dilakukan.

Jangan bersikap “tunggu kita menang, nanti kita laksanakan”. Selain Kelantan yang kita diamanahkan, sedaya mungkin fikirkanlah dan laksanakanlah melalui pendokong-pendokong parti yang sedia ada. Terapkan nilai-nilai kasih sayang antara ahli dan pimpinan, antara penyokong dan ahli, antara rakyat dan juga parti.

Kita bertanggungjawab untuk buktikan bahawa  Islam terbina dengan akhlak dan kasih sayang. Parti Islam Semalaysia PAS yang dijadikan waddah bukan parti politik semata-mata. PAS adalah sebuah gerakan Islam. Justeru, halatuju kita adalah berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah bukannya sekadar di saluran-saluran undian sahaja.

Fahami dan kajilah secukupnya isi Al-Quran dan Hadith baginda Rasul Allah SAW. Manfaatkanlah setiap cendikiawan untuk kita menzahirkan Islam bagi dinikmati setiap insan. Yakinlah, Islam yang bersifat fitrah pasti diterima seluruh rakyat sebaik Allah membuka jalan atas kesungguhan yang kita tunjukkan. – 2 Sya’ban 1434H.

* Penulis adalah seorang peguam dan Pengerusi JK Prihatin OKU PAS.

Tiada ulasan: