Jumaat, 7 Jun 2013

MINHAJ KENA BERPANDU QURAN DAN HADIS

PAS gesa wujudkan Suruhanjaya Bebas Postmortem PRU13

Harakahdaily, 07 Jun 2013
KUALA LUMPUR: PAS menggesa pihak kerajaan untuk mewujudkan satu Jawatan Kuasa Bebas atau satu Suruhan Jaya Bebas Postmortem PRU13 yang boleh menyiasat secara terbuka dan telus bagi mendapat maklumat kelemahan, salah laku, kepincangan dari semua pihak.

“Hanya setelah kelemahan-kelemahan ini diketahu baharulah pembaikan secara menyeluruh dapat dilakukan,” tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Justeru, PAS, tegasnya ingin mengulangi kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang baru sahaja berakhir itu diadakan dalam keadaan penuh keraguan dan kelemahan proses yang paling ketara dalam sejarah pilihan raya negara Malaysia.

Beliau berkata, berbagai persoalan timbul dari proses sebelum dan semasa pilihan raya, termasuklah sistem demokrasi yang jelasnya tidak berlaku adil kepada Pakatan Rakyat dari aspek penggunaan media cetak dan elektronik arus perdana yang berkempen secara terbuka bagi pihak Barisan Nasional.

“Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin membuat cadangan supaya diadakan satu post mortem yang menyeluruh terhadap semua aspek PRU13 ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Hakikatnya, kata beliau ialah semua pihak dari Pakatan Rakyat, NGO, dan individu rakyat Malaysia, termasuklah dari parti Barisan Nasional sendiri juga mengakui bahawa wujudnya banyak kelemahan yang boleh diperbaiki dalam menguruskan PRU sebagai pelengkap kepada sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

“Pihak kerajaan sendiri juga telah membuat kenyataan supaya diletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Parlimen, dan ini telah memberi gambaran bahawa kedudukan SPR sekarang belum bebas sepenuhnya,” katanya.

Justeru, tambah beliau tindakan untuk meletakkan SPR di bawah Parlimen tidak mempunyai apa-apa erti sekiranya kita tidak tahu punca permasalahan yang timbul.

Suhakam terima laporan kehilangan 50,000 undi dalam PRU 13

Harakah, 07 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengesahkan penerimaan laporan kehilangan lebih 50,000 undi pada PRU13. Pengesahan itu berdasarkan laporan seperti aduan seorang pengundi, Mohd Azlan Mohd Sharif, 30 Mei lalu.

“Suhakam ingin mengesahkan penerimaan aduan yang tersebut,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Suhakam.

Kenyataan itu dikeluarkan  Ketua Penolong Setiausaha Kumpulan Aduan, Inkuiri dan Pemantauan Suhakam yang turut dipanjangkan kepada pengadu.

Suhakam berkata, perkara yang dibangkitkan akan diambil perhatian yang sewajarnya.


Ikuti laporan penuh mengenainya dalam Harakah edisi Isnin mulai Ahad ini.

Jaga keabsahan manhaj perjuangan

Ustaz Nasrudin bin Hasan, 07 Jun 2013
Perjuangan tidak hanya berasaskan semangat, malah penglibatan kita bersama PAS sebagai sebuah parti politik juga bukan sekadar memenuhi tuntutan demokrasi. Sebaliknya penglibatan (intima') kita adalah berpaksi kepada Iman dan Islam. Yang kita mahu tegakkan ialah Iman dan apa yang kita mahu daulatkan ialah Islam.

Inilah cita-cita murni yang sekali-kali tidak boleh kita benarkan dipengaruhi oleh nafsu dan dikuasai oleh akal yang terpisah daripada wahyu. Justeru cita-cita ini terlalu suci untuk dipengaruhi selain Iman yang tidak berbelah bahagi dan Islam sebagai risalah as-samawi.

Malang sungguh apabila perjuangan ini dicampur aduk dengan desakan nafsu yang memburu ruang untuk meraih komoditi, menyerlah populariti dan publisiti malah membina identiti diri tanpa memperduli ketulenan manhaj rabbani.

Barangkali kita akan ketemui apa yang diburu biarpun hanya mengatasnamakan perjuangan Islam ini. Persoalannya, berbaloikah perjudian itu?

Siang malam bergelut menghadapi ancaman. Saban waktu pula meredah rintangan. Bersama perjuangan ini dengan mengambil pelbagai risiko yang mungkin membinasakan diri, hanya semata-mata untuk menggapai cita-cita peribadi yang berpaksi kepuasan naluri.

Keabsahan Perjuangan

Perjuangan yang disertai ini adalah untuk sebuah kembara mencari kedaulatan buat Islam. Laksana pengembaraan Nabi Muhammad SAW bersama para sahabatnya membelah alam jahiliyyah memacu hijrah membina sebuah daulah. Segala rintangan dan halangan dihadapi dengan tabah. Sengsara dan deritanya didepani dengan sabar. Perit jerih atas segalanya menjadi ibadah yang ditekuni tanpa mengalah.

Islamnya Suhail bin ‘Amr

Ustaz Abu Muhammad Harits, 07 Jun 2013
Suhail bin ‘Amr adalah salah seorang pemuka, pemidato dan penyair ulung bangsa Quraisy. Dialah yang selama ini menghasut manusia agar menyerang dan memerangi kaum muslimin dengan segenap kekuatan. Pedasnya ucapan Suhail benar-benar menyakiti kaum muslimin. Sehinggakan Umar bin al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, ketika melihatnya tertawan dalam perang Badar meminta izin daripada Nabi SAW: “Biar saya patahkan dua gigi serinya, agar dia tidak dapat lagi berpidato menyerang kita (dengan ucapannya).” Tetapi Nabi  Shallallahu ‘alaihi wasallam hanya mengatakan: “Biarlah. Mungkin suatu ketika gigi itu akan membuatmu senang.”

Akhirnya, Suhail dibiarkan hidup dan terus memerangi Islam dan kaum muslimin dengan dua senjata, pedang dan lisannya. Tibalah peristiwa Hudaibiyah. Tatkala datang Suhail bin ‘Amr sebagai delegasi Quraisy, dan Nabi SAW berkata dengan optimis: “Urusan kalian benar-benar telah menjadi mudah. Mereka bersungguh-sungguh ingin berdamai kerana mengutus orang ini.”

Ketika itu Quraisy sudah menyatakan kepada Suhail: “dengan Muhammad, ajaklah dia berdamai. Hendaknya dia pulang ke Madinah tahun ini. Jangan sampai bangsa ‘Arab mengatakan kalau dia masuk tahun ini, kita telah dikalahkan Muhammad.”

Dibuatlah perjanjian sebagaimana disebutkan dalam kisah Hudaibiyah.

Suhail tetap menampakkan sikap permusuhannya terhadap Islam sehinggalah berlakunya Fathu Makkah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memasuki Baitullah, lalu keluar dan berdiri di pintu Kaabah seraya berkata: “Apa yang akan kalian katakan?”

Maka berkatalah Suhail bin ‘Amr: “Kami hanya mengatakan yang baik, dan menyangka sesuatu yang baik. (Anda) saudara yang mulia, putera saudara yang mulia dan anda menang.”

Kata beliau: “Saya hanya katakan kepada kalian sebagaimana ucapan Nabi Yusuf kepada para saudaranya; “Tiada celaan atas kalian pada hari ini.” ilah. Pergilah! Kalian semua bebas.” (HR Baihaqi).

Mendengar ini, luluhlah hati Suhail dan orang-orang yang bersamanya, dalam keadaan malu, segan melihat pekerti agung Nabi SAW dan kasih sayangnya yang membuat akal manusia kehairanan. Lidah pun kelu, tiddak mampu berucap sepatah kata pun.

Mulailah bersemi rasa cinta di dalam hati Suhail kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Tumbuh pula kecondongannya kepada Islam. Dia pun berjumpa puteranya Abu Jandal (Abu Jandal telah masuk Islam lebih awal daripada peristiwa Hudaibiyah) agar meminta jaminan keselamatan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberinya jaminan keselamatan. Setelah itu, Suhail ikut berangkat menuju Hunain bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan masih musyrik, sehinggalah dia masuk Islam ketika di Ji’ranah. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberinya waktu itu 100 ekor unta daripada ghanimah Hunain. Semakin bertambah rasa takluk dan malu dalam hati Suhail.

Tidak lama, Islam mulai tumbuh mekar dalam hati Suhail, hingga dia berusaha bersungguh-sungguh membetulkan segala kesilapannya dahulu. Hatinya setiap saat merasa terhiris-hiris ketika mengingat betapa jauhnya dia selama ini daripada ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Keras kepala, kesombongan dan peperangan sungguh-sungguh telah membuat mereka buta terhadap. Setelah tabir itu tersingkap, tampaklah hakikat iman di depan mata mereka, bahkan diresapi oleh hati mereka.

Beberapa sahabat dan orang-orang yang datang sesudah mereka mempersaksikan: “Tidak ada satu pun pembesar Quraisy yang terlambat masuk Islam, lalu masuk Islam ketika Fathu Makkah, yang lebih banyak solatnya, puasanya, dan sedekahnya daripada Suhail. Bahkan tidak ada yang lebih semangat terhadap hal-hal yang mendokong kepada akhirat dibandingkan Suhail bin ‘Amr.”

Bahkan diceritakan, dia sering menangis ketika membaca al-Qur’an.

Suhail terus melangkah. Menelusuri jalannya menuju surga Ar-Rahman dan untuk menebus apa yang tertinggal sebelum ini darinya. Dialah yang mengucapkan kata-kata yang terkenal ini: “Demi Allah. Saya tidak akan biarkan satu tempat pun yang di situ saya berada bersama kaum musyrikin melainkan saya berada di sana bersama kaum muslimin seperti itu juga. Tidak ada satu pun nafkah yang dahulu saya serahkan bersama kaum musryikin melainkan saya infakkan pula kepada kaum muslimin yang serupa dengannya. Mudah-mudahan urusanku dapat menyusul satu sama lainnya.”

Setelah Nabi SAW wafat, beberapa kabilah mula murtad, bahkan penduduk Makkah mulai goyah. Bangkitlah Suhail mengingatkan bangsanya: “Wahai penduduk Makkah. Kamu adalah manusia yang paling akhir masuk ke dalam agama Muhammad, maka janganlah kamu menjadi orang pertama yang keluar darinya….”

Kemudian dia melanjutkan: “Siapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad sudah wafat. Siapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Hidup, tidak akan pernah mati.”

Mungkin inilah rahsianya, mengapa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dahulu melarang Umar bin al-Khaththab mematahkan gigi Suhail. Dikisahkan, Umar pun tersenyum mendengar berita pembelaan Suhail terhadap Islam ini.

Suhail tetap teguh di atas kebaikan dan keimanan. Bertambah banyak solat dan puasa serta sedekahnya. Dia senantiasa menangis ketika membaca Kitab Allah Subhanahuwata’ala. Bahkan dia sengaja berangkat menuju negeri Syam sebagai mujahid memerangi musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala. Ketika di Yarmuk, dia bertugas sebagai amir (gabernor) negeri Kurdis, dia tetap tinggal di perbatasan muslimin, sambil mengingat hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Posisi salah seorang dari kamu di jalan Allah satu saat saja dari usianya, lebih baik dari amalannya seumur hidup ketika dia bersama keluarganya.”


Kata Suhail: “Saya akan tetap tinggal di perbatasan (ribath) sampai mati dan tidak akan kembali lagi ke Makkah.”

Suhail tetap berada di sana sehingga akhirnya meninggal dunia akibat wabak penyakit taun.

MP Pakatan dijangka tidak hadir taklimat parlimen

Harakahdaily, 07 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Kesemua ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu berkemungkinan tidak akan hadir pada sesi taklimat parlimen minggu depan.

Difahamkan ianya sebagai tanda kesinambungan protes menuntut reformasi pilihan raya yang didakwa berlangsung dengan penuh penipuan pada PRU13 lalu.

Biarpun kehadiran ke taklimat itu tidak wajib, namun tindakan boikot itu dilihat sebagai tekanan berterusan oleh Pakatan Rakyat terhadap kerajaan agar melaksanakan reformasi pilihan raya.

Ketua Whip Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi Harakahdaily turut mengesahkan perkara itu.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR Isnin lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke yang dipetik portal The Malaysian Insider berkata, tindakan untuk tidak hadir ke taklimat itu sebagai selari dengan himpunan Blac505 yang diadakan di seluruh negara bagi menuntut reformasi pilihanraya.

“Majlis Pimpinan PR merasakan kita perlu mengenakan tekanan sebanyak mungkin yang kita boleh lakukan bagi memastikan kerajaan memberi respon kepada tuntutan kita untuk reformasi pilihan raya.

“Jadi pada ketika ini, kita rasa kita tidak perlu hadir taklimat itu… pada masa sama, kita merancang perhimpunan besar, jadi, pada masa sama, kita tidak harus hadir taklimat itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan membayangkan kemungkinan memboikot sesi pembukaan parlimen ke-13 pada 24 Jun ini atas sebab yang sama.

Selain itu beliau juga dilapor berkata, kemungkinan juga tidak akan mengemukakan soalan-soalan untuk sesi parlimen akan datang.

Syarikat luar dapat projek Pasar Payang Baru RM400 juta

Khairul Azlan Mohamad, 07 Jun 2013

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dituntut memberikan penjelasan kenapa kelulusan projek pembangunan baru Pasar Besar Kedai Payang bernilai RM400 juta diberikan kepada sebuah syarikat dari Kuala Lumpur.

(Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menunjukkan tandatangan orang ramai yang membantah projek perobohan Pasar Payang)


Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, hasil semakan dibuat melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Syarikat Gabungan Granite (Terengganu) Sdn. Bhd. yang mendapat projek tersebut didaftarkan di Kuala Lumpur.

“Ini kerana, semakan yang kita (PAS) buat bahawa syarikat ini walau pun bernama ‘Terengganu’ tetapi ianya sebuah syarikat yang berdaftar di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

“Pemiliknya pula terdiri dari mereka yang bukan anak Terengganu. Direktornya ialah Tan Sri Datuk Abu Sahid Muhamed, Lim Chiau Woei, Law Phooi Wong dan Chan Lai Choon.

“Saya mohon untuk dapat penjelasan dari kerajaan negeri Terengganu dan Ahmad Said (Menteri Besar). Apakah rasionalnya diberikan projek bernilai RM400 juta kepada Tan Sri Abu Sahid dan tidak diberikan kepada rakyat Terengganu yang berwibawa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang medianya di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, di Pusat Niaga Paya Keladi dekat sini hari ini.

Harakahdaily dimaklumkan, pembangunan baru Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi kontroversi bernilai RM400 juta itu dikurniakan kepada syarikat terbabit yang telah memperolehi banyak projek di Terengganu termasuk Perwaja Steel di Kemaman.

Dr Syed Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok mendakwa, masih ramai kontraktor-kontraktor Terengganu yang berwibawa tetapi tidak diutamakan.

Justeru, kata beliau, apakah rasionalnya diberikan projek RM400 juta itu kepada seorang bergelar Tan Sri yang telah kaya-raya serta telah memperolehi banyak projek kerajaan negeri sebelum ini.

“Ramai kontraktor-kontraktor Terengganu sekarang ini yang tidak ada projek untuk menjalankan projek-projek mereka.

“Apa rasionalnya diberi kepada seorang Tan Sri yang telah kaya-raya dan dapat projek terlalu banyak di Terengganu ini, termasuk projek Perwaja Steel di Kemaman yang Terengganu sendiri mengalami kerugian ratusan juta dalam projek Perwaja itu,” jelasnya.

Dr Syed Azman juga meminta semua termasuk pihak syarikat berkenaan agar dapat mengkaji semula cadangan pelaksanan projek tersebut yang mendapat bantahan semua pihak.

Menurutnya, atas nama kepentingan menjaga Warisan Rakyat Terengganu pihak syarikat terbabit wajar mengambil kira bantahan serta pandangan rakyat yang tidak bersetuju pasar tersebut dirobohkan.

“Saya mewakili seluruh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu juga ingin menasihatkan kepada Gabungan Granite (Terengganu) Sdn. Bhd. termasuk Tan Sri Abu Sahid sendiri mengkaji semula dan melihat projek ini di atas nama kepentingan kita menjaga Warisan Rakyat Terengganu.

“Dan mengambil kira bantahan-bantahan dan pandangan rakyat Terengganu sendiri yang cintakan warisan Pasar Payang dipertahankan. Jika tidak akan hilanglah mercu tanda yang penting bagi Kuala Terengganu dan negeri Terengganu itu sendiri,” ujarnya dengan nada merayu.

Hadir sama pada sidang media tersebut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah dan Setiausaha PKR Terengganu, Wan Bukhari Wan Muhamad.

Saya maafkan orang yang fitnah saya - Hanipa

Harakahdaily, 07 Jun 2013
KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin (gambar) menjelaskan, beliau tidak pernah membuat kenyataan yang menolak kepimpinan ulama sebagaimana yang disebarkan oleh sesetengah pihak.

Namun begitu, kata Hanipa yang juga anggota Parlimen Sepang, "Bagaimana jahat sekalipun fitnah tersebut saya tetap akan memaafkan orang yang memfitnah saya dan saya harap Allah juga mengampunkan orang tersebut."

Hanipa berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini.

Pada masa ini, kata Hanipa, beliau dikhabarkan tersebar merata di internet gambar beliau dan kononnya petikan ucapannya yang menyatakan antara lain  bahawa kepimpinan ulama dalam PAS sudah tidak relevan lagi jika PAS ingin ke Putrajaya.

"Pada mulanya saya tidak melayan 'usikan-usikan' jahat seperti tuduhan mengarut tersebut kerana saya terlalu sibuk mengetuai pasukan peguam PAS menyediakan lebih kurang 18 petisyen pilihanraya yang PAS akan failkan di samping sibuk dengan tugas-tugas sebagai Ahli Parlimen sejak mula dilantik daripada 5/5/2013 yang lalu.

"Namun saya menerima banyak sms dari rakan-rakan yang meminta saya megesahkan sama ada benar atau tidak saya ada mengeluarkan kenyataan tersebut. Maka saya terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan rasmi ini," katanya.

Beliau menyatakan secara tegas bahawa dakwaan tersebut adalah satu fitnah yang jahat ke atasnya kerana sejak menyertai PAS sejak dari bangku sekolah lagi beliau menerima kepimpinan ulama yang ada di dalam PAS.

"Saya tidak ada masalah dengan perkara tersebut dan saya menafikan ada mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa tersebut," katanya.

"Bagaimanakah saya boleh menolak kepimpinan ulama sedangkan Al Quran menyatakan hanyasanya mereka yang paling takut dengan Allah di kalangan hambaNya adalah para ulama.

Hanipa menegaskan, beliau menyanjung tinggi ulama yang berilmu dan takut pada Allah dan akan tentang ulama yang jahat yang mementingkan habuan dunia dari akhirat tak kira siapa ulama tersebut.

"Saya tidak fikir ulama dalam PAS termasuk dalam golongan ulama jahat," katanya.

Buku beliau yang baru diterbitkan bertajuk Prima Facie (gambar) mengandungi kata-kata aluan dari Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

"Gambar Tuan Guru sejak lama tergantung di dalam pejabat guaman saya sejak sekian lama," katanya.

Sehubungan itu, beliau harap kenyataan ini menjelaskan segala keraguan yang ditimbulkan oleh fitnah terebut.
Malang 1001 kali malang andai perjuangan ini tidak ubah seperti batu loncatan untuk memenuhi cita-cita politik. Mencari pengaruh, jawatan dan gelaran. Sukar kita memelihara ketulenan perjuangan yang didokong ini jika kita gagal membebaskan diri sepenuhnya dari pengaruh nafsu dan kepentingan duniawi.

Keabsahan atau ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara daripada anasir yang merosakkannya. Semua anggota jamaah mesti peka dalam menilai antara manhaj perjuangan yang tulen berasaskan sirah perjalanan nabi kita Muhammad SAW atau manhaj perjuangan palsu yang meniti di atas jalur kepentingan politik dan peribadi .

Ketulenan manhaj perjuangan dapat dikenal pasti melalui pengambilan skema amal tarbawi yang mantap melalui silibus am tinggalan baginda Rasul SAW dan diperkemas kini oleh ulama al-a'milin al- mujahidin yang memimpin ummah.

Suatu pencabulan terhadap manhaj perjuangan andai ia dipimpin atau digerakkan oleh individu atau mereka yang bukan sahaja jahil terhadap manhaj perjuangan an-nabawi tetapi juga bersikap negatif terhadap amal tarbawi. Lebih malang apabila perjuangan ini dipacu berlandaskan teori politik untuk mencapai matlamat tanpa berteraskan akhlak Islami.

Demi memburu kemenangan dalam pilihan raya sebagai contoh, walaupun tiada siapa menafikan kemenangan itu penting namun sekali-kali kita tidak boleh meminggirkan akhlak Islami dalam percaturan politik.

Tentu sahaja perjuangan Islam tidak sama dengan gerakan nasionalis atau lainnya yang tidak memiliki kamus dosa dan pahala dalam teori politik mahupun perjuangan mereka. Justeru itu kita jangan terjebak atau terpedaya dengan cara dan gaya mereka berpolitik.

Politik Islam kaya dengan akhlak, moral dan prinsip yang tidak memungkinkan ia dibeli apalagi dirasuah lantaran paksinya ialah Iman dan Islam.

Ketulenan manhaj perjuangan jua tidaklah dinilai semata-mata dipentas politik pilihan raya tetapi juga melihat bagaimana kita membuat keputusan jamaah, bagaimana kita memimpin jamaah dan menangani ahli, bagaimana kita beraksi di medan dakwah, bagaimana kita mendepani musuh, bagaimana kita bertahaaluf dan sebagainya.

Pasti sahaja adab dan akhlak berjamaah seperti syura, dengar dan taat, thiqah, istiqamah, wala', ukhuwwah, ikhlas dan lainnya mewarnai diri, sikap dan aksi kita sebagai seorang pejuang.

Kita adalah "Sebuah Gerakan Islam". Ini satu realiti yang mesti direalisasikan terutama kepada mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin jamaah walau di mana posisinya. Bahkan apa pun kepentingan yang kita mahu capai dalam strategi berpolitik dan bergerak memimpin perjuangan ini, kita tidak boleh mencairkan nilai atau nilai standard bagi sebuah gerakan Islam.

Strategi itu benar dan wajar sebagaimana berpolitik itu adalah hak dan amanah perjuangan. Tetapi saya tegaskan sekali lagi, ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara. Jangan kita abaikan ketulenannya semata-mata mahu melihat strategi kita berjaya dan politik kita menang.

Ingat! Menang tidak bererti benar dan kalah tidak bermakna salah. Justeru itu awas jangan palsukan manhaj perjuangan suci ini. Pemalsuan manhaj perjuangan adalah satu jenayah!

http://www.tarbawi.my

Tiada ulasan: