NEGARA
Polis diingat tidak jadi peminta sedekah
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang akan bersara pada 13 September ini, mengingatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak sekali-kali menjadi 'peminta sedekah'.
Dalam amanat semalam, Musa berkata, sebagai pasukan berintegriti, setiap anggota dan pegawai polis perlu menjaga maruah pasukan yang telah diamanahkan oleh kerajaan.
"Tugas sebagai polis memang banyak cabaran kerana sentiasa dikritik. Biar kita dikritik asalkan kita menjalankan tugas.
"Maruah PDRM perlu dijaga, kita bukan peminta sedekah (minta rasuah). Kita (PDRM) diwujudkan untuk menjaga keselamatan negara," kata beliau ketika berucap pada Majlis Serah dan Terima Tugas jawatan KPN di sini semalam.
Musa dalam ucapan sama juga melahirkan keyakinan terhadap pimpinan baru Tan Sri Ismail Omar (gambar kecil) yang akan menggantikan beliau bagi menerajui PDRM.
"Saya yakin Ismail dapat menjalankan tugas. Bagaimanapun (dia) mesti mendapat sokongan daripada pegawai.
"Jadi saya minta kepada semua pegawai supaya dapat memberi kerjasama selepas Ismail menjawat jawatan sebagai KPN nanti," katanya.
Mengulas lanjut, Musa berkata, beliau mengenali Ismail sejak 14 tahun lalu semasa mereka sama-sama berkhidmat di Jabatan Perundangan PDRM.
Ketika itu, Musa memegang jawatan sebagai ketua Jabatan Perundangan manakala Ismail pula merupakan timbalan Musa.
Pada masa sama, Musa memberitahu, sepanjang menerajui PDRM, banyak tindakan yang telah beliau ambil dalam menambah baik mutu dan kualiti pasukan.
Beliau juga berharap segala perancangan yang telah dibuat termasuk strategi memerangi rasuah dan jenayah dapat diteruskan oleh Ismail.
"Ismail perlu tambah baik lagi dan sambung perjuangan saya supaya pasukan polis jadi lebih baik di mata masyarakat," kata beliau.
Musa memberitahu, antara perkara yang belum dilaksanakan beliau ialah berkaitan penstrukturan semula Struktur Operasi (PSSO) melibatkan gred pangkat anggota dan pegawai PDRM
IGP ingatkan polis jangan jadi 'orang suruhan' | |||
|
Musa yang dilihat tidak mahu berundur sebelum menyatakan apa yang terbuku di hatinya, mengingatkan anggota polis dan pegawainya supaya kekal setia meskipun “menerima tekanan dari pihak atasan dari dalam dan juga luar”.
"Jangan tolak ansur dalam soal integriti ini, rosak pasukan nanti," katanya.
Malah, Musa berkata, PDRM bukan peminta sedekah dan bukan "pungut duit orang lain" tetapi kewujudannya adalah untuk menjaga keamanan masyarakat dan negara.
Pak turut
Beliau juga mengingatkan anggota polis supaya tidak berpuak-puak dan menjadi 'pak turut' bagi mengelak PDRM daripada gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan..
“Zaman saya tidak ada sesiapa pegawai yang tahu siapa yang rapat dengan saya. Saya tidak pernah memanggil mana-mana pegawai ke rumah saya atau keluar untuk makan minum dengan mereka.
"Ini menjadikan kerja lebih mudah, kerana tidak ada pegawai yang mengampu saya,” katanya.
Isnin lalu, Musa meluahkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.
"Tidak perlu campur tangan orang lain. Kita ada 'command and control' dengan arahan bermula dari saya hingga ke pegawai bawahan.
"Jadi, tidak perlu ada pihak ketiga untuk bagi arahan. Jika berlaku (arahan tanpa pengetahuan kita), ini salah satu tindakan yang salah dan menyalahi undang-undang," katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang berkuatkuasa 12 Sept ini.
Sebelum itu, Musa pada ucapannya juga memuji penggantinya, Tan Sri Ismail Omar yang bakal dilantik sebagai ketua polis negara yang baru, Isnin ini.
Bermandi darah
Katanya, beliau memberi kepercayaan sepenuhnya kepada timbalannya itu.
Beliau berkata setiap jabatan dalam PDRM perlu memberikan sokongan kepada Ismail bagi memacu PDRM untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat dan negara.
"Ismail akan bekerja dengan baik. Tetapi beliau memerlukan sokongan semua. Saya harap selepas bersara, dia akan memantapkan lagi pasukan polis dan memastikan setiap rancangan dan strategi dilaksanakan,” katanya.
"Saya sendiri banyak menerima aduan berhubung diri saya dan juga pasukan polis kerana kita dilihat tidak memberikan khidmat yang terbaik atau tidak boleh dipercayai ataupun mengamalkan rasuah. Tetapi saya harap, selepas dilantik saya berjaya memperbaiki pasukan polis.
"Jangan terbabit dengan salah-guna kuasa dan pastikan anda bermandi darah melindungi negara ini,” katanya.Musa, 59, yang bersara pada 2007, disambung perkhidmatan dengan kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali dan akan bersara pada 12 Sept ini selepas 41 tahun bersama pasukan polis itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan