16 anjing ganas
2010/09/16
BANTING: Suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain membela 16 anjing rottweiler bagi mengawal ladangnya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, di sini selain digunakan untuk menakutkan mangsa jika enggan mengikut arahan.
PERSINGGAHAN TERAKHIR...Sosilawati dilihat kali terakhir di restoran makanan laut berdekatan tempat pembunuhan jutawan kosmetik bersama tiga rakannya.
Difahamkan, ladang berkenaan juga mempunyai beberapa unit rumah seakan chalet menempatkan sebuah rumah yang eksklusif dan kolam renang.
Sosilawati dan rakannya juga dipercayai ditakutkan dan diugut akan dicampak ke dalam kandang anjing berkenaan. Malah, semua mereka dipercayai dibunuh selepas suspek berpendapat sukar mengawal mereka.
Semua mangsa dibelasah dengan kayu kriket sebelum dibunuh seorang demi seorang. Mayat mangsa dibakar sebelum abunya dibuang ke dalam sungai dengan tujuan melupuskan bukti.
Menurut sumber, sebelum ini pernah seorang lelaki dicampak suspek ke dalam kandang anjing berkenaan selepas ingkar arahan membabitkan satu urus niaga.
Suspek yang juga seorang peguam berstatus Datuk berusia 41 tahun ditahan serta adiknya berusia 38 tahun pada 11 September lalu bersama enam lain termasuk dua wanita sebelum kes pembunuhan kejam dilakukannya terbongkar.
Berdasarkan maklumat, suspek memiliki kekayaan melampau dalam akaun berjumlah jutaan ringgit di dalam dan luar negara, selain hartanah antaranya dua unit rumah semi-D di Banting, unit apartmen di Taman Kinrara, ladang ternakan ayam, lembu dan kambing di Batu Laut, Morib dan rumah sewa di Taman Cempaka.
Malah, kes pembunuhan Sosilawati juga ada kaitan dengan suspek kerana sebelum kejadian, berlaku transaksi bernilai jutaan ringgit daripada akaun jutawan itu ke dalam akaun milik suspek.
Sumber polis berkata, polis tidak menolak kemungkinan berlaku kes peras ugut berikutan penemuan bukti transaksi wang ke dalam akaun bank milik suspek yang ditahan polis berkenaan sepanjang tempoh kehilangan Sosilawati bersama tiga lain.
“Susulan penemuan wang terbabit, semua aset dan wang milik suspek utama terbabit akan dibekukan. Polis akan menggunakan Akta Anti Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) dalam usaha mengesan sumber wang terbabit diperoleh,” katanya.
Berdasarkan maklumat, peguam terbabit sebelum ini dipercayai pernah beberapa kali berurusan dengan Sosilawati, 47, berhubung urusan jual beli hartanah termasuk terbaru membabitkan tanah di Pulau Pinang.
Difahamkan, tanah berkenaan sebelum ini dibeli Sosilawati anggaran RM25 juta sebelum mahu dijual RM200 juta berikutan harga pasaran semasa meningkat.
KUALA LANGAT: Sebanyak sembilan kes jenayah dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain dilaporkan, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata, peguam yang bergelar Datuk itu dikatakan terbabit dengan tujuh kes jenayah komersial membabitkan penipuan dan pecah amanah berjumlah RM7.1 juta di daerah ini.
"Ini termasuk dua laporan polis melibatkan kehilangan dua orang iaitu seorang warga India dan seorang warga tempatan berbangsa Cina.
"Kes ini dibuka semula untuk siasatan. Sedia maklum, kes jenayah komersial bukan cepat untuk diselesaikan maka perlu diteliti banyak dokumen dan menyoal siasat ramai saksi," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.
Ditanya sama ada terdapat pegawai atau anggota polis 'dibeli' oleh peguam terbabit bagi menutup kes tersebut, Khalid berkata, tiada laporan dibuat mengenainya setakat ini.
"Jika ada, laporkan kepada polis atau datang berjumpa dengan saya sendiri, ceritakan kepada saya apa maksud polis ini dibeli.
"Sudah semestinya perkara ini akan diambil tindakan sekiranya betul. Setakat ini, semuanya sekadar cakap-cakap saja.
"Kita tidak akan melindungi orang-orang kita yang menyeleweng atau mereka yang melindungi orang jahat," tegasnya. Selain itu, laporan lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan suspek adalah kehilangan seorang warga India dan seorang warga tempatan berbangsa Cina.
Khalid berkata, kehilangan warga India dilaporkan kepada polis pada 8 September lalu dan berdasarkan siasatan, ia mempunyai kaitan dengan suspek kes bunuh Sosilawati.
"Walaupun kehilangannya pada awal tahun ini namun laporan mengenainya baru saja diterima polis pada 8 September lalu. Ia kini dalam siasatan polis," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kes bunuh seorang wanita India iaitu T.Selvi turut disyaki mempunyai kaitan dengan kes yang sama.
"Bagaimanapun, kes tersebut masih dalam siasatan meskipun suami mangsa membuat pelbagai ulasan dan mengaitkannya dengan suspek.
"Sebelum ini kami sudah melakukan siasatan awal terhadap kes itu namun sehingga kes baru melibatkan Sosilawati, belum ada petunjuk baru yang diperoleh," jelasnya.
Pun begitu, katanya, kes bunuh wanita itu tidak pernah ditutup kerana polis terus mendapatkan risikan serta maklumat untuk meneruskan siasatan.
"Sekarang kita sudah pun dapat petunjuk baru, maka kes ini terus disiasat," katanya lagi.
Selvi ditikam hingga mati di bahagian dada dan perut di kawasan rumahnya di Taman Cempaka dekat sini pada April 2009 kira-kira pukul 5 petang.
Suami mangsa, P. Balasandram, 54 mendakwa kematian isterinya pada tahun lalu mempunyai kaitan dengan suspek utama kes bunuh Sosilawati.
Ini berikutan dia pernah menjalinkan kerjasama dengan suspek atas urusan pinjaman wang sejak 2006 dengan bertindak sebagai pemberi pinjaman mencecah berpuluh ribu ringgit manakala suspek pula menyediakan dokumen perjanjian.
Sosilawati bersama tiga individu lain telah dipukul sehingga mati dan kemudian dibakar dan abu dibuang di Sungai Panchau berhampiran lokasi kejadian di Ladang Gadong, Tanjong Sepat dekat sini.
Selain Sosilawati, tiga individu lain adalah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32.
Kesemua mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
KUALA LANGAT: Polis menganggap kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain sama seperti kes jenayah bunuh lain yang perlu diselesaikan segera.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kes berkenaan adalah biasa yang tiada beza dengan jenayah bunuh lain.
"Kes Sosilawati adalah jenayah biasa dan akan diselesaikan dengan segera," katanya pada majlis bersama pemimpin masyarakat Kuala Langat di sini, Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes pembunuhan jutawan wanita bersama tiga lelaki lain yang menggemparkan negara baru-baru ini.
Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dibunuh dengan kejam sebelum dibakar.
Abu mereka kemudian dibuang di Sungai Panchau berhampiran lokasi kejadian di Ladang Gadong, Tanjong Sepat dekat sini.
Dalam pada itu, Ismail memberitahu, kadar jenayah di daerah ini turun kepada 14 peratus bagi tempoh antara Januari dan Ogos tahun berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Isu jenayah merupakan keutamaan kami dan akan bertindak pantai mengatasinya," katanya.
Beliau berkata, polis memerlukan masyarakat untuk meneruskan tanggungjawab dan amanah demi keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.
Kuala Langat merupakan destinasi lawatan pertama Ismail bersama masyarakat selepas pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara pada 13 September laluPETALING JAYA: Peguam bergelar 'Datuk' yang merupakan suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dipercayai mengeluarkan RM180,000 bagi membeli gelaran tersebut.
Siasatan polis di setiap negeri bagi menjejaki pihak yang mengurniakan gelaran Datuk kepada suspek berusia 41 tahun itu gagal menemui sebarang petunjuk, kata sumber.
Sumber mendakwa, pihak yang 'menjual' gelaran itu kepada suspek berjanji bahawa namanya akan termasuk dalam senarai penerima gelaran Datuk.
Dikatakan bahawa ahli perniagaan berkenaan memberitahu suspek bahawa dia boleh menggunakan gelaran tersebut berikutan penyenaraian namanya itu.
Sumber mendedahkan, polis juga sedang menjejaki ahli perniagaan terbabit.
Di Banting, Bernama melaporkan bahawa pasukan forensik polis menemui lebih banyak objek di Sungai Panchau yang dapat membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.
Sepasukan polis dilihat membawa beberapa objek, termasuk apa yang dipercayai sebagai serpihan tulang.
Pihak media tidak dibenarkan menghampiri tempat kejadian malah skrin kanvas dipasang di kawasan tersebut, menjadikan keadaan lebih sukar untuk melihat apa yang sedang berlaku.
Turut dilihat berada di tempat kejadian, Pengarah Unit Forensik, Datuk Abdul Malek Harun.
BANTING: Unit Forensik Polis pada Rabu menemui beberapa lagi objek yang dipercayai bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi lelaki lain di Sungai Panchau di sini.
Polis yang memulakan operasi pada pukul 3.30 petang Rabu dilihat membawa beberapa objek termasuk satu bungkusan yang kelihatan seperti tulang di dalamnya.
Usaha pihak media untuk menghampiri kawasan itu bagi melihat dengan lebih jelas operasi itu gagal berikutan kawalan ketat dan media hanya dibenar berada kira-kira 100 meter dari kawasan itu. Operasi itu berakhir pada pukul 5.30 petang.
Selain itu, polis juga memasang kain kanvas di tempat mereka beroperasi dan tindakan itu menyukarkan pihak media untuk melihat dengan jelas apa yang mereka lakukan dan objek yang dibawa naik dari sungai itu.
Turut kelihatan berada di lokasi operasi ialah Pengarah Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia Datuk Abdul Malek Harun.
Ahad lepas, unit forensik menemui beberapa cebisan tulang dari dalam sungai yang sama.
Sosilawati, 47, bersama tiga individu iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Polis mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan