Ahad, 26 September 2010

JANGAN MJANGKAU KERJA ALLAH..HILANG TAK HILANG KUASA TU TAKDIR ALLAH..DAH LAMA MEMBIAR MAJLIS2 MAKSIAT ...KDG2 KITA JADI PENGANJUR..JGN CKP BERBELIT2.

Islam hilang kuasa jika berlaku perpecahan

KOTA BHARU – Masyarakat Islam hilang kuasa apabila berlalu perpecahan di kalangan rakyatnya sendiri seperti yang berlaku di negeri pimpinan pembangkang sekarang.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Dali Hussin berkata, Kelantan masih kuat dengan pegangan agama Islamnya berikutan 90 peratus penduduknya Islam.

“Kelantan kita kuat tetapi tengok negeri lain perpecahan berlaku, akibat Islam sudah hilang kuasa. Jika pemimpin Islam sendiri gagal mengemudi rakyatnya mengikut Islam sudah pasti perpecahan berlaku.

“Sekarang pemimpin Islam pun cakap menipu. Pasal sumbangan RM4 bilion untuk Kerajaan Negeri mula-mula tidak mengaku, namun apabila gambar pertemuan antaranya (Menteri Besar Kelantan) disiarkan baru rakyat tahu,” katanya dalam ucapan perasmian Program Juara Rakyat peringkat UMNO Pengkalan Chepa di Kuala Besar, semalam.

Menurutnya, apabila pemimpin Pas menipu ketika bercakap masyarakat boleh menerimanya namun jika pemimpin Barisan Nasional yang melakukannya pasti dikutuk hebat.

Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa itu berkata, rakyat tengok sendirilah kesannya nanti jika amalan menipu di kalangan pemimpin Pas diteruskan dan penipuan yang berlaku boleh diterima bulat-bulat oleh rakyat.

Katanya, sekarang terdapat 60 peratus rakyat Islam di negara ini tetapi perlu diingatkan 60 peratus ini berpecah kepada pelbagai kelompok dan fahaman berbeza.

“Kuasa 60 peratus itu kian terhakis dan bangsa lain berani mempertikaikan masyarakat Islam seperti apa yang berlaku sekarang.

“Oleh itu BN giat menjalankan pelbagai program dalam usaha supaya rakyat merasai nikmat yang diberikan Kerajaan Persekutuan seperti program Juara Rakyat ini,” katanya.

Dali berkata, berbeza pula dengan Pas yang semakin rancak berceramah dan giat melakukan fitnah semata-mata ingin meraih sokongan rakyat.

Menurutnya, situasi ini tidak memberikan faedah langsung kepada masyarakat kerana ia hanya menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam sendiri


Perkasa tidak bercadang jadi sebuah parti politik: Ibrahim

PASIR MAS – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, Perkasa bukanlah sebuah parti politik seperti mana parti politik yang ada di negara ini.

Beliau berkata, sejak mula Perkasa ditubuhkan tidak ada usaha atau niat untuk menjadikan Perkasa sebuah parti politik.

Menurutnya, Perkasa akan tetap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan belum ada sebarang keputusan untuk menjadikannya sebuah parti politik.

“Kita akan terus menjadi sebuah pertubuhan bukan kerajaan seperti ini kerana khuatir sekiranya menjadi sebuah parti politik akan menyebabkan perpecahan.

“Perpecahan ini bukan saja membabitkan kaum Melayu tetapi juga bangsa lain,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan Melayu Perkasa di pekarangan Stesen Kereta api Pasir Mas, di sini, semalam.

Beliau turut menegaskan Perkasa tidak pernah bertemu dengan UMNO dan lebih berdikari dalam mengerakkan pertubuhan itu.

Katanya, ahli UMNO juga terdiri dari pelbagai parti politik yang bersama dengan pertubuhan ini memperjuangkan Perlembagaan 153.

Ibrahim berkata, mengenai peranca- ngan akan datang, beliau tidak pasti sekiranya ahli pada lima hingga 10 tahun akan datang memutuskan untuk menjadikan pertubuhan itu sebagai sebuah parti politik.

Menurutnya, ketika itu terpulang kepada ahli dan generasi baru untuk membawa hala tuju Perkasa.

“Perkasa memperjuangkan Perlembagaan 153 dan mahukan kerajaan menterjemahkan Perlembagaan ini dalam bentuk tindakan.

“Ini termasuk dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan membolehkan kaum Bumiputera gembira seterusnya akan mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.


Melayu masih tidak sedar

PASIR MAS – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa sedih dengan keadaan orang Melayu kerana mereka tidak sedar mengenai ancaman yang dihadapi pada masa kini.

Dr Mahathir berkata, jika sebelum ini Tunku Abdul Rahman menentukan supaya rakyat Malaysia ini yang majoriti 60 peratus lebih terdiri orang Melayu, tetapi kini orang Melayu sudah berpecah.

“Hari ini orang Melayu sudah berpecah kepada tiga puak. Dan, tak ada satu puak yang boleh mengatasi ataupun mempunyai jumlah peratusan Melayu yang boleh memberi kemenangan kepada kaum Melayu.

“Sebab orang Melayu berpecah sekarang ini adalah disebabkan kerana ada yang gila...gila nak jadi Perdana Menteri. Tak peduli apa pun...dia sokong semua. Semua yang bercorak perkauman di kalangan kaum lain, dia sanggup terima dan sokong,” katanya ketika berucap pada majlis Jemputan Terbuka Perhimpunan Melayu Perkasa Kelantan dengan tema 'Perpaduan Melayu Teras Perpaduan Malaysia' di pekarangan Stesen Kereta api Pasir Mas, di sini, semalam.

Lebih 10,000 hadir pada majlis perhimpunan tersebut termasuklah Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, Tan Sri Hussin Ahmad, Tan Sri Aziz Shamsudin, serta pemimpin Perkasa di peringkat pusat dan negeri.

Beliau berkata, lebih teruk sekarang ini ada juga di kalangan orang Melayu yang malu untuk mengaku mereka adalah bangsa Melayu sebaliknya mereka dikatakan Melayu hanya kerana dilahirkan sebagai Melayu.

“Ada pula sekarang ini malu kerana mereka ini adalah orang Melayu. Mereka kata mereka bukan orang Melayu, ini terjadi saja. Mereka adalah orang Islam.

“Kita akui mereka orang Islam tetapi jika mereka utamakan Islam, berlagaklah sebagai orang Islam, tetapi hari ini mereka ini tidak sanggup bekerjasama dengan orang Islam lain khususnya dengan UMNO.

“Sebaliknya sokong orang yang dulu kata, kalau negara ini dijadikan negara Islam, maka mereka akan menentang dan langkah mayat mereka dulu baru boleh adakan negara Islam di negara ini,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin yang dahulu mempermainkan nilai Islam yang diperjuang UMNO kini telah menghalalkan segala-gala yang dibuat oleh parti pembangkang.

“Ini kerana nak dapat sokongan daripada mereka (DAP) sehingga benda yang tidak... oleh kita pun ianya sanggup menghalalkan kerana nak dapat sokongan daripada kaum parti-parti pembangkang.

“Maka berpecahlah orang Melayu antara UMNO dan Pas. Dan, apabila UMNO beri-kan pendapat untuk satukan orang Melayu dalam gabungan, mereka tolak bulat-bulat. Tetapi, mereka rela bekerjasama dengan parti yang pernah mengecam mereka kerana keislaman mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini dilihat sebagai seorang tokoh politik ulama yang mudah bertolak ansur soal agama Islam dengan DAP, rakan sekutu Pas, demi mencari kepentingan mendapatkan undi pada pilihan raya umum.

Sedangkan, katanya, DAP secara terang-terangan menentang perjuangan Pas yang ingin melaksanakan hukum Hudud dan menjadikan negara ini sebagai negara Islam, dengan DAP berkata “langkah mayat mereka dahulu”.

Beliau berkata, kerana hendak halalkan apa yang dibuat parti lawan ini maka Nik Abdul Aziz sanggup buat peraturan baru berkenaan dengan pantang larang orang Melayu dan Islam.

“Banyak lagi yang dibuat pemimpin Pas untuk menghalalkan segala yang dilakukan parti lawan kerana ingin sokongan politik daripada mereka. Bangsa sudah diketepikan dan agama juga sudah dilonggarkan supaya dapat bekerjasama dengan orang-orang berkenaan.

“Inilah kesan daripada politik yang terdapat kepada orang yang terlalu sangat ingin menjadi kerajaan memimpin negara ini. Kerana nak seorang menjadi Perdana Menteri segala kesalahannya sudah dihalalkan oleh pemimpin seperti ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang Melayu sama ada daripada Perkasa, UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat insaf mengenai bahaya yang dihadapi orang Melayu pada masa kini.

“Orang Melayu patut sedar supaya tidak berpecah belah semata-mata untuk mendapat jawatan Perdana Menteri. Jangan tamak, orang yang tamak akhirnya akan hilang segala-galanya.

“Sepatutnya orang Melayu bersatu padu dan sokong apa yang baik bagi kaum mereka, bukan nak tolak kaum lain, bukan nak rampas hak kaum lain.

“Hak kaum lain adalah hak mereka , tetapi hak orang Melayu mesti kekal sebagai hak orang Melayu. Ini saja yang kita minta,” katanya.


Apa bezanya BN/Umno daripada penjajah?
Yufuqi Sep 1, 10 10:15am
Semalam adalah hari kemerdekaan yang ke-53 bagi semenanjung Malaysia (digelar sebagai Malaya semasa tahun 1957).

Namun tanah ini hanya sekadar mencapai kemerdekaan dari tangan penjajah British dari segi kedaulatan pentadbiran. Dari segi budaya dan pendekatan pentadbiran pula, golongan pemerintah masih mewarisi taktik pemerintahan yang digunakan oleh penjajah British, iaitu dasar pecah dan perintah.

Parti pemerintah yang sudah mentadbir tanah ini selama 53 tahun iaitu BN (berkembang dari parti Perikatan sejak tahun 1973) masih mewarisi pendekatan dasar pentadbiran British yang sengaja memisahkan pergaulan di antara pelbagai kaum di tanah air ini.

Dasar pecah dan perintah penjajah British dilaksanakan menerusi sektor penceburan yang berbeza di mana peluang pekerjaan sektor awam hanya dibuka kepada kaum Melayu, kaum Cina digalakkan berkembang dalam sektor perniagaan dan kaum India pula dihadkan kegiatan mereka sebagai pekerja di kawasan ladang-ladang.

Dasar pecah dan perintah BN pula dilaksanakan menerusi perwakilan politik yang membela hak kaum masing-masing di mana hanya Umno yang dibenarkan mempelopori status kebudayaan, ekonomi dan agama kaum Melayu.

MCA dan MIC pula menjadi pembela hak kaum Cina dan kaum India yang berunding dengan Umno untuk menyelesaikan masalah ketegangan perkauman dan agama yang sengaja ditimbulkan oleh Umno.

Dengan pendekatan ini, di bawah liputan laporan media arus perdana yang dikawal ketat oleh kerajaan BN, ketiga-tiga parti ini dapat bersandiwara sebagai pejuang kaum masing-masing sekaligus meraih sokongan daripada komuniti kaum masing-masing.

Kebaikan pendekatan pecah dan perintah ini adalah, Umno, MCA dan MIC mempunyai bahan lakonan untuk menyamar sebagai pejuang kaum masing-masing yang tidak akan tertandus.

Keburukannya adalah perhubungan sesama komuniti-komuniti dari latar belakang kaum dan agama yang berbeza akan semakin renggang dan tegang. Apabila keadaan mengizin dan menguntungkan parti-parti komponen BN, mereka akan bersaing meredakan keadaan runsing dengan rundingan tutup pintu.

Apabila keadaan tidak menguntungkan mereka ataupun permusuhan di antata golongan kaum dan agama yang berbeza boleh menambahkan modal politik mereka masing-masing, pemimpin-pemimpin daripada ketiga-tiga parti ini akan terus membiarkan perbalahan dan persengketaan diapi-apikan.

Dengan memahami cara pengendalian politik BN, maka tidak hairanlah kepada kita kenapa ahli-ahli politik dan mesin-mesin propaganda BN/Umnosanggup melempar segala bentuk fitnah di luar jangkaan akal biasa manusia ke arah individu dan juga komuniti yang berasal dari keturunan kaum dan agama yang lain walaupun pada bulan Ramadan yang menyanjung semangat bertoleransi dan bermaaf-maafan.

Cuba kita renungkan apa bezanya Umno/BN daripada penjajah British yang mempraktikkan taktik pecah dan perintah sepanjang zaman penjajahan di semenanjung Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu memandangkan untuk terus memonopoli peranan politik sebagai pembela dan pejuang hak kaum bumiputera, pemimpin Umno sanggup memecah-belah perpaduan dan permuafakatan di kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang agama supaya mereka sahaja yang dibenarkan mendekati rakyat kaum bumiputera (pada hakikatnya, mereka hanya mesra dengan rakyat akar umbi semasa musim pilihanraya dan pilihan kecil)?

Tiada ulasan: