Sabtu, 18 September 2010

YAKINLAH DENGAN ISLAM...BICARA AGAMA BIARLAH BERI ORANG ARIF AGAMA..BAGI KITA TAK MAHIR AGAMA JANGAN NAK BERHUJAH...ORANG ARIF TAHU HUJAH TU TAK BETUL

Syariat Islam tonggak tertinggi perundangan

Ismail Hashim

BANTING, 17 Sept: Umat Islam khususnya wajar melihat semula kejayaan pelaksanaan syariat Islam sebagai tonggak tertinggi perundangan kehidupan Muslim ekoran kebejatan berbagai masalah mutakhir.

Demikian penegasan oleh Pengasas Pondok Bustanul Arifin, Ustaz Ahmad Ansori mengulas perkembangan negatif terkini yang berlaku dalam negara ketika ditemui di pusat tarbiyahnya, di sini petang kelmarin.

Menurutnya, umat sewajibnya mengakui segala perintah yang Allah SWT. tentukan itu adalah yang terbaik diturunkan sebagai pedoman paling berguna menyuluh kegelapan perjalanan mereka.

"Tanpa itu semua, umat Islam seperti berada di dalam gelap gelita seperti malam tanpa bintang meskipun mereka merasakan seperti berada di bawah cahaya terang mentari di siang hari," ujarnya.

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 7 tahun mendidik lebih 100 pelajar termasuk 12 mereka yang terlibat di dalam berbagai masalah peribadi kronik termasuk menyamun, mengambil dadah secara salah, merogol dan sebagainya.

Berpengalaman sejak belajar di Ansor, Batang Berjuntai, Taman Islam Kemaman, Pondok Kerasak Selatan Thailand menyambung pengajian di Syria dan Al-Azhar, Mesir; memberikan banyak pengalaman kepadanya untuk menangani isu itu.

Dalam perkembangan sama, beliau sangat kesal dengan sikap orang Melayu yang sanggup menjadi balaci bukan Islam untuk membunuh orang Melayu dalam apa cara sekalipun.

"Inikah tahap kemajuan bangsa Melayu yang hendak dibangga-banggakan oleh negara? Beginikah bentuk sikap dan keperibadian generasi baharu yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada satu masa nanti?

"Justeru, setelah semua bentuk perundang-undangan telah dicuba dan dipraktikkan namun seluruhnya menunjukkan natijah gagal, menjadi kewajipan kepada pemerintah untuk melaksanakan undang-undang yang berteraskan sumber dari Pencipta sendiri.

"Persoalannya, kenapa mereka boleh laksanakan bentuk dan kaedah ciptaan manusia di masa sama menolak dan engkar dengan perundangan yang diturunkan oleh Allah SWT," tegasnya.

Dalam pada itu, Ustaz Ansori mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang telah memberikan kemudahan infrastruktur kepada pusat-pusat berasaskan agama milik swasta.

Tambahnya, inilah bezanya bagaimana bentuk pentadbiran kerajaan yang mengutamakan rakyat dan mereka dapat buktikan, bukan hanya slogan semata.

"Sebagai bukti, pusat saya ini telah ditubuhkan selama tujuh tahun namun dalam masa dua tahun Pakatan Rakyat memerintah sahaja, baharulah terdapat kemudahan dan peruntukan yang diberikan kepada pusat seumpama ini.

"Bererti jika kerajaan lama terus memerintah Selangor amat sukar untuk kami dan kita semua akan dapat merasai nikmat kemajuan yang sewajarnya diberikan kepada semua yang berhak," jelasnya.


Perutusan Hari Malaysia Presiden PAS
Thursday, 07 Syawal 1431

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat dalam negara kita bersempena dengan penubuhan sebuah negara yang dinamakan Malaysia pada 16 September 1963 yang lalu.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini dalam ucapan saya di Muktamar Agung PAS yang lalu, saya menghuraikan bahawa kita adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik, kerana berada dalam negara Malaysia yang mengandungi kepelberbagai etnik, yang berasal dari berbagai bangsa dan datang daripada berbagai negara. Ini pula ditambah dengan kemeriahan etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.

Kerencaman ini sekiranya diolah dengan baik akan menjadikan negara kita ini sebagai satu kuasa yang hebat, sebaliknya sebarang kesilapan akan membawa padah yang besar. Inilah yang kita lihat setelah 47 tahun negara Malaysia diwujudkan, dengan kelemahan pimpinan UMNO-BN yang sepatutnya sudah membawa negara tercinta ini berdiri teguh dan mampu untuk menjadi pelindung kepada rakyat.

Asas yang perlu dipertahankan ialah kesemua etnik yang membina negara Malaysia ini perlu dilayan dengan adil dan saksama, kerana Islam menekankan bahawa kecenderungan untuk memperlekehkan orang lain adalah sifat buruk yang mesti dijauhi.

Menceroboh dan menghalang hak seseorang adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam manakala sikap berlaku adil pula adalah merupakan ciri taqwa orang yang beriman. Adalah sesuatu yang janggal apabila seseorang itu mengaku bertaqwa kepada Allah tetapi gagal melaksanakan keadilan yang sebenar.

PAS bukan sahaja akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum ini dengan berasaskan sikap Islam sebenar yang dinyatakan oleh Al Quran dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan negara Malaysia itu sendiri.

Allah SWT menyeru agar hubungan seumpama ini sentiasa dibentuk sebagaimana firman Nya dalam Surah al Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”

Selamat Hari Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

16 September 2010 | 7 Syawal 1431 Hijriah




PAS buktikan keadilan Islam untuk semua
Khairul Azlam Mohamad

KEMAMAN, 17 Sept: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib melahirkan rasa gembira kerana perjuangan parti itu mula diterima oleh semua pihak termasuk di kalangan bukan Islam.

Ini kerana, katanya PAS berjaya membuktikan kepada rakyat di negara ini bahawa keadilan Islam untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

“Sekarang ini, PAS telah mula melangkah selangkah ke depan. Di mana perjuangannya (Islam) diterima bukan sahaja kepada orang-orang Islam tetapi juga di kalangan bukan Islam.

“Islam memberi keadilan kepada semua, tidak kira bangsa Melayu, India, Cina dan sebagainya. Sama ada seseorang itu Islam atau tidak yang pasti Islam tetap akan memberi keadilan,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai di perkarangan Pejabat PAS Dun berkenaan, Jalan Air Putih, di sini hari ini.

Justeru itu, beliau mahukan agar semua rakyat di negara ini bersama-sama dengan PAS serta menyokong perjuangan yang dibawanya.

Katanya, keadilan Islam yang dibawa oleh PAS tidak memihak hanya kepada satu bangsa sahaja tetapi untuk semua kaum di Malaysia.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menambah, parti itu membuka ruang bercakap, berbincang serta berunding dengan sesiapa sahaja tanpa menggadai dasar dan prinsip perjuangan Islamnya.

Sempena majlis tersebut, beliau merasmikan pejabat baru Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai serta Pusat Khidmat Masyarakat di Tingkat 1, Taman Mohd Noor, Batu 1, Jalan Air Putih.

Hadir sama ialah Pengarah MTD Chukai, Hanafiah Mat, Naib Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Hazri Jusoh, Ketua Muslimat dan Pemuda PAS kawasan, Rohasni Husin dan Megat Suhaimi Megat Idrus.

Hampir 5,000 masyarakat setempat termasuk kaum Tionghua hadir ke majlis rumah terbuka itu yang bermula jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang.



Rakyat perlu kerajaan yang lebih baik

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 17 Sept: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff menggesa Kerajaan Persekutuan menggubal program yang menjurus ke arah penyelesaian permasalahan sebenar yang dihadapi rakyat dan negara.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat menegaskan bahawa rakyat kini bukan saja menghadapi banyak tekanan, bahkan tekanan tersebut menjadi isu yang berlarutan dalam negara.

“Federal sendiri perlu mengubah sikap, membuka mata dan minda supaya program dianjurkan kerajaan menjurus ke arah permasalahan sebenar negara.

“Kita rakyat menghadapi banyak tekanan, bukan saja tekanan ekonomi dengan kenaikan harga barangan keperluan tetapi juga tekanan masalah sosial dan keselamatan rakyat, bahkan banyak isu tertentu yang tidak selesai dalam negara,” katanya kepada media pada Majlis Mesra Aidil Fitri Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri (Purnama) dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Kurniaan KDYMM Al-Sultan Kelantan di JKR 10 Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini pagi tadi.

Justeru, beliau berkata itulah peluang rakyat harus berfikir, bahkan berani membuat perubahan.

“Kita kena buat perubahan. Kita pilih satu kerajaan lain yang lebih baik, yang boleh memberi satu alternatif, yang boleh membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.

“Rakyat perlu bertindak, khususnya rakyat boleh memberi ‘jawapan’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang,” dakwanya.

Beliau mendakwa fenomena yang berlaku dalam negara termasuk isu gejala sosial yang berlaku disebabkan adanya ‘penaja kemaksiatan’ termasuk media dan televisyen yang menjurus kepada membuka minat remaja termasuk tayangan filem yang mendedahkan adegan seram, tahyul dan bahasa yang kasar, selain pusat hiburan dan kelab malam yang masih beroperasi.

Menurutnya, walau pun negara mencapai kemerdekaan sudah lebih 50 tahun, namun adanya akta-akta yang telah diluluskan di Parlimen bagi membolehkan judi beroperasi di negara ini secara halal termasuk Akta Judi Rumah Terbuka.

“Dan saya pernah tanya di Parlimen, RM27 bilion wang rakyat dalam tempoh setahun dihabiskan di meja judi di samping terdapat di seluruh negara 3,424 buah kelab malam.

“Kerajaan Persekutuan tidak menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk membendung secara serius isu yang ada dalam negara.

“Seharusnya kerajaan memikirkan dan menggubal dengan serius apa-apa saja undang-undang yang boleh menjamin keselamatan negara,” katanya





Tiada ulasan: