Hiasi raya dengan takbir
MALAM ini rakyat Malaysia yang beragama Islam akan mula melaungkan takbir hari raya, sekali gus menandakan Aidilfitri bakal tiba esok.
Hakikatnya, umat Islam digalakkan menyambut hari raya, tidak kira Hari Raya Aidilfitri mahupun Aidiladha dengan bertakbir beramai-ramai, di masjid-masjid atau di surau-surau bagi menandakan kesyukuran kepada Allah SWT setelah berjaya berpuasa selama sebulan.
Malah pada hari yang mulia itu juga, kita hendaklah bermaaf-maafan antara satu sama lain dan kunjung-mengunjung bagi merapatkan hubungan silaturahim sesama Islam.
Tidak hairanlah amalan bertakbir menjadi tradisi serta satu kemestian, waima di mana sahaja umat Islam itu berada. Cuma cara penyampaiannya sahaja yang mungkin berbeza di antara satu negara dengan negara lain.
Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Ali Sarbini dalam satu wawancara dengan Mega, menjelaskan bahawa sejarah takbir bermula ketika dalam satu peperangan umat Islam.
Dalam peperangan itu tentera Islam dapat mengalahkan tentera pimpinan Abu Suffian serta dapat membunuh Abu Jahal.
Ketika Abu Jahal sedang nazak kepalanya hampir terputus daripada tubuhnya. Kemudian datang seorang sahabat memenggal kepala beliau dan mempersembahkan kepada Rasulullah. Lalu, Rasulullah bertakbir Allahu Akbar... (sebagaimana takbir yang dibacakan ketika raya)
Kata Ali, laungan takbir itu bermaksud Allah yang menolong hambanya dan Allah jualah yang memuliakan hambanya.
Seolah-olah nabi berdialog depan kepala Abu Jahal tersebut sambil Nabi berkata: "Hari ini telah terbukti janji Allah untuk memenangkan hambanya dan memuliakan tenteranya."
Dari situlah timbulnya syariat takbir Allahu Akbar... sebagai takbir hari raya kerana peperangan itu sangat dekat dengan Aidilfitri.
"Di situlah bermulanya sebuah kisah perjuangan yang hebat dan bukan sekadar takbir kerana puasa. Sebaliknya membawa erti peperangan mengalahkan musuh di medan peperangan yang sebenar.
"Jadi, jangan disalah ertikan takbir ini tetapi kita kena bertakbir dengan penuh semangat takbir, tahmid dan khusyuk," katanya bersemangat.
Menjelaskan bagaimana takbir raya dan cara sambutannya pada zaman baginda Rasulullah SAW, Ali memberitahu, Rasulullah SAW menyuruh umat Islam memakai baju baru yang berwarna putih dan sekiranya tiada, boleh memakai pakaian yang sepatutnya.
Tentang solat dan khutbah raya pula, sekiranya ia adalah Hari Raya Puasa, adalah disunatkan makan dahulu di rumah. Namun, pada Hari Raya Haji, disunatkan tidak makan dahulu di rumah. Sementara, berjalan pergi dan balik daripada solat raya di masjid mengikut jalan yang berlainan agar dapat bertemu dengan ramai orang.
Selain, mendoakan antara satu sama lain dengan doa Taqobbalallahuminnawaminkum yang membawa maksud semoga Allah menerima amalan kita semua. Ini sering diamalkan.
"Daripada sudut pemakanan, harus berpuasa bermula pada hari kedua. Dalam hadis banyak menyebut tentang amalan memberi makan untuk berbuka puasa serta moreh.
"Walau bagaimanapun, Islam mengharamkan kita berpuasa pada pada hari raya pertama. Ini bermakna kita boleh makan atau membuat jamuan makan tapi tidaklah sampai berlebihan dan hingga menyebabkan pembaziran dan memudaratkan," ujar Ali yang ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Kelaziman yang berlaku dalam budaya masyarakat Islam di sesetengah tempat, mereka membuat atau melakukan takbir dari rumah ke rumah.
Terang Ali, kitab-kitab fikah seperti Mattlau'l Badroin ada menyebutkan, bahawa umat Islam disuruh menghidupkan malam raya dengan takbir. Jadi, ia bergantung dan melihat kepada suasana setempat itu. Motifnya, adalah menguar-uarkan takbir raya itu dengan penuh kegembiraan.
"Masjid, surau dan rumah sangat elok dibacakan sebagaimana mengikut tradisi kita di Malaysia bertakbir dari rumah ke rumah. Sebenarnya, ia juga berlaku di negara-negara lain.
"Eloklah di malam raya dapat bertakbir kerana selepas itu boleh dikatakan taman perumahan di kawasan kita akan kosong kerana ramai yang pulang ke kampung. Jadi kita tidak berpeluang meraikan, mengunjungi dan bertakbir sesama jiran tetangga," jelasnya.
Ujarnya, mengadakan takbir dari rumah ke rumah bukan menjadi satu halangan dalam Islam sebagai usaha untuk menghidupkan malam raya.
Apabila menyentuh soal takbir, agak ketara adalah perbezaan dari segi cara penyampaiannya di antara satu negara dengan negara lain.
Menurut Ali, perbezaan alunan takbir adalah mengikut kepada sesuatu negara.
"Hakikatnya, sesuatu takbir itu tidaklah banyak berbeza dan masing-masing ada asasnya. Penyampaian takbir raya masyarakat Melayu dengan cara Semarang ini mungkin dipengaruhi dari rodat dan zapin.
"Pada masa yang sama, apa yang kita amalkan sekarang tidak lari atau bertentangan dengan negara-negara Arab. Tidak ada satu asas yang kita miliki bagaimana untuk menyanyi dan bertakbir," katanya.
Sebenarnya kata Ali, takbir di Malaysia berasal dari negara Arab. Orang Melayu sangat sinonim dengan melodi yang kita pakai. Orang Arab pun cakap ia tidak salah.
"Seperti imam-imam Arab jemputan terawih juga turut bertakbir mengikut adat kita malah mereka nampak lebih baik dan pandai apabila mereka melaungkannya.
"Sesuai dengan senario Malaysia dan orang Melayu yang lemah-lembut, takbir juga terbentuk dari budaya setempat yang tersendiri. Bak kata orang Jepun, antara kejayaan negara Jepun adalah lagu kebangsaan mereka sendiri yang mempengaruhi mereka," jelasnya lagi.
Mengenai tempoh bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri dengan Aidiladha pula Ali menjelaskan, Takbir Mursal adalah takbir yang dibaca pada petang raya hingga selesai solat hari raya pertama.
Sementara, Takbir Muqayyad ádalah takbir pada Hari Raya Aidiladha sehingga petang hari ke-13 Zulhijjah. Kesemuanya selama empat hari.Hayati falsafah Aidilfitri
|
|
SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa arab pada masa tersebut.
Apabila baginda Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya tersebut, maka mereka segera menjawab bahawa ia adalah perayaan yang telah diwarisi secara turun temurun dari datuk nenek mereka terdahulu.
Lalu Rasulullah telah menyatakan kepada orang-orang Arab Madinah bahawa Islam telah menggantikan dua hari raya yang mereka raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu hari raya korban atau Aidiladha dan hari raya fitrah atau disebut Aidilfitri.
Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu merupakan satu ibadat.
Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang-orang yang telah dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.
Kemenangan itu bukan saja menang kerana telah berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga kemenangan kerana seseorang yang telah mengerjakan puasa tersebut dengan sendirinya dapat menghalang diri daripada melakukan apa jua perkara yang dilarang di mana sekiranya dilakukan juga maka akan terbatallah puasanya.
Sebab itulah Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan dari kemenangan tersebut. Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah, iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal, di mana fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih dari dosa dan noda.
Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu.
Apabila diumumkan keesokan harinya adalah hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat dengan memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.
Sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari Qiamat."
Pada pagi hari raya biasanya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhuwah dengan kunjung-mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.
Perlu diingat bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya berlebih-lebih atau melampaui batasan dalam menyambut apa saja perayaan.
Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya pada hari raya dengan pakaian yang mahal dan kuih muih yang terlalu banyak.
Pada zaman Rasulullah, telah datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat itu: "Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut hari raya Aidilfitri."
Lalu baginda segera bertanya, "Kenapa wahai saudaraku?"
Lelaki tersebut pun berkata: "Kerana saya tidak ada baju baru."
Rasulullah kemudiannya bertanya beberapa sahabat yang lain, agar sesiapa yang mempunyai baju yang baru dapat kiranya diberikan kepada lelaki tadi.
Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru tetapi pengajaran dari kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru untuk dipakai pada hari raya. Lalu, digalakkan sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan