Selasa, 14 September 2010

INGAT MENGINGAT ITU SURUHAN ALLAH SWT...

Surat terbuka kepada Ketua Polis Negara baru —

Dr Mohd Asri Zainul Abidin..Mantan Mufti Perlis......... —

Assalamualaikum, tahniah saya buat Tan Sri Ismail Omar.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Ismail Omar atas perlantikan beliau selaku Ketua Polis Negara yang baru. Saya sebagai rakyat bawahan yan
...g lemah meletakkan harapan yang tinggi terhadap kewibawaan Tan Sri. Pemilihan Tan Sri sebagai satu kejayaan dalam kerjaya Tan Sri, di samping satu ujian besar daripada Allah yang akan menghitungkannya pada hari kiamat kelak.

Ya! Harapan rakyat amat besar terhadap Tan Sri KPN. Pada hari ini, lebaran Tan Sri selaku KPN masih lagi putih. Tindakan dan keputusan yang bakal diambil Tan Sri KPN selepas inilah yang akan mencorakkan warna kain tersebut. Rakyat akan berbicara mengenai baik atau buruk pada penilaian mereka. Namun apa yang lebih penting segalanya akan tercatat di sisi Allah; adil atau zalim, amanah atau khianat, berjasa atau menganiaya.

Tan Sri, keadilan itu tetap tercatat dengan mulia di sisi Allah, walaupun ada yang menentangnya. Saya percaya Tan Sri akan berusaha sedayanya melaksanakan prinsip-prinsip keadilan itu. Rakyat marhaen seperti saya tentu sahaja akan selalu berdoa agar Tan Sri adil dan berjaya melaksanakan keadilan. Adil dan amanah itu perintah Allah dan RasulNya. Insan yang betul fitrahnya sayangkan keadilan dan amanah, cintakan pula kepada pengamal dan pejuangnya. Rakyat akan mencintai Tan Sri, insyaAllah. Adapun kezaliman dan khianat, ianya dikutuk di langit dan bumi.

Allah dan Rasul memurkainya. Insan yang mukmin dan waras melaknatnya. Walaupun ianya dilupai di dunia atas kelicikan manusia, namun Allah menyebut: (maksudnya) Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan Yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah Ibrahim 42-43). Kami berharap Tan Sri berusaha menghindari noda-noda kezaliman.

Saya percaya Tan Sri seorang yang berwibawa dan professional, apatahlagi Tan Sri seorang Muslim yang beriman tentang hari akhirat. Tan Sri, dosa manusia ada yang bersifat peribadi antara dia dengan Allah, dan ada pula yang membabitkan hak-hak makhluk Allah yang lain. Dosa peribadi mudah untuk dilangsaikan; taubat dan istighfar antara dia dengan Allah sahaja. Adapun kezaliman terhadap orang lain; ia membabitkan hak hamba-hamba Allah yang tidak mudah untuk diselesaikan. Ada tuntutan yang lain yang mesti bayar, dan Allah juga ada hukumanNya yang setimpal.

Tan Sri, hak dan keadilan itu buta warna perbezaan. Adil itu prinsip yang merentasi batasan perasaan dan kepentingan. Merentasi batasan bangsa dan agama sekalipun. Firman Allah: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8). Saya pasti Tan Sri lebih faham dan lebih berkesedaran dalam hal ini.

Tan Sri, seperti yang kita bersama tahu bahawa asas sosial (basic social values) yang rakyat perlukan adalah security (keselamatan), freedom (kebebasan), order (peraturan), justice (keadilan) dan welfare (kebajikan). Polis berperanan besar dalam hal ini. Tan Sri adalah insan harapan!
Tan Sri, seperti yang Tan Sri maklum kadar dan jenis jenayah dalam negara kita hari ini amat membimbangkan. Perasaan aman yang merupakan asas kehidupan kemanusiaan mula terhakis hari demi hari. Tugas Tan Sri tentulah besar. Ia adalah jihad yang agung pahalanya jika Tan Sri dapat mengembalikan keamanan dan memberikan keharmonian kepada rakyat. Salah satu sebab negara tidak aman, hilangnya keberkatan pemerintahan dan rakyat. Adil membuahkan rahmat Allah sekalipun jika pemerintah itu bukan muslim. Zalim melahirkan kemurkaan Allah, sekalipun pemerintah itu muslim. Inilah yang sedang kita lihat dalam dunia hari ini. Kami mendoakan agar Tan Sri berjaya meneruskan jihad menegakkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.

Harapan kami agar Tan Sri dapat melaksanakan prinsip-prinsip yang dititahkan Allah dan RasulNya. Semoga Allah memberkati negara ini kerana keadilan insan-insan yang diberikan amanah. Rakyat mengadu kepada penguasa tentang kezaliman orang lain terhadap mereka. Namun, jika penguasa itu yang zalim, rakyat mengadu kepada Allah tentang kezaliman penguasa mereka. Nabi bersabda: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi kerana ianya dibawa atas lindungan awan dan Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Demi kemuliaan dan keagunganKu, akan Aku menangkan engkau sekalipun selepas beberapa lama” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir, dinilai hasan/ al-Sahihah:870).
Tan Sri, selamat bertugas sebagai KPN yang baru. Bersama Tan Sri jutaan harapan rakyat. Jika saya boleh meminjam wasiat bertulis Abu Bakr al-Siddiq ketika amat uzur dan mencadangkan Umar al-Khattab sebagai penggantinya, antaranya beliau menyebut: “Sekiranya ‘Umar berlaku ‘adil, maka itu sangkaan dan pengetahuanku mengenainya.

Jika dia sebaliknya, maka setiap individu berdasarkan apa yang dikerjakan. Sedangkan aku inginkan kebaikan dan tidak pula aku tahu perkara yang ghaib. “Nanti orang-orang zalim akan mengetahui di mana kesudahan mereka” Wa al-Salam ‘alaikum wa rahmatulLah”. (al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa, 32, Beirut: Dar al-Fikr).

Semoga Allah merahmati tugasan Tan Sri, amin.


Rakyat Bawahan Yang Dhaif,
Mohd Asri Zainul Abidin

Tiada ulasan: