Ahad, 26 September 2010

YANG NAK DIJAGA ISLAM TU...BUKAN BANGSANYA...MELAYU DI BALI HINDU...MELAYU DISELATAN FILIPINA KRISTIAN..

PR perintah: Umno BN hilang kuasa, bukan Melayu
Mohd Ali Hashim

PERMATANG PAUH, 26 Sept: Sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menerajui pentadbiran negara, maka kuasa Melayu tidak akan hilang, sebaliknya kuasa Umno dan Barisan Nasional (BN) yang akan terhapus dari persada politik negara ini.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man berkata demikian sebagai mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa kuasa dan suara Melayu akan hilang sekiranya pembangkang menguasai kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Adun Permatang Pasir dan PAS Kawasan Permatang Pauh di Permatang Pasir, semalam.

Menurutnya, adalah tidak munasabah dakwaan yang dikeluarkan oleh Mahathir sebagai seorang yang telah lama memegang tampuk pemerintahan negara terhadap PR.

"Beliau harus mengkaji sejarah yang dekat dengan kita. Dalam negara sendiri contoh yang ada di depan mata boleh digunakan sebagai fakta. Di negeri Kelantan contohnya yang hilang kuasa adalah Umno dan BN apabila PAS memerintah negeri tersebut lebih dari 20 tahun.

"Begitu juga dengan negeri Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Kuasa Melayu dan suara Melayu tidak hilang. Hanya yang hilang ialah kuasa dan suara Umno serta BN yang selama ini tidak pernah mengakui kekalahan mereka," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Adun Permatang Pasir berkata, dakwaan yang dibuat oleh Mahathir sepatutnya tidak lagi diberi perhatian kerana tidak bersandarkan kepada fakta yang sebenar.

Tambahnya lagi, kuasa Umno dan BN itu yang dianggap sebagai kuasa dan suara Melayu adalah satu pandangan yang meleset dan mengelirukan rakyat.

"Pada anggapan mereka kuasa Umno itu adalah Melayu dan kuasa Melayu itu adalah Umno, sedangkan PAS adalah lebih kemelayuannya jika mahu dibandingkan dengan Umno.

"Dakwaan beliau yang menyifatkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai alat kepada DAP juga adalah prejudis yang buruk terhadap kepimpinan PR. Beliau harus sedar sejauh mana laungan dan jeritan untuk memenangkan Umno dan BN tidak akan merubah pendirian rakyat bahawa kuasa yang ada pada BN di Perak adalah kuasa yang tidak halal setelah rakyat menolak mereka dengan kertas undi dalam pilihan raya 2008 yang lalu," tegasnya lagi.


Dasar Umno jadikan Melayu, Islam lemah

Harakahdaily

MARANG, 26 Sept: Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini menjadi lemah akibat dasar Umno yang sekular dan tidak mahu mengambil cara hidup Islam sebenar.

Menurut Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail, dua hujah dan fakta mudah yang jelas menyokong dakwaan tersebut adalah berhubung isu melulusakan lesen judi, dan menyekat bantuan dan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Berucap pada satu majlis ceramah di sini malam semalam beliau berkata, terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula didakwa meluluskan cadangan membina sebuah kasino di Sabah sebagai sebahagian daripada ETP (Program Transformasi Ekonomi).

Kasino itu dikatakan sebahagian projek pelancongan hijau di Karambunai yang turut membabitkan pembinaan pusat rekreasi air atas tapak 500 ekar dan dicadangkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Baru ni kita dah lawan dah judi bola yang diluluskan pada zaman Tun Dr Mahathir, sekarang Najib lulus pulak lesen kasino di Sabah.

"Adakah yang lulus ini Guan Eng, Kit Siang, Karpal Singh atau Tian Chua? Yang lulus ini adalah Umno, maka Umno lah yang merosakkan Islam dan menodai kesucian Islam," katanya yang juga Setiausaha Agung PKR.

Hujah kedua, jelasnya adalah berhubung penarikan semula bantuan kepada SAR yang juga dibuat pada zaman Dr. Mahathir yang didakwa terpengaruh dengan pidato Presiden Amerika pada waktu itu, George Bush.

Bush dalam pidatonya pada satu ketika dulu mengkritik sekolah agama di Pakistan yang didakwa sebagai tempat melahirkan pengganas yang kemudiannya turut dipercayai Mahathir.

Mahathir kemudiannya bertindak mengarahkan kerajaan menarik balik peruntukan kepada SAR.

"Yang tarik bukan Guan Eng, Kit Siang, Karpal Singh atau Tian Chua, tetapi yang tarik peruntukan dan bantuan SAR tempat anak kita kenal Allah, kenal Rasul, kenal al-Quaran kenal adab, adalah pemimpin Umno," katanya.

Dalam pada itu beberapa pihak telah mendesak Najib menjelaskan kebenaran dakwaan bahawa kerajaan akan membina kasino di Sabah tersebut.

Mereka berpendapat, rakyat berhak untuk mengetahui hala tuju negara ini yang dilihat gemar mempopularkan judi.

Satira: Banyak tanda tanya penahanan Zunar

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Sept: Tindakan keras yang diambil pihak polis dalam menahan kartunis terkenal tanahair, Zunar menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu dijelaskan.

Menurut Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram), ini demi mengekalkan kepercayaan masyarakat akan ketelusan dan keterbukaan kerajaan dalam menerima sebarang maklumbalas daripada masyarakat mengenai perlaksanaan amanah dan tanggungjawab kerajaan.

Naib presidennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, antara persoalan yang wajar dijelaskan ialah mengapa kebebasan bersatira untuk memperbaiki dasar pentadbiran awam diwar-warkan sebagai hasutan.

Katanya, satira merupakan salah satu kaedah kritikan berlapik yang diterima pakai sejak zaman belum merdeka lagi dan digunakan oleh ramai pejuang kemerdekaan seperti Pak Sako dan Pendeta Za’ba.

Justeru, katanya Ikram memandang serius mengenai penangkapan dan penahanan Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque di bawah Akta Hasutan.

Ikram, jelas beliau pada dasarnya bersetuju dengan keperluan untuk melindungi masyarakat awam daripada diperdaya dengan laporan dan pengkhabaran palsu yang mencetuskan huru-hara di kalangan rakyat.

Katanya, karya kartun semasa Zunar tidak tersiar di mana-mana akhbar atau makalah, dan buku-buku yang dijual pula sukar untuk didapati di toko-toko buku utama.

Namun, tambahnya kenyataaan bersifat perkauman seorang pengetua sekolah yang sudah lama diwar-warkan dalam media arus perdana tidak pula mengundang apa-apa tindakan undang-undang.

Malah, katanya lagi pemimpin nombor dua negara pun mengaku apa-apa tindakan terhadap pencetus insiden yang mencalar maruah kaum minoriti itu bukan di bawah bidang kuasanya.

“Bagaimana satira politik boleh dianggap lebih berbahaya daripada isu perkauman, sehingga perlunya Zunar dihantar ke beberapa lokap berturut-turut sebelum ditahan di bawah Akta Hasutan, sedangkan Akta Hasutan digubal untuk mengelakkan pemberontakan besar-besaran melalui cara-cara yang bercanggah dengan perlembagaan negara seperti tindakan subversif gerila komunis pada awal kemerdekaan Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya Ikram mengesyorkan mana-mana institusi atau badan kerajaan yang terkesan dengan sebaran awam yang dianggap palsu dan berunsur fitnah dalam media bebas seperti forum atau blog di internet supaya tampil proaktif dalam memberikan penjelasan yang bernas terhadap isu-isu yang dibahaskan.

Beliau menambah, tindakan menggertak dan menangkap para pengkritik dasar kerajaan dan menuduh mereka di bawah Akta Hasutan hanya akan menambahkan kesangsian rakyat terhadap keikhlasan kerajaan untuk mengekalkan kebebasan bersuara sebagai salah satu hak yang wajar dinikmati rakyat.

Kerajaan, ujarnya perlu menyedari bercambahnya masyarakat Malaysia melalui media bebas seperti blog adalah berpunca dari kelemahan arus media perdana yang dilihat sebagai tidak objektif dalam menyebarkan berita serta gagal dalam meraikan kepelbagaian pendapat semasa segenap lapisan masyarakat yang berbeza falsafah politik dan kepercayaan.

Tambahnya, Ikram menggesa pihak berkuasa untuk membebaskan Zunar dengan serta merta agar keyakinan rakyat terhadap keterbukaan kerajaan dalam penerimaan kritikan awam demi penambahbaikan pentadbiran dan pengurusan negara dapat dikekalkan.

“Sekiranya ditahan maka prosedur penahanan dipatuhi dan hak peguam perlu diberikan kepada Zunar. Sebarang tindakan intimidasi dan tekanan harus dihentikan,” ujarnya lagi


Mahathir dan Zunar: Episod yang belum berakhir
Ahmad Lutfi Othman
Pandangan Dr Mahathir Mohamad yang disiarkan muka depan Utusan Malaysia, 24 September lalu, bukan perkara baru. Bekas Perdana Menteri itu sudah menyuarakannya berulang kali dengan daleh dan retorik yang sama, tetapi masih tetap dijadikan tajuk utama akhbar yang dikuasai Umno sepenuhnya Umno. Mungkin bagi editor kanan akhbar berkenaan, luahan hati Mahathir seumpama itu masih berkesan untuk memperbodohkan" pengundi Melayu.

Beliau mendakwa, jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, maka Melayu akan hilang kuasa dan suara. Sebelum ini, Mahathir berkata kuasa politik Melayu makin lemah disebabkan mereka berpecah kepada tiga parti, iaitu PAS, KeADILan dan Umno.

Kematangan berpolitik orang Melayu mahu diperkecilkannya. Dan memang begitulah tabiat Mahathir. Logika dan rasional tidak dipedulikan kalau ia dilihat bercanggah dengan kehendaknya.

Seolah-olah perubahan dalam pemerintahan - yang lazim berlaku dalam mana-mana negara demokratik di dunia - hanya akan mengakibatkan keadaan huru-hara dan suasana tidakstabil.

Taktik kuno ini mudah dibaca. Kamarudin Jaffar dalam bukunya, "Krisis Ketuanan Melayu" mendedahkan teori 4F, yang menggabungkan kaedah dan kandungan kempen BN selama ini, antaranya Fear (Takut) dan Future (Masa Depan).

Orang Melayu yang gagal dibangunkan seutuhnya selama Umno berkuasa lebih 53 tahun lalu, termasuk selama 23 tahun di bawah regim Mahathir, dilihat sentiasa gusar dan risau dengan masa depan mereka.

Kemiskinan dan keterbelakangan orang Melayu rupa-rupanya menjadi aset berharga untuk Umno mempertahankan survival kuasa. Sedangkan terbukti Umno gagal menjalankan amanah meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu.

Slogan hak istimewa Melayu dijadikan batu loncatan oleh segelintir kecil kapitalis Melayu dan suku-sakat mereka untuk membolot kekayaan, kontrak dan kemudahan kerajaan.

Yang peliknya, pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu itu - sepatutnya menjadi liabiliti - terus dijadikan modal untuk menyerang saingan politiknya.

Motif politik Mahathir jelas. Ia sedar Pakatan berada di ambang kuasa menuju Putrajaya. Yang akan hilang kuasa adalah Umno-BN, bukannya orang Melayu. Masyarakat Tionghua pula semakin muak dan jelak dengan BN.

Pelbagai eksperimen yang diperkenalkan Najib Razak, seperti konsep 1Malaysia, gagal diterjemahkan dengan baik. Undi Cina - yang menyelamatkan Mahathir dalam pilihan raya 1999 - sukar direbut kembali. Beberapa keputusan pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum Mac 2008, khususnya di Sibu, menunjukkan keyakinan orang Cina terhadap Pakatan tidak berganjak.

NGO yang bernaung di bawah dagu Mahathir, Perkasa, tambah membebankan BN. Orang Melayu sendiri tidak tergoda dengan permainan politik Ibrahim Ali dan konco-konconya.

Yang pasti Mahathir tidak berubah. Dia masih memandang rendah keupayaan orang Melayu menangani perubahan zaman. Memang, sekali dengar hujah Mahathir nampak logik tetapi jika diperhalusi, hampas! Minda beliau terkurung dan terjajah dengan keyakinan palsunya sendiri.

Tengoklah serangannya ke atas PAS, badan dakwah dan gerakan Islam lainnya. Sejak awal menjadi Perdana Menteri sehinggalah ucapan terakhirnya sebagai Presiden Umno pada 2003, argumen sama diulang tayang.

Tanggapannya bahawa "orang dakwah" menolak dunia dan perkembangan sains teknologi dikitar semula walaupun realiti jauh berbeza. Pendokong Islam sejak lama menolak konsep sekularisme dan pemetakan dalam ilmu. Begitu juga dengan dakwaannya bahawa PAS memperalatkan agama demi kuasa.

Saya mengikuti dari dekat serangan terbukanya kepada Abdullah Ahmad Badawi, pengganti yang dipilihnya sendiri. Bermula di Taman Melewati, seterusnya di Kota Bharu,Petaling Jaya dan Alor Setar, saya menekuni ucapannya secara berdepan.

Seronok mendengar kritikan Mahathir terutama apabila beliau mengaitkan Abdullah dengan menantunya, Khairy Jamaluddin dan beberapa penasihat media di NST. Bagaimanapun, selepas mendengar dua tiga kali kecamannya itu, saya terasa ia hanya sarat dengan emosi dan serangan melulu.

Rujukan Mahathir terhadap pengalaman singkat Pakatan menerajui Perak jauh tersasar. Tuduhannya bahawa Nizar Jamaluddin boneka Cina juga bukan perkara baru. Itulah yang ditohmahkan BTN dan pemimpin Umno akar umbi.

Mahathir gagal memahami persefahaman Pakatan, yang jauh berbeza dengan pengalaman politik Perikatan, kemudiannya BN. Meskipun PAS mewakili jumlah kerusi Dun yang paling sedikit, berbanding KeADILan dan DAP, ia tidak menghalang tokoh terbaik untuk menjadi Menteri Besar.

Memang mudah bagi Mahathir dan Umno untuk meniup api perkauman, sebagai jalan pintas untuk kembali berkuasa di Perak, juga Pulau Pinang dan Selangor. Tetapi ia satu tindakan paling tidak bertanggungjawab dicetuskan oleh seorang yang dianggap negarawan.

Keputusan pilihan raya 2008hanya pencetus awal. Rakyat kini menilai dan akan menghakiminya dengan bijaksana. Jumlah pengundi Melayu yang menyokong Pakatan (sebenarnya Pakatan belum pun dibentuk semasa pilihan raya ke-12 itu berlangsung) mungkin tidak sebesar pengundi Cina dan India. Namun dinamisme politik Melayu usah diremehkan.

Selepas menyaksikan keupayaan Pakatan mentadbir empat negeri dengan telus dan adil, saya yakin majoriti pengundi Melayu bersedia untuk menolak Umno sepenuhnya.

Penyakit yang dideritai Umno, terutama korupsi, nepotisme dan salahguna kuasa, sukar dirawat lagi. Rakyat sudah boleh membuat perbandingan, tanpa dikaburi propaganda jelik media Umno.

Di kala itu, penguasaan kerusi Dun dan juga Parlimen di kalangan Pakatan mungkin dapat mewakili peratusan kaum di negara ini, satu situasi yang dilihat lebih menjamin kestabilan politik.

Dari segi statistik pun, Mahathir sudah keliru. Jumlah ahli Parlimen Melayu selepas pilihan raya 2008 lebih ramai berbanding tempoh 2004-2008. Ketuanan Melayu yang dilaungkan selama ini sekadar mitos tanpa makna. Malaysia terlalu kaya dan lebih daripada memadai untuk semua warganya berkongsi kehidupan dengan sejahtera dan damai, sekiranya elemen rasuah, pembaziran, dan sentimen perkauman dapat dielakkan.

Segera saya teringat tulisan Almarhum Tunku Abdul Rahman, dalam bukunya "Sebelum dan Selepas 13 Mei", apabila PM pertama itu mengulas penyebaran surat terbuka Mahathir kepadanya: "Saya telah ditanya, kalau Dr Mahathir menang dalam pilihan raya (1969), mungkinkah dia juga mengkritik saya, seperti yang terkandung dalam suratnya ....

"Tetapi saya yakin bahawa kiranya Dr Mahathir menumpukan masa yang lebih kepada kerja-kerja parti dan tidak menghabiskan masanya di dalam perniagan membuat rumah di Kedah bersama-sama dengan syarikat Federal Construction Company - sebuah syarikat yang dipunyai orang-orang Cina - dalam perniagaan yang lain, maka kemungkinannya untuk menang dalam pilihan raya itu lebih besar.

"Menurut maklumat yang diterima, beliaulah yang telah mengambil peranan penting untuk menolong mendapatkan kelulusan kerajaan supaya tidak kurang daripada 238 lot tanah Simpanan Melayu dikeluarkan dari simpanan itu bagi projek perumahan yang tersebut."

Zunar memang seorang karyawan yang kreatif dan hebat. Idea kartunnya cukup luar biasa. Genius. Jarang orang perasan bahawa Zunar mungkin kartunis pertama menjadi ketua pengarang akhbar. Dan Suara Keadilan yang pernah diterajuinya dapat melonjakkan jualan ke tahap yang begitu membanggakan. Beliau juga pernah mengelolakan beberapa halaman dalam Harakah, khusus melaporkan perkembangan reformasi.

Semasa saya mengendalikan majalah Detik dan siri akhbar tidak berkala, Zunar banyak membantu. Beliau bersungguh, tekun dan cermat dalam kerjanya. Paling istimewa beliau agak kerap dapat menyeludup surat-surat Anwar Ibrahim dari penjara. Detik turut dibekalkan kenyataan eksklusif Anwar.

Lakarannya memang terasa pedih berbisa. Zunar tidak pandai berselindung. Kritikan sosialnya tajam dan keras. Langsung mengena pada sasaran. Justeru, bagi yang terkena tentu tidak selesa dan marah. Bagaimanapun, bagi saya, itulah yang diperlukan untuk menegur kepincangan penguasa zalim, yang begitu sukar memahami bahasa diplomasi. Dalam ketawa terasa menusuk di kalbu!

Selepas meninggalkan Suara Keadilan, Zunar membuka syarikat penerbitan sendiri, Sepakat Efektif Sdn Bhd. Majalah Gedung Politik dua kali sebulan diterbitkannya. Berslogankan "majalah jenaka alternatif", terbitan sulung memaparkan gelagat Perdana Menteri, Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara. Ia menyentuh pelbagai isu semasa, antaranya kes kematian Teoh Beng Hock, kenaikan kadar tol lebuh raya, dasar PPSMI dan akta drakonian ISA.

Jelas, Najib dan isteri, Rosmah Mansor melimpahkan ilham buatnya. Tanpa menunggu lama, Zunar diasak kontroversi baru. Keluaran sulung majalah satira politik itu dirampas sebelum diedarkan, atas alasan tiada permit. Pejabatnya di Brickfields dan kilang percetakan di Serdang, diserbu penguatkuasa KDN.

Zunar mencari ruang untuk terus berkarya. Jika majalah diharamkan, kompilasi dalam bentuk buku tidak disekat undang-undang. Namun, di Malaysia segalanya serba mungkin.

Buku-buku kartunnya pula menjadi buruan. KDN mengambil jalan mudah: Haramkan! Alasannya, "mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam".

Wow ... hebat sekali pengaruh Zunar. Anak muda ini ternyata tidak mudah mengalah. "Sebagai kartunis, tanggungjawab sosial adalah keutamaan saya. Melalui karya kartun, saya akan terus membongkar kezaliman, rasuah dan salah laku kerajaan BN. Saya akan terus berkartun sehingga ke titisan dakwat terakhir," katanya.

Ujar Zunar, meskipun buku dan majalahnya diharamkan, namun kerajaan tidak boleh mengharamkan mindanya.

Pada 26 Julai lalu, Zunar memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan KDN mengharamkan buku kartun politiknya. Ini juga satu rekod. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) mesti dicabar dan Zunar sudah memulakannya.

Permohonan bagi mendapatkan semakan kehakiman berhubung pengharaman KDN ke atas dua buku kartun Zunar itu akan didengar pada 8 Oktober ini.

Tindakan pengharaman buku 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun didakwa tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan. Pengharaman buku tersebut juga didakwa melanggar undang-undang sejagat dan tidak dilakukan dengan adil kerana Zunar ataupun penerbitnya, Malaysiakini tidak diberi alasan terhadap tindakan tersebut.

Tiga hari sebelum pelancaran buku barunya, "Cartoon-O-Phobia", Zunar menjemput saya bersama. Keuzuran menghalang. Petang Jumaat, 24 September, saya dikejutkan SMS, Zunar ditahan polis di bawah Akta Hasutan.

Malamnya, Nizar Jamaluddin melancarkan tanpa buku dan pengarangnya. Isteri Zunar membacakan mesej bermakna suaminya: "Tangkapan ini tidak akan mengubah pendirian saya untuk membongkar penyelewengan dan korupsi kerajaan. Malah tindakan ini mengesahkan tajuk buku bahawa kerajaan takut dengan kartun.

"Mereka boleh kurung badan saya, tapi mereka tak boleh kurung otak saya. Saya bersedia tukar dari 'comic strip' kepada 'prison strip'."

Salut buat sahabatk, Zulkiflee Anwar Haque



Umno patut malu lulus lesen judi
Ali Hashim

KEPALA BATAS, 25 Sept: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan dakwaan yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam yang mendakwa Kerajaan Negeri menggunakan wang dari sumber judi Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk program miskin tegar.

Semalam, Reezal dalam sidang media beliau di Kepala Batas telah mendakwa kerajaan negeri memperolehi wang dari sumber judi sebanyak RM500 ribu dari kelab tersebut sebagai sumber untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Guan Eng berkata, sejumlah 90 peratus dari mereka yang tergolong dalam miskin tegar adalah masyarakat Melayu.

Namun begitu, katanya harus diketahui bahawa baki sebanyak 10 peratus lagi adalah di kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukannya beragama Islam.

"Jumlah yang kita gunakan untuk masyarakat bukan Islam tidak harus dipertikaikan. Manakala bagi masyarakat Islam kita sedia maklum apa yang baik untuk mereka dan apa pula yang sebaliknya.

"Oleh kerana itu, maka usaha Umno memburukkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) ini sebenarnya tidak akan menjadi nyata kerana rakyat sudah tahu dan faham mengenai usaha mereka untuk menjatuhkan serta mencalarkan imej kerajaan negeri," katanya.

Menurut beliau lagi, jika sebelum ini Umno melalui Reezal juga telah menuduh kerajaan negeri menggunakan wang dari sumber judi untuk pemberian RM100 kepada warga emas dan tidak menjadi kenyataan setelah dinafikan dengan fakta, kini mereka beralih pula kepada wang kepada penerima miskin tegar.

Kata Lim lagi, adalah tidak munasabah untuk Kerajaan Negeri memberi sumbangan dari sumber judi kepada masyarakat Islam di negeri ini.

"Kita juga tahu apa yang boleh dan tidak boleh untuk diberikan sebagai sumbangan kepada masyarakat Islam. Oleh kerana itu janganlah Umno menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka walaupun hendak mencari semula pengaruh yang hilang.

"Umno sepatutnya malu dengan kenyataan ini kerana merekalah sebenarnya yang menguasai kepimpinan Kerajaan Pusat bersama Barisan Nasional (BN) yang meluluskan kesemua lesen judi yang ada di seluruh negara ini.

"Bak kata pepatah menepuk air ke dulang terkena muka sendiri. Inilah umpama yang patut saya nyatakan kepada Umno dan BN yang cuba mencari kesalahan PR sejak kita mula memenangi pilihan raya 2008 yang lalu sehinggalah ke hari ini," tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program 'Pembersihan Pantai Antarabangsa' di Pantai Robina, Teluk Air Tawar, Butterworth pagi tadi







Tiada ulasan: