Dokumen wasiat elak krisis keluarga
2010/09/09
Arahan terakhir secara bertulis memudahkan pembahagian harta pusakaKEMATIAN tidak mengenal usia. Inilah yang terjadi kepada Kamariah (bukan nama sebenar) yang masih meratapi kehilangan anak dikasihi, Kartina (bukan nama sebenar). Kartina mengidap barah pada usia muda, 36 tahun dan belum berkahwin
Arwah Kartina adalah ahli perniagaan berjaya dan kematian beliau secara mendadak mengejutkan ramai orang terutama ahli keluarganya. Memandangkan beliau masih belum berkahwin, waris yang ditinggalkan adalah ibu, dua kakak, seorang abang dan adik lelaki.
Pada usia masih muda, Kartina memiliki banyak aset. Beliau memiliki dua rumah, dua bidang tanah serta aset alih lain berupa simpanan di bank tempatan dan saham amanah.
Kamariah begitu sedih atas pemergian anak kesayangannya kerana selama ini hanya Kartina yang banyak mengambil berat kebajikan dan keadaan dirinya.
Anak yang lain tidak pedulikan Kamariah dan terlalu mementingkan diri serta sentiasa berbalah antara satu sama lain. Hanya Kadir, adik bongsu Kartina yang sudah berkahwin tetapi menetap jauh, masih boleh diharap.
Semasa arwah Kartina sakit, hanya Kadir dan isterinya yang menjaga arwah. Arwah pada mulanya merahsiakan penyakit dihidapi daripada pengetahuan keluarga. Akhirnya, setelah lima bulan bertarung sendirian, rahsianya terbongkar apabila satu pagi dia dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri dan darah keluar melalui hidung.
Ibu Kartina adalah insan paling setia menemani beliau sepanjang dirawat di hospital. Abang dan kakak arwah pula sibuk dengan urusan seharian, langsung tidak meluangkan masa untuk menjengah Kartina.
Sewaktu hayatnya, arwah Kartina ada meninggalkan wasiat yang dibuat dan disimpan di AmanahRaya. Apabila mendapat berita pengesahan kematian Kartina, AmanahRaya memanggil semua waris terdiri daripada ibu dan adik beradik Kartina untuk hadir pada majlis pembacaan wasiat.
Arwah Kartina menyatakan hasrat bertulis supaya 1/3 daripada hartanya, iaitu dua bidang tanah diwakafkan untuk tujuan pembinaan masjid. Pemberian itu akan ditambah dengan sejumlah wang tunai untuk mencukupkan nilainya kepada 1/3.
Rumah yang didiaminya sekarang diberikan kepada ibunya, Kamariah. Sebuah rumah lagi diberikan kepada Kadir. Harta selebihnya diminta dibahagikan secara sama rata kepada semua waris.
Sebaik mendengar kandungan wasiat itu, abang dan kakak yang tidak menerima bahagian tanah dan rumah menyatakan rasa tidak setuju terhadap wasiat arwah. Mereka berasakan berhak seperti waris lain ke atas rumah dan tanah milik Kartina.
Mereka juga beranggapan Kartina lebih mementingkan orang lain daripada ahli keluarga sendiri dengan memberi 1/3 hartanya kepada bukan waris. Suasana menjadi tegang.
Kadir, adik bongsu Kartina, menyuarakan kekesalan terhadap abang dan kakaknya. Betapa Kartina begitu mengharapkan kehadiran mereka ketika beliau sakit. Malangnya, mereka terlalu sibuk dengan urusan masing-masing sedangkan tahu keadaan Kartina adalah kritikal.
Kamariah dalam keadaan sebak turut melahirkan rasa kecewa terhadap sikap anaknya. Suasana tegang bertukar hiba dan sedih. Kakak dan abang Kartina mengakui kesilapan dan memohon ampun daripada ibu mereka.
Kartina dalam wasiatnya melantik AmanahRaya sebagai wasi. Adalah menjadi tanggungjawab wasi memberi khidmat nasihat dan rundingan terbaik mengenai pembahagian pusaka arwah.
Dalam kes Kartina, AmanahRaya menasihatkan waris menghormati wasiat arwah Kartina termasuk hasrat membuat amal jariah daripada harta ditinggalkan sebagai bekalan dirinya di akhirat.
Memberikan 1/3 daripada harta ditinggalkan kepada bukan waris sememangnya dibenarkan hukum syarak dan waris tidak berhak menentangnya. Apa yang harus dipersetujui ialah agihan 2/3 harta pusaka kepada waris yang diwasiatkan mengikut kemahuan arwah tanpa mengikut hukum faraid.
Wasiat Kartina juga ada merekod dan menyenarai hutang yang masih tertunggak. Sebagai wasi, AmanahRaya perlu mengesahkan hutang itu dengan pihak terbabit dan mendapatkan nilai terkini yang perlu dibayar.
Setelah pengesahan selesai, sekali lagi waris diberi penerangan mengenai kepentingan membayar hutang berkenaan daripada pusaka arwah.
Harta pusaka adalah aset dan liabiliti (hutang) yang ditinggalkan simati.
Jumlah harta pusaka terdiri daripada harta alih dan tidak alih perlu ditolak dengan belanja pengebumian, hutang simati jika ada dan 1/3 wasiat, pun jika ada. Selebihnya, baru dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid.
Rasulullah SAW sangat mengambil berat dan banyak memberi peringatan supaya hutang dilunaskan dengan segera. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Demi Tuhan yang diriku di tangan-Nya, jika seseorang lelaki itu terbunuh di jalan Allah, kemudian dia dihidupkan semula, kemudian dia terbunuh lagi, kemudian dia dihidupkan lagi, kemudian dia terbunuh lagi dalam keadaan dia menanggung hutang, dia tetap tidak akan dapat masuk syurga selagi hutang itu belum dijelaskan (oleh saudara maranya).” (Hadis riwayat An-Nasa’i)
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.” (Hadis riwayat Muslim)
Setelah mendengar penerangan dan penjelasan pegawai AmanahRaya, kakak dan abang yang menentang, sedar serta akur wasiat Kartina. Kedua-duanya bersetuju wasiat arwah ditunaikan.
Sebagai wasi, AmanahRaya akan menguruskan pembayaran hutang Kartina seperti pinjaman perumahan, pinjaman peribadi dan zakat seperti yang diputuskan. Hasrat Kartina mewakafkan wang bagi tujuan pembangunan masjid dan surau juga dapat dilaksanakan.
Setelah semua hasrat itu selesai, barulah baki pusaka Kartina dibahagikan di kalangan waris yang berhak. Kebiasaannya, waris tidak mengetahui kewujudan aset dimiliki simati, walaupun saudara kandung sendiri terutama jika seseorang itu belum berkahwin seperti kes Kartina.
Bagaimanapun, Kartina membuat keputusan bijak, tepat dan merancang warisannya sendiri. Kartina memilih AmanahRaya untuk membuat wasiat sebaik saja mengetahui beliau mengidap barah.
Wasiat beliau menzahirkan pesanan dan arahan terakhir secara bertulis supaya dapat dilaksanakan.
Pentadbiran harta pusaka Kartina menjadi mudah kerana sewaktu hayatnya Kartina sudah menyerahkan salinan semua dokumen diperlukan. Dokumen itu memu-dah dan mempercepatkan pentadbiran pusaka kerana AmanahRaya tidak perlu menunggu atau mencari bukti aset Kartina.
Walau bagaimanapun, AmanahRaya masih perlu menjalankan proses pengesahan bagi setiap aset alih dan tak alih supaya status kedudukan aset itu tidak dipertikaikan dan sah di sisi undang-undang. Semua dilakukan supaya pembahagian harta pusaka dapat dilakukan dengan sempurna, cepat dan tidak memudaratkan waris yang berhak.
Selain itu, dokumen wasiat juga membolehkan Kartina menulis jenis amal jariah dan kebajikan yang diinginkan. Apabila seorang itu mempunyai wasiat, maka pusakanya ditadbir sebagai harta pusaka berwasiat.
Pembahagian harta pusaka dibahagikan mengikut wasiat tertakluk kepada ketetapan syarak. Jika pewasiat sudah melantik wasi maka wasi akan bertanggungjawab menjaga kepentingan pusaka dan kebajikan waris.
Dalam hal ini, wasi perlu arif dan tahu perkara penting yang perlu dilakukan antaranya mendapatkan perintah pengisytiharan daripada Mahkamah Syariah, mengenal pasti semua waris, mengenal pasti harta, hutang dan wasiat/wakaf sebelum pembahagian dibuat.
Berdasarkan Geran Probet yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi dan berpandukan pesanan terkandung dalam wasiat Kartina serta persetujuan waris, Amanah-Raya memindah milik tanah serta rumah kepada ibu dan adik bongsunya, membuat pembayaran amal jariah kepada masjid dan surau selaras hasrat arwah.
Ketika kesemuanya hadir di pejabat AmanahRaya untuk pembayaran akhir kepada waris, pegawai AmanahRaya dapat melihat permuafakatan ditunjukkan adik beradik Kartina.
Kesimpulan:
JANGAN KITA AMBIL HARTA SEBARANGAN..TAMAK DAN IKUT NAFSU...JIKA KITA AMBIL HARTA ORANG LAIN@BUKAN HAK KITA.....
IA AKAN MENJADI HARAM SAMPAI BILA2...KERANA HARTA YANG DIFARAID...TURUN MENURUN ADA BERCAMPUR HARTA YANG BATIL@HARAM...
OLEH ITU JANGANLAH TAMAK...NI SIFAT MAZZUMAH@DIKEJI ALLAH SWT....BUKANNYA UNTUNG MALAH RUGI...YANG KITA RASA UNTUNG ITU SEBAB DIHASUT OLEH SYAITAN .....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan