Selasa, 14 September 2010

ELAKKAN DIRI KITA INI BERSIFAT SYOK SENDIRI DAN RASA HEBAT DAN BERKEBOLEHAN...YANG HEBAT ITU ALLAH...KITA KAN TUA DAN MATI

Kejutan Ibrahim Ali yang kita tidak terkejut
W Fauzdin NS

PERKASA di bawah Ibrahim Ali MP Pasir Mas akhirnya dimalukan oleh Umno. Umno yang mengaku memperjuangkan nasib bangsa Melayu di negara ini menolak PERKASA yang juga mengaku menjadi hero orang-orang Melayu.

Kedua-duanya yang `menjual nama' Melayu ini bersengketa kerana apa? Jawapannya mudah, mereka bersengketa kerana masing-masing sebenarnya tidak ikhlas membela nasib orang-orang Melayu.

Kenyataan Presiden PERKASA, Ibrahim Ali yang mengaku akan membuat kejutan di dalam PRU nanti sebenarnya bukan satu kejutan. Terkejutkah kita jika raja katak Pasir Mas ini mengistiharkan untuk menubuhkan parti baru?

Mungkin juga beliau akan keluar dari sarang di Pasir Mas dan berhijrah ke tempat lain yang beliau rasa kawasan itu boleh menyelamatkan beliau untuk kekal sebagai Ahli Parlimen? Ke mana sekali pun raja katak ini berhijrah, ianya tidak mengubah pandangan orang terhadap Presiden PERKASA ini. Jika Umno sebuah parti yang `kuat Melayu'nya pun menolak PERKASA yang dipimpin oleh Ibrahim Ali, bangsa atau kaum mana yang mahu percaya kepada perjuangan beliau?

Ibrahim Ali mendapat sokongan kuat dari Tun Mahathir iaitu tokoh yang mula-mula memecahkan perpaduan Melayu. Tun Mahathir menganggap rugi besar jika Umno menjauhi PERKASA. Kita tidak nampak pula di mana untungnya Umno jika bersama PERKASA, apatah lagi di bawah Najib dengan konsep `1 Malaysia'nya itu. PERKASA lebih banyak `memeningkan' Umno dari memulihkan Umno yang sememangnya sudah `pening' itu.

PAS awal-awal lagi sudah mengumumkan bahawa di dalam PRU akan datang, PAS tidak lagi mahu `bersedekah' kepada Ibrahim Ali kerusi Parlimen Pasir Mas. Memang tepat dan bijak keputusan PAS itu kerana `bersedekah' kepada orang yang `sombong dan khianat' tidak akan memperolehi pahala. Ibrahim Ali Ali juga menyebut bahawa Umno juga tidak mungkin (mustahil lebih tepat) untuk mencalonkan beliau di kerusi Parlimen Pasir Mas. Bahkan, jika Umno terdesak sangat untuk memilih raja katak ini sebagai calon mereka, Umno bakal mendapat malu besar nanti.

Ibrahim Ali menyebut masih banyak lagi kawasan majoriti Melayu yang boleh beliau wakili di dalam Pilihanraya nanti. Mungkin Ibrahim menganggap bahawa kawasan majoriti Melayu adalah kawasan selamat buatnya. Adakah sebelum ini Ibrahim Ali pernah bertanding di kawasan bukan majoriti Melayu? Dan, kawasan mana yang pernah menghilangkan deposit beliau? Beliau mesti ingat bahawa beliau menang di Parlimen Pasir Mas dahulu bukan kerana Ibrahim Ali Melayu, tetapi kerana pengundi-pengundi memilih calon yang dipilih oleh parti yang memperjuangkan Islam bukan memperjuangkan Melayu semata-mata. Di Kelantan, sebuah negeri yang hampir 100 peratus Melayu, sekarang mempunyai Adun dari kaum berbangsa Cina.

Apa pun kejutan dari Ibrahim Ali tidak akan menjadi kejutan kepada mereka yang kenal Ibrahim Ali. Ibrahim Ali bukan sahaja menjadi duri dalam daging buat Umno, bahkan ianya menjadi racun kepada semua. Insan yang satu ketika memuji Tuan Guru Nik Aziz, kemudiannya memperlekehkan MB Kelantan itu dan orang ini juga satu ketika menghina DS Anwar, kemudiannya ingin bersama DS Anwar dan kini kembali menyerang DS Anwar adalah insan yang tidak boleh dipercayai bukan sahaja oleh manusia bahkan binatang sekali pun.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan


P'raya: Saya akan buat kejutan, kata Ibrahim
Sep 12, 10 9:41pm
Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata beliau akan membuat kejutan dalam pilihan raya umum kelak sama ada bersedia bertanding mempertahankan kerusi yang disandang atau sebaliknya.

Mendakwa mempunyai strategi tertentu, Ibrahim berkata beliau tidak mempunyai masalah jika PAS atau Umno tidak membenarkannya bertanding mewakili parti berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.

"Mungkin saya boleh adakan kerjasama dengan parti lain seperti bertanding dulu ataupun tubuh parti baru.

"Saya tahu baik PAS atau Umno mungkin tidak menerima saya dan ada juga parti lain yang menjauhkan diri kerana saya dalam Perkasa dan apa pun tunggulah kejutan nanti," katanya di rumah terbuka beliau yang diadakan di perkarangan Stesen Keretapi Psir Mas hari ini.

Semalam Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Haron menegaskan PAS Kelantan tidak lagi memberikan peluang kepada Ibrahim untuk bertanding menggunakan lambang parti itu pada pilihan raya umum nanti.

Dalam pilihan raya umum lalu Ibrahim, yang merupakan calon bebas, memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket PAS.

Mengulas perkara itu Ibrahim berkata orang sepertinya tidak mempunyai masalah untuk bertanding di mana-mana kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu di negara ini dan yakin pemimpin Melayu sepertinya mampu memberikan saingan sengit.

"62 peratus kawasan Parlimen di negara ini mempunyai majoriti pengundi Melayu dan saya ada cadangan untuk itu (bertanding)," katanya.

Beliau berkata apa yang penting adalah memberikan khidmat sebaik mungkin kepada penduduk di Pasir Mas yang banyak memerlukan pembelaan.

"Saya penuh yakin penduduk di sini masih memerlukan saya dan sebagai contoh lihatlah begitu ramai yang datang pada rumah terbuka saya ini," katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk yang juga pengundi di situ mahukan Ibrahim terus menjadi wakil mereka untuk kerusi Parlimen itu.

Bagi mereka Ibrahim sudah melakukan banyak perkara walaupun tidak mewakili mana-mana parti tetapi mampu memberikan khidmat terbaik kepada penduduk.

- Bernama

Tiada ulasan: