CHENNAI: Beberapa organisasi media di sini mengikuti perkembangan kes kehilangan ahli perniagaan, A. Muthuraja.
Menurut wartawan khas dan ketua biro jenayah Chennai, VP Raghu berkata, berita kehilangan Muthuraja akan terus dilaporkan sehingga kebenarannya diketahui.
"Lelaki ini ada kaitan dengan industri perfileman di sini dan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan industri ini adalah berita panas," katanya.
Jelas beliau, akhbar itu juga ingin mengetahui sama ada dua beradik yang juga peguam disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain turut terlibat dalam kes kehilangan Muthuraja.
Sementara itu, wartawan khas meja jenayah Sun TV, Rama Selvaraj berkata, rangkaian televisyennya meminati berita mengenai kes terbabit kerana ia mengambil masa lapan bulan bagi menemui maklumat berhubung kehilangan Muthuraja.
"Faktor bahawa dia adalah seorang jutawan tempatan dan menceburi industri perfileman juga adalah satu faktor yang boleh dikaji," katanya.
Menurut beliau lagi, laporan berita mengenai kehilangan Muthuraja juga merupakan bentuk 'amaran' kepada ahli perniagaan dari India agar lebih berhati-hati dalam soal keselamatan untuk berurusan di Malaysia.
"Kita begitu terganggu dengan perkara yang sudah berlaku, kami berharap ia mungkin dapat dielakkan." katanya.
Sun TV menyiarkan berita kehilangan Muthuraja setiap hari menerusi slot berita perdana saluran mereka.
Sementara itu, ketua meja jenayah akhbar Malai Malar, M Ravi berkata, Muthuraja merupakan individu penting dan berita kehilangannya merupakan isu besar di Tamil Nadu.
"Kami pasti pembaca ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku," katanya.
Muthuraja, 34, dikatakan datang ke Malaysia untuk bertemu rakan karibnya iaitu suspek utama kes pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Ahli perniagaan itu bagaimanapun gagal dihubungi isterinya sejak 19 Januari lalu sehingga kini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan