Khamis, 9 September 2010

AWAS ...JENAYAH BERADA DIMANA2...MOHON PERLINDUNGAN DARI ALLAH...

Jenayah siber makin meluas



2010/09/09

SAN FRANCISCO: Firma keselamatan komputer, Symantec melaporkan kira-kira dua pertiga daripada pengguna Internet di dunia menjadi mangsa jenayah siber.

Menurut laporan kaji selidik jenayah siber Norton, pengguna di China menduduki tangga teratas menjadi mangsa apabila 83 peratus pengguna diserang virus komputer, pemalsuan kad kredit, penipuan identiti dan pelbagai jenayah lain di Internet.


Brazil dan India menduduki tangga kedua dengan 76 peratus, manakala Amerika Syarikat pula mencatat 73 peratus mangsa jenayah siber di tangga ketiga.


Walaupun mangsa rasa tertipu dan berang, namun mereka teragak-agak untuk mengambil tindakan kerana menganggap usaha berkenaan tidak akan berhasil, lapor unit pengguna Norton. Jenayah siber sukar dilaporkan kerana kadangkala pihak polis mendapati kes terbabit tidak mempunyai bukti yang kukuh. “Penjenayah siber sengaja mencuri dalam jumlah yang sedikit bagi mengelak dikesan,” kata Adam Palmer, Ketua Penasihat Keselamatan Siber, Norton. “Jika anda gagal membuat laporan, anda mungkin melindungi penjenayah siber terus melakukan aktiviti mereka,” kata Palmer lagi.


Menurut Profesor Madya di Universiti Loyola Marymount, Joseph LaBrie pula, kurangya kesedaran mengenai jenayah siber di kalangan pengguna Internet menyebabkan ia semakin berleluasa. “Keadaannya sama apabila anda tidak tahu banyak perkara mengenai kereta anda akan menyerahkan semua perkara kepada mekanik jika kenderaan anda rosak,” tutur LaBrie. Kajian menunjukkan kebanyakan pengguna menyangka memuat turun lagu atau filem di Internet tanpa membuat sebarang pembayaran adalah tidak salah.


Kira-kira 24 peratus daripada hasil kaji selidik pula menyatakan membaca e-mel orang lain secara rahsia juga bukan satu jenayah.


“Pengguna sering menolak untuk melindungi komputer mereka kerana merasakan ia tidak perlu,” kata Anne Collier, Pengarah ConnectSafely.org, sebuah syarikat yang melakukan kaji selidik bersama Norton. - AFP



Jumlah laman web digodam naik mendadak

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengesan peningkatan dalam kes penggodaman laman-laman web di Malaysia yang meningkat kepada 262 kes pada minggu pertama bulan ini.

Menurut SKMM dalam satu kenyataan akhbar, jumlah itu naik secara mendadak berbanding dengan bulan Ogos yang hanya mencatatkan 168 kes penggodaman laman web.

"Semua pemilik laman web diminta meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan mengemaskini pelayan dan aplikasi yang berkaitan pada laman web mereka,'' kata kenyataan itu di sini hari ini.

SKMM berkata, ia bertujuan mengurangkan risiko penggodaman jika terdapat kelemahan pada ciri-ciri keselamatan laman web.

Para pemilik laman web juga disaran mengambil langkah sewajarnya dalam melindungi laman web mereka.

"Pastikan keselamatan web terjamin dan diberi perhatian khususnya ketika musim perayaan seperti hari raya kerana kebanyakan laman web tidak dipantau,'' katanya.

SKMM berkata, serangan ke atas laman-laman web juga meningkat ketika musim cuti hari raya pada tahun lepas.

Bagaimanapun SKMM akan terus memantau situasi itu melalui Pusat Keselamatan Rangkaian SKMM.

"Pusat ini merupakan pusat pemantauan keselamatan siber yang diwujudkan selaras dengan Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan dan 10 Objektif Dasar Kebangsaan yang termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998),'' katanya.

Katanya, pusat itu juga akan bertindak memberikan amaran pencegahan awal kepada semua pihak yang berkaitan di Malaysia.

Ia berkhidmat sebagai termometer rangkaian Internet kebangsaan untuk memberikan pemahaman menyeluruh berkaitan ancaman siber pada tahap makro dengan penglibatan dan kerjasama daripada sektor awam dan swasta.

Pemilik laman web boleh menghubungi SKMM menerusi talian 03-8688-8303 jika mengesan sebarang kegiatan penggodaman di laman web mereka

Tiada ulasan: