Khamis, 23 September 2010

Pembunuhan Sosilawati: Misi Pencarian Telefon Bimbit Milik Mangsa

BANTING: Penyelam pasukan polis meneruskan usaha mencari bahan bukti dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya hari ini dalam misi mencari telefon bimbit milik mangsa dipercayai dicampakkan di dalam parit yang menghubungkan ke Sungai Lang dekat sini.

Pencarian yang bermula sejak pukul 10 pagi, Khamis, menyaksikan empat orang penyelam dari Unit Pasukan Marin menyusuri parit dalam pencarian itu.

Dipercayai telefon bimbit itu kepunyaan salah seorang mangsa dalam kes pembunuhan itu.

Turut kelihatan di tempat kejadian adalah P. Balasandram, suami kepada T.Selvi yang ditikam sehingga mati pada 2009 oleh seorang lelaki dipercayai diupah oleh suspek utama kes.

Salah seorang suspek juga turut dibawa ke tempat kejadian tetapi hanya menyaksikan kerja pencarian dari dalam kereta polis. Pihak polis bagaimanapun enggan mengulas mengenai misi pencarian itu


Pembunuhan Sosilawati: Polis Bakal Mendapat Rakaman Perbualan Dengan Suspek Utama

KLANG: M.Usharani, isteri kepada ahli perniagaan India, A.Muthuraja, mahu menyerahkan rakaman perbualan telefon bersama suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya kepada polis.

[Berita selanjutnya selepas ini]


Reman Lima Suspek Kes Bunuh Sosilawati Dan Tiga Yang Lain Disambung Seminggu Lagi

KUALA LUMPUR: Tempoh tahanan reman lima suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain disambung untuk seminggu lagi mulai Khamis.

Majistret Ahmad Shakin Ismail membenarkan lanjutan tahanan reman ke atas kelima-lima lelaki yang berumur antara 20-an hingga 30-an yang berakhir hari ini itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kes itu.

Perintah dikeluarkan Ahmad Shakin itu dibuat di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil di sini, iaitu tempat kesemua suspek terbabit ditahan.

Ini merupakan kali ketiga tempoh tahanan reman mereka dilanjutkan.

Sementara itu, tempoh tahanan reman tiga lagi termasuk dua peguam adik beradik yang dipercayai suspek utama pembunuhan akan berakhir pada Sabtu ini.

Kelmarin, Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan berkenaan kepada polis kerana berpendapat siasatan lanjut perlu dijalankan.

Beberapa arahan baru turut diberikan kepada polis termasuk meminta polis menyiasat lanjut kes-kes lain yang mempunyai kaitan dengan suspek pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain itu.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 Sept lepas polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor. - BERNAMA


Polis Klasifikasi Kes Ahli Perniagaan India Hilang Sebagai Kes Bunuh

KUALA LUMPUR: Polis kini mengklasifikasikan kes kehilangan ahli perniagaan warga India Allal Kathan Muthuraja, 34, sejak awal tahun ini, sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis kini menyiasat kehilangan mangsa yang tiba di Malaysia pada 18 Jan lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Saya sahkan siasatan kes itu telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan berdasarkan petunjuk dari siasatan yang dijalankan.

"Berdasarkan dari itu kita telah 'upgrade' kertas siasatan dari orang hilang kepada kes bunuh bagaimanapun kita harap tiada sebarang spekulasi memandangkan kes ini dalam siasatan," katanya ketika menghubungi Bernama di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengulas tentang perkembangan kes kehilangan ahli perniagaan hartanah, restoran dan barang kemas dari Chennai, India itu.

Kehilangan ahli perniagaan itu dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain setelah dia dilapor hilang selepas dijemput oleh kedua-dua peguam, yang juga merupakan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia pada 18 Jan lepas.

Isteri ahli perniagaan itu, S Usharani, 24, membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 Sept lepas. - BERNAMA



Peguam Negara Arah Polis Lengkapkan Siasatan Kes Bunuh Sosilawati Dan Tiga Yang Lain

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara pada Rabu telah mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain kerana berpendapat siasatan dalam pelbagai aspek perlu dijalankan, menurut Ketua Bahagian Pendakwaannya Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata polis telah diarahkan untuk melengkapkan siasatan tersebut sebelum menghantar semula ke pihaknya.

Beliau berkata pihaknya telah mengembalikan kertas siasatan itu semalam setelah menerimanya pada hari yang sama kerana banyak lagi perkara yang memerlukan siasatan lebih lanjut.

Katanya Peguam Negara telah memberi beberapa arahan tertentu untuk dijalankan pihak polis dan juga menyiasat kes-kes lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek-supek berkenaan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan telah menyerahkan kertas siasatan itu kepada Pejabat Peguam Negara dan memberi jaminan laporan lengkap kes pembunuhan berprofil tinggi itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

Laporan itu termasuklah laporan lengkap DNA yang kini giat dilakukan oleh sekumpulan pakar forensik Jabatan Kimia bagi membolehkan pendakwaan dilakukan secepat mungkin.

Selain Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38.

Polis kini turut menyiasat empat kes yang melibatkan tiga kes orang hilang dan seorang wanita yang mati dibunuh di hadapan rumahnya di Banting yang di percayai ada kaitan dengan dua peguam yang merupakan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Antara kes tersebut melibatkan seorang kontraktor, Shafik Abdullah, 37, dan seorang rakannya yang dilaporkan hilang oleh keluarganya lima bulan lepas selepas dipercayai menemui peguam tersebut di ibu negara bagi urusan perniagaan.

Kehilangan Shafik dan rakannya telah dirujuk di Ibu pejabat Daerah Brickfileds.

Selain itu, ia turut melibatkan kes kehilangan saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India yang tiba di Malaysia pada 18 Januari lepas.

Allal yang mempunyai perniagaan restoran, hartanah dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput kedua-dua suspek terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - BERNAMA



Lelaki Dipercayai Suspek Utama Dibawa Ke Saluran Air Untuk Cari Bukti

BANTING: Seorang lelaki, yang dipercayai suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sekali lagi dibawa ke sebuah saluran air di sini, dipercayai bagi mencari bahan bukti baru kes itu.

Pasukan forensik dilihat membawa suspek, yang berpakaian lokap berwarna ungu dengan tangan bergari, ke sebuah saluran air yang menghubungkan tali air Kampung Sungai Lang di sini kira-kira pukul 10.30 pagi ini.

Mereka kemudiannya meninggalkan lokasi itu dua setengah jam kemudian, dengan tidak menemui sebarang objek atau bahan bukti.

Kelmarin, suspek berusia 41 tahun itu turut dibawa polis ke lokasi sama dipercayai bagi mencari petunjuk baru kes pembunuhan itu.

Sosilawati, 47, pemandu peribadinya Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat. - BERNAMA


Polis Sahkan Ahli Perniagaan India Dibunuh
Ahli perniagaan warga India, Allal Kathan Muthuraja disahkan mati dibunuh.

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan ahli perniagaan warga India Allal Kathan Muthuraja yang dilapor hilang sejak awaltahun ini telah dibunuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis kini menyiasat kes kehilangan lelaki berusia 34 tahun yang tiba di Malaysia pada 18 Jan lepas itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Saya sahkan mangsa dibunuh hasil daripada petunjuk dan keterangan-keterangan yang telah dikumpul. Berdasarkan dari itu kita telah "upgrade" kertas siasatan daripada orang hilang kepada kes bunuh," katanya di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes kehilangan ahli perniagaan hartanah, restoran dan barang kemas dari Chennai, India itu.

Kehilangan ahli perniagaan itu dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain apabila dia dilapor hilang selepas dijemput oleh kedua-dua peguam, yang juga merupakan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lepas.

Isteri ahli perniagaan itu, S.Usharani, 24, membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 September lepas.

Pada Rabu, Usharani menemui polis di Banting berhubung kes kehilangan suaminyaitu. - BERNAMA

Tiada ulasan: