Sabtu, 11 September 2010

BERITA PARTI2 POLITIK MALAYSIA...BAGI ORANG ISLAM BERPOLITIK IKUTLAH TATACARA ISLAM AGAR TIDAK RUGI DIAKHIRAT

Aiddilfitri bersama naib-naib presiden
Zulkifli Sulong

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.

MARI KITA SEMBANG BERSAMA…

Datuk Tuan Ibrahim (TITM) YB Salahuddin Ayub (SA) dan Datuk Mahfuz Omar (MO)

Selamat membaca!

Soalan 1:

Utusan Hari Raya Aidilfitri Naib Presiden PAS

TITM: Saya mengambil kesempatan pada hari mulia ini untuk mengucapkan selamat menyambut hari lebaran, Minal Aidil Wal Faizin. Semoga tarbiyah Ramadhan yang kita lalui akan menghasilkan natijah ketaqwaan kepada Allah. Sifat taqwa inilah yang akan menjadi pendorong ke arah peningkatan mujahadah bagi menghadapi cabaran masa depan yang semakin hebat.

Pembinaan jiwa yang sentiasa bertaqarrub dengan Allah menjadikan kita lebih tabah menghadapi tekanan dan mehnah dalam perjuangan bagi memenangkan Islam dalam negara ini. Kemenangan yang dinanti oleh seluruh rakyat bagi melihat satu peta baru masa depan negara yang bebas dari rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan khazanah negara, bebanan hidup yang terpaksa dipikul oleh rakyat dalam negara yang mempunyai pelbagai hasil mahsul ini serta pembinaan bentuk kepimpinan bertaqwa.

Saya menyeru seluruh kepimpinan parti dan penyokong untuk mengambil kesempatan pada eidul mubarak ini untuk memperkukuhkan hubungan silatulrahim dan jalinan kerja jamaah yang lebih mantap. Jadikan setiap pertemuan sebagai wadah memperkukuhkan kekuatan jamaah, saling bermaafan antara satu sama lain, dan membuang jauh semua sikap negatif dalam diri demi mengukuhkan kekuatan jamaah.

Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bangkit bersama membentuk satu gelombang baru perubahan politik negara ke arah lebih baik dan cemerlang. Jadikan penggal ini sebagai penggal akhir bagi BN menguasai negara- InsyaAllah.

Saya juga mengambil kesempatan agar semua pengguna jalanraya agar berhati-hati di jalanraya, jangan ambil risiko dalam pemanduan; bertindak dengan yakin dan mulailah perjalanan anda dengan memohon peliharaan Allah agar anda selamat tiba di distinasi.

SA: Selamat Hari Raya – mari ini kita sama-sama mengubah Malaysia kepada negara yang lebih baik.

Marilah bersama-sama kita menjaga keselamatan keluarga kita semasa pulang berhari raya dan jangan sia-siakan nyawa kita – kita diperlukan untuk perjuangan dan perkara yang lebih besar.

MO: Jadikan Hari Raya ini untuk umat Islam memperkukuhkan perpaduan untuk memastikan umat Islam tidak mudah diperkotak-katik oleh mana-mana kepentingan politik dalam negara kita ini tapi setiap umat Islam harus berdiri di atas neraca dan timbangan yang berasaskan kepada agama Islam itu sendiri – dalam erti kata lain mengelak umat Islam daripada berdiri di atas timbangan dan neraca emosi ataupun neraca politik.

Umat Islam juga harus menjadikan Hari Raya ini untuk menjalinkan komunikasi dan hubungan di antara kaum dan agama yang berbilang di negara kita ini. Ini akan mendekatkan masyarakat bukan Islam kepada Islam kerana inilah yang dapat dilakukan oleh umat Islam untuk memperlihatkan watak dan sifat umat Islam yang baik hati dan akal budi yang sangat tinggi.

Kepada anak-anak perantauan yang akan pulang berhari raya di kampung halaman, saya ingin berpesan supaya mereka dapat berhati-hati di jalan raya dan mengingati bahawa jalanraya itu bukan hanya milik mereka seorang, tapi milik semua. Kalau pengguna jalan raya boleh meletakkan jalanraya itu adalah milik semua dan bukan milik perseorangan, maka sudah tentu aman damai di jalan raya dengan pemanduan yang berhemah.

Soalan 2:

Kenangan Hari Raya:

a. Ketika muda, apa yang sering dilakukan pada pagi Hari Raya dengan ibu bapa?

TITM: Kenangan hari raya ni, teringat masa kecil, zaman yang paling seronok menyambut raya... dulu nak dapat baju baru musim raya pun payah, musim raya baru dapat baju melayu baru, kasut plastik putih... kasut ni kasut raya lepas raya pakai bawak ke sekolah.

Kasut baru punya sayang sehinggakan tidur malam letak kat atas kepala tidur; bangun pagi pakai dulu, itupun kasut plastik warna putih. (sebenarnya kasut sekolah, bukan kasut raya-sekarang baru tahu)... Masa tu manalah tau.... yang penting dapat kasut baru.

Biasanya pagi raya dah siap pakai baju baru dan kasut baru... wajib kena bagi salam emak ayah dan abang-abang dulu. Lepas itu, saya wajib pergi rumah guru Qur'an untuk bersalam dan minta maaf (kalau dapat duit lagi baik, biasanya dapat 10 sen, beli oren lemenit 15 sen sebotol).

SA: Biasa pagi kita mencium tangan kedua ibubapa kita dan memohon maaf atas segala kesilapan yang telah dilakukan... dan sudah pasti yang paling penting sekali dengan penuh debaran menanti duit raya daripada keluarga... hahahhaha

MO: Saya masih ingat pada pagi raya, rumah saya di kampung menjadi tempat tumpuan untuk masyarakat kampung bersolat sunat hari raya kerana ayah saya seorang imam, beliau akan bersembahyang dua kali di hari raya, iaitu di masjid dan di rumah saya, tetapi lebih awal pada 730 pagi untuk memberikan kemudahan kepada warga kampung yang nak pergi masjid (jauh). Itu adalah satu kemeriahan dalam rumah kami – semua orang kampung datang ke rumah. Waktu itu saya masih di sekolah rendah.

b. Pengalaman main mercun ketika muda.

TITM: Kenangan main mercun... emak ayah sangat tak bagi membeli mercun, takat haram kerana membazir. Jadi kalau nak beli kena sorok-sorok, masa tu beli mercun halus tu je... 20 sen sepapan.

Satu pagi, member datang rumah, pakat makan ketupat, lepas makan masing-masing nak tunjuk hero... saya pun ambil peluang, kebetulan emak ayah tak ada rumah, keluar mercun padi tu... pegang dengan tangan, suruh member cucuh...

Konon hebatlah masa tu... apa nak kata apabila mercun tu menyala, lempar punya lempar nak lepas, maka ia terus meletup kat tangan... Rasa kebas jari-jari... rupa-rupanya tadi selepas makan pulut, tangan tak basuh, jadi mercun tu melekatla kat jari.... tapi tak ada lah kes kudung macam sekarang.

SA: Saya bukan main mercun, saya main meriam buluh... tetapi telinga begitu panas sekali mendengar leteran daripada mak saya... dan saya tak pernah terkena luka... hahhahaha... kami sangat professional, dan ciri-ciri keselamatan kita sangat canggih pada waktu itu... hahahhaha

MO: Hahahahha, saya pernah main mercun sampai luka tangan – tangan tak sempat nak lempar... dalam keadaan kita takut-takut mercun, jadi kita cucuh mercun... tak sempat kita lempar, ia terus meletup dan menyebabkan luka di tangan.. tapi tidaklah serius... merah berdarah sikit aje...

c. Masakan Hari Raya bonda/ayahanda yang paling sedap dalam ingatan.

TITM: Makanan bonda paling sedang... emak biasanya masak ketupat lemak manis cicah gula kabung. sedap masih terasa sampai sekarang.

SA: Makanan raya yang saya cukup ingat sampai hari ini ialah makan lepat – lepat ini macam ketupat juga tapi ia dibuat daripada pulut...

MO: Sudah tentu gulai ketupat... masakan mak saya yang masih dalam ingatan saya... yang keduanya, yang special ialah ayam dan itik golek – golek ini ia masak seekor-ekor, masukkan dalam ayam itu, ubi kentang, bawang besar, rempah ratus dan telur rebus dan jahit punggung ayam tu... lepas itu masak dengan santan... dan saya masih boleh masak seperti mana mak saya masak.

d. Lagu raya yang paling dinikmati ketika muda.

TITM: Lagu raya yang mengamit ingatan masa lalu.... Musafir di Aidilfitri.

SA: Ohh.. sudah tentu Ahmad Jais – “Selamat Hari Raya” dan yang lebih klasik ialah Musafir di Aidilfitri oleh S. Jibeng.

MO: Saya tak berapa ingat nama... sudah tentunya satu lagunya nyanyian P Ramlee... Dendang Perantau... satu lagi lagu riang di luar, Dam Dam Doom bunyi mercun... dan yang ketiga ialah lagu Ahmad Jais... “Selamat Hari Raya”,,

e. Perasaan pada hari terakhir Ramadhan.

TITM: Perasaan hari akhir Ramadhan memanglah paling seronok, mula berbuka puasa hari akhir, bergema takbir.... masa tu macam dapat permit jumpa kawan-kawan, masing-masing bincang nak raya mana... dan yang tentu masuk jadual apabila nak pergi kedai beli oren lemenit. Jalan kaki dekat dua batu ..... dapat minum oren... mandi sungai kot lengit badan.

SA: Memanglah kita suka bercampur duka... suka kerana kita akan menyambut hari raya... kita duka kerana belum tentu lagi dapat berpuasa lagi...

MO: Saya terasa macam kehilangan sesuatu – maknanya saya akan rasa hilang sesuatu selepas itu... seolah-olah tiada kegembiraan... macam kehilangan seseorang yang kita sayang.

f. Masakan Hari Raya Naib Presiden sekalian yang paling dipuji untuk isteri/anak-anak masing-masing.

TITM: Saya jarang masak, biasanya dapat lemang cicah rendang, dan tapai antara kegemaran di hari raya.

SA: Hahhahahhaha... saya tak pernah masak lah...

MO: Nasi daging... nasi merah masukkan daging itu...

g. Bulan mana guna lebih banyak duit - Ramadhan atau Syawal?

TITM: Nampaknya syawal lagi banyak, kena beli baju baru anak-anak, sekurangnya satu dua pasang seorang... masing-masing nak yang lawa. Tak apalah kita dulu tak dapat macam anak-anak sekarang. Keadaan dah berubah... tapi tahun ni emak bapak pakai yang lama lah....

SA: Syawal... sebagai seorang suami dan seorang bapak, saya rasa sama saja kita belanja untuk keluarga – di masa kanak-kanak atau remaja biasanya lebih banyak guna pada Syawal.

MO: Syawal... tapi dah mula dari Ramadhan lagi... tapi bukan untuk bulan Ramadhan, tapi untuk persediaan 1 Syawal, kita terpaksa menghabiskan wang lebih untuk keluarga dan konteks saya sebagai wakil rakyat, saya terpaksa guna duit yang lebih.

h. Biasanya berpuasa sunat pada Syawal ke berapa?

TITM: Puasa sunat syawal biasanya lambat sikit, kadang-kadang pertengahan syawal. Maklumlah kalau ada kawan ziarah rumah, tak sedap sangat tuan rumah tak makan minum sama... tapi tahun ini bercadang nak puasa awal sikit...

SA: Saya mula agak lewat, tapi Alhamdulilah selalunya saya cukup sebab waktu raya, sebagai wakil rakyat, saya kena entertain rakyat di kawasan saya.

MO: Biasanya saya akan mula pertengahan syawal kerana banyak majlis rumah terbuka.

i. Budaya angpau di Hari Raya di zaman muda dan sekarang...

TITM: Budaya ang-pau ni dah lama ada, dulu nak dapat sepuluh ringgit pun sakit... Biasanya pak saudara saya buat pertandingan dekat dengan hari raya... siapa yang dapat hafal ayat Quran atau selawat tertentu... dia bagi hadiah duit seringgit. Masa tu masing-masing pakat hafal-lah... sebab seringgit tu sangat besar. Kini kalau bagi seringgit budak-budak kecik kata seringgit je...kedekut punya pak cik... hahahhaha...

SA: Bezanya hanyalah dari segi perasaan... masa muda kita memang menanti angpau itu... tapi apabila dah tua, kita memberi pula angpau itu kepada anak-anak dan juga saudara-mara kita - yang lebih bermakna lagi adalah kalau kita ada lebihan rezeki, kita berikan kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan sebagainya.

Dari segi nilai angpau, dulu kita dapat seringgit saja sudah besar, tapi sekarang bagi anak-anak yang dewasa, saya bagilah RM 100... sungguh jauh bezanya...

MO: Ini sangat berbeza... kalau dulu di zaman saya, kita tak letak dalam sarung duit sebab dia bagi duit syiling... 20 sen, paling tinggi 50 sen... tapi sekarang jika orang mahu datang Hari Raya – terutamanya budak-budak, dia tak main duit syiling dah... dia sudah mahu duit kertas... hahahhaha... paling tinggi RM1.

Malah budaya angpau pada masa kini masih kekal walaupun di kalangan kanak-kanak kali ini... mereka akan berjalan secara berkumpulan dari rumah ke rumah untuk mengutip angpau... macam satu operasi...

Masa saya kecil dulu, saya tak berjalan rumah ke rumah kecuali ayah saya akan bawa ke rumah-rumah keluarga untuk dapatkan duit raya



Tajudin dicabar tuntut suruhanjaya siasatan
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 11 Sept: Bekas pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Tajuddin Ramli sepatutnya menuntut supaya diwujudkan Suruhanja Siasatan Diraja ke atas punca pertikaiannya dengan syarikat penerbangan itu jika beliau benar-benar serius mahu membersihkan namanya, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar).

"Saya cadangkan supaya Tajuddin tarik balik saman malunya itu. Kalau beliau benar-benar serius mahu membersihkan namanya, beliau hendak meminta supaya diadakan Suruhanja Siasatan Diraja ke atas semua laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat oleh pengurusan MAS yang ada kaitan dengannya," kata beliau sambil membangkitkan Tun Dr Mahathir Mohamad berani mencadangkan supaya ditubuhkan Suruhanja Siasatan berikutan pelbagai pendedahan terhadapnya yang terkandung di dalam buku "The Malaysian Maverick".

Salahuddin berkata, kalau Dr Mahathir yang sudah berumur lebih 80 tahun berani meminta suruhanjaya tersebut, mengapa pula Tajuddin yang lebih muda tidak berani?

"Apa kekuatan, kelebihan dan kekebalan yang ada pada Dr Mahathir sehingga beliau berani mencabar supaya ditubuhkan suruhanjaya menyiasat tuduhan ke atasnya dan jika Tajuddin tidak berani mendesak penubuhan suruhanjaya diraja, adakah beliau sudah tidak kebal lagi?

"Tidak mungkin Tajuddin hilang kekebalannya. Bukankah beliau terus bebas daripada pendakwaan akibat apa yang dilaporkan sebagai kerugian kira-kira RM8 bilion yang dialami oleh MAS?" kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin bagaimanapun yakin Tajuddin tidak akan meminta suruhanjaya siasatan seperti suruhanjaya memnyiasat video V K Lingam.

"Saya percaya Tajuddin bersungguh-sungguh mahu membersihkan dirinya dan beliau juga tidak mahu suruhanjaya seperti suruhanjaya dalam kes Lingam yang menghakis kepercayaan rakyat di mana tidak ada sebarang tindakan susulan walaupun banyak kesalahan didedahkan tetapi tidak ada siapa pun yang didakwa," katanya.

Tajuddin mengemukana saman malu terhadap MAS sebagai tindakan balas terhadap saman yang dikemukakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu ke atasnya.

Beliau juga mendakwa laporan MAS kepada SPRM ke atasnya adalah bersifat fitnah


ANWAR IBRAHIM: Kembali kepada fitrah
Anwar Ibrahim

Alhamdulilah syukur kepada Allah SWT, Yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, kerana dengan limpah KurniaNya, berjaya kita menyempurnakan ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Menjelang Syawal, saya mengambil kesempatan ini, mewakili keluarga dan Parti Keadilan Rakyat mengucapkan Salam Eidulfitri kepada seluruh umat Islam. Saya berharap kita menyambut hari yang penuh bahagia ini dengan mengingati saudara kita yang berada dalam penderitaan walau di mana pun mereka berada. Tatkala kita semua menyambut hari lebaran dengan rasa syukur dan meriah bersama keluarga, ada di kalangan kita yang meratapi pemergian mereka yang dikasihi. Moga Allah Yang Maha Besar memberi kesabaran buat kita semua.

Eid ul Fitr, salah satu dari maknanya adalah hari di mana kita sedar dan kembali kepada fitrah, mengingatkan sesungguhnya kita dicipta sebagai makhluk yang penuh kasih sayang, bukannya kebencian. Ramadhan selama hampir sebulan itu sewajarnya memupuk nurani kita untuk menghindarkan rasa dengki, benci dan dendam. Sering diungkapkan bulan yang mulia itu madrasah ampuh buat melebur dinding hitam pekat yang merosak jiwa dan qalb, serta memangkin kemurnian agar kembali dengan rasa kasih yakni fitrah kita sebagai insan mahkluk kepada Pencipta Yang Agung.

Malangnya sepanjang Ramadhan, masih ada yang menabur kebencian, fitnah dan berharap untuk memecah belahkan sesama kita. Menuduh dan menuding menjadi amalan dan budaya. Tatkala masyarakat menginginkan jurang perbedaan dirapatkan, fitnah dan kebencian disemai rekayasa golongan pelampau yang alpa akan fitrahnya sebagai makhluk. Keangkuhan meresapi diri kerana merasa tidak terkalahkan dan ramai.

Makanya saya memohon izin berkongsi ibrah dari sirah Rasulullah SAW ketika Perang Hunain yang meletus pada bulan Syawal. Selepas kejayaan Pembukaan Kota Mekah, umat Islam ternyata begitu bersemangat, oleh itu ketika menuju medan perang, ada yang mula mengungkapkan “di hari ini kami tidak akan terkalahkan”.

Keangkuhan menjalar dan merasuk! Seperti yang kita semua ketahui, umat Islam kalah pada pusingan awal sehinggalah ampunan dan pertolongan dari Allah SWT tiba merubah kekalahan yang sebelumnya hampir pasti. Turunlah ayat 25, Surah at Taubah yang menegur dan mengingatkan umat Islam: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”

Allah SWT menempelak sikap yang tergelincir jauh dari fitrah, iaitu gagal bersikap merendah hati dan pemurah serta mengasihani. Mengakhiri pesan ringkas sempena sambutan hari yang penuh keberkatan ini, saya nukilkan pesan dari Quran yang mulia, ayat 128, Surah al Nahl, buat menjadi pedoman untuk saya dan semua: “sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan”.

Moga Eid ul Fitr tahun ini mendorong kita untuk merenung diri dan menjana perubahan agar tidak tergelincir dari fitrah yang murni serta luhur. Bersesuaian dengan pesananNya, perbanyakkan lah amal dan berbuat kebajikan.

Salam Eidulfitri,

Minal ‘aidil wal faiziin.

Maaf zahir dan batin.

ANWAR IBRAHIM,

Ketua Pembangkang

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat



Ramadhan dicemari fitnah, pembohongan
Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 9 Sept: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sedih kerana sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini masih ada anasir yang sanggup mencemarkan kesuciannya dengan fitnah, pembohongan, mencetuskan isu perkauman dan menyentuh sensitiviti bangsa.

Beliau berharap apa yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangani masalah perkauman dengan melaksanakan tugas tanpa pilih kasih jika melibatkan undang-undang.

Baginya, apa yang berlaku disebabkan hati mereka begitu kotor dan benci terhadap hasrat Kerajaan Pakatan Rakyat yang inginkan pembaharuan terhadap sistem pemerintahan yang dulunya dipenuhi kekotoran.

"Kata-kata perkauman yang menghina maruah dan harga diri warga Malaysia hendaklah dihentikan. Tuduh menuduh antara agama tidak akan dapat merapatkan rakyat yang cintakan kedamaian," tegasnya dalam perutusan Adilfitri yang diemelkan ke Harakahdaily.

Sepatutnya, kata beliau kejadian fitnah memfitnah tidak wajar berlaku walaupun berlainan politik sebab perbezaan boleh diperbincangkan bukan menzahirkan kebencian dan dihina.

“Malahan jika menjalinkan hubungan baik antara dua perbezaan fahaman politik demi negara pasti mendapat pujian dan sanjungan," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Agama mana sekalipun, ujarnya tidak menganjurkan permusuhan dan kebencian tetapi membawa kebaikan insan bukannya mencetus huru hara yang boleh membawa kepada kemusnahan.

“Maka, dengan keberkatan bulan Syawal pula kita sebagai manusia harus kembali kepada sifat kemanusiaan yang jujur dengan membuang sifat-sifat buruk bahkan perlu memupuk semangat kasih sayang antara jiran, sahabat handai malahan penyokong politik mana sekali pun,” katanya lagi.

Di negeri ini, katanya perubahan tetap berlaku, contohnya untuk memartabatkan orang Melayu dan rakyat lainya tetap diberikan keutamaan bagi menjadikan mereka lebih dinamik, daya kepakaran dan daya keusahawanan.

Justeru itu, ujarnya kerajaan negeri memperuntukkan jumlah yang besar terhadap Hal Ehwal Islam berbanding di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya RM12.5 juta tahun 2008.

"Semoga semangat Syawal akan membentuk hati kita menerima hakikat bahawa kita adalah warga yang bersaudara dalam sebuah negara yang dibina secara bersama. Ikhlas dari saya, maaf zahir dan batin," ujarnya


Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat dakwaan Musa
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 9 Sept: Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja hendaklah menggunakan apa sahaja peruntukan undang-undang bagi memastikan penubuhan suruhanjaya diraja menyiasat dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tentang campur tangan pihak luar dalam tugas polis, kata Datuk Mahfuz Omar.

"Antara lain, Musa mendakwa wujudnya campur tangan pihak ketiga dalam usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang dan beliau menyebut mereka khususnya dari Kementerian Dalam Negeri.

"Ini menunjukkan ada pihak lain khususnya Kementerian Dalam Negeri yang mencabul institusi yang berpayung di bawah Raja-Raja Melayu.

"Sebab itulah saya menggesa Majlis Raja-Raja supaya berani menggunakan walau sekecil mana pun alasan dan laluan perundangan yang boleh mereka gunakan untuk memastikan penubuhan suruhanjaya diraja menyiasat dakwaan Musa itu," kata beliau.

Jika raja-raja Melayu tidak ada kuasa langsung untuk mempertahankan kewibawaan dan integriti institusi diraja, Mahfuz mempersoalkan siapakah yang merampas kuasa mereka.

"Siapa rampas kuasa raja-raja? Umno? Barisan Nasional (BN)?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Beliau menjelaskan, oleh kerana kerajaan BN khususnya Kementerian Dalam Negeri yang dituduh campur tangan dalam tugas polis, beliau tidak nampak kerajaan BN bersedia menubuhkan suruhanjaya siasatan itu.

"Sebab itulah kita meminta Raja-Raja Melayu yang memastikan penubuhan suruhanjaya diraja menyiasat dakwaan Musa itu," katanya.

Beliau berkata, suruhanjaya siasatan itu amat penting untuk membolehkan Musa memberikan keterangan dengan bebas bagi menyatakan apakah bentuk campur tangan yang berlaku, siapa yang memberi arahan, arahan apa yang diberikan dan juga menyatakan secara spesifik kes yang beliau maksudkan.

Bagi Mahfuz, apa yang dibangkitkan oleh Musa itu amat serius kerana sejak Mac lalu Ketua Polis Negara yang akan bersara itu telah berkali-kali menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap campur tangan luar dalam urusan polis.

"Sebab itulah suruhanjaya yang telus dan bebas amat diperlukan supaya rakyat tahu kepentingan peribadi siapa dan kepentingan politik pihak mana yang menyebabkan campur tangan itu berlaku," katanya



Sokongan bukan Melayu paling kritikal pada BN
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 8 Sept: Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sokongan orang bukan Melayu kepada Umno Barisan Nasional (BN) sekarang berada pada tahap paling kritikal.

Ini, katanya menyebabkan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) mengeluarkan kenyataan kononnya PAS adalah parti ekstrem.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri menegaskan kenyataan itu dikeluarkan apabila dilihat sokongan rakyat bukan Melayu kini lebih memihak kepada Pakatan Rakyat (PR).

“Statement itu dibuat oleh pihak pemimpin yang tidak lagi berada di dalam kepimpinan Umno seperti Zam itu.

“Tujuan dia memang jelas di mana sekarang ini sokongan orang bukan Melayu kepada Umno BN sudah di peringkat yang paling kritikal. Itu sajalah puncanya,” katanya kepada media selepas mempengerusikan satu sidang media khas Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri di sini, pagi tadi.

Zainuddin mendakwa PAS meminta Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merampas harta-harta orang Cina semasa tragedi 13 Mei 1969, manakala ketika berlaku konfrantasi Malaysia-Indonesia pula, PAS menyebelahi Indonesia supaya ‘mengambil’ Malaysia.

Ekoran itu laporan polis dibuat Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad di Balai Polis Chow Kit, Lorong Haji Taib (2 September), Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Salman Salleh di Balai Polis Sungai Senam (2 September), Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Yakub Abu Seman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar (2 September) dan Naib Ketua Pemuda PAS Johor, Jamid Jamah di Balai Polis Batu Pahat (5 September).

“Sekarang ini sokongan rakyat bukan Melayu lebih memihak kepada Pakatan Rakyat yang mengandungi parti campuran Melayu iaitu PAS dan juga parti campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga DAP iaitu parti yang didominasi orang-orang Cina.

“Jadi statement-statement seumpama itu, pada pandangan saya ialah statement yang cuba untuk memecahkan perpaduan di kalangan Pakatan Rakyat, itu saja, dengan harapan apabila orang Melayu marah kepada PAS maka PAS akan berpecah dan mengharap PAS sendiri akan menimbulkan pertelingkahan terhadap PKR dan DAP. Saya fikir, itu sajalah sebabnya,” kata Takiyuddin



Pemimpin Umno digesa boikot aktiviti PERKASA
Susan Loone
Sep 10, 10
12:35pm

Parti Cinta Malaysia menyokong tindakan pemimpin Umno memisahkan diri mereka daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Naib presidennya, Huan Cheng Guan berkata orang dan individu yang berfikiran waras sepatutnya menjauhkan diri daripada pertubuhan pimpinan ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

"Barisan Nasional, khususnya kepimpinan Umno, perlu menunjukkan dengan jelas bahawa PERKASA dan Ibrahim tidak disokong oleh Umno jika mereka mahukan sokongan masyarakat Cina dan masyarakat lain," katanya kepada Malaysiakini.

"Kepimpinan Umno mesti mengarahkan wakil rakyatnya dan ketua bahagiannya supaya tidak menyertai aktiviti anjurah PERKASA dan menganggotai jawatankuasanya," kata Huan yang juga bekas naib presiden Gerakan.

"Harus ada arahan terus daripada pihak pengurusan tinggi Umno kepada ahli akar umbinya berkaitan dengan pembabitan mereka dalam PERKASA," tegasnya.

PERKASA, yang mendakwa mempunyai 50,000 ahli, ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008 selepas pilihanraya dalam usaha untuk melindungi hak-hak berperlembagaan orang Melayu. Ramai ahlinya adalah dari Umno.

Rabu lalu, mesyuarat BN di Putrajaya memutuskan untuk memisahkan dirinya dari PERKASA kerana aktiviti pertubuhan itu boleh menjejaskan usaha BN untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu.

Sejumlah pemimpin BN yang menghadiri mesyuarat tersebut, telah menyatakan keraguan terhadap PERKASA dan mendesak Umno menyatakan pendiriannya terhadap pertubuhan tersebut.

Setiausaha agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor kemudian berjanji kepada rakan-rakan BN bahawa parti itu tidak akan memberi sokongan kepada PERKASA ataupun Ibrahim


PERKASA: Bukan kerana kami sokongan BN terhakis
Sep 9, 10 12:21pm
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menafikan dakwaan bahawa kewujudan kumpulan pendesak Melayu itu punca Umno kehilangan sokongan ramai.

“Kenyataan Tengku Adnan (Mansor) bahawa sesetengah tindakan PERKASA tidak gembirakan Umno kerana PERKASA menghakis sokongan rakyat kepada Umno adalah sangat angkuh,” kata setiausaha agung PERKASA, Syed Hassan Ali dalam satu kenyataan.

Katanya, kehilangan sokongan Umno adalah tindakan parti itu sendiri yang tidak mahu berubah.

“Saya ingatkan Tengku Adnan bahawa sesetengah tindakan Umno dan BN sendiri sekarang semakin menjauhkan pengundi kepada mereka. Mereka sendiri yang membuatkan diri mereka hilang sokongan.

“PERKASA hanya menegur supaya mereka (Umno dan BN) sedar akan tindakan-tindakan mereka yang tidak betul. Tetapi kalau nak anggap ia (teguran PERKASA) sebagai semakin menjauhkan sokongan rakyat kepada Umno dan BN terpulanglah,” kata Syed Hasan.

Beliau mengulas wawancara Tengku Adnan di mana setiausaha agung Umno itu dilaporkan berkata BN akan meletakkan calon bagi menentang presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali di kerusi parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum akan datang.

Pada wawancara itu, Tengku Adnan berkata tidak ada sebab bagi Umno menyokong Ibrahim dan mendakwa tindakan pergerakan itu adalah punca sokongan bukan Melayu kepada BN terhakis.

Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim yang tidak mempunyai parti memenangi kerusi Pasir Mas atas tiket PAS tetapi beliau kemudiannya berpaling tadah dan menyerang parti Islam itu.

Ibrahim kemudiannya menubuhkan PERKASA yang didakwanya mempunyai lebih 50,000 ahli dan kebanyakan mereka adalah ahli Umno.

Mengenai ikrar Tengku Adnan untuk meletakkan calon Umno menentang Ibrahim, Syed Hassan berkata dia sangat hairan sebagai seorang yang begitu penting dalam Umno, Tengku Adnan 'begitu berani' mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

“Sebelum itu saya nak tanya kepada Tengku Adnan, bila masa PERKASA minta kerusi Parlimen Pasir Mas diberi laluan kepada Datuk Ibrahim Ali dengan tiada calon BN diletakan bersaing sama.? “ soalnya


Khairy ulas persepsi 'negatif' Rosmah
Jimadie Shah Othman
Sep 9, 10
10:27am

Dalam politik, mungkin semua orang keberatan mengulas tentang tanggapan 'negatif' terhadap isteri perdana menteri Rosmah Mansor, tetapi mungkin tidak buat Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Ketika diminta mengulas khabar angin seputar Rosmah yang menjadi buah mulut dan bidasan banyak pihak, terutamanya oleh pembangkang, Khairy menjawab:

“Macam inilah, kamu lihat, kalau kita tak boleh sampai pada sasaran (Najib), kita alihkan pada orang sekelilingnya, dengan isu yang lain.”

Dalam wawancara Malaysiakini di pejabatnya di Bukit Damansara baru-baru ini, Khairy menyeru orang ramai supaya memeriksa terlebih dahulu sumber sesuatu maklumat sebelum mempercayainya bulat-bulat.

“Saya rasa, tidak adil untuk orang ramai buat sesuatu kesimpulan berdasarkan khabar angin. Saya rasa perkara ini sangat penting dalam kehidupan rakyat di Malaysia, dalam masyarakat hari ini,” kata menantu kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu.

Dalam wawancara lebih sejak itu, Khairy bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai topik berkenaan, termasuk pandangannya bagi membantu Rosmah (kanan) menangkis 'serangan' tersebut.

“Saya beri jawapan umum sudahlah,” katanya.

Sejak Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Abdullah, Rosmah sering menjadi mangsa perlecehan oleh pelbagai pihak, terutamanya pembangkang dan penulis blog



Akar umbi S'gor saran Anwar, Azizah teraju PKR
Sep 9, 10 3:26pm
Sekumpulan pemimpin akar umbi PKR yang mengelar diri mereka sebagai Majlis Muafakat Kepimpinan Keadilan Negeri Selangor (MMKKNS) mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden PKR pada November ini.

Timbalan pengerusinya Abdul Kudus Omar berkata langkah itu bagi mengatasi kemelut dalam perebutan jawatan timbalan presiden yang semakin panas di antara Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim.

"Dengan ini calon-calon yang telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden hendaklah menarik diri," kata Abdul Kudus ketika membaca kenyataan media bagi pihak pengerusi, Syed Shahir Syed Mahamud.

"Kami juga berpendirian bahawa mencalon dan memilih mereka berdua bukanlah bermakna kita mahu menyuburkan amalan nepotisme dalam parti tetapi dilakukan atas pertimbangan menjaga keharmonian dan kemantapan parti," katanya pada sidang media, di Petaling Jaya hari ini.

Dasar nepotisme

"Saya ingin tegaskan kami bukan menggalakkan dasar nepotisme dalam parti. Dalam isu ini ia bukan di antara Anwar Ibrahim dan isterinya tetapi di antara dua orang tokoh yang telah diuji.

“Cuma secara kebetulan Azizah adalah isteri kepada seorang manusia hebat bernama Anwar. Azizah pula adalah satu manusia cemerlang, telah terbukti kemampuannya memimpin sebuah parti walaupun baru dan tidak besar tetapi ia telah mencapai kejayaan yang belum ada tolok bandingnya," jelas Abdul Kudus yang juga ketua cabang Tanjung Karang.

Bagaimanapun katanya, jika saranan itu tidak diterima, majlis itu menyarankan agar status quo untuk kedua-dua jawatan tertinggi PKR dikekalkan iaitu Azizah sebagai presiden dan Syed Husin Ali sebagai timbalannya.

"Dengan cara ini kami yakin kemelut pertandingan jawatan timbalan presiden akan dapat diselesaikan.

Beliau juga berkata dakwaan bahawa kononnya Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim telah memporak-perandakan parti itu sebagai tidak benar.

"Kami tidak menyelar beliau dan tidak nampak dia memporak-perandakan parti cuma kita mahukan satu cara yang lebih teratur dan lebih terpelihara dari sudut sopan dan santun.

Bagaimanapun beliau melihat amalan pertandingan merebut jawatan dalam sebuah parti adalah sesuatu yang sihat.

"Itu hak mereka. Kita parti yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya tetapi kami berkeyakinan mereka juga adalah tokoh-tokoh yang berpengalaman. Kami pasti mereka akan mengambil keputusan yang bakal memberi keuntungan dan faedah kepada semua pihak terutamanya parti. Kami tahu mereka mementingkan kepentingan parti, mendahulukan parti daripada diri sendiri.

Kata putus

"Ini menjadi petanda baik. 'Everybody explore their own channel' dan pasti nanti kita akan dapat satu cara yang paling baik. Kami mengharapkan inilah cara yang terbaik," ujar Abdul Kudus lagi.

Beliau juga ditanya samada cadangkan MMKKNS akan memberi kesan kepada keputusan Syed Husin terhadap jawatanya sebagai timbalan presiden.

"Kalau kita melihat dahulu Dr Syed Husin (kiri) ada memberi petanda mungkin beliau mahu berundur tetapi kebelakangan ini beliau hanya berdiam diri. Ini menunjukkan kematangannya kerana beliau mahu melihat keadaan sebelum membuat keputusan muktamad. Beliau mahu melihat di sekeliling dulu sebelum beri kata putus," kata beliau.

Abdul Kudus juga tidak melihat sebarang masalah dalam pertandingan merebut jawatan naib presiden.

"Bagi jawatan naib presiden kami rasa tidak menjadi isu besar kerana calon-calon yang menyandang dan juga yang baru adalah daripada kalangan yang berfikiran dingin, mudah diatur. Tidak ada masalah langsung dan kami yakin mereka berlapang dada apabila menawarkan diri menjadi calon," katanya.

Beliau berkata MMKKNS berpendapat usaha strategis perlu dilakukan bagi mmastikan proses pemilihan kepimpinan parti dapat dilaksanakan secara demokratik dan harmonis serta dapat memperkasa perpaduan dan kejituan parti

Tiada ulasan: