Perkara batal puasa
SEBAGAIMANA diketahui, apabila seseorang itu berpuasa pada Ramadan, hendaklah dia menjagai diri serta kelakuannya daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa.
Sebagai umat Islam, sejak kecil lagi kita sering diingatkan untuk tidak melakukan perkara yang menyebabkan terbatal puasa paling biasa seperti tidak memasukkan jari ke dalam rongga tubuh seperti hidung, telinga atau mulut.Namun ulama dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradawi pernah menyebut dan meluahkan rasa kurang setuju dengan tindakan ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa seseorang.
Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruangan lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar ada dalil tepat daripada al-Quran dan hadis yang dipersetujui ulama saja.
Masalah ini dilihat semakin bertambah apabila ijtihad dalam perkara ini semakin bercambah hingga menyukarkan orang awam menjalankan ibadat puasa dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa terlampau banyak.
Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa
Perkara yang membatalkan puasa sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disahkan benar saja, di mana larangan tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menahan lapar dan dahaga serta menahan diri daripada bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.
Ini yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, sebagaimana orang yang berpuasa juga perlu menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang akal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.
Namun perkara yang tidak dipersetujui ulama boleh dibincangkan, cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila di dalam Ramadan.
Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai.
1. Darah keluar dari tubuh. Sama ada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah daripada hidung dan tangan.
Tidak batal puasa seseorang itu kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukan ‘yang keluar’ daripada tubuh. (As-Siyam)
2. Pil elak haid untuk puasa penuh.
Hukumnya harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.
Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid dan tidak mengganggu kitaran fitrah yang ditentukan Allah SWT.
3. Penyembur gas untuk pesakit lelah.
Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala ubat lelah jenis hidu melalui hidung membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam)
Namun jelas ulama berhati-hati dalam memberi keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk daripada alat penyembur ini boleh memasuki ruang perut, ia satu keperluan buat pesakit lelah dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.
4. Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal.
Ada dua jenis iaitu sama ada untuk berubat atau untuk menguatkan tubuh seseorang. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, ubat tahan sakit dan apa juga tujuan asas perubatan, ia dipersetujui tidak membatalkan puasa.
Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan, ulama sekali lagi berbeza pandangan, namun pandangan majoriti ulama berpendapat ia tidak membatalkan puasa kerana tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa.
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa, terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri daripada ujian keletihan lapar dahaga puasa.
5. Berkumur dan air masuk ke rongga hidung ketika berwuduk.
Hukumnya tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur, ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan ketika puasa adalah lebih baik.
Riwayat Abu Daud menyebut: “Sempurnakan wuduk, basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa.
6. Mencium lelaki atau wanita ketika berpuasa.
Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama sebagaimana diriwayatkan Abu Daud: “Nabi SAW mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya.”
Mencium isteri atau suami tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadan.
7. Keluar air mani tanpa tanpa persetubuhan.
Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib diqada sebagaimana dipersetujui oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama, termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni)
Mazhab Hanbali dan Maliki pula mengatakannya batal.
Bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan ‘maqasid’ puasa dalam Islam. Selain itu, ia adalah sama dengan keluar mani kerana sentuhan.
Jika keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadan atau kerana sakit tertentu, sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
8. Mandi.
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi SAW mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.
Kecuali seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh remaja dan lainnya, ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.
9. Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya supaya tidak terpesong untuk membatalkannya sebagaimana Imam Ibn Quddamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadat itu berdasarkan niat seperti solat, juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni)
Rahmat Lailatul Qadar
LAILATUL Qadar atau Malam Al-Qadar diketahui umum sebagai malam yang sungguh istimewa buat seluruh umat Islam. Ia jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan.” (surah al-Qadr)
Pada malam Lailatul Qadar, Rasulullah SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam lain sepanjang Ramadan.Ini berdasarkan hadis Muslim Nabi SAW beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramadan, tidak sebagaimana malam lain.
Selain itu, hadis riwayat Bukhari dan Muslim menjelaskan Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam Al-Qadar darinya (malam-malam Ramadan).
Malah keistimewaan Lailatul Qadar turut disokong satu lagi hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Apabila masuk 10 terakhir bulan Ramadan, Rasulullah menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana sangat sibuk dengan ibadat yang khusus).”
Para ulama, antaranya Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut bahawa tarikh malam Lailatul Qadar sengaja disembunyikan oleh Allah SWT supaya umat manusia berusaha bersungguh-sungguh mencarinya
Bagaimanapun, ada disebutkan di dalam hadis sahih tanda kemunculan malam terhebat ini iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampau panas dan tidak pula sejuk serta matahari pula tidak memancarkan sinaran.
Tanda-tanda ini tidak begitu penting bagi individu yang benar-benar beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberi manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas jika tanda itu dikenal pasti pada keesokannya
Malah, tanda ini juga sangat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah tempat adalah berlainan.
Di negara Barat contohnya, cuaca di sana mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk atau musim bunga, manakala di Afrika pula mungkin mengalami keadaan panas.
Persoalannya, adakah malam Al-Qadar tidak muncul di tempat mereka sedangkan waktu siang di sana sentiasa dalam keadaan panas atau mendung?
Jawapan bagi persoalan ini adalah mudah kerana tanda ini hanya contoh yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan tidak lebih daripada itu.
Menurut pandangan paling kuat di kalangan para ulama, ia berlaku pada sepuluh malam terakhir, iaitu pada malam ganjil sebagaimana dinyatakan oleh hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Carilah ia (malam Al-Qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan.”
Bagaimanapun, dalam mencari malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu, kita mungkin sekali lagi dilanda kebingungan tatkala pada tahun tertentu, Arab Saudi memulakan bulan puasanya pada tarikh berbeza dari negara lain.
Mungkin antara kita akan tertanya sama ada kiraan malam ganjil ini menurut kiraan Ramadan di Arab Saudi atau di negara yang kita duduki.
Hal ini sebenarnya sukar dipastikan dan para ulama berpendapat serta menyarankan bagi mencari malam Al-Qadar, sebaik-baiknya ia dilakukan pada seluruh malam.
Tarikh kedatangan Lailatul Qadar juga sering membuatkan kita semua tertanya sama ada ia berada pada tarikh tetap atau berubah setiap tahun.
Menjawab persoalan ini, sebahagian ulama mengatakan kedatangan Lailatul Qadar adalah bersifat tetap iaitu pada malam 27 Ramadan, namun majoriti ulama, termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie, pula berpendapat bertukar-tukar dan tidak kekal pada satu tarikh.
Selain itu, berdasarkan dalil hadis Al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu sama ada pada malam ke-25, 27 atau 29 Ramadan berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Aku lihat mimpi kamu (sahabat) menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada tiga tarikh berkenaan, malam ke-27 Ramadan adalah paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam, terutama di negara Arab.
Tarikh ini dipegang oleh kebanyakan sahabat Rasulullah SAW serta ulama silam, hinggakan seorang sahabat yang dikenali sebagai Ubay Bin Ka’ab RA bersumpah ia adalah malam ke-27 (di zamannya secara khasnya kerana beliau melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya.
Ini sebagaimana diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud yang bermaksud: “Malam al-Qadar adalah malam ke-27.”
Dalam mencari malam seribu bulan ini, kita juga digalakkan memohon doa ke hadrat-Nya dengan memohon kebaikan ketika di akhirat kelak.
Doa terpenting ketika Lailatul Qadar hendaklah merangkumi kebaikan dunia dan akhirat sebagaimana doa yang dinyatakan dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada penyiksaan api neraka.”
Sasaran kita pada malam-malam terakhir Ramadan adalah bagi mendapatkan keampunan Allah SWT sebagaimana perihal perbualan Rasulullah SAW dengan Aisyah RA.
Ketika itu Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doakan)?”
Lantas Rasulullah SAW berkata: “Sebutlah doa seperti ini; Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun, dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan.”
Lantaran niat untuk mencari malam Lailatul Qadar ini,
segelintir ulama menyatakan individu yang mendapat keberkatan malam al-Qadar itu akan mengetahuinya berdasarkan tanda-tanda yang muncul.
Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW bahawasanya: “Barang siapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya.” (Riwayat Muslim)
Namun, pandangan lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikan menerusi kedatangan malam itu, sama ada secara sedar atau tidak.
Tidak terkecuali menerusi kelebihan diberi Allah SWT melalui pelbagai cara seperti mimpi, tanda yang menarik atau pelik serta pelbagai cara yang boleh disampaikan oleh-Nya.
Tidak perlu untuk solat malam di tepi pokok atau di depan baldi air kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku kerana Allah SWT akan memberi tandanya menurut kehendak-Nya, sebagaimana dimahukan-Nya.
Selain itu, perlu kita ingat waktu makbul dan keberkatan Lailatul Qadar bukan dalam tempoh tertentu, seperti sering kita dengar sewaktu kanak-kanak bahawa waktu makbul doa dan keberkatan malam itu hanya untuk beberapa saat.
Sebaliknya, waktu tibanya malam itu adalah sepanjang malam berkenaan sebagaimana dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Qadr, ayat kelima yang bermaksud: “Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.”
Malah, oleh kerana Allah SWT itu juga maha adil lagi maha mengetahui niat seseorang itu, wanita yang dalam keuzuran juga pasti tidak terhalang daripada berkat malam berkenaan.
Ini kerana wanita yang masih dalam tempoh uzur boleh melakukan pelbagai amal dan ibadat seperti berzikir, berdoa, mendengar bacaan al-Quran serta mengkaji terjemahan dan memahaminya.
Diharapkan kita sebagai umat islam sama-sama dapat memanfaatkan Ramadan dengan melakukan ibadat penuh keikhlasan dan kebaikan pada malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan