Ahad, 19 September 2010

SEMUA ORANG DE MASALAH...RUMIT ATAU TAK SAJA..SEBAGAI UJIAN...CARA NI DILARANG SANGAT2 OLEH SYARAK

Pernah nyatakan tidak setuju perkahwinan anak

BUKIT MERTAJAM –“Arwah (Sarina) pernah beberapa kali beritahu dia tak setuju dengan perkahwinan anak sulungnya (Azrul) yang dijadualkan berlangsung Januari ini, tetapi tidak dia beritahu pula sebabnya,” kata Naimah Said, 32, anak saudara Allahyarham Sarina Jaafar, 45, pengasas kosmetik Aveer yang ditemui mati tergantung di bilik utama rumahnya, di Taman Pauh Jaya, Sabtu lalu.

Ketika ditanya mengenai desas-desus mengatakan punca kematian Sarina disebabkan tidak bersetuju dengan perkahwinan itu, Naimah berkata, perkara itu tidak dapat dipastikan, namun sempat menasihatkan arwah tidak bertindak di luar batasan jika mempunyai masalah sekali pun.

Malah, arwah sempat berpesan untuk membantu melakukan persiapan perkahwinan walaupun dia tidak bersetuju mengenai perkahwinan itu.

Menurutnya, apa yang berlaku memang mengejutkan dirinya, selain anak dan keluarga arwah, tambahan, dia adalah orang terakhir yang bercakap dengan arwah sebelum talian diputuskan, pagi Sabtu lalu.

“Saya berasa tidak sedap hati selepas tidak dapat menghubungi semula arwah selepas talian telefon diputuskan, lalu segera menelefon anak ketiganya, Nor Hidayah Jakaria yang ketika itu berada di rumah bapanya di Bukit Mertajam.

“Semua anak tinggal bersama bekas suami arwah, kecuali yang bongsu tinggal di asrama. Dia hanya akan pulang ke Taman Pauh Jaya untuk bersama ibu pada musim cuti sekolah,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam.

Naimah berkata, walaupun Sarina tidak mempunyai hubungan dengannya selepas bercerai dengan beka bapa saudaranya, namun arwah tetap mengambil berat dan sering bertanya khabar mengenai dirinya dan keluarga, selain menyifatkan arwah sebagai seorang yang pemurah serta baik hati. :

Menurutnya, arwah juga ada bertandang ke rumahnya di Kedah pada Khamis lalu untuk berhari raya, tetapi tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap mahupun bercerita mengenai masalah yang dihadapi.

Pengasas Kosmetik Aveer Bunuh Diri Kerana Masalah Keluarga

BUKIT MERTAJAM: Kematian pengasas Kosmetik Aveer, Sarina Jaafar, yang ditemui mati tergantung dalam bilik tidur utama rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini semalam, tiada kaitan dengan kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh secara kejam bersama tiga individu lain baru-baru ini.

Anak saudara mangsa, Naimah Said, 32, berkata Sarina, 45, dipercayai membunuh diri akibat tekanan perasaan yang dialaminya sejak beberapa bulan lepas dan wanita itu juga pernah cuba membunuh diri dengan menggelar pergelangan tangan.

"Sepanjang pengetahuan saya, beliau tidak ada masalah dalam pernigaaan. Jadi, kematiannya mungkin lebih berpunca daripada masalah keluarga kerana sebelum ini, Mak Anjang (panggilan mesra Naimah kepada Sarina) juga pernah beberapa kali menceritakan masalah keluarganya, dan kami percaya tiada unsur-unsur lain dalam hal ini (kematiannya)," katanya ketika ditemui di kediaman Sarina, Ahad.

Beliau berkata Sarina pernah menyuarakan hasratnya untuk mengunjungi rumah Sosilawati di Kuala Lumpur bersama rakan-rakan seperniagaan lain sebaik mengetahui berita kematian jutawan kosmetik itu melalui media.

"Arwah memberitahu hendak ke sana untuk menyertai kenduri tahlil dan membacakan Yaasin untuk rakan baiknya itu (Sosilawati), dan hanya menunggu panggilan daripada rakan-rakannya.

"Tetapi mereka (rakan-rakan Sarina) tidak menghubunginya, dan arwah tidak sempat menunaikan hasratnya itu," kata beliau yang akrab dengan mangsa.

Naimah berkata Sarina sempat menghubunginya sebelum ditemui mati dan berpesan supaya beliau menjaga anak mangsa serta membantu urusan perkahwinan Mohd Azrul Affendi Jakaria, 24, yang dijadualkan berlangsung Januari depan.

"Mak Anjang pesan suruh jaga anak serta minta uruskan perkahwinan anaknya nanti, sebelum panggilan antara saya dan dia terputus," katanya.

Sementara itu, anak kedua Sarina, Siti Badryah Jakaria, 23, berkata keluarga beliau masih terkejut dan sedih dengan kejadian yang menimpa ibunya itu.

Jurucakap polis ketika dihubungi berkata, laporan bedah siasat menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kes itu, dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sarina yang mengusahakan perniagaan kosmetik sejak lebih lima tahun lepas, ditemui mati tergantung oleh anaknya yang berusia 16 tahun dan ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumahnya.-BERNAMA



Apa kaitan Sarina?


RUMAH arwah Sarina Jaafar di Taman Pauh Indah, Seberang Jaya, Pulau Pinang. –utusan/ Sazali Che Din


BUKIT MERTAJAM 19 Sept. – Ahli keluarga pengasas kosmetik Aveer, Sarina Jaafar yang ditemui mati tergantung di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini semalam, percaya kematian usahawan wanita itu berpunca daripada masalah keluarga.

Anak saudaranya, Naimah Sahid, 32, memberitahu, ibu saudaranya itu yang lebih mesra dengan panggilan Mak Anjang sering mengadu mengalami tekanan perasaan, malah pernah cuba membunuh diri sebelum ini dengan mengelar pergelangan tangannya.

Sehubungan itu, katanya, desas-desus mengatakan kematian Sarina mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya baru-baru ini, adalah tidak berasas.

‘‘Mereka (Sarina dan Sosilawati) memang mengenali antara satu sama lain kerana Sarina pernah mengedarkan produk keluaran syarikat milik Sosilawati beberapa tahun lalu, tetapi sekarang dia hanya menguruskan produk perniagaannya sendiri.

‘‘Arwah sering meluahkan rasa sedih dengan masalah keluarga yang dihadapinya. Dia tidak mengalami masalah dengan perniagaannya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Sarina di sini hari ini.

Sarina, 45, yang juga pemilik syarikat SBJ Aveer (M) Sdn. Bhd. ditemui tergantung di bilik utama rumahnya kira-kira pukul 8.30 pagi oleh anak bongsunya yang berusia 16 tahun.

Polis setakat ini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.

Naimah memberitahu, Sarina juga ada mengadu mengenai masalah keluarga yang dihadapinya ketika berhari raya di rumahnya di Padang Serai, Kedah baru-baru ini dan sempat menasihatkannya supaya bersabar.

Bagaimanapun, menurutnya, pada pukul 8.03 pagi hari kejadian, Sarina menelefonnya buat kali terakhir dan memberitahu bahawa dia sudah tidak mampu menanggung tekanan yang dialaminya dan nekad untuk menggantung diri.

Malah, katanya, sepanjang perbualan telefon selama beberapa minit itu, arwah yang teresak-esak sempat berpesan supaya menjaga keempat-empat anaknya dan menguruskan majlis perkahwinan anak sulungnya, Mohd. Azrul Affendi Jakaria, 24, Januari depan.

‘‘Masa itu saya menasihatkannya agar tidak melakukannya (menggantung diri) serta minta dia mengucap dan ingat pada Allah, tetapi dia terus memutuskan talian telefon dan apabila saya cuba menghubunginya semula, panggilan telefon tidak dijawab,” tambahnya.

Dalam pada itu, Naimah berkata, Sarina pernah menyuarakan hasratnya untuk pergi ke kediaman Sosilawati di Gombak bersama rakan-rakannya yang bergiat dalam perniagaan yang sama sebaik sahaja mendapat berita kematian jutawan kosmetik itu menerusi media.

‘‘Arwah memberitahu hendak ke sana untuk menyertai majlis tahlil dan bacaan Yasin untuk rakannya itu dan hanya menunggu panggilan daripada rakan-rakan lain, tetapi arwah tidak sempat menunaikan hasratnya itu,” katanya.

Sementara itu, anak kedua Sarina, Siti Badaryah, 23, ketika ditemui berkata, keluarganya masih bersedih dan terkejut dengan kejadian yang menimpa ibunya.

“Ibu memang jarang bercerita mengenai masalahnya kepada anak- anak dan dia kerap mengadu masalahnya kepada sepupu kami (Naimah) kerana mereka memang akrab sejak dahulu lagi.

‘‘Apa yang diberitahu kepada saya, ibu bertindak demikian kerana masalah keluarga tetapi saya tidak pasti apa sebenarnya yang mendorongnya berbuat demikian,” katanya


NEGARA

Dua wasiat tauke kosmetik


AHLI keluarga Sarina berkumpul untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai kematiannya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM – Pengasas produk kecantikan jenama Aveer, Sarina Jaafar (gambar) yang ditemui mati tergantung di dalam bilik di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini kelmarin sempat meninggalkan dua wasiat kepada anak saudaranya sebelum menemui ajalnya.

Naimah Sahid, 32, memberitahu, dua wasiat itu ialah mengamanahkannya supaya menjaga keempat-empat anak Sarina dan menguruskan majlis perkahwinan anak sulungnya, Mohd. Azrul Affendi Zakaria, 24, yang dijadualkan berlangsung Januari tahun depan.

Naimah mendakwa, perkara itu diucapkan sendiri oleh Sarina, 43, dalam perbualan telefon selama empat minit pada pukul 8.03 pagi kelmarin.

Katanya, selain wasiat tersebut, Sarina juga ada mengatakan yang dia tidak mampu lagi menanggung tekanan yang dihadapi ekoran masalah keluarga.

“Sebelum ini pun Mak Anjang (Sarina) kerap mengadu masalah itu kepada saya dan setiap kali mengadu dia akan mengatakan yang dia sudah berputus asa untuk menghadapi bebanan tersebut.

“Pada hari raya pertama, Mak Anjang ada datang rumah saya di Padang Serai, Kedah untuk mengadukan masalah itu kepada saya dan kelmarin dia datang lagi dengan tujuan yang sama,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.


Siapa Zul di hati Rita?


Zulkifli Bujang


KUALA LUMPUR 19 Sept. – Bukan sesuatu yang pelik jika kakitangan media mengerumuni rumah jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh dengan kejam bersama tiga individu lain, baru-baru ini.

Namun kehadiran seorang wakil media yang bukan sahaja dapat memasuki kediaman jutawan itu dengan mudah, malah sering dilihat mendampingi anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana atau Rita, mengundang tanda tanya.

Sebagai seorang selebriti, keakraban penyampai berita BernamaTV, Zulkifli Bujang dengan keluarga Sosilawati, tidak terlepas dari lensa kamera.

Sumber terdekat keluarga usahawan wanita itu kemudiannya menjelaskan Zulkifli merupakan kenalan rapat keluarga jutawan kosmetik itu sejak kecil lagi.

Menurutnya, keluarga Zulkifli dan Sosilawati mengenali antara satu sama lain kerana mereka sekampung di Batu Pahat, Johor.

“Mereka mesra kerana berkenalan sejak kecil lagi. Zulkifli juga pernah menjadi pakar runding kepada ibu Rita sebelum ini. Dia hadir untuk membantu apa yang termampu dan menyokong Rita menghadapi keadaan sukar ini,” kata sumber itu yang ditemui di rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak hari ini.

Hari ini, Zulkifli dilihat menghabiskan masa beberapa jam di rumah tersebut bersama ibu dan beberapa ahli keluarganya yang lain.

Hasil pemerhatian sejak berita pembunuhan Sosilawati dilaporkan media, kelibat Zulkifli sering dilihat di rumah agam itu.

Malah, beliau juga pernah dilihat menemani Rita ke pejabat syarikat kosmetik jutawan itu di Jalan Raja Bot di ibu negara kelmarin.


KPN jamin siasat menyeluruh kematian Sarina


Abu Zahar Ujang (dua kanan) bersama Ismail Omar pada Rumah Terbuka Aidilfitri di bangunan Parlimen, semalam. –UTUSAN/RASHID MAHOF


KUALA LUMPUR 19 Sept. – Polis akan menyiasat sama ada kematian mengejut kenalan rapat Datuk Sosilawati Lawiya, Sarina Jaafar yang ditemui dalam keadaan tergantung di Pulau Pinang semalam mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam jutawan kosmetik itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, jaminan itu selari dengan tanggungjawab dan usaha pihaknya yang mahu memastikan siasatan ke atas kedua-dua kes itu dilakukan secara menyeluruh dan merangkumi semua sudut.

“Apa sahaja yang berkaitan kita akan siasat. Ia memang tugas kita untuk siasat. Kita akan tentukan (siasatan) bukan saja dilihat dari satu sudut, (sebaliknya) semua sudut kita akan lihat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Aidilfitri yang dihoskan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Serbaguna Parlimen di sini hari ini.

Ismail mengulas kes kematian mengejut Sarina, 45, pengasas produk kecantikan Aveer yang ditemui tergantung oleh anak bongsunya yang berusia 16 tahun di bilik tidur mangsa di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam pada pukul 8.30 pagi semalam.

Dalam pada itu, beliau enggan mengesahkan tentang khabar angin mengatakan pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah telah diperiksa polis semalam berhubung siasatan kes Sosilawati.

Jumaat lalu, Murugiah membuat laporan di Balai Polis Pekan Baru, Ipoh, berikutan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur fitnah mengaitkannya dengan suspek utama dalam kes Sosilawati.

Sementara itu, di PULAU PINANG, Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kematian Sarina bagi memastikan sama ada kes itu mempunyai kaitan dengan pembunuhan Sosilawati yang didakwa rakan baik mangsa.

Katanya, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat sama ada Sarina mempunyai hubungan dengan kes lain atau mengenali Sosilawati.

“Memang kita sudah buka kertas siasatan dan menyiasat kes itu secara terperinci dan dalam masa sama kita alu-alukan mana-mana pihak yang ada sebarang maklumat termasuk media tampil membantu.

“Ini kerana sehingga kini hanya dapat maklumat daripada media sahaja yang mengatakan kedua-duanya merupakan teman rapat sedangkan tiada maklumat dari pihak lain kita terima,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Pulau Pinang hari ini

Tiada ulasan: