Rabu, 22 September 2010

Anggota Keluarga Muthuraja Akan Diminta Datang Untuk Pengesahan DNA

BANTING: S.Usharani, 24, isteri ahli perniagaan warga India A. Muthuraja yang dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini, melawat ladang ternakan milik suspek utama kes pembunuhan Datuk SosilawatiLawiya dan tiga lelaki lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini, Rabu.

Usharani, yang juga warganegara India, diiringi Anggota Parlimen Kapar S.Manikavasagam semasa lawatan itu.

Manikavasagam dan Usharani yang tiba di ladang itu pada pukul 11.35 pagi bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki kawasan ladang itu oleh pihak polis yangmasih berkawal di pintu utama.

Ketika ditemui pemberita, Manikavasagam berharap anggota keluarga Muthuraja terutama bapa atau adik beradiknya dapat datang ke Malaysia pada minggu depan untuk membantu pihak polis dalam proses pengesahan DNA Muthuraja.

Manikavasagam berkata semasa beliau menemani Usharani bertemu dengan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Supritendan Rizani Ismail, beliau dimaklumkan bahawa tulang-tulang kecil ditemui semasa siasatan yang melibatkan peguam yang merupakan supek utama kes pembunuhan Sosilawati. Laporan sebelum ini berkata tulang-tulang itu ditemui di Sungai Panchau oleh unit forensik polis semasa siasatan ke atas kes kematian Sosilawati dijalankan.

Manikavasagam turut membawa Usharani melawat Sungai Panchau dan Sungai Kanchong Laut yang masing-masing terletak satu dan dua kilometer dari Ladang Gadong, selepas melawat ladang milik peguam itu.

Beliau berkata tujuan beliau membawa Usharani ke ketiga-tiga tempat itu danmenemui polis ialah bagi mengetahui perkembangan siasatan kehilangan suaminyayang dilaporkan oleh Usharani kepada pihak polis dua minggu lepas.

Manikavasagam juga berkata beliau akan mengadakan sidang akhbar di pejabatnya di Kapar pukul 11 pagi esok untuk memberi beberapa maklumat atau bukti berkaitan dengan peguam itu.

Bila diminta memberi penjelasan lanjut, beliau berkata: "Keterangan yang ada padanya (Usharani) yang diperoleh semasa dihubungi peguam (suspek) semasa (suaminya) hilang, kami akan dedahkan dan berikan salinannya kepada polis."

Beliau berkata Usharani berhasrat untuk berada di sini selama seminggu tetapi tempat penginapan beliau dirahsiakan bagi tujuan keselamatan. - BERNAMA



Penyelam Polis Temui Objek Seperti Gelang Emas Di Kunci Air

BANTING: Unit penyelam Pasukan Gerakan Marin hari ini menemui satu objek seakan-akan gelang emas dalam operasi mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain di kawasan kunci air Kampung Sungai Lang di sini, Selasa.

Empat anggota penyelam memulakan operasi pada 3.20 petang di kawasan kunci air itu yang terletak berhampiran pasar awam pekan tersebut dan operasi ditamatkan pada 5.05 petang tadi.

Turut berada di kawasan operasi menyelam itu ialah suspek utama kes pembunuhan empat individu itu yang mencuri perhatian umum semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Suspek, yang merupakan seorang peguam berumur 41 tahun, turut disiasat berhubung kes seorang lelaki ahli perniagaan warga India yang dikatakan hilang di Banting sejak awal tahun ini.

Kawasan operasi menyelam itu menjadi tumpuan orang ramai petang tadi dan mereka sanggup menunggu walaupun hujan turun pada masa itu bagi melihat sendiri bagaimana pasukan polis menjalankan tugas mereka.

Sementara itu, pada 3.00 petang tadi kira-kira 15 petugas Jabatan Perkhidmatan Veterina Negeri Selangor tiba di ladang ternakan milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati di Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Mereka tiba dengan tiga kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori satu tan di ladang itu yang dipercayai lokasi di mana Sosilawati dan tiga yang lain dibunuh dan dibakar.

Kakitangan jabatan itu menghabiskan masa hampir satu jam 45 minit untuk menangkap empat ekor lembu dan lapan ekor kambing termasuk biri-biri yang berada di dalam ladang itu dan memuatkan haiwan tersebut ke dalam lori sebelum beredar daripada lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, mereka enggan mengulas lanjut mengenai operasi tersebut ketika diminta oleh pihak media.

Sosilawati, 47, pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Sehubungan itu, polis menahan lapan lelaki termasuk peguam terbabit bagi membantu siasatan kes itu. BERNAMA



Cek RM4 bilion: Kelantan senarai hitam l’DA World
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 22 Sept: Kerajaan Kelantan akan menyenaraihitamkan sebuah syarikat yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu berikutan pengumuman sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kerajaan negeri atau parti juga tidak pernah melantik Nik Din Nik Mat, yang juga adiknya mewakili beliau menerima replica cek berjumlah RM4 bilion pada majlis makan malam baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di sini sebentar tadi.

Menurutnya lagi, Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) tidak mempunyai sebarang projek di negeri ini dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

“Saya tak hantar langsung wakil saya untuk menerima cek, malah media yang mendakwa penerima itu adalah wakil saya, karut belaka,” ujarnya.

Kerana itu, katanya syarikat berkenaan akan disenaraihitamkan.

Beliau bagaimanapun mengakui pemilik syarikat terbabit ada bertemu dengannya di rumah dan pejabat, namun ianya tidak membincangkan pasal perlantikan wakilnya hadir pada majlis itu nanti.

Dua malam lalu, syarikat I’DA World telah mengumumkan sumbangan RM4 billion kepada PAS Kelantan pada majlis makan malamnya yang diadakan disebuah hotel.

Replika cek berkenaan disampaikan oleh pengerusi eksekutif syarikat terbabit, Abdul Rahim Abdul Wahab kepada Nik Din yang juga adinda Tuan Guru.

Bagaimanapun, semalam Nik Din menafikan beliau mewakili mana-mana pihak.

Katanya, kehadiran beliau hanya memenuhi jemputan peribadi dari syarikat tersebut.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa ketika ditemui memberitahu tindakan syarikat terbabit boleh menjejaskan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut khususnya berhubung motif perkara itu.

“Ianya akan menjejaskan parti dan kerajaan. Kita semua tak hadir pada majlis itu sebab memang tak pernah bincangpun,” ujarnya.


Rakyat Terengganu perlu tolak pemimpin ‘jahat’, ‘lemah’
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Rakyat Terengganu harus 'celik' dalam memilih pemimpin agar tidak berhadapan dengan pelbagai masalah akibat kelemahan pemimpin yang dipilih.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pemimpin yang wajar dipilih ialah pemimpin yang mengamalkan dasar Islam yang sebenar, bukan mengambil sebahagian sahaja untuk kepentingan politik mereka.

"Rakyat Terengganu kena pilih pemimpin yang mempunyai agenda Islam yang jelas dan mesti tengok individu yang memperjuangkan dasar agama, bukan memperjuangkan dasar kebangsaan atau pembangunan semata-mata atau sesuatu yang tidak lengkap dan tidak syumul.

"Perjuangan Islam ialah perjuangan yang syumul yang membabitkan pembangunan, akhlak, adat dan semua sekali," kata Nik Zawawi ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbalahan berpanjangan di antara penyokong-penyokong bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Penyokong-penyokong Idris mendakwa Ahmad sebagai 'bodoh' dan 'tidak pandai memerintah negeri' manakala penyokong-penyokong Ahmad pula menyifatkan Idris sebagai 'jahat dan 'tidak tahu adab'.

Nik Zawawi mengakui kepimpinan Idris semasa menerajui negeri dahulu hanyak memberi tumpuan kepada pembangunan materialistik serta meninggalkan ajaran Islam.

Ahmad pula ujarnya, memang lemah dari sudut pengurusan dan juga tidak mementingkan ajaran Islam.

"Bagi saya, dua-dua kepimpinan begini tidak berguna. Kepimpinan Idris dahulu memang banyak memberi perhatian kepada pembangunan semata-mata dan meninggalkan masalah adab sopan termasuk dengan Sultan dan meninggalkan banyak ajaran Islam yang menyebabkan banyak kecacatan berlaku.

"Ahmad Said pula memang dari sudut pentadbiran negeri memang lemah di samping dia meninggalkan ajaran Islam," katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Tambahnya, pemimpin yang tidak mengamalkan dasar Islam akan berdepan dengan pelbagai masalah termasuk masalah pembangunan, akhlak dan moral.

"Oleh kerana pemimpin Umno oleh kerana dasarnya lari daripada Islam, maka kita dapat lihat kecacatan di pelbagai aspek.

"Sebab itu kalau kita tengok di negara kita bukan sahaja di Terengganu, di negeri yang lain pun, soal keruntuhan moral amat ketara,” ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat Terengganu agar tidak membuat kesilapan dalam memilih pemimpin dan meletakkan agama sebagai kriteria utama.

"Kalau tidak meletakkan Islam di hadapan, kita akan berdepan dengan masalah yang sama sebagaimana kita pernah pilih pemimpin-pemimpin sebelum ini.

"Kita tidak ada pilihan yang lain kecuali kita kena tukar dasar itu sendiri yang mana pemimpin yang bakal kita pilih ialah pemimpin yang membawa dasar agama yang lengkap, barulah negara kita selamat," katanya



Cek RM4 bilion: PAS anggap propaganda jahat
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Sept: PAS Pusat menyifatkan tindakan penyebaran gambar kononnya sebuah syarikat perniagaan memberikan sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan sebagai satu propaganda jahat memusnahkan nama baik PAS.

Selain menafikan PAS menerima cek itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub juga menyeru ahli PAS berhati-hati dengan isu yang cuba mengaitkan PAS tersebut.

"Kami sifatkan berita ini serta penyebaran berita sebegini satu tindakan propaganda jahat untuk memusnahkan nama baik PAS.

"Sehubungan itu, saya menyeru semua ahli PAS agar berhati-hati dengan isu ini kerana jelas cuba mengaitkan PAS dengan aktiviti tidak sihat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar selam yang mendakwa Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) memberi sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan dalam satu majlis makan malam di Kota Bharu.

Replika cek tersebut diserahkan kepada adinda Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat.

Nik Din semalam bagaimanapun menjelaskan beliau ke majlis itu atas kapasiti peribadi dan menafikan beliau mewakili mana-mana pihak.

Dalam pada itu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengumumkan bahawa kerajan negeri akan menyenaraihitamkan syarikat tersebut yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu.

Beliau juga menafikan bahawa parti pernah melantik Nik Din mewakili beliau menerima replica cek tersebut.

Menurutnya lagi, Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) tidak mempunyai sebarang projek di negeri ini dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.


Umno ecer jenaka gimik cek RM4 bilion
Wartawan Kita

KOTA BHARU, 22 Sept: Berita PAS Kelantan diberi replika cek bernilai RM4 bilion ternyata berjaya mengejutkan banyak pihak, namun anehnya Perhubungan PAS negeri tidak tahu menahu mengenai sumbangan tersebut.

Gimik syarikat I’DA World Group di sebuah hotel lima bintang, baru-baru ini dengan menulis replika cek bernilai RM4 bilion disumbang kepada PAS kini sudah bertukar menjadi isu politik.

Namun, bagi Umno gimik yang tidak berjijak di alam nyata sudah dianggap isu besar sehingga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat.

Maka banyak pihak yang berpangkal dari gubuk Umno waima Pemuda, Puteri dan NGO yang lahir dari sayap Umno bertempik sorak menuduh PAS dan kerajaan Kelantan terpalit dengan rasuah.

Mereka ’persyaitan’ akal waras. Kemunasabahan atau lojik replika cek RM4 bilion tidak perlu diheret begitu jauh kerana dari awal lagi disifatkan tidak lebih sebagai satu jenaka.

Lebih-lebih lagi penjelasan kerajaan negeri syarikat terbabit belum pun menghantar sebarang proposal projek yang mahu dibangunkan.

Kata orang tua, ikan masih di laut. Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan Pusat Pelaburan Negeri difahamkan belum menerima apa-apa kertas cadangan projek dimaksudkan syarikat terbabit.

Anehnya tiba-tiba syarikat itu mendakwa mendapat projek bernilai sehingga RM330 bilion di Tumpat.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Mohd Zaki Ibrahim berkata, ia tidak lebih sebagai satu jenaka.

Malah katanya, PAS Kelantan tidak pernah dimaklumkan mengenainya biar pun cek itu dikatakan diserah pada satu majlis makan malam anjuran I’DA World Group.

”Badan Perhubungan PAS tidak dijemput hadir pada majlis makan malam anjuran syarikat berkenaan.

”Ini tidak lebih sebagai satu jenaka kerana kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan projek daripada I’DA World Group.

”Perhubungan PAS Kelantan menafikan ada hubungan dengan syarikat berkenaan. Malah kita pun tidak kenal siapa pemilik syarikat itu,” katanya di sini.

Manakala pihak yang tampil menerima replika cek berjumlah RM4 bilion daripada syarikat I’DA World Group Sdn Bhd juga menjelaskan kehadirannya di majlis itu tidak mewakili Menteri Besar atau PAS Kelantan seperti dilaporkan.

Nik Din Nik Mat adik kepada Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu kehadirannya di majlis berkenaan di atas kapasiti peribadinya sendiri setelah menerima jemputan.

“Saya tidak mewakili Menteri Besar di majlis berkenaan. Malah saya juga terkejut tiba-tiba dipanggil pihak urusetia penganjur untuk menerima replika cek terbabit,” katanya, semalam.

Beberapa akhbar Selasa lalu menyiarkan gambar Nik Din menerima replika cek berjumlah RM4 bilion yang ditulis atas nama Parti Islam Semalaysia (PAS) diserah Pengerusi Eksekutif I’DA World Group Sdn Bhd, Abdul Rahim Abdul Wahab.

Abdul Rahim dilaporkan berkata, sumbangan kepada PAS Kelantan untuk membantu melaksanakan prasarana di beberapa jajahan di negeri ini.

Bagaimanapun malangnya berita bersifat jenaka itu sudah menjadi modal besar bagi Umno bagi menghodohkan wajah PAS dan kerajaan Kelantan.

Mereka tidak perlu berfikir panjang, sekadar menggunakan ’otak di kaki lima’ lalu menembak peluru kapur yang akhirnya terpelanting di kaki mereka sendiri.

Ramai pemimpin Umno mahu menjadi jaguh dengan mengulas isu yang berkisar kepada epik dan jenaka termasuk Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid dan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian.

Samalah seperti dakwaan Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Reezal Merican Naina Merican tanpa usul perika mendakwa wang sumbangan kerajaan Pulau Pinang kepada warga emas hasil dari duit judi.

Maka tidak hairanlah golongan profesional dan ahli akademik ketawa dengan watak kampung yang masih lagi membelenggu pemikiran pemimpin Umno.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusof berkata, pejabat Menteri Besar sebelum ini ada menerima kad jemputan hadir ke majlis anjuran syarikat I’DA World Group.

Bagaimanapun katanya, kad jemputan tersebut hanya tertera logo syarikat dan tidak ada ada nama penghantar serta tiada nombor telefon rujukan untuk dihubungi.

”Kad tersebut tidak dapat disahkan kerana tidak ada nama pengirim dan nombor telefon. Ini menyebabkan Menteri Besar tidak dapat menghadiri jemputan tersebut,” katanya di sini.

Menurutnya syarikat berkenaan belum diluluskan sebarang projek pembangunan di Kelantan biar pun pengerusinya mendakwa mendapat projek bernilai RM313.71 bilion di Tumpat.

Manakala pada carian di laman web www.idaworld.com.my dipaparkan gambaran projek syarikat berkenaan di Tumpat yang dikenali sebagai projek pembangunan bersepadu dan penjanaan ekonomi di Kelantan.

Lakaran gambar projek seperti di Dubai, Emeriah Arab Bersatu yang lengkap dengan segala kemudahan terkini.

Projek itu dikenali sebagai super mega Seri Tujuh dikatakan akan dibangun di kawasan seluas 144,000 ekar membabitkan kos RM313.71 bilion.

Tertera juga alamat syarikat berkenaan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Mohd Zaki yang juga Adun Kelaboran berkata, Badan PAS Negeri belum bercadang melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa biar pun mengaitkan cek RM4 bilion dengan PAS Kelantan.

”Kita tidak kenal syarikat terbabit. Kita tengok dahulu perkembangannya sebelum mengambil tindakan lanjut bagi mengelakkan ada pihak mencemarkan nama PAS dan kerajaan negeri,” ujarnya.



Tak masuk akal pemilih baru tak layak mengundi
Dzulfikar Mashoor

PETALING JAYA, 22 Sept: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menganggap kenyataan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang, Morat Pora, semalam tidak masuk akal.

Anggapan itu berhubung ketetapan terbaru SPR, iaitu pengundi yang baru mendaftar tahun ini tidak layak mengundi sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) diadakan pada tahun depan.

"Kenyataan itu adalah tidak masuk akal memandangkan proses pendaftaran pemilih baru oleh SPR itu memerlukan empat fasa dalam setahun," ujarnya pagi tadi ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut bekas Ketua Strategik PKR itu; suku pertama adalah dari bulan Januari hingga Mac; suku kedua (April hingga Jun); suku ketiga (Julai hingga September); dan suku tahun keempat (Oktober hingga Disember).

"Ertinya, yang mendaftar pada bulan Januari hingga Mac tahun ini, nama mereka itu telah dipamerkan pada suku kedua tahun ini.

"Apabila dipamerkan, diteliti serta melalui proses bantahan dan sebagainya, maka sepatutnya pada suku ketiga patut nama mereka sudah ada dalam daftar pemilih induk, maknanya mereka boleh ambil bahagian sebagai pengundi baru," ujarnya.

Disebabkan itu, beliau menyuarakan rasa curiga dengan ketetapan terbaru yang dibuat Morat itu kononnya proses pengesahan satu-satu daftar pemilih memakan masa lebih empat hingga lima bulan.

Katanya lagi, masalah mengemaskini daftar pemilih adalah masalah pengurusan SPR disebabkan tidak mengikut jadual memproses daftar pemilih baru seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Maka, masalah SPR itu, menurut beliau tidak wajar sehingga menghalang hak pengundi baru, khususnya di kalangan pengundi muda untuk menentukan kepemimpinan negara terbaik pada tahun depan.

"Kenyataan terbaru ini sudah tentu tidak mampu memadam persepsi rakyat, pertama SPR dilihat sebagai sebuah badan yang berpihak pada Umno BN.

"Kedua, SPR nampaknya mengukuhkan apa yang kita percaya selama ini bahawa pengundi baru, khususnya pengundi muda nampak seakan tidak berpihak kepada parti-parti pemerintah pada pilihan raya nanti."

Lanjutan itu, beliau menggesa SPR supaya tidak mengulangi kesilapan sebagaimana yang pernah berlaku pada PRU10.

"Pada pilihan raya Umum (tahun) 1999 dulu, perkara ini pernah berlaku di mana lebih 700 ribu pengundi baru tidak dapat mengambil bahagian pada zaman reformasi ketika itu akibat kelembaban pengurusan SPR dalam menguruskan pendaftaran pemilih baru," beliau menambah.

Tegasnya lagi, jangan disebabkan mahu memuaskan kepentingan politik parti-parti pemerintah, SPR sanggup bersikap tidak adil dan demokratik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang mencadangkan kepada ahli parlimen pembangkang dan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat supaya segera mengatur pertemuan dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk mendapatkan maklum balas lanjut berhubung ketetapan terbaru itu.




Tiada ulasan: