Jumaat, 24 September 2010

JANGAN SIBUK HAL MELAYU HINGGA LUPA ISLAM...LUPA MATI..LUPA NERAKA DAN SYURGA...LAGI TERUK KALAU LUPA KITA MAKHLUK ALLAH..

Umno bukan Melayu hilang kuasa, kata Pakatan
Sep 24, 10 4:25pm
Menteri besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkauman berhubung wawancaranya itu yang mengingatkan bahawa orang Melayu bakal kehilangan kuasa dan suara jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Katanya, dakwaan Mahathir yang disiarkan di laman sesawang Umno-online, satu kenyataan bersifat perkauman.

"Umno pasti hilang kuasa dan suara jika Pakatan Rakyat memerintah negeri-negeri dan pusat. Tun Mahathir kata Melayu hilang kuasa dan suara. Ini kenyataan rasis dan hasutan," kata Nizar menerusi twitternya.

Beliau memberi jaminan, yang akan hilang kuasa jika Pakatan menduduki Putrajaya adalah Umno dan bukannya orang Melayu.

Wawancara itu dipetik media arus perdana dengan menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa politik Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat mendapat kuasa seperti yang berlaku di Perak sebelum dirampas oleh BN.

Mantan presiden Umno itu mendakwa, walaupun menteri besarnya Melayu dari PAS iaitu Muhamad Nizar tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP.

Nizar berkata, kenyataan sebegini adalah jelas dari otak perkauman Mahathir.

"PAS bertindak secara Islam untuk mendapatkan dari Umno yang perkauman untuk menyelematkan Malaysia," kata Nizar.

Sementara itu, ahli parlimen Lembah Pantai, Nuzul Izzah Anwar pula mencabar Mahathir untuk berdebat berikutan dakwaannya Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah.

"Oleh itu, dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan 'Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat', saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya 'kebimbangan' Melayu - yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat - yang disebut itu dapat dijelaskan, sama ada kerana takut Melayu hilang kuasa atau hilang harta?" kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan akhbar.

Bagi Nurul Izzah, kenyataan Mahathir itu tidak bertanggungjawab dan adalah sebahagian daripada usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.

“Selain penggunaan isu perkauman, Umno juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan' menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak,” katanya.

Menurut Nurul Izzah, masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa.

“Tujuannya untuk mengeliru dan membantutkan seluruh anggota masyarakat supaya kekal terpasung fikirannya dan emosinya baik oleh kerajaan penjajah dan kini melalui penggantinya, Umno,” katanya yang dipercayai merujuk kepada Pergerakan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali dengan Mahathir sebagai penasihat.

"Matlamat ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengekalkan dominasi politik oleh sekelompok kecil elit Melayu yang rapat dengan pusat kuasa, melalui rasuah, salah guna kuasa dan secara berterusan mengabaikan perlembagaan.

"Malang sekali kerana tindakan mereka ini dibantu oleh MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN lain yang terus membisu dan membuang tanggungjawab yang sepatutnya digalas.

"Kita perlu melawan usaha-usaha ini dengan menekankan politik berlandaskan harapan dan kebebasan yang akan mengubah minda Melayu daripada kebimbangan palsu tentang kehilangan identiti dan pembangunan ekonomi kepada daya positif yang akhirnya mencipta masyarakat yang penuh keyakinan dan tidak lagi terkongkong," kata Nurul Izzah


Unjuran pertumbuhan negara diragui
Sep 24, 10 3:45pm
Adakah ia sepatutnya pertumbuhan 6 peratus untuk 10 tahun akan datang atau adakah ia sepatutnya 9 peratus?

Minggu lalu, badan pemikir kerajaan - Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (PEMANDU) mendedahkan program pelaburan bernilai RM1.376 trilion untuk 10 tahun akan datang yang jumlahnya tiga kali ganda pendapatan per kapita negara yang mampu memacu Malaysia ke status negara maju menjelang 2020.

Lebih 60 peratus pelaburan akan datang dari sektor swasta, 32 peratus daripada syarikat berkaitan kerajaan dan 8 peratus lagi daripada kerajaan.

Dalam membuat pengumuman itu, Ketua Pegawai Eksekutif (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala berkata pertumbuhan negara mesti mencapai sekurang-kurangnya 6 peratus setahun bagi menjadikan sasaran itu satu kenyataan.

Namun, hari ini, seorang ahli parlimen pembangkang mempertikaikan sasaran pertumbuhan PEMANDU itu.

Menurut ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Malaysia memerlukan pertumbuhan yang 'tidak realistik' pada kadar 9 peratus untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Ia diumumkan kepada orang ramai bahawa Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan hanya memperuntukkan 74 peratus, atau RM 1.258 trilion, daripada anggaran RM 1.7 trilion Pendapatan Negara Kasar (GNI) negara ini pada 2020 berbanding RM660 bilion GNI bagi 2010, yang memerlukan pertumbuhan tahunan 6 peratus.”

Nurul berhujah Malaysia pada realitinya memerlukan unjuran pertumbuhan purata 9 peratus bagi mencapai sasaran RM1.7 trilion pada 2020.

Katanya, ucapan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak tahun lalu bahawa Malaysia mensasarkan pertumbuhan 9 peratus bagi dekad yang seterusnya.

Najib kemudiannya terpaksa membetulkan kenyataannya itu: “Saya tidak berkata sembilan peratus, saya kata sekitar enam peratus kerana sembilan adalah tidak realistik,” katanya kepada wartawan.

Sehubungan itu, Nurul mendakwa kerajaan membekalkan unjuran pertumbuhan yang mengelirukan rakyat.

“Saya gesa kerajaan perjelaskan isu ini dan umumkan sama ada Malaysia memerlukan pertumbuhan tahunan sebanyak 9 peratus untuk mencapai sasaran RM 1.7 trilion GNI pada 2020?

“Bagaimana ini boleh dicapai jika ekonomi dunia dan daya saing kita pada masa yang sama pula menjunam. Bahgaimana ini mencerminkan kelangsungan ETP yang baru diumumkan itu?”

Kata Nurul lagi, rakyat dan pelabur mesti yakin dengan data rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan dan sebarang manipulasi akan dilihat sebagai “curang, memesong dan tindakan yang tidak dapat diterima”.

“Rakyat berhak untuk tahu, khususnya menjelang pembentangan bajet di Parlimen pada Oktober ini agar rakyat tidak dipesongkan kerana ia akan membawa impak negatif bukan sahaja terhadap kenyakinan orang ramai tetapi juga masyarkat antarabangsa berhubung integriti data.”

Nizar kata Mahathir perkauman, Izzah cabar berdebat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muihamad Nizar Jamaludin mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkauman manakala Nuzul Izzah Anwar pula mencabarnya berdebat ekoran dakwaan beliau Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah.

"Oleh itu, dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan 'Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat', saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya 'kebimbangan' Melayu - yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat - yang disebut itu dapat dijelaskan, sama ada kerana Takut Melayu Hilang Kuasa atau Hilang Harta?" kata Nurul Izzah dalam satu kenyataannya.

Bagi bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin (gambar), kenyataan Mahathir itu satu kenyataan bersifat perkauman.

Beliau memberi jaminan, yang akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat menang adalah Umno bukannya Melayu.

"Umno pasti hilang kuasa dan suara jika PR memerintah negeri-negeri dan pusat. Tun Mahathir kata Melayu hilang kuasa dan suara. Ini kenyataan rasis dan hasutan," kata beliau dalam twitternya.

Media hari ini menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa politik Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat yang digelarnya parti pembangkang mendapat kuasa sebagai di Perak sebelum dirampas oleh Barisan Nasional.

Beliau mendakwa, walaupun menteri besarnya Melayu dari PAS iaitu Muhamad Nizar tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP.

Nizar berkata, kenyataan sebegini adalah jelas dari otak perkauman Mahathir.

"PAS bertindak secara Islam untuk mendapatkan dari Umno yang perkauman untuk menyelematkan Malaysia," kata Nizar.

Bagi Nurul Izzah pula, kenyataan Mahathir itu tidak bertanggungjawab dan merupakan sebahagian usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.

Selain penggunaan isu perkauman, Umno juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan' menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak, katanya.

Menurut Nurul Izzah (gambar), masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa dengan tujuan untuk mengeliru dan membantutkan seluruh anggota masyarakat supaya kekal terpasung fikirannya dan emosinya baik oleh kerajaan penjajah dan kini melalui penggantinya, Umno.

Beliau dipercayai merujuk kepada Pergerakan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali yang mana Mahathir adalah penasihatnya.

"Matlamat ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengekalkan dominasi politik oleh sekelompok kecil elit Melayu yang rapat dengan pusat kuasa, melalui rasuah, salah guna kuasa dan secara berterusan mengabaikan perlembagaan.

"Malang sekali kerana tindakan mereka ini dibantu oleh MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN lain yang terus membisu dan membuang tanggungjawab yang sepatutnya digalas.

"Kita perlu melawan usaha-usaha ini dengan menekankan 'Politik Berlandaskan Harapan dan Kebebasan' yang akan mengubah Minda Melayu daripada kebimbangan palsu tentang kehilangan identiti dan pembangunan ekonomi kepada daya positif yang akhirnya mencipta masyarakat yang penuh keyakinan dan tidak lagi terkongkong," kata beliau dalam kenyataannya



Tun Mahathir tepati teori "Melayu mudah lupa"
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menepati teori sendiri iaitu "Melayu mudah lupa" apabila menyatakan Melayu hilang kuasa di bawah Pakatan Rakyat.

Sambil menyelar tindakan Mahathir yang cuba meniupkan api perkauman itu, Setiausaha DPPP Khairul Faizi Ahmad Kamil turut mempersoal akan kebenaran kenyataan tersebut.

"Jika diteliti kembali akan kenyataan beliau seolah-olah kenyataan tersebut dikeluarkan oleh mereka yang ‘tidak cerdik’ dan bukannya datang daripada seorang yang dianggap tokoh negarawan.

"Fakta-fakta yang diberikan menunjukkan beliau sememangnya mengesahkan teori beliau sendiri iaitu Melayu Mudah Lupa," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Utusan hari ini menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa politik Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat yang digelarnya parti pembangkang mendapat kuasa.

Mahathir juga mengambil contoh negeri Perak ketika dibawah Pakatan Rakyat.

Beliau mendakwa, walaupun menteri besarnya iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin Melayu dari PAS, tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP.

Pemuda PAS bagaimanapun mengajak Mahathir melaihat secara waras negeri Kelantan yang diperintah PAS yang kini sudah lebih 20 tahun.

"Berapa inci tanah orang Melayu yang PAS telah khianati? Sedangkan kalau dilihat ekonomi Melayu di Kelantan lebih hebat jika dibandingkan dengan negeri yang diperintah oleh Umno BN.

"Terbaru, sebanyak 118 projek di Kelantan telah dibekukan sejak Rancangan Malaysia ke-6 diperkenalkan pada tahun 1991...

"Bukankah Kelantan yang majoritinya terdiri daripada masyarakat orang Melayu? Mengapa dihalang pembangunan negeri yang majoritinya orang Melayu jika Umno benar-benar memperjuangkan Melayu?" soal Khairul Faizi lagi.

Beliau juga memberi contoh sewaktu Terengganu diperintah PAS pada tahun 1999.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjadi Menteri Besar negeri itu jelasnya telah memberi tanah kepada orang Melayu namun dirampas kembali setelah Umno berjaya menawan semula Terengganu pada tahun 2004.

"Apakah ini tidak khianat namanya?" beliau melemparkan soalan seterusnya.

Di Perak pula ketika 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah, 3,000 ekar tanah diberikan kepada orang cina manakala orang melayu mendapat 7,000 ekar.

"Jika Umno menuduh PAS boneka DAP, mengapa tanah yang dipohon oleh Tuan Guru Hj.Abd.Latif (Pondok Pak Teh Kroh, Grik Perak) yang dipohon sejak 1996 telah diluluskan oleh Exco PR pada tahun 2008 (setelah 12 tahun) sebanyak 45 ekar.

"Jika Datuk Seri Nizar adalah merupakan boneka DAP, pastinya permohonan beliau ditolak," jelasnya lagi.

Beliau turut mengemukakan beberapa kes yang didakwa pengkhianatan Umno kepada Melayu berhubung isu tanah antaranya:

- 22,000 ekar tanah kerajaan digadai kepada gergasi KLK (KL Kepong) di Lekir, Manjung.

- 5,000 ekar di Bruas yang mana 1,500 ekar kepada MCA di Bandar Baru, Kampar (UTAR)

- 200 ekar Tanah Rizab Melayu (TRM) digadai kepada Perak Hanjoong (sekarang YTL) di Padang Rengas, Kuala Kangsar (dekat sebelah Lebuhraya PLUS)

- Pada tahun 1990 seramai 80 penduduk di Pantai Chenang, Langkawi yang tinggal di atas TRM dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort

- Sebanyak 930 hektar TRM di Kampung Mambau, N. Sembilan telah diambil untuk Projek Seremban 2 pada 1990.

- Juga pada tahun yang sama, 600 orang yang tinggal di situ, 26,000 hektar TRM di Tanjung Langsat – Tanjung Piai, Johor diambil oleh Kuok Brother Collabratioan UEM

"Hakikatnya Umno menjadi punca tanah rezab melayu banyak tergadai terutamanya dizaman Tun Mahathir sewaktu menjadi PM dahulu. Ini baru isu tanah. Belum lagi bab saham bumiputera yang tinggal 2 bilion daripada 52 bilion, isu rasuah dan salah laku pemimpin," katanya.

Sehubungan itu, pemuda PAS turut mencabar Mahathir untuk berdebat secara terbuka siapa sebenarnya pengkhianat Melayu



DHPP bantu PAS perjelas undang-undang Islam
Dzulfikar Mashoor

PETALING JAYA, 24 Sept: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bercadang mahu mahu membantu PAS menjelaskan tentang keadilan sistem perundangan Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Timbalan ketuanya, N. Balasubramaniam berkata, dengan berbuat demikian, masyarakat bukan Islam akan melihat keadilan sistem perundangan Islam sekaligus boleh menerimanya.

"Sistem Islam yang adil dalam perbankan sudah diterima kerana ada penjelasan.

"Kita (DHPP) yakin kalau dengan nasihat Tuan Guru Presiden (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang), penjelasan diberikan, mereka akan terima. " ujarnya kepada Harakahdaily.

Baginya, beberapa undang sivil yang dikanunkan seakan tidak menakutkan rakyat dari melakukan jenayah termasuk pembunuhan.

Katanya, pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang dibunuh lalu dibakar menunjukkan betapa beraninya mereka yang terbabit mengenepikan perundangan yang sedia ada.

"Pembunuh tidak takut dengan undang-undang yang manusia cipta sebab tiada pengajaran yang rakyat lihat bagi mereka yang membunuh."

"(Pelaksanaan) hukum dalam Islam dibuat secara terbuka sebab Allah mahu manusia lihat, ambil pengajaran dan insaf apabila melihat bagaimana seseorang pembunuh dihukum," ujarnya.

Pun begitu, beliau menegaskan, cadangannya untuk memberi penjelasan tentang keadilan undang-undang dalam Islam tidak bermaksud mengenepikanperlembagaan dan prinsip demokrasi.

"Kita nak jelaskan tentang keadilan undang-undang Islam tetapi bukan mengetepikan perlembagaan dan kebebasan memilih.

"Undang-undang Islam kepada orang-orang Islam, tetapi orang bukan Islam tidak boleh dihalang dari mendapatkan penjelasan tentang Islam seperti seseorang bukan Islam memilih bank Islam untuk menyimpan wang mereka," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta seluruh anggota DHPP untuk membantu PAS menjelaskan tentang keadilan Islam kepada masyarakat bukan Islam.

"Oleh kerana tahun ini tidak ada pemilihan, Tuan Guru Presiden minta kita fokus untuk bantu PAS menjelaskan tentang keadilan Islam kepada bukan Islam," ujarnya


Cek RM4b: Dalang, motif pemberian makin terdedah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Dalam keadaan kerajaan PAS Kelantan diasak dengan isu cek RM4 bilion, wajah dan motif sebebanr syarikat I'Da World Group Sdn Bhd dan hubungannya dengan Umno semakin jelas terdedah.

Keratan akhbar Utusan Borneo dengan tajuk "I'Da World Group menjayakan 1Malaysia" Khamis, 8 April 2010 cukup membuktikan siapa mereka dan dalang di belakang mereka.

Dalam satu majlis di Kota Kinabalu, keakraban syarikat itu dengan Umno terserlah apabila syarikat tersebut diberi projek dalam usaha membantu Sabah dengan dakwaan menjayakan 1Malaysia gagasan Datuk Seri Najib Razak.

Ekoran penyerahan replika cek RM4 bilion baru-baru ini yang didakwa untuk PAS negeri itu, media milik Umno dan pemimpin parti itu melakukan serangan bertubi-tubi terhadap kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tidak cukup dengan pelbagai tohmahan jahat terhadap kerajaan negeri, mereka turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat.

Di pihak kerajaan negeri dan masyarakat Kelantan pula, timbul persoalan apa sebenarnya motif di sebalik gimik penyerahan replika cek tersebut.

Lebih menimbulkan tanda tanya, ianya dilakukan tanpa kehadiran mana-mana pemimpin PAS negeri itu mahupun Exco kerajaan negeri sendiri.

Badan Perhubungan PAS Kelantan juga tidak dijemput sedangkan mereka mendakwa cek RM4 bilion tersebut untuk PAS Kelantan bagi membantu melaksanakan prasarana di beberapa jajahan di negeri ini.

Replika cek tersebut sebelum ini diserahkan kepada adinda Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat dalam satu majlis makan malam di sebuah hotel di sini.

Nik Din bagaimanapun tampil menjelaskan beliau ke majlis itu atas kapasiti peribadi dan menafikan beliau mewakili mana-mana pihak.

Dalam pada itu Tuan Guru Nik Aziz juga mengumumkan bahawa kerajan negeri akan menyenaraihitamkan syarikat tersebut yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu.

Menurutnya lagi, Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) tidak mempunyai sebarang projek di negeri ini dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

Dalam pada itu, beberapa blog turut mendedahkan siapakah sebenarnya Pengerusi Eksekutif I'Da World Group, Abdul Rahim Abdul Wahab.

Beberapa keping gambar didedahkan menunjukkan Abdul Wahab dalam majlis perlancanran Misi Perdana de Everest - Tibet 2011 yang berlangsung di Dewan Felda, Jalan Gurney yang dilancarkan Perdana Menteri, Najib Razak pada 25 April lalu.

Pendedahan-pendahan tersebut dijangka mampu merungkai dan menjawab segala persoalan berhubung niat sebenar dan dalang di sebalik pemberian replika cek tersebut


I'Da World Batal Cadangan Projek RM313b Di Kelantan

PETALING JAYA: Syarikat I'Da World Group Sdn Bhd - yang dikatakan mahu menderma sebanyak RM4 bilion kepada Kerajaan PAS Kelantan - membatalkan hasrat mereka melaksanakan cadangan projek pembangunan bernilai RM313 bilion di negeri itu.

Pengerusi Eksekutif I'Da World, Abdul Rahim Abdul Wahab berkata, tindakan dibuat ekoran keputusan kerajaan negeri itu menyenaraihitamkan syarikat itu.

"Jadi projek yang kita hendak buat di negeri Kelantan itu telah dibatalkanlah. Kita hendak tutup cerita ini. Saya pun dah malas dah. Kalau dia kata kita disenaraihitamkan, kita hendak tegakkan apa lagi.

"Kita tarik diri. Minta maaflah. Mereka kata tidak mahu, apa lagi kita boleh buat," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kelana Jaya, Khamis, lapor Malaysiakini.

Abdul Rahim mendakwa, syarikatnya juga belum mempunyai wang RM4 bilion yang hendak didermakan kepada PAS Kelantan.

Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata, beliau akan meneruskan usaha untuk menjayakan projek di negeri-negeri lain.

Kontroversi mula melanda syarikat berkenaan ekoran tindakannya yang mengejutkan semua pihak kerana bermurah hati untuk menderma sebanyak RM4 bilion kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Replika cek sumbangan itu diterima oleh adik Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat pada Ahad lalu.

PAS pula menafikan parti itu telah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion daripada syarikat berkenaan.

Sementara itu, Abdul Rahim menjelaskan, sumbangan berkenaan merupakan satu bentuk bayaran pendahuluan daripada jumlah keuntungan projek yang bakal dilaksanakan.

"Tiap-tiap negeri, bila buat projek usahasama, 20 peratus akan diperoleh kerajaan negeri, 80 peratus kepada (rakan niaga). Jadi bila bercakap tentang RM300 bilion, 20 peratus itu lebih kurang RM60 bilion.

"Jadi dalam RM4 bilion tadi, sebenarnnya (replika cek) itu tidak ada haribulan. Duit ini kita hendak beri bila kita dapat buat kerja, dasar daripada 20 peratus tadi," tambahnya.

Dakwanya lagi, beliau telah berusaha untuk menjalankan projek tersebut sejak tahun 1998 lagi melalui sebuah syarikat dikenali Asas Naim Holdings.

"Pada masa itu Tuanku (Ismail Petra) masih sihat lagi," tambahnya

I'Da World Berkhayal Mahu Laksana Projek Di Kelantan - Ahmad

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob mengakui pernah mengadakan pertemuan peribadi dengan wakil I'Da World Group Sdn. Bhd. (I'DA World) di kediamannya di Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Sambil mengesahkan pertemuan tersebut turut menyentuh mengenai perancangan syarikat berkenaan untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri itu membabitkan RM4 bilion, Ahmad bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau meragui keupayaan syarikat bumiputera itu.

"Sebagai orang politik, kami didatangi oleh sesiapa sahaja, malah memang pegawai syarikat yang mendakwa mewakili I'Da World datang jumpa saya di rumah.

"Dia ada ceritakan kepada saya mengenai projek-projek yang mereka rancang nak buat... tapi pada waktu itu dalam hati saya sudah terdetik bahawa mereka ini berkhayal dengan projek-projek itu," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Laporan media hari ini menyebut, Pengerusi Eksekutif I'Da World, Abd Rahim Abd Wahab terkilan dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa tidak tahu kewujudan syarikatnya atau bertemu dengannya.

Malah Abd Rahim mendakwa mempunyai bukti bahawa Nik Abdul Aziz tahu mengenai kehadiran I'Da World di Kelantan, malah pernah mengadakan mesyuarat bersama beliau dan Ahmad dalam pertemuan berasingan.

Mengulas mengenai pertemuan itu Ahmad berkata, beliau sudah menerangkan kepada wakil syarikat berkenaan mengenai prosedur yang perlu diambil bagi melaksanakan apa jua projek di negeri itu.

"Mereka nyatakan banyak perkara, nak buat projek di Tumpat dan Rantau Panjang.

"Tapi awal-awal lagi saya sudah nyatakan bahawa mereka kena buat permohonan kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan selepas itu ia perlu mendapat kelulusan Exco," katanya.

Ahad lalu, I'Da World mengejutkan pelbagai pihak apabila mengumumkan sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan untuk membantu kerajaan negeri membangunkan prasarana beberapa jajahan di negeri ini.

Replika cek RM4 bilion itu diserahkan kepada Nik Din Nik Mat, yang juga adik kepada Nik Abdul Aziz, yang dijemput menerimanya sebagai mewakili Kerajaan Kelantan ketika majlis makan malam anjuran syarikat berkenaan di sebuah hotel terkemuka di Kota Baru


Derma RM4 bilion: I'Da World Disiasat SSM

PETALING JAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah memulakan siasatan awal terhadap syarikat I'Da World Group Sdn Bhd yang mendakwa menyumbang RM4 bilion kepada Kerajaan Pas Kelantan untuk membangunkan negeri itu.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan SSM, Muhd. Redzuan Abdullah ketika dihubungi mStar Online pada Khamis berkata, pihaknya sedang menyiasat kewujudan syarikat tersebut melalui data suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, menurutnya siasatan masih belum menjurus kepada sebarang keraguaan yang membolehkan pihaknya meneruskan siasatan lanjut.

"Setakat ini kita hanya menyiasat daripada data-data yang terdapat di SSM. Kita baru menyiasat butiran mengenai syarikat itu. Setakat ini tiada sebarang keraguaan yang timbul mengenai syarikat itu.

"Jika mempunyai asas yang cukup kita pasti akan mengambil tindakan," katanya.

Dalam pada itu, Riduan berkata pihaknya akan terus memantau dari semasa ke semasa mengenai perkembangan syarikat itu dan setakat ini tiada pihak tampil membuat aduan mengenai syarikat tersebut.

Sementara itu, difahamkan dua pegawai daripada SSM mengunjungi pejabat I'Da World yang terletak di Kelana Jaya bagi memeriksa status syarikat berkenaan dan pegawai berkenaan dilihat turut mengambil gambar di pejabat tersebut hari ini.

Ahad lalu, I’Da World mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan sumbangan RM4 bilion kepada Pas Kelantan pada majlis makan malamnya yang diadakan di sebuah hotel.

Replika cek berkenaan disampaikan oleh pengerusi eksekutif syarikat terbabit, Abdul Rahim Abdul Wahab kepada Nik Din yang juga adik kepada Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat.

Nik Aziz bagaimanapun dalam kenyataannya memberitahu beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu serta tidak mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan dan beliau telah menyenaraihitamkan syarikat tersebut



Melayu terkebelakang jika Umno terus berkuasa

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Data ekonomi Melayu membuktikan bahawa bila-bila masa sahaja orang-orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara jika Umno dibiarkan terus berkuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Pada masa ini pun ramai orang Melayu terutama di luar bandar yang hilang kuasa dan suara kerana kemiskinan dan dijerat oleh hutang kepada tauke-tauke.

"Antara sebab perkara tersebut berlaku ialah apabila kekayaan negara tidak digunakan dengan saksama dan bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat keseluruhannya tetapi lebih banyak yang dibolot oleh kroni-kroni Umno," kata beliau.

Keadaan itu, katanya, diburukkan pula dengan kerakusan parti perasuah mencari habuan untuk kepentingan peribadi termasuk merasuah sesama sendiri bagi mencari sokongan untuk berkuasa.

"Para pemimpin parti perasuah pula telah lama hilang kuasa dan suara kepada tauke-tauke yang yang menambat mereka dengan rasuah.

"Bukan setakat hilang kuasa, akibat ditambat rasuah, mereka juga merelakan dasar affirmatif yang sepatutnya membantu orang-orang Melayu diperalatkan untuk menimbunkan lagi kekayaan tauke-tauke yang menjadi tuan-tuan mereka," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau bagaimanapun yakin lebih ramai orang Melayu akan menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan Umno jika pendedahan data ekonomi Melayu menunjukkan kedudukan orang Melayu masih terkebelakang.

"Pemimpin Umno sendiri yang mengakui bahawa data dan statistik terkini tentang pencapaian ekonomi orang Melayu akan menunjukkan kedudukan orang Melayu masih terkebelakang.

"Dengan pengakuan itu, nyatalah orang-orang Melayu telah 53 tahun menjadi mangsa penipuan Umno yang tidak henti-henti berlakon dan berlagak sebagai pembela Melayu," kata beliau.

Beliau menyifatkan data tersebut sebagai bukti yang terang dan nyata tentang ketiadaan iltizam untuk Umno membantu orang-orang Melayu.

Mahfuz mengingatkan orang-orang Melayu bahawa 53 tahun adalah tempoh yang luar biasa lama untuk terus membiarkan diri mereka ditipu.

"Dasar affirmatif untuk membantu orang Melayu yang dilaksanakan kira-kira 40 tahun lalu juga ternyata gagal jika data dan statistik terkini tentang pencapaian ekonomi orang Melayu menunjukkan kedudukan mereka masih terkebelakang.

"Persoalannya, adakah orang-orang Melayu mahu menunggu 40 atau 53 tahun lagi di bawah cengkaman Umno dan terus berangan-angan suatu hari nanti pencapaian ekonomi orang Melayu tidak lagi terkebelakang?" beliau mengingatkan.

Orang-orang Melayu, katanya, tidak lagi memerlukan kerajaan yang tidak berpijak di bumi nyata dengan pelbagai akronim dan pertunjukan angka bertrilion-trilion tanpa perubahan yang fundamental untuk menjamin kedaulatan undang-undang dan peraturan ke atas semua pihak, walaupun di kalangan parti pemerintah.


Tiada ulasan: