Sabtu, 18 September 2010

FIKIR2...RENUNG2...TIMBANG2....


NEGARA

Khidmat seks guna
iklan akhbar


ANTARA iklan penjagaan kesihatan di akhbar yang sebilangannya turut menawarkan perkhidmatan seks.


KUALA LUMPUR - Hanya dengan satu panggilan sahaja, anda boleh membuat tempahan untuk mendapatkan khidmat seks!

Itu antara taktik terbaru yang digunakan oleh segelintir pengusaha rumah urut di sekitar Lembah Klang terutama yang beroperasi secara haram.

Jika sebelum ini lelaki hidung belang yang ingin mendapatkan khidmat seks perlu mengunjungi rumah-rumah pelacuran, kini semakin banyak rumah urut yang turut menawarkan perkhidmatan tersebut.

Apa yang lebih mengejutkan, dengan berselindung di sebalik nama pusat urut, rawatan kecantikan atau penjagaan kesihatan, pengusaha terbabit kini berani mengiklankan premis mereka di dalam media cetak.

Dengan memaparkan jenis perkhidmatan yang disediakan serta nombor telefon untuk dihubungi tanpa meletakkan nama lokasi yang lengkap, pasti ramai yang menyangka iklan itu hanya menawarkan perkhidmatan urutan sahaja.

Wartawan Kosmo! yang cuba membuat siasatan dengan menghubungi tiga buah rumah urut di sekitar Lembah Klang yang mengiklankan perniagaan mereka di dalam akhbar mendapati kesemuanya menawarkan perkhidmatan seks.

Seorang pekerja rumah urut yang dikenali sebagai Farah ketika dihubungi berkata, premis tempatnya bekerja yang terletak di Jalan Ipoh kerap dikunjungi sejak diiklankan di dalam akhbar

Depot Imigresen KLIA terbeban


MAHMOOD (kanan) semasa meninjau kawasan sekitar Depot Tahanan Imigresen KLIA di Sepang semalam.


SEPANG - Fungsi Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semakin bertambah selain fungsi asalnya sebagai penempatan sementara kepada warga asing yang tiba melalui lapangan terbang itu tetapi tidak dibenarkan memasuki negara ini atas sebab-sebab tertentu.

Fungsi tambahan ketika ini termasuklah tempat tahanan pengusiran di mana tahanan menunggu penerbangan, tahanan yang ada kes kesalahan kerana melanggar Akta Imigresen dan tempat tahanan pekerja asing sementara dituntut oleh majikan.

Sebelum ini, depot itu juga berfungsi bagi menempatkan mangsa Transit Pemerdagangan Orang, namun telah dipindahkan ke Rumah Perlindungan Tanjung Kling, Melaka.

Fungsi tersebut dijelaskan oleh Komandan depot itu, Delber S kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam yang membuat lawatan ke depot berkenaan di sini semalam.

Menurut Delber, punca permasalahan di depot tersebut turut dikenal pasti, antaranya infrastruktur keselamatan yang tidak dinaik taraf apabila fungsi bertambah.

"Struktur pentadbiran operasi harian juga tidak kukuh, prosedur standard operasi (SOP) keselamatan tidak diamalkan lansung, set minda anggota tidak berubah dan budaya kerja yang tidak sihat," katanya yang memulakan tugas sebagai Komandan depot itu pada 4 Ogos lalu.

Pelantikan beliau dibuat tiga hari selepas depot itu bolos buat kali kedua apabila 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Afghanistan melarikan diri setelah tidak sampai dua bulan kejadian pertama berlaku.

Sebelum itu pada Jun lalu, semua 88 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di depot tahanan itu ditukarkan serta-merta berikutan kejadian 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar berjaya meloloskan diri.

Sehubungan itu, katanya, pelan tindakan memulihkan depot ini telah diambil dan difokuskan kepada tiga aspek iaitu meningkatkan keselamatan, meningkatkan sistem kerja harian dan mengamalkan budaya kerja pegawai keselamatan.

"Ia termasuklah memperkenalkan buku harian, melakukan perkiraan sebanyak empat kali dan dikira 'badan' oleh pegawai yang bertugas, melakukan pemeriksaan fizikal ke atas pelawat dan semua vendor dan juga kontraktor disediakan pengiring sewaktu masuk ke depot.

Delber berkata, kira-kira RM561,500 peruntukan projek pembangunan telah diluluskan kerajaan bagi menaik taraf pagar keselamatan, pembinaan pintu kedua sel, menaik taraf saluran air, membina penghalang besi longkang dan menebang pokok. Kerja-kerja itu dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini. - Bernama


NEGARA

Sekolah Harapan mula beroperasi


SEKOLAH HARAPAN masih belum ada penghuni.


JASIN - Walaupun masih belum mempunyai pelajar, sekolah untuk remaja hamil di luar nikah dikenali sebagai Sekolah Harapan di sini secara rasmi telah memulakan operasinya semalam.

Pengerusi Sekolah Harapan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, pada masa kini, sekolah berkenaan masih belum mempunyai pelajar namun pihaknya telah menerima beberapa panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada keluarga remaja mengandung dari beberapa buah negeri.

"Keluarga remaja mengandung ini mengatakan minat mereka menghantar anak mereka ke Sekolah Harapan dan bertanya sama ada sekolah ini sudah siap dibina.

"Mereka juga bertanya bagaimana cara memohon untuk masuk ke sekolah ini," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Harapan di sini semalam.

Ab. Rahaman berkata, keutamaan menjadi pelajar Sekolah Harapan diberi kepada penduduk dari negeri Melaka namun permohonan dari penduduk luar akan dipertimbangkan.

"Selain mereka yang beragama Islam, remaja mengandung daripada agama dan kaum lain juga boleh menjadi pelajar Sekolah Harapan," katanya.


Lapan warga asing jadi GRO ditahan

17/09/2010 12:59pm

SEREMBAN – Lapan wanita warga asing yang dipercayai menjadi gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam satu operasi di sebuah pusat hiburan di Taman Ko-Op, Jalan Sungai Ujong di sini, petang semalam.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, ASP Habibi Majinji berkata, mereka yang berusia antara 30 dan 45 tahun itu terdiri daripada tujuh warga China dan seorang warga Vietnam.

"Mereka ditahan kerana tidak memiliki permit kerja,” katanya di sini hari ini.

Katanya, turut ditahan dalam operasi bermula pukul 5.45 petang itu seorang lelaki berusia 68 tahun yang merupakan penjaga pusat hiburan berkenaan.

Operasi dua jam itu membabitkan seorang pegawai dan tujuh anggota D7 IPK negeri, katanya. – Bernama


NEGARA

Jambatan baru siap runtuh


BEGINILAH keadaan jambatan yang runtuh sehingga menjejaskan kehidupan penduduk di Kampung Kalai dan Kampung Kalai Seberang, Jeli semalam.


JELI - Sebuah jambatan berharga RM40,000 yang menghubungkan Kampung Kalai dan Kampung Kalai Seberang di sini hanya mampu digunakan selama tiga minggu apabila ia runtuh baru-baru ini.

Akibat kejadian pada 31 Ogos lalu, kira-kira 200 penduduk berdepan kesukaran untuk berulang-alik serta berkunjung ke rumah saudara-mara semasa Hari Raya Aidilfitri.

Jambatan sepanjang kira-kira 30 meter yang siap dibina pada 8 Ogos itu dipercayai runtuh selepas hujan lebat di kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Nawi Che Man, 64, berkata, penduduk di dua buah kampung itu amat mengharapkan jambatan berkenaan dibaiki dengan segera bagi memudahkan kehidupan mereka.

Menurutnya, sebelum jambatan itu siap, mereka terpaksa menggunakan laluan sejauh lebih lima kilometer untuk keluar masuk ke kampung berkenaan.

"Bagaimanapun, kegembiraan kami mendapat jambatan baru hanya bertahan selama tiga minggu apabila ia runtuh pula," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tiada ulasan: