Selasa, 28 September 2010

BAHAGIAN@REZEKI MASING2...

ADUN Galas selamat dikebumi
Sep 28, 10 3:28pm

Jenazah ADUN Galas, Allahyarham Che Hashim Sulaima, 46, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Kerinting, di Gua Musang, awal pagi ini.

Che Hashim meninggal dunia di Hospital Al-Islam, Kampung Baru Kuala Lumpur pukul 4.30 petang semalam selepas dimasukkan ke hospital itu sejak tujuh hari lepas akibat barah usus yang dialaminya lebih setahun lalu.

Sebaik jenazah Allahyarham tiba dari Kuala Lumpur pukul 12 tengah malam semalam, ia terus dibawa ke Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra untuk disembahyangkan dengan diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Jenazah itu kemudian dibawa ke rumah isteri pertama Allahyarham, Che Bongsu Yunus, 49, di Perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN) Kampung Kerinting sebelum dikebumikan pada pukul 1 pagi.

Seorang lagi isteri Allahyarham ialah Aida Zakaria.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memenangi kerusi DUN Galas setelah menewaskan calon Barisan Nasional Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi apabila beliau memperoleh 4,399 undi manakala Mohamad Saufi mendapat 3,753 undi.

Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, semasa ditemui di masjid Tengku Muhammad Faiz Petra berkata, pihaknya akan mengemukakan dokumen berkaitan kematian Adun Galah itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secepat mungkin.

"Tengoklah kalau dapat sijil kematian Allahyarham esok (hari ini) kita segerakan berbuat demikian bagi mengistiharkan kekosongan kerusi DUN Galas," katanya.

--Bernama

Adun Galas kembali ke rahmatullah
Wartawan Kita

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Adun Galas, Chek Hashim Sulaima, 47, kembali ke rahmatullah di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 4.30 petang ini.

Allahyarham yang mengidap penyakit barah di bahagian paru-paru menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak hampir seminggu lalu.

Sebelum itu beliau menjalani rawatan perubatan tradisional Cina di Serdang.

(Gambar kiri: Para pemimpin PAS di samping jenazah Chek Hashim di Pusat Perubatan Islam Kampung Baru. Gambar kanan: Chek Hashim)

Allahyarham dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu dan pernah mendapat rawatan beberapa bulan di China.

Pada Ramadan tahun lepas, beliau menjalani rawatan di Orient Hospital Guanzhong. Sebelum itu Chek Hashim mendapat rawatan awal di The First People's Hospital juga di Guanzhong.

Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.

Dan pada Julai lalu, Adun Galas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan petang 26 Julai lalu selepas tiga hari pulang dari menjalani rawatan kimoterapi di sebuah hospital di China.

Allahyarham meninggalkan dua balu, Che Bongsu Jusoh dengan tujuh orang anak dan Aida Zakaria pula lima orang anak.

(Gambar: Pulang ke kampung halaman. Jenazah Chek Hashim dibawa dengan ambulan ke Gua Musang untuk dikebumikan)

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS seluruh negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Che Hashim dan rakyat di Dun Galas di atas pemergian Almarhum.

"Sesungguhnya Almarhum adalah seorang yang gigih menjalankan tugas dan komited dengan perjuangan. Marilah sama-sama kita berdoa agar roh beliau dirahmati oleh Allah," ujarnya dalam kenyataan ringkas.

Bagi timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa, pemergian Almarhum adalah kehilangan besar bagi rakyat Kelantan.

"Saya difahamkan, perlibatan Almarhum dengan PAS sejak zaman muda lagi, Almarhum banyak berjasa kepada rakyat. Semoga jasanya berkhidmat di Galas, untuk rakyat Kelantan dirahmati Allah. Bagi kita, sumbangannya akan seperti tinta emas dalam perjuangan kita, PAS," ujarnya yang menziarahi allahyarham di hosiptal berkenaan.

Turut memberi penghormatan ialah naib presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan


3,000 solat jenazah Chek Hashim
Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 28 Sept: Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Chek Hashim Sulaima, 47, ke rahmatullah bagaikan hilangnya sebutir mutiara pejuang PAS di Gua Musang.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai seorang yang istiqamah dalam perjuangan parti telah kembali menemui Allah pada petang semalam di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Ketibaan jenazah beliau dari Kuala Lumpur telah disambut dengan laungan takbir oleh rakyat Gua Musang di perkarangan Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra pada jam 12.20 pagi ini.

Solat jenazah telah diimamkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan bersama kira-kira 3,000 orang.

Turut hadir ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohammad Daud, timbalan-timbalannya, Datuk Ahmad Yakub dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Juga hadir Speaker Dun Kelantan, Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat serta warga dalam Dun Galas.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga menyampaikan bantuan segera daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan bagi meringankan beban keluarga yang telah diterima oleh isteri pertama allahyarham, Che Bongsu Jusoh di perkarangan masjid sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru pada jam 4.30 petang semalam akibat penyakit barah paru-paru telah menjalani rawatan di hospital tersebut seminggu lalu.

Sebelum itu, Chek Hashim mendapat rawatan awal di The First People's Hospital di Guanzhong China dan meneruskan rawatan susulan di Orient Hospital Guanzhong pada bulan Ramadhan tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan dua balu, Che Bongsu Jusoh dan Aida Zakaria serta 12 orang anak, yang turut berada di sisi beliau sebelum menghembus nafas terakhir.

Allahyarham memenangi kerusi Dun Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu mengalahkan penyandang dari BN, Saufi Deraman.

Beliau mendapat 4,399 undi manakala Saufi pula 3,753 undi.


Arwah Chek Hashim disegani ramai di Gua Musang
M Faqih

GUA MUSANG, 27 Sept: Rakyat Gua Musang menerima dengan tabah kematian wakil rakyat mereka, Chek Hashim Sulaima, 47, selepas menderita penyakit barah paru-paru sejak lebih dua tahun lalu.

Mereka menganggap Adun Galas terbabit seorang pemimpin yang berjiwa rakyat kerana mudah mendekati masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

Beliau dikenali ramai sejak dilantik sebagai Penyelia Dun Galas pada 2004. Pada pilihan raya umum tersebut, beliau tewas kepada Mohd Saupi Deraman dari BN.

Setiausaha PAS Gua Musang, Azman Ahmad berkata, arwah disukai ramai kerana mudah mesra dan sentiasa bermurah hati membantu penduduk tanpa mengira masa.

Malah katanya, pemimpin Umno juga menyenangi kerana kewibawaannya sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

“Arwah mudah dilihat di mana sahaja termasuk kedai-kedai kopi bersama rakyat. Orang tidak segan datang ke rumahnya termasuk pada waktu malam.

”Penduduk di sini menyenanginya sejak sebelum menjadi wakil rakyat lagi. Maka tidak hairanlah biar pun Gua Musang terkenal sebagai kubu kuat Umno namun PAS boleh bertapak pada pilihan raya umum lalu,” katanya di sini.

Chek Hashim meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang tadi di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Keadaannya kritikal mulai jam 10 pagi tadi. Turut berada di sisinya ketika beliau mengembus nafas terakhir kedua-dua isterinya dan anak-anak.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan lima hari lalu. Arwah meninggalkan 12 anak dan dua isteri.

Jenazahnya dijangka dikebumikan di Kampung Kerinting, Gua Musang kira-kira jam 10 malam ini.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim menyifatkan kematian Allahyarham sebagai suatu kehilangan besar kepada PAS dan pemimpin yang sukar dicari ganti.

Katanya, beliau merupakan seorang wakil rakyat yang kuat bekerja serta menjaga rakyatnya dengan baik tanpa mengira fahaman politik dan kaum.

“Saya yakin kematiannya memberi kesan terhadap rakyatnya di Gua Musang, khususnya di Galas sendiri,”ujarnya.

Menurutnya, sikap allahyarham yang pandai menyantuni rakyat dan kuat bekerja sehingga membolehkan PAS menang di Dun Galas pada pilihan raya umum lalu.

Dewan Pemuda PAS Kelantan turut menyifatkan PAS kehilangan mutiara berharga.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, allahyarham bekerja keras bukan sewaktu menjadi wakil rakyat, sebaliknya sejak mula aktif dalam parti politik.

Katanya, walaupun allahyarham berkhidmat tidak sampai sepenggal, namun pemergiannya meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa rakyat Gua Musang.

“Dia merupakan bekas anggota exco Pemuda PAS Kelantan, arwah memang kuat bekerja untuk parti, rakyat dan kerajaan, al-Fatihah untuk allahyarham dan sekalung takziah dari kami untuk keluarga allahyarham,” ujarnya

Tiada ulasan: