TUANKU Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra menerima Watikah Pemasyhuran sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, di Istana Negeri Kubang Kerian hari ini . - Foto Fathil Asri
Sep 13, 2010 6:01 pm
Kegeringan berpanjangan Tuanku Ismail Petra perlukan pengganti: SUK
2010/09/13
KOTA BHARU: Pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan adalah selaras dengan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berikutan keadaan ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra yang gering sejak lebih setahun lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias, berkata mengikut peruntukan Perkara 23A, Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), menyatakan jika selepas siasatan dilakukan, Majlis Perajaan Negeri berpendapat raja mempunyai kecacatan yang besar, maka seorang pengganti hendaklah dipilih untuk menjadi raja mengikut syarat-syarat tertentu.
"Majlis Perajaan Negeri dalam sidangnya hari ini berpendapat bahawa keadaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra, sekarang ini memerlukan seorang pengganti dipilih dan dilantik untuk menjadi Raja bagi menggantikan baginda mengikut Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).
"Keputusan Majlis Perajaan Negeri tersebut telah dibuat secara sebulat suara oleh 15 orang anggota majlis yang hadir pada pagi tadi yang mengikut peruntukan itu telah memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra menjadi Raja yang memerintah," katanya pada sidang media di Istana Negeri, Kubang Kerian selepas Majlis Penghadapan Penyerahan Watikah Pemasyhuran Kepada Sultan Kelantan yang baru itu.
Pada tengah hari tadi, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengumumkan pemasyhuran itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.
Mesyuarat Majlis Perajaan Negeri itu yang diadakan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim bagaimanapun tidak dihadiri dua ahlinya iaitu Ahli Parlimen Gua Musang yang juga bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan adinda bongsu Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’Ishah Putri.
Aiseri berkata, Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan adalah peruntukan pindaan yang telah diwartakan pada 22 Julai lalu selepas Majlis Penasihat Raja bersidang pada 18 Julai bagi membolehkan pindaan Bahagian Yang Kedua undang-undang tersebut melalui Perwawai.
"Pindaan tersebut amat perlu bagi mengatasi kelompongan dalam Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berkaitan kegeringan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra yang bermula pada 14 Mei 2009 sehingga sekarang dan dikhuatiri ianya terus berlanjutan," katanya.
Katanya, antara kuasa dan syarat pada pindaan itu adalah berkaitan pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada takhta Raja itu atau bakal Raja atau bakal-bakal Raja dan pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada takhta kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun ahli Majlis Pangkuan Raja bagi negeri.
"Saya berharap dengan kenyataan ini akan dapat memperjelaskan lagi tentang keputusan Majlis Perajaan Negeri sebagaimana yang disebutkan tadi," katanya. - Bernama
Sah Tengku Faris dimasyhur Sultan Kelantan Yusri Amin |
KOTA BHARU, 13 Sept: Pemasyhuran Perlantikan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan telah selamat disempurnakan pada pagi ini di Istana Balai Besar di sini. Pemasyuran perlantikan itu dibacakan Menteri Besar Kelantan YAB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Kedua. "Bismilhhari Rahmanir Rahim; maka dengan ini adalah diisytiharkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa pada menjalankan kuasa-kuasa menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Yang Kedua, Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang bermesyuarat pada hari ini (4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan 13.9.2010, pukul 9.00 pagi) di Pejabat SUK, Kota Darunaim, Kota Bharu telah membuat keputusan bersetuju memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Pemangku Raja Kelantan waris, menjadi Raja memerintah, menaiki takhta Negeri Kelantan dan Jajahan takluknya bagi menggantikan KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra berkuatkuasa pada hari ini 4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan dengan 13 September 2010. "Padanya, sekalian hamba rakyat mengaku taat setia dan kasih mesra dan kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa dipohon taufiq dan hidayah ke atasnya, semoga Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Kelantan Darulnaim dan seluruh jajahan takluknya memerintah di atas takhta Kerajaan Kelantan, dan memandu negeri dan rakyat sekalian merasa aman sentosa, mewah, makmur, kebajikan serta menaungi.," katanya. Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, kerabat negeri, kepimpinan dan pegawai negeri
Tuanku Faris Petra, Raja yang dekat di hati rakyat | | Sultan Kelantan yang baru dimasyhurkan, Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra merupakan seorang raja yang berjiwa rakyat dan dekat di hati rakyat Kelantan.
Sebut sahaja kawasan pedalaman mana yang tidak pernah dilawati baginda bagi menyelami suka duka rakyat termasuk ke kampung-kampung penempatan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli.
Sering mengenakan jubah atau berbaju "gumbang" (baju Melayu) serta berkain pelikat dan berkopiah putih ketika melawat rakyat jelata menyebabkan tiada siapa yang menyangka lelaki segak itu merupakan pewaris Kesultanan Kelantan yang baru.
Pernah satu ketika di Pantai Damat, Bachok, baginda tidak kekok duduk bersila dan mendengar kisah penderitaan seorang ibu tunggal yang uzur dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mata baginda berkaca ketika mendengar kisah keperitan hidup Azizah Abdullah, 41, membesarkan tiga anaknya.
Membahasakan diri baginda dengan perkataan "kita" menyebabkan baginda dan rakyat seperti tidak ada jurang pemisah yang boleh merenggangkan hubungan rakyat dan raja.
Ketika di rumah Azizah, baginda yang turut menghulurkan sumbangan peribadi, juga sempat memberikan perangsang kepada tiga anak wanita itu untuk berjaya dalam pelajaran mereka.
Tuanku Muhammad Faris Petra merupakan putera sulung Sultan Kelantan sebelum ini, Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra.Pendidikan awal
Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Bendahara Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A'Ishah Putri.
Baginda mendapat pendidikan awal di Kota Baharu dan di Kuala Lumpur dan seterusnya di Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Kajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.
Tuanku Muhammad Faris Petra diputerakan pada 6 Okt 1969 dan dianugerahkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985 dan sejak pelantikan itu baginda telah menunjukkan kecenderungan untuk mempelajari dan mendalami selok belok pentadbiran negeri.
Baginda mula menarik perhatian seluruh negara dengan liputan meluas media ketika bertitah merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 2008.
Ketika bertitah pada majlis itu, baginda secara terbuka mengingatkan usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi berikutan kedudukan orang Melayu dan Islam yang kian tercabar kerana ia boleh menjejaskan keharmonian negara.
Baginda berharap segala perbezaan pendapat dan perbelahan diketepikan melalui jalan yang bijaksana dengan perpaduan ummah harus diutamakan demi agama, bangsa dan negara sebagaimana yang diimpikan oleh semua.
Di masa lapangnya, baginda gemar membaca bagi mengikuti perkembangan semasa di dalam dan luar negara di samping meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.
Selain itu baginda juga menunjukkan minat mendalam terhadap sukan memanah, berkuda, boling serta suka memelihara haiwan kesayangan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.
Dalam hubungan dengan rakyat, baginda ternyata mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam-diam dan di luar pengetahuan media, baginda menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan. Komander Askar Wataniah
Baginda juga turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan dan juga aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan.
Baginda telah dilantik sebagai Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigadier Jeneral (Kehormat).
Umum juga mengetahui hubungan yang akrab baginda dengan ayahanda baginda dan kegeringan Tuanku Ismail Petra pada 14 Mei tahun lalu membuatkan baginda diselubungi kesedihan dan berasa tertekan.
Baginda pernah mengimamkan solat hajat bersama-sama rakyat jelata sebelum ini bagi memohon kesejahteraan ayahanda baginda.
Pada 24 Mei tahun lalu, Tuanku Muhammad Faris Petra telah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan setelah ayahanda baginda mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
Pelantikan itu membolehkan baginda menjalankan tugas Sultan Kelantan mengikut perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang menurut pakar perundangan mempunyai kuasa yang sama dengan Sultan mengikut Perkara 4 Fasal 1 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan Majlis Perajaan Negeri mengikut peruntukan tersebut.
- Bernama
Perlantikan Sultan hak prerogative Majlis Perajaan Muhammad Yusri Amin | KOTA BHARU, 14 Sept: Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan Datuk Shukri Mohamad berkata persoalan perlantikan dan pemasyhuran seseorang Sultan adalah merupakan hak prerogative (mengikut acuan perlembagaan) Majlis Perajaan Negeri yang telah diberi oleh Perlembagaan Negeri Kelantan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Perajaan Negeri berkata peruntukan itu selaras dengan Perkara 6 yang menyatakan bahawa ”tidak ada sesiapa boleh dilantik dan disahkan menjadi Sultan Kelantan melainkan pengesahan dan perlantikan tersebut dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri”.
“Keputusan yang dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) semalam (pada 13 September 2010) adalah merupakan satu keputusan yang dibuat berasaskan kepada peruntukan Undang-Undang Perlembaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan (Bahagian Kedua).
“Dan ianya dilakukan menurut peruntukan tersebut dan keputusan tersebut adalah merupakan keputusan yang tepat dan sah di sisi Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Keajaan Negeri Kelantan,” katanya pada sidang media di Istana Balai Besar di sini pagi ini.
Menurutnya, MPN adalah satu badan yang diberi kuasa oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan dalam melantik dan memasyhurkan seseorang sultan menurut undang-Undang.
Beliau mengulas pemasyhuran perlantikan Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Pemangku Raja Kelantan menjadi sultan bagi menggantikan Tuanku Sultan Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra berkuat kuasa semalam yang diisytiharkan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar di sini kelmarin.
Daripada seramai 17 ahli MPN yang membuat keputusan termasuk Datuk Shukri sendiri, 15 Ahli MPN telah membuat keputusan menyokong secara sebulat suara.
Beliau turut mengulas keputusan Kes Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (pada 2009) di antara Yang Mulia Tengku Temenggong Kelantan melawan Pemangku Sultan pada masa itu bahawa perkara bersabit persoalan ‘perajaan’, prerogative dan function kebawah duli tidak boleh dibawa di mahkamah.
“Saya berharap keputusan ini menjadi titik penamat kepada semua ‘apa yang dikatakan krisis’, jika ianya satu krisis, berlaku di negeri Kelantan.
“Kembalilah kepada akar umbi. Sama-sama kita mempertahankan institusi raja berlembagaan yang diamalkan dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini. cintailah institusi raja, sayangilah negeri Kelantan dan naungilah rakyat negeri Kelantan, dengan pertolongan Allah swt,” katanya.
Turut hadir Pengelola Istana D’Raja Kelantan Datuk Abdul Halim Ahmad |
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan