Khamis, 23 September 2010

Polis sahkan ahli perniagaan India dibunuh


2010/09/22

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan ahli perniagaan warga India, Allal Kathan Muthuraja yang dilapor hilang sejak awal tahun ini sudah dibunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis kini menyiasat kes kehilangan lelaki berusia 34 tahun yang tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. "Saya sahkan mangsa dibunuh hasil daripada petunjuk dan keterangan-keterangan yang telah dikumpul. Berdasarkan dari itu kita telah kemaskini kertas siasatan daripada orang hilang kepada kes bunuh," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes kehilangan ahli perniagaan hartanah, restoran dan barang kemas dari Chennai, India itu.

Laporan dibuat di Balai Polis Banting pada 8 September lalu. - Bernama


Pembunuhan kejam Sosilawati: Dua senasib Wati


2010/09/22

Shafik Abdullah
Shafik Abdullah
Kontraktor, rakan hilang selepas temui suspek utama kes pembunuhan
jutawan kosmetik


KUALA LUMPUR: Dua lagi individu, Shafik Abdullah, 37, dan sahabat baiknya semalam disahkan hilang selepas menemui suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, April lalu.
Shafik seorang kontraktor dari Sungai Petani, Kedah bersama rakannya itu dilaporkan hilang oleh keluarga mereka lima bulan lalu selepas dipercayai menemui peguam berkenaan di satu lokasi di ibu negara atas urusan perniagaan. Sumber memberitahu Berita Harian, buat masa ini, kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kaitannya dengan suspek utama kes Sosilawati.
Kehilangan mereka sudah dirujuk kepada Ibu pejabat Polis Daerah (Brickfields) untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, melihat kepada modus operandinya, besar kemungkinan kehilangan mereka ada kaitan dengan suspek utama, katanya.

Sumber berkata, modus operandi kehilangan dua sahabat itu hampir sama dengan kes membabitkan jutawan kosmetik berkenaan sebelum dibunuh bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38 di sebuah ladang persendirian milik suspek di Morib, Banting.
Kedua-dua mangsa memberitahu keluarga masing-masing hendak ke ibu negara bertemu seseorang (peguam), dipercayai suspek utama kes Sosilawati atas urusan perniagaan sebelum hilang.

Malah, telefon bimbit juga gagal dihubungi, menyebabkan keluarga masing-masing diselubungi kebimbangan, lebih-lebih lagi selepas kes Sosilawati terbongkar.

Polis menemui kereta jenis Honda Stream milik Shafik di sebuah kondominium di ibu negara Mei lalu selepas keluarga mereka membuat laporan polis.

Polis ketika itu menyiasatnya sebagai kes orang hilang sehinggalah pembunuhan kejam Sosilawati terbongkar kerana kedua-dua mangsa dipercayai menemui peguam yang sama, katanya.

Menurut sumber, kedua-dua individu terbabit bukan saja sahabat baik, malah dipercayai rakan kongsi dalam perniagaan batu permata.

Sementara itu, isteri Shafik, Samson Nahar Mohd Dali berkata, dia dimaklumkan polis, 95 peratus kemungkinan suaminya adalah antara mangsa penjenayah kejam itu dan kini hanya menunggu pengesahan.

Katanya, berita itu dimaklumkan polis ketika berada di Banting, Selangor pada hari raya ketiga, 12 September lalu untuk membantu siasatan.

"Saya sedih bila mendapat tahu keadaan itu namun saya masih berharap agar peluang yang tipis itu akan bertukar menjadi satu keajaiban dan saya dapat bertemu kembali dengan suami," katanya.

Selain Shafik dan rakannya itu, Berita Harian sebelum ini turut melaporkan kehilangan saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India sejurus tiba di Malaysia untuk meninjau peluang perniagaan, 18 Januari lalu selepas diyakini oleh suspek dan adik lelakinya, juga seorang peguam untuk berbuat demikian.

Allal yang mempunyai perniagaan hartanah, restoran, kewangan dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput kedua-dua suspek terbabit sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Isterinya, S Usharani, 24, dipetik berkata, kali terakhir suaminya menelefonnya pada 18 Januari sebaik tiba di KLIA dan memaklumkan sudah dijemput oleh kedua-dua beradik berkenaan, seterusnya dibawa ke Banting sebelum hilang serta gagal dikesan hingga ke hari ini.

Sumber berkata, nasib semua individu terbabit masih belum dapat dipastikan, malah usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan berdasarkan maklumat diperoleh daripada kedua-dua suspek utama itu, selain enam lagi pekerja ladang persendirian milik mereka yang turut ditahan bagi membantu siasatan.

Usaha juga sedang dijalankan bagi mengenalpasti kes-kes lain seumpamanya yang mempunyai kaitan dengan mereka, katanya



Jam tangan petunjuk mungkin suami senasib Sosilawati


2010/09/22

SUNGAI PETANI: Seutas jam tangan yang disahkan milik seorang kontraktor yang dilapor hilang April lalu, Mohd Shafiq Abdullah, 37, menjadi petunjuk kemungkinan lelaki itu senasib dengan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Isteri kontraktor itu, Samson Nahar Mohamed Dali, 35, berkata dia dipanggil oleh polis untuk mengenalpasti jam tangan berkenaan ketika ke Banting minggu lepas bagi membantu siasatan. "Saya tak pasti macam mana polis jumpa jam itu tapi yang saya ingat jumpa di ladang, saya cam jam itu sebab suami ada banyak jam berjenama tapi satu itu saja yang bertali kulit jenama Puma," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Raya di sini, hari ini. Samson Nahar berkata, beliau dipanggil oleh polis kerana dalam kenyataannya mengenai kehilangan suami di balai polis Petaling, Kuala Lumpur April lalu, beliau memberitahu telah menghubungi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati untuk mencari Mohd Shafiq.

Beliau berkata, laporan polis mengenai kehilangan suaminya dibuat pada 13 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini dan kes itu kemudian dipindahkan ke balai polis Petaling kerana suaminya hilang di Kuala Lumpur.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.
Samson Nahar berkata. Mohd Shafiq yang berasal dari Perak tinggal di sebuah rumah sewa di Kuchai Lama, Kuala Lumpur kerana bekerja di sana dan hanya pulang ke rumah mereka di Sungai Petani setiap hujung minggu.

Beliau berkata, selepas menyedari ada sesuatu yang buruk berlaku terhadap Mohd Shafiq, beliau menghubungi semua rakan-rakan serta pihak-pihak yang pernah berurusan dengan suaminya termasuk suspek.

"Semua orang jawab tak tahu, tapi dia (suspek) seorang saja yang bagi jawapan ada jumpa suami dan beritahu suami saya ke luar negara dan akan balik lima enam hari lagi.

"Tapi bila saya tanya pergi mana, dia kata rahsia dan dari situ saya rasa pelik dan terus pergi ke rumah sewa suami di Kuchai Lama untuk mencari pasport suami saya," katanya.

Samson Nahar berkata, beliau menemui pasport suaminya di rumah sewa itu dan ketika itu beliau menyedari bahawa kehilangan suaminya ada kaitan dengan suspek.

Kali terakhir Samson Nahar berhubung dengan suaminya melalui telefon ialah pada 7 April lalu dan gagal menghubunginya sehari selepas itu.

Beliau berkata, polis juga telah mengambil sampel untuk ujian DNA daripada ibu Mohd Shafiq yang kini menetap di Dengkil, Selangor.

"Polis juga ada meminta barang-barang peribadi suami, saya ada serahkan kasut suami minggu lepas kerana itu sahaja yang ada untuk membantu siasatan dan saya dimaklumkan keputusan DNA akan siap dalam dua minggu," katanya.

Mengimbas kenangan bersama suami sejak 14 tahun lalu, Samson Nahar berkata, Mohd Shafiq seorang yang sangat bertanggungjawab dan tidak pernah lupa untuk memaklumkan destinasinya sekiranya mahu ke mana-mana.

Beliau berkata, walaupun ingin ke sesuatu tempat dalam tempoh yang singkat, suaminya akan tetap memberitahu dan pulang bertemu dengan keluarganya terlebih dulu.

"Dia memang selalu ke luar daerah dan ada juga pergi ke luar negara, tapi setiap kali sebelum pergi mana-mana dia mesti balik sini dulu sehari atau dua hari untuk bersama saya dan anak-anak," katanya.

Samson Nahar berkata, selepas dimaklumkan 95 peratus kemungkinan suaminya adalah antara mangsa jenayah kejam itu pada malam Hari Raya lepas, keluarganya mengadakan solat ghaib serta majlis tahlil untuk suaminya.

"Namun saya masih menaruh harapan suami selamat selagi belum ada pengesahan dan sekiranya disahkan dia sudah meninggal, kami kena terima dan saya harap dapat mengkebumikan tulangnya di sini (Sungai Petani)," katanya.

Samson Nahar berkata, beliau dan anak-anak akan berpindah ke rumah yang baru dibeli suaminya di kawasan perumahan berhampiran tempat tinggalnya sekarang dalam tempoh terdekat.

"Tapi saya tak tahu macam mana nak teruskan hidup lepas ini sebab hilang tempat bergantung, saya pula tiada kerja tetap," kata surirumah yang mengajar kelas tambahan kepada pelajar sekolah secara sambilan di rumah. - Bernama



Mohd. Shafik turut dibunuh


SAMSON Nahar Mohd. Dali merenung gambar suaminya, Mohd. Shafik Abdullah yang disahkan dibunuh oleh suspek kes Sosilawati Lawiya di Sungai Petani, Kedah, semalam.


SUNGAI PETANI 22 Sept. – Seorang ahli perniagaan, Mohd. Shafik Abdullah, 37, yang dilaporkan hilang sejak April lalu turut disahkan menjadi mangsa pembunuhan kejam kumpulan suspek yang kini disiasat berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain.

Isteri kontraktor itu, Samson Nahar Mohd. Dali, 35, berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh sepasukan pegawai penyiasat semasa dia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur dan IPD Kuala Langat, Selangor pada Selasa lalu.

Katanya, pengesahan awal berkenaan turut dibuat berdasarkan pengakuan salah seorang suspek yang ditahan berhubung kes pembunuhan Sosilawati serta tiga lelaki lain.

“Polis memaklumkan kepada saya, 95 peratus kemungkinan suami saya dibunuh. Mereka ada menunjukkan seutas jam tangan bertali kulit jenama Puma kepada saya dan saya yakin ia milik Mohd. Shafik.

“Jam tangan itu dikatakan dipakai oleh salah seorang pekerja selepas diberi oleh suspek di ladang tempat Datuk Sosilawati dibunuh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Samson Nahar berkata, polis tidak menolak kemungkinan suaminya itu dibunuh secara kejam sebelum dibakar seperti mana yang dilakukan terhadap Sosilawati dan tiga yang lain.

“Peluang bertemu suami saya amat tipis. Saya kini hanya mengharapkan keajaiban sementara menunggu keputusan akhir iaitu kemungkinan lima peratus daripada ujian DNA (asid deoksiribonukleik) dikeluarkan minggu depan,” katanya.

Menceritakan kembali kehilangan suaminya, suri rumah itu memberitahu, Mohd. Shafik yang merupakan seorang mualaf keluar dari rumahnya di sini pada 5 April lalu untuk berjumpa dengan seorang peguam di Selangor dengan menaiki kereta Honda Stream warna emas.

“Dia berjanji akan pulang seperti biasa dua hari selepas itu. Namun, suami saya tidak pulang dan tidak dapat dihubungi selepas itu,” katanya.

Samson Nahar berkata, dia juga cuba menghubungi teman serumah Mohd. Shafik dari Taiping yang dikatakan keluar ke Selangor pada hari yang sama tetapi gagal.

“Saya kemudian menghubungi beberapa kenalan dan mereka berikan nombor peguam (suspek) itu. Saya seterusnya menghubungi lelaki itu dan dia maklumkan bahawa suami saya ke luar negara,” katanya.

Tambah wanita itu, selepas mengesyaki sesuatu, dia kemudian mengambil keputusan untuk mencari suaminya di rumah sewa mereka di Meadow Park 2, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

“Saya jumpa pasport milik suami dan juga rakan serumahnya iaitu S. Thevaraj. Selepas itu, saya hubungi semula peguam dan dia berjanji akan membantu tetapi menasihatkan tidak buat laporan polis,” katanya.

Ekoran kerunsingan yang bertambah, Shamson Nahar memberitahu, dia akhirnya mengambil keputusan membuat laporan polis mengenai kehilangan suami dan rakannya di Balai Polis Sungai Petani pada 13 April lalu.

“Sebulan selepas itu, polis menghubungi saya dan maklumkan bahawa mereka menemui kereta Honda Stream suami saya di Pelabuhan Klang dalam keadaan dipecahkan. Namun, suami saya dan rakannya masih tidak pulang,” katanya.

Wanita itu mendakwa, selepas itu, dia tidak dimaklumkan status kes kehilangan suaminya sehinggalah mendapat laporan berita mengenai kes pembunuhan Sosilawati yang dikatakan ada kaitan dengan peguam sama.

Ditanya sama ada suaminya turut terlibat dalam jenayah dan mempunyai kaitan dengan peguam terbabit, Samson Nahar berkata, dia yakin suaminya itu tidak terlibat dalam kegiatan tidak bermoral itu.

“Saya percaya dia mungkin diperdaya kerana dia sangat mudah percaya kepada orang lain,” tegasnya.

Tambah Samson Nahar, selepas pulang dari Kuala Lumpur hujung minggu lalu, dia cuba sedaya upaya menerima kenyataan bahawa suaminya tiada lagi.

“Kini kehidupan saya dan keluarga amat tertekan kerana hilang tempat bergantung,” katanya yang telah 14 tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tiga orang anak.

Wanita itu menambah, dia dan keluarga berharap polis dapat menyelesaikan kes berkenaan dengan segera dan membawa suspek ke muka pengadilan.

“Saya juga menaruh harapan agar polis bawa pulang walaupun secebis tulang suami saya supaya dapat dikebumikan dengan sempurna,” katanya





Tiada ulasan: