Jumaat, 24 September 2010

CUBA JAUHI PINTU2 NI

Pome Zairey's Photos - 10 pintu syaitan


بسم الله الرحمن الرحيم

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.” (an-Nisa’: 120-121).

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.Melal ui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada dalam kita sedar atau tidak, kita sebenarnya sudah menyediakan ruang kepada syaitan menapak dalam diri. Antaranyer :

Pertama - melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

Kedua - melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan kebenaran. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.

Ketiga - melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik Allah bila-bila masa. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur.” (an-Nahl:23)

Keempat - sifat khianat. Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

Kelima - sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Rasulullah selalu menasihati sahabat agar menjauhkan diri daripada menjadi golongan keempat di kalangan manusia yang dibenci Allah iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

Keenam - melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan.

Ketujuh - melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia selalunya akan lahir apabila seseorang individu merasakan dirinya sudah sempurna berbanding orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.” (Riwayat Muslim).

Kelapan - melalui sifat bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang-lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja.” (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

Kesembilan - melalui sifat suka berangan-angan. Islam anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehinya .

Kesepuluh - melalui sifat berburuk sangka. Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam

Tiada ulasan: