Dua kes orang hilang ada kaitan dengan suspek kes pembunuhan Sosilawati
2010/09/15
BANTING: Terdapat dua kes orang hilang yang dilaporkan di Selangor, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan peguam bergelar Datuk yang menjadi suspek dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lain, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.
"Kami sedang menyemak semula kes orang hilang yang dilaporkan di Selangor, dan apabila disiasat dua daripada kes orang hilang itu didapati mempunyai kaitan," katanya.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di sebuah restoran di sini hari ini beliau berkata kes itu membabitkan kehilangan seorang warga India dan seorang warga tempatan berbangsa Cina.
Peguam berusia 41 tahun yang bergelar Datuk itu adalah antara lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik itu.
Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Ahad lalu polis mengesahkan kempat-empat mereka dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong dekat sini.
Khalid sebelum itu dilihat melawat lokasi kejadian di Ladang Gadong bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop kira-kira jam 10.30 pagi, dan keluar sejam kemudian.
Abu Seman ketika ditemui berkata, kehadiran beliau di situ adalah untuk melawat anggota-anggota polis yang sedang bertugas di lokasi berkenaan pada Hari Raya.
Sementara itu, Khalid mengingatkan pihak media agar tidak melaporkan kes pembunuhan itu secara melampau, dengan membuat pelbagai andaian sendiri.
Katanya, selain menyulitkan siasatan polis, spekulasi yang ditimbulkan media juga boleh merunsingkan fikiran anggota keluarga mangsa yang masih sedih dengan berita kematian itu.
"Tolonglah, jangan tulis benda-benda yang tak disahkan. Jangan tulis cerita-cerita yang awak (media) dengar-dengar sahaja," katanya.
Sementara itu, seorang lelaki yang enggan dikenali ketika ditemui di restoran itu berkata, peguam bergelar Datuk itu sering berkunjung ke restoran berkenaan, dan dia memang dikenali di kalangan penduduk kawasan itu.-Bernama
SUBANG JAYA – Peguam bergelar Datuk yang juga suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga individu lagi, dipercayai memiliki banyak aset berharga, antaranya kenderaan mewah, rumah, firma guaman dan ladang di sekitar Selangor.
Lelaki berusia 41 tahun itu difahamkan memiliki, antaranya dua unit rumah semi-D di Banting, unit apartmen di Taman Kinrara yang dipercayai nilainya mencecah ratusan ribu ringgit.
Dia juga mengusahakan ladang ternakan ayam, lembu dan kambing di Batu Laut, Morib.
Tinjauan Sinar Harian di rumah suspek, termasuk yang disewakan di Taman Cempaka, Banting, kelmarin, mendapati tempat itu tidak ada penghuni.
Dalam tinjauan semalam, Sinar Harian dapati sebuah lagi rumah milik suspek utama itu, iaitu di apartmen Palm Ville, Taman Kinrara, juga kosong serta berkunci.
Tinjauan di luar rumah itu, mendapati hanya terdapat rak kasut dan meja alat tulis, manakala pintu jerijinya dimangga.
Menurut seorang jiran berusia 50-an rumah tersebut hanya dihuni oleh isteri suspek utama bersama dua anak lelaki berusia antara 10 dan 11 tahun serta seorang pembantu rumah.
Katanya, suami wanita itu yang tinggal di Banting, hanya datang sekali sekala pada hujung minggu untuk menjenguk anak-anak dan isterinya.
“Saya dan keluarga tidak kenal rapat dengannya (isteri suspek utama) tetapi jika terserempak, dia sering menegur kami dan tidak lokek dengan senyuman.
“Kami tidak pernah berbual panjang tetapi mengenali siapa suaminya (suspek utama),” katanya semalam.
Beliau berkata, isteri suspek utama itu juga jarang berada di rumah tersebut dan hanya pulang pada hari tertentu berikutan kedua-dua anaknya bersekolah di sebuah sekolah antarabangsa di daerah terbabit.
“Saya hanya melihat kelibatnya kira-kira jam 3 petang kelmarin ketika dia menjemput anaknya pulang dari sekolah. Selepas itu, sehingga petang tadi (semalam), dia tidak pulang lagi,” katanya.
"Pembunuh Wati sejahat-jahat manusia"
SENAI – “Pembunuh kejam bertopengkan syaitan yang menyebabkan kematian Datuk Sosilawati Lawiya disifatkan sebagai sejahat-jahat manusia. Mereka memang tidak mempunyai rasa perikemanusiaan kerana sanggup menyembelih dan membakar mangsa sehingga menjadi debu."
Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri Johor, Dr Robia Kosai sewaktu memberi reaksi terhadap berita kematian jutawan kosmetik itu.
Beliau berkata, sekiranya pembunuh itu betul-betul berkehendakkan wang, tidak perlulah dia membunuh.
"Ambil sahaja apa yang dia mahu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini.
Robia berkata, kematian arwah adalah satu kehilangan besar negara, terutamanya buat warga Johor kerana Sosilawati merupakan anak jati Batu Pahat yang tidak lokek memberikan sumbangan dan sentiasa prihatin menghulurkan tangan bagi meringankan beban orang yang memerlukan.
“Arwah seorang usahawan wanita yang sangat berjaya dalam perniagaannya dan arwah disifatkan sebagai :gigih berusaha sehinggalah beliau mampu mengecapi kejayaan yang diperoleh pada masa kini.
"Atas kegigihan dan kecemerlangannya dalam perniagaan, arwah pernah dianugerahkan tokoh usahawan wanita paling berjaya sewaktu sambutan Hari Wanita pada tahun 2007 yang lalu,” katanya.
Robia berkata, beliau juga berharap keluarga arwah dapat bersabar dengan dugaan hebat Allah kerana ia mungkin ada hikmahnya yang tersendiri.
“Saya mengucapkan takziah dan berharap kesemua ahli keluarga dapat bersabar dengan apa yang mereka lalui walaupun ia realiti yang perit untuk ditelan,” katanya.
Terdahulu, Robia berkata, beliau dan arwah pernah berbincang untuk merealisasikan hasrat arwah dengan menjalinkan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi membantu golongan yang memerlukan seperti orang miskin, anak yatim dan ibu tunggal menjana pendapatan masing-masing.
“Setiap kali Ramadan datang, arwah pastinya tidak lupa menyumbangkan wang dengan jumlah yang besar kepada anak yatim dan orang miskin.
”Namun selepas ini perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi kerana arwah telah kembali ke Rahmatullah,” katanya
Wati mahu tuntut semula RM4j
SHAH ALAM - Suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga individu lain dipercayai membayar sejumlah wang kepada pekerjanya bagi melakukan pembunuhan kejam terhadap mangsa.
Berikutan itu, mereka dikatakan membunuh mangsa menggunakan senjata berbentuk cangkuk sepanjang 30 sentimeter sebelum mangsa dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.
Bagaimanapun, difahamkan operasi mencari senjata berkenaan masih gagal berikutan air sungai yang keruh.
Sebelum kejadian, suspek yang juga peguam bergelar Datuk itu, dipercayai bersama Sosilawati menaiki keretanya yang dipandu oleh pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, menuju ke ladangnya bagi membincangkan urusan jual beli tanah.
Sosilawati, 47, dikatakan bersama dua lagi, iaitu pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, menemui suspek bagi mendapatkan semula wang itu selepas proses pembelian tanah tidak dilakukan.
Rakannya yang enggan namanya disiarkan memberitahu, dia mengetahui mengenai hasrat mangsa untuk membeli tanah dan tahu bahawa suspek utama itu adalah individu yang bertanggungjawab menguruskannya.
"Bagaimanapun apabila menyedari ada berlaku penipuan, mangsa (Sosilawati) berusaha mendapatkan semula wang berjumlah RM4 juta yang sudah diserahkan kepada suspek dalam bentuk cek.
"Beliau (Sosilawati) sendiri akhirnya bertindak berjumpa dengan suspek bagi mendapatkan wang tersebut.
"Kalau tak salah, wang berkenaan diserahkan melalui cek atas nama suspek," katanya.
Suspek dikatakan berjanji untuk mengembalikan wang berkenaan selepas raya, tetapi Sosilawati mahu wang itu dikembalikan sebelum hari raya.
Dalam perkembangan sama, difahamkan keempat-empat suspek dibunuh oleh seorang lagi suspek yang berusia 19 tahun, kerana dia dikatakan berhati kering, dibandingkan dengan yang lain.
Suspek kemudiannya membiarkan mangsa menggelupur kesakitan hingga menemui ajalnya sebelum mereka membakarnya bersama tiga yang lain.
Difahamkan, tahi lembu juga digunakan untuk mempercepatkan proses pembakaran semua mangsa bagi menghilangkan bukti dengan segera untuk mengelak perbuatan mereka dihidu.
Pisau yang digunakan dipercayai dibuang ke sungai berdekatan bersama abu mayat yang dihanyutkan ke laut
Suasana pilu masih selubungi kediaman Sosilawati
GOMBAK- Suasana pilu masih menyelubungi kediaman jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya ketika dikunjungi pihak media untuk membuat liputan, semalam.
Malah, jumlah sanak saudara dan jiran tetangga mengunjungi kediaman Allahyarham kelihatan semakin bertambah berbanding hari sebelumnya.
Di sebelah petang pula, beberapa pemimpin Kerajaan Negeri Selangor hadir bagi mengunjungi kediaman untuk berjumpa keluarga Allahyarham Sosilawati dan tiga yang lain bagi mengucapkan takziah atas musibah yang menimpa keluarga mereka.
Turut hadir, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang tiba bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar sekitar jam 2.30 petang.
Presiden Persatuan Karyawan (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez meninggalkan kediaman selepas melawat keluarga mangsa sekitar jam 1.30 petang sebelum kedatangan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang tiba kira-kira jam 4.40 petang
Keluarga mahu uji DNA di luar negara
BATU PAHAT – Keluarga jutawan terkenal mempercayai bahawa jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya masih hidup dan tidak percaya penemuan di Tanjung Sepat ialah abu mayat beliau.
:Adiknya, Masturi Lawiya, 40, berkata, dia mewakili keluarganya percaya yang kakaknya masih lagi hidup dan penemuan abu mayat yang dijumpai pihak polis bukan milik Wati.
Menurutnya, seluruh keluarganya masih percaya selagi tiada mayat dijumpai, Wati mungkin diikat serta disembunyikan di satu kawasan.
“Jika pihak polis menyatakan bahawa DNA pada abu atau tulang yang dijumpai berkenaan adalah milik kakak, kami akan bawa contoh DNA berkenaan ke luar negara seperti Singapura atau Thailand untuk mengesahkannya.
“Selagi tiada mayat ditemui kami tidak percaya yang Wati menemui ajalnya dengan cara yang sedemikian rupa,” katanya ketika ditemui oleh Sinar Harian selepas solat Ghaib di Surau Seri Menanti, Seri Medan, kelmarin.
:Masturi berkata, bagaimanapun cebisan tulang dan abu berkenaan setelah disahkan oleh pihak polis serta diserahkan kepada keluarga mereka, ia akan disempurnakan dan dikebumikan di sini (Seri Menanti).
Katanya, dia menasihatkan kepada ahli keluarganya yang lain supaya bersabar dengan apa juga keadaan dan tidak melakukan sesuatu perkara dengan terburu-buru.
“Saya menyarankan supaya semua pihak dapat bersabar dahulu dan tidak mengganggu pihak polis menjalankan siasatan.
"Bagaimanapun kami sekeluarga masih percaya kakak saya masih lagi bernyawa,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan