1.5 juta kenderaan pulang berayaKUALA LUMPUR 8 Sept. – Kira-kira 1.5 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya yang dikendalikan oleh PLUS Expressways Berhad (PLUS) hari ini dan esok untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat PLUS, Khalilah Mohd. Talha berkata, walaupun terdapat pertambahan kenderaan, aliran trafik di beberapa laluan utama PLUS didapati masih berjalan lancar. Katanya, tinjauan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini menunjukkan tiada sebarang kesesakan ketara berlaku walaupun jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya dan jalan utama bertambah berbanding hari biasa. “Sehingga lewat petang ini, keadaan trafik bermula dari Plaza Tol Jalan Duta berjalan lancar dan dijangkakan keadaan trafik sibuk dan sesak menjelang lewat malam ini. “Aliran trafik ke selatan pula masih bergerak lancar namun kenderaan semakin bertambah terutama di laluan dari Nilai ke Seremban,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas aliran trafik di lebuh raya kendalian PLUS menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Sementara itu, jurucakap Trafik LLM memberitahu, aliran trafik ke utara masih bergerak lancar namun antara Jelapang ke Kuala Kangsar, trafik kelihatan mulai perlahan dari Kilometer 262 ke Kilometer 255. Bagi perjalanan ke Pantai Timur pula, katanya, trafik di Lebuh Raya Karak kelihatan bergerak perlahan sekitar Plaza Tol Gombak dan di Persimpangan Bentong Barat19 maut hari kelima Ops Sikap | ||
|
Perangkaan di laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sehingga semalam majoriti yang terkorban adalah dari kalangan penunggang motosikal dan dua kematian melibatkan kereta serta satu penjalan kaki.
Perangkaan PDRM juga menunjukkan daripada 1,313 kemalangan yang dicatat semalam, 606 berlaku di jalan bandaran, jalan persekutuan (297), jalan negeri (219), lebuhraya (124), dan lain-lain (67).
Sebanyak 11,245 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Sikap ke-22 yang bermula sejak 3 September lalu dan berakhir pada 17 September ini.
Ops Sikap yang mula beroperasi sejak 2001 oleh PDRM mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan yang lain, khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ikatan Relawan Rakyat, dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia serta pihak swasta seperti TM Berhad, PLUS Berhad, MTD, dan badan uniform seperti St John Ambulans.
- Bernama
Panik lihat kepala adik
2010/09/09
LAHAD DATU: “Saya terkejut dan panik apabila melihat kepala adik saya di sebelah tubuhnya. Saya segera keluar dari kenderaan untuk memberi pertolongan kepada abang dan kakak saya yang tersepit,” kata Imran Aziz, 22, abang kepada seorang daripada mangsa kemalangan maut, Azlan Aziz, 17, semalam.
MAUT...mangsa yang meninggal dunia ditutupi dengan kain tuala.
Selain Azlan, mereka yang terbunuh adalah pemandu lori, Norawi Madu, 37, dan anak lelakinya, Mohamad Azrul, 14, serta tiga lagi mangsa yang menaiki van dikenali sebagai Yong Pui San, 24, dan suaminya Chin Tet Leong, 30, serta Thien Yuk Lin, 51.
Difahamkan, semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan sehingga jam 6 petang semalam identiti enam mangsa yang cedera parah dipercayai penumpang bas masih belum dikenal pasti.
Menurut Imran, ketika kejadian, dia yang menaiki Perodua Viva sedang tidur di tempat duduk penumpang depan sebelum dikejutkan dengan keadaan cemas apabila keretanya berpusing sebelum terjunam ke dalam gaung.
“Apabila saya menoleh ke tempat duduk belakang, saya terkejut melihat kepala adik saya berada di sebelahnya, lalu saya keluar dari kenderaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam
Katanya, dia bersama abang dan kakaknya bekerja di Kota Kinabalu manakala adiknya bersekolah di tempat sama ketika itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Tawau untuk menyambut Aidilfitri.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Superintendan Bong Kuet Khiun ketika dihubungi berkata, semua mangsa parah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan
Menurutnya, kemalangan berlaku membabitkan bas ekspres, van, kereta dan lori seberat tujuh tan.
“Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada tiga kenderaan iaitu Perodua Viva, van dan lori yang dalam perjalanan dari Lahad Datu menghala ke Kunak. Sebaik tiba di tempat kejadian, van itu dipercayai cuba memotong Perodua Viva.
“Namun, ketika memotong, pemandu van terkejut apabila melihat bas ekspres datang dari arah bertentangan sebelum berusaha memberhentikan kenderaan lalu hilang kawalan. Van terbabit kemudiannya melintang di tengah jalan sebelum merempuh bas dan kereta lalu terjunam ke dalam gaung,” katanya.
Pada masa sama katanya, sebuah lori yang berada di bahagian belakang kedua-dua kenderaan (Viva dan bas) terbabas lalu memasuki gaung ketika cuba mengelak daripada pelanggaran terbabit.
“Bagaimanpun, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kemalangan itu,” katanya.
Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa tersepit.
Gambar Kemalangan Ngeri Selepas Pulang Dari Berpesta
Maut selepas bantu mangsa nahas
RAUB – Tanpa diduga, tindakan penduduk Kampung Felda Lembah Klau menggali lahad untuk mengebumikan seorang warga Indonesia kira-kira dua minggu lalu diganti dengan jenazah seorang remaja maut akibat kemalangan petang kelmarin.
Allahyarham Azizul Abdullah, 17, yang juga anak lelaki tunggal dalam keluarga dikebumikan dalam liang lahad yang disediakan sejak dua minggu lalu buat seorang warga Indonesia tetapi tidak terlaksana kerana keluarganya menuntut untuk dikebumikan di Johor.
Ibu Allahyarham, Rosnah Zakaria, 40-an, berkata, sebelum ini penduduk bercakap sesama sendiri tentang lahad yang digali sejak dua minggu lalu dibiarkan terbuka seolah-olah menanti penghuni baru sebagai ganti.
Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka Allahyarham Azizul yang menyahut panggilan Ilahi menjadi penghuni liang lahad itu sekali gus mematikan persoalan penduduk setempat.
“Arwah seorang anak yang baik dan tidak pernah mendatangkan masalah kepada keluarga, malah ia turut disenangi rakan sebaya dan semua lapisan masyarakat.
“Kurang sejam dari waktu kejadian, arwah sempat menyelamatkan dua remaja yang terlibat kemalangan apabila motosikal ditunggang terbabas lalu terjunam ke dalam longkang besar di kiri jalan,” katanya ketika ditemui di sini.
Rosnah berkata, Azizul sendiri menghulurkan bantuan mengangkat motosikal dari dalam longkang dan membawa mangsa ke dalam ambulan untuk dihantar ke hospital.
Menurutnya, lebih kurang jam 6 petang Azizul dalam perjalanan pulang ke rumah tetapi menemui ajal apabila motosikal yang ditunggangnya pula terbabas lalu melanggar batu hias di tepi jalan dekat gerbang masuk ke Kampung Felda Lembah Klau.
“Tengah hari semalam (kelmarin), arwah sempat bersama adik-adiknya membantu saya membuat kuih raya.
“Semua yang berlaku sudah tersurat, saya reda dengan pemergian Allahyarham dan kini hanya tinggal dua anak perempuan yang masih kecil,” kata Rosnah
Saya akan teman Zaini
JOHOR BAHRU - Suasana pilu dan sedih menyelubungi wad kebakaran Hospital Sultan Ismail di sini, sebaik waktu melawat dibuka.
Ahli keluarga, jiran dan kenalan rapat Kapten Zaini Ramli, 38, dilihat mengunjungi wad berkenaan untuk memberi kata-kata semangat kepada beliau yang melecur 70 peratus di badan setelah terlibat dalam tragedi pesawat ringan jenis Liberty 9MHKI terhempas di kawasan Ladang Sri Pulai, kelmarin.
Bapa kepada Zaini, Ramli Saad berkata, sepatutnya anak beliau pulang ke Jitra, Kedah hari ini bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
“Sepatutnya Zaini pulang ke Jitra pada hari ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di sini,” katanya.
Menurutnya, anaknya tidak menghubungi untuk pulang tetapi seperti kebiasaan Zaini akan pulang seminggu sekali untuk bersama keluarga.
“Zaini akan pulang ke kampung untuk bersama keluarga pada setiap minggu dan beliau tidak menghubungi saya untuk balik, mungkin beliau menganggap saya sudah tahu yang dia akan pulang,” katanya.
Bagaimanapun, Ramli berkata, beliau menerima panggilan daripada Jabatan Penerbangan Awam kira-kira jam 10 pagi yang memberitahu bahawa pesawat yang dinaiki anaknya terhempas di Kulaijaya.
“Sebaik dimaklumkan hal itu, saya agak terkejut menerima panggilan tersebut, pihak JPA ingin mengambil kami sekeluarga di rumah tetapi cuaca tidak mengizinkan, kami menaiki van untuk ke Johor Bahru,” katanya.
Ditanya mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Ramli berkata, beliau sekeluarga akan beraya di hospital untuk menemani Zaini.
“Buat sementara ini, kami sekeluarga tinggal di hotel yang agak jauh, hari raya ini saya akan berada di hospital untuk menemani Zaini.
Memang sangat sedih dengan apa yang berlaku tetapi saya redha dengan kejadian menimpa beliau,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail.
Semasa kejadian, Kapten Zaini Ramli, 38, daripada Jabatan Penerbangan Awam (JPA) yang bertugas sebagai penguji dilaporkan melecur separuh badan.
Dia yang parah dikejarkan ke Hospital Kulaijaya sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut
Tiada ulasan:
Catat Ulasan