Rabu, 15 September 2010

MUNGKIN KOD...TAPI YANG DIRASAKAN...RAKYATLAH NI DAH CERDIK..DAN PANDAI MENILAI YANG MENIPU DAN YANG MANA JUJUR

Umno mula rasa Utusan 'senjata makan tuan'
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Umno kini mula sedar bahawa akhbar milik mereka, Utusan Malaysia yang selama ini diguna untuk memfitnah Pakatan Rakyat sudah menjadi 'senjata makan tuan'.

Ianya ekoran akhbar tersebut mula menerima kritikan dan amaran dari pemimpin Umno yang merupakan 'bos' mereka sendiri selepas dilihat meminggirkan 1Malaysia yang digagaskan Datuk Seri Najib Razak dan menyanjung perjuangan NGO perkauman Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Umno juga jelasnya mula sedar, akhbar mereka tidak lagi boleh diharap kerana mempunyai agenda tersendiri dan sanggup mengenepikan bos mereka sendiri.

"Umno sudah terasa bagaimana peranan Utusan Malaysia mengkucar-kacirkan Umno tapi Umno lupa mereka menggunakan Utusan untuk memfitnah Pas dan Pakatan Rakyat selama ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan akhbar berkenaan yang banyak menyiarkan artikel menyokong dan mempertahankan Perkasa termasuk kenyataan penasihat NGO itu, Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, Utusan dilihat sedang digunakan oleh pihak pro Tun Dr. Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Ini satu krisis dalaman Umno dan saya tidak melihat tindakan Utusan itu sebagai kebebasan bersuara tetapi saya milihat satu agenda tersembunyi yang didalangi oleh seseorang untuk menjatuhkan Najib.

"Semua sedia maklum bahawa Tun Mahathir mempunyai peranan di Utusan untuk melakukan gerakan seperti mana yang dilakukan terhadap Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) satu ketika dahulu," kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, bekas pemimpin Umno suatu ketika dahulu giat menggunakan Utusan untuk mengeluarkan kenyataan menyokong dan mengkritik antara satu sama lain termasuk untuk mendesak Tun Abdullah supaya melepaskan jawatan Perdana Menteri.

"Tun Mahathir sewaktu krisisnya dengan Pak Lah satu ketika dahulu mengatakan bahawa (Timbalan Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin lebih layak mengambil tempat Pak Lah kerana dia lebih berani daripada Najib untuk mendesak Pak Lah lebih cepat melepaskan jawatan," katanya

Tambahnya, Abdullah pula menganggap Muhyidin merupakan orang yang menikamnya dari belakang dengan kenyataan yang dibuat di Singapura, dengan menggunakan negara jiran itu untuk menikam perdana menteri daripada belakang.

Katanya juga, terserah kepada rakyat khususnya orang Melayu untuk menilai baik dan buruk Perkasa yang didakwa untuk membela nasib orang Melayu.

"Sekarang ini terserah kepada orang Melayu untuk menilai hakikatnya bahawa nasib kaum Melayu bukan menjadi satu agenda kepada mana-mana pihak untuk perjuangan membela Melayu tapi hanya menjadi alat untuk politik dalaman Umno.

"Saya tidak nampak mereka membela Melyu dalam isu ini, tapi untuk dapat peluang di kalangan pemimpin mereka atas nama Melayu," katanya


Utusan cuba naikkan Tun M, pinggir Najib?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Ekoran menyokong Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), akhbar Utusan Malaysia terus menerima kritikan dari pemimpin Umno.

Kali ini Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz pula mempersoal agenda sebenar akhbar milik Umno itu yang didakwa cuba merendahkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan melebihkan penasihat NGO tersebut, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Utusan juga jelasnya seperti mempunyai agenda tersendiri apabila lebih menonjolkan Dr. Mahathir berbanding Najib.

"Saya tidak faham Utusan. Siapa bos mereka? Najib atau Dr Mahathir? Kadangkala saya tertanya adakah mereka ada agenda untuk membawa kkembali Dr Mahathir untuk menggantikan Najib," katanya dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider.

Menurutnya lagi, dengan mempromosikan kenyataan Dr. Mahathir yang menyokong perjuangan melampau Hak Melayu Perkasa itu bermakna Utusan secara jelas telah merendahkan gagasan 1Malaysia Najib.

Nazri turut meminta agar Utusan memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti itu dengan menyokong agenda 1Malaysia Najib seperti akhbar politik yamg lain.

"Jika kita lihat Harakah, mereka promosikan program PAS, Suara Keadilan promosikan PKR, The Star promosikan MCA, tetapi akhbar Umno sendiri, Utusan tidak menyokong bos mereka," katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin membidas Utusan Malaysia menerusi twitternya.

Khairy menulis bahawa beliau "berpendapat akhbar tertentu itu perlu diingatkan siapa pemiliknya".

"Saya penyokong pembaharuan supaya akhbar lebih bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma hari ini, saya tidak boleh menerima bentuk editorial akhbar tertentu," tulisnya.

Meskipun Khairy tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataannya jelas ditujukan kepada Utusan.

Ketua pemuda Umno itu juga telah berulang-kali menegaskan bahawa Umno tidak bersekongkol dengan Perkasa dalam apa bentuk sekalipun.

Sejak seminggu lalu, beberapa pemimpin kanan Umno termasuk setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, naib presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli majlis tertinggi, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap Perkasa.

Mereka mendakwa pandangan melampau Perkasa berhubung hak dan dan keistimewaan Melayu akan meminggirkan sokongan bukan Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

Utusan melalui beberapa artikelnya telah menyokong Perkasa dan rencana pengarangnya pada Ahad lalu menggesa Umno supaya memikirkan semula hubungan dengan NGO itu.


Dilema seorang polis pencen
Mohd Rashidi Hasan
Mohd Rashidi Hassan
rashidi@harakah.net.my

TAN Sri Musa Hassan barangkali termasuk di kalangan Ketua Polis Negara yang paling malang dalam sejarah perkhidmatan polis negara. Hari Ahad 12 September lepas diadakan majlis perpisahan tugas beliau.

Nasibnya malang kerana setelah berkhidmat lebih 40 tahun dalam pasukan polis, beliau dihentikan dengan cara yang amat hina.

Apa tidak hinanya, jika seorang yang menjawat kedudukan paling tinggi dalam institusi yang paling penting dalam menguruskan keselamatan negara, diberhentikan secara tiba-tiba.

Cara Musa diberhentikan memang hina, kerana beliau langsung tidak diberitahu oleh kerajaan. Kata Musa beliau hanya mengetahui kontraknya tidak disambung, hanya melalui pengumuman media.

Memang Musa patut bersedia untuk tidak disambung kontrak, namun tidak bolehkah pihak kerajaan membuatnya dengan prosedur yang lebih berhemah, iaitu dengan memaklumkan kepada beliau lebih awal, supaya beliau boleh keluar dari pejabat KPN dengan cara yang terhormat.

Kalau kita jadi Musa kita pun akan terkejut. Apa malangnya Musa? Mengapakah kerajaan Umno-Barisan Nasional melayannya dengan begitu hina?

Apakah kerana hubungan dingin Musa selaku KPN dengan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein, mendorong beliau diperlakukan sebegitu hina?

Sebab itu Musa berhak mempertikaikan cara kerajaan memberhentikan beliau. Beliau berhak dilayan dengan sopan dan hemah.

Cara kerajaan Umno-BN memberhentikan Musa seolah-olah orang yang tidak mengenang budi. Sedangkan, Umno-BN patut berterima kasih terhadap Musa, kerana khidmatnya yang penuh 'cemerlang'.

Jasa besar Musa membantu Umno

Musa patut dianggap cemerlang kerana 12 tahun yang lalu, selaku pengawai penyiasat polis (I.O), beliau mengendalikan kes berprofil tinggi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Musa adalah pegawai polis yang 'berjasa' menjayakan agenda konspirator Umno untuk menghapuskan karier politik Anwar.

Pada waktu itu (tahun 1998) beliau berpangkat SAC1 (Senior Assistant Commissioner of Police 1). Belum dapat Dato' belum dapat Tan Sri.

Menurut keterangan yang dicatat di dalam buku 'Anwar on Trial - In the Face on Injustice' karangan peguam terkemuka, Pawancheek Marican, Musa adalah pegawai yang menyiasat surat layang atau poison-pen letter yang melemparkankan pelbagai tuduhan terhadap Anwar.

Musa memainkan peranan utama untuk menyiasat dakwaan terhadap Anwar seperti yang terkandung dalam buku '50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM', yang ditulis Khalid Jafri.

Orang-orang Musa (pegawai polis bawahannya), ditugaskan untuk mengeledah dua unit apartment di Tivoli Villa, Bangsar. Mereka menyita tilam yang didakwa terdapat kesan air mani (semen stains) dan helaian bulu (pubic hair) untuk dibuat perbandingan DNA dengan Anwar.

Kes yang dibawa Musa mencatatkan sejarah tersendiri dalam perundangan negara, tilam menjadi tersohor apabila diangkut ke dalam bilik mahkamah sebagai salah 'seorang' saksi utama kes Anwar.

Keterangan Musa di mahkamah banyak dibantah peguam Anwar, khususnya Christopher Fernando,kerana dianggap mengemukakan 'khabar-khabar angin' yang tidak berkaitan dengan kes.

Tetapi bantahan Fernando ditolak Hakim Augustine Paul, yang membuat ruling bahawa semua keterangan Musa adalah relevan dengan kes.

Jasa besar Musa tercatat, apabila mengemukakan afidavit jawapan terhadap Dato' S Nallakaruppan, yang mencatatkan banyak tuduhan serius terhadap Anwar, walaupun ianya tiada kena mengenakan dengan kes secara spesifik.

Tindakan Musa dianggap peguambela Anwar, sebagai sebagai usaha untuk memburuk-burukkan serta menjatuhkan kredibiliti client mereka.

Hasil daripada afidavit dan keterangan bersumpah Musa, media arus perdana memaparkan semua tuduhan terhadap Anwar di muka hadapan.

Ianya merupakan pelanggaran etika dan prosedur undang-undang, kerana sepatutnya afidavit yang belum dikemukakan dalam mahkamah tidak boleh disiarkan. Tetapi di atas kuasa rakus para konspirator, semua peruntukan undang-undang diketepikan, asalkan Anwar berjaya dihukum.

Disebabkan peranan Musalah, Anwar telah dihukum media talibarut Umno sebagai pesalah yang paling jahat dan paling jijik dalam negara, walaupun tuduhan terhadap beliau belum lagi disebut dalam mahkamah.

Tatkala Musa dan media talibarut Umno-BN menyerang Anwar, TPM yang dipecat itu sudahpun menerima balasan sepak terajang dalam sel polis, yang dilakukan sendiri oleh KPN, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Banyak lagi peranan Musa sepanjang perkhidmatannya, menguntungkan Umno, tetapi tidak perlu dicatat dalam ruangan yang terhad ini.

Jasa besar Musa dalam perkhidmatannya ialah menjadi alat politik konspirator, untuk memusnahkan karier politik seteru mereka, iaitu Anwar.

Hasilnya gerakan politik Anwar tergendala selama enam tahun akibat disumbat dalam penjara. Anwar juga mengambil masa bertahun-tahun untuk memulihkan imej politik beliau.

Kes Anwar adalah merupakan suatu kes klasik yang menunjukkan secara 'direct' bahawa wujudnya campurtangan politik dalam urusan polis.

Terpahat persepsi di kalangan rakyat sehingga kini, bahawa pihak polis berkhidmat di bawah telunjuk Umno-BN. Entah mengapa persepsi ini sukar untuk dihakis.

Apapun, hasil daripada sumbangan 'besar' Musa, beliau telahpun mendapat anugerah besar sehingga dilantik menjadi KPN dan mendapat gelaran Tan Sri.

Malah Musa sepatutnya bersara beberapa tahun lepas, tetapi khidmatnya disambung beberapa tahun atas ihsan Umno-BN.

Reaksi pemberhentian Musa

Namun, nampaknya Umno-BN kini, kelihatannya tidak mahu 'terikat' dengan jasa-jasa Musa.

Mungkin juga bagi Umno-BN, imej polis yang tercalar di bawah kepimpinan Musa sukar dipulihkan kerana, Musa dianggap sebahagian besar rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat sebagai terlalu personal dengan Anwar.

Maka bagi Umno-BN, selagi Musa menduduki kerusi KPN, persepsi buruk rakyat terhadap integriti pasukan polis, sukar dihakis. Mungkin bagi mereka, hanya dengan 'melepaskan' Musa, persepsi rakyat akan kembali pulih.

Selain daripada itu wujud khabar bahawa Musa 'tidak berlaga' dengan Menteri. Malah ada rumours mengatakan ada beberapa kes membabitkan Musa yang menyebabkan kerajaan tidak berapa selesa dengannya.

Lalu Musa diberhentikan dengan cara yang begitu hina dan memalukan.

Lantas, sebagai reaksinya terhadap pemberhentian mengejut itu, Musa mendakwa ada campurtangan kerajaan terhadap pengurusan polis, dengan arahan yang bertindan, sehingga menyukarkan tugas KPN.

Kalau hendak diikutkan geram rakyat, kita patut bersorak gembira, biar dia 'padan muka'.

Musa berhak bersuara. Beliau berhak 'melepaskan geram' terhadap gangguan ahli politik Umno-BN terhadap tugas anggota polis. Namun Musa barangkali tidak sedar bahawa perlantikan beliau sebagai KPN dan sesiapa sahaja yang menduduki jawatan itu sebelumnya, adalah di atas lantikan politik.

Oleh kerana pelantikan KPN adalah diatas perogatif Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, maka Umno sentiasa akan beranggapan bahawa KPN adalah 'budak suruhan' mereka.

Pasukan polis adalah benteng pertahanan terakhir sebuah kerajaan, oleh sebab itu mereka dianggap terpaksa mengikut telunjuk 'orang yang memberi mereka makan', walhal pada hakikatnya mereka adalah pihak yang bertugas menjaga keselamatan negara.

Keikhlasan anggota polis menjalankan tugas menjaga keamanan, disalahgunakan Umno-BN untuk kepentingan politik mereka.

Dalam kes Musa secara spesifik, jelas menunjukkan bahawa Umno-BN sudah tidak lagi menghargai jasa beliau. Musa dan anggota polis di bawah kepimpinannya, tidak lagi dilihat boleh membantu menyelamatkan Umno. 'Habis sepah madu dibuang.'

Pulihkan integriti pasukan polis

Bagi Pakatan Rakyat serta majoriti rakyat yang menyokongnya, jalan terbaik untuk memulihkan integriti polis, ialah dengan memisahkannya dari ditentukan penguasa elitis Umno-BN.

Bukan sahaja KPN, malah perlantikan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan banyak lagi jawatan utama, harus dibuat oleh Parlimen.

Kerajaan boleh membentuk satu suruhanjaya khusus dan membuat cadangan kepada Parlimen. Nama-nama mereka, harus diperhalusi dan dinilai oleh wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat.

Rakyat tidak mahu jawatan dan lain-lain dilantik dan ditentukan oleh PM dari Umno-BN. Mereka mesti dilantik rakyat dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong selaku kuasa yang tertinggi dalam negara.

Hanya dengan cara ini, integriti dan maruah polis yang tercalar akan dapat dipulihkan.

Akibat daripada kuatnya kuasa politik Umno-BN, banyak cadangan dalam Suruhanjaya Di Raja yang membentuk Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC), 'dibakul sampahkan'.

Dalam satu kenyataan, Anwar selaku Ketua Pembangkang mencatatkan dalam blog beliau:

"Saya ulangi kekecewaan ramai dari ahli parlimen kerana kegagalan kerajaan meneliti serta menuruti saranan IPCMC. Sungguhpun saya mengakui hasrat kerajaan untuk melebarkan peranan suruhanjaya ini kepada sejumlah 27 agensi lainnya. Latar asal dari rang undang-undang siap perlu diberi perhatian sewajarnya. Pokok pangkalnya adalah terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi polis.

Sekiranya asas ini diabaikan, permasalahan sebenar tidak akan selesai. Integriti agensi kerajaan terutamanya pasukan polis tercalar teruk akibat salah guna kuasa segelintir pucuk pimpinannya tatkala mereka di bawah tetap berdedikasi mencurah bakti kepada masyarakat. Ketiadaan fasal berkaitan bidangkuasa siasatan hanya menyebabkan kewujudan suruhanjaya tersebut seumpama 'melepaskan batuk di tangga.'

Yang lebih mengejutkan saranan IPCMC ditolak kononnya adalah untuk melindungi ramai anggota polis yang majoritinya orang Melayu. Membingungkan sekali alasan sebegini, sedangkan yang terlibat melanggar jalur hukum merupakan pucuk pimpinan polis. Berselindung di sebalik alasan kaum merupakan alasan dangkal yang cuba memperbodohkan rakyat.

Oleh kerana itu saya menekankan tiadanya iltizam politik pada pihak pimpinan Umno-BN untuk benar-benar memastikan perubahan terlaksana. Tidak hairanlah usaha kerajaan ini seakan fatamorgana yang cuba mengelirukan mata rakyat. Insya Allah dengan usaha dan doa, pastinya yang hak akan mengatasi yang batil."

Selamat bersara Tan Sri Musa Hassan!


Khairy bidas Utusan kerana sokong PERKASA
Regina Lee
Sep 14, 10
5:26pm

Meskipun pemimpin Umno dan BN menjauhkan diri mereka daripada kumpulan pendesak Melayu - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), namun akhbar Utusan Malaysia terus menyokongnya.

Dalam edisinya hari ini, akhbar milik Umno itu menyiarkan satu halaman penuh artikel-artikel yang mempertahankan NGO itu termasuk memuatkan bancian yang kononnya menunjukkan kebanyakan orang Melayu menyokong PERKASA.

Dalam reaksi kepada tindakan Utusan Malaysia itu, ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar - seorang daripada pengkritik hebat PERKASA - melancarkan serangan secara berselindung di akaun Twitter.

Khairy menulis bahawa beliau “berpendapat akhbar tertentu itu perlu diingatkan siapa pemiliknya”.

“Saya penyokong pembaharuan supaya akhbar lebih bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma hari ini, saya tidak boleh menerima bentuk editorial akhbar tertentu,” tulisnya.

Meskipun Khairy tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataannya jelas ditujukan kepada Utusan.

Ketua pemuda Umno itu juga telah berulang-kali menegaskan bahawa Umno tidak bersekongkol dengan PERKASA dalam apa bentuk sekalipun.

Sejak seminggu lalu, beberapa pemimpin kanan Umno termasuk setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli majlis tertinggi, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap PERKASA.

Mereka mendakwa pandangan melampau PERKASA berhubung hak dan dan keistimewaan Melayu akan meminggirkan sokongan bukan Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

Utusan melalui beberapa artikelnya telah menyokong PERKASA dan rencana pengarangnya pada Ahad lalu menggesa Umno supaya memikirkan semula hubungan dengan NGO itu


Tiada ulasan: