Jumaat, 10 September 2010

JIKA ITU TAKDIRNYA....RAKYAT KELANTAN KENA TERIMALAH....SEMUANYA DATANG DARI KETENTUAN ALLAH SWT

Tengku Faris Sultan Kelantan?




KOTA BHARU 9 Sept. – Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang gering sejak setahun lalu.

Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal dilangsungkan di Balairong Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada pukul 11.30 pagi.

Terdahulu, Utusan Malaysia telah dimaklumkan satu program khas akan diadakan pada hari tersebut di Istana Balai Besar dan meminta wartawan serta jurugambar memakai pakaian kebangsaan berwarna hitam mengikut protokol rasmi.

Bagaimanapun pegawai terbabit tidak mendedahkan secara terperinci mengenai program itu dan maklumat lengkap akan hanya disampaikan kepada media pada hari berkenaan.

Sementara itu sumber lain memberitahu, istiadat pemasyhuran tersebut akan dilangsungkan selepas mesyuarat penuh kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada sebelah pagi.

“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga diminta hadir pada istiadat tersebut dengan berpakaian lengkap mengikut istiadat istana.

“Pihak polis juga diarah supaya meningkatkan kawalan keselamatan pada hari berkenaan malah cuti anggota polis sempena Hari Raya Aidilfitri di beberapa unit tertentu turut ditarik balik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Spekulasi mengenai pertabalan Sultan Kelantan yang baru bertiup kencang sejak seminggu lalu dan beberapa petunjuk seperti yang dinyatakan sebelum ini seolah-olah mengesahkannya.

Sebelum ini, Institusi Diraja Kelantan dilanda krisis yang berpanjangan sejak Tuanku Ismail Petra gering dan mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 14 Mei 2009.

Ekoran itu, Tengku Muhammad Faris yang juga anakanda sulung baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja sebelum baginda berangkat ke Hospital Mount Elizabeth.

Sementara itu, seorang ADUN yang enggan identitinya didedahkan mengesahkan beliau telah menerima jemputan ke Istana Balai Besar dengan pakaian istiadat tetapi beliau tidak dimaklumkan mengenai majlis tersebut.

“Ya saya menerima jemputan untuk ke Istana Balai Besar pada hari raya keempat tetapi saya tidak diberitahu majlis apa. Kami cuma diarahkan supaya memakai baju Melayu hitam mengikut istiadat rasmi diraja,” katanya



MB K'tan tak terima surat rasmi istiadat pemasyhuran
Sep 10, 10 5:00pm
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau belum menerima surat rasmi dari istana mengenai pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan Isnin ini.

Katanya sehingga kini beliau tidak mendapat sebarang khabar mengenai perkara itu daripada mana-mana pihak.

"Saya kalau boleh tidak mahu komen sebarang perkara berkaitan istana (Kelantan)," katanya kepada Bernama hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik sumber bahawa pemangku Raja Kelantan dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang gering sejak setahun lalu.

Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal berlangsung di Balairong Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada pukul 11.30 pagi.

Sementara itu Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad ketika dihubungi Bernama berkata beliau enggan mengesahkan mengenai istiadat pemasyhuran itu.

"Saya tidak mahu mengesahkan dan juga tidak mahu menafikan perkara itu. Saya juga tidak mendapat perintah daripada pemangku Raja untuk mengeluarkan sebarang kenyataan tentang perkara itu," katanya

Tiada ulasan: