Ahad, 26 September 2010

KES NI MENJADI TELADAN AGAR SEMUA PIHAK BERHATI2...

Lokasi Mayat Ditanam Ditemui Di Ladang Milik Suspek Utama Kes Sosilawati

KUALA LANGAT: Dua lokasi baru dipercayai merupakan tempat dua mayat yang dikaitkan dengan suspek utama kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain ditanam, ditemui di kawasan Ladang Gadong, Banting di sini, Sabtu.

Difahamkan, kedua-dua lokasi itu terletak di kawasan ladang milik suspek utama terbabit di mana satu daripadanya terletak di bahagian dalam manakala satu lagi di bahagian luar.

Polis mendapat petunjuk berhubung lokasi berkenaan hasil maklumat daripada empat suspek yang dibawa masuk ke dalam ladang itu kira-kira pukul 4 petang tadi.

Tinjauan juga mendapati sebuah jentolak dibawa masuk kira-kira pukul 4.30 petang di kawasan ladang itu dipercayai digunakan untuk kerja-kerja mengesan lokasi mayat tersebut.

Bagaimanapun, operasi mengorek dua lokasi itu hanya akan dilakukan pagi Ahad berikutan kesemua kenderaaan forensik, MPV polis dan sebuah van yang membawa suspek, keluar semula dari ladang itu kira-kira pukul 6.45 petang.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu yang dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lepas, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong.

Suspek utama kes tersebut yang merupakan seorang peguam turut dikaitkan dengan kes kehilangan beberapa individu lain termasuk seorang ahli perniagaan dari India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, dan seorang kontraktor Shafik Abdullah, 37, dari Kedah serta seorang rakannya.

Muthuraja dilaporkan hilang selepas tiba di Malaysia pada 18 Januari lepas dan Shafik serta rakannya dilaporkan hilang sejak lima bulan lepas.

Kesemua mereka dilaporkan hilang selepas berjumpa dengan suspek utama itu. - BERNAMA



Tiga Suspek Kes Sosilawati Ditahan Semula Bagi Kes Bunuh Ahli Perniagaan India

KUALA LUMPUR: Tiga suspek kes pembunuhan kejam jutawan komestik Datuk Sosilawati Lawiya, termasuk dua peguam adik beradik, ditahan semula bagi membantu siasatan polis berhubung pembunuhan seorang ahli perniagaan dari India.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek, Ahad.

Kehilangan ahli perniagaan berkenaan, Allal Kathan Muthuraja, turut dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, apabila dia dilapor hilang selepas dijemput kedua-dua peguam itu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lepas.

Rabu lepas, polis mengesahkan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang sejak awal tahun ini, telah dibunuh.

Isteri mangsa, S.Usharani, 24, membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 September lepas, dan memberi keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Jumaat.

Ketiga-tiga suspek sebelum ini ditahan reman selama seminggu sejak 12 September lepas, berhubung kes pembunuhan Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32.

Tempoh tahanan reman mereka kemudian dilanjutkan seminggu lagi dan berakhir, Sabtu.

Keempat-empat mangsa pembunuhan kejam itu dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lepas, polis mengesahkan kesemua mangsa telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor. - BERNAMA


Sukar Kesan Gelaran Datuk Tanpa Pendaftaran Negara

PETALING JAYA: Amat mudah untuk menggunakan gelaran Datuk palsu berikutan tiada pendaftaran negara bagi mengesahkan ketulenan pengiktirafan itu.

Sunday Star mendapati pelbagai sumber diperlukan untuk mengesahkan sama ada gelaran Datuk itu benar atau tidak dan Malaysia mempunyai beribu-ribu individu memegang gelaran tersebut.

Baru-baru ini, salah seorang suspek utama dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain dikatakan mempunyai gelaran Datuk.

Bagaimanapun, berdasarkan siasatan polis di semua negeri mendapati suspek terbabit tidak dikurniakan gelaran Datuk dan dikatakan perolehan gelaran itu dibeli dengan bayaran sejumlah RM180,000.

Terdapat 15 sumber berbeza berhubung gelaran Datuk seperti daripada Yang di-Pertuan Agong, negeri dan Wilayah Persekutuan.

Pada masa ini, saluran utama bagi pengesahan gelaran tersebut adalah daripada setiausaha kerajaan negeri.

Internet merupakan jalan paling mudah namun berdasarkan satu pemeriksaan mendedahkan maklumat yang sedia ada itu kebiasaannya tidak lengkap.

Bagaimanapun, terdapat sumber utama yang boleh diperoleh daripada laman web Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor tetapi dalam sumber secara komprehensif.

Terdapat satu usaha untuk mencari gelaran Datuk yang dikurniakan pada tahun 2009 tanpa merujuk kerajaan negeri namun tiada dalam senarai komprehensit itu.

Sementara itu media menyiarkan senarai yang dikurniakan oleh ketua negeri namun bukan semua yang disenaraikan.

Sesetengah laporan memperjelaskan kurniaan itu dengan anugerah yang diberikan serta bilangan anugerah yang diberikan tetapi bukan senarai nama penuh.

Sebaliknya, dalam laporan lain pula hanya menyertakan senarai penerima.

Ahli Parlimen Rembau dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin berkata, pangkalan data yang mudah diakses orang awam

“Adalah baik sekiranya pangkalan data diselaraskan bagi mengenal pasti terdapat penipuan tetapi bukan keputusan gelaran diberikan kerana kebenaran itu melibatkan hak raja-raja negeri,” katanya.

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low berkata, kebanyakan orang tidak mengetahui sama ada gelaran Datuk itu benar atau tidak.

Bagi bekas Presiden Majlis Datuk Pulau Pinang, Datuk Seri Nazir Ariff, adalah sukar untuk mengesahkan kesahihan gelaran itu.

“Tiada cara untuk mengesahkan mengenai apa yang diperkatakan mereka (segelintir Datuk) adalaghbenar. Kebiasaannya mereka tidak akan memaklumkan negeri mana yang memberikan pengurniaan itu,” katanya

Tiada ulasan: