Khamis, 1 Mac 2012

ADA YANG PRO...ADA PENYAMUN TERBUS..KAKI SONGLAP...KAKI KONGKALIKONG..KAKI KELENTUNG...KAKI BELIT...KAKI PUTAR ALAM DLL...AKHIRAT NANTI MEREKA2 TAK TERLEPAS....

Hubungan dagang Malaysia-Israel sejak 2001

Harakahdaily, 01 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 1 Mac: Malaysia telah berdagang dengan negara haram Israel sejak tahun 2001 lagi ataupun lebih awal dari itu.

Menurut Data Statistik Perdagangan Komoditi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, pada tahun 2001 sahaja, Malaysia telah mengimport USD615.924 juta (RM1,847 juta) barangan Israel.

Pada tahun itu, Malaysia telah mengeksport USD26.553 juta (RM79.65 juta) barangannya ke negara haram itu.

Sejak itu, perdagangan antara Malaysia dengan Israel sentiasa saja meningkat dari tahun ke tahun.

Pada tahun 2010, Malaysia mengimport USD798.069 juta (RM2,394 juta) barangan Israel berbanding USD85.129 juta (RM255.38 juta) barangan yang dieksport Malaysia ke Israel.



(Data hubungan dagang antara Israel dan Malaysia yang dikeluarkan oleh salah satu badan di bawah PBB)

Menurut database itu juga, Malaysia adalah negara ke 18 di dunia yang menerima barangan eksport dari Israel dengan Amerika menjadi negara paling banyak menerima barangan dari negara haram itu.

Dengan kedudukan ke 18, nilai eksport Israel ke Malaysia jauh lebih tinggi berbanding Cyprus yang berrada di kedudukan ke-19, Kanada (20), Taiwan (21), Japan (22), Australia (23), Singapura (24) dan Thailand (25).

Antara barangan eksport utama Israel ke Malaysia adalah barangan elektrik dan peralatan elektronik yang bernilai USD777.940 juta (RM2,333.82 juta) pada tahun 2010.

Selain itu, Malaysia juga mengimport mesin, reaktor nuklear dan pemanas (USD4.66 juta), baja (USD3.6 juta) dan bahan kimia organik (USD2.998 juta).

Turut diimport dari Israel adalah permata, bahan kimia bukan organik, pelastik, aluminium, sayuran dan buah-buahan, optical dan bahan edible, sabun, minyak pelincir, kacang, minyak bijian, wangian dan lain-lain lagi.

Umno perlu perjelas dagangan M’sia-Israel

Harakahdaily, 01 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 1 Mac: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) melahirkan rasa terkejut dengan pendedahan suatu maklumat di Harakahdaily pada hari ini yang mendakwa bahawa Malaysia telah berdagang dengan negara haram Israel sejak tahun 2001 lagi ataupun lebih awal dari itu.
Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, maklumat yang dikutip dari Data Statistik Perdagangan Komoditi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menunjukkan, pada tahun 2001 sahaja, Malaysia telah mengimport USD615.924 juta (RM1,847 juta) barangan Israel.

Pada tahun itu, Malaysia telah mengeksport USD26.553 juta (RM79.65 juta) barangannya ke negara haram itu.

Pada tahun 2010, Malaysia mengimport USD798.069 juta (RM2,394 juta) barangan Israel berbanding USD85.129 juta (RM255.38 juta) barangan yang dieksport Malaysia ke Israel.

Malaysia pula dicatatkan menjadi  negara ke 18 di dunia yang menerima barangan eksport dari Israel dengan Amerika menjadi negara paling banyak menerima barangan dari negara haram itu.

Dengan kedudukan ke 18, nilai eksport Israel ke Malaysia jauh lebih tinggi berbanding Cyprus yang berrada di kedudukan ke-19, Kanada (20), Taiwan (21), Japan (22), Australia (23), Singapura (24) dan Thailand (25).

“PAS WP berpandangan, kedudukan ini menunjukkan bahawa Malaysia benar-benar serius mengadakan hubungan dengan Israel.

“Dengan fakta yang dikemukakan ini, apakah alasan lain yang boleh diberikan oleh pemimpin Umno bagi menafikan maklumat ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

PAS WP, ujarnya merasa sedih kerana pemimpin Umno tidak menjaga sensitiviti umat Islam dunia dan negara ini.

Beliau berkata, dalam keadaan umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan kemarahan terhadap rejim Zionis yang zalim dan kejam itu, Malaysia pula tanpa segan silu mengadakan hubungan langsung dengan Israel.

“Soalnya, apakah pemimpin Umno menyedari perkara ini, atau pura-pura tidak sedar?

“Tidakkah mereka berfikir, wang yang dilaburkan hasil perniagaan tersebut boleh digunakan oleh Israel untuk membeli peluru buat membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa?

“Ke mana perginya suara Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku penasihat agama kepada Perdana Menteri, bersama ulama-ulama di dalam Umno untuk menasihati Perdana Menteri agar tidak berhubungan dengan Israel?” soalnya.

Katanya, apa yang dikesalkan adalah, pemimpin Umno BN selama ini menuduh Pakatan Rakyat dan pemimpinnya sebagai ejen Israel.

Menurutnya lagi, mereka mempolitikkan isu Israel dan Palestin dengan membesar-besarkan isu itu di khalayak, seolah-olah mereka adalah pejuang sebenar rakyat Palestin, manakala pemimpin Pakatan Rakyat pula bersekongkol dengan rejim itu.

“Apa yang berlaku menunjukkan sebenarnya pemimpin Umno adalah hipokrit, di depan rakyat ‘marah bukan main’ dengan rejim itu, di belakang pula bersalaman dan adakan hubungan langsung,” ujarnya.

Justeru itu, katanya PAS WP merasakan Umno tidak layak melaungkan perjuangan rakyat Palestin.

“PAS WP juga merasa yakin umat Islam di negara ini pasti tidak boleh menerima hakikat bahawa Malaysia sudah menjalin hubungan dengan Israel sejak sekian lama dan menolak pemimpin umat Islam seperti ini,” katanya lagi

Bersih: Mohamad Sabu dan 16 lagi diarah bela diri

Harakahdaily, 01 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 1 Mac: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan 17 orang termasuk Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Padang serai, N. Gobalakrishnan membela diri terhadap pertuduhan terlibat dalam perhimpunan Bersih pada 2007.

Hakim Datuk Ghazali Cha mendapati terdapat kes prima facie terhadap mereka setelah meneliti hujah rayuan yang dikemukakan pihak pendakwa di Mahkamah Sesyen pada 19 November 2010.

Mereka diperintah membela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Jagjit Singh Bant Singh pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan menaikkan ikat jamin daripada RM2,000 kepada RM5,000 setiap seorang.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi yang turut berada di mahkamah hari ini, sekretariat Bersih 2.0 dengan bantuan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang menyediakan wang ikat jamin untuk setiap orang kena tuduh (OKT).

"Kesemua OKT perlu menjelaskan ikat jamin hari ini, kalau gagal mereka akan diperintah masuk lokap," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Bagaimanapun, seorang daripada OKT telah meninggal dunia tahun lalu manakala seorang lagi sakit dan tidak dapat hadir.

Mohamad Sabu, 57, dan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 39, menghadapi dua pertuduhan iaitu tuduhan utama dan tuduhan pilihan.

Bagi tuduhan utama, mereka didakwa bersama-sama sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan boleh membawa kepada kemudaratan awam.

Bagi tuduhan pilihan, mereka didakwa bersama-sama mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut dan didakwa mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi setahun, jika sabit kesalahan.

Mohamad Sabu dan Tian Chua didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Istana Baru di sini pada 3.05 petang 10 November 2007.

Umno bukan lagi pejuang Melayu – bekas PPM

Mohd Nor Yahya, 01 Mac 2012

KOTA BHARU, 1 Mac: Akibat terlalu banyak dakwaan berlaku penyelewengan membabitkan kepimpinan Umno di Kubang Kerian, seorang pemimpin di peringkat cawangan tekad mahu meninggal parti tersebut.

Mat Riduan Abd Kadir, 48, (gambar) bekas Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) Dun Demit (kini dikenali sebagai JKKKP) tidak mahu bersekongkol lagi dengan parti tersebut.

“Umno kini sudah lari dari perjuangan asal dan bukan lagi membela umat Melayu dan agama Islam. Kini saya sudah sedar.

“Banyak kepincangan terutamanya amanah sebagai seorang pemimpin parti. Saya mengambil langkah untuk keluar Umno dan akan bersama PAS demi memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Sebelum itu beliau diraikan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Abdul Rahman Yunus pada pertemuan.

Mat Riduan bertugas sebagai PPM sejak 2004 sehingga tahun lepas mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Bahagian Umno Kubang Kerian, Datuk Mohd Fauzi Ismail.

Beliau mendakwa banyak projek kerajaan pusat yang dilaksanakan di Kubang Kerian disyaki berlaku penyelewengan.

“Banyak nilai projek tidak sepadan dengan kerja-kerja dibuat. Saya syaki ada unsur-unsur penyelewengan dalam peruntukan projek dilulus kerajaan pusat,” ujar beliau.

(Tunggu pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Kerugian MAS kerana pengurusan tidak pro

Lim Guan Eng, 01 Mac 2012
Kerugian mengejutkan sebanyak RM2.52 bilion yang dialami oleh syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines (MAS) untuk tahun 2011 adalah peringatan jelas bahawa salah urus dan model bisnes yang gagal telah mengakibatkan krisis dalam syarikat penerbangan yang pernah menjadi kebanggaan ramai apabila simpanan tunainya juga sudah hampir kehausan.

Sebenarnya, MAS sudah pun mula menjunam sejak pemergian Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala pada tahun 2009, apabila keuntungan bersihnya telah merudum dari tahun ke tahun.

Keuntungan RM490 juta pada tahun 2009 telah diikuti oleh keuntungan RM234 juta pada 2010 dan kemudiannya kerugian sebanyak RM2.52 bilion untuk tahun 2011.

Kerugian yang dialami ini jauh berbeza dengan prestasi beberapa tahun lalu apabila Datuk Seri Idris Jala telah dilantik untuk memulihkan MAS sebagai CEO.

Beliau dilantik pada tahun 2005 dan telah berjaya mencatatkan keuntungan RM850 juta pada tahun 2007 berbanding dengan kerugian RM1.3 bilion hanya 2 tahun sebelum itu.

Idris telah memulihkan MAS tetapi semua usahanya sudah sia-sia sekarang. Adakah kita memerlukan Datuk Seri Idris Jala untuk kembali menerajui kokpit MAS untuk menyelamatkannya?

Di samping kerugian yang teruk itu, simpanan tunai MAS telah diseparuhkan kepada RM1 bilion pada akhir tahun lepas daripada RM2.1 bilion pada akhir tahun 2010, sementara aset bersih telah menurun daripada RM3.5 bilion kepada RM1.1 bilion.

Dalam kata lain, MAS sudah tidak lagi terbang dengan bahan api tetapi hanya terbang dengan asap. Inilah pewarisan “piratisation” atau perompakan yang menyamar sebagai penswastaan dan kemudian pengambil alihan semula oleh kerajaan secara tidak keruan.

Malah tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyelamatkan MAS pada tahun 2001 dengan membayar dua kali ganda harga pasaran tidak dapat membantu.
Kerajaan Persekutuan telah membayar RM1.8 bilion ataupun RM8 setiap saham kepada Tan Sri Tajudin Ramli walaupun harga pasaran pada masa itu hanya RM3.68 setiap saham.

MAS tidak boleh menyalahkan keadaan ekonomi global yang kurang sihat kerana Singapore Airlines telah mencatatkan keuntungan untuk tahun lepas.

Malah, kita tidak perlu pergi jauh kerana syarikat penerbangan bajet tempatan Air Asia pun telah mengalahkan MAS.

Kita hanya perlu melihat permodalan pasaran Air Asia yang bernilai RM10.1 bilion, berbanding MAS yang hanya bernilai RM4.8 bilion.

Meskipun Air Asia hanya berumur satu dekad dan jauh lebih kecil dari segi operasi, ia bernilai lebih dua kali ganda dalam permodalan pasaran.

Tentunya terdapat masalah apabila syarikat penerbangan bajet yang mengenakan caj yang lebih rendah boleh lebih berjaya dan untung berbanding syarikat penerbangan yang mengenakan caj yang tinggi.

Daya maju syarikat penerbangan kebangsaan kita akan terus dipersoalkan melainkan isu-isu fundamental diselesaikan. Adakah ianya satu masalah model bisnes yang gagal atau pengurusan yang gagal, ataupun kedua-duanya?

Adalah jelas bahawa cara untuk mengelakkan aset kebangsaan kita daripada terhempas adalah untuk menggunakan model bisnes baru yang berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus yang telah membawa kejayaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bukan sahaja kita berjaya meyakinkan dan menarik pelabur dan menjadi destinasi pelaburan pembuatan nombor satu di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut pada tahun 2010 dan 2011, Pulau Pinang juga telah mencatatkan lebihan bajet pada setiap tahun sejak 2008 dan telah mengurangkan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta.

Model bisnes yang sedang digunakan MAS jelas sudah gagal.

Sekiranya MAS terus menggunakan kaedah perancangan pusat dan membenarkan campur tangan politik yang membiakkan rasuah dan ketidak cekapan, syarikat penerbangan kebangsaan kita akan ditakdirkan untuk gagal.

Akhirnya, soalan yang ingin ditanya oleh rakyat Malaysia adalah siapakah yang akan bertanggungjawab untuk kerugian yang besar ini? Sudah tentu kerugian RM2.52 bilion oleh syarikat penerbangan kebangsaan kita ini tidak boleh diterima semua, terutamanya apabila sebab utama ia diselamatkan oleh kerajaan adalah untuk menyelamatkannya daripada masalah-masalah salah urus dan model bisnes yang lemah.

Kerajaan mestilah mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab untuk kerugian yang besar ini dan mengambil tindakan ke atas mereka kerana itulah yang diharapkan oleh rakyat Malaysia.

Selangor cetak semula borang rumah mampu milik

Harakahdaily, 01 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 1 Mac: Borang pendaftaran untuk membeli Rumah Mampu Milik (RMM) Negeri Selangor telah dicetak semula, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan negeri Iskandar A. Samad (gambar).


Katanya, borang-borang boleh diperolehi dari Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) di Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40503 Shah Alam.

Beliau memberitahu, borang-borang tersebut mulai dijual pada bulan Jun tahun lepas apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan RMM mereka di Bandar Baru Bangi.

“Walau bagaimanapun kesemua 2,700 borang bagi cetakan pertama telah habis dijual dan memerlukan cetakan kedua,” ujarnya lagi.

Jelasnya, setiap borang telah dijual dengan harga RM5 yang termasuk kos memproses.

Katanya, untuk projek RMM PKNS di Bangi, sebanyak 640 permohonan telah diterima untuk 124 unit yang dibina.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini menambah, nama-nama mereka yang terpilih untuk membeli RMM itu telah dipamerkan di dalam laman web LPHS selama 2 minggu mulai 16 Disember lepas.

“Tetapi dengan pengumuman bahawa 136 unit RMM akan disiapkan  oleh sebuah pemaju swasta di Sg. Long, Kajang pada bulan September ini maka adalah dijangka lebih ramai yang akan mendapatkan borang ini,” ujarnya yang juga Adun Chempaka.

Katanya, mereka yang mempunyai  sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi LPHS di talian 03-5544 7078.

MP Sabak Bernam dipenjara 6 tahun, denda RM400,000

Muhammad Faizal, 01 Mac 2012
SHAH ALAM, 1 Mac: Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri (depan) dan pembantunya, Rosli Busro, 44, dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM400,000 atau 1 tahun penjara bagi setiap pertuduhan.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaraya berjaya mengemukakan bukti tanpa menimbulkan keraguan serta mengambil rayuan dari pihak pembela.

Abdul Rahman Bakri didapati bersalah kerana membuat lapan tuntutan palsu berjumlah RM80,000.

Sementera itu, pembantu khasnya, Rosli Busro yang juga didapati bersalah atas tuduhan yang sama dijatuhkan hukuman.

Hakim memerintah kesemua hukuman penjara dijalankan serentak manakala denda sebanyak RM400 ribu dikenakan bagi semua tuduhan atau 8 tahun penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Namun, Mahkamah menangguhkan hukuman tersebut dengan ikat jamin sebanyak RM50 ribu kepada Abdul Rahman, manakala pembantu khasnya sebanyak RM30 ribu sementara menunggu kes tersebut dibawa ke Mahkamah Rayuan.

Semalam, di mahkamah yang sama hakim telah membuat keputusan mendapati kedua-duanya bersalah terhadap tuduhan tersebut, namun atas rayuan pihak peguam bela keputusan menjatuhkan hukuman ditunda ke hari ini.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didapati membuat tuntutan palsu sebanyak RM10,000 setiap satu di antara 21 Januari dan 4 Februari 2008 ketika menjadi Adun Sungai Ayer Tawar.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin mewakili Abdul Rahman.

Sementara itu, mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.

Tiada ulasan: