Rabu, 28 Mac 2012

DIDUNIA BOLEH TUTUP...DIAKHIRAT BAGAIMANA...SEMUA YANG TERLIBAT AKAN KENA..NAMPAK SANGAT DOUBLE STANDARD...PENTINGKAN KRONI...NAMPAK SANGAT KEPINCANGANNYA..

Kalau Tajudin boleh kenapa PTPTN tak boleh?

Abdul Aziz Mustafa, 28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Rancangan mengadakan himpunan peminjam-peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di hadapan pejabat Perdana Menteri mendapat sambutan luar biasa, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"Anak-anak muda yang meminjam dari PTPTN tidak berpuas hati terhadap layanan keras terhadap mereka sedangkan hutang (Tan Sri) Tajudin (Ramli) berjumlah RM589 juta dihapuskan begitu sahaja oleh kerajaan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) begitu sahaja.

"Mereka bersungguh-sungguh mahu berhimpun menuntut pinjaman mereka juga dihapuskira," katanya.

Peminjam-peminjam PTPTN itu mempersoalkan mengapa mereka diburu dengan begitu keras dan kasar jika gagal membayar pinjaman sedangkan Tajudin mendapat layanan yang begitu istimewa, kata beliau.

"Mereka juga mahu hutang mereka dilupuskan seperti hutang Tajudin yang mempunyai kekayaan luar biasa itu.

"Peminjam-peminjam PTPTN itu bukannya bertaraf pengarah bukan bebas dan Pengerusi Bukan Eksekutif Edaran Berhad seperti Tajudin, mereka tidak ada Tanjung Rhu Resorts atau bot Azimut yang berharga sehingga hampir setengah juta dollar Amerika seperti Tajudin," kata Mohamad.

Beliau hairan mengapa Perdana Menteri boleh melupuskan hutang Tajudin itu sedangkan tiga tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Tajudin membayar jumlah berkenaan kepada Danaharta.

"Mahkamah dah kata Tajudin kena bayar balik, tetapi kerajaan Najib lupuskan hutang itu," kata Mohamad.

Menurut beliau, kalaulah institusi-institusi kewangan mendapat perintah seperti itu terhadap rakyat tertindas, mereka tidak akan berkompromi.

"Mereka akan mengambil pelbagai tindakan untuk mendapatkan kembali hutang mereka termasuk mensita harta-harta peminjam atau meminta mahkamah mengisytihar si peminjam itu muflis.

"Tetapi Najib senang-senang write off hutang Tajudin sebesar RM589 bilion. Kepentingan Tajudin dalam Edaran Berhad dan Tanjung Rhu Resort sedikit pun tidak diusik.

"Lepas ini bolehlah Tajudin mengajak Najib berseronok-seronok naik bot Azimut mengelilingi Langkawi," katanya.

Mohamad (gambar) meminta rakyat Malaysia sedar bahawa ini bukan kali pertama Tajudin mendapat layanan istimewa dari kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

"Dulu, selepas mengakibatkan pelbagai masalah kepada MAS akibat pengurusannya, Tajudin mendapat untung besar apabila menjual balik sahamnya dalam MAS kepada kerajaan dengan harga yang berkali ganda lebih tinggi dari harga pasaran.

"Zaman (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dapat jual saham dengan harga berkali ganda lebih tinggi kepada kerajaan, zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) Tajudin tidak diambil tindakan walaupun laporan bertulis telah dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan zaman Najib pula hutangnya sehingga RM589 juta dilupuskan.

"Adakah kerajaan Najib fikir para peminjam PTPTN mahu menonton begitu sahaja layanan istimewa kerajaan Umno kepada Tajudin?" beliau mempersoalkan,

Sebelum ini, Mohamad menyatakan bahawa pihaknya akan menyokong tindakan kumpulan pelajar yang akan mengadakan satu perhimpunan untuk menuntut supaya PTPTN dihapuskan.

"Golongan korporat yang diberi pinjaman mudah boleh dihapuskira.

"Tapi pelajar yang akan berkhidmat kepada negara dipaksa untuk membayar hutang dengan begitu rakus dan kasar," katanya.

Robert Kuok beli ladang sawit Tabung Haji di Riau?

Hazayani Zakaria, 28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Pakatan Rakyat memohon penjelasan kerajaan berhubung dakwaan bahawa Tabung Haji akan menjual ladang kelapa sawitnya seluas 83,000 hektar di Riau, Indonesia.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) berkata, langkah tersebut dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan menimbulkan kecurigaan.

"Tindakan ini mencurigakan kerana tidak ada penjelasan daripada Tabung Haji dan Jabatan Perdana Menteri kenapa aset yang begitu berharga dijual dalam keadaan terdesak," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.

Menurut Husam, penjualan ladang tersebut akan menjejaskan caruman pencarum Tabung Haji yang majoriti terdiri daripada orang Islam.

Ketika ini, ladang tersebut memberikan pulangan sejumlah RM3juta sehari kepada Tabung Haji.

"Kami difahamkan langkah penjualan ini dibuat secara tergesa-gesa kepada satu syarikat yang dimiliki Tan Sri Robert Kuok," katanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Beliau juga tidak menolak langkah ini diambil setelah usaha menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia tergendala.

"Kami berpandangan ini langkah terdesak BN untuk cash out aset-aset yang dimiliki oleh agensi atau perbadanan melibatkan kepentingan negara dan orang ramai.

"Dan ini mungkin langkah kedua setelah langkah mereka dalam penyenaraian FGVH tergendala," katanya.

Pakatan tetap tolak pelaksanaan GST

Hazayani Zakaria, 28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Pakatan Rakyat tetap berpendirian menolak cadangan kerajaan untuk melaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah tidak munasabah GST dilaksanakan dalam pada kadar pendapatan rakyat tidak meningkat.

"Alasan kita ialah orang yang tidak membayar cukai itu umumnya bawah kategori yang miskin. Apa yang dicadangkan BN ialah memperluas jumlah pembayar cukai baru yang melibatkan golongan miskin.

"Selagi kadar pendapatan mereka tidak meningkat, tidak munasabah untuk melaksanakan sistem ini," kata beliau selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.

Justeru kata Ketua Pembangkang itu, bagi memastikan GST tidak dilaksanakan, rakyat mesti menolak BN pada Pilihan raya Umum ke-13.

"Maka Pakatan Rakyat tegas dengan pendirian kita menolak cadangan BN untuk melaksanakan GST dan caranya dengan tumbangkan BN," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata, GST akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif.

Katanya, pelaksanaan GST akan mewujudkan ruang untuk negara menurunkan cukai korporat dan individu.

Hutang negara RM456.1b, melonjak hampir 100%

Anis Nazri, 28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Ketika kerajaan menanggung beban hutang sebanyak RM456.1 bilion, kerajaan juga begitu bermurah hati melupuskan hutang Tan Sri Tajudin Ramli berjumlah RM589 juta.

Dengan beban hutang yang meningkat hampir 100 peratus itu juga, kerajaan tidak teragak-agak menambah beban dengan lebihan perbelanjaan sebanyak RM3.4 bilion ketika membatalkan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Begitu juga apabila kerajaan bertindak melepaskan Maju Holdings Sdn Bhd dengan keuntungan RM976.2 juta setelah menjual konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya kepada EP Manufacturing Berhad yang dilaporkan bernilai RM1.7 juta, sementara geran sebanyak RM976.2 juta tidak dituntut kembali Kementerian Kewangan.

Berdasarkan situasi-situasi tersebut, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad (gambar) mempersoalkan apakah rakyat melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih layak dan mampu mengurus kewangan dan khazanah negara.

"Bagaimana Najib cuba meyakinkan rakyat yang membayar cukai tentang kebijaksanaannya menguruskan ekonomi negara, sedangkan beliau lebih dilihat mengutamakan kroni dan hanya membebankan rakyat?" soal beliau ketika sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan bagi soalan lisan beliau yang diberikan Kementerian Kewangan berhubung jumlah hutang Kerajaan Persekutuan.

Dzulkefly menambah, hutang kerajaan telah melonjak dari RM146 bilion pada 2002, RM242 bilion (2006), dan RM456.1 bilion pada penghujung 2011, yang dilihat melonjak hampir 100 peratus.

"Paling merunsingkan pelbagai pihak adalah perbelanjaan di luar peruntukan belanjawan atau off-balance sheet spending. Seandainya hutang ini gagal dibayar badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan yang dijamin kerajaan pusat, maka semua ini akan menjadi hutang kerajaan pusat," tegas beliau lagi.

Ini kerana, katanya sejak tahun-tahun kebelakangan, kerajaan pusat menerbitkan pelbagai Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan (bon simpanan) dan Sekuriti Kerajaan.

Tambah Dzulkefly, pinjaman itulah yang dimaksudkan dengan pinjaman yang tidak termasuk dalam hutang  hutang kerajaan RM456.1 bilion.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mengatakan hutang kerajaan sebanyak RM456.1 bilion atau 53.5 peratus nisbah KDNK, dengan hutang dalam negeri berjumlah RM438 bilion, manakala baki RM18.1 juta merupakan hutang luar negeri.

Firasat Tun Daim buat Umno kecut perut

Yaakub Dasan, 28 Mac 2012

RANTAU PANJANG, 28 Mac: Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu menerima hakikat  parti itu semakin hilang pengaruh biar pun media tajaan mereka memberi gambaran sebaliknya.

Ini dapat dibuktikan apabila Umno terpaksa menggunakan pentas mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) serta pengagihan bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi mengerah orang ramai hadir.

Di Kota Bharu ceramah Ketua Bahagian, Datuk Fatmi Che Salleh terpaksa diadakan jamuan bagi menarik orang ramai datang. Malah pada poster ceramah turut dipaparkan gambar Pengerusi Perhubungan Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Terbaru di Kampung Paya Senang malam Isnin lalu disediakan jamuan nasi. Bagaimanapun kehadiran penduduk boleh dibilang dengan jari.

Timbalan Exco kerajaan negeri, Mohamad Awang (gambar) berkata, pemimpin Umno perlu mengakui hakikat yang berlaku sekarang kerana masa kehebatan mereka semakin berlalu.

“Malah kenyataan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang membayangkan Umno dan BN hanya mampu mempertahankan Pahang, Johor dan Melaka sahaja pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 amat mencabar sekali.

“Kenyataan bekas bendahari Umno itu sangat jelas dan boleh diterima oleh sesiapa sahaja. Keterbatasan keupayaan Umno kelihatan makin jelas sekarang. Ini membuat mereka semakin kecut perut.

“Kejatuhan empat negeri ke tangan Pakatan Rakyat (PR) dan mengekalkan Kelantan pada PRU-12 merupakan permulaan episod yang menakutkan kerajaan BN,” katanya yang juga Adun Gual Periuk di sini.

Menurutnya, bayangan dibuat Tun Daim tidak mampu ditolak begitu sahaja kerana beliau mengetahui selok-belok yang berlaku dalam Umno dan BN sejak dahulu sehingga sekarang.

Baru-baru ini ketika interview dengan sebuah akhbar berbahasa Cina Daim dilaporkan memberitahu usaha Umno-BN mempertahankan Perak menjadi satu cabaran. Begitu juga mahu mengekalkan Terengganu dan Sabah Umno perlu bersatu.

Malah menurutnya BN hanya berupaya mengekalkan tiga negeri sahaja iaitu Johor, Pahang dan Melaka.

Tender baru: Tak semudah itu nak tutup isu NFC

Harakahdaily, 28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: PAS menyifatkan tindakan kerajaan BN mahu menjemput bidaan baru bagi memilih kontraktor mengambil alih operasi Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) sebagai cubaan 'menutup buku' skandal tersebut dari diperkatakan rakyat.

Selain cuba menutup kes, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) juga mendakwa, ianya juga dilihat sebagai cubaan pemimpin tertentu khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilarikan dari terpalit dengan skandal yang menggemparkan negara itu.

"Ini semua cubaan nak lari, nak tutup kes yang membabitkan kelemahan Najib dan Muhyiddin. Isu sebenar adalah mengapa Najib dan Muhyiddin meluluskan projek bernilai RM250 juta ini kepada syarikat Agro Science Sdn Bhd milik keluarga (Datuk Seri) Shahrizat yang diketahui tiada pengalaman.

"Ini mesti diperjelaskan sebelum tender baru dibuat," katanya kepada Harakahdaily.

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar mengumumkan, kerajaan akan membuka tender baru NFC untuk meneruskan projek itu bagi memastikannya berjalan lancar.

Bercakap dalam sesi penggulungan di Parlimen semalam, Noh berkata, kementerian juga melantik juruaudit bagi projek lembah daging di Gemas, Negeri Sembilan itu.

Noh bagaimanapun tidak menyebut sama ada keluarga menteri kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan kehilangan projek itu dan sama ada kerajaan akan mendapatkan semula pembayaran daripada pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan sebelum ini.

"Kita nak tanya, apabila ditender bermakna syarikat sedia ada perlu diterminate. Tapi setakat ini kita tidak nampak ketegasan oleh kerajaan untuk terminate Agro Science itu.

"Juga tidak ada ketegasan apa mekanisma duit RM250 juta yang dipinjam sebelum ini dapat balik. Kita tak mahu ulangi kesilapan dalam tender baru," katanya sambil mengulangi desakan agar Suruhajaya Diraja ditubuhkan menyelesaikan keseluruhan isu tersebut termasuk mendapatkan semula wang RM250 juta itu.

Tiada ulasan: