Selasa, 20 Mac 2012

BILA CAKAP TAK DE NOR..JADI SYOK SENDIRI...BILA KITA BANYAK SANGAT CAKAP...MAKA BERTAMBAH BANYAK BERKATA BOHONG..BERTAMBAH BANYAK JANJI TAPI MUNGKIR

MEX: Kembalikan RM976.7 juta pelaburan rakyat

Harakahdaily, 19 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 19 Mac: Mengapakah kerajaan sanggup menswastakan projek lebuhraya yang menelan bajet RM1.32 bilion selepas membiayainya dengan duit rakyat RM976.7 juta kepada sebuah syarikat yang kemudiannya mendapatkan pinjaman RM343 juta untuk menyiapkannya?

Lebih teruk lagi, apabila syarikat berkenaan ini dikatakan ingin menjual lebuhraya tersebut pada harga RM1.7 bilion, dan sekiranya berlaku ia bakal mendapat keuntungan RM1.09 bilion sekiranya wang rakyat RM976.7 juta tidak dikembalikan.

Inilah yang sedang berlaku kepada projek Lebuhraya Maju Expressway (MEX) yang panjangnya 26km menghubungkan Kuala Lumpur dengan Putrajaya, yang dimiliki 96.8% oleh Maju Holdings Sdn Bhd kepunyaan Tan Sri Sahid Mohamed yang dianugerahkan secara runding terus tanpa tender.

“MEX ialah satu kes yang terang-benderang duit rakyat dikebas untuk membiayai projek membina lebuhraya tersebut, yang kemudiannya mengebas rakyat apabila terpaksa membayar tol untul 33 tahun.

"Tiada contoh terbaik bagaimana kerajaan BN dan kroni mereka membina lebuhraya untuk merompak rakyat,” kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam satu kenyataan hari ini.

MEX menjadi fokus selepas Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menyeru perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjelaskan mengapa projek tersebut dijual kepada EP Manufacturing Berhad pada harga RM1.7 bilion seperti yang diumumkan syarikat tersebut ke Bursa Malaysia.

Semalam, Rafizi berkata suntikan dana yang dibuat oleh Maju Holdings Sdn Bhd hanyalah sekitar RM60 juta (iaitu 4.5% dari kos keseluruhan) kerana ia turut meminjam RM370 juta dari institusi kewangan.

Oleh yang demikian, katanya penjualan berjumlah RM1.7 bilion ini akan memberi durian runtuh kepada Maju Holdings Sdn Bhd sekiranya geran oleh kerajaan berjumlah RM976.6 juta tidak dikembalikan.

“Wang pembayar cukai Malaysia dikebas sebegitu rupa untuk menjadikan Tan Sri Sahid sebagai seorang bilionair adalah melampau dan tidak boleh diterima. Seperti yang dinyatakan, daripada jumlah keuntungan tersebut, RM967.7 juta adalah wang rakyat,” tegas Pua.

Pua berkata Najib perlu bertindak demi mempertahankan transformasi kerajaan yang diwar-warkan dengan menghapuskan sikap kronisme dan naungan politik.

“Jika beliau gagal bertindak, beliau boleh menanti serangan bertubi-tubi Pakatan Rakyat terhadap rompakan lebuhraya oleh BN dan kroninya sehingga PRU13,” kata beliau.

Berjuang: PAS sambut baik titah Sultan Selangor

Muhammad Faizal, 19 Mac 2012
SHAH ALAM, 19 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Osman (gambar) menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sewaktu perasmian pembukaan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor yang Kedua belas pagi tadi yang menekankan tentang pentingnya berjuang.

"Saya melihat Sultan Selangor mahukan kita berjuang merentasi agama, bangsa dan kaum, inilah yang kita mahu tekankan.

"Islam tidak pernah pergi kepada satu kaum sahaja," jelasnya.

Tambah Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor itu lagi, dalam masa yang sama baginda juga tidak mahu fitnah menjadi satu budaya malah turut meminta agar wakil-wakil yang dipilih saling hormat menghormati antara satu sama dengan yang lain.

"Bila kita mendengar titah ucapan baginda yang menyeru semua pihak saling menghormati antara satu sama lain serta ketepikan budaya fitnah, ia satu yang perlu dipatuhi.

"Sebab itulah kita meminta mereka dari Umno Barisan Nasional dapat menerima pelawaan debat serta kemukakan bukti jika benar apa yang didakwa bukannya hanya sekadar mengeluarkan kenyataan melalui akhbar milik mereka sahaja," sambung beliau lagi.

Dr Rani berpendapat pemimpin Umno Barisan Nasional perlu tampil mengemukakan bukti apa yang telah dikatakan oleh mereka selaras dengan kehendak Sultan Selangor agar budaya fitnah dapat dihindar.

Mengulas mengenai Menteri Besar Selangor yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, beliau memberitahu seperti mana dalam titah Sultan Selangor perkara itu tidak perlu timbul lagi.

"Kalau orang mengatakan Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mempunyai latar belakang agama itu tidak timbul malah baginda Sultan pun turut mempercayai kewibawaan pimpinan Khalid dalam memegang jawatan tersebut.

"Kita tengok di mana-mana negeri, Menteri Besar memegang jawatan tersebut dan jika mereka tidak faham dalam soal agama maka mereka akan dinasihati oleh Mufti dan juga ulama-ulama yang dilantik, jadi tidak timbul lagi soal kemampuan mereka dalam bab agama," katanya.

Sewaktu merasmikan pembukaan persidangan Dun, Sultan Selangor supaya perpaduan yang terjalin di antara seluruh rakyat di negeri ini hendaklah terus dikekalkan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Malah baginda juga mahukan dewan yang mulia itu menjadi medan terbaik untuk menyelesaikan pelbagai perkara dan isu yang melibatkan rakyat Selangor.

PKR dakwa Najib campur tangan kes saman Felda

Hazayani Zakaria, 19 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 19 Mac: PKR mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam memanipulasi sistem kehakiman berhubung kes saman peneroka terhadap Felda.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau mempunyai maklumat minit mesyuarat bersama pengurusan Felda yang dipengerusikan Najib sendiri bertarikh 27 Jun 2011 di bangunan Parlimen.

Menurut Saifuddin, dalam mesyuarat tersebut, Najib meminta hakim dan peguam diberikan kefahaman mengenai kes saman peneroka Felda Serting terhadap Felda berhubung isu kadar perahan minyak kelapa sawit.

"Ayat (Perdana Menteri) ini  merupakan ayat yang tercatat dalam dokumen rasmi mesyuarat Felda yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang menyebut dengan terang bahawa dalam kes kadar perahan minyak yang belum ditentukan tarikh perbicaraan penuh, pastikan hakim dan peguam faham berkenaan isu ini, pastikan felda menang supaya tidak menjejaskan kes lain.

"Terang-terang menunjukkan berlakunya manipulasi kehakiman. Ada 20 kes melibatkan Felda," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau menuntut Najib memberikan penjelasan berhubung perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

"Saya minta tadi sewaktu perbahasan dalam dewan  Perdana Menteri dalam jawapannya mesti tampil menjelaskan apakah ini menjadi amalan dalam kes peneroka lawan Felda ini," katanya.

Pada Ogos 2010 seramai 766 peneroka Felda Serting Negeri Sembilan memfailkan saman di Mahakamah Tinggi Seremban terhadap Felda dan menuntut gantirugi sebanyak RM200 juta.

Mereka mendakwa Felda telah menipu mereka dan menyebabkan mereka menanggung kerugian yang besar.
Tuntutan itu difailkan oleh peguam Sivarasa Rasiah bagi pihak peneroka daripada Felda Serting dan Raja Alias, berdekatan Jempol, Negeri Sembilan.

Mereka menamakan Felda dan Felda Palm Sdn Bhd masing-masing sebagai defenden pertama dan kedua.

Dalam tuntutanya itu, mereka mendakwa "wujud penipuan dan/atau konspirasi untuk melakukan penipuan dalam urusan jual beli dan hasil buah sawit".

DAP tolak JK Lynas, BN halalkan loji nadir bumi

Roketkini.com, 19 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 19 Mac: DAP tidak akan menyertai Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) mengenai loji Lynas yang memalukan kerana ia hanya akan menjadi fait accompli (yang telah diputuskan) untuk menghalalkan loji nadir bumi syarikat Australia itu. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, PSC juga akan menjadi alat Barisan Nasional untuk memaksa orang awam menerima loji Lynas tanpa mempedulikan soal keselamatan, alam sekitar dan kesihatan rakyat.
“DAP akan mencadangkan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat supaya tidak membenarkan BN menggunakan penyertaan PR untuk menghalalkan loji Lynas, bagi memastikan PR tidak akan terlibat dengan apa-apa bencana alam sekitar yang mungkin berlaku pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengesahkan bahawa PSC adalah satu samaran yang pura-pura oleh BN untuk menghalalkan apa yang salah dan bertentangan dengan kepentingan awam, dengan mengatakan bahawa PSC tidak akan menentukan nasib Lynas.
Beliau menjelaskan Najib juga telah mengakui bahawa PSC hanyalah satu proses perbincangan untuk membolehkan projek Lynas diteruskan dan tidak akan ditentang oleh rakyat atau mencetuskan kebimbangan rakyat.
“Dengan perkataan lain, langkah ini hanyalah bertujuan membantu projek tersebut mendapat sokongan rakyat dan membantu kerajaan BN meyakinkan rakyat Malaysia bahawa tidak ada ancaman daripada loji nadir bumi Lunas dan sisa buangannya yang bakal mendatangkan bahaya,” katanya.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan BN telah mengorbankan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, khususnya mereka di Kuantan, dengan mendahulukan keuntungan berbanding nasib rakyat, apabila menganugerahkan Lynas dengan projek tanpa perlu membayar cukai selama 12 tahun.
Menurutnya, rakyat Malaysia tidak akan mudah diperbodohkan oleh BN dan menuntut penjelasan terhadap isu yang sebenar, khususnya di mana sisa buangan radioaktif akan dibuang.
“Pada mulanya Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) telah  mendakwa bahawa Lynas Corporation akan diarahkan supaya menghantar pulang sisa radioaktif ke Australia jika ia gagal mewujudkan kemudahan pembuangan sisa kekal di sini. Ini telah ditolak oleh Australia.
“Kemudian AELB mengatakan sisa buangan mungkin disimpan di ladang-ladang bijih timah yang sudah tidak digunakan lagi di Sungai Lembing, di mana ini mengesahkan lagi bahawa sisa-sisa tersebut akan dibuang di bumi Malaysia.
“Jelas kerana untung besar yang akan hanya dinikmati segelintir manusia, BN sanggup berjudi bukan sahaja dengan kesihatan kita tetapi juga keselamatan alam sekitar untuk generasi kita yang akan datang,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan bahawa Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah menolak sebarang cadangan loji Lynas atau reaktor nuklear di negeri itu kerana tidak akan bertolak-ansur dalam soal keselamatan rakyat Malaysia.
“Pakatan Rakyat tidak sepatutnya dijadikan alat oleh BN bagi membohongi rakyat dan menjustifikasi tindakan BN untuk membenarkan loji nadir bumi Lynas beroperasi di Malaysia,” tambah beliau.

PAS optimis Pakatan kembali tadbir Perak

Harakahdaily, 19 Mac 2012
IPOH, 19 Mac: PAS Negeri Perak optimis Pakatan Rakyat mampu mentadbir semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada sokongan dan mood rakyat yang masih bersama Pakatan Rakyat biarpun negeri ini kini di bawah pentadbiran Umno BN.

Menurutnya, rakyat juga masih berasa marah dengan tindakan Umno BN yang mengambil pemerintahan negeri itu secara 'kudeta' dari Pakatan Rakyat pada 2009 lalu.

“Saya yakin insya-Allah Perak akan kembali ditadbir oleh Pakatan Rakyat setelah dirampas dengan cara yang begitu kotor dan jelek oleh Umno BN”

“Sebenarnya rakyat Perak masih bersama Pakatan Rakyat, dulu Perak dirampas bukan kerana pilihan rakyat tetapi oleh perancangan zalim Umno BN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke- 4 Pakatan Rakyat Perak yang diadakan di Medan Istana Bandar Ipoh Raya baru-baru ini.

Mengulas lanjut Abu Bakar berkata, beliau juga optimis bahawa Umno BN tidak mampu untuk mempertahan kerajaan negeri itu.

Bukan sahaja kerana mood rakyat yang masih marah, tetapi juga sokongan masyarakat Cina dan India yang sebahagian besar sudah beralih kepada Pakatan Rakyat.

“Umno tidak mampu mempertahankan kerajaan negeri, hal ini kerana dua kelompok rakyat yang selama ini menjadi talian hayat mereka sudah beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat”

“MCA, MIC dan Gerakan sudah lumpuh dan hilang pengaruh kerana sebahagian besar pengundi Cina dan India sudah hilang kepercayaan kepada Umno-BN," tegasnya.

Disamping itu, isu-isu nasional yang memperlihatkan amalan rasuah, salah guna kuasa Umno BN, turut membantu memberi kesedaran kepada rakyat Perak untuk menolak BN dan menggantikannya dengan Pakatan Rakyat.

Najib hanya pandai cakap idea orang

Abdul Aziz Mustafa, 19 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 19 Mac: Tidak masuk akal sama sekali Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membawa Malaysia ke tahap negara maju jika isu pembantu rumah pun dia tidak tahu selesaikan.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, isu tersebut tetap tidak tahu diselesaikan oleh pentadbiran Najib walaupun telah berlarutan sekian lama.

"Kegagalan Najib menyelesaikan isu pembantu rumah merupakan satu lagi bukti jelas bahawa dia hanya pandai bercakap dengan idea dan fikiran orang lain sahaja.

"Itu sahaja kebolehan Najib termasuk mengulang sebut pelbagai singkatan atau akronim yang orang lain reka sedangkan dia sendiri tidak boleh diharapkan hatta untuk menyelesaikan isu pembantu rumah sekalipun," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, sebelum ini, telah berkali-kali didakwa kononnya isu itu sudah selesai.

"Setiap kali Perdana Menteri makan angin ke Indonesia, digembar-gemburkan kononnya isu itu akan diselesaikan oleh beliau. Mana penyelesaiannya?

"Sama seperti isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Felda, MAS serta terlalu banyak isu lain, Najib berkali-kali membuktikan dengan jelas kepada rakyat bahawa beliau tidak tahu dan langsung tidak mempunyai kebolehan untuk menyelesaikan hampir semua masalah," kata Mahfuz.

Menurut Mahfuz, masalah pembantu rumah ini memerlukan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

"Dalam perbahasan di Parlimen selepas ini, saya akan nyatakan kegagalan kerajaan melaksanakan penyelesaian jangka panjang yang telah berkali-kali dicadangkan oleh pelbagai pihak dan betapa wang negara RM250 juta yang seolah-olah dikendurikan kepada keluarga Ketua Wanita Umno boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan penyelesaian yang berulang kali dicadangkan itu," kata beliau.

Mahfuz meminta rakyat menilai betapa tidak berkebolehannya pentadbiran Najib menyelesaikan masalah rakyat itu.

"Ia juga membuktikan bahawa masalah yang dihadapi oleh rakyat, tidak kiralah masalah pembantu rumah, kenaikan harga barang atau apa sahaja masalah rakyat, tidak diberi keutamaan oleh pentadbiran Najib.

"Yang tidak habis-habis beliau lakukan ialah bercakap berdegar-degar kononnya dia pandai sangat untuk mengatasi pelbagai masalah negara ini.

"Sedangkan, keriuhan beliau mengenai pelbagai perkara termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) misalnya terbukti menjadi bahan persendaan orang-orang Umno sendiri. Nyata sekali Najib tak mampu," kata beliau.

Krisis pembantu rumah semakin meruncing apabila Indonesia baru-baru ini menetapkan polisi "satu amah, satu tugas" dengan gaji minimum RM700.

Polisi itu bermakna, seandainya seorang amah diupah untuk mengasuh bayi, tugasnya hanyalah mengasuh bayi dan tidak akan melakukan kerja-kerja rumah yang lain dan gaji minimumnya adalah RM700.

Sehubungan itu, bakal majikan di Malaysia tidak lagi boleh mengharapkan kepada seorang amah sahaja untuk melakukan semua kerja di rumah mereka.

Keputusan itu dicapai hasil rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia yang menetapkan penghantaran Tenaga Kerja Indonesia (TKI) akan mengikut kemahiran masing-masing dalam empat bidang tertentu iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.

Tiada ulasan: