Ahad, 25 Mac 2012

ORANG CELIK IT...BERPELAJARAN...DAN BANYAK YANG NAK ISLAM SERTA KEADILAN

PBT Selangor yang terbaik - Sistem Star Rating

Harakahdaily, 24 Mac 2012
SHAH ALAM, 24 Mac: Negeri Selangor mendahului negeri-negeri lain di Malaysia apabila dua majlis bandaraya dan enam majlis perbandaran mendapat empat bintang dalam “Sistem Star Rating” bagi Pihak Berkuasa Tempatan pada 2010/2011.

Majlis bandaraya dan majlis perbandaran di Negeri Selangor yang mendapat empat bintang ialah  Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Manakala empat majlis daerah di Selangor mendapat taraf tiga bintang iaitu Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Keputusan ini satu peningkatan drastik dan memberangsangkan bagi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan di Negeri Selangor.

Ia juga membuktikan kerjasama baik antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Sehingga kini difahamkan Kementerian yang berkenaan tidak mahu mengisytiharkan keputusan ini ekoran kejayaan utama negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat khasnya Selangor.

Kejayaan dicapai Selangor ini berlaku ketika media BN terus-terusan memburuk-burukkan kerajaan negeri Selangor dalam media mereka.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua Dato’ Bandar dan Yang di-Pertua (YDP) pihak berkuasa tempatan serta pegawai mereka dan berharap mereka akan terus berusaha bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berjalan dengan baik," kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar).

Sebanyak 354 indikator digunakan dalam Sistem Star Rating bagi Pihak Berkuasa Tempatan  berdasarkan 4 bidang utama iaitu pengurusan, perkhidmatan-perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti.

Sistem ini – yang bermula pada 2008 atas saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan – juga menggunakan borang soal selidik daripada responden yang terdiri daripada penduduk (70%), peniaga (20%) dan NGO (10%).

Sistem Star Rating bagi Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun 2010/2011 ini, tiada satu pun pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang berjaya mendapat taraf 5 bintang.

Memo tuntut bebas Hoslan diserah kepada Agong

Anis Nazri, 24 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 24 Mac: Memorandum menuntut pengampunan dan seterusnya membebaskan imam Hoslan Hussain berjaya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni AlMarhum Sultan Badlishah, petang ini.

Koordinator NGO, Jingga 13, Fariz Musa, dan Exco Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, mewakili hampir 100 rakyat menyerahkan memorandum berkenaan, di Istana Negara.

Sebelum itu, sekumpulan rakyat yang prihatin dan bersimpati dengan nasib imam Hoslan berkumpul di Masjid Wilayah, Jalan Duta, sebelum berarak ke Istana Negara dengan kerjasama pihak polis.

Fariz, ketika berucap di hadapan peserta himpunan, merakamkan rasa kesal dengan nasib yang menimpa imam Hoslan, memandangkan isu sebenar di sebalik hukuman itu seolah-olah ditutup.

"Isu baling kasut bukan isu utama, sebaliknya isu yang didedahkan Hoslan hingga menyebabkan dia akhirnya terpenjara selama setahun itu yang perlu diketahui," tegas beliau.

Hoslan, bekas imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, dihukum penjara setahun atas tuduhan menghina mahkamah gara-gara melemparkan kasut ke arah panel hakim yang menghakimi kes beliau, Feb lalu.

Tindakan spontan tersebut dilakukan Hoslan yang tidak melantik mana-mana peguam selepas tidak berpuashati dengan kes beliau yang tertangguh sejak 2007.

Ekoran itu, Fariz memohon campurtangan Yang di-Pertuan Agong bagi memperkenankan keampunan kepada Hoslan, seterusnya membebaskan beliau.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad, mempersoalkan bagaimana sebuah institusi agam yang sepatutnya bersih boleh terpalit dengan dakwaan penyelewengan.

"Yang jelas, imam Hoslan bertindak berani melaporkan wang Masjid Ar-Rahimah yang dikatakan diselewengkan.  Sepatutnya dakwaan itu dibuktikan, tapi isu itu ditutup hingga menyebabkan Hoslan dipersalahkan," kata beliau.

Manakala, Naib Presiden PKR, N. Surendran, menegaskan hukuman yang dijatuhkan ke atas imam Hoslan itu telah melanggar prosedur perundangan.

Ini kerana, di bawah Kanun Keseksaan, hukuman maksima penjara enam bulan dikenakan terhadap tertuduh yang didapati menghina mahkamah.

"Bagaimanapun, dalam kes Hoslan ia dikenakan setahun penjara.  Bagi saya, dengan mengambilkira keadaan Hoslan sebagai rakyat marhain, serta isu penyelewengan yang didedahkan beliau, cukuplah jika hakim mengenakan denda ataupun amaran," tegas beliau yang juga seorang peguam.

Najib dianggap khianati peneroka

Khairil Abdul Rahim, 24 Mac 2012
TEMERLOH, 24 Mac: Seorang peneroka menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkhianati warga Felda jika benar beliau campur tangan dalam perbicaraan kes perahan minyak (KPG) sebagaimana didakwa.
Hashim Ahmad dari Felda Jengka 1 berkata, beliau bersama peneroka yang lain membawa kes KPG ke mahkamah setelah merasakan 15 tahun mereka teraniaya dan tidak sepatutnya dikhianati.

“Tapi jika keadilan dan hak yang kami tuntut dengan begitu payah boleh diketepikan dengan arahan Najib, sudah tentu kami rasa dikhianati,” tegasnya.

Hashim ialah salah seorang daripada 365 peneroka sekitar Jengka yang memfailkan saman terhadap Felda menuntut ganti rugi sebanyak RM175 juta di Mahkamah Tinggi Temerloh September tahun lalu berkaitan isu KPG.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution mendedahkan berdasarkan dokumen rasmi mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Felda yang diperolehinya, Najib telah meminta supaya hakim dan peguam yang mengendalikan kes saman KPG memastikan Felda menang kes tersebut.

Setiausaha Agung PKR itu mendedahkan di lobi parlimen baru-baru ini, arahan Najib itu menunjukkan campur tangan secara jelas pihak eksekutif dalam badan kahakiman negara sekali gus
hak peneroka mendapatkan keadilan di mahkamah berkaitan kes-kes melibatkan Felda akan dinafikan.

Dalam pada itu Hashim berharap hakim-hakim mempunyai integriti mereka sendiri dan tidak mudah dipengaruhi oleh ahli politik tertentu di atas nama keadilan dan undang-undang.

Tambah Hashim, beliau bersama peneroka sekitar Jengka yang lain memfailkan saman terhadap Felda menuntut ganti rugi sebanyak RM175 juta dengan asas tuntutan Felda melakukan penipuan dan pecah amanah dalam urusan KPG jualan hasil sawit.

“KPG diterima peneroka pada purata 18.5 % sedangkan bacaan kepada contoh hasil buah kelapa sawit yang dihantar kepada tiga makmal bebas menunjukkan kadarnya ialah 31.5 % dan setelah diselaraskan peneroka percaya purata KPG tidak kurang daripada 27 %. Ini bermakna terdapat perbezaan purata 8.5 % yang digunakan oleh Felda.

“Itu bukan angka yang kecil. Dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu berdasarkan harga pada 2008, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM250 bagi setiap tan, jika 10 tan sebulan bermakna kira-kira RM30 ribu wang peneroka telah dirampas dalam setahun,”jelasnya.

Sehubungan dengan itu, Hashim menyeru Najib dan sesiapa sahaja agar tidak mengganggu proses perbicaraan di mahkamah yang melibatkan peneroka.

Tambahnya, peneroka sudah berkorban dan berpenat lelah melalui pelbagai kesukaran sejak mula membuka hutan hinggalah kepada menuai hasil sehingga Felda megah di dunia kerana hasil komoditinya.

“Justeru jika peneroka mahukan keadilan menuntut hak mereka, janganlah diganggu dan dikhianati,” rayunya.

Wahid dedah nama Adun Umno dapat tanah hari ini

Harakahdaily, 24 Mac 2012


(Wahid bersalam dengan orang ramai di Jabi)

SETIU, 24 Mac: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut akan mendedahkan nama-nama ADUN dan Ahli Parlimen Umno Terengganu yang mendapat tanah seluas satu hektar seorang pada satu sidang media di Pejabat PAS hari ini.

“rakyat susah nak dapat tanah, ADUN dia (Umno) dapat tanah, ahli parlimen dia dapat, jadi Mad said (MB Terengganu) suruh saya dedah, lusa (24 Mac Mac) saya akan dedah lah,”tegasnya dua hari lepas sebagaimana yang dilaporkan Buletinonline.net.

Pada minggu lalu, Wahid telah mendedahkan bahawa Umno dan Barisan Nasional Terengganu tekah mengagih-agihkan tanah kepada wakil-wakil rakyat termasuk ahli parlimen sedang pada masa yang sama tanah-tanah rakyat termasuk tanah sekolah agama dirampas.

Selain itu, rakyat yang bernasib baik mandapat tanah daripada kerajaan negeri hanya menerima 1 lot tapak rumah berbanding 1 hektar tanah yang diberikan kepada wakil-wakil rakyat yang boleh diecahkan kepada 20 lot tanah yang sama dengan saiz tanah yang diterima rakyat.

Pesuruhjaya PAS Terengganu bersama Anggota Dewan Harian Badan Perhubungan Terengganu mengadakan lawatan kerja ke DUN Jabi, yang merupakan salah satu DUN sasaran PAS untuk menang dalam pilihanraya umum akan datang.

Selain program Minum Petang, mereka mendengar taklimat dari bilik gerakan DUN Jabi dan bertemu dengan semua jentera DU dalam Majlis Taklimat serta Penerangan pada sebelah malamnya.


Puji Pengerusi PAC


Abdul Wahid juga memuji sikap Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira dan Wang Negara (PAC) Dato’ Seri Azmi Khalid yang bertegas mahu Jawatankuasa Parlimen itu menyiasat Dana Awam yang digunakan oleh Syarikat Lembu dan Daging Negara (National Fidlot Corporation – NFC).


Beliau yang merupakan anggota Parlimen Kuala Terengganu memaklumkan bahawa beliau sendiri berjumpa Ahli Parlimen Padang Besar itu di Parlimen beberapa hari lalu.

“Dia (Azmi Khalid) kata nak terus juga siasat, ia (PAC) dalam bidang kuasa parlimen pasal (NFC) melibatkan harta kerajaan,

“jadi apa juga yang dilapor tentang penyelewengan dia (PAC) kena siasat,”ujarnya ketika ditemui dalam program Minum Petang Santai Bersama Rakyat Jabi disini pada Khamis 22 Mac.

Menurut Wahid, Yang DiPertua (Speaker) Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia cuba menghalang siasatan itu kerana kata Pandikar Amin kes NFC telah berada di mahkamah.

Justeru, Speaker berkata oleh kerana itu, ia tidak boleh disiasat oleh PAC.

Namun begitu kata Wahid, Azmi bertegas mahu meneruskan siasatan walaupun kes NFC beada di mahkamah kerana PAC tidak menganggu kerja-kera mahkamah.

“Dia (Azmi Khalid) kata, (kes NFC) di mahkamah itu kerja mahkamah lah, PAC tidak ganggu, mahkamah buat kera mahkamah dan PAC buat kerja PC,”jelasnya.

Kerajaan Kelantan sudah sedia jumpa Umno di mahkamah

Muhammad Yusri Amin, 24 Mac 2012
KOTA BHARU, 24 Mac: Kerajaan Negeri Kelantan sudah bersedia bertemu dengan pihak tertentu di mahkamah dalam isu ‘Tanah Rizab Melayu Kelantan’ yang didakwa tergadai.

Ini kerana dakwaan tersebut jelas satu pembohongan, kata ADUN Bunut Payung yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

“Dakwaan Umno bahawa Tanah Rizab Melayu Kelantan tergadai adalah bohong sama sekali.

“Bahkan mereka cuba memutar belitkan fakta kepada rakyat jelata," kata beliau yang merupakan seorang peguam.

Mengulas isu terkini pada ceramah isu-isu pilihan di Pintu Geng, Dun Bunut Payung malam tadi, beliau menegaskan, “Dan lihatlah, kita jumpa di mahkamah.”

Turut berucap pada majlis itu Speaker Dewan Negeri Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Laporan media baru-baru ini memetik dakwaan Umno bahawa pemerintahan Kerajaan Kelantan selama 20 tahun telah menggadai tanah milik Melayu di negeri ini, yang terletak dalam Tanah Rizab Melayu, bahkan dijual kepada syarikat bukan Bumiputra atas nama pembangunan selain pajakan.

Takiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri  berkata dakwaan itu menunjukkan Umno ‘seolah-olah tidak faham’  tentang Tanah Rizab Melayu di Kelantan.

“Tapi sebenarnya mereka buat-buat tidak faham,  bertujuan untuk mengelirukan rakyat Kelantan, bahawa seolah-olah Kerajaan Negeri telah menggadai Tanah Rizab Melayu," katanya.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha  Agung PAS Pusat berkata mengikut undang-undang negeri, Enakmen Tanah Rizab Melayu Kelantan Tahun 1930 tidak sama dengan Tanah Rizab Melayu di negeri lain termasuk Pahang, Perak, Perlis dan Johor.

Mengikut undang-undang , Tanah Rizab Melayu di negeri lain bahawa semua tanah dalam negeri berkenaan “tidak rizab Melayu”, melainkan beberapa tempat saja.

“Tetapi di Kelantan, semua tanah di Kelantan adalah Tanah Rizab Melayu, kecuali beberapa tempat.

“Ini bermakna, di Kelantan lebih banyak Tanah Rizab Melayu," katanya.

Mengikut  Enakmen Tanah Rizab Melayu Kelantan Tahun 1930, Tanah Rizab Melayu di Kelantan adalah semua tanah di Kelantan, kecuali Daerah Batu Mengkebang, Kuala Krai (Daerah Penggawa).

Daerah Galas, Gua Musang, Daerah Temangan, Machang (kecuali Lot No. 183 sehingga Lot No. 193 dan juga 126 sehingga Lot No 223 Pekan Temangan).

Bahagian-bahagian di dalam Seksyen 6, Seksyen 7, Seksyen 9, Seksyen 10 dan Seksyen 11 Bandar Kota Bharu.

“Itu saja. Ini bermakna, sedikit di Kuala Krai (Batu Mengkebang) dan sedikit di Gua Musang.

“Yang tidak menjadi Tanah Rizab Melayu ialah Daerah Galas saja dan di Temangan, Machang (kecuali beberapa lot di mana tidak semua Daerah Temangan itu bukan Tanah Rizab Melayu).

“Kesimpulannya, di Kelantan ini Tanah Rizab Melayu adalah kira-kira 75 peratus, manakala Tanah Tidak Rizab Melayu pula tidak lebih daripada 25 peratus," beritahu beliau.

Beliau mengulas dakwaan Umno Tanah Rizab Melayu telah dijual kepada bukan Melayu.

“Bahawa di Kelantan ini, Undang-Undang Tanah adalah  ‘unique’, berlainan dengan di tempat lain," jelasnya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin mendakwa sejak 1990 tidak pernah Kerajaan Pusat tidak ‘menindas’ Kerajaan Negeri khususnya dari segi pembangunan dan sumbangan kewangan yang ‘sepatutnya’ diberikan kepada Kerajaan Kelantan.

Namun dalam urusan tanah, Kerajaan Negeri menggubal dasar bahwa mana-mana syarikat yang hendak melabur di negeri ini tanpa mengira sama ada dari syarikat Bumiputra atau bukan Bumiputra atau syarikat ‘setengah-setengah’ Bumiputra dengan bukan Bumiputra yang mahu melabur di negeri ini adalah dialu-alukan.

Mengikut dasar negeri, syarikat yang melabur di Kelantan mesti bekerjasama dengan syarikat Kerajaan Negeri atau pun Badan-Badan Negeri termasuk Yayasan Islam Kelantan (YIK), Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan Perbadanan Ladang Rakyat.

“Kita syaratkan bahawa pelabur berkenaan mesti bekerjasama dengan syarikat dan agensi Kerajaan Negeri selain memberi 30 peratus keuntungan kepada Kerajaan Negeri, manakala 70 peratus kepada pelabur berkenaan.

“Dan tanah berkenaan tidak pernah diberi oleh Kerajaan Negeri kepada syarikat pelabur, dan itu cara kerajaan kita, ianya tidak bercanggah dengan undang-undang.

“Manakala taraf tanah pajakan berkenaan masih lagi ‘taraf Tanah Rizab Melayu’, tidak berubah,"terang beliau.

Sikap Kerajaan Negeri dalam isu tanah berbeza dengan Umno.

Beliau mendakwa Umno bukan saja tidak ‘memberi tanah’ kepada bukan Bumiputra, bahkan kepada Bumiputra pun Umno ‘memilih bulu’ sama ada berkaitan dengan Pengerusi Perhubungan Umno atau Ketua Bahagian walau pun itu berlaku sesama Umno.

Oleh itu, tegas Takiyyddin, dakwaan Umno bahawa Tanah Rizab Melayu tergadai itu adalah bohong sama sekali, bahkan cuba memutar belit fakta.

Kelantan negeri paling banyak mempunyai Tanah Rizab Melayu di negara ini iaitu kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan 1,492,200 hektar keluasan negeri.

Media mendakwa status quo Tah Rizab Melayu di Kelantan yang selama ini dilindungi Enakmen Tanah Kelantan 1930 kini semakin banyak tanah berkenaan dipajak kepada syarikat bukan bumiputera, dengan tempoh pajakan mencecah 99 tahun.

Dakwaan itu menyebut ianya dilakukan sejak 20 tahun lalu oleh kerajaan PAS Kelantan selepas mendapat kelulusan daripada Exco bertanggungjawab, atas alasan pembangunan.

Menurut dakwaan, antara kawasan terbabit ialah Tanah Rizab Melayu di tapak projek Pembangunan Lembah Sireh, Bandar Baru Tunjong, Muzium Pasir Pekan, Pelabuhan Darat Kuala Krai, pusat beli-belah KB Mall, Tune Hotel serta Ladang Rakyat.

Laporan itu menyebut semua Tanah Rizab Melayu yang dipajak itu membabitkan ratusan hingga ribuan hektar yang asalnya berstatus tanah pertanian dengan bayaran premium sangat rendah seperti tanah seluas 400 hektar diluluskan kepada pemaju bukan Bumiputera bagi membangunkan projek Lembah Sireh dengan bayaran premium hanya RM1 juta sahaja.

Sementara itu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) baru-baru ini didakwa membuat laporan polis terhadap ‘Kerajaan Pas Kelantan’ mengenai dakwaan banyak tanah Rizab Melayu didakwa terancam selepas dipajakkan kepada syarikat bukan Bumiputra.

Perkasa juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abdullah Ali bakal tarik sokongan pengundi muda

Harakahdaily, 24 Mac 2012
MARANG, 24 Mac: PAS yakin penyertaan legenda bola sepak negara, Abdullah Ali akan menyemarakkan lagi sokongan kepada parti Islam itu khasnya di kalangan pengundi muda.


(Abdullah Ali bersama Presiden PAS di Rusila...gambar Buletinonline)

“Penyertaan kalangan pengundi muda untuk buat perubahan sangat penting. Dan penyertaan Abdullah Ali ini adalah merupakan suatu kekuatan baru kepada PAS untuk menghadapi pilihan raya akan datang, Insya’Allah,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menerima kunjungan hormat Abdullah Ali di rumahnya baru-baru ini.

Hadir sama pada kunjungan tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran.

Abdullah Ali adalah legenda bola sepak negara di awal 1980an. Pasukan yang disertai beliau telah berjaya melakyakkan diri ke sukan Olimpik Moscow namun tidak menyertainya kerana Malaysia memboikot sukan di Rusia itu.

Abdullah Ali terkena dengan tendangan inswinger dari tendangan sudut. Beliau menyerahkan borang permohonan menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz di Kota Bharu.

Beliau berjanji akan membantu PAS di Terengganu untuk memenangi hati golongan muda kerana berasal dari negeri itu.

Abdul Hadi menaruh harapan dan berkeyakinan  pengundi muda yang ramai menyokong PAS dan Pakatan Rakyat akan mampu mencetuskan satu perubahan politik dan menukar kerajaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.

Beliau berkata, perubahan memerlukan golongan muda yang dianggarkan menguasai 30 peratus kuasa politiknya.

Bahkan, katanya perubahan pengundi muda sangat penting bukan sahaja di Terengganu tapi seluruh negara sebagai kuasa penentu pilihan raya.

“Apa yang menarik perhatian kita (PAS) ini ialah perubahan memerlukan golongan muda. Kita (PAS) mengharapkan, sebagaimana lawatan saya ke Dun-dun (Dewan Undangan Negeri) di seluruh negeri tidak kurang dari 30 peratus adalah pengundi muda.

“Ini (golongan muda) boleh jadi undi penentu (kemenangan) dalam pilihan raya. Maknanya, perubahan pengundi muda sangat penting dan bukan sahaja di negeri Terengganu bahkan di seluruh negara,” ujarnya.

Menurutnya, Ustaz Abdul Hadi penyertaan golongan muda kembali menyokong perjuangan Islam mengembalikan semula zaman kegemilangan agama tersebut.

Katanya, golongan muda juga mempunyai kepelbagaian minat serta kebolehan seperti ahli sukan, penghibur dan sebagainya.

“Ini (penyertaan orang muda) mengembalikan di zaman kegemilangan Islam. 90 peratus orang muda dan orang muda ini bermacam-macam kebolehan. Orang muda ini banyak ahli sukan, banyak penghibur dan macam-macam.

Tiada ulasan: