Rabu, 28 Mac 2012

CAKAPLAH APA YANG HENDAK KITA CAKAP...BEGITU JUGA DENGAN JANJI...JANGAN HARI DIBANGKIT SEMULA...JANGAN LUPA DAKWAAN DIAKHIRAT KELAK...SABIT DAKWAAN MAKA MASUKLAH KEDALAM NERAKA ALLAH KERANA BERLAKU ZALIM SERTA SALAH GUNA KUASA...DAN MENAFI HUKUM ALLAH SWT...

Abim alu-alukan polis sedia berubah

Harakahdaily, 27 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 27 Mac: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengalu-alukan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengubah persepsi masyarakat terhadap institusi kepolisan dengan memantapkan kualiti perkhidmatan institusi tersebut kepada masyarakat, selaras dengan tanggungjawabnya untuk melindungi keselamatan rakyat di negara ini.
Naib Presiden (Kebangsaan) Abim, Ahmad Saparudin Yusup berkata, walaupun tidak menafikan peningkatan KPI PDRM seperti mana yang diwar-warkan sebelum ini, namun pengamatan pihaknya mendapati masyarakat rata-rata di peringkat akar umbi masih diselubungi sindrom ketakutan terhadap jenayah.

“Terkini negara telah digemparkan  dengan tragedi tragis ke atas Dirang (Nuradirah) di samping kisah-kisah penculikan ke atas gadis-gadis serta kanak-kanak seperti yang diimbau di lapangan-lapangan media,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, jelasnya Abim menilai keadaan-keadaan tersebut sedang mencetuskan sindrom ketakutan di kalangan rakyat terhadap persekitaran dan keselamatan mereka.

Ini, tambah beliau pastinya memberi kesan terhadap perjalanan struktur sosioekonomi  negara, yang jika tidak ditangani dengan sebaiknya akan menjejaskan kestabilan serta keselamatan di dalam negara.

“Dalam hal ini, Abim serta seluruh warga Malaysia menyokong sebarang tindakan tegas yang digerakkan oleh PDRM untuk membendung jenayah daripada berleluasa serta sentiasa bersedia untuk membantu pihak PDRM dalam apa jua kapasiti yang diluangkan dalam perundangan negara,” katanya lagi.

Meskipun begitu, ujar beliau usaha membanteras jenayah seharusnya menjunjung tinggi prinsip-prinsip keadilan, hak asasi manusia serta kemanusiaan.

Selaras dengan hasrat rakyat yang ingin PDRM meningkatkan mutu perkhidmatan serta memelihara kesejahteraan rakyat  dengan berkesan, beliau berkata adalah menjadi harapan agar PDRM dapat melunaskan sebarang persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan institusi tersebut termasuklah dalam isu-isu hak asasi manusia termasuklah mematuhi semua prosedur perundangan dan tatacara jenayah dalam menerima laporan, membuat siasatan, melakukan tangkapan, reman, tahanan, ikat jamin dan sebagainya selari dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang negara.

“Adalah menjadi harapan agar kesemua 125 cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PICC) akan dijadikan sebagai terma rujukan utama PDRM dalam menyahut saranan Ketua Polis Negara tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, imej PDRM yang positif, telus, adil dan amanah serta mesra pelanggan akan secara langsung meningkatkan keyakinan rakyat terhadap wibawa serta integriti institusi tersebut.

Samseng: Adakah Hisham jenis menteri tidak kisah?

Harakahdaily, 27 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 27 Mac: “Kenapa sekarang baru Datuk Seri Hishammuddin Hussien Onn  menyatakan ahli politik diminta lapor pada polis jika rasa terancam?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).
Tanya beliau lagi, apakah Hishammuddin selaku Menteri Dalam Negeri tidak dimaklumkan atau memang jenis menteri yang tidak mengambil kisah berkenaan dengan beberapa gangguan oleh samseng Umno yang mengganggu ceramah Pakatan Rakyat.

“Sekarang baru beliau bersuara. Itu pun apabila kononnya Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong hendak dipukul pada 25 Mac lepas ketika beliau menghadiri perhimpunan membantah kekurangan guru pendidikan Cina di Kajang.

“Jika tidak kena kepada Dr Wee, maka Hishammuddin masih tertidur dan tidak kisah apa anggota bawahan beliau buat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, di antara ceramah Pakatan Rakyat yang diganggu ialah pada 21 Januari lalu  iaitu ceramah Asal Bukan Umno (ABU) di Jalan Kebun, Klang sehingga seorang cedera dan 11 Februari pula ceramah aktivis pelajar di Kampung Idaman Klang.

Selain itu, ceramah Mohamad Sabu di Seremban, Rembau, Muar, malahan ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Februari di Sembrong, Johor iaitu kawasan parlimen Hishammuddin sendiri sehingga cermin kereta dinaiki Anwar pecah.

“Begitu juga ceramah Anwar Ibrahim diganggu di Felda Tun Ghafar di Alor Gajah, Melaka. Sehingga kini ceramah Pakatan Rakyat diganggu oleh penyokong Umno BN di Melaka.

“Kenapa pihak polis tidak bertindak kepada samseng upahan Umno?” tanya Idris.

Beliau berkata, mereka melakukannya sebagai provokasi untuk menguji penyokong Pakatan Rakyat.

“Kita bimbang jika perkara ini berterusan ia akan memberi suasana yang tidak baik di dalam iklim politik di negara ini,” ujarnya.

Baka tiada peruntukan laksana program agama?

Salmiyah Harun, 27 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 27 Mac: Ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azamudden Mohd Taib (gambar) mendakwa Bahagian Agama dan Kaunseling Polis Diraja Malaysia (Baka) tidak dibekalkan peruntukan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melaksanakan aktiviti yang sepatutnya.

Katanya, Baka diwujudkan bukan sahaja memberi khidmat kaunseling kepada keluarga polis yang bergama Islam bahkan melaksanakan aktiviti-aktiviti kerohanian.

"Sudah lama tidak diberikan peruntukan itu, jadi macam mana hendak adakan aktiviti kerohanian dalam keluarga polis dan anggota yang beragama Islam," katanya ketika dihubungi.

Malah katanya, Baka tidak perlu diletakkan di bawah pentadbiran, ini kerana akan merumitkan pelancaran aktiviti-aktiviti agama.

"Sepatutnya Baka diasingkan kepada satu unit yang lain, kerana kerja Baka adalah buat kaunseling, kuliah agama dan program-program keagamaan," katanya.

Sebelum ini, Taib Azamudden berkata, banyak rungutan daripada anggota polis menyatakan mereka tidak cukup bajet untuk melaksanakan aktiviti.

"Saya difahamkan Baka pernah diberikan peruntukan tetapi ditarik balik, akhirnya mereka tidak ada bajet untuk membuat program," katanya.

Justeru, katanya KDN perlu ambil perhatian terhadap kekangan yang dihadapi Baka kerana unit itu lebih penting untuk pegawai polis yang beragama Islam.

"Kita minta juga Baka ini bukan sahaja diwujudkan di Bukit Aman sahaja dan ia perlu diperluaskan ke kontinjen-kontinjen negeri dan juga daerah," katanya.

Terdahulu, Taib Azamudden mempertikaikan Baka diketuai oleh seorang pegawai tinggi bukan Islam berpangkat SAC ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Mac lalu.

Bagaimanapun dakwaan itu disangkal oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan dengan menjelaskan pegawai terbabit baru ditukar kepada pegawai yang beragama Islam.

Tidak perlu JK pemandu selesai air Kelantan

Hazayani Zakaria, 27 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 27 Mac: PAS mendakwa Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi tidak memahami peranan jawatankuasa pemandu yang ditubuhkan sesebuah parti.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, masalah bekalan air bersih di Kelantan tidak memerlukan penubuhan jawatankuasa pemandu sebaliknya boleh diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan, peranan jawatankuasa pemandu  hanya membincangkan perkara-perkara yang mungkin melibatkan pimpinan-pimpinan parti yang diberi amanah mentadbir negeri Pakatan Rakyat hari ini.

"Dalam isu air Kelantan, jawatankuasa  pemandu tidak boleh berperanan kerana tidak ada legal ground.

"Dr Puad Zarkashi tak faham peranan jawatankuasa pemandu yang ditubuhkan parti dengan peranan urus tadbir negeri yang memang melibatkan hubungan yang rapat antara kerajaan negeri dan pusat," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, isu bekalan air bersih di Kelantan adalah isu yang melibatkan hubungan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Tambahan pula, masih terdapat perkara-perkara teknikal di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang masih belum selesai.

"Ini  adalah isu yang masih lagi di peringkat penyelesaian. Secara adilnya saya melihat dalam konteks yang besar, perbahasan di Parlimen ini juga membicarakan tentang isu SPAN yang masih lagi tidak selesai dari segi menyelesaikan isu teknikal antara kerajaan negeri dan pusat.

"Secara adilnya juga, isu air tidak terawat ini bukan hanya melanda Kelantan tapi juga di negeri lain seperti di Johor dan Selangor yang airnya dalam keadaan tidak selamat untuk diminum begitu sahaja," katanya.

Pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat semalam, Dr Puad mencadangkan PAS menubuhkan jawatankuasa pemandu kerana mendakwa PAS Kelantan  gagal menyelesaikan isu air bersih di negeri itu.

Tiada ulasan: